Kota dalam bahasa Melayu
sebenarnya mempunyai beberapa pengertian bergantung kepada fungsi. Kota boleh
bermakna pekan atau bandar. Manakala pusat pemerintahan sesebuah kerajaan
Melayu itu juga sering digelar sebagai kota. Selain itu kota juga kadang-kadang
disamakan dengan kubu pertahanan. Jika ditinjau dari segi fungsinya, kota dan
kubu ada peranan yang berbeza. Biasanya dalam catatan teks historiografi
Melayu, kota akan dikaitkan dengan pusat Kesultanan atau kompleks Istana raja.
Lazimnya Kota Raja diperbuat
daripada kayu-kayan keras seperti cengal ,meranti, belian dan jati atau
daripada bahan batuan dan mampatan tanah, batu bata, batu sungai mahupun batu
kapur. Raja-Raja Melayu menggunakan Kota sebagai pusat pertahanan,
pemerintahan, dan pentadbirannya. Sebagai sebuah Kota raja, kebiasaannya ia
akan dilengkapkan dengan sistem pertahanan seperti menara kawalan, parit
beranjau, para pengawal dan juga meriam. Sebuah kota raja juga dilengkapi dengan
bangunan-bangunan seperti Istana raja, permandian raja, Istana keluarga diraja,
balairung, balai penghadapan, tempat
beribadah, dan bangunan tempat senjata.
Apabila seseorang raja itu
berpindah atau membuka negeri baru, maka perkara pertama yang akan dilakukannya
ialah mengerahkan pengikut-pengikutnya membina Kota Raja. Sejarah Melayu ada
menyebut mengenai pembinaan Kota Raja, parit, rumah-rumah dan kedai serta istana
ketika Seri Teri Buana hendak membuka negeri baru iaitu Singapura:
‘Maka Aria Bupala pun naik
menghadap Wan Seri Beni, persembahkan segala pesan Seri Teri Buana itu. Maka
Wan Seri Beni pun menyuruh berlengkap pada segala Orang Besar-besar,
mengerahkan rakyat sekalian bermuat gajah, kuda ke perahu. Setelah mustaid,
maka Wan Seri Beni pun pergilah ke Singapura. Setelah sampai maka sekaliannya
naiklah; maka negeri Singapura pun telah sudahlah diperbuat orang dengan Kota
paritnya, dan dengan segala Istana dan balairung dalam dan balairung luar,
serta sekalian rumah orang, kedai dan pasar; terlalu indah perbuatan negeri
Singapura itu.’
Manakala kubu pula adalah sejenis
binaan yang digunakan untuk pertahanan. Kubu bukanlah sebuah tempat tinggal
yang tetap atau tempat dibina Istana. Oleh hal yang demikian kubu-kubu ini
kebiasaannya diperbuat daripada tanah mampat dan pancangan kayu keras. Ia juga
dipanggil sebagai pagar sasak. Dalam Bahasa Inggeris ia dikenali sebagai Palisade
atau Stockade. Kubu-kubu pertahanan ini dapat kita ketahui penggunaannya
dalam peristiwa Perang Pahang dimana pasukan Datuk Bahaman dan pahlawan Pahang
banyak membina kubu-kubu dari tanah di sekitar kawasan yang strategik bagi
menghadapi serangan British contohnya di Jeram Ampai.
Kota Kuala Kedah.
Sejarawan barat seperti
Anthony Reid berpendapat, masyarakat Melayu tidak lazim membina kubu dan kota.
Menurutnya keadaan geografi kawasan Asia Tenggara dan kepulauan Melayu
khususnya yang berhutan tebal dan bergunung ganang menyebabkan pembinaan kubu
adalah sesuatu yang tidak perlu dan sukar kerana bentuk muka bumi boleh di
pergunakan untuk pertahanan mereka. Selain itu katanya orang Melayu tak
perlukan kota dan parit kerana harta benda mereka tidak berharga dan mudah
dibakar sebab diperbuat daripada kayu atau buluh.
Saya kurang bersetuju dengan
pandangan ini. Masyarakat Melayu sememangnya sudah lama menggunakan parit dan
kota sebagai pertahanan. Sebagai contohnya sewaktu Siam menyerang Kota
Kelampang di Pattani, tentera Siam terpaksa berhadapan dengan parit yang dalam
dan besar mengelilingi Kota tersebut. Ketika tentera Siam berusaha untuk
meredah menaiki parit tersebut mereka telah dihujani dengan panah dan tembakan
senjata api yang menyebabkan ramai daripada mereka terkorban. Akibatnya mereka
terpaksa berundur.
