Ada pihak yang menyuarakan rasa kurang senang dengan
aktiviti para penulis sejarah amatur di Blog dan media sosial. Mereka berkata
golongan ini melekehkan dunia akademik serta ahli-ahli akademik professional.
Kata mereka lagi golongan ini hanya menyebarkan Sejarah yang berbentuk mistik
dan mitos serta tidak mengikut landasan akademik yang betul. Menurut mereka
sebelum keluarnya penulisan-penulisan sejarah versi Pop yang menjadi kegemaran
anak muda sekarang ini, ahli-ahli akademik telah pun lama bergerak untuk
memperbaharui penulisan sejarah dan mengubah penulisan sejarah buku teks yang
jumud dan berat sebelah. Tambahan lagi, telah banyak Jurnal-jurnal ilmiah dan
makalah-makalah kajian yang mereka hasilkan tentang sejarah sebenar bangsa dan
negara kita dan ia bukan perkara baru.
Tetapi yang menimbulkan persoalan ialah kenapa masih
ramai anak muda kita yang buta sejarah malah ada yang membenci sejarah bangsa
sendiri? Kalau sudah lama kajian dibuat dan ditulis di dalam jurnal-jurnal dan
makalah ilmiah, mengapa masih ramai lagi masyarakat kita terutamaya golongan
muda belia yang tidak cakna dengan ilmu sejarah? Megapa terlalu ramai lagi yang
mempunyai sifat inferior atau kurang yakin dengan bangsa sendiri? Malu dengan
bangsa dan budaya ketamadunan mereka sendiri. Mengapa masih ada lagi pihak yang
beranggapan bahawa Rumpun Melayu itu mundur, pemalas, dan tidak ada tamadun
sendiri serta pendatang dari luar?
Pada pendapat saya ialah kerana mereka ini tiada
“Sparks” atau pencetus yang boleh menarik minat mereka untuk lebih dekat dengan
ilmu sejarah dan lebih minat untuk membuat kajian dan pembacaan tentang sejarah
bangsa yang sebenar-benarnya. Tambahan pula segala kajian dan penulisan yang
telah lama dibuat itu sebenarnya tidak sampai kepada khalayak yang sepatutnya dan
tidak tersebar secara meluas kepada anak-anak muda. Ya, memang benar telah
wujud banyak penulisan-penulian sejarah terkini berkenaan ketamadunan Bangsa
Melayu di dalam jurnal-jurnal dan makalah-makalah ilmiah. Tetapi dimana
letaknya semua kertas kajian, makalah, buku-buku dan jurnal-jurnal ilmiah
tersebut? Di rak-rak buku Universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi? Berapa
ramaikah anak-anak muda kita yang dapat peluang masuk ke Universiti, dan berapa
ramai pula yang ke Universiti itu mengambil kursus Sejarah atau punyai
keinginan dan kesedaran untuk masuk ke perpustakaan dan membelek jurnal-jurnal
sejarah?
Dari pengamatan saya sendiri sebagai seorang bekas
penuntut dalam bidang Sejarah, saya boleh lihat hanya ada beberapa kerat sahaja
anak muda kita yang minat untuk membelek jurnal-jurnal ilmiah termasuklah
pelajar jurusan sejarah sendiri. Saya berani jamin jikalau pensyarah mereka
tidak menyuruh mereka untuk merujuk jurnal tertentu maka mereka tidak akan
membaca jurnal-jurnal itu semua. Kalau saya pergi ke bahagian Jurnal di
Perpustakaan Tun Sri Lanang UKM, suasana lengangnya sehinggakan boleh menyorok
dan tidur di celah-celah rak jurnal, dan tidak akan ada siapa yang akan perasan
(kecuali librarian). Kalau ada pun yang merujuk kebanyakannya adalah pelajar
Masters, Phd dan pelajar yang terdiri daripada Cikgu-cikgu yang sambung
belajar.
Jadi bagaimana ilmu-ilmu tersebut nak tersebar ke
masyarakat luar kampus dan luar dunia akademik jikalau orang Universiti sendiri
tidak membaca dan tidak membawanya keluar ke masyarakat? Bagaimana kita mahu
mengajar anak-anak muda, Mat rempit, Bohjan, Bohsia, Penkid, penjilat tamadun
barat serta orang-orang yang buta sejarah di luar sana untuk kenal sejarah
bangsa dan bangkitkan jatidiri mereka? Kebanyakan yang menjadi pengundi,
pengikut, macai dan sebagainya yang menjadi majoriti dalam masyarakat adalah
orang-orang biasa. Orang-orang yang makan gaji, tinggal di pinggir bandar, atau
kampung-kampung, dan orang yang tidak berpendidikan tinggi atau golongan
pertengahan.
Mereka ini bukanlah golongan akademik atau yang tahu
bagaimana hendak mendapatkan sumber-sumber bahan ilmiah atau jurnal-jurnal
serta makalah ilmiah tentang sejarah. Mereka majoritinya bukanlah golongan yang
ada banyak masa terluang atau wang terlebih untuk pergi ke forum-forum dan
syarahan-syarahan perdana para Dr dan Prof Sejarah di Universiti atau mana-mana
pusat pengajian. Mereka sibuk mencari makan untuk anak bini. Mereka inilah yang
patut menjadi golongan sasaran untuk kita sebarkan ilmu-ilmu tentang sejarah
ketamadunan bangsa. Mereka ini adalah golongan yang menjadi asas dan tunjang
kepada sesebuah negara. Kalau mereka diberikan ilmu sejarah yang betul untuk
memantapkan jatidiri mereka maka tidak akan ada lagi sifat inferior dalam
masyarakat dan tidak ada lagi yang buta sejarah dan menjadi pak turut atau
mengikut membabi buta sahaja dalam apa jua isu yang dimainkan oleh
golongan-golongan elit yang menguasai Negara dan dunia amnya.
