Selasa, 26 Ogos 2014

PERANG 1511: MELAKA KALAH DENGAN MUDAH?




Gambaran kemegahan Istana Melaka. Adakah Melaka sekadar jeti pelabuhan ala-ala kampung?


Masih terngiang-ngiang di telinga saya, beberapa orang rakan malah guru yang mengejek dan mencemuh dengan kata-kata ‘alah…apalah hebat sangat pada Melaka, Portugis serang tak sampai seminggu terus kalah teruk, lari lintang pukang’...’Melaka kalah dengan mudah kerana teknologi persenjataan yang sangat lemah, bayangkanlah orang kita berperang hanya guna keris, sumpit dan tombak, padahal Portugis guna meriam dan senapang, mana tak kalahnya’…’Orang Melaka semua jakun sebab tak pernah tengok Meriam lalu lari lintang pukang’. Kalaulah mereka tahu hakikat yang sebenar, kalaulah. Sebenarnya apakah yang berlaku dalam peristiwa 1511 ini dan bagaimanakah gambaran sebenar detik-detik Melaka mempertahankan dirinya dari diperkosa Portugis?



Gambaran pelukis Portugis akan serangan terhadap Kota Melaka.


Hakikat yang sebenarnya ramai tidak tahu adalah Melaka sudah mencapai kedudukan politik yang unggul sementara perdagangannya juga terus berkembang, dan pelabuhannya menggamit pelbagai bangsa datang singgah dari segenap pelusuk dunia. Imej bandar terapung seperti Venice dan Genoa serta pasar dan rumah yang tidak berputusan hingga Muar bukanlah satu khayalan atau cakap-cakap kosong sahaja. Walaupun memang wujud kepincangan dalam pemerintahan, pergeseran, perebutan dan pelbagai lagi konflik dalaman yang sering kita dengar namun ianya belum cukup parah untuk menjatuhkan Melaka jika dibandingkan dengan serangan Portugis. Tambahan lagi oleh sebab begitu makmurnya Melaka maka banyaklah kaum-kaum ‘asing’ yang mula dengki, hasad dan cemburu akan kekayaan Melaka. Pembelotan kaum-kaum asing ini juga ibarat gunting dalam lipatan yang memudahkan lagi kemaraan Portugis.


Sudah tiba masanya untuk kita cuba merubah pemikiran kita mengenai Kota Melaka. Melaka diakui sendiri oleh penulis barat sebagai bandar pelabuhan yang terkaya di timur dan setanding dengan Venice. Oleh itu gambaran Melaka dalam lukisan diatas adalah munasabah.



Sesungguhnya tidak semua persoalan tentang kejatuhan Melaka dapat kita rungkaikan disini. Namun memadai rasanya untuk kita membuka perbincangan dalam hal kesungguhan dan semangat juang Melaka bagi mempertahankan maruah dan kedaulatannya daripada dinodai oleh Portugis. Sebelum itu yang paling penting ialah pandangan kita bahawa Melaka ketinggalan dari segi teknologi meriam, senapang atau istinggar dan peluru serta lain-lain senjata api perlu diubah dan dibuang sejauh mungkin. Seperti yang saya pernah sebut dahulu angkatan Portugis dicatatkan membawa pulang ribuan pucuk meriam dan senapang yang dirampas dari Melaka. Teknologi pembuatan dan penggunaannya juga adalah standing dengan teknologi barat.




Menurut catatan yang dibuat oleh Godinho Eredia, sewaktu kedatangan Portugis di Melaka, jumlah meriam yang dipunyai kerajaan tersebut adalah sangat banyak. 3,000 pucuk meriam besar telah dijumpai di dalam kota Melaka sementara 5,000 pucuk lagi telah sempat dibawa lari oleh tentera Melaka apabila kota itu tumbang. Albuquerque menyatakan bahawa terdapat 2,000 pucuk meriam yang diperbuat daripada tembaga dan yang lain diperbuat daripada besi.