Pendapat Reid juga dapat
disangkal sekiranya kita melihat catatan mengenai kerajaan-kerajaan awal di
Alam Melayu. Catatan daripada pengembara dari India, China dan Timur Tengah
menyatakan bahawa kerajaan-kerajaan awal ini mempunyai Kota yang diperbuat
daripada batu mengelilinginya. Satu catatan yang menyatakan tentang hal ini
adalah daripada Zhao Ragua dalam bukunya Zhu Fan Zhi yang ditulis pada tahun
1225 Masihi berdasarkan kepada catatan pengembara dan pedagang Cina dari abad
ke 12 dan 13 Masihi.
Menurut beliau, Ibu Kota
Sanfotsi atau Srivijaya diperbuat daripada batu-bata dan ukurannya sangat
panjang iaitu berpuluh-puluh Li ukur lilitnya. Kerajaan Srivijaya juga
mempunyai satu strategi pertahanan yang unik. Menurut Zhu, bagi menghalang
pencerobohan lanun dan musuh daripada memasuki Ibu Kota kerajaan yang terletak
dekat dengan laluan kapal iaitu di tepi laut, maka kerajaan Srivijaya telah
menggunakan rantai besi dan merintanginya di perairan berhampiran pintu masuk
ibu Kota. Rantai besi ini dikatakan boleh dituil sama ada untuk ditinggikan
atau direndahkan.
Pada abad ke 17, catatan
daripada Belanda mengenai Palembang
menyebut bahawa Kota pelabuhan tersebut dipagari dengan tembok batu yang
besar, malahan terdapat lakaran daripada pegawai VOC yang menunjukkan Kota
tersebut lengkap dengan Istana batu dan bangunan-bangunan di dalam Kota. Kota
tersebut terkenal dengan nama Benteng Kota Besak dan sisanya masih ada sehingga
sekarang.
Tanah Jawa juga amat kaya
dengan tinggalan Kota dan kubu. Masyarakat Jawa mahir membina kubu dan kota
daripada batu-bata. Hal ini dibuktikan dengan catatan dalam Babad Ing Sangkala
yang berkisar mengenai Kerajaan Kartasura. Babad ini ada menyatakan bahawa
terdapatnya Kota-kota yang dibina dengan batu bakar yang disepuh dengan plaster
putih. Hal ini juga disentuh oleh Ricklefs dalam bukunya yang mana beliau
menyatakan bahawa kubu-kubu dan Kota pertahanan yang terdapat di Jawa adalah
setaraf dengan kubu dan Kota dunia barat.
Bercakap soal kota, pasti akan
timbul persoalan berkenaan Kota Melaka di zaman sebelum penjajahan Portugis.
Persoalan berkenaan Kota Melaka pra penjajahan masih diperdebatkan sehingga
kini kerana hampir semua bukti-bukti fizikal kewujudan kota tersebut telah
hilang dimusnahkan penjajah. Namun demikian sememangnya ada sumber sejarah yang
dapat memberikan petunjuk bahawa Kerajaan Melaka mempunyai binaan kotanya
sendiri tak kiralah samada daripada kayu, tanah mahupun batu.
Catatan Eridea memberikan
maklumat bahawa orang Melayu Melaka sudah tahu membina Kota atau kubu yang
kukuh. Menurut beliau orang Melayu membina struktur yang diperbuat daripada tanah yang dimampatkan di antara
pancangan kayu. Banyak rumah-rumah turut dibina dalam keadaan sebegini di
Melaka. Namun demikian mereka turut menjumpai binaan yang diperbuat daripada
batu bata namun tidak mempunyai mortar. Rui de Araujo mencatat didalam suratnya
bahawa Kota Melaka mengandungi 10 ribu buah rumah dan lebih kurang 500 buah
daripadanya adalah diperbuat daripada batu dan tanah liat manakala selebihnya
adalah daripada kayu.
Teryata daripada catatan
Portugis ini menunjukkan memang ada binaan batu di Melaka. Menurutnya lagi
stail binaan ini adalah sama dengan binaan batu yang dibuat oleh orang-orang
lembah Sungai Ganges di India. Binaan seperti ini juga digunakan untuk membina
Kota dan Istana raja. Eredia turut menyentuh tentang pembinaan kubu yang diperbuat daripada pokok
Nibung oleh orang Melaka dalam situasi perang. Mereka turut menggali parit
mengelilingi kubu yang dibina. Parit ini mengandungi jerangkap, dan ranjau yang
disapu dengan racun. Mereka juga membuat lubang perangkap yang di tutup dengan
dahan-dahan kering.
