The recent discovery in the Malayan
state of Pahang, the homes of apes
and ivory and peafowl, of immense
goldmine of very ancient date
and of a workmanship that has no counterpart in southeastern Asia,
supplies an ample reason for the designation of Golden so long applied to the Chersonese.
Here hidden away under the shade of
the primeval forest, are excavations, which must have
yielded in their time, tons of their
precious metal……~Further India~.
Kata-kata
Hugh Clifford tersebut telah lama menghantui saya. Beliau yakin bahawa pernah
wujud satu lost civilization di Pahang yang mempunyai teknologi hebat dalam
perlombongan emas. Beliau percaya bahawa bumi Pahang yang kaya dengan emas
adalah penyebab mengapa Ptolemy menggelar Semenanjung Tanah Melayu ini sebagai
Semenanjung Emas. Terdapat banyak lombong kuno dijumpai berselerak di Pahang.
Lombong-lombong ini didapati menggunakan teknologi yang tinggi sehingga
menyebabkan para sarjana sukar untuk mempercayai bahawa ianya dikendalikan oleh
orang Melayu dan diandaikan pula bahawa ia dibina oleh bangsa asing yang tidak
diketahui. William James Perry didalam bukunya The Children of the Sun menyebut:
The Malay Peninsula contains
numerous remains of antiquity, not in the form of temples, but of ancient
mines, the technique of which testifies to a high civilization……..
In this same region of the Tui valley have been found some stone
rings whose use and makers are entirely unknown. Neither Malays nor Chinese in
Pahang has any reasonable theory of the origin or the possible use of these
things and it seems very improbable that the rings could have been made by
either of these peoples. There are other signs of an alien people in this
state.
Sumber
lain yang menguatkan hujah bahawa di Pahang menyimpan sebuah tamadun silam yang
hebat dan kaya dengan emas adalah dari catatan pengembara China Wang Tai Yuan
pada tahun 1349. Menurutnya di Pahang perempuan-perempuan kaya memakai beberapa buah gelang emas yang dililit di
kepalanya, dan orang kebanyakan pula menghiasi rambut mereka dengan gelang-gelang manik pancawarna. Catatan
daripada penulis Portugis Manuel Godinho Eredia pula menyebut Pahang adalah
negeri yang mempunyai lombong emas terbesar dan yang paling baik mutunya di seluruh
semenanjung. Clifford pernah menyatakan bahawa, jika catatan sejarawan Yahudi
kuno Josephus yang menyebut bahawa Ophir
adalah sama dengan Aurea Chersonesus, maka benarlah bahawa Semenanjung Tanah
Melayu adalah lombong emas Nabi Sulaiman atau The Mines Of Solomon seperti yang tercatat dalam Kitab
Perjanjian Lama.
Kajian
mengenai Pahang zaman sebelum Melaka sebenarnya adalah terhad. Jika adapun
adalah kajian lama yang telah dibuat oleh Orientalis British seperti Hugh
Clifford dan W. Linehan. Sejarah negeri-negeri tua yang lain seperti Kelantan
dan Kedah memang banyak berbanding Pahang. Tidak seperti kebanyakan negeri
Semenanjung yang lain, pusat ketamadunan masyarakat Pahang pada zaman awal tertumpu
di kawasan pedalaman dan jauh daripada pantai. Menurut Geoffrey Benjamin,
keunikan negeri Pahang ialah kerana ia terletak di kawasan pertembungan
diantara dua rumpun bahasa iaitu Mon-Khmer dengan rumpun bahasa Malayic atau
Proto-Malayic dan ia adalah wilayah yang menghubungkan kawasan pantai barat
dengan pantai timur dan utara pantai timur seperti Kelantan, Pattani,
Negeri-negeri Segenting Kra serta Thailand atau ‘Benua Siam’. Orang zaman
dahulu kalau nak ke pantai barat pasti akan menggunakan laluan sungai sepanjang
Kelantan dan Pahang sehingga ke Jalan Penarikan dan sungai Muar.
