Rabu, 19 Ogos 2015

PENGGUNAAN KOTA DAN KUBU DI ALAM MELAYU.



Kota dalam bahasa Melayu sebenarnya mempunyai beberapa pengertian bergantung kepada fungsi. Kota boleh bermakna pekan atau bandar. Manakala pusat pemerintahan sesebuah kerajaan Melayu itu juga sering digelar sebagai kota. Selain itu kota juga kadang-kadang disamakan dengan kubu pertahanan. Jika ditinjau dari segi fungsinya, kota dan kubu ada peranan yang berbeza. Biasanya dalam catatan teks historiografi Melayu, kota akan dikaitkan dengan pusat Kesultanan atau kompleks Istana raja.

Lazimnya Kota Raja diperbuat daripada kayu-kayan keras seperti cengal ,meranti, belian dan jati atau daripada bahan batuan dan mampatan tanah, batu bata, batu sungai mahupun batu kapur. Raja-Raja Melayu menggunakan Kota sebagai pusat pertahanan, pemerintahan, dan pentadbirannya. Sebagai sebuah Kota raja, kebiasaannya ia akan dilengkapkan dengan sistem pertahanan seperti menara kawalan, parit beranjau, para pengawal dan juga meriam. Sebuah kota raja juga dilengkapi dengan bangunan-bangunan seperti Istana raja, permandian raja, Istana keluarga diraja, balairung,  balai penghadapan, tempat beribadah, dan bangunan tempat senjata.

Apabila seseorang raja itu berpindah atau membuka negeri baru, maka perkara pertama yang akan dilakukannya ialah mengerahkan pengikut-pengikutnya membina Kota Raja. Sejarah Melayu ada menyebut mengenai pembinaan Kota Raja, parit, rumah-rumah dan kedai serta istana ketika Seri Teri Buana hendak membuka negeri baru iaitu Singapura:

‘Maka Aria Bupala pun naik menghadap Wan Seri Beni, persembahkan segala pesan Seri Teri Buana itu. Maka Wan Seri Beni pun menyuruh berlengkap pada segala Orang Besar-besar, mengerahkan rakyat sekalian bermuat gajah, kuda ke perahu. Setelah mustaid, maka Wan Seri Beni pun pergilah ke Singapura. Setelah sampai maka sekaliannya naiklah; maka negeri Singapura pun telah sudahlah diperbuat orang dengan Kota paritnya, dan dengan segala Istana dan balairung dalam dan balairung luar, serta sekalian rumah orang, kedai dan pasar; terlalu indah perbuatan negeri Singapura itu.’

Manakala kubu pula adalah sejenis binaan yang digunakan untuk pertahanan. Kubu bukanlah sebuah tempat tinggal yang tetap atau tempat dibina Istana. Oleh hal yang demikian kubu-kubu ini kebiasaannya diperbuat daripada tanah mampat dan pancangan kayu keras. Ia juga dipanggil sebagai pagar sasak. Dalam Bahasa Inggeris ia dikenali sebagai Palisade atau Stockade. Kubu-kubu pertahanan ini dapat kita ketahui penggunaannya dalam peristiwa Perang Pahang dimana pasukan Datuk Bahaman dan pahlawan Pahang banyak membina kubu-kubu dari tanah di sekitar kawasan yang strategik bagi menghadapi serangan British contohnya di Jeram Ampai.

Kota Kuala Kedah.


Sejarawan barat seperti Anthony Reid berpendapat, masyarakat Melayu tidak lazim membina kubu dan kota. Menurutnya keadaan geografi kawasan Asia Tenggara dan kepulauan Melayu khususnya yang berhutan tebal dan bergunung ganang menyebabkan pembinaan kubu adalah sesuatu yang tidak perlu dan sukar kerana bentuk muka bumi boleh di pergunakan untuk pertahanan mereka. Selain itu katanya orang Melayu tak perlukan kota dan parit kerana harta benda mereka tidak berharga dan mudah dibakar sebab diperbuat daripada kayu atau buluh.

Saya kurang bersetuju dengan pandangan ini. Masyarakat Melayu sememangnya sudah lama menggunakan parit dan kota sebagai pertahanan. Sebagai contohnya sewaktu Siam menyerang Kota Kelampang di Pattani, tentera Siam terpaksa berhadapan dengan parit yang dalam dan besar mengelilingi Kota tersebut. Ketika tentera Siam berusaha untuk meredah menaiki parit tersebut mereka telah dihujani dengan panah dan tembakan senjata api yang menyebabkan ramai daripada mereka terkorban. Akibatnya mereka terpaksa berundur.

