Saya pasti ramai yang tidak pernah melihat pokok Pauh Janggi
atau lebih dikenali dengan nama kelapa laut yang nama saintifiknya ialah
Lodoicea maldivica. Pokok kelapa laut atau Pauh Janggi ini sering dikaitkan
dengan Lagenda Pelayaran Melayu sejak turun temurun.Seperti yang kita ketahui,
nenek moyang kita zaman dulu terkenal sebagai ahli pelayaran yang hebat dalam
ilmu maritim dan sering belayar ke merata tempat di lautan luas dari Australia
hinggalah ke Afrika.
Ahli pelayaran Melayu pada zaman dahulu dan mungkin juga
sekarang dikatakan kerap menemui buah Pauh Janggi atau kelapa laut terapung-apung
di permukaan Lautan Hindi. Buah Pauh Janggi ini akan dipungut dan dijual dengan
harga yang mahal dan ramai yang mencarinya kerana dikatakan boleh dibuat ubat
dan dapat menyembuhkan pelbagai penyakit serta penawar segala racun, sehingga
dikatakan air yang disimpan dalam tempurung, jika diminum dapat mengelakkan
diri daripada jangkitan penyakit. Buah ini juga sering dicari oleh bomoh,
pawang dan para pengamal Silat serta ilmu batin
Ahli pelayaran Melayu juga dikatakan selalu merahsiakan
kewujudan pokok Pauh Janggi dan asal usulnya, namun mengikut catatan, Pigafetta
yang turut serta dalam pelayaran Magellan pada 1519, beliau diberitahu seorang
ahli pelayaran Melayu bahawa buah yang terapung yang sering dilihat mereka di
lautan ialah Pauh Janggi daripada pokok besar yang hidup di “Pusat Sebuah
Tasik”. Mereka percaya di Pusat Tasik itu ada burung Garuda yang memakan lembu
dan gajah dan tempat itu tidak boleh dihampiri kerana selalu ribut dan taufan.
Pokok ini mempunyai buah seakan-akan buah mangga atau mempelam yang kembar. Buahnya
seberat 15 hingga 20 kilogram (kg) dan menjadi buah yang terbesar di
dunia.Pakar Botani kagum dengan pokok Palma ini yang dapat hidup di
lereng-lereng bukit sedangkan buahnya seberat 15 kg boleh berada di lereng
bukit. Pokok Pauh Janggi tersebar luas dan ditanam di sekitar taman botani
sebagai tanaman antikuiti, ini termasuk ditanam di Taman Botani Singapura.
Maklumat yang menarik bagi saya mengenai pokok dan buah ini
ialah ianya dikatakan hanya boleh didapati di Kepulauan Seychelles.Anda tahu
dimana kepulauan tersebut? Kepulauan Seychelles adalah gugusan pulau-pulau kecil
yang terdapat di bahagian barat lautan Hindi dan lokasinya dekat dengan benua
Afrika dan pulau Madagaskar. Mengapakah agakya sepohon pokok yang hanya boleh
didapati di sebuah pulau yang sangat jauh dari Nusantara menjadi begitu lagenda
dalam masyarakat Melayu sehinggakan ia disebut dalam sejarah Kesultanan Perak,
dalam Wayang Kulit malah dalam Mak Yong?
Andaian saya ialah ia mempunyai kaitan dengan benua Afrika
itu sendiri. Pada zaman dahulu para pengembara Arab menggelarkan pantai timur
Afrika dan Madagaskar sebagai Zanj atau Zanji. Sebahagian pengkaji mempercayai
bangsa Zanj yang berhubung dengan bangsa-bangsa Arab dalam perdagangan di
Madagaskar dan Afrika Timur berasal dari rumpun Melayu yang telah berkahwin
dengan suku-suku Afrika timur lalu melahirkan orang Zanj seperti suku Merina
yang masih wujud di Madagaskar hingga sekarang. Catatan dari pengembara Arab
juga pernah menyebut akan perdagangan besi diantara Afrika Timur dengan Kedah
Tua atau Srivijaya. Hal ini membuktikan bahawa orang Melayu telah lama
menjejakkan kaki ke Benua Afrika dan membuka koloni di sana terutama di
Madagaskar. Bukti-bukti atau kesan jejak peninggalan mereka di Afrika pernah
saya tuliskan dalam sebuah artikel saya sebelum ini.
