Selasa, 27 September 2011

PENDEKAR MELAYU DALAM SEJARAH DINASTI TANG?




Salam. Mungkin perkara yang hendak saya sampaikan ini agak pelik bagi sesiapa yang tidak arif tentang sejarah ketamadunan Melayu, namun bagi yang suka membaca buku sejarah maka kehadiran orang Melayu di China adalah perkara yang tidak dapat disangkal. Ketika membuat kajian tentang hubungan China dengan Negara-negara kota Melayu saya telah terjumpa satu perkara yang amat menarik. Semuanya berkait dengan perkataan Kunlun.



Sebelum saya meneruskan cerita mengenai pendekar tersebut , perlu rasanya untuk saya menjelaskan satu istilah yang penting.Kunlun adalah sebutan atau gelaran orang cina terhadap orang yang berkulit gelap. Jika kita cari didalam kamus-kamus cina lama maka akan dijumpai perkataan ini. Namun demikian, perkataan Kunlun ini pada awalnya bukanlah umum bermaksud orang yang berkulit gelap. Hal ini kerana perkataan tersebut terbit daripada sebutan cina terhadap raja yang memerintah kerajaan Funan dan kerajaan-kerajaan di Semenanjung tanah Melayu yakni di bahagian timur.



Tidak diketahui bila bermulanya perkataan Kunlun ini digunakan untuk menggambarkan setiap bangsa yang berkulit gelap menggantikan bangsa Melayu. Sememangnya Kunlun adalah khas panggilan orang china terhadap bangsa Melayu yang kemudiannya termasuk sekali bangsa Khmer. Ada pihak-pihak tertentu yang ingin menafikan perkara ini dengan mengatakan bahawa Kunlun merujuk kepada bangsa Negrito atau Afrika. Pada saya pernyataan ini adalah tidak tepat, malahan kurang hujah serta bukti yang kukuh. Orang Melayu sebagai Kunlun telah saya jelaskan sebelum ini bahawa ia bermula daripada pelat orang-orang Cina menyebut gelaran raja-raja purba Melayu di Indochina yang dipercayai sesetengah sejarawan sebagai kurung atau kulun atau gunung! Iching dan Su Kung dalam buku pengembaraannya pernah menyatakan bahawa bunga cengkih banyak ditanam di negeri Kunlun. Jadi tak mungkin Kunlun itu Afrika. Manakala dalam kamus sanskrit China pada zaman Tang Kunlun bermakna Dvipantara yakni Semenanjung Asia Tenggara!



Mengukuhkan lagi hujah ini, masyarakat cina melalui catatan-catatan pengembara mereka turut merekodkan tentang aktiviti pelayaran dan perkapalan serta perdagangan yang dijalankan oleh orang-orang Kunlun. Turut direkodkan kehebatan kapal-kapal buatan orang-orang Kunlun yang dipanggil sebagai Kunlun po. Perkara ini mengesahkan lagi bahawa Kunlun adalah orang Melayu kerana orang Melayu memang mengamalkan aktiviti kelautan sejak dari awal lagi. Pada zaman dinasti Tang juga ada direkodkan bahawa seorang pedagang Kunlun yang membunuh gabenor Guangzhou kerana gabenor itu cuba menipu dalam urusan perdagangan dengannya. Pada zaman dinasti Yuan pula ada tercatat dalam buku sejarah China bahawa lokasi Kunlunguo atau kerajaan Kunlun terletak di laut selatan dan lebih selatan dari Lin yi atau Champa. Ternyata pernyataan ini menunjukkan Kunlun itu terletak di Semenanjung Melayu.


 

Penuntut kung fu aliran Wudang dikatakan mampu melakukan teknik terbang melayang seperti yang dilakukan oleh hamba Kunlun. Adakah teknik Wudang ini berasaskan dari hamba Kunlun tersebut yang merupakan seorang pendekar Melayu?


 
Namun tidak saya nafikan bahawa memang pernah wujud orang-orang Afrika yang dijadikan hamba dibawa ke China untuk dijual. Kebanyakan hamba-hamba ini dimiliki oleh orang-orang asing yang berniaga di China seperti di Xian dan Canton yang memang terdapat banyak penempatan orang asing seperti Arab dan Parsi. Untuk mengatakan bahawa orang negrito ini datang sendiri dan menetap di China adalah agak mustahil kerana diketahui bahawa mereka adalah agak primitive berbanding bangsa lain terutama dalam soal pelayaran dan perdagangan antarabangsa berbanding orang Melayu dan Arab. Walaubagaimanapun mereka tetap digelar sebagai Kunlun oleh orang-orng cina dan hal ini menyebabkan perkataan Kunlun bukan lagi khusus untuk bangsa Melayu. ini menyukarkan dan mengelirukan ahli-ahli sejarah yang ingin mengkaji tentangnya.



Perkataan Kunlun juga dikatakan berasal daripada banjaran gunung yang berada di Tibet yakni Kunlun shan. Namun ada pengkaji mendapati Kunlun juga panggilan orang-orang china bagi gunung yang berada di Pulo Condor (baca pulau kundur). Sejak beratus tahun yang lampau pulau ini telah dikenali para pedagang dengan nama tersebut yang terang-terang adalah bahasa Melayu. Para pedagang china juga sering menamakan Asia Tenggara terutama kepulauanya sebagai kunlun. oleh itu tidak dapat disangkal lagi bahawa orang kunlun merujuk kepada orang-orang Asia Tenggara.



