Isnin, 24 Disember 2012

ADA APA DENGAN CHIH TU





 



GAMBARAN BALAIRONG CHIHTU.
 

Salam. Seingat saya sudah beberapa kali cik Seri dari M.O telah menyebut mengenai kerajaan bertuah ini Chihtu. Namun demikian kerajaan ini masih memberi saya aura-aura misteri yang menyebabkan saya terpanggil untuk menulis sedikit ulangkaji atau ulasan mengenai kerajaan ini. Ada apa dengan Chihtu? Mengapa ia begitu penting dalam memahami sejarah Srivijaya, Funan dan Sailendra? Dan dimanakah Chihtu sebenarnya?

 
Sebenarnya para pembaca sekalian apa yang menyebabkan Chihtu menjadi sebuah kerajaan yang hebat dan penting untuk diketahui adalah kerana legasi yang ditinggalkannya. Legasi yang saya maksudkan adalah seperti yang saya sebutkan tadi iaitu ia melahirkan para pemerintah elit Srivijaya, Sri Dharmaraja, Sailendra dan beberapa lagi buah dinasti yang hebat-hebat. Tambahan lagi sepertimana yang dicatat oleh pengembara China ke kerajaan tersebut, Chihtu adalah sebuah kerajaan yang besar tamadunnya atau civilized. Ianya bukan sebuah kerajaan orang gasar yang tidak bertamadun dan ketamadunan Chihtu ini menyebabkan teori mengenai kelahiran raja-raja dinasti Funan adalah logik. Hal ini ditambah lagi apabila catatan dari dinasti Sui menyebut bahawa Funan diasaskan oleh orang-rang dari Chihtu dan Pan-pan.

 
Terlalu banyak teori tentang kedudukan kerajaan ini telah dikemukakan antaranya di India, Sumatera, Singgora, Vietnam, Kemboja dan semestinya Semenanjung. Teori yang dikemukakan oleh seorang pengkaji Cina Shen Fuwen pada tahun 2002 adalah diantara teori yang terkini. Namun teori beliau ini sebenarnya adalah pengukuhan kepada teori yang sebelum ini dipelopori oleh Kuwata Rokuro pada tahun 1921 yang meletakkan Chihtu di Semenanjung. Selain itu beliau juga menyatakan dengan jelas bahawa Chihtu adalah pemula bagi Srivijaya di mana elit-elit Melayu pemerintah Srivijaya berasal.

 

Hari ini mari kita mengembara ke Chihtu dan merasai sendiri apa yang dirasai oleh para utusan dari China. Kita akan melihat mengapa China sanggup menghantar utusannya ke sebuah negara asing yang jauh lebih kecil darinya dan apa yang mereka lihat dan menarik perhatian mereka di situ.
 

Beginikah pakaian diraja Chihtu
 

Semuanya bermula pada tahun 589 masihi dimana pada masa ini Dapunta Hiyang Jayanasa yang mengagungkan kerajaan Srivijaya di Palembang belum wujud lagi. Perlu anda ketahui bahawa kerajaan misteri yang bernama Chihtu ini hanya pernah disebut dalam catatan China sahaja tidak ada dalam catatan tempatan mahupun dari negara luar yang lain. Hal inilah yang menjadikan Chihtu sebuah subjek yang hangat untuk dikaji. Ianya bersifat terlalu misteri bagi saya. Pada tahun yang sama juga kerajaan dinasti Sui telah berjaya menawan dinasti Chen diselatan dan buat pertama kalinya dalam 400 tahun berjaya menyatukan semula negara China. Kerajaan Sui yang baru naik ini amat komited dengan hubungan antarabangsa dan perdagangan. Pada tahun 607 maharaja dinasti Sui telah menghantar dua orang duta ke kerajaan Chihtu sebagai balasan kepada duta yang dihantar Chihtu sekitar tahun 589. Rombongan Maharaja Sui telah membawa 5000 jenis hadiah yang berbeza untuk raja Chih tu, dan pada saat ketibaan rombongan ini, mereka dihidangkan dengan pelbagai barangan hasil tempatan sebagai hadiah pembalasan.

 

Kerajaan Chihtu disebut sebagai sebahagian dari kerajaan Funan, dan terletak di Laut China Selatan, dan ianya terletk 100 hari perjalanan melalui laut dari China. Sumber China menyebutkan bahawa nama kerajaan ini berasal dari warna tanahnya yang ‘sebahagian besarnya berwarna merah’. Seperti yang telah dikatakan saya, berdasarkan catatan China juga, lokasi Chihtu telah banyak diperdebatkan oleh para sarjana. Namun demikian lokasi yang paling sesuai adalah bahagian pantai timur Semenanjung Malaysia, di sekitar daerah hulu Sungai Kelantan. Selain dari pertimbangan umum, termasuk, geografi, iklim dan warna tanah, salah satu alasan utama untuk meletakkan lokasi Chih tu di Hulu Kelantan adalah apabila digambarkan bahawa  lokasinya boleh dicapai hanya selepas satu bulan perjalanan ke hulu sungai.


 Sungai Kelantan adalah pilihan yang paling sesuai kerana ia merupakan laluan air utama yang dilalui kapal-kapal bersaiz kecil dan sederhana untuk perjalanan lebih kurang 160 kilometer ke arah hulu, dan juga sebagai laluan utama ke lombong-lombong emas di Kelantan dan Pahang. Daerah ini dikenali sebagai Ulu Kelantan, telah dihuni selama sekurangkurangnya 10,000 tahun, sebagaimana dibuktikan dengan jumpaan pengebumian prasejarah di Gua Cha. Penyelidikan dan ekskavasi di Gua Chawas, Ulu Kelantan telah mendedahkan sejumlah besar jumpaan votive tablets Buddha Mahayana yang mungkin berasal dari zaman Srivijaya .Hal ini menjadikan lokasi Chihtu sebagai salah satu daripada lokasi awal Srivijaya yang amat sesuai.