Pendapat Reid juga dapat disangkal sekiranya kita melihat catatan mengenai kerajaan-kerajaan awal di Alam Melayu. Catatan daripada pengembara dari India, China dan Timur Tengah menyatakan bahawa kerajaan-kerajaan awal ini mempunyai Kota yang diperbuat daripada batu mengelilinginya. Satu catatan yang menyatakan tentang hal ini adalah daripada Zhao Ragua dalam bukunya Zhu Fan Zhi yang ditulis pada tahun 1225 Masihi berdasarkan kepada catatan pengembara dan pedagang Cina dari abad ke 12 dan 13 Masihi.

Menurut beliau, Ibu Kota Sanfotsi atau Srivijaya diperbuat daripada batu-bata dan ukurannya sangat panjang iaitu berpuluh-puluh Li ukur lilitnya. Kerajaan Srivijaya juga mempunyai satu strategi pertahanan yang unik. Menurut Zhu, bagi menghalang pencerobohan lanun dan musuh daripada memasuki Ibu Kota kerajaan yang terletak dekat dengan laluan kapal iaitu di tepi laut, maka kerajaan Srivijaya telah menggunakan rantai besi dan merintanginya di perairan berhampiran pintu masuk ibu Kota. Rantai besi ini dikatakan boleh dituil sama ada untuk ditinggikan atau direndahkan.

Pada abad ke 17, catatan daripada Belanda mengenai Palembang  menyebut bahawa Kota pelabuhan tersebut dipagari dengan tembok batu yang besar, malahan terdapat lakaran daripada pegawai VOC yang menunjukkan Kota tersebut lengkap dengan Istana batu dan bangunan-bangunan di dalam Kota. Kota tersebut terkenal dengan nama Benteng Kota Besak dan sisanya masih ada sehingga sekarang.

Tanah Jawa juga amat kaya dengan tinggalan Kota dan kubu. Masyarakat Jawa mahir membina kubu dan kota daripada batu-bata. Hal ini dibuktikan dengan catatan dalam Babad Ing Sangkala yang berkisar mengenai Kerajaan Kartasura. Babad ini ada menyatakan bahawa terdapatnya Kota-kota yang dibina dengan batu bakar yang disepuh dengan plaster putih. Hal ini juga disentuh oleh Ricklefs dalam bukunya yang mana beliau menyatakan bahawa kubu-kubu dan Kota pertahanan yang terdapat di Jawa adalah setaraf dengan kubu dan Kota dunia barat.

Bercakap soal kota, pasti akan timbul persoalan berkenaan Kota Melaka di zaman sebelum penjajahan Portugis. Persoalan berkenaan Kota Melaka pra penjajahan masih diperdebatkan sehingga kini kerana hampir semua bukti-bukti fizikal kewujudan kota tersebut telah hilang dimusnahkan penjajah. Namun demikian sememangnya ada sumber sejarah yang dapat memberikan petunjuk bahawa Kerajaan Melaka mempunyai binaan kotanya sendiri tak kiralah samada daripada kayu, tanah mahupun batu.

Catatan Eridea memberikan maklumat bahawa orang Melayu Melaka sudah tahu membina Kota atau kubu yang kukuh. Menurut beliau orang Melayu membina struktur yang diperbuat daripada tanah yang dimampatkan di antara pancangan kayu. Banyak rumah-rumah turut dibina dalam keadaan sebegini di Melaka. Namun demikian mereka turut menjumpai binaan yang diperbuat daripada batu bata namun tidak mempunyai mortar. Rui de Araujo mencatat didalam suratnya bahawa Kota Melaka mengandungi 10 ribu buah rumah dan lebih kurang 500 buah daripadanya adalah diperbuat daripada batu dan tanah liat manakala selebihnya adalah daripada kayu.

Teryata daripada catatan Portugis ini menunjukkan memang ada binaan batu di Melaka. Menurutnya lagi stail binaan ini adalah sama dengan binaan batu yang dibuat oleh orang-orang lembah Sungai Ganges di India. Binaan seperti ini juga digunakan untuk membina Kota dan Istana raja. Eredia turut menyentuh tentang  pembinaan kubu yang diperbuat daripada pokok Nibung oleh orang Melaka dalam situasi perang. Mereka turut menggali parit mengelilingi kubu yang dibina. Parit ini mengandungi jerangkap, dan ranjau yang disapu dengan racun. Mereka juga membuat lubang perangkap yang di tutup dengan dahan-dahan kering.