Berbalik kepada persoalan pendekar Melayu di china itu tadi sebenarnya tidak ada record sejarah yang betul-betul dapat mengesahkan bahawa lelaki ini memang wujud pada zaman tersebut. Namun demikian wujudnya Novel Kunlun Nu atau The Kunlun Slave yang dikarang pada zaman dinasti Tang menunjukkan bahawa masyarakat China telah terdedah dengan kedatangan atau kehadiran orang-orang bangsa Kunlun atau Melayu.



Dalam novel tersebut yang berlatarbelakankan Kerajaan China dinasti Tang, wujud sebuah keluarga bangsawan yang mempunyai seorang hamba berbangsa Kunlun. Dipendekkan cerita. Pada suatu hari anak lelaki daripada keluarga bangsawan telah tertarik hati dengan salah seorang perempuan istana atau puteri raja. Mereka telah tertearik hati diantara satu sama lain dan jatuh cinta. Untuk bertemu dengan sang puteri atau gundik tersebut si pemuda bangsawan terpaksa memanjat kota yang tinggi melebihi 20 kaki.



Dengan bantuan hambanya si orang Kunlun, beliau telah berjaya melepasi tembok tersebut. Si pemuda telah membawa lari perempuan istana tersebut dengan dibantu oleh hamba Kunlun. Hamba Kunlun ini digambarkan mempunyai kuasa mistik. Dia dikatakan telah menggunakan kuasa mistiknya bagi membunuh para pengawal Istana dan membawa lari si puteri dengan cara terbang melepasi tembok dan melompat dari satu bumbung ke satu bumbung bangunan yang lain (seperti dalam cerita-cerita kung fu). Si hamba juga dikatan boleh menghilangkan diri dan mempunyai kuasa untuk menyembuh dan mempunyai pengetahuan yang luas dalam perubatan.



Apa yang menariknya ciri-ciri hamba Kunlun ini sama seperti gambaran orang Cina terhadap orang-orang Asia tenggara atau Melayu. Orang cina menggelarkan orang-orang Kunlun sebagai bangsa yang gasar dan berkulit gelap dengan rambut yang beralun atau kerinting. Seperti yang telah kita bincangkan sebelum ini, Kunlun merujuk kepada orang Melayu. Jadi persoalannya adakah hamba ini seorang Melayu? Saya berkesimpulan bahawa dia memang seorang Melayu. Seperti yang kita tahu pada zaman dahulu lagi bangsa Melayu memang mempunyai kehebatan dalam ilmu beladiri yang mistik. Kehebatan untuk terbang dari satu pokok ke pokok oleh pendekar-pendekar Melayu pada zaman dahulu sehinggalah zaman jepun kasih bermain di bibir masyarakat Melayu. Tetapi adakah orang Afrika mempunyai kemahiran sebegitu. Jawapannya tentulah tidak. Tidak ada dalam sejarah mereka ilmu mistik dan pertahanan diri sebegitu rupa. Tetapi ilmu persilatan orang Melayu memang ada sejak beribu tahun lagi. Ilmu-ilmu kebatinan orang Melayu memang sangat kuat diamalkan pada zaman Hindu-buddha. Jadi adalah tidak mustahil jika saya katakan bahawa hamba Kunlun tersebut adalah seorang Melayu yang tinggi ilmu kebatinannya.



 
Menurut sejaraawan China, novel tersebut adalah diantara novel Wushia atau kependekaran yang terawal di China yang membuka ruang kepada novel-novel dan cerita-cerita kependekaran yang lain di china. Hal ini menunjukkan bahawa ilmu terbang melayang seperti yang kita sering lihat dalam filem-filem China sebenarnya berasas daripada cerita pendekar Melayu yang tinggi ilmu batinnya. Dalam novel tersebut si hamba Kunlun kemudiannya menghilangkan diri dan beberapa tahun kemudian dilihat menjual ubat-ubatan di pasar. Jika kita telitikan dapat diketahui bahawa sebahagian besar daripada rempah ratus dan ubat ubatan China adalah bersumberkan dari hutan-hutan Asia Tenggara jadi tidak mustahil si hamba tersebut balik semula ke kepulauuan Melayu dan menjadi pedagang. Satu lagi ciri yang dapat memberikan gambaran bahawa si hamba Kunlun adalah seorang Melayu ialah nama beliau. Namanya dalam pelat cina ialah Mole atau Mohe. Jika kita cuba padankan dengan bahasa Melayu boleh jadi Molek atau Mula atau Malin. Tambahan lagi beliau juga dikatakan sering membawa sejenis dagger atau pisau yang menjadi satu-satu hartanya yang dibawa kemana-mana. Mungkinkah ianya keris?



Nampaknya kemisteriusan kisah ini hampir sama seperti Kisah Henry The Black atau Panglima Awang. Namun persamaan kedua-dua cerita ini adalah mereka tidak lain tidak bukan adalah dari kepulauuan Melayu. Terpulang kepada anda samaada untuk menyetujui kesimpulan saya yang meletakkan si hamba sebagai melayu atau tidak. Diharapkan anda memberikan komen masing-masing dan mungkin pandangan lain tentang topik ini. Sekian wallah hu a’lam.