Selain
lombong-lombong emas, hutan negeri Pahang juga menyimpan pelbagai misteri lain.
Dalam Buku Farther India tulisan Hugh Clifford, dicatatkan bahawa banyak
ekspedisi dilakukan oleh para pengkaji British malah Russia dan Itali ke Hulu
Pahang seperti Tembeling, Lipis, Jelai, Semantan, dan Gunung Tahan. Malah
banyak kali juga ekspedisi mendaki di kawasan Gunung Tahan dibuat dan
kebanyakan ekspedisi awal tidak berjaya sehingga ada yang mati. Apa yang mereka
cari di sana sehingga sanggup mati? Wallah hu a’lam, saya pun tidak tahu apakah
yang menyebabkan mereka begitu tertarik dengan pedalaman Pahang. Walaupun saya
sendiri sudah mendengar pelbagai cerita-cerita pelik tentang tinggalan yang
mungkin ada di pedalaman Pahang, namun saya bukanlah orang yang arif tentangnya.
Tapi
apa yang pasti hutan Pahang menyimpan satu tamadun yang sangat lama. Hal ini
bukanlah aneh kerana hutan Pahang memang telah diiktiraf sebagai diantara hutan
hujan khatulistiwa yang tertua didunia. Salah satu daripada tinggalannya ialah
misteri penempatan kuno atau ada yang kata ‘kota’ di Tasik Chini. Apa sebenarnya
yang ada disitu dan mengapa banyak kajian yang dilakukan disitu tidak disempurnakan
dan menghadapi jalan buntu? Sebenarnya kajian terhadap penempatan kuno di tasik
Chini bukanlah perkara baru. Sejak zaman pemerintahan British lagi para ‘Indiana
Jones’ Inggeris selalu ke tasik tersebut untuk mencari ‘sesuatu’. R.G Cant
pernah menyatakan bahawa berkemungkinan besar wujud kota pentadbiran bagi
negeri Pahang di kawasan pedalaman.
Saya
yakin aktiviti perdagangan di sepanjang laluan
kuno Trans-Peninsular yang menghubungkan pantai barat dengan pantai
timur melalui jalan penarikan telah mewujudkan pusat penempatan yang pesat di
sepanjang lembah sungai seperti di sungai Pahang termasuk di Tasik Chini dan Bera. Apa yang pasti laluan Trans-Peninsular ini turut tercatat
dalam peta yang dilukis oleh ahli geografi Yunani-Mesir Claudius Ptolemy. Sungai Tembeling adalah salah sebuah sungai
terpenting yang menghubungkan laluan dagang kuno ini. Oleh sebab itulah banyak
jumpaan barang purba ditemui sekitar Sungai Tembeling. Malah kegiatan pembuatan
tembikar tertua di Pahang juga masih wujud di Tembeling.
Di
Kampung Batu Pasir Garam (di tebing Sungai Tembeling), ahli arkeologi telah
menemui satu serpihan Dram Dong Son, dram kuno yang diperbuat daripada gangsa
dan digunakan oleh orang yang mengamalkan Budaya Gangsa. Linehan menyatakan
bahawa Dram Dong Son ini dibuat di Indochina dan dibawa ke Ulu Tembeling dari Funan pada sekitar abad ke-3,
bersama-sama dengan alat besi kuno yang lain. Menurut Clifford jumpaan artifak
dari zaman Hoabinhian, Neolitik, zaman gangsa, dan zaman besi menunjukkan
bahawa laluan perdagangan tersebut telah wujud dan digunakan sejak ribuan tahun!