Oleh itu disinilah para penulis sejarah amatur
memainkan sedikit peranan iaitu memberikan “Sparks” atau percikan itu. Para
penulis amatur bukan mahu berlagak bagus atau menidakkan keahlian sejarawan
professional, tidak sama sekali. Kami tahu tahap ilmu kami sangat lah rendah
dibanding dengan ilmu-ilmu para Dr dan Prof serta ahli-ahli akademik
professional yang lain. Kami juga masih belajar dan sudah pasti ada khilafnya.
Kami sangat-sangat menghormati golongan Sejarawan professional dan ahli-ahli
akademik. Anda semua adalah guru-guru kami.
Apa yang penulis amatur ini cuba lakukan adalah
menyebar luaskan kajian-kajian dan ilmu-ilmu yang telah terkumpul di rak-rak
Universiti tadi. Jika mengharapkan jurnal-jurnal itu dibaca oleh pak cik dan
mak cik di kampung, budak-budak muda remaja dan rakyat marhaen biasa semua,
maka sampai bertahun lah ilmu itu akan terbiar disitu. Memang wujud pelbagai
forum, ceramah dan hebahan samaada dalam media eletronik atau media cetak
dibuat oleh ahli akademik dan pihak berwajib untuk memupuk minat masyarakat
peringkat bawah ini pada ilmu sejarah. Tetapi ianya masih belum cukup dan masih
banyak lagi ilmu-ilmu dan bahan sejarah tersimpan yang tidak sampai ke khalayak
ramai. Nak pula anak-anak muda zaman ini sangat kurang membaca. Apatah lagi
jurnal-jurnal dan buku-buku ilmiah sejarah yang penuh dengan ayat-ayat
bombastik dan istilah-istilah ilmiah tahap tinggi yang sukar untuk difahami
mereka.
Maka begitulah saya melihat peranan para penulis
sejarah amatur ini. Tujuan mereka bukan mahukan publisiti, tetapi adalah untuk
menyebarkan ilmu dan menimbulkan kesedaran atau seperti yang saya sebutkan
tadi, memulakan “Sparks” atau percikan minat. Kalau ada berjuta-juta makalah,
jurnal, buku dan kajian ilmiah sekalipun, tetapi tidak wujudnya minat
dikalangan masyarakat untuk mengetahui dan mengkaji tentangnya, atau langsung
tidak diketahui masyarakat akan kewujudannya, maka ilmu itu akan terbiar disitu
sahaja dan tak akan berkembang.
Analoginya ialah seperti mana anda hendak membuat
unggun api, walau sebanyak mana pun anda membelah dan mengumpul kayu api, jika
anda hanya melonggokkannya tetapi anda tidak menyalakannya dengan betul
menggunakan mancis dan mengeluarkan ‘Sparks’ atau percikan apinya, maka sampai
ke hujung nyawa ia akan tetap tidak terbakar.
Oleh sebab itu saya sangat mengkagumi para penulis
amatur seperti Cik Srikandi, Ibnu Rusydi, Helmi Effendi, Amir Wijaya, Raja Arif
Danial, Nizam Gtz, Mohd Salleh Mazukhi, Haslina Bujang, dan beberapa lagi
penulis amatur yang bernaung dibawah Pertubuhan ‘The Patriots’. Mereka ini
menulis untuk menyebar luaskan dan mempermudahkan pemahaman para pembaca
terutama anak muda berkenaan ilmu sejarah dan juga ilmu-ilmu lain. Biarlah
penulisan mereka dikata sebagai gaya Pop dan tidak akademik sekalipun, asalkan
matlamat untuk mencetuskan rasa ingin tahu itu tercapai. Dan dari situ akan
terbuka pula ruang untuk perbincangan dan menarik minat lebih ramai orang untuk
membaca, mengkaji dan menyelami ilmu sejarah atau ilmu-ilmu lain dengan lebih
mendalam.
Namun ini hanya sekadar pendapat peribadi saya
sahaja, diharap tidak ada pihak yang akan tersinggung dengan pendapat ini.
Sekali lagi saya tegaskan yang saya bukan Sejarawan tetapi peminat Sejarah
seumur hidup. Sekian wallah hu a’lam.
~ASJ~
Assalamualaikum Wrt..
BalasPadamsetuju 100000000000000000000000% bro....
setuju sgt bro!!!
BalasPadamHati saya tak suka dengan gambar mahkota bersalib di atas
BalasPadambuatlah filem... br anak2 muda faham..
BalasPadamgov kene bg geran utk filem2 epik ni...
write history calmly
BalasPadamgejala internalize racism dlm kalangan anak muda melayu yg semakin menjadi-jadi sekarang antaralain adalah disebabkan maklumat sejarah sebenar tentang bangsa sendiri tidak sampai kepada mereka.
BalasPadamoleh itu pendekatan penulis-penulis sejarah amatur iaitu memasyarakatkan maklumat-maklumat sejarah kepada golongan marhaen yg tak tercapaikan oleh golongan akademik amatlah baik dan patut dibantu asalkan maklumat sejarah itu tidak bersalahan.
💪💪💪💪💪💪
BalasPadam