Rabu, 29 September 2010

TRADISI ILMU SAINS DALAM TAMADUN MELAYU


Salam, terlalu banyak jika hendak saya perkatakan mengenai masyarkat melayu dan budayanya. Tetapi apa yang perlu difahami ialah elemen kemanusiaan menjadi perkara paling penting dalam setiap diri manusia yang bernama melayu itu, yang bermaksud orang melayu itu sangat peka akan rasa atau perasaan orang lain. Budaya bukan sahaja memaparkan seluruh kemampuan akal dan budi, namun kemampuan akal itu telah menuntut orang melayu untuk meggunakan seluruh kuderat, daya dan usaha dalam meneroka khazanah alam, melalui kerja dan karya. Alam sebagai sumber budaya bendawi boleh dimanipulasikan untuk kepentingan sendiri. Interaksi dengan alam bukan sekadar melahirkan pengalaman kehidupan tetapi juga melahirkan kiasan, misalan ,analogi, perbilangan, perumpamaan, peribahasa, pantun dan sebagainya untuk dijadikan panduan kehidupan. Seluruh khazanah falsafah sosial ini lahir daripada pengamatan orang melayu terhadap alam.



Saudara sekalian, orang melayu mampu mengkategorikan, menyusun dan mengklasifikasikan seluruh khazanah herba yang dihasilkan oleh hutan tropika di sekitarnya. Mereka kenal segala tumbuhan, mereka tahu khasiat dan fungsi setiap akar kayu, kulit kayu, teras kayu, daun kayu, buah kayu dan pucuk kayu. Mereka juga paham akan ikan di air, segala binatang di hutan, segala unggas dan serangga yang berterbangan di udara, kokok ayam dan kicau burung, mereka tahu bila hari akan siang dan bila kan malam. Segala sumber alam adalah ilmu kepada mereka. Seorang pelombong akan meminta bantuan kepakaran pawang bijih untuk menyeru agar bijih dapat dikeluarkan dari tempat asalnya. Pawang bijih menyeru melalui pengetahuan ilmu asal usul galian atau logam berkenaan. Gabungan antara ilmu bendawi dan bukan bendawi digunakan, antara yang natural dan super natural disatukan untuk mencapai matlamat. Gabungan ini juga boleh disebut sebagai sains awal melayu.


 
Asal embun menjadi air,

Asal air menjadi buih,

Asal buih menjadi batu

Asal batu menjadi bijih.



Bomoh pawang dan dukun adalah manusia melayu yang istimewa. Mereka bukan sahaja memahami fakta alamiah, tetapi juga memahami yang bukan alami atau ghaib. Mereka boleh berkomunikasi dengan yang ghaib, boleh memanipulasikan kuasa ghaib untuk kepentingan manusia. Ilmu ini dinamai magis oleh para pengkaji antropologi. Pawang ular,pawang buaya, pawang gajah, pawang kayu, pawang besi dan pawang bijih, malah bomoh urut mampu menghuraikan kepada kita unsur-unsur asal usul setiap kejadian, baik manusia mahupun bukan manusia. Jika kita membaca atau mendengar mantera-mantera yang digunakan oleh pawang-pawang dan bomoh ini maka kita akan temui ilmu asal-usul kejadian ini. Sebagai contoh pawang buaya perlu mengetahui asal usul buaya tersebut dan akan menyerunya menggunakan jampi serapah yang mempunyai unsur-unsur kejadian haiwan tersebut. Pawang dan bomoh serta dukun ini bolehlah dianggap sebagai saintis melayu tradisional atau awal.



