As salam. Sebelum ini saya pernah menulis berkenaan bangsa Naga dalam blog ini. Kali ini satu lagi artikel saya paparkan untuk anda yang dapat menguatkan lagi hipotesis bahawa Bangsa Naga adalah puak-puak Austronesia yang terdiri daripada Orang Laut atau rumpun Melayu Nusantara. Dalam artikel ini juga akan dibincangkan hipotesis berkenaan asal nama Zabag yang terkenal di dunia Timur Tengah dan asal nama Kunlun yang dicatat dalam rekod imperial China. Selain itu saya juga menyelitkan berkenaan bahasa rasmi yang digunakan dalam Empayar Zabag atau dalam Istana Zabag/Srivijaya. Saya pasti ramai sudah maklum bahawa sejarawan menyebut bahasa Melayu adalah bahasa lingua franca dalam empayar Zabag. Namun setakat ini kebanyakan bukti bahasa yang kita ada adalah dalam bentuk prasasti atau batu bersurat yang dijumpai di beberapa tempat di Sumatera seperti Batu Bersurat Karang Brahi dan Kota Kapur. Tetapi bagaimanakah kita pasti bahawa bahasa yang sama yakni BAHASA MELAYU dipertuturkan dalam istana Maharaja Srivijaya?
Teruskan membaca jika anda ingin tahu. :)
Yavadipa.
Teruskan membaca jika anda ingin tahu. :)
Yavadipa.
Catatan terawal yang menyebut tentang Alam Melayu
boleh dibaca di dalam epik terkenal India iaitu Ramayana karya Valmiki. Dalam
karya tersebut Alam Melayu disebut sebagai Yavadipa yang bermaksud Pulau Barli.
Namun demikian sejarawan telah membuktikan bahawa tidak wujud atau tumbuhnya
barli di Alam Melayu. Mereka membuat hipotesis bahawa Yava atau barli yang
dimaksudkan adalah bijirin secara umumnya dan bukan khas merujuk kepada barli.
Sebenarnya daripada perkataan Yavadipa inilah
munculnya perkataan-perkataan China sejak kurun 3 Masihi lagi seperti She Bo
(Dzia Bak), Zhu Bo, Chia Bak dan Qi Bo atau Gji Bak dan Yepoti, yang merujuk
kepada wilayah Alam Melayu atau lebih tepat merujuk kepada Sumatera, Semenanjung
dan Pulau Jawa. Begitu juga dengan perkataan Arab dan Parsi seperti Zabag,
Sabeg, Sayabiga, Jaba, Gaba, Gawa dan akhirnya Jawi. Semua ini merujuk kepada
Malayan peoples atau Malayan countries menurut Wilkinson.
Menurut Waruno Mahdi, terdapat satu keanehan pada
perkataan-perkataan ini. Apa yang dimaksudkan sebagai aneh ialah penggunaan ‘B’
dalam sebutan perkataan-perkataan tersebut seperti Zabag atau perkataan Cina
Chia/Jhia Bak. Hal ini kerana perkataan asal seperti yang telah disebutkan
iaitu dari bahasa Sanskrit Yavadipa menggunakan ‘V’ bukan ‘B’. Menurut beliau
penggunaan ‘B’ ini adalah hasil pinjaman daripada penutur bahasa Austronesian
itu sendiri atau dari bahasa rumpun Melayu dan bukan asli dari sebutan mereka
(Cina, Arab dan Parsi).
Namun menurut beliau lagi, sebahagian besar catatan
China, Arab dan Parsi yang menggunakan sebutan dengan ‘B’ ini muncul dalam
zaman dimana belum lagi wujud aktiviti maritim yang pesat dalam Tamadun China
mahupun Tamadun Arab serta Parsi. Catatan China terawal yang mengunakan sebutan
dengan ‘B’ ini telah wujud pada kurun 3 Masihi iaitu jauh sebelum zaman
aktiviti penerokaan maritim oleh bangsa Cina. Pada zaman awal ini orang Cina
masih bergantung kepada kepakaran maritim bangsa KUNLUN untuk melakukan
aktiviti pelayaran ke Nusantara. Manakala tidak mungkin ia dipinjam daripada
bahasa Sanskrit mahupun Dravidian kerana Sanskrit dan Prakrit menggunakan ‘V’,
Yavadipa dan Javaka manakala Tamil Chavakam.
Begitu juga dengan catatan pengembara Parsi dan Arab
sekitar kurun ke 7 Masihi dan kewujudan Bani Sayabiga di Teluk Parsi adalah
jauh sebelum zaman kegemilangan penerokaan laut oleh bangsa Arab seperti pada
zaman Ibnu Batutah. Oleh kerana itu dipercayai bahawa penggunaan sebutan ‘B’
dalam perkataan tersebut dipercayai diperkenalkan oleh orang-orang daripada
Alam Melayu itu sendiri melalui hubungan maritim yang mereka jalankan dengan
bangsa Arab, Parsi dan China. Waruno Mahdi mencadangkan puak yang menyebarkan
sebutan tersebut adalah Sea-Gipsy atau orang laut yang mendiami sekitar utara
Semenanjung berdekatan Burma serta Teluk Siam seperti orang Moken atau Moklen
dan Urak Lawoi.