Walaupun Melaka mempunyai kubu atau Kota yang diperbuat daripada mampatan tanah atau batu sekalipun, namun berkemungkinan besar bukan seluruh bahagian bandar Melaka dilindungi dengan binaan tersebut. Pada pendapat saya bahagian yang dilindungi kota hanyalah di bahagian bandar yang terdapatnya Masjid, kediaman pembesar dan kompleks Istana Sultan. Oleh hal yang demikian, dalam Sejarah Melayu ada disebut yang orang Melaka cuba menghalang kemaraan Portugis dengan berkubukan Kempas di tempat tertentu. Saya yakin kubu kempas ini dibina di kawasan pantai di bahagian pasar dan kampung rakyat biasa.

Setelah menawan Melaka, Alfonso De Albuquerque telah mengarahkan pembinaan Kota A’Famosa di kaki Bukit Melaka untuk mempertahankan Kota tersebut daripada serangan balas Sultan Mahmud Syah dan sekutu-sekutunya. Kota ini siap dibina sekitar awal 1512 hasil kerahan tenaga buruh paksa dan penduduk tempatan.

Untuk membina kembali kota pentadbiran di tapak kota yang telah dimusnahkan dalam tempoh yang singkat adalah agak sukar malah mustahil walaupun dengan sumber tenaga buruh yang ramai jika tiada sumber bahan mentah dikawasan tersebut. Oleh itu pasti ada sumber batuan di sekitar bandar Melaka. Lakaran kota Melaka selepas penjajahan Portugis yang dilukis pada tahun 1512 menunjukkan bahawa kota awal Portugis itu dibina di tebing kanan sungai Melaka yakni di kaki bukit Melaka. Lokasi ini adalah bertepatan dengan lokasi asal Masjid Agung Melaka.





Oleh sebab itu saya berpendapat kota Portugis yang disiapkan dalam masa 4 ke 5 bulan tersebut dibina diatas binaan asal Kota Melaka sebelum serangan Portugis. Hal ni memang jelas disebutkan dalam catatan Portugis dimana mereka mengakui bahawa Kota tersebut dibina daripada runtuhan istana, punggaran bangunan dan rumah-rumah pembesar malah makam dan kubur berbatu laterit yang diambil sekitar Melaka. Seorang penulis barat menyebut:

“A Famosa was built by the forced labour of 1,500 royal slaves, who were conscripted by Albuquerque after he had defeated and put to flight their master, the Sultan. With a disregard for Muslim susceptibilities typical of the time, the Christian Portugese erected their fortress on the ruins of the Great Mosque of Malacca and constructed it, in part at least, out of stones taken from Malay religious buildings and from the graves of former Malay sultans. Because of the marshy nature of the site, the foundations had to be dug to the depth of a war lance.” – Graham W.Irwin.

Ini jelas menunjukkan betapa banyaknya bangunan batu yang terdapat di Melaka hingga kehancurannya dapat dijadikan asas bahan binaan untuk membangunkan Kota Portugis. Catatan Portugis menyebut Albuquerque sendiri telah mengerahkan hamba raja yang ditawan untuk memunggar Masjid Agung Melaka yang diperbuat daripada batu. Malah masjid-masjid kecil lain di seluruh bandar Melaka yang diperbuat daripada batu turut dipunggar untuk mendapatkan batunya.

Sewaktu dalam pengungsian di Bintan, Sultan Mahmud dan para pengikutnya telah membina sejenis pertahanan yang dinamakan Kota Kara. Kota Kara dipercayai adalah sejenis kubu pertahanan sementara yang dibina dalam keadaan perang. Ia dibina daripada pancangan kayu-kayu keras ataupun mampatan tanah dan batu. Armada Portugis yang dipimpin oleh admiral Mascarenhas dengan 20 buah kapal membawa 550 orang Portugis dan 600 orang Melayu telah berjaya membungkam Kota Kara yang dipertahankan oleh orang-orang Sultan Mahmud di bawah Sang Setia dan Laksamana Hang Nadim pada 23 Oktober 1526. Setelah itu barulah Kopak dapat dikuasai. Menurut RO Winstedt, armada Portugis memerlukan  empat belas hari sebelum Kota itu dapat dilumpuhkan.

Pada zaman kerajaan Johor, Kota Johor Lama menjadi kota pentadbiran warisan kerajaan Kesultanan Melaka. Benteng kota yang terletak di atas Tanjung Batu itu menggunakan ketul-ketul batu pejal dan atasnya dikambus dengan tanah yang menjadikan ketul batunya tidak kelihatan. Tembok kota yang berlapis batu-batu pejal selebar tiga meter dan berturap simen kapur kira-kira enam sentimeter menjadi asas kepada kekuatan dan kekukuhan kota. Tembok ini juga dilengkapi dengan ratusan meriam untuk mempertahankan kota dari ancaman Portugis dan musuh yang lain.



