Gambaran kemegahan Istana Melaka. Adakah Melaka sekadar jeti pelabuhan ala-ala kampung?
Masih
terngiang-ngiang di telinga saya, beberapa orang rakan malah guru yang mengejek
dan mencemuh dengan kata-kata ‘alah…apalah hebat sangat pada Melaka, Portugis
serang tak sampai seminggu terus kalah teruk, lari lintang pukang’...’Melaka
kalah dengan mudah kerana teknologi persenjataan yang sangat lemah,
bayangkanlah orang kita berperang hanya guna keris, sumpit dan tombak, padahal
Portugis guna meriam dan senapang, mana tak kalahnya’…’Orang Melaka semua jakun
sebab tak pernah tengok Meriam lalu lari lintang pukang’. Kalaulah mereka tahu hakikat
yang sebenar, kalaulah. Sebenarnya apakah yang berlaku dalam peristiwa 1511 ini
dan bagaimanakah gambaran sebenar detik-detik Melaka mempertahankan dirinya
dari diperkosa Portugis?
Gambaran pelukis Portugis akan serangan terhadap Kota Melaka.
Hakikat
yang sebenarnya ramai tidak tahu adalah Melaka sudah mencapai kedudukan politik
yang unggul sementara perdagangannya juga terus berkembang, dan pelabuhannya
menggamit pelbagai bangsa datang singgah dari segenap pelusuk dunia. Imej bandar
terapung seperti Venice dan Genoa serta pasar dan rumah yang tidak berputusan hingga
Muar bukanlah satu khayalan atau cakap-cakap kosong sahaja. Walaupun memang
wujud kepincangan dalam pemerintahan, pergeseran, perebutan dan pelbagai lagi
konflik dalaman yang sering kita dengar namun ianya belum cukup parah untuk
menjatuhkan Melaka jika dibandingkan dengan serangan Portugis. Tambahan lagi
oleh sebab begitu makmurnya Melaka maka banyaklah kaum-kaum ‘asing’ yang mula
dengki, hasad dan cemburu akan kekayaan Melaka. Pembelotan kaum-kaum asing ini
juga ibarat gunting dalam lipatan yang memudahkan lagi kemaraan Portugis.
Sudah tiba masanya untuk kita cuba merubah pemikiran kita mengenai Kota Melaka. Melaka diakui sendiri oleh penulis barat sebagai bandar pelabuhan yang terkaya di timur dan setanding dengan Venice. Oleh itu gambaran Melaka dalam lukisan diatas adalah munasabah.
Sesungguhnya
tidak semua persoalan tentang kejatuhan Melaka dapat kita rungkaikan disini.
Namun memadai rasanya untuk kita membuka perbincangan dalam hal kesungguhan dan
semangat juang Melaka bagi mempertahankan maruah dan kedaulatannya daripada
dinodai oleh Portugis. Sebelum itu yang paling penting ialah pandangan kita
bahawa Melaka ketinggalan dari segi teknologi meriam, senapang atau istinggar
dan peluru serta lain-lain senjata api perlu diubah dan dibuang sejauh mungkin.
Seperti yang saya pernah sebut dahulu angkatan Portugis dicatatkan membawa
pulang ribuan pucuk meriam dan senapang yang dirampas dari Melaka. Teknologi
pembuatan dan penggunaannya juga adalah standing dengan teknologi barat.
Menurut
catatan yang dibuat oleh Godinho Eredia, sewaktu kedatangan Portugis di Melaka,
jumlah meriam yang dipunyai kerajaan tersebut adalah sangat banyak. 3,000 pucuk
meriam besar telah dijumpai di dalam kota Melaka sementara 5,000 pucuk lagi
telah sempat dibawa lari oleh tentera Melaka apabila kota itu tumbang.
Albuquerque menyatakan bahawa terdapat 2,000 pucuk meriam yang diperbuat
daripada tembaga dan yang lain diperbuat daripada besi.
Tentera Melaka dilengkapi dengan pelbagai jenis senjata api menurut catatan Portugis sendiri.
Walaupun
dalam naskah Sulalatus Salatin ada ditulis yang serangan meriam Portugis
menggemparkan orang Melaka bagai bertih digoreng, namun petikan tersebut harus
ditafsir sebagai penyedap cerita untuk khalayak pembaca atau pendengar.