Tentera Melaka dilengkapi dengan pelbagai jenis senjata api menurut catatan Portugis sendiri.



Walaupun dalam naskah Sulalatus Salatin ada ditulis yang serangan meriam Portugis menggemparkan orang Melaka bagai bertih digoreng, namun petikan tersebut harus ditafsir sebagai penyedap cerita untuk khalayak pembaca atau pendengar. Jambatan Melaka yang kita lihat dalam lukisan seperti di muzium atau dalam buku-buku teks sejarah yang sering digambarkan dengan penuh daif dan uzur juga perlu kita buang jauh-jauh. Catatan Portugis sendiri mendapati jambatan tersebut terbina dengan sangat kukuh, malah rekod-rekod China beberapa dekad sebelum serangan Portugis melaporkan bahawa ada lebih kurang 20 buah kedai di atas jambatan tersebut. Saya menggambarkan jambatan ini seperti jambatan London Bridge yang pada zaman pertengahan penuh dengan kedai-kedai. Pihak Portugis juga mengalami kesukaran dan mengambil masa untuk merobohkan jambatan tersebut atas maklumat risikan dari Rui Aroujo.



Catatan Portugis juga menyebut tentang senjata api yang boleh dipikul dengan bahu serta meriam gergasi milik Sultan Melaka.



Selain itu jambatan Melaka juga dilengkapi dengan sistem pertahanan yang jitu dimana diletakkan meriam-meriam besar dan kecil bagi menangkis serangan dari arah laut. Dicatatkan bahawa sebaik sahaja meriam-meriam Melaka yang terdapat di atas jambatan dirampas oleh Portugis dalam serangan mereka, askar-askar Melaka yang berjaya mengusir semula tentera Portugis dari jambatan telah mengeluarkan meriam-meriam baru untuk menggantikan meriam yang telah dirampas tadi. Hal ini menunjukkan simpanan senjata api Kerajaan Melaka adalah banyak. Dicatatkan juga bahawa sebahagian besar daripada meriam Kerajaan Melaka sebenarnya tidak digunakan langsung sepanjang peperangan tersebut kerana jumlahnya yang terlalu banyak.




Di dalam buku teks sekolah juga kita diberitahu atau digambarkan pertempuran berlaku di daratan kota Melaka sahaja, namun dari catatan Portugis didapati pertempuran sebenarnya telah bermula sejak di laut lagi. Sebelum pihak Portugis berjaya mendarat, mereka dilaporkan telah diserang tentera Melaka di perairan yang mengakibatkan kehilangan 100 nyawa di pihak Portugis. Pihak Melaka menggunakan perahu atau lancara yang diisi dengan minyak dan bahan pembakar kayu serta dihalakan ke kapal-kapal Portugis. Taktik ‘Fire Ship’ ini sering digunakan di Eropah juga seperti dalam perang Inggeris dengan Sepanyol pada zaman ratu Elizabeth. Selain itu tembakan meriam dari Melaka menghala ke kapal-kapal Portugis juga turut mendatangkan kecelakaan. Oleh itu pendapat yang mengatakan meriam Melaka tidak boleh menembak jauh juga harus dibuang kelaut.


Taktik 'fire ships' telah digunakan sejak zaman Yunani kuno lagi.


Melaka juga melaksanakan strategi menggertak dan tindakan perang psikologi untuk menakutkan pihak lawan dengan mengeluarkan sejumlah perahu perang, lancara, tongkang, sampan dan sebagainya yang lengkap bersenjata untuk menunjukkan kekuatannya kepada Portugis. Walaupun begitu kekuatan sebenar Melaka yakni armada jong perang gergasinya yang diketuai laksamana pada waktu itu tiada di perairan. Maklumat daripada catatan Giovani Da Empoli mengesahkan bahawa tentera Melaka telah menggunakan lancara serta perahu berapi untuk memusnahkan kapal Portugis. Di kawasan pantai pula pertahanan dikukuhkan dengan pancangan kayu dan besi-besi tajam atau kawat beracun serta meriam-meriam pelbagai jenis besar dan kecil beserta dengan peti-peti berisi serbuk peluru.