Seperti juga saintis yang harus mengetahui asal kejadian sesuatu haiwan yang dikajinya daripada embrio atau telur maka pawang ini juga mempunyai ilmu mereka yang tersendiri untuk mendefinisikan asal kejadian haiwan tersebut. Pendek kata pawang-pawang haiwan ini boleh dianggap sebagai ahli zoologi melayu tradisional. Mereka bukan sahaja perlu mengetahui asal usul sesuatau haiwan tersebut malah perlu mengetahui jenis makanan kesukaannya, habitatnya dan tabiat haiwan tersebut. Tugas ini tidak ada bezanya dengan seorang zoologist profesional pada zaman ini. Pawang gajah misalnya perlu mengetahui konsep gajah berang yang memerlukan beliau memahami psyikologi seekor gajah kerana gajah adalah sejenis haiwan yang pintar. Pawang gajah harus tahu apakah perkara yang boleh menyebabkan si gajah naik berang dan si gajah tenang semula. Ilmu ini juga perlu untuk diaplikasikan bagi menangkap gajah yang liar. Pawang gajah juga harus mempelajari cara membuat ubat-ubat tertentu untuk digunakan kepada gajah. Malah pada suatu ketika mungkin pawang gajah dikehendaki membuat gajahnya berang bagi tujuan taktik peperangan. Semua ilmu ini harus dimiliki oleh seorang pawang gajah selain daripada bantuan ilmu supra natural. Oleh itu yang membezakan diantara pawang gajah dan seorang ahli zologist hanyalah dari sudut metodologi yang digunakan mereka. Yang satunya bersandarkan rasional saintifik dan yang satu lagi berdarkan peng-alam-an dan ilmu rasa serta bantuan ghaib.



Seorang bidan dan tukang urut pula perlu memahami struktur anatomi tubuh badan manusia baik lelaki mahupun wanita. Mereka tahu akan segala urat, nadi, tulang, otot dan kedudukan organ-organ dalam tubuh tanpa perlu mebedahnya. Apabila diurut mereka bukan sahaja mengurut urat dan otot malah menekan, menggosok seluru badan untuk memastikan kelancaran perjalanan darah. Semua ini saya alami secara peribadi kerana nenek saya adalah seorang bidan kampung yang sering mengurut. Beliau mampu mengetahui bahagian mana yang paling perlu diurut dan bahagian mana yang perlu dibiarkan. Beliau juga mampu mengetahui punca sesuatu sakit itu berlaku . ghal ini boleh disamakan dengan kedah diagnosis yang dijalankan oleh para doctor moden. Malah ada bidan atau dukun yang boleh mendiagnos pesakitnya hanya dengan melihat caranya bernafas, berjalan, memek muka dan cara pesakitnya bercakap. Walau semoden manapun ilmu perubatan yang kita punyai sekarang namun pada suatu ketika ada juga penyakit yang tidak dapat diubati oleh para doktor moden dan hanya boleh diubati oleh dukun, tabib dan bidan sahaja.



Mengikut teori melayu apabila perjalanan darah itu lancar, tubuh akan pulih dan sihat. Perkara inilah yang sering keluar dari mulut nenek saya. Hal ini menunjukkan bahawa bomoh dan bidan melayu faham akan unsur yang empat iaitu air, api, tanah dan angin yang digunakan bukan sahaja untuk mengesani ketidak seimbangan tetapi juga keserasian. Perkara ini saling tidak tumpa seperti konsep Ying dan Yang dalam masyarakat cina. Matlamat ilmu melayu yang terakhir adalah mereka mengutamakan keseimbangan dan keserasian setiap unsur alam, lantaran ilmu sains proto mereka ini berpaksi pada hukum alam, namun ini bukan bermakna mereka mengamalkan survival of the fittest seperti yang didogmakan oleh Darwin, tetapi mereka mengutamakan keseimbangan atau equilibrium, homeostasis.



Apabila saintis tradisional ini berinteraksi dengan alam ghaib , mereka bukan sahaja dapat mengawal dan memanipulasi tetapi dapat menggunakannya untuk kepentingan kolektif masyarakat. Mereka memanipulasi segala makhluk ghaib untuk menganiaya manusia lain, mereka juga menggunakan makhluk gahib untuk perlindungan dan kerja-kerja berat. Mereka tahu dimana ruang tempat duduk makhluk tersebut, samaada di air, di laut mahupun di darat. Orang melayu mengkategorikan segala unggas, binatang dan serangga hanya memiliki semangat dan nyawa tetapi manusia mempunyai roh, semangat dan juga nyawa. Sehubungan dengan itu orang melayu mampu mengkategorikan hieraki kegaiban. Dikemuncak pyramid ialah tuhan yang maha esa, dibawahnya ialah segala malaikat, kemudian segala dewa dan jin, diikuti segala roh para anbiya dan wali, diikuti pula dengan roh nenek moyang, segala penuggu hantu raya dan jembalang tanah, puaka air, mambang tanah dan semangat.