 
GABARAN PAKAIAN DIRAJA SRIVIJAYA MENGIKUT PENGKAJI INDONESIA
 

Dalam penulisan Tatsuo Hoshino seorang pengkaji dari Jepun beliau menyatakan bahawa sesungguhnya Chihtu mempunyai kaitan rapat dengan Srivijaya. Beliau membuat kenyataan berikut adalah kerana terdapat catatan dari dinasti Tang yang mengaitkan Chihtu dengan empayar maritim tersebut. Ensaiklopedia pada zaman Tang sering menyebut Chihtu berserta dengan kerajaan Srivijaya. Menurut Hoshino, hal ini adalah berkemungkinan disebabkan terdapatnya indikasi bahawa kerajaan Chihtu diasaskan atau diperintah oleh etnik Melayu atau Cham.


 Dalam catatan China mengenai sistem pentadbiran Chihtu ada disebutkan bahawa jika mengikut ranking pembesar Chihtu yang terbawah sekali ianya dipanggil sebagai Pati. Dan menurut Hoshino, Pati adalah satu gelaran khas para pembesar dari kerajaan orang-orang Melayu seperti Champa dan Srivijaya. Selain itu dalam setiap catatan mengenai kedudukan Chihtu ada disebut tentang sebuah Pulau dalam bahasa Melayu iaitu Pulau Kas. Namun demikian Hoshino mempunyai pendapat yang berbeza dengan Ceodes dan Pelliot yang mengatakan bahawa Chihtu berada di semenanjung Tanah Melayu.

 

Sebaliknya dia percaya bahawa Chihtu berada di sebelah timur delta Mekong di Indochina berdekatan dengan Kampong Cham sekarang. Namun ini hanyalah salah satu daripada banyak teori-teori yang pernah diutarakan oleh ahli sejarah. Setakat ini semuanya masih samar-samar dan tidak ada satu teori yang dapat memberikan konklusi yang tepat. Apa yang pasti ramai sejarawan tidak bersetuju dengan teori beliau dan mengaggap ianya tidak benar sama sekali. Namun demikian apa yang penting tetang pendapat pengkaji Jepun ini adalah terdapatnya bukti bahawa adanya perkaitan awal diantara Srivijaya dengan Chihtu dan wujudnya kelas pemerintah Melayu di Chihtu.

AGAKNYA BEGINILAH DUTA SUI DIARAK KE ISTANA.
 

Berbalik kepada rombongan dari Sui, semasa rombongan dari China ini sampai di muara sungai untuk ke Chihtu, mereka telah disambut oleh seorang pembesar Brahmin yang bergelar Kumara berserta dengan 30 buah kapal besar yang diiringi dengan bunyi-bunyian dan paluan gendang. Apabila sampai di ibu kota Chihtu, duta China tersebut disambut mesra oleh raja dan putera mahkotanya. Duta China ini telah diarak dengan dua ekor gajah bererta dengan para pengawal yang memegang payungan yang terbuat dari bulu merak bagi menyambut kedatangan tetamu kehormat. Lebih dari seratus orang lelaki dan wanita memainkan alat musik yang terbuat dari cengkerang dan memalukan gendang yang diketuai oleh dua orang Brahmin.

 
Banyak aspek sosial-politik dan budaya kerajaan Chihtu dijelaskan dalam catatan China hasil daripada kunjungan mereka ini. Menurut sumber tersebut, kerajaan ini diperintah oleh keluarga yang dikenali sebagai Chudan. Raja Chihtu, Li fo duo se, menaiki takhta ketika ayahnya melepaskan takhtanya untuk menyebarkan ajaran Buddha kepada dunia. Pada saat kunjungan utusan Maharaja Sui, raja Chihtu telah memerintah selama 16 tahun dan mempunyai tiga isteri yang merupakan puteri raja tetangga. Perhatikan nama raja ini, sebutan Cina ini ada persamaan dengan sebutan sanskrit bagi Srivijaya!

LUKISAN BODHISATVA
 

 Istananya dikatakan terletak di hulu Seng zhi yakni ibu kotanya dan digambarkan mempunyai ‘tiga gerbang yang terletak lebih dari seratus langkah setiap satu’, dilukis dengan gambar Bodhisattva dan digantung dengan bunga dan loceng. Gerbang ini dikawal oleh empat orang lelaki berpakaian seperti raksasa penjaga gerbang (seperti yang terdapat pada kuil-kuil Buddha di Thailand sekarang). Terdapat juga berpuluh-puluh wanita yang memegang panji-panji dari bunga-bunga emas dan ada juga yang bermain musik. Mereka yang ditempatkan di luar gerbang dilengkapi dengan senjata, manakala yang tinggal di dalam kota memegang kain putih dan jaring putih untuk mengumpul bunga. Istana ini dikatakan  mempunyai beberapa pavillion dan tingkat. Menarik bukan budaya orang melayu pada zaman dahulu. Sekarang cuba anda bayangkan dengan minda anda betapa grand dan cantiknya istana dan kota Chihtu yang berlukis dengan lukisan-lukisan Buddha seperti yang anda bisa lihat di Tibet.
 

MUNGKIN ISTANA CHIHTU JUGA SEHEBAT INI. SENIBINA MYANMAR INI ADA KAITAN DENGAN SENIBINA MELAYU KUNO.
 

Berdasarkan rekod Dinasti Sui lagi, kekayaan kerajaan Chihtu dapat dilihat ketika rombongan China tiba di sana. Rombongan tersebut terkejut melihat kekayaan yang dimiliki oleh kerajaan Chihtu termasuklah tiga puluh buah kapal besar dan beratus orang hulubalang yang mengawal istana. Chihtu mempunyai satu sistem pemerintahan yang teratur termasuklah pentadbiran di peringkat daerah. Hasil keluaran negeri ini adalah pelbagai antaranya ialah beberapa jenis fabrik berwarna seperti berwarna kuning keemasan, berwarna awan pagi, pelbagai jenis kain kapas berwarna dan lain-lain. Tambahan lagi bumi Chihtu turut mengeluarkan padi, kekacang, bijan hitam, arak tebu, arak kelapa dan banyak lagi yang sentiasa mendapat permintaan yang tinggi.