Catatan
daripada rekod imperial China menunjukkan bahawa di Pahang pernah wujud sebuah
kerajaan yang kaya dan berdaulat sebelum zaman Melaka. Chau Ja Kua merekodkan
pada tahun 1226 bahawa sebuah negeri yang terletak di sekitar pantai timur semenanjung
bernama Pe-hang bernaung dibawah kekuasaan Srivijaya. Kerajaan tersebut
dilaporkan telah menghantar hadiah ke China pada tahun 1378, 1411, 1414 dan
1416. Turut dicatatkan bahawa raja yang memerintah Pahang pada tahun 1378
digelar Maharaja Tajau.
Baginda telah menghantar duta ke China yang membawakan warkah rasmi yang
dipahat di atas kepingan daun emas
bersama enam orang hamba dan barang-barang hasil bumi dari Pahang untuk
dipersembahkan kepada Maharaja China.
Rekod
seterusnya menyebut pemerintah Pahang pada tahun 1411 bernama Pa la mi su la ta lo si ni atau
Parameswara Teluk Chini telah menghantar ufti ke China. Kemudian
Maharaja China telah mengutus Laksamana Cheng Ho untuk melawat kerajaan tersebut.
Maka utusan dari Parameswara Telok Chini telah berkunjung sebanyak dua kali ke
Cina iaitu pada tahun 1412 dan 1414. Daripada catatan inilah kita dapat membuat
andaian bahawa memang wujud sebuah kota pemerintahan di sekitar pedalaman
Pahang atau di Tasik Chini.
Siapakah sebenarnya Maharaja Tajau dan Parameswara Telok Chini ini dan benarkah
pernah wujud satu penempatan kuno di sekitar Tasik Chini?
W.
Linehan pernah menyebut dalam catatannya mengenai sebuah tempat di Tasik Chini
yang bernama Belukar Bata/Batol. Menurut beliau semasa beliau meninjau tempat
tersebut beliau mendapati terdapatnya sebuah
bukit yang dilitupi dengan rumput yang tebal dan besar. Daripada
pemerhatian yang dibuat didapati bahawa bukit tersebut bukan semualajadi tetapi
adalah sebuah binaan. Linehan percaya nama tempat tersebut mempunyai kaitan
dengan tinggalan bangunan, ataupun kota yang menjadi lagenda masyarakat
tempatan. Dalam catatan yang sama juga
Linehan menyatakan bahawa di dasar Sungai Jeram terdapat pecahan dan serpihan
tembikar dan seramik tua di beberapa tempat.
Penemuan-penemuan yang disebutkan diatas menguatkan lagi hujah bahawa
kawasan Chini-Jeram dan berdekatannya suatu ketika dahulu pernah menjadi laluan
perdagangan mahupun penempatan yang pesat.
Menurut
cerita penduduk asli yang mendiami sekitar tasik tersebut, terdapat sebuah
kerajaan yang makmur di situ yang didiami oleh orang ‘SIAM ASLI’ yang menyembah patung-patung diperbuat daripada
emas. Nama Chini tersebut dipercayai
berasal dari perkataan Siam asli yang bermaksud ungka atau monyet. Penempatan
masyarakat ini dibina di sekitar bukit yang dinamakan Bukit Balai . Menurut
lagenda, bukit tersebut dinamakan Bukit Balai kerana dahulu wujudnya sebuah balai
bagi menyambut orang-orang yang berkunjung atau lalu di kota tersebut. Di
bahagian barat laut Bukit Balai terdapat sebuah lagi bukit yang dinamakan Bukit
Berhala Besar. Bukit ini merupakan tempat pemujaan berhala yang paling besar
bernama Henek/nenek bagi masyarakat kota itu. Sebuah lagi bukit bernama Bukit
Ketaya yang berdekatan dengan tasik adalah tempat mereka melombong emas.