Naga.
Terdapat beberapa petunjuk dari catatan China dan
India yang dapat menguatkan hujah ini. Orang Cina dan India sejak awal kurun
Masihi lagi sering mencatat tentang pertembungan mereka dengan satu bangsa
pelaut yang hebat di kawasan kepulauan Asia Tenggara hingga ke pulau-pulau di
Lautan Hindi. Orang India menggelarkan mereka sebagai BANGSA NAGA. Catatan
tentang bangsa Naga ini ditulis bukan sahaja dalam teks-teks agama Hindu dan
Buddha di India Selatan malah juga India
Utara.
Ini adalah lukisan dalam sebuah komik German yang bertajuk 'Das Orang Laut'. Anehnya orang German menggambarkan Raja Orang Laut ini duduk diatas singgahsana berkepala Ular/Naga. Mereka juga memakai potoh, gelang dan subang emas. Nampaknya orang barat samaada secara sedar atau tidak mengetahui sejarah Bangsa Naga. Wallah hu a'lam.
Semua tulisan ini merujuk mereka sebagai satu bangsa
yang tinggal di kawasan pinggir pantai dan pulau-pulau serta suka melanun dan
pada masa yang sama juga terlibat dalam aktiviti perdagangan. Walaupun pada
asasnya terma Naga itu merujuk kepada pelbagai etnik yang menjalankan aktiviti
maritim, namun dapatlah disimpulkan bahawa
sebahagian besar daripada Naga yang dimaksudkan itu adalah orang rumpun
Melayu atau Orang Laut yang memang terkenal hebat dalam ilmu kelautan di
sekitar Selat Melaka hingga Lautan Hindi. Roger Blench dengan merujuk kepada
Waruno Mahdi dipetik sebagai berkata:
The Nāgas referred to in early (Indian) texts ‘typically
inhabited islands, the sea coast or banks
of rivers. Some of them worshipped megaliths
and practiced buffalo sacrifice and head-hunting’ (Mahdi 1999b: 182).
Identifying such populations with early
Austronesian migrants would not be unreasonable. Given the dates for the
texts, Austronesian presence would be identifiable from ca. 500 BC.
Solheim sendiri pernah menbuat kenyataan berdasarkan
kajian terhadap data-data Arkeologi bahawa aktiviti perdagangan dan perhubungan
dengan India dan Timur Tengah telah dijalankan oleh suku bangsa rumpun Melayu sejak
kurun ke 2 sebelum Masihi lagi. Manakala kajian terbaru yang dijalankan juga
didapati bahawa aktiviti perdagangan oleh rumpun Melayu dengan India, Timur
Tengah malah kawasan Meditranian telah berlaku lebih awal lagi yakni sejak
kurun ke 4 sebelum Masihi. Menurut Professor Maguin, kapal-kapal dagang rumpun
Melayu yang besar (Jong) memainkan peranan yang sangat penting dalam aktiviti
tersebut.
Kunlun.
Dalam rekod China Yiqie Jingyin Yi (Comprehensive
pronunciation dictionary) yang bertarikh 817 Masihi ditulis oleh Hui Lin
terdapat beberapa rujukan terhadap catatan yang lebih awal iaitu dari kurun 3
Masihi yang menyebut tentang KUNLUN BO iaitu sejenis kapal besar yang dipunyai
oleh satu bangsa yang dipanggil sebagai Gulun. Catatan Cina juga menyebut
mereka sebagai South Sea-Barbarian yang berkulit gelap dan tidak berpakaian. Dipercayai
sebutan atau panggilan Gulun atau Kunlun ini juga berasal daripada bahasa
Austronesia. Menurut sejarawan ia
mempunyai kaitan dengan perkataan Ulon atau Lon dalam bahasa Aceh, Ulun dalam
bahasa Banjar serta Dayak Maayan, dalam bahasa Lampung dan Dayak Iban. Manakala
Olona dalam bahasa Malagasy juga berakar daripada perkataan yang sama dan semua
ini merujuk kepada kata ganti nama diri pertama.
