Salam kepada pembaca yang budiman sekalian. Saya
pelik dan hairan dengan sikap sesetengah individu yang mengatakan bahawa kami
yang cuba untuk mendedahkan dan membangkitkan semula kecintaan terhadap sejarah
Melayu sebagai bersikap perkauman serta tali barut pihak tertentu atau dari parti
politik tertentu. Adakah dengan menulis mengenai sejarah bangsa Melayu atau
memperjuangkan nasib dan hak orang Melayu boleh dianggap sebagai perkauman atau
mengikut telunjuk mana-mana pihak berkepentingan? Bagi saya ini adalah
pandangan yang cetek dan jumud, pandangan orang-orang yang mindanya sudah tepu
dengan inferiority complex dan teori konspirasi yang pelik-pelik. Boleh jadi
juga pihak yang berpendirian sedemikian adalah pihak yang takut dengan
kebangkitan dan kesedaran masyarakat Melayu akan sejarah dan hak mereka sebagai
penduduk asal Alam Melayu.
Bagaimana jika bangsa anda dihina, dikeji, dituduh
dengan pelbagai tuduhan yang menjelikkan dan sejarahnya diputar belitkan untuk
kepentingan pihak tertentu? Adakah anda akan membiarkannya dan melihat sahaja
sambil membutakan mata, menulikan telinga dan membisukan mulut sebab tidak mahu
dituduh perkauman? Ini lah masalah orang Malayu kita, kita sentiasa beranggapan
bahawa melihat atau mendengar sahaja tanpa berbuat apa-apa atau mengambil
sebarang tindakan itu lebih baik dan satu contoh diplomasi dan toleransi. Tetapi
toleransi juga ada hadnya, bukan semua harus kita tolerate dan biarkan. Lagipun
mengapa harus orang Melayu sahaja yang bertoleransi dan berdiplomasi tetapi
bangsa atau etnik lain dibiarkan dengan lantang memuntahkan segala pertuduhan
dan fitnah kepada bangsa dan agama kita? Kita juga ada maruah! Jangan jadikan
bangsa kita sebagai bangsa yang dayus dan pasif yang hanya tahu menerima dan
tidak tahu mempertahankan maruah sendiri.
Jika kita tidak mahu membela dan mempertahankan
sebarang hak milik kaum atau bangsa kita, lebih baik tidak berbangsa, bersuku atau
berkeluarga sekalipun, mungkin anda boleh tinggal seorang diri di hutan
belantara. Adakah kita mahu senasib dengan kaum Red Indian di Amerika dan kaum
asli Australia yang tiada hak keatas tanah nenek moyang mereka sendiri, tiada
hak untuk memerintah, tidak dapat bersaing dalam ekonomi dan pendidikan malah dengan
senang dipindahkan dan ditempatkan kemana-mana sahaja yang disukai oleh
kerajaan yang diperintah kaum pendatang. Akibatnya warisan budaya, bahasa, sejarah
dan ketamadunan mereka hampir pupus sama sekali.
Maaf jika nada tulisan saya berbunyi agak kasar,
tetapi saya bukanlah berniat untuk menyudutkan atau membenci mana-mana kaum
lain selain Melayu. Cuma saya rasa tersentak dan terhina apabila ada pihak
tertentu yang mahu menidakkan kewujudan bangsa Melayu di bumi Melayu ini. Sehinggakan
dikata bahawa bangsa atau ras Melayu itu hanya khayalan dan Melayu itu hanya
nama bahasa dan bukan ras atau bangsa. Malah ada juga yang percaya dengan hujah
bahawa Melayu itu adalah nama tempat atau wilayah dan bukan nama bangsa.