Pada hari yang sama raja telah menghantar anaknya Nayaka untuk melayan utusan dari Sui ini. Beberapa orang suruhan lelaki telah dihantar untuk membawa sedulang emas bunga-bunga wangi , cermin dan peralatan dari emas serta dua balang minyak wangi, lapan gurik air wangian dan empat helaian panjang kain kapas putih dan semua ini hanya untuk mandian para duta. Pada hari yang sama kemudiannya pula Nayaka telah menghantar dua ekor gajah yang membawa beberapa buah payungan terbuat dari bulu merak yang indah serta bunga-bungaan emas dan surat watikah dalam dulang emas sebagai tanda menyambut kedatangan mereka. Setelah selesai semua upacara ini barulah mereka berangkat ke balairung seri. Setelah selesai bertukar watikah di balairung seri rombongan duta Sui ini diiringi untuk ke kediaman penginapan mereka. Di sini para Brahmin telah dihantar untuk menyajikan makanan kepada mereka. Makanan yang disajikan dikatakan dihidang diatas tikar dari daun yang sebesar 10 kaki persegi.
 


 

Mengenai istana Chihtu, dikatakan bahawa kesemua pintu yang terdapat pada bangunan istana adalah menghadap kearah utara. Takhta atau peterana tempat bersemayam raja dibuat berlapis tiga tingkatan yang juga menghadap kearah utara. Setiap hari raja akan bersemayam di takhta tersebut dengan memakai sejenis jubah berwarna merah mawar dan baginda memakai pelbagai kalung dan perhiasan dari emas. Mahkotanya dihiasi dengan pelbagai bunga-bungaan yang terbuat dari emas dan bertatahkan pelbagai hiasan daripada batu-batu permata. Di sisi kanan dan kirinya ada empat orang wanita. Dikatakan juga pengawal yang terdapat di dalam balai tersebut adalah lebih dari seratus orang. Di belakang takhta raja wujud seakan-akan gerbang yang diperbuat daripada lima jenis kayuan wangi yang disepuh dengan emas dan perak, serta dibelakang gerbang tersebut terdapat sebuah disk logam yang berbentuk seperti api yang menyala yang turut diperbuat dari emas yang berkilauan.

 

TIDAK MUSTAHIL BEGINILAH RUPA BALAIRONG ISTANA CHIHTU.
 

Di setiap sisi takhta bertingkat tersebut terdapatnya dua buah cermin dari logam berwarna perak dan di hadapan setiap cermin ini terdapat setempayan emas manakala dihadapan tempayan emas tersebut pula adalah sebuah dupa dengan kemenyan yang dibakar yang juga diperbuat dari emas tulin. Di tingkat bawah sekali peterana diraja tersebut terdapat patung seekor lembu jantan yang diperbuat dari emas dan dilitupi dengan payungan. Terdapat juga pelbagai jenis kipas-kipas berharga di sekeliling peterana atau takhta tersebut. Daripada diskripsi tersebut juga kita boleh dapati bahawa istana atau balairong tersebut adalah besar sehingga boleh memuatkan lebih dari seratus orang Brahmin dan para pembesar serta pengawal yang lain. Dikatakan bahawa para Brahmin duduk bersila menghadap satu ama lain dalam dua barisan di sisi balairong dan terdapat beberapa lapisan pembesar yang mempunyai tugas masing-masing. Kedudukan seperti ini adalah selari dengan kedudukan tempat duduk para pembesar di zaman Melaka yang merupakan warisan Srivijaya yang dinamakan sebagai Naga-naga. Hal ini berbeza dengan cara duduk para menteri dan bangsawan thai yang duduk dihadapan raja memenuhi ruang balairung.
 

 
Para guo ji atau pentadbir tertinggi adalah mereka yang menyusun dan menyenaraikan pegawai-pegawai yang berjawatan dalam pentadbiran raja, mereka ini boleh disamakan dengan pembesar berempat. Ini termasuk mereka yang ditugaskan untuk mengatur urusan politik dan satu lagi untuk menjalankan pentadbiran undang-undang jenayah. Chihtu juga mengawal dan berkuasa terhadap beberapa kerajaan lain di mana pentadbiran dikendalikan oleh mereka yang dilantik oleh raja. Catatan dari utusan Maharaja Sui ini juga menyatakan bahawa adalah menjadi satu adat bagi laki-laki dan perempuan di Chihtu untuk menindik telinga, mengurapi tubuh mereka dengan minyak wangi, dan memakai bunga mawar dan kain berwarna polos.

 

 Para wanitanya memakai sanggul di rambut yang kelihatan terjuntai di bahagian tengkuk. Sanggul seperti ini adalah satu tradisi bagi para wanita melayu terutama di Semenanjung dan Jawa berbanding sanggul tinggi yang dipakai orang Thai dan Khmer. Namun demikian rakyat harus mendapatkan izin dari raja untuk memakai loket emas yang istimewa, bahkan keluarga kaya juga harus mendapatkan kebenaran kerajaan untuk hak istimewa ini. Upacara Pernikahan pula dilakukan pada hari yang difikirkan bertuah dan diberkati mengikut ajaran agama mereka. Keluarga pengantin wanita dirayakan selama lima hari sebelum upacara perkahwinan. Pada hari ketujuh, upacara perkahwinan diselesaikan dan pengantin bersatu. Setelah berkahwin, pasangan itu berpindah ke sebuah rumah yang berasingan. Namun,jika yang berkahwin itu adalah putera bongsu maka ia diwajibkan untuk tinggal bersama ayahnya.
 

GAMBAR HIASAN JE
 

Jika berlakunya kematian sama ada salah satu orang tuanya atau adik-beradiknya, orang yang berkabung akan mencukur kepala mereka dan memakai pakaian yang polos dan terang. Tubuh si mati akan dibakar di atas tempat pembakaran yang diperbuat daripada buluh dan diletakkan di atas sungai dengan tujuan apabila mayat dibakar abunya akan jatuh ke sungai. Upacara pembakaran mayat itu disertai dengan dupa atau kemenyan dan peniupan bunyi-bunyian daripada cangkerang yang berlingkar dan paluan bunyi gendang.


Upacara pembakaran mayat dengan kaedah ini diguna pakai untuk para bangsawan kelas atasan dan juga rakyat jelata, tetapi abu raja dipelihara dalam botol emas dan disimpan di sebuah kuil. Kepercayaan agama mereka dilaporkan sebagai Buddha, tetapi masyarakat Chihtu lebih mengabdikan diri mereka kepada para Brahman yang menunjukkan bahawa kepercayaan Hindu juga mempunyai pengaruh yang kuat dalam masyarakat seperti mana amalan pembakaran mayat dilakukan. Hal ini bukanlah perkara yang luar biasa di asia tenggara kerana kebanyakan kerajaan disini mengamalkan ajaran Hindu-Buddha.