Sebenarnya saudara sekalian perang Melaka bukan berlaku dalam jangka masa yang singkat. Pada masa ketibaan Portugis pada 28 Jun 1511 pertempuran tidak terus terjadi sebaliknya kedua-dua belah pihak menggunakan taktik tunggu dan lihat, masing-masing menunggu siapa yang akan menyerang dahulu. Hal ini diselangi dengan sesi perundingan dan diplomasi yang tidak kemana. Pihak Portugis mahu tawanan Portugis termasuk Rui Aroujo dibebaskan. Selang tiga minggu dari itu keadaan mula semakin tegang. Beberapa siri pertempuran kecil berlaku di laut dan dikawasan penginapan para pedagang berdekatan pantai. Portugis menyerang empat kapal Jawa dan sebuah kapal Sumatera. Kemudian kapal-kapal saudagar Gujarat di pelabuhan juga dibakar termasuk rumah penduduk di pantai. Walaupun Sultan kemudiannya membebaskan tawanan, namun perang tetap tidak dapat dielakkan lagi.






Pihak Portugis sebenarnya sangat tahu akan kelemahan Melaka. Hal ini kerana mereka telah mempunyai perancangan yang jitu. Mereka mempunyai kelebihan dari segi risikan atau maklumat yang diberi oleh Rui Aroujo dan orang-orang dalaman Melaka sendiri seperti Utimutiraja, seorang perempuan Parsi dan Nainachittu. Melaka mempunyai musuh di setiap penjuru malah didalam kelambunya sendiri. Namun demikian Portugis tidak pernah memperkecilkan kemampuan pertahanan Melaka. Albuquerque sendiri pernah menyebut bahawa ‘Kita tidak akan dapat menawan melaka dengan hanya dua batang pedang yang berkarat!’  Di waktu subuh sebelum serangan habis-habisan dilancarkan, Albuquerque memberi ucapan bahawa Melaka harus ditundukkan supaya aliran rempah tidak akan sampai ke Makkah dan Kaherah dan sinar Islam disini akan padam! Ungkapan beliau ini jelas menunjukkan niat sebenar mereka.




Barisan ketenteraan Portugis sebenarnya lebih ramai dari yang kita ketahui. Namun kita sering mendengar jumlah tentera Portugis hanyalah 1200 orang termasuk 600 tentera upahan Malabari dan kapalnya lebih kurang 19 buah. Maklumat daripada catatan Giovanni menunjukkan bahawa sewaktu tiba di Pedir, jumlah kapal termasuk yang ditawan di perjalanan mencecah angka 25 buah. Di Pasai, lapan buah kapal dari Cambay lagi menjadi mangsa tawanan atau dirosakkan. Dengan demikian kita menganggarkan lebih kurang 27 buah kapal telah tiba di perairan Melaka, tetapi menurut Hamka pula lebih dari 60 buah kapal ada dalam angkatan Portugis, termasuk kapal-kapal kecil seperti fusta dan galias. Malahan terdapat beberapa buah kapal lagi di Melaka yang ditawan dan tawanannya dijadikan barisan sokongan dalam serangan keatas Melaka.






Giovanni turut melaporkan bahawa dalam serangan pada 25 julai 1511 terdapat 1500 orang tentera Portugis yang terlibat, dengan pasukan bantuan daripada orang Cina sebanyak 400 orang dan bantuan dari seorang putera Sumatera (Raja Kampar menantu Sultan Mahmud sendiri) juga lebih kurang 400 orang. Ini semua belum termasuk tentera bantuan dari orang Pegu, Siam, malah orang-orang Keling dibawah Nainachittu dan tentera upahan Jawa yang sengaja berperang dengan tidak bersungguh-sungguh setelah ketua mereka Utimutiraja disogok Portugis.




Pertempuran berlaku dengan sengit di beberapa lokasi seperti di Jambatan, bukit Melaka, Bandar