Apa
yang lebih menarik, menurut lagenda tersebut masyarakat kota Tasik Chini sangat mahir dalam pembinaan sistem
tadahan air dan saliran. Mereka membina sistem saliran di sekitar
kawasan Chini yang mengalirkan dan menghubungkan air dari segenap arah yang
bersambung dengan Sungai Chini. Mereka mengawal sistem saliran dan tadahan air
ini menggunakan empangan. Namun setelah beberapa ratus tahun empangan tersebut akhirnya
pecah dan mengakibatkan berlaku banjir besar dikawasan lalu membentuk Tasik
Chini. Akibatnya ramai rakyat Chini yang mati kebuluran kerana sawah, ladang
dan penempatan mereka dibanjiri air. Menurut lagenda itu juga akhirnya
pemerintah Chini memindahkan istananya ke Belukar Batol. Sebenarnya hampir
kesemua nama-nama tempat yang disebut didalam lagenda orang asli ini wujud di
sekitar tasik Chini. Malah menurut seorang pengkaji K.E Southwood kisahnya adalah
terlalu tepat dan boleh jadi benar.
Linehan
juga pernah menyatakan yang dia telah menjumpai satu binaan yang terbuat dari batu
bata di kawasan Kuala Chini dan di Pengkalan Durian. Berdekatan situ juga
ditemui sebuah tempat yang dinamakan Padang Siam. Malah beliau turut menyebut
tentang penemuan binaan batu bata di Langgar yang dipanggil Tambak Siam. Oleh
sebab itu saya yakin sememangnya pernah wujud sebuah tamadun atau paling tidak
sebuah penempatan lama di sekitar pedalaman Pahang atau Tasik Chini pada zaman
dahulu.
Daripada
hasil pemerhatian aerial view juga didapati sememangnya terdapat rupa bentuk
saliran air atau bentuk muka bumi aneh seperti buatan manusia di sekitar lima
batu ke timur Chini. Menurut pengkaji, bentuk saliran ini adalah typical bagi
saliran air yang dibina oleh masyarakat Angkor ataupun Ligor. Malah turut
ditemui rupa bentuk muka bumi yang dipercayai adalah bekas empangan berdekatan
Sungai Tasek melalui foto udara. Di Pulau Balai pula ditemui batu bata dari
tanah laterit yang sama cara buatannya seperti yang dijumpai di Tanjung Makam,
Pekan. Dikawasan yang sama juga dijumpai serpihan tembikar, porselin zaman
Ming, beberapa tembikar tidak bersadur serta serpihan mangkuk dari besi,
mangkuk zaman Neolitik, pisau batu dan banyak lagi barang-barang purba. Namun kajian
susulan yang dilaksanakan K.E Southwood telah menemui jalan buntu. Beliau
menyatakan bahawa tidak ditemui sebarang bukti wujudnya binaan di kawasan yang
di tunjukkan Linehan dalam catatannya. Saya yakin sememangnya wujud suatu
binaan dan penempatan di tapak yang telah disebutkan Linehan. Mungkin Southwood
kurang bernasib baik.
Berbalik
semula kepada dua orang raja Pahang dalam catatan imperial China tersebut, penulis
percaya bahawa Parameswara Telok Chini dan Maharaja Tajau merupakan orang
Melayu Darat yang menguasai kawasan perlombongan emas dan bijih timah di Pahang
sebelum Pahang ditakluk Melaka. Sebahagian besar kawasan paya sepanjang sungai
Pahang mengandungi pasir dan batu batan kasar, ini menunjjukan bahawa kawasan
paya ini dulu merupakan lombong bijih dan bukan kawasan penanaman padi pada
awalnya. Apa yang pasti memang terlalu banyak nama-nama tempat di sekitar Tasik
Chini dan Pahang yang memberikan kita petunjuk bahawa kota tersebut
berkemungkinan besar didiami bersama oleh orang Siam asli dan Melayu dari
negeri-negeri Melayu Utara atau Segenting Kra seperti Sri Dharmaraja atau Ligor
yang memang mahir dalam pembuatan sistem saliran.