Makanan utama masyarakat Chih tu adalah nasi dan catatan China ada menyebut semasa majlis keraian dijalankan terhadap rombongan Maharaja Sui, mereka dihidangkan dengan kek atau kuih yang berwarna kuning, merah, putih dan ungu ( mungkin prototaip awal kuih lapis?) bersama-sama dengan daging lembu, daging kambing, ikan, penyu, dan kerbau pendek. Putera Raja Chih tu Na ya jia atau Nayaka kemudiannya mengiringi rombongan Maharaja Sui kembali ke China dengan membawa hadiah-hadiah berupa barangan hasil keluaran tempatan dan ini termasuklah mahkota emas berbetuk bunga raya dan kapur barus sebagai ufti kepada Maharaja. Hadiah ini sebagai balasan kepada pemberian Maharaja Sui kepada Raja Chih tu dan tanda bermulanya hubungan diplomatik dengan Maharaja China tersebut.


Daripada diskripsi di atas kita dapat bayangkan betapa maju dan mewahnya kerajaan Chihtu. Hal ini menjadi bukti bahawa ketamadunan bangsa Melayu sememangnya telah lama bertapak di Nusantara dan tidak dapat disangkal lagi. Adakah dari kerajaan ini Dapunta Hiyang Jayanasa berlayar untuk menawan Palembang dan membentuk Srivijaya? Sekian wallah hu a’lam.

 

 

Ahad, 23 Disember 2012

REALITI FILEM SEJARAH




 

Salam kepada para pembaca sekalian. Hari ini saya hendak menyampaikan satu lagi keluh kesah tentang nasib sejarah dan filem-filem berunsur sejarah di negara kita. Sudah-sudahlah dengan Putri Gunung Ledang dan Merong Mahawangsa yang lansung tidak boleh dipakai rujuk untuk pengajaran sejarah anak bangsa. Industri filem berbentuk sejarah di negara ini memang lansung tak boleh pakai. Saya malu dengan kehebatan industri film berunsur sejarah dari negara-negara jiran. Saban tahun ada sahaja filem berunsur sejarah yang dihasilkan mereka.


Baru-baru ini saya dapat tahu bahawa Thailand sedang membikin filem sejarah tentang seorang tokoh yang agak hebat dalam sejarah Asia Tenggara iaitu Ratu Jamadewi. Mungkin ada daripada anda yang kenal dengan nama ini sekiranya anda peminat tegar artikel-artikel dari Mistisfile kerana Srikandi ada menyebut tentang Ratu ini. Namun kalau anda hendak tahu Ratu Jamadevi sebenarnya bukan orang Thai, tetapi beliau adalah orang Mon. Mengapa agaknya pembikin filem Thai mahu membuat filem tentang orang Mon ye? Nah inilah sebenarnya rahsia kejayaan Thai mencuri kebudayaan dan kesenian serta sejarah negara lain. Dengan cara ini orang yang tidak tahu lansung tentang sejarah Thai akan kata…oh hebat betul negara Thailand kerana melahirkan ramai tokoh-tokoh gemilang sepanjang zaman. Sebagai contoh dalam kes filem Queen of Langkasuka dahulu, mati-mati orang negara luar terutama barat ingat permaisuri-permaisuri yang memerintah Pattani atau Langkasuka dalam filem tersebut adalah berbangsa Thai dan bukan Melayu. Tak ke parah tu para pembaca sekalian!

 
Nah! Kali ini Ratu lagenda Mon pula dikebas mereka sebab apa ? sebab kerajaan Haripunjaya yang diasaskan oleh ratu tersebut sekarang kawasannya berada di bawah wilayah Thailand. Saya bukannya apa, sebenarnya saya iri hati dengan kesungguhan mereka menghasilkan filem-filem berunsur sejarah tidak kisah lah mereka curi sejarah orang atau tidak asalkan mereka ada inisiatif. Penghasilan filem-filem berunsur sejarah dan patriotik sememangnya amat digemari oleh rakyat Thailand sebagai contohnya siri Filem King Naresuan yang mendapat kutipan berjuta-juta dalam masa beberapa minggu sahaja. Kebanyakan rakyat Thailad bersetuju bahawa filem-filem tersebut membangkitkan semangat cintakan bangsa dan negara mereka serta meningkatkan lagi kesetiaan rakyat Thailand terhadap pemerintah monarki mereka. Sepatutnya negara kita mencontohi apa yang dibuat mereka tersebut supaya tiada lagi kes rakyat menghina Sultan dan mencemuh sejarah negara serta lain-lain.


Manakala di negara tetangga bersaudara kita diseberang pula saya dapat maklumat akan ditayangkan filem tentang Srivijaya! Wah ini suatu yang saya tunggu-tunggu selama ini. Jika Malaysia tak buat Indonesia sendiri dah buat pun saya tak kisah asalkan kita dapat keluar dari kepompong filem-filem sejarah Majapahit, Singasari dan Demak seperti Tutur Tinular yang dah beratus-ratus episod serta kisah-kisah Wali Songo yang dah berpuluh-puluh versi ditayangkan di pawagam Indonesia. Namun burung terbang dipipiskan lada, disangka panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari. Harapan saya hacus! apabila saya membaca satu artikel keluaran akhbar Indonesia yang mengkritik pembikinan filem tersebut. Mengapa dikritiknya?

 
Sebenarnya yang mengkritik itu bukan sembarangan orang tetapi para sejarawan dan ahli-ahli arkeologi Indonesia yang pakar tentang kerajaan Srivijaya. Mengapa mereka kritik? Kerana filem itu lansung tidak mengikut peristiwa sejarah yang sebenar malahan tajuknya yakni Gending Sriwijaya sudah menggambarkan kekeliruan pembikin filem tentang sejarah kerajaan kuno tersebut menurut para pengkaji yang tidak berpuas hati itu. Mereka mendesak agar pihak produksi berbincang dahulu dengan mereka supaya plot dan jalan ceritanya tidak lari jauh dari peristiwa sejarah sebenar. Malahan menurut mereka lagi kostum yang dipakai para pelakon juga adalah tidak kena sama sekali dengan zaman Srivijaya. Filem ini seolah-olah mahu memperlekehkan orang Melayu. Ini berbeza sangat dengan sikap mereka apabila membikin filem berlatarbelakangkan Zaman Majapahit atau kerajaan-kerajaan Jawa yang lain.
 