Masih ramai juga yang tidak faham perbezaan diantara
bangsa dengan nationality atau
kewarganegaraan. Sebenarnya saya sudah pun menyentuh mengenai hal ini dalam
artikel saya yang lepas. Negara dan wilayah
kekuasaan boleh berubah beribu kali, anda juga boleh mengubah kerakyatan anda
berjuta kali, namun bangsa, etnik dan ras anda tidak akan berubah. Kalau anda
seorang Melayu, berpindah ke USA atau
UK, walaupun anda gosok seluruh badan dan muka anda dengan tawas dan
berus dawai sekalipun, wajah atau ciri-ciri fizikal anda tidak akan bertukar menjadi
seperti orang eropah atau Caucasian. Anda boleh menukar taraf kewarganegaraan
anda samaada untuk menjadi Singaporean, Indonesian mahupun American. Tetapi yang
nyata ciri-ciri fizikal kurniaan tuhan yang ada pada anda dan DNA anda tidak
akan berubah.
Negara atau wilayah kekuasaan boleh jatuh dan bangun
berkali-kali, tetapi bangsa, etnik mahupun ras yang membinanya tidak akan
berubah kecualilah kalau berlakunya penghapusan etnik! Pendek kata bangsa dan ras
itu ciptaan tuhan tetapi kewarganegaraan atau kerakyatan itu adalah ciptaan
manusia. Kalau masih lagi ada yang
berpegang dengan hujah bahawa nama bangsa itu berasal dari nama negara atau
tempat, sila jelaskan mengapa di Kalimantan ada Melayu, di Sumatera ada Melayu
malah di Indochina dan Semenanjung ada Melayu, malah orang Brunei pun mengaku
sebagai bangsa Melayu Brunei dan bukan etnik atau suku Brunei. Jika Melayu itu
hanya nama tempat atau wilayah mengapa pemerintah dan pembesar kesultanan
Melaka menggelar diri mereka sebagai orang atau bangsa Melayu dan bukan bangsa
Melaka? Buktinya boleh dibaca di dalam Sulalatus Salatun kitab Sejarah Melayu.
Bangsa Parsi juga pernah memiliki berpuluh-puluh kerajaan silih berganti
sepanjang zaman seperti kerajaan Parthia, Median, Achaemenid, Sassanid, Safavid
dan sekarang Iran, namun bangsa mereka tetap sama dan tidak berubah iaitu
bangsa Parsi.
Perlu juga difahami bahawa Melayu itu terbahagi
kepada dua kelompok di Malaysia iaitu, Melayu anak dagang dan Melayu anak jati.
Melayu anak dagang ialah Melayu yang datang dari luar Malaysia seperti orang Banjar,
Jawa, Bugis dan sebagainya. Manakala Melayu anak jati ialah Melayu yang memang
sudah wujud di Semenanjung Tanah Melayu sejak beribu tahun dahulu seperti Melayu
Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan beberapa lagi. Sebelum kerajaan Moloyu
atau Malayu di Sumatera wujud, sudah ada kerajaan-kerajaan Melayu di sekitar
Semenanjung seperti kerajaan Chih Tu, Gangga Negara, Langkasuka dan Kedah Tua.
Dalam Prasasti Matari Singa Jaya Hikmat yang ditulis
sekitar kurun ke 13 jelas terpampang perkataan bangsa Melayu …’Matari Singa Jaya Mat, Dari Ratu, Lami Lami
Bangsa Malayu...'. Maka kalau Melayu itu tidak wujud, mengapa dalam
prasasti tua ini serta kitab Sejarah Melayu tertulis nama sebuah bangsa yang
bernama Melayu? Adakah bangsa ini turun dari langit atau datang dari planet
Zargus? Terpulanglah kepada anda semua bagaimana anda mahu menyimpulkannya. Apa
yang nyata perbezaan pendapat dan pandangan itu adalah perkara biasa dan
sebagai seorang yang waras dan berfikiran terbuka saya menghormati pandangan
lain yang bertentangan dengan pandangan serta pendapat saya, namun jangan sesekali putarbelitkan sejarah bangsa saya untuk kepentingan peribadi atau kelompok tertentu. Sekian, wallah hu
a’lam.
~ASJ~