Jambatan Melaka yang kita lihat dalam lukisan seperti di muzium atau dalam
buku-buku teks sejarah yang sering digambarkan dengan penuh daif dan uzur juga
perlu kita buang jauh-jauh. Catatan Portugis sendiri mendapati jambatan
tersebut terbina dengan sangat kukuh, malah rekod-rekod China beberapa dekad
sebelum serangan Portugis melaporkan bahawa ada lebih kurang 20 buah kedai di
atas jambatan tersebut. Saya menggambarkan jambatan ini seperti jambatan London
Bridge yang pada zaman pertengahan penuh dengan kedai-kedai. Pihak Portugis
juga mengalami kesukaran dan mengambil masa untuk merobohkan jambatan tersebut
atas maklumat risikan dari Rui Aroujo.
Catatan Portugis juga menyebut tentang senjata api yang boleh dipikul dengan bahu serta meriam gergasi milik Sultan Melaka.
Selain
itu jambatan Melaka juga dilengkapi dengan sistem pertahanan yang jitu dimana
diletakkan meriam-meriam besar dan kecil bagi menangkis serangan dari arah laut.
Dicatatkan bahawa sebaik sahaja meriam-meriam Melaka yang terdapat di atas
jambatan dirampas oleh Portugis dalam serangan mereka, askar-askar Melaka yang berjaya
mengusir semula tentera Portugis dari jambatan telah mengeluarkan meriam-meriam
baru untuk menggantikan meriam yang telah dirampas tadi. Hal ini menunjukkan
simpanan senjata api Kerajaan Melaka adalah banyak. Dicatatkan juga bahawa
sebahagian besar daripada meriam Kerajaan Melaka sebenarnya tidak digunakan
langsung sepanjang peperangan tersebut kerana jumlahnya yang terlalu banyak.
Di
dalam buku teks sekolah juga kita diberitahu atau digambarkan pertempuran
berlaku di daratan kota Melaka sahaja, namun dari catatan Portugis didapati
pertempuran sebenarnya telah bermula sejak di laut lagi. Sebelum pihak Portugis
berjaya mendarat, mereka dilaporkan telah diserang tentera Melaka di perairan
yang mengakibatkan kehilangan 100 nyawa di pihak Portugis. Pihak Melaka
menggunakan perahu atau lancara yang diisi dengan minyak dan bahan pembakar
kayu serta dihalakan ke kapal-kapal Portugis. Taktik ‘Fire Ship’ ini sering
digunakan di Eropah juga seperti dalam perang Inggeris dengan Sepanyol pada
zaman ratu Elizabeth. Selain itu tembakan meriam dari Melaka menghala ke
kapal-kapal Portugis juga turut mendatangkan kecelakaan. Oleh itu pendapat yang
mengatakan meriam Melaka tidak boleh menembak jauh juga harus dibuang kelaut.
Taktik 'fire ships' telah digunakan sejak zaman Yunani kuno lagi.
Melaka
juga melaksanakan strategi menggertak dan tindakan perang psikologi untuk
menakutkan pihak lawan dengan mengeluarkan sejumlah perahu perang, lancara,
tongkang, sampan dan sebagainya yang lengkap bersenjata untuk menunjukkan
kekuatannya kepada Portugis. Walaupun begitu kekuatan sebenar Melaka yakni
armada jong perang gergasinya yang diketuai laksamana pada waktu itu tiada di
perairan. Maklumat daripada catatan Giovani Da Empoli mengesahkan bahawa
tentera Melaka telah menggunakan lancara serta perahu berapi untuk memusnahkan
kapal Portugis. Di kawasan pantai pula pertahanan dikukuhkan dengan pancangan
kayu dan besi-besi tajam atau kawat beracun serta meriam-meriam pelbagai jenis
besar dan kecil beserta dengan peti-peti berisi serbuk peluru.
Sebenarnya
saudara sekalian perang Melaka bukan berlaku dalam jangka masa yang singkat.
Pada masa ketibaan Portugis pada 28 Jun 1511 pertempuran tidak terus terjadi
sebaliknya kedua-dua belah pihak menggunakan taktik tunggu dan lihat,
masing-masing menunggu siapa yang akan menyerang dahulu. Hal ini diselangi
dengan sesi perundingan dan diplomasi yang tidak kemana. Pihak Portugis mahu
tawanan Portugis termasuk Rui Aroujo dibebaskan. Selang tiga minggu dari itu
keadaan mula semakin tegang. Beberapa siri pertempuran kecil berlaku di laut
dan dikawasan penginapan para pedagang berdekatan pantai. Portugis menyerang
empat kapal Jawa dan sebuah kapal Sumatera. Kemudian kapal-kapal saudagar Gujarat
di pelabuhan juga dibakar termasuk rumah penduduk di pantai. Walaupun Sultan kemudiannya
membebaskan tawanan, namun perang tetap tidak dapat dielakkan lagi.