Berkenaan Pohon Pauh Janggi, hipotesis saya ialah perkataan
Janggi itu mempunyai perkaitan atau mungkin berasal daripada perkataan Arab
Zanj atau Zanji. Oleh kerana Pulau Seychelles tempat dimana buah dan pohon ini
boleh dijumpai adalah dalam laluan yang sama untuk ke Afrika Timur dan
Madagaskar, sudah pasti ada pelayar Melayu yang pernah singgah dan melihat
pohon yang unik tersebut. Oleh kerana bentuknya yang menyerupai buah
Pauh/Mangga/Mempelam yang berkembar dua dan tempat ia ditemui berdekatan dengan
Zanji iaitu Afrika, maka ia dinamakan buah Pauh Zanji/Janggi. Hal ini boleh
jadi benar kerana orang Jawa pada zaman langka juga memanggil Afrika dan orang
kulit hitam sebagai Jenggi.
Inskripsi di Gedangan dekat Surabaya (860AD) Jawa:
“…. rahashya, tuha-dagang,(overseer of people)
tuhanambi,(overseer of socially inferior or foreign people) pakarapa(a gatherer
of wild roots and herbs?), kdi(unfertile), walyan(doctor), sambal,
sumbul(police officers), hulun haji(kings slaves-out of misdeeds?-mostly
farmers), singgah(slave walking in front of his owner), pabrsi(carries the
cushions), pajut(negrito slave), jenggi(black slave) watek I jro(slaves -to
show off the wealth of the owner-) ityewamadi (and so forth)”
Namun demikian saya akui saya masih tidak dapat
menyelesaikan puzzle mengapa buah dan pohon ini menjadi begitu mistik dan
lagenda dalam masyarakat Melayu dan saya juga tidak dapat mengaitkannya dengan
lagenda “Tasik Pauh Janggi”. Mungkin mitos dan legenda mengenai Tasik Pauh
Janggi tersebut terbentuk kemudian setelah pertama kalinya pelayar Melayu
menjumpai pohon dan buah unik tersebut di Seychelles.Maka kemudiannya sebuah
tasik terbesar di Asia Tenggara yang suatu ketika dahulu pernah menjadi tempat
wujudnya city-state Melayu kuno telah dinamakan Tasik Pauh Janggi kerana
bentuknya yang menyerupai buah dari pohon tersebut. Selepas ini kalau anda
batuk-batuk jangan lupa makan “Ubat Batuk Cap PAUH JANGGI” ye…eh silap…cap
Kelapa Laut AFRIKA…:D. Wallah hu a’lam.
“Kembalilah diri ke dunia panggung dan dunia kelir. Merenung
masa lalu dan melihat masa depan. Dari ‘pusat tasik pauh janggi’ tempat
berpusar lagi jauh ke tengah segara.Tasiknya bukan di daratan bandar, tetapi
pusar yang paling tengah dan paling dalam. Siapa terjatuh atau tergelincir,
tersuruplah ia ke dalam pusar. Tempat menanti segala mara bahaya.Tempat duduk
menantinya Nenek Sepit Pentala Naga di Laut Buih Gelombang Tujuh. Kalau si
lemah yang sampai, maka hilang ghaiblah ia di mulut Raja Naga yang maha bisa.
Tetapi kalau si kebal malim megah malim perkasa, dia berdiri di atas singa
juang siap siaga. Tiada seurat bulu roma celakanya hangus terbakar, tiada
seurat rambut hitam lebatnya gugur bertabur”.
~ASJ~
Sumber:
• Medieval Authors about East Africa, By Pieter Derideaux.
• Majapahit Peradaban Maritim: Ketika Nusantara Menjadi
Pengendali Pelabuhan Dunia.
•
http://teratakmelayu.blogspot.com/…/misteri-tasik-pauh-jang….
• Berita Harian oleh Ismail Saidin.