Dari alam sekitar juga mereka dapat memahami dan menaakul bahawa batas sempadan alam ini adalah terlalu luas suajana mata memandang, tetapi mereka meletakkan penanda juga dari sumber alam seperti bukit bukau, gunung ganang, kaki langit, pokok sungai dan lain-lain. Alam yang makro kosmos ditandai dari muka bumi ke kaki langit dan terus keawan. Mereka mengetahui bahawa langit itu berlapisan, mereka tahu ada bulan dan bintang serta ada matahari. Mereka juga tahu tentang air, tali air, punca air, mata air, tali arus, pasang surut laut, mereka tahu tentang masa dan hubungan masa, pergerakan bulan dan hubungannya dengan sumber ikan, sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya. Secara mikro kosmos mereka tahu tentang jarak, masa dan ruang. Mereka mengukur jarak dengan sejengkal, sehasta, serantai, mereka juga mengukur masa denga ukuran jarak, seperti segalah, sepuntung, sepurnama ,sepekan dan selikur atau 20 hari.



Ilmuan melayu mempunyai pengetahuan proto sains ialah seorang yang dapat mengenal, mahupun menyusun dan membuat penjenisan disamping mengetahui asal usul serta faktor sebab dan akibat dan peranan setiap persoalan yang dikemukakan. Walaupun ada yang pandai dan tahu malah mahir dalam hal tertentu seperti bomoh, dukun, pawang ,bidan , pemimpin adat dan panglima tetapi terdapat satu lagi kategori ilmuan melayu yang penting terutama semenjak orang melayu memeluk agama islam. Ilmuan tersebut digelar pak lebai, tok guru, tok alim, ulama dan ustaz. Kelompok ini adalah orang istimewa yang menguasai ilmu berkenaan keagamaan. Tradisi Islam di alam melayu melahirkan ramai ilmuan Islam yang banyak menulis kitab-kitab jawi dalam pelbagai bidang keagamaan. Tradisi keberaksaraan juga turut berkembang melalui agama Islam, tulisan jawi menjadi tulisan melayu. Seluruh kesultanan melayu di alam melayu memiliki khazanah ilmu agama yang kini terdapat di pasantren, pondok dan dayah.



Namun demikian masuknya unsur tradisi barat ke alam melayu telah banyak menghakis dan meruntuhkan seluruh ilmu budaya melayu dan menjadikannya sebagai mitos, tidak ilmiah, tidak rasional, tidak menguntungkan dari segi pekerjaan dan sebagainya. R.O Winsted misalnya telah memainkan peranan memperkecilkan perundangan melayu yang dimasukkannya sebagai salah satu daripada korpus kesusasteraan melayu seperti Hukum kanun Melaka dan undang-undang Johor serta lain-lain. Karya-karya ini tidak dianggap sebagai sebuah karya undang-undang melayu tetapi sebaliknya sebagai karya sastera. Malahan seluruh penulisan keagamaan dikategorikan oleh beliau sebagai sastera kitab dan tidak dilihat sebagai sumber ilmu agama Islam hasil karya ulama tempatan.



Secara halus R.O Winsted dan mereka yang sepertinya sudah memainkan peranan meruntuhkan korpus ilmu sains dan proto sains melayu. Kita juga tanpa disedari terperangkap tanpa ada usaha menolak klasifikasi R.O Winsted dan merekonstruksi semula berdasarkan kesesuaian zaman. Dengan kemunculan dan pengukuhan tradisi berbahasa inggeris, dan barangkali pada masa kini kita orang melayu tidak boleh menegur sesuatu pihak, apakah mungkin pintu akal budi melayu akan tertutup. Pada saat ini seluruh korpus dan khazanah melayu dilihat dalam kerangka tradisi moden, saintifik atau tidak saintifik, maka apa jua yang keluar dari budaya melayu dinilai tradisional, tidak saintifik berbanding yang barat, moden dan saintifik. Malah seluruh sejarah melayu disebut mereka penuh dengan unsur campur aduk antara fakta dengan fantasi. Penulisan historiografi melayu seperti Sulalatus Salatin, Hikayat merong mahawangsa, Misa melayu, Hikayat Banjar, Hikayat Pasai dan lain-lain Cuma sesuai disebut sebagai karya historiografi berunsur sastera sahaja. Seluruh sistem ukuran dan konsepsi ruang melayu yang tidak jelas, kurang asas matemalicalization dilihat kurang saintifik dan tidak mekanikal. Selain daripada usaha barat merosakkan ilmu melayu, orang melayu sendiri juga berkeyakinan kepada idea ilmu barat dan turut memberikan penilaian yang sama bodoh. Oleh itu marilah kita berusaha untuk menyingkap tabir akal melayu. Membuka pintu ilmu melayu dan membentang alam ketamadunan melayu seluas-luasnya. Sekian, wallah hu a’lam.