Teknologi yang digunakan membolehkan kota ini bertahan daripada bedilan meriam musuh. Portugis berusaha menakluk kota ini selama lebih 50 tahun dan hanya berjaya pada tahun 1587 dan menemukan 800 meriam di dalam kota. Hal ini menguatkan logik bahawa orang Melayu Melaka yang berundur dari Melaka telah memiliki pengetahuan, kemahiran dan teknologi yang tinggi dalam pembinaan kota. Pastinya semua yang ditonjolkan di Kota Johor Lama adalah teknologi yang pernah digunapakai dalam pembinaan kota-kota terdahulu di tempat asal mereka dan semakin ditambah baik mengikut zaman.

Selain daripada pertahanan di darat, orang Melayu juga mahir dengan taktik dan strategi peperangan di atas air. Dalam Syair perang Siak, ada di sebut mengenai sejenis strategi unik yang digunakan oleh orang-orang Melayu dalam menghadapi serangan Belanda. Taktik tersebut ialah dengan menggunakan sejenis Kota Berjalan. Pada pendapat saya Kota Berjalan ini adalah sejenis perahu berperisai yang sama fungsinya seperti Kapal Kura-Kura Laksamana kerajaan Joseon (Korea) Yi Sun Shin.

Menurut Donald .J Goudie, Kota berjalan adalah sejenis Kota terapung yang dibina di atas sebuah kapal dan dilengkapi dengan banyak senjata-senjata api seperti meriam lebih kurang 16 buah meriam besar dan beberapa banyak lagi meriam-meriam kecil dan sederhana. Menurut pendapat beliau Kota berjalan ini sukar untuk dikendalikan dan ia adalah salah satu bentuk serangan berani mati.

Selain daripada Kota-kota yang telah disebutkan, sebenanrya ada banyak lagi kota-kota dan kubu buatan orang Melayu di seluruh Malaysia malah seluruh Alam Melayu ini. Ada yang masih berdiri kukuh namun banyak juga yang hanya tinggal nama sahaja. Antaranya ialah Kota Kuala Kedah, Kota Melawati, Kota Kayang, Kota Kubang Labu, Kota Mahligai, Kota Lukut, Kota Singgora, Kota Pancur, Kota Baharu dan lain-lain. Hal ini menunjukkan bahawa orang Melayu memang tahu membina kota dan kubu dan bukan hanya lari masuk ke hutan jika diserang seperti yang dituduh Orientalis.




Membongkar Kota-kota Melayu terutama Kota Melayu Melaka yang telah hilang dalam sejarah adalah satu proses yang masih belum selesai. Perbezaan pendapat dan penulisan sejarah serta kekurangan maklumat mewujudkan dilema yang berterusan dikalangan pengkaji. Namun demikian kita dapat simpulkan bahawa sememangnya orang-orang Melayu mempunyai pengetahuan dalam pembinaan Kota dan kubu untuk pertahanan, tidak kira lah sama ada Kota atau kubu tersebut diperbuat daripada batu-bata, tanah mampat mahupun hanya pancangan dan jalinan kayu keras. Apa yang penting dan jelas di sini ialah pembinaan Kota dan kubu juga adalah salah satu strategi yang dipraktikkan oleh orang Melayu sejak sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Sekian, wallah hu a’lam.


~ASJ~


Sumber:

  • ·         Donald J. Goudie, Syair Perang Siak, Malaysian Branch Of The Royal Asiatic Society, Monograph No.17,Art Printing Snd Bhd,Kuala Lumpur, 1996.
  • ·         V. Mills (translator), Eredia’s description of Malacca, Meridional India and Cathay, Malaysian Branch of royal Asiatic society, 1997.
  • ·         Sulalat Al-Salatin, Yakni Perteturun Segala Raja-Raja, yayasan karyawan dan dewan bahasa dan pustaka, Kuala Lumpur,Malaysia,1997.
  • ·         M.C Ricklefs, Modern Javanese Historical Tradition: A study of an original Kartasura Chrinicle and Related Materials, School of oriental and African studies university of London, Malee street, London, 1978.
  • ·         Anthony Reid, An Indonesian Frontier, Acehnese And Othere History Of Sumatra, Singapore university publication, Singapore, 2005.
  • ·         Abdul Halim Nasir. Kota-Kota Melayu. Dewan Bahasa Pustaka; 1990.
  • ·         Noor Aisyah Binti Mokhtar, Nik Hassan Shuhaimi Bin Nik Abdul Rahman, Kamarul Afizi Bin Kosman, Kewujudan Kota Melayu Melaka, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi Selangor.




2 ulasan:

  1. saya ada baca juga yg binaan a famosa tu dari runtuhan masjid yg dibinasakan.

    BalasPadam
  2. Nak iklan judi pergi Page judilah ...
    Bengong ko tahap khinzir hutan ...

    BalasPadam