Walaupun Melaka mempunyai kubu atau Kota yang diperbuat
daripada mampatan tanah atau batu sekalipun, namun berkemungkinan besar bukan
seluruh bahagian bandar Melaka dilindungi dengan binaan tersebut. Pada pendapat
saya bahagian yang dilindungi kota hanyalah di bahagian bandar yang terdapatnya
Masjid, kediaman pembesar dan kompleks Istana Sultan. Oleh hal yang demikian,
dalam Sejarah Melayu ada disebut yang orang Melaka cuba menghalang kemaraan
Portugis dengan berkubukan Kempas di tempat tertentu. Saya yakin kubu kempas
ini dibina di kawasan pantai di bahagian pasar dan kampung rakyat biasa.
Setelah menawan Melaka, Alfonso De Albuquerque telah
mengarahkan pembinaan Kota A’Famosa di kaki Bukit Melaka untuk mempertahankan
Kota tersebut daripada serangan balas Sultan Mahmud Syah dan sekutu-sekutunya.
Kota ini siap dibina sekitar awal 1512 hasil kerahan tenaga buruh paksa dan
penduduk tempatan.
Untuk membina kembali kota pentadbiran di tapak kota yang
telah dimusnahkan dalam tempoh yang singkat adalah agak sukar malah mustahil
walaupun dengan sumber tenaga buruh yang ramai jika tiada sumber bahan mentah
dikawasan tersebut. Oleh itu pasti ada sumber batuan di sekitar bandar Melaka.
Lakaran kota Melaka selepas penjajahan Portugis yang dilukis pada tahun 1512
menunjukkan bahawa kota awal Portugis itu dibina di tebing kanan sungai Melaka
yakni di kaki bukit Melaka. Lokasi ini adalah bertepatan dengan lokasi asal
Masjid Agung Melaka.
Oleh sebab itu saya berpendapat kota Portugis yang
disiapkan dalam masa 4 ke 5 bulan tersebut dibina diatas binaan asal Kota
Melaka sebelum serangan Portugis. Hal ni memang jelas disebutkan dalam catatan
Portugis dimana mereka mengakui bahawa Kota tersebut dibina daripada runtuhan
istana, punggaran bangunan dan rumah-rumah pembesar malah makam dan kubur berbatu
laterit yang diambil sekitar Melaka. Seorang penulis barat menyebut:
“A Famosa was built by the forced labour of 1,500
royal slaves, who were conscripted by Albuquerque after he had defeated and put
to flight their master, the Sultan. With a disregard for Muslim
susceptibilities typical of the time, the Christian Portugese erected their
fortress on the ruins of the Great Mosque of Malacca and constructed it, in
part at least, out of stones taken from Malay religious buildings and from the
graves of former Malay sultans. Because of the marshy nature of the site, the
foundations had to be dug to the depth of a war lance.” – Graham W.Irwin.
Ini jelas menunjukkan betapa banyaknya bangunan batu yang
terdapat di Melaka hingga kehancurannya dapat dijadikan asas bahan binaan untuk
membangunkan Kota Portugis. Catatan Portugis menyebut Albuquerque sendiri telah
mengerahkan hamba raja yang ditawan untuk memunggar Masjid Agung Melaka yang
diperbuat daripada batu. Malah masjid-masjid kecil lain di seluruh bandar
Melaka yang diperbuat daripada batu turut dipunggar untuk mendapatkan batunya.
Sewaktu dalam pengungsian di Bintan, Sultan Mahmud dan
para pengikutnya telah membina sejenis pertahanan yang dinamakan Kota Kara.
Kota Kara dipercayai adalah sejenis kubu pertahanan sementara yang dibina dalam
keadaan perang. Ia dibina daripada pancangan kayu-kayu keras ataupun mampatan
tanah dan batu. Armada Portugis yang dipimpin oleh admiral Mascarenhas dengan
20 buah kapal membawa 550 orang Portugis dan 600 orang Melayu telah berjaya
membungkam Kota Kara yang dipertahankan oleh orang-orang Sultan Mahmud di bawah
Sang Setia dan Laksamana Hang Nadim pada 23 Oktober 1526. Setelah itu barulah
Kopak dapat dikuasai. Menurut RO Winstedt, armada Portugis memerlukan empat belas hari sebelum Kota itu dapat
dilumpuhkan.
Pada zaman kerajaan Johor, Kota Johor Lama menjadi kota
pentadbiran warisan kerajaan Kesultanan Melaka. Benteng kota yang terletak di
atas Tanjung Batu itu menggunakan ketul-ketul batu pejal dan atasnya dikambus
dengan tanah yang menjadikan ketul batunya tidak kelihatan. Tembok kota yang
berlapis batu-batu pejal selebar tiga meter dan berturap simen kapur kira-kira
enam sentimeter menjadi asas kepada kekuatan dan kekukuhan kota. Tembok ini
juga dilengkapi dengan ratusan meriam untuk mempertahankan kota dari ancaman
Portugis dan musuh yang lain.