Ahad, 5 September 2010

JIKA BENAR...


Armada Daulah Turki Utmaniah mengalahkan angkatan Portugis kafir laknatullah


Salam, artikel kali ini adalah jawapan saya kepada anda di luar sana mengapa saya menyatakan bahawa berkemungkinan kerajaan Ayuthia adalah Islam adalah jauh panggang dari api. Di bawah adalah hujah-hujah saya berdasarkan catatan fakta-fakta sejarah dan anlisis yang telah saya buat.


Jika benar...

Jika benar kerajaan Ayuthia adalah islam maka kerajaan Turki Utmaniah tidak akan membiarkan ianya jatuh ketangan kafir portugis ataupun siam penyembah berhala. Walaupun Hamzah Fansuri pernah belajar ke sana namun beliau bukan belajar atas nama kerajaan siam tetapi beliau belajar dengan orang islam dari Parsi yang mengajarkan ajaran Ibnu Arabi. Sewaktu Hamzah Fansuri ke Ayuthia itu orang Islam Parsi menjadi tunggak utama istana ayuthiya dimana mereka menjadi penasihatn utama, wazir dan menteri-menteri kanan dan sangat dipercayai Raja Narai. Namun mereka turut menyatakan bahawa Raja Narai masih tidak mahu meninggalkan agama asalnya iaitu menyembah berhala. Ini adalah daripada catatan Parsi sendiri.



Jika benar Ayuthia adalah Islam maka sultan Aceh sudah pasti menjalinkan persahabatan erat dengan Ayuthia kerana zaman kegemilangan Ayuthia adalah hampir sama dengan masa zaman kegemilangan Aceh dibawah Sultan Iskandar Muda. Namun tidak ada langsung catatan Aceh yang menyatakan bahawa Ayuthia adalah kerajaan islam padahal kerajaan Ayuthia tidak berjauhan daripada Aceh. Malahan Kerajaan Pattani yang terletak lebih jauh ke timur juga mempunyai hubungan diplomatik dengan aceh. Kerajaan pattani terang-terang menyebut bahawa raja Ayuthia yang menyerangnya adalah raja kerajaan kafir. Mengapa pula mereka hendak bermusuh sehingga mengkafirkan satu sama lain jika benar bahawa kerajaan Ayuthia adalah Islam dan Melayu? Alasan pihak tertentu yang menyatakan peperangan diantara Ayuthia dan Pattani yang berlansung berpuluh-puluh tahun tersebut sebagai perselisihan faham sepertimana bertengkarnya seorang abang dengan adik adalah tidak masuk akal! Adakah orang Kedah dan Pattani begitu takut dengan abangnya Ayuthia sehinggakan mereka sanggup mengkafirkan satu sama lain. Dan adakah adiknya si Pattani dan Kedah ini begitu nakal sehingga perlu diserang, dijarah, perempuannya dirogol, disembelih, diliwat dihadapan ibu bapa, dibelah perut bagi yang mengandung dan diseksa serta dibakar hidup-hidup. Begitulah hakikatnya yang terjadi kepada tawanan perang Siam jika Kedah dan Pattani diserang. Kejam sungguh si abang konon ini! Tambahan lagi semasa Hamzah Fansuri disana beliau tidak pernah menyebutkan bahawa beliau sedang berada di bawah kerajaan islam.



Selain itu kitab2 salasilah dan sejarah sama ada dari Aceh, Pasai mahupun Melaka langsung tidak ada menyebut mengenai kerajaan Islam Ayuthia. Namun semua kerajaan Islam yang tersapat di nusantara ini malahan yang beribu batu lebih jauh daripada aceh termasuk yang bersebelahan dengan Ayuthia sendiri disebut, iaitu KERAJAAN CHAMPA! YA...hubungan champa dengan kerajaan2 Islam lain memang erat terutama dengan Pattani, Kelantan, Pahang dan Johor! Semua ini kerajaan Islam! Namun tidak ada satu pun catatan sejarah daripada kerajaan-kerajaan ini yang menyatakan mengenai keislaman Ayuthia terutama dari champa sedangkan champa adalah jiran paling dekat dengan Ayuthia! Malah Maluku yang nun jauh di timur pun ada hubungan diplomatik dengan Aceh kerana terdapatnya kerajaan Islam disana yang sangat membenci portugis dan bukan melindunginya seperti di Ayuthia.