Linehan
dalam bukunya A History of Pahang dipetik
sebagai berkata:
The pre-Malaccan people of Pahang
lived by mining gold, tin, and iron and
planting rice. They left many traces: irrigation
works, mine workings, remains of brick buildings [at Belukar
Bata], specimens of Sawankalok pottery, and probably the pottery industry at Kuala Tembeling which has survived through the
years to the present day. The preMalaccans occupied the Tembeling. They can be traced as far south as the Merchong. They
extended into the Pahang and the Jelai; their tracks can be found along Lake Chini up to the head-waters
of the Rompin; in the old Selinsing
mines scoops of palas wood used by them have been discovered. They left
numerous relics in gold-workings
at Tresang and Sempore.
Antara
tempat-tempat di Pahang yang banyak dikaitkan dengan penempatan kuno masyarakat
Siam asli atau mempunyai makna dalam bahasa Siam asli adalah seperti Gunung Benom. Benom sebenarnya
adalah dari bahasa Mon-Khmer yang bermaksud ‘Gunung’. Perkataan ini juga wujud dalam suku kaum berbahasa
Aslian Mon yang masih wujud di Pahang hingga kini iaitu suku Jah Hut iaitu ‘Benam’ dan juga suku Che Wong ‘Banim’. Namun
perkataan ini juga mempunyai kaitan dengan perkataan Melayu kuno iaitu ‘Banang’. Sungai Chenor pula
dipercayai berasal dari perkataan Mon iaitu Cnor yang bermaksud kayuh. Sungai
Reman dikatakan berasal daripada perkataan Mon iaitu Ramman atau Ramannadesa. Jeram
Kuai dikatakan berasal dari perkataan Siam asli iaitu kuai yang bermaksud
perlahan. Namun menurut pengkaji, perkataan yang lebih tepat ialah Koi yang
berasal dari perkataan suku Batek yang mempunyai maksud yang sama. Selain itu Chini
(ungka), Parit Siam, Tambak Siam, Lubang Siam (atau Lombong Siam), adalah nama
tempat-tempat di sekitar hulu Pahang yang dikaitkan dengan Siam asli.
Kampung
Senggora yang tidak jauh dari Tasik Chini juga merupakan petunjuk bahawa kota
tersebut pernah didiami orang dari utara semenanjung. Malahan persamaan nama
Tembeling dengan Tambralingga atau Ligor juga memberikan petunjuk yang kuat
bahawa sememangnya Pahang pernah dipengaruhi atau diperintah oleh Melayu dari
Sri Dharmaraja atau Ligor. Malah telah disebut dengan jelas dalam Sulalatus
Salatin bahawa Maharaja Dewa Sura yang memerintah Pahang semasa serangan Melaka
adalah saudara kepada Paduka bubunya Raja Siam. Malah di Tekam berdekatan Kota
Gelanggi, Jerantut ada sebuah sungai yang bernama Sungai Lego yang sipercayai
berasal dari perkataan Ligor. Kota Gelanggi di Jerantut itu sendiri sebenarnya
dikaitkan dengan sebuah Lost City Siam asli atau Melayu darat iaitu Kota
Klangkio yang dikatakan Tun Sri Lanang terletak di Hulu Johor.
Kaum
asli yang tinggal di sekitar tasik Chini sekarang sebenarnya adalah Orang Jakun
dan mereka ini termasuk dalam Proto-Malay dan bukan Mon-Khmer. Sebab itu saya berpendapat
jika wujud kota di dasar Tasik Chini, ia adalah kota purba MELAYU yang didiami
bersama dengan Siam asli dari kalangan orang Mon dan Aslian bukan Khmer seperti
yang digembar gemburkan sesetengah pihak. Sebabnya semua mitos berkenaan
Naga-naga Seri Gumum, Seri Siam, Seri Kemboja, Seri Pahang dan Kota itu adalah
dari mulut Orang Jakun sendiri dan mereka tidak kenal apa itu istilah 'KHMER'.