Teknologi yang digunakan membolehkan kota ini bertahan daripada
bedilan meriam musuh. Portugis berusaha menakluk kota ini selama lebih 50 tahun
dan hanya berjaya pada tahun 1587 dan menemukan 800 meriam di dalam kota. Hal
ini menguatkan logik bahawa orang Melayu Melaka yang berundur dari Melaka telah
memiliki pengetahuan, kemahiran dan teknologi yang tinggi dalam pembinaan kota.
Pastinya semua yang ditonjolkan di Kota Johor Lama adalah teknologi yang pernah
digunapakai dalam pembinaan kota-kota terdahulu di tempat asal mereka dan
semakin ditambah baik mengikut zaman.
Selain daripada pertahanan di darat, orang Melayu juga
mahir dengan taktik dan strategi peperangan di atas air. Dalam Syair perang
Siak, ada di sebut mengenai sejenis strategi unik yang digunakan oleh
orang-orang Melayu dalam menghadapi serangan Belanda. Taktik tersebut ialah
dengan menggunakan sejenis Kota Berjalan. Pada pendapat saya Kota Berjalan ini
adalah sejenis perahu berperisai yang sama fungsinya seperti Kapal Kura-Kura
Laksamana kerajaan Joseon (Korea) Yi Sun Shin.
Menurut Donald .J Goudie, Kota berjalan adalah sejenis
Kota terapung yang dibina di atas sebuah kapal dan dilengkapi dengan banyak
senjata-senjata api seperti meriam lebih kurang 16 buah meriam besar dan
beberapa banyak lagi meriam-meriam kecil dan sederhana. Menurut pendapat beliau
Kota berjalan ini sukar untuk dikendalikan dan ia adalah salah satu bentuk
serangan berani mati.
Selain daripada Kota-kota yang telah disebutkan,
sebenanrya ada banyak lagi kota-kota dan kubu buatan orang Melayu di seluruh
Malaysia malah seluruh Alam Melayu ini. Ada yang masih berdiri kukuh namun
banyak juga yang hanya tinggal nama sahaja. Antaranya ialah Kota Kuala Kedah,
Kota Melawati, Kota Kayang, Kota Kubang Labu, Kota Mahligai, Kota Lukut, Kota
Singgora, Kota Pancur, Kota Baharu dan lain-lain. Hal ini menunjukkan bahawa
orang Melayu memang tahu membina kota dan kubu dan bukan hanya lari masuk ke
hutan jika diserang seperti yang dituduh Orientalis.
Membongkar Kota-kota Melayu terutama Kota Melayu Melaka
yang telah hilang dalam sejarah adalah satu proses yang masih belum selesai. Perbezaan
pendapat dan penulisan sejarah serta kekurangan maklumat mewujudkan dilema yang
berterusan dikalangan pengkaji. Namun demikian kita dapat simpulkan bahawa
sememangnya orang-orang Melayu mempunyai pengetahuan dalam pembinaan Kota dan
kubu untuk pertahanan, tidak kira lah sama ada Kota atau kubu tersebut
diperbuat daripada batu-bata, tanah mampat mahupun hanya pancangan dan jalinan
kayu keras. Apa yang penting dan jelas di sini ialah pembinaan Kota dan kubu
juga adalah salah satu strategi yang dipraktikkan oleh orang Melayu sejak
sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Sekian, wallah hu a’lam.
~ASJ~
Sumber:
- · Donald J. Goudie, Syair Perang Siak, Malaysian Branch Of The Royal Asiatic Society, Monograph No.17,Art Printing Snd Bhd,Kuala Lumpur, 1996.
- · V. Mills (translator), Eredia’s description of Malacca, Meridional India and Cathay, Malaysian Branch of royal Asiatic society, 1997.
- · Sulalat Al-Salatin, Yakni Perteturun Segala Raja-Raja, yayasan karyawan dan dewan bahasa dan pustaka, Kuala Lumpur,Malaysia,1997.
- · M.C Ricklefs, Modern Javanese Historical Tradition: A study of an original Kartasura Chrinicle and Related Materials, School of oriental and African studies university of London, Malee street, London, 1978.
- · Anthony Reid, An Indonesian Frontier, Acehnese And Othere History Of Sumatra, Singapore university publication, Singapore, 2005.
- · Abdul Halim Nasir. Kota-Kota Melayu. Dewan Bahasa Pustaka; 1990.
- · Noor Aisyah Binti Mokhtar, Nik Hassan Shuhaimi Bin Nik Abdul Rahman, Kamarul Afizi Bin Kosman, Kewujudan Kota Melayu Melaka, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi Selangor.
saya ada baca juga yg binaan a famosa tu dari runtuhan masjid yg dibinasakan.
BalasPadamNak iklan judi pergi Page judilah ...
BalasPadamBengong ko tahap khinzir hutan ...