Aceh tidak akan berdiam diri sekiranya betul Ayuthia adalah MELAYU DAN ISLAM yang melindungi Portugis, Belanda Dan Inggeris. Sudah pasti Aceh dengan sekut Islam yang lain termasuk Turki akan menyerang Ayuthia. Namun mengapa tidak? Ini kerana Ayuthia bukan kerajaan Islam dan Melayu, walaupun ramai rakyatnya terdiri daripada orang Islam. Dalam sejarah Siam hanya bangsa Burma, Khmer dan Melayu sahaja yang pernah menyerang Ayuthia. Malahan bangsa Melayu Pattani pernah berjaya menawan Ayuthia untuk beberapa waktu yang singkat! Sudah terang lagi bersuluh bahawa sebenarnya Ayuthia bukan Islam tetapi kafir juga.



Jika benar Ayuthia adalah Melayu Islam maka kerajaan Turki Utmaniah pasti akan menghantar hubungan diplomatik islam yang akan membantu dalam hal ehwal pentadbiran dan ketenteraan melawan portugis. Namun pada masa Aceh dan kerajaan Islam lain di nusantara sibuk melawan portugis, kerajaan Ayuthia pula melindungi orang portugis di kotanya. Adakah Daulah Islamiyah Turki akan membiarkan perkara ini berlaku jika benar Ayuthia adalah islam. Tidak! Sudah pasti Ayuthia diserang kerana ia bersekongkol dengan kafir. Buktinya kita lihat apa yang berlaku dengan Johor dan Pahang yang bersekongkol dengan portugis Melaka akibat disuap oleh kafir tersebut untuk melawan Aceh. Aceh akhirnya menerima arahan dari Daulah untuk menyerang Pahang dan Johor bagi memastikan kedua buah negeri itu tidak bersekongkol dengan kafir dan menawan keluarga diraja mereka serta merajakan raja yang lebih Islamis. Ini adalah fakta sejarah yang tidak bisa kita sangkal! Catatan dari sejarah Aceh dan Turki ada menyatakan bahawa tentera Aceh yang menyerang Pahang, Johor dan Portugis di Melaka itu adalah terdiri daripada askar-askar Melayu Islam, Askar Turki khas didatangkan dari Daulah untuk melatih tentera Aceh, Askar Malabari Islam dari India, Askar Gujerati Islam, Askar Habsyi atau negro dari negara-negara Afrika Islam dan Arab.



Bala tentera Aceh ini dibekalkan dengan teknologi ketenteraan tercanggih daripada kerajaan dunia yang mempunyai tentera terkuat di dunia pada masa tersebut yakni Daulah Turki Uthmaniah. Malahan kekuatan dan kehebatan tentera Turki ini disebut dalam hadis Rasulullah S.A.W. Dikatakan bahawa semasa berlakunya pengepungan Melaka , tentera Aceh telah menggunakan meriam gergasi dan senjata ALMANJANIK atau Trebuchet gergasi yang dapat menembak bebola api, bebola racun dan bebola asap! Fakta ini disokong dengan catatan yang ditemui daripada laporan pegawai portugis yang berada di Kota Melaka ketika serangan tersebut.



Ayuthia bukanlah kerajaan Islam wahai saidara-saudaraku, ya! suatu ketika dahulu sebelum kedatangan orang thai lebih kurang 800 tahun dahulu memang wujud kerajaan Melayu kuno disini namun bukan pada zaman 1600 an. Kerajaan tersebut telah sirna dek kemasukan orang thai. Mereka melarikan diri ke selatan, timur dan seidikit di barat. Hanya segelintir Melayu yang tinggal dan berasimilasi dengan Thai. Namun sewaktu Ayuthia berada di puncak kegemilangan ia bukan sebuah kerajaan Melayu Islam tetapi adalah kerajaan Buddha kafir yg terang2 dicatat oleh bukan sahaja pengembara barat (yang mungkin kurang dipercayai penulisannya) tetapi juga pengembara nusantara, Islam, Arab, Parsi dan India. Malahan dalam sulalatus salatin dan Hikayat Raja-Raja Pasai dan banyak lagi hikayat2 Melayu tempatan yang menyatakan kekafiran kerajaan Siam tersebut. Oleh itu bukalah mata, bukalah telinga luas2 dan bukalah minda untuk menerima kenyataan tersebut.



