Rabu, 19 Ogos 2015

PENULIS AMATUR.



Ada pihak yang menyuarakan rasa kurang senang dengan aktiviti para penulis sejarah amatur di Blog dan media sosial. Mereka berkata golongan ini melekehkan dunia akademik serta ahli-ahli akademik professional. Kata mereka lagi golongan ini hanya menyebarkan Sejarah yang berbentuk mistik dan mitos serta tidak mengikut landasan akademik yang betul. Menurut mereka sebelum keluarnya penulisan-penulisan sejarah versi Pop yang menjadi kegemaran anak muda sekarang ini, ahli-ahli akademik telah pun lama bergerak untuk memperbaharui penulisan sejarah dan mengubah penulisan sejarah buku teks yang jumud dan berat sebelah. Tambahan lagi, telah banyak Jurnal-jurnal ilmiah dan makalah-makalah kajian yang mereka hasilkan tentang sejarah sebenar bangsa dan negara kita dan ia bukan perkara baru.

Tetapi yang menimbulkan persoalan ialah kenapa masih ramai anak muda kita yang buta sejarah malah ada yang membenci sejarah bangsa sendiri? Kalau sudah lama kajian dibuat dan ditulis di dalam jurnal-jurnal dan makalah ilmiah, mengapa masih ramai lagi masyarakat kita terutamaya golongan muda belia yang tidak cakna dengan ilmu sejarah? Megapa terlalu ramai lagi yang mempunyai sifat inferior atau kurang yakin dengan bangsa sendiri? Malu dengan bangsa dan budaya ketamadunan mereka sendiri. Mengapa masih ada lagi pihak yang beranggapan bahawa Rumpun Melayu itu mundur, pemalas, dan tidak ada tamadun sendiri serta pendatang dari luar?

Pada pendapat saya ialah kerana mereka ini tiada “Sparks” atau pencetus yang boleh menarik minat mereka untuk lebih dekat dengan ilmu sejarah dan lebih minat untuk membuat kajian dan pembacaan tentang sejarah bangsa yang sebenar-benarnya. Tambahan pula segala kajian dan penulisan yang telah lama dibuat itu sebenarnya tidak sampai kepada khalayak yang sepatutnya dan tidak tersebar secara meluas kepada anak-anak muda. Ya, memang benar telah wujud banyak penulisan-penulian sejarah terkini berkenaan ketamadunan Bangsa Melayu di dalam jurnal-jurnal dan makalah-makalah ilmiah. Tetapi dimana letaknya semua kertas kajian, makalah, buku-buku dan jurnal-jurnal ilmiah tersebut? Di rak-rak buku Universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi? Berapa ramaikah anak-anak muda kita yang dapat peluang masuk ke Universiti, dan berapa ramai pula yang ke Universiti itu mengambil kursus Sejarah atau punyai keinginan dan kesedaran untuk masuk ke perpustakaan dan membelek jurnal-jurnal sejarah?

Dari pengamatan saya sendiri sebagai seorang bekas penuntut dalam bidang Sejarah, saya boleh lihat hanya ada beberapa kerat sahaja anak muda kita yang minat untuk membelek jurnal-jurnal ilmiah termasuklah pelajar jurusan sejarah sendiri. Saya berani jamin jikalau pensyarah mereka tidak menyuruh mereka untuk merujuk jurnal tertentu maka mereka tidak akan membaca jurnal-jurnal itu semua. Kalau saya pergi ke bahagian Jurnal di Perpustakaan Tun Sri Lanang UKM, suasana lengangnya sehinggakan boleh menyorok dan tidur di celah-celah rak jurnal, dan tidak akan ada siapa yang akan perasan (kecuali librarian). Kalau ada pun yang merujuk kebanyakannya adalah pelajar Masters, Phd dan pelajar yang terdiri daripada Cikgu-cikgu yang sambung belajar.

Jadi bagaimana ilmu-ilmu tersebut nak tersebar ke masyarakat luar kampus dan luar dunia akademik jikalau orang Universiti sendiri tidak membaca dan tidak membawanya keluar ke masyarakat? Bagaimana kita mahu mengajar anak-anak muda, Mat rempit, Bohjan, Bohsia, Penkid, penjilat tamadun barat serta orang-orang yang buta sejarah di luar sana untuk kenal sejarah bangsa dan bangkitkan jatidiri mereka? Kebanyakan yang menjadi pengundi, pengikut, macai dan sebagainya yang menjadi majoriti dalam masyarakat adalah orang-orang biasa. Orang-orang yang makan gaji, tinggal di pinggir bandar, atau kampung-kampung, dan orang yang tidak berpendidikan tinggi atau golongan pertengahan.

Mereka ini bukanlah golongan akademik atau yang tahu bagaimana hendak mendapatkan sumber-sumber bahan ilmiah atau jurnal-jurnal serta makalah ilmiah tentang sejarah. Mereka majoritinya bukanlah golongan yang ada banyak masa terluang atau wang terlebih untuk pergi ke forum-forum dan syarahan-syarahan perdana para Dr dan Prof Sejarah di Universiti atau mana-mana pusat pengajian. Mereka sibuk mencari makan untuk anak bini. Mereka inilah yang patut menjadi golongan sasaran untuk kita sebarkan ilmu-ilmu tentang sejarah ketamadunan bangsa. Mereka ini adalah golongan yang menjadi asas dan tunjang kepada sesebuah negara. Kalau mereka diberikan ilmu sejarah yang betul untuk memantapkan jatidiri mereka maka tidak akan ada lagi sifat inferior dalam masyarakat dan tidak ada lagi yang buta sejarah dan menjadi pak turut atau mengikut membabi buta sahaja dalam apa jua isu yang dimainkan oleh golongan-golongan elit yang menguasai Negara dan dunia amnya.