AIK!! ZAMAN SRIVIJAYA DAH ADA PISTOL KE?


Apa yang lebih menyedihkan adalah filem ini diiklankan sebagai sebuah filem berbentuk dokumentari. Hal ini amatlah merunsingkan bagi para peneliti sejarah Indonesia kerana bagi masyarakat yang tidak mengerti tentang sejarah Srivijaya sudah pasti mereka akan terpengaruh dengan apa yang dipaparkan dalam filem tersebut! Jika filem tersebut hanya untuk hiburan dan tidak dikatakan sebagai sebuah filem berbentuk dokumentasi maka itu tidak apa. Tetapi apabila ia menjadi bentuk dokumentari maka adalah menjadi kewajipan pembikin filem tersebut untuk membuat research atau kajian mendalam tentang filem yang akan dibuatnya supaya tidak menjadi satu kekilafan fakta dalam masyarakat terutama orang muda dan rakyat yang tidak mempunyai pendidikan yang tinggi.


Walau apa-apa pun saya tetap rasa gembira dan teruja untuk menonton filem tersebut kerana daripada tidak ada apa-apa lebih baik ada walau sakit hati mungkin pabila menontonnya nanti. Gamaknya bilalah Malaysia akan hasilkan Filem tentang kerajaan Kedah tua ke, Chihtu ke, atau Sriwijaya versi Malaysia mungkin…J agaknya kena tuggu saya kumpul duit sampai 100 juta dulu kot baru saya akan terbitkan filem sejarah saya sendiri…J Itu sahaja keluh kesah dari pendita. Selamat malam bagi yang baca malam dan selamat pagi bagi yang baca pagi. Sekian wallah hu a’lam

 

Jumaat, 14 Disember 2012

PERANG KASTILAN: MELAYU VS SEPANYOL





 

Tercatat didalam  Jurnal Muzium Brunei  1986 sebuah artikel yang ditulis oleh John S Carroll bertajuk "Francisco de Sande's Invasion of Brunei in 1578: An Anonymous Spanish Account". Apa yang menarik mengenai artikel ini adalah kerana ia menegaskan mengenai satu sumber berbentuk documen yang menceritakan tentang peristiwa perang Kastilan. Perang ini adalah satu perang yang menjadi pengajaran kepada orang-orang Sepanyol bahawa orang Melayu bukanlah selemah orang-orang Aztec yang berjaya mereka tawan dengan mudah.


Zaman kegemilangan Brunei berterusan setelah kewafatan Sultan Bolkiah pada tahun 1524 yang dianggap sebagai bapa kemakmuran kesultanan Brunei. Penggantinya Sultan Abdul Kahar juga telah berjaya meluaskan kawasan jajahan takluk Brunei sehingga ke seluruh pelusuk pulau Borneo, Palawan, Sulu, Balayan, Mindoro, Bonbon, Balabak, Balambangan, Bangi, Mantanai dan Luzon. Dengan pesatnya pembangunan dan perdagangan di Brunei maka semakin ramai para pedagang Brunei yang berdagang keluar sambil menyebarkan agama Islam sehingga ke kepulauan Filipina. Pada masa tersebut Brunei dikenali sebagai pusat penyebaran Islam yang terkenal di sebelah timur Laut Cina Selatan.

Istana sultan Brunei di kampong Ayer
 

Sejak pada peringkat awal kedatangan Sepanyol lagi Brunei telah dilihat mereka sebagai sebuah kerajaan yang besar dan kuat. Oleh sebab itulah ketika Ferdinand Magellan mula-mula sampai di Brunei mereka tidak berani untuk berbuat apa-apa sebaliknya mengalihkan pandangan mereka ke pulau Luzon untuk bertapak. Kedatangan Sepanyol di rantau ini dilihat oleh sejarawan sebagai satu misi keagamaan untuk menyebarkan ajaran Kristian lebih daripada tujuan untuk menguasai ekonomi. Kita dapat lihat bahawa gereja Katolik memainkan peranan yang besar dalam ekspedisi mereka.  Dalam usaha mereka untuk menyebarkan ajaran Kristian inilah mereka melihat Brunei sebagai batu penghalang yang paling besar sekali. Hal ini adalah disebabkan Brunei adalah sebuah kerajaan Islam dan banteng kuat agama tersebut yang juga bersifat agama dakwah seperti kristian yang cuba disebarkan Sepanyol. Mereka berpendapat Islam adalah sama seperti barah yang merebak dan merbahaya serta perlu dihapuskan segera.

 
Menurut dokumen yang ditemui di Archivo General de Indias in Seville yang berada di Sepanyol, Kampong Ayer yang terletak di pelabuhan Brunei adalah sangat besar. Menurut mereka, kawasan tersebut adalah yang terbesar pernah dilihat mereka dan dikatakan anggaran rumah penduduk disitu lebih kurang lima ke enam ribu buah termasuk rumah-rumah kaum bangsawan dan kerabat diraja yang besar-besar dan mewah. Apa yang lebih menarik, dokumen tersebut turut menyatakan bahawa terdapat sistem penyaliran air bersih yang teratur dan agak canggih di perkampunya air ini. Dikatakan bahawa setiap rumah mempunyai sumber air bersih dari kawasan bukit atau gunung di daratan yang disalurkan dengan paip-paip. Air ini disalurkan kebawah rumah mereka dan akan diangkut dengan bejana atau buluh apabila mereka hendak menggunakannya.

 

Rumah-rumah di kota Brunei atau Kampong Ayer dibina dengan lorong-lorong dan jalan yang lurus. Setiap lorong ada namanya dan setiap lorong ada jalan untuk keluar sama seperti sistem jalan yang ada di daratan. Di kawasan darat berdekatan kaki bukit wujud lembah-lembah yang subur dan ditanam dengan tanaman kelapa dan dusun buah-buahan.