Aceh,Aru,Barus,Banjarmasin,Martadpura,Demak,Mataram,Banten,Johor,Pahang,Perak,Kedah,Pattani,Kelantan,Terengganu,Singgora,Champa, Ternate , Bone,Mempoawah,Sintang,Deli,Palembang,Asahan,Ideragiri,Pagaruyung,bagkahulu,Lampong,Siak,Jambi,Madura,Brunei,Magunidanau,kota bato,sulu,Kutai,Samarenda,kotawaringin,Langkat,Lingga,Natuna,Sambas,Langkat, Serdang dan banyak lagi nama-nama keultanan Melayu silam yang terdapat di nusantara ini. Mengapa pula Ayuthia yang dipilih oleh orientalis barat untuk dipalsukan dan dipesongkan 360 darjah sejarahnya? Sedangkan banyak lagi kerajaan Islam lain ada di nusntara ini yg lebih mudah untuk ditawan dan di pesongkan sejarahnya. Melaka sendiri sudah berada dibawah jajahan portugis namun tidak pula dikatakan Melaka dibuka oleh portugis sebelum orang Melayu wujud disitu lagi~!



Semua ini hanya mainan fakta yang dibuat oleh seorang yang berlagak tahu pasal sejarah padahal tidak pernah menerima pendidikan tinggi dalam bidang sejarah. Segala tulisan mereka hanya retorik semata-mata yang penuh dengan semangat assabiah ke siaman. Pergilah cari ke ceruk dunia manapun samada di Belanda, England,Portugal,Jepun,China,Spain dan mana-mana arkib yang ada mencatatkan mengenai sejarah nusantara,siam dan Asia tenggara maka anda akan mendapati tulisan2 pengembara dan pencatat tersebut menyatakan dengan jelas bahawa raja-raja siam penyembah berhala di dalam pagoda! Adakah logik sekiranya seluruh bangsa penjajah di dunia ini termasuk orang Parsi, Arab dan Melayu nusantara dari kerajaan lain berkomplot dalam satu komplot paling besar dalam alam ini iaitu untuk memastikan agar tidak ada manusia atau haiwan di dunia ini tahu bahawa bangsa siam adalah Islam sebenar sejak nabi Muhammad diturunkan wahyu, bangsa siam adalah jurai keturunan Shih Huang Ti yang hidup 2500 tahun dahulu sebelum datangnya Islam, bangsa siam menamakan seluruh tempat2 didunia ini dan bangsa siam adalah pembentuk monarki terulung di dunia dan memerintah hampir separuh dunia mengalahkan Genghis khan dan Iskandar Zulkarnain. Adakah logik saudara-saudara sekalian??? Pikir-pikirlah sendiri. Saya menasihati suadara-saudara sekalian supaya jangan membutakan mata hanya kerana pihak-pihak tertentu menggunakan nama islam sebagai dasar perjuangan mereka .Ada manusia yg perangainya lebih keji daripada syaitan dengan mempermainkan agama untuk kepentingan golongan mereka. Anda juga perlu sedar bahawa seseorang yang ber ‘ekor’ ustaz itu tidak semestinya benar sebenar-benarnya dalam setiap perkara. Mereka juga adalah manusia biasa yang terikat dengan emosi dan perasaan serta nafsu. Mereka bukan maksum walaupun mereka hafiz al quran dan hafiz hadis malah mufti sekalipun. Ingat akan hadis nabi Muhammad yang mengatakan bahawa ulama sebenar-benar ulama pada akhir zaman ini adalah hampir pupus dan ulama yang banyak adalah ulama pengampu pemerintah dan yang tamak serta sayangkan dunia. Jika kita mengikut golongan ini maka kita akan sesat dan termasuk dalam golongan yg bakal difitnah Dajjal. Sekian wallah hu’alam.