Dalam bahasa Melayu pula Ulun atau Hulun bermaksud
hamba atau pesuruh, contohnya dalam perkataan Melayu kuno Hulun Haji yang
bermaksud Hamba Raja. Ia juga terdapat dalam bahasa Jawa iaitu Kulo dan
Pwangkulun yang juga bermaksud sahaya atau tuan dan asas kepada perkataan
Penghulu. Oleh itu dipercayai bahawa perkataan Ulun atau Hulun yang sering disebut
atau diperturturkan oleh bangsa pelaut ini ketika mereka singgah di
pelabuhan-pelabuhan di China untuk berdagang telah lekat dalam kepala orang
Cina dan menyebabkan mereka memanggil orang-orang rumpun Melayu sebagai Gulun
atau Kunlun. Begitu juga dalam bahasa Orang Laut Moken atau Moklen, terdapat
juga perkataan Kolon yang bermaksud hamba, atau saya atau orang secara umumnya
yang menguatkan lagi teori ini.
Sudah menjadi Adat turun-temurun dalam budaya rumpun
Melayu untuk membahasakan diri sebagai seorang Hamba atau Sahaya apabila
bertutur dengan orang lain, dan hal ini dilihat aneh oleh bangsa lain. Selain
itu menurut Waruno Mahdi, Orang Laut atau suku Moken dan Urak Lawoi ini
bukanlah satu-satunya pemain utama dalam aktiviti perdagangan dan perkapalan
tersebut. Sebaliknya mereka adalah tenaga kerja atau buruh yang menjadi anak
kapal bagi para pedagang rumpun Melayu yang lain yang lebih bertamadun seperti
suku Melayu, Jawa, Cham/Funan atau mungkin juga Bugis dan Sulu kerana sehingga
sekarang mereka masih lagi primitif kehidupannya berbanding dengan suku rumpun
Melayu yang lain. Mereka inilah yang menjadi para tentera elit laut dan
pengawal lalu-lintas di Selat Melaka sejak turun temurun dari zaman Langkasuka
hingga Srivijaya dan berterusan sehingga ke zaman Melaka dan Empayar
Johor-Riau. Hal ini tidak dapat dinafikan lagi.
Bahasa Zabag.
Bahasa Zabag.
Persoalan terakhir iaitu berkenaan Bahasa Zabag,
yakni bahasa apakah yang dipertuturkan secara rasmi dalam kerajaan Maharaja
Zabag? Sebenarnya kalau kelian hendak tahu, jawapannya sudah terang dan jelas
disebut oleh pencatan Arab/Parsi yang melawat ke Alam Melayu ini. Dalam catatan
Nakhode Buzurq Ibn Shahriyar pada kurun ke 10 M dalam Kitab ‘Ajaib Al Hind’ ada
tertulis satu bukti yang dapat membongkar siapa bangsa Zabag sebenarnya.
Dipetik dari kitab tersebut :
It was the customs among the kings of Zabag and the
land of Gold that no one was allowed to sit before them, neither indigenous,
foreigner, nor Muslim, without having his leg crossed, this position being
known as ‘Al barsila’.
Perkataan ‘Barsila’ dalam teks Arab tersebut adalah
perkataan yang sama dalam BAHASA MELAYU iaitu BERSILA dan dalam tulisan Jawi
atau Arab imbuhan ‘ber’ akan menjadi ‘bar’ , maka dengan yakinnya dapat
disimpulkan bahawa bahasa yang digunakan di Zabag adalah bahasa Melayu.
Walaupun perkataan ‘Sila’ itu adalah berasal daripada bahasa Sanskrit, namun
penambahan imbuhan ‘ber’ adalah unik untuk Bahasa Melayu dan rumpun terdekatnya
sahaja.
Kajian yang lebih lanjut harus dibuat untuk
mengukuhkan lagi hujah-hujah yang telah dikemukakan. Namun dapat kita simpulkan
bahawa rumpun Melayu telah lama menjalankan hubungan maritim dengan
bangsa-bangsa luar. Walaupun kurangnya catatan daripada sumber tempatan, namun
sumber-sumber luar seperti dalam karya Ramayana dan rekod-rekod imperial
Dinasti China serta catatan para pengembara Arab dan Parsi sememangnya wujud. Nama-nama
seperti Kunlun, Sayabiga, Zabag menjadi sebutan mereka. Ianya membuktikan
bahawa bangsa kita bukan calang-calang bangsa, tetapi satu bangsa yang
berperanan besar dalam sejarah dunia suatu ketika dahulu. Ia juga menunjukkan
betapa besarnya peranan Orang Laut yang sejak turun temurun menjadi Vanguard dalam
aktiviti maritim kerajaan-kerajaan rumpun Melayu di Nusantara. Sekian, Wallah
hu a’lam.
~ASJ~
Sumber:
- · In Search Of An Historical Sea-People Malay Dialect With –aba. Waruno Mahdi in: Alexander Adelaar, Andrew Pawley (editors), Austronesian historical linguistics and culture history: a festschrift for Robert Blust, Pacific Linguistics 601.
- · The Cambridge History of Southeast Asia edited by Nicholas Tarling.
- · Maritime Southeast Asia, 300 B.C.to A.D.1528, By Lynda Norene Shaffer.
- · Remapping the Austronesian expansion, By Roger Blench.