Pihak
Portugis sebenarnya sangat tahu akan kelemahan Melaka. Hal ini kerana mereka
telah mempunyai perancangan yang jitu. Mereka mempunyai kelebihan dari segi
risikan atau maklumat yang diberi oleh Rui Aroujo dan orang-orang dalaman
Melaka sendiri seperti Utimutiraja, seorang perempuan Parsi dan Nainachittu.
Melaka mempunyai musuh di setiap penjuru malah didalam kelambunya sendiri.
Namun demikian Portugis tidak pernah memperkecilkan kemampuan pertahanan Melaka.
Albuquerque sendiri pernah menyebut bahawa ‘Kita tidak akan dapat menawan melaka dengan hanya dua batang pedang
yang berkarat!’ Di waktu subuh
sebelum serangan habis-habisan dilancarkan, Albuquerque memberi ucapan bahawa
Melaka harus ditundukkan supaya aliran rempah tidak akan sampai ke Makkah dan
Kaherah dan sinar Islam disini akan
padam! Ungkapan beliau ini jelas menunjukkan niat sebenar mereka.
Barisan
ketenteraan Portugis sebenarnya lebih ramai dari yang kita ketahui. Namun kita
sering mendengar jumlah tentera Portugis hanyalah 1200 orang termasuk 600
tentera upahan Malabari dan kapalnya lebih kurang 19 buah. Maklumat daripada
catatan Giovanni menunjukkan bahawa sewaktu tiba di Pedir, jumlah kapal
termasuk yang ditawan di perjalanan mencecah angka 25 buah. Di Pasai, lapan
buah kapal dari Cambay lagi menjadi mangsa tawanan atau dirosakkan. Dengan
demikian kita menganggarkan lebih kurang 27 buah kapal telah tiba di perairan
Melaka, tetapi menurut Hamka pula lebih dari 60 buah kapal ada dalam angkatan
Portugis, termasuk kapal-kapal kecil seperti fusta dan galias. Malahan terdapat
beberapa buah kapal lagi di Melaka yang ditawan dan tawanannya dijadikan
barisan sokongan dalam serangan keatas Melaka.
Giovanni
turut melaporkan bahawa dalam serangan pada 25 julai 1511 terdapat 1500 orang
tentera Portugis yang terlibat, dengan pasukan bantuan daripada orang Cina
sebanyak 400 orang dan bantuan dari seorang putera Sumatera (Raja Kampar
menantu Sultan Mahmud sendiri) juga lebih kurang 400 orang. Ini semua belum
termasuk tentera bantuan dari orang Pegu, Siam, malah orang-orang Keling
dibawah Nainachittu dan tentera upahan Jawa yang sengaja berperang dengan tidak
bersungguh-sungguh setelah ketua mereka Utimutiraja disogok Portugis.
Pertempuran
berlaku dengan sengit di beberapa lokasi seperti di Jambatan, bukit Melaka,
Bandar pelabuhan, Istana dan Masjid sultan. Pertahanan Melaka turut
diperkuatkan oleh ribuan tentera Jawa yang pada permulaan ogos dibayar tiga bulan gaji terkehadapan
disamping barisan pejuang Turki dan Khorusones atau Parsi sejumlah 3000 orang.
Seperti yang saya telah sebutkan tadi, walaupun tentera Jawa ini telah dibayar
gaji awal untuk tiga bulan, mereka tetap belot dan tidak bersungguh-sungguh
mempertahankan Melaka kerana penghulu mereka Utimutiraja telah membuat pakatan
dengan Alfonso de Albuquerque dan memberitahu anak-anak buahnya agar ‘tidak perlu bersusah payah menggadaikan
nyawa sendiri untuk mempertahankan harta benda orang lain’.
Tentera Jawa.
Persoalannya
adakah kekuatan Melaka yang sebenar telah digunakan sepenuhnya? Sebenarnya
kekuatan Melaka yang sebenar adalah terletak pada armada lautnya. Namun
demikian armada laut Melaka yang terdiri daripada jong-jong yang besar tidak
berada di perairan Melaka pada ketika itu. Sebelum mulanya serangan yang
penghabisan oleh Portugis, Sultan sengaja melambat-lambatkan pelepasan tawanan
dan cuba berdiplomasi kerana menunggu armada lautnya bersama Laksamana. Namun
tindakan Sultan yang sengaja melengah-lengahkan masa tersebut diketahui
Portugis yang menyebabkan serangan total dilakukan sebelum sempat armada itu
sampai. Hal ini disebabkan pihak Portugis sangat takut dengan risikan yang
diberikan oleh Rui Aroujo yang mengatakan bahawa Sultan Melaka mempunyai satu
armada laut yang sangat kuat yang diketuai oleh seseorang yang bernama
‘Laksamana’ yang dapat membakar hangus seluruh armada Portugis jika mereka
lambat bertindak.