Orang Jakun di sini mempunyai perhubungan rapat dengan suku Asli lain iaitu
Orang Semelai yang tinggal di sekitar Tasik Bera. Orang Semelai inilah yang
berbahasa Aslian iaitu dalam rumpun bahasa Mon-Khmer. Mugkin nama-nama tempat
yang dikaitkan dengan Siam dan Mon tersebut diberi oleh suku-suku Aslian ini.
Linehan
pernah melaporkan bahawa ketua suku Jakun di kawasan Ulu Bebar iaitu Pak Usoh
dari Kuala Serai dan Pak Mehat dari Kuala Merba mengakui bahawa mereka adalah
keturunan ‘Orang Siam’ yang pernah berkuasa di Pahang sebelum penaklukan
Melaka. Hal ini membuktikan bahawa masyarakat Siam asli yang suatu ketika
dahulu pernah memerintah dan memakmurkan negeri Pahang ini bukanlah terdiri daripada
kaum rumpun Mon-Khmer atau Aslian sahaja tetapi juga Melayu-Proto. Dan seperti
yang telah diterangkan oleh Cik Srikandi dahulu, bahawa istilah Siam asli yang
digunakan oleh orang Melayu Melaka adalah merujuk kepada masyarakat Melayu dan
Mon-Khmer yang beragama Buddha dan berasal dari ‘Benua Siam’ iaitu sebuah
wilayah yang sekarang ini berada di Thailand.
Jadi
disini Siam itu merujuk kepada nama wilayah dan bukan nama kaum, kerana suku
kaum yang tinggal di wilayah tersebut terdiri daripada Melayu,Champa, Mon,
Aslian, Khmer dan yang paling lewat datang ialah Thai. Kerajaan Ligor/Tambralingga/Sri
Dharmaraja pula memang sebuah negeri Melayu. Rajanya orang-orang Melayu namun
rakyatnya ada yang Thai, Mon dan Khmer. Sebab itu dalam Sulalatus Salatin, raja
Benua Siam yang digelar Paduka Bubunya diakui oleh Sultan Melaka bahawa 'raja
Benua Siam bukan orang lain bahkan saudara mereka juga'. Semasa Melaka menerima
Islam, Sri Dharmaraja masih menganut ajaran Buddha Theravada. Ketika era
Ligor,barulah ada rajanya yang memeluk Islam.
Gambar menunjukkan Kota-kota Naksat dibawah penguasaan Ligor/Tambralinga atau Negara Sri Dharmaraja.
Oleh
itu kita berbalik semula kepada persoalan pokok, benarkah wujudnya sebuah
penempatan kuno di sekitar Tasik Chini? Jawapan saya ialah ya. Sememangnya
wujud sejenis penempatan purba di sekitar Tasik Chini kalau tidak di dasarnya.
Samaada ianya wujud sebagai sebuah kota, bandar, pyramid, binaan kuil, candi
dari batu bata atau hanya petempatan biasa dari kayu, wallah hu a’lam ianya tetap misteri. Masih
banyak kajian yang perlu dilaksanakan disana untuk mendapatkan jawapan yang
tepat. Sekian dari saya.
~ASJ~
- · Hugh Clifford, Further India, Frederick A, Stokes Publisher. 1904.
- · Geoffrey Benjamin, Arkeologi Pelancongan Negeri Pahang, Lembaga Muzium Negeri Pahang.
- · J.N McHugh, The Daragon Of Chini and Recent Discoveries Under the Lake. Malaysian historical society.
- · Zakaria Awang Ali, Latar Belakang Sejarah Perlombongan Emas Di Pahang Hingga 1914.
- · K.E Southwood, Lake Chini, A lost Settlement in Pahang.
- · W. Linehan, The Prince Of Chini, JMBRAS Vol XX. 1947.
- · W.Linehan, The History Of Pahang, JMBRAS Vol XIV. 1928.
- . Cik Srikandi.
- . Blog SusurGalor.
- . Dani Warguide.