Oleh itu disinilah para penulis sejarah amatur memainkan sedikit peranan iaitu memberikan “Sparks” atau percikan itu. Para penulis amatur bukan mahu berlagak bagus atau menidakkan keahlian sejarawan professional, tidak sama sekali. Kami tahu tahap ilmu kami sangat lah rendah dibanding dengan ilmu-ilmu para Dr dan Prof serta ahli-ahli akademik professional yang lain. Kami juga masih belajar dan sudah pasti ada khilafnya. Kami sangat-sangat menghormati golongan Sejarawan professional dan ahli-ahli akademik. Anda semua adalah guru-guru kami.

Apa yang penulis amatur ini cuba lakukan adalah menyebar luaskan kajian-kajian dan ilmu-ilmu yang telah terkumpul di rak-rak Universiti tadi. Jika mengharapkan jurnal-jurnal itu dibaca oleh pak cik dan mak cik di kampung, budak-budak muda remaja dan rakyat marhaen biasa semua, maka sampai bertahun lah ilmu itu akan terbiar disitu. Memang wujud pelbagai forum, ceramah dan hebahan samaada dalam media eletronik atau media cetak dibuat oleh ahli akademik dan pihak berwajib untuk memupuk minat masyarakat peringkat bawah ini pada ilmu sejarah. Tetapi ianya masih belum cukup dan masih banyak lagi ilmu-ilmu dan bahan sejarah tersimpan yang tidak sampai ke khalayak ramai. Nak pula anak-anak muda zaman ini sangat kurang membaca. Apatah lagi jurnal-jurnal dan buku-buku ilmiah sejarah yang penuh dengan ayat-ayat bombastik dan istilah-istilah ilmiah tahap tinggi yang sukar untuk difahami mereka.

Maka begitulah saya melihat peranan para penulis sejarah amatur ini. Tujuan mereka bukan mahukan publisiti, tetapi adalah untuk menyebarkan ilmu dan menimbulkan kesedaran atau seperti yang saya sebutkan tadi, memulakan “Sparks” atau percikan minat. Kalau ada berjuta-juta makalah, jurnal, buku dan kajian ilmiah sekalipun, tetapi tidak wujudnya minat dikalangan masyarakat untuk mengetahui dan mengkaji tentangnya, atau langsung tidak diketahui masyarakat akan kewujudannya, maka ilmu itu akan terbiar disitu sahaja dan tak akan berkembang.

Analoginya ialah seperti mana anda hendak membuat unggun api, walau sebanyak mana pun anda membelah dan mengumpul kayu api, jika anda hanya melonggokkannya tetapi anda tidak menyalakannya dengan betul menggunakan mancis dan mengeluarkan ‘Sparks’ atau percikan apinya, maka sampai ke hujung nyawa ia akan tetap tidak terbakar.

Oleh sebab itu saya sangat mengkagumi para penulis amatur seperti Cik Srikandi, Ibnu Rusydi, Helmi Effendi, Amir Wijaya, Raja Arif Danial, Nizam Gtz, Mohd Salleh Mazukhi, Haslina Bujang, dan beberapa lagi penulis amatur yang bernaung dibawah Pertubuhan ‘The Patriots’. Mereka ini menulis untuk menyebar luaskan dan mempermudahkan pemahaman para pembaca terutama anak muda berkenaan ilmu sejarah dan juga ilmu-ilmu lain. Biarlah penulisan mereka dikata sebagai gaya Pop dan tidak akademik sekalipun, asalkan matlamat untuk mencetuskan rasa ingin tahu itu tercapai. Dan dari situ akan terbuka pula ruang untuk perbincangan dan menarik minat lebih ramai orang untuk membaca, mengkaji dan menyelami ilmu sejarah atau ilmu-ilmu lain dengan lebih mendalam.

Namun ini hanya sekadar pendapat peribadi saya sahaja, diharap tidak ada pihak yang akan tersinggung dengan pendapat ini. Sekali lagi saya tegaskan yang saya bukan Sejarawan tetapi peminat Sejarah seumur hidup. Sekian wallah hu a’lam.



~ASJ~

7 ulasan:

  1. Assalamualaikum Wrt..

    setuju 100000000000000000000000% bro....

    BalasPadam
  2. setuju sgt bro!!!

    BalasPadam
  3. Hati saya tak suka dengan gambar mahkota bersalib di atas

    BalasPadam
  4. buatlah filem... br anak2 muda faham..
    gov kene bg geran utk filem2 epik ni...

    BalasPadam
  5. write history calmly

    BalasPadam
  6. gejala internalize racism dlm kalangan anak muda melayu yg semakin menjadi-jadi sekarang antaralain adalah disebabkan maklumat sejarah sebenar tentang bangsa sendiri tidak sampai kepada mereka.
    oleh itu pendekatan penulis-penulis sejarah amatur iaitu memasyarakatkan maklumat-maklumat sejarah kepada golongan marhaen yg tak tercapaikan oleh golongan akademik amatlah baik dan patut dibantu asalkan maklumat sejarah itu tidak bersalahan.

    BalasPadam
  7. 💪💪💪💪💪💪

    BalasPadam