Dokumen ini turut menyentuh tentang masjid yang terdapat di Kota Brunei.  Masjid tersebut diperbuat daripada kayu tetapi ianya sangat tinggi dan besar. Dikatakan masjid ini ada lima tingkat namun sejarawan berpendapat yang bertingkat adalah bumbungnya sahaja seperti sebahagian besar masjid di seluruh nusantara. Mengenai raja atau sultan pula dinyatakan bahawa baginda mempunyai lebih dari satu istana dan gudang-gudang tempat menyimpan senjata dan harta bendanya. Istananya dihias cantik bersepuh emas dan beratap jubin. Disebut juga tentang koleksi kitab-kitab milik sultan


Selain dari bermatlamat untuk menyebarkan Kristian mereka juga bermatlamat untuk mengembangkan pengaruh dan prestij Raja Sepanyol. Tambahan lagi melalui surat yang dihantar kepada Sultan dapat dilihat bahawa mereka dengan sombong mengatakan bahawa rakyat Brunei adalah barbarik dan perlu ditamadunkan dengan cara barat.
 


Seperti yang telah diketahui, titik tolak kepada konflik diantara sepanyol dan brunei ini berkisar atas sepucuk surat yang ditulis oleh Dr Francisco de Sande untuk sultan. Antara kandungan surat ini adalah ia mendesak Sultan Saiful Rijal supaya tidak menghantar pendakwah-pendakwah Islam ke kepulauan Filipina dan Borneo lagi dan membenarkan paderi katolik masuk menyebarkan Christian di Brunei.  Kandungan surat tersebut turut menghina agama Islam dengan mengatakan bahawa agama Islam adalah agama sesat yang jahat dan agama Kristian adalah agama yang sebenar. Setelah membaca kandungan surat yang angkuh ini Sultan Saiful Rijal berasa amat marah dan terhina lalu mengoyak-ngoyakkan surat tersebut. Bagi Sultan Saiful Rijal, penghinaan pihak Sepanyol terhadap agama Islam adalah sesuatu yang amat biadap. Jika kita membaca penulisan dari sejarawan barat tentang perkara ini akan kita dapati bahawa mereka menggambarkan yang Sultan Saiful Rijal bertindak agressif tanpa sebab musabab yang munasabah. Sebaliknya sekarang kita tahu mengapa sultan begitu marah dengan Sepanyol, ia adalah kerana Sepanyol dengan terang-terangan menghina Islam.


Brunei tidak sesekali berpeluk tubuh sahaja dalam hal ini. Tindakan Sepanyol menyerang kaum muslimin di Filipina seperti di Luzon dan Sulu dan Cebu adalah suatu ancaman dan penghinaan terhadap kedaulatan Brunei sendiri. Hal ini adalah kerana keluarga diraja Sulu dan Luzon adalah bersaudara dengan mereka.  Akhirnya ketegangan yang berlaku diantara kerajaan Brunei dan Sepanyol ini membawa kepada peperangan yang terkenal dengan panggilan Perang Kastilan.

 
Ianya bermula Pada tahun 1564 apabila angkatan Sepanyol yang diketuai oleh Miguel Lopez de Legazpi telah berlayar ke Pulau-pulau di Filipina melalui lautan Pasifik dan tiba di Cebu pada 13 Febuari 1565. Pada mulanya, mereka tidak dapat mendarat di Cebu kerana tentangan pahlawan Islam Cebu. Kemudian mereka meneruskan perjalanan ke Mindanao dan mendapat tentangan daripada pahlawan Islam di sana pula. Dalam keadaan terdesak pada 27 April 1565 mereka berpatah balik ke Cebu dan menyerang Cebu semula.

 


Cebu akhirnya dapat ditundukkan, kemudian, mereka bergerak ke Luzon. Dalam tahun 1570 Legazpi telah Cuba menduduki Manila yang diperintah oleh Raja Sulaiman yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan sultan Brunei tetapi tidak berjaya. Pada tahun 1571 Sepanyol datang lagi ke Manila dan menyerangnya. Raja Sulaiman mempertahankan wilayah Islam Manila dengan hebatnya namun baginda akhirnya telah syahid di dalam pertempuran yang berlaku pada 3 Jun 1571 itu. Pada tarikh tersebut de Legazpi berjaya menduduki Manila dan mengisytiharkan bahawa Manila sebagai pusat pemerintahan Spanyol di timur. Keturunan Raja Sulaiman beberapa kali cuba menawan kembali Manila tetapi tidak berjaya. Seperti halnya di Manila, bermula dari situ, maka satu persatu wilayah Islam Filipina ini dihapuskan.


Pada Mac 1578, Dr. Francisco De Sande Kapten Sepanyol di Manila bertolak ke Brunei dengan 40 kapal perang yang diketui oleh kapal Santiago. Ia sampai ke perairan Brunei dan mengutuskan surat kepada Sultan Saiful Rijal meminta baginda menerima pederi Kristian. Baginda bertegas untuk tidak menerimanya. Baginda tidak mahu mengalah kepada musuh Islam yang nyata. Hasilnya, pada 14 April 1578 de Sande melanggar Brunei. Dengan serta merta armada Brunei membedil kapal-kapal perang Brunei yang sebanyak 50 buah secara tiba-tiba. Askar-askar Brunei yang tidak bersedia tidak dapat berbuat apa-apa apabila armada mereka hangus terbakar dan tentera Sepanyol menyerang kampong air. Istana sultan akhirnya dapat ditawan dan semua harta benda sultan dan penduduk dijarah mereka. Namun sultan dan para pengikutnya berjaya melarikan diri ke Jerudong. Setelah ke Jerudong sultan kemudian berpindah pula ke satu tempat dinamakan Pulau Raja. Bendahara Sakam yang mengiringi Sultan kemudian kembali ke Brunei dan menghimpunkan pahlawan-pahlawan Islam.


Dalam catatan barat ada disebut bahawa mudahnya serangan terhadap Brunei oleh Sepanyol adalah disebabkan oleh pembelotan dua orang pembesar Brunei yang tidak berpuas hati dengan Sultan. Namun perkara ini tidak dapat disahkan sepenuhnya walaupun ada catatan Sepanyol mengenainya. Pada 1578, Pengeran Bendaraha Sakam memimpin serangan kembali ke Brunei dengan lebih daripada 1000 orng pahlawan. De Sande dapat dikalahkan dan lari meninggalkan Brunei. Pasukannya dikejar sehingga ke Nausung (Sabah). Pada peringkat ini ada dua versi sejarah yang bertentangan.