Terdapat
catatan dari Portugis yang menyebut bahawa sewaktu Melaka diserang, Laksamana
bersama armada Melaka sedang mengadakan rondaan di kawasan perairan jajahan
takluk Melaka, mungkin sekitar Riau-Lingga. Ini kerana dalam catatan tersebut diberitahu
bahawa Raja Lingga bersama Laksamana telah berpatah balik apabila mengetahui
bahawa Melaka sudah jatuh ke tangan Portugis dan Sultan berundur ke Muar. Pada
pendapat saya Raja Lingga dan Laksamana tahu bahawa kejatuhan Melaka bukanlah
bermakna kejatuhan empayar Melaka kerana adat Melayu itu 10 negeri boleh
dicari, selagi ada raja berdaulat. Jadi jika raja berundur maka pembesar dan
raja-raja taklukannya tidak akan membuat keputusan sendiri untuk terus
menyerang Melaka, sebaliknya berundur bersama Sultan untuk mengatur strategi
baru. Sultan Mahmud juga dikatakan bertitah, adat kita raja Melayu, negeri alah
raja mati, yang melambangkan bahawa perjuangan Melaka sebenarnya belum tamat
selagi baginda dan waris-warisnya belum mati.
Apa
yang dapat saya simpulkan disini ialah kekalahan Melaka kepada Portugis
bukanlah satu kekalahan yang mudah seperti yang sering disebut-sebut. Bukan
disebabkan teknologi persenjataan yang lemah dan bukan kerana kejakunan tentera
Melaka terhadap tembakan meriam tentera Portugis. Barisan pertahanan Melaka
telah berjuang berhabis-habisan baik dari segi diplomasi, pertanahan, taktik
dan strategi pertempuran. Pihak Portugis sendiri mengakui bahawa pejuang-pejuang Melayu Melaka adalah gagah
perkasa dan terlatih dalam ilmu peperangan serta dilengkapi dengan pelbagai
jenis senjata berpotensi. Namun begitu kita tidak boleh pandang rendah pada
kekuatan Portugis. Orang Portugis mempunyai pengalaman tempur dan kepungan laut
yang sama hebatnya dengan bangsa Melayu. Sebelum mereka menyerang Melaka banyak
kota pelabuhan lain seperti di India dan Teluk Parsi yang berjaya mereka tawan,
malah mereka pernah bertempur dengan armada Turki yang terkenal hebat itu.
Kekalahan
Melaka adalah sebab kurangnya kesepaduan dan kesepakatan diantara ‘Anakvanua’,
dan sikap terlalu memberi kepercayaan kepada ‘anak dagang’ atau bangsa ‘asing’.
Bak kata pepatah ‘apalah diharap pada
dagang, bertukar musim berlalulah ia’. Sikap terlalu bertoleransi yang
ditunjukkan oleh orang Melayu sejak zaman berzaman ini akhirnya memakan diri
sendiri apabila golongan-golongan ‘dagang’ ini mula menunjukkan belang mereka
dan menikam dari belakang! Baik dagang Kalingga, dagang Ming, dagang Burma,
maupun dagang Kampar dan Mojo yang serumpun sebangsa, semuanya menjadi duri
dalam daging. Harapkan pagar-pagar makan padi. Peristiwa ini seharusnya menjadi
pengajaran kepada anak-anak vanua pada hari ini, dan bukannya kisah Melaka
kalah berperang kerana menggunakan keris dan sumpit semata-mata yang ternyata
tidak benar. Sekian, wallah hu a’lam.
~ASJ~
· Prof Emeritus
Dr. Muhammad Yusof Hj. Hashim , Kisah Melaka 1511, Institute Kajian Sejarah Dan
Patriotism Malaysia, 2006.
· Abdul Aziz
Zakaria, Portugis Dalam Sejarah Melaka, DBP, 1963.
· Portuguese
Documents on Malacca: 1509-1511, National
Archives of Malaysia, 1993.
· Muhammad Yusoff
Hashim, Muzaffar Desmond John Tate, The Malay Sultanate of Malacca: A Study of Various Aspects of Malacca in the 15th and 16th Centuries in Malaysian History,
Dewan Bahasa & Pustaka, 1992.