Ahad, 12 Oktober 2014

BAKAL TERBIT! BUKU: MENGBONGKAR SEJARAH MELAYU, PRIBUMI ASIA TENGGARA.




As salam kepada semua. Dengan sukacitanya saya mempersembahkan sebuah buku sejarah berbentuk santai yang pertama hasil tulisan tiga orang Blogger yang mempunyai minat yang mendalam pada sejarah bangsa Melayu.  Seperti yang tertera pada tajuk buku diatas, penerbitan buku ini adalah inisiatif atau percubaan penulis bersama dua orang Blogger yang terkenal iaitu Srikandi dan Ibnu Rusydi untuk menjawab beberapa topik berkenaan sejarah  Melayu yang  sering dipertikaikan oleh pihak tertentu . Perkara yang dibincangkan adalah topik yang sering dibangkitkan khususnya di alam maya terutama laman-laman sosial yang sering dilayari oleh anak-anak muda kita.

Hasil kerjasama dengan Penerbit buku  Hijjaz Record Publishing (HRP), sebuah buku yang menghimpunkan beberapa buah artikel ini akan diterbitkan sebagai rujukan sampingan dan panduan asas terutamanya kepada generasi muda agar lebih cakna akan sejarah bangsa dan tidak mudah termakan dengan dakyah negatif yang bertujuan untuk menjatuhkan keyakinan serta melemahkan semangat bangsa Melayu dan Bumiputra di negara ini.

Jika semuanya berjalan lancar, Insya Allah buku ini akan berada di pasaran sebelum hujung tahun ini. Buku ini boleh didapati di kedai-kedai buku berhampiran atau terus memesan dengan penerbit di http://www.hijjaz.my/store/.

Berikut dipaparkan sedikit petikan daripada salah satu artikel di dalam buku ini tentang topik ‘SENJATA API DI ALAM MELAYU’:


Tidak ramai yang tahu bahawa masyarakat Melayu juga menghasilkan dan menggunakan pelbagai jenis senjata api sejak zaman Kesultanan Melaka lagi. Bukti sejarah juga menunjukkan bahawa tentera Portugis pada awal abad ke-16, Belanda pada abad ke-17, dan Inggeris pada akhir abad ke-17 berhadapan dengan tentera Melayu yang lengkap bersenjata api secanggih senjata api mereka.

Perkara sebenar ini amat bertentangan dengan apa yang dipaparkan pada buku teks sejarah di sekolah iaitu pada Bab serangan Portugis ke atas Melaka. Apa yang digambarkan adalah tentera Melaka berhadapan dengan tentera Portugis dengan hanya bersenjatakan senjata tradisional seperti keris, pedang, tombak dan panah. Sedangkan pihak Portugis lengkap dengan baju perisai termasuklah senjata api seperti meriam dan senapang. Gambaran yang diberikan terhadap pasukan ketenteraan Melaka sangat daif dan hampir tiada penekanan mengenai penggunaan senjata api. Jika adapun hanyalah penggunaan Lela iaitu sejenis meriam kecil tanpa sebarang penerangan lanjut.

Ilustrasi yang diberikan seolah-olah pelabuhan Melaka hanyalah sebuah penambang bot kampung sahaja. Gambaran tidak tepat dan merendah-rendahkan tamadun Melayu ini menjadi trend pada satu masa sehinggakan ada dikalangan bangsa kita sendiri mengakui ungkapan menghina bahawa orang Melayu ‘hendak membuat sebatang jarum pun tidak tahu’. Akibatnya orang Melayu terperangkap dalam fenomena ‘inferiority complex’ yang teruk sehinggakan ramai dikalangan orang Melayu yang malu untuk mengaku sebagai Melayu dan lebih berbangga dengan tradisi dan ketamadunan barat yang ditinggalkan penjajah.


 ~ASJ~


*Oleh kerana ini adalah cubaan pertama saya dalam penulisan buku, diharap jika berlaku sebarang salah atau silap, terguris hati dan terkasar bahasa harap dimaafkan hendaknya. Sekian...:)