As salam kepada semua. Dengan sukacitanya saya
mempersembahkan sebuah buku sejarah berbentuk santai yang pertama hasil
tulisan tiga orang Blogger yang mempunyai minat yang mendalam pada sejarah
bangsa Melayu. Seperti yang tertera pada
tajuk buku diatas, penerbitan buku ini adalah inisiatif atau percubaan penulis
bersama dua orang Blogger yang terkenal iaitu Srikandi dan Ibnu Rusydi untuk menjawab
beberapa topik berkenaan sejarah Melayu
yang sering dipertikaikan oleh pihak
tertentu . Perkara yang dibincangkan adalah topik yang sering dibangkitkan
khususnya di alam maya terutama laman-laman sosial yang sering dilayari oleh
anak-anak muda kita.
Hasil kerjasama dengan Penerbit buku Hijjaz Record Publishing (HRP), sebuah buku
yang menghimpunkan beberapa buah artikel ini akan diterbitkan sebagai rujukan sampingan
dan panduan asas terutamanya kepada generasi muda agar lebih cakna akan sejarah
bangsa dan tidak mudah termakan dengan dakyah negatif yang bertujuan untuk
menjatuhkan keyakinan serta melemahkan semangat bangsa Melayu dan Bumiputra di negara
ini.
Jika semuanya berjalan lancar, Insya Allah buku ini
akan berada di pasaran sebelum hujung tahun ini. Buku ini boleh didapati di
kedai-kedai buku berhampiran atau terus memesan dengan penerbit di http://www.hijjaz.my/store/.
Berikut dipaparkan sedikit petikan daripada salah
satu artikel di dalam buku ini tentang topik ‘SENJATA API DI ALAM MELAYU’:
Tidak ramai yang
tahu bahawa masyarakat Melayu juga menghasilkan dan menggunakan pelbagai jenis
senjata api sejak zaman Kesultanan Melaka lagi. Bukti sejarah juga menunjukkan
bahawa tentera Portugis pada awal abad ke-16, Belanda pada abad ke-17, dan
Inggeris pada akhir abad ke-17 berhadapan dengan tentera Melayu yang lengkap
bersenjata api secanggih senjata api mereka.
Perkara sebenar
ini amat bertentangan dengan apa yang dipaparkan pada buku teks sejarah di
sekolah iaitu pada Bab serangan Portugis ke atas Melaka. Apa yang digambarkan
adalah tentera Melaka berhadapan dengan tentera Portugis dengan hanya
bersenjatakan senjata tradisional seperti keris, pedang, tombak dan panah.
Sedangkan pihak Portugis lengkap dengan baju perisai termasuklah senjata api
seperti meriam dan senapang. Gambaran yang diberikan terhadap pasukan
ketenteraan Melaka sangat daif dan hampir tiada penekanan mengenai penggunaan
senjata api. Jika adapun hanyalah penggunaan Lela iaitu sejenis meriam kecil
tanpa sebarang penerangan lanjut.
Ilustrasi yang
diberikan seolah-olah pelabuhan Melaka hanyalah sebuah penambang bot kampung
sahaja. Gambaran tidak tepat dan merendah-rendahkan tamadun Melayu ini menjadi
trend pada satu masa sehinggakan ada dikalangan bangsa kita sendiri mengakui
ungkapan menghina bahawa orang Melayu ‘hendak membuat sebatang jarum pun tidak
tahu’. Akibatnya orang Melayu terperangkap dalam fenomena ‘inferiority complex’
yang teruk sehinggakan ramai dikalangan orang Melayu yang malu untuk mengaku
sebagai Melayu dan lebih berbangga dengan tradisi dan ketamadunan barat yang
ditinggalkan penjajah.
~ASJ~
*Oleh kerana ini adalah cubaan pertama saya dalam
penulisan buku, diharap jika berlaku sebarang salah atau silap, terguris hati dan
terkasar bahasa harap dimaafkan hendaknya. Sekian...:)