Dalam catatan Sepanyol pihak Sepanyol tidak menyebut langsung mengenai serangan balas yang dilakukan oleh Bendahara Sakam tersebut sebaliknya tentera Sepanyol dikatakan terpaksa kembali ke Manila dan meninggalkan Brunei kerana mereka keracunan air dan mendapat penyakit taun dan cirit-birit yang teruk sehinggakan ramai diantara tentera mereka mati.  Namun dalam sejarah tempatan kisah Bendahara Sakam ini memmang tidak asing lagi. Persoalannya adakah pihak Sepanyol sengaja menutup kisah yang sebenar untuk mengelak daripada menanggung malu kerana kekalahan mereka di tangan kaum yang dianggap tidak bertamadun? Atau mereka memang mati cirit-birit? Saya tinggalkan persoalan ini untuk anda fikirkan.


 Sebelum mereka meninggalkan Brunei pihak Sepanyol yang berasa marah dan geram tersebut dengan sengaja telah membakar Masjid agung Brunei. Mereka membakar masjid dan memusnahkan Makam Sultan Bolkiah. Banyak harta rakyat dan Sultan diambil sekali. Pada 4 Mac 1579 Sepanyol datang lagi diketuai oleh Kapten Don Juan Arce de Sadornil. Walaubagaimana pun akhirnya mereka berundur kerana melihat pertahanan muslim Brunei yang sekali-kali tidak pernah mahu mengalah walau hanya menerima paderi di bumi Brunei. Brunei kali ini memang telah bersedia dengan angkatan mereka. Hal ini menggerunkan sepanyol.


Berikutan kekalahan de Sande di Brunei, dia memerintahkan Kapten Estaven Rodriguez de Figure meneruskan perjalanan ke Sulu dan menawan Sulu agar dapat menyekat pengaruh Islam dari Brunei. Serangan ke atas Sulu berjaya apabila Raja Sulu menyerah diri kepada Sepanyol. Kemudian de Sande memerintahkan agar armada ini menawan Mindanao. Tujuannya adalah untuk melemahkan kerajaan-kerajaan di sekitar Brunei dan pengaruh Islam yang dipimpinnya dan seterusnya meneruskan operasi dakwah Kristian. Kapten Estaven Rodriguez tidak mampu untuk menundukkan Mindanao yang lebih hebat dipertahankan oleh orang-orang Melayu Islam disana. lalu dikirimkan pula Panglima baru iaitu Kapten Gabriel de Revira pada 1579. Apa yang berlaku di Brunei turut berlaku di Mindanoa. Mereka membakar masjid Mindanao. Hal ini menunjukkan betapa bencinya orang-orang Sepanyol terhadap Islam. Di Mindanao Sultan Dimansaky menentang Sepanyol. Pada peringkat awal Sultan terpaksa berundur ke pendalaman. Pada kurun ke 17, Sultan Kudrat pula mengetuai muslimin di Mindanao.

 
Sepanyol silap di dalam menilai orang Brunei. Padanya ia selemah orang Manila yang setelah ditawan terus dapat menerima telunjuk Sepanyol termasuk penyerapan paderi dan agama Kristian. Tetapi rupanya, kebangkitan pahlawan Brunei berterusan sehingga terusirnya Sepanyol dari bumi Brunei. Saya memetik kata-kata Ustaz Amin, ‘Apa yang terjadi kepada Brunei dan apa jadi pada Manila dan Sulu? Brunei tetap mengekalkan keadaan Islamnya tetapi Manila hanya tinggal sejarah’. Kenapa Brunei boleh bertahan? Ini kerana, sejak awal mereka tidak mengizinkan langkah pertama, tidak menyerah walau sejengkal, tidak berganjak walau sedikiti pendirian mereka.


Pada tahun 1586 kerajaan Sepanyol di Manila serta ahli-ahli penasihat kerajaannya telah mengutuk tindakan yang dilakukan oleh De Sande. Kerajaan Sepanyol telah mengarahkan agar segala harta benda, kapal-kapal dan senjata-senjata api yang dirampas semasa penyerangan Brunei dipulangkan kembali kepada kerajaan Brunei dan satu dekri telah dikeluarkan agar De Sande berserta konco-konconya membayar ganti rugi. Tindakan kerajaan Sepanyol ini masih menjadi tanda tanya. Adakah ia benar-benar dilaksanakan atau hanya diatas kertas sahaja. Jika ianya benar ini membawa maksud bahawa kerajaan Sepanyol mengiktiraf kedaulatan kerajaan Brunei dan takut sekiranya permusuhan dengan Brunei akan merugikan mereka kelak. Hal ini dapat dibuktikan apabila beberapa tahun kemudian satu delegasi secara aman dari kerajaan Sepanyol di Manila telah dihantar ke Brunei bagi membincangkan hal ehwal perdagangan diantara kedua buah kerajaan. Sekian wallah hu a’lam.

 

Kredit kepada : Rozlan Yusouf dan Ustaz Amin

Isnin, 10 Disember 2012

SEJARAH REALITI DI ALAM FANTASI





Salam sejahtera dan salam hormat kepada para pembaca sekalian. Hari ini saya nak memaparkan satu perkara yang amat melucukan bagi saya. Walaupun sebelum ini saya rasa dah malas dah untuk melayan artikel-artikel mengarut yang ditulis mereka namun sejak hari ini tergerak pulak rasa hati untuk menjernihkan semula keadaan yang dikeruhkan oleh si pengarut Nai Megat Tarmizi ini sebelum ramai lagi orang buta sejarah yang percaya bulat-bulat dengan penulisan beliau.

Apa yang menyebabkan saya berasa lucu adalah paparan-paparan foto yang diletakkan di tepi blog beliau Kedah Cyber Seabury. Jika anda membuka blog tersebut maka anda akan dapat lihat terdapat beberapa gambar pelakon yang memakai seolah-olah serban. Nah! saya tahu dimana cik Megat mengambil gambar ini secara spesifiknya. Gambar yang menunjukkan seseorang yang memakai serban itu sebenarnya bukanlah satu bahan bukti yang mengesahkan bahawa kerajaan Thai Ayuthia adalah sebuah kerajaan Islam , sebaliknya gambar tersebut adalah gambar seorang pelakon siam yang melakonkan watak sebagai seorang putera Burma! Tanpa disedar oleh dirinya sendiri mungkin saudara megat telah tersalah langkah dengan meletakkan gambar tersebut kerana saya telahpun menonton filem tersebut di Youtube. Apa sebenarnya tujuan beliau meletakkan gambar itu di situ. Adakah kerana headgear orang Burma yang berbentuk seakan-akan serban itu dikatakan bahawa ia adalah gambaran keislaman kerajaan Ayuthia?


INIKAH YANG DIKATAKAN SEBAGAI SERBAN ORANG ISLAM AYUTHIA


INI SERBAN BURMA LA CIK MEGAT!

Pelik dan agak melucukan apa yang dibuat beliau ini…:DDD. Nampaknya cik Megat perlu belajar lebih jauh lagi tentang sejarah pakaian tradisional orang-orang Burma. Agaknya apabila dilihat orang Burma memakai kain pelikat seperti kita akan dikatanya bahawa orang Burma itu Islam. Rasanya tidak perlu saya terangkan bahawa memang pakaian tradisional Burma adalah berkain pelikat bagi lelakinya dan juga memakai sejenis headgear yang seakan-akan serban. Malahan sehingga hari ini kita bisa lihat pemakaian pakaian tradisional ini dalam majlis parlimen mereka.


LIHATLAH AHLI-AHLI PARLIMEN BURMA INI MEMAKAI SERBAN DAN KAIN PELIKAT. ADAKAH MEREKA ISLAM? JIKA ISLAM MENGAPA DIBUNUHNYA MUSLIM ROHINGYA? CUBA JAWAB CIK MEGAT!





Selain itu satu lagi perkara yang melucukan mengenai artikel terbaru yang ditulis Beliau ialah dengan adanya paparan sebuah lukisan lama yang menggambarkan kedatangan Captain Samuel Wallis (1728-1795) ke Tahiti dengan disambut oleh Permaisuri pemerintah Tahiti pada waktu tersebut. Jika anda melihat dengan teliti lukisan ini anda akan dapat memerhatikan ada beberapa orang tentera yang memegang bayonet dan tombak berada di belakang Kapten Wallis. Nah! Inilah dia tentera jubah putih Sultan Nai Merong Ali Albani pemerintah Australia jika anda nak tahu!! Itulah kata Megal Al Jefri. Hnya kerana mereka mempunyai topi yang berbentuk kon dan pakaian yang dianggapnya berwarna putih. Sebenarnya pembaca sekalian lakaran tersebut adalah tidak tepat malahan ada banyak lagi lukisan mengenai peristiwa ini anda bisa dapat di dalam internet dengan mudah. Oleh itu di bawah saya sertakan lukisan yang di letakkan di blog cik Megat dan lukisan yang lebih jelas yang saya jumpa di internet.


INILAH GAMBAR YANG DIPAPARKAN DI BLOG BELIAU YAG KATANYA MENUNJUKKAN BAHAWA TENTERA MERONG MEMANTAU LAWATAN KAPTEN WILLIS KE TAHITI YANG PADA MASA ITU BERADA DIBAWAH KEKUASAAN MERONG JUGA. PERHATIKAN BETUL-BETUL TOPI KON YANG DIPAKAI TENTERA DALAM GAMBAR INI SEDIKIT BERBEZA DENGAN TOPI BANGSAWAN AYUTHIA. LAGI SATU FAKTA YANG BERCANGGAH ADALAH TOPI INI SEBENARNYA HANYA BOLEH DIPAKAI GOLONGAN BANGSAWAN DAN BUKAN TENTERA BIASA YANG MEMEGANG TOMBAK!
INI PULA GAMBAR VERSI YANG LEBIH JELAS MENUNJUKKAN BAHAWA TENTERA BERJUBAH PUTIH MERONG ALBANIA SEBENARNYA BUKAN BERJUBAH PUTIH DAN MERUPAKAN SEBAHAGIAN DARIPADA ASKAR BRITISH. LIHAT TOPINYA BETUL-BETUL. IA ADALAH SEJENIS TOPI TENTERA EROPAH PADA ZAMAN TERSEBUT.

LIHAT TOPI TENTERA-TENTERA EROPAH INI.




Jika anda membuat perbandingan diantara kedua-dua lukisan ini anda akan mendapati bahawa topi kon tersebut sebenarnya bukanlah topi kon yang digunakan oleh para bangsawan Thai seperti yang telah kita ketahui tetapi sebaliknya ia adalah sejenis topi tentera British pada zaman tersebut yang diberi nama grenadier caps. Apa yang lebih melucukan ialah dikatakan bahawa Sultan Syarif Nai Ali Albani ini dikatakan memerintah Australia dan Albania serta berjaya menyebarkan Islam kepada Raja Perancis. Ha?? Menyebarkan Islam kepada Raja Perancis? Mana perginya ke-islaman Perancis jika benar Raja Merong Nai-nai tersebut telah menyebarkan Islam hingga ke Perancis? Pelik bin ajaib bukan?

Dan lagi satu perkara. Sekarang ini mereka telah berani untuk menggunakan teori Prester John yang pernah saya bincangkan sebelum ini dan mengaitkannya dengan keluarga diraja Merong Naga Nai-nai mereka. Cik Megat ini berkata bahawa kota seputih yang terdapat di Kedah itu nama sebenarnya ialah Kota Seputih Prester John atau dalam bahasa Melayu namanya Yang Dipertuan Johan. Ish..ish…ish…tak tahu dah saya nak kata apa. Anda semua pandai-pandailah nilaikan sendiri. Ini belum lagi masuk penghinaan beliau dan keluarga beliau terhadap Sultan-Sultan yang ada di Malaysia ini. Dikatakannya bahawa Sultan-Sultan ini WAJIB dipecat! Agaknya kenapa majlis Raja-Raja tidak ambil tindakan yang sewajarnya terhadap golongan pencacamarba sejarah ini. Sekian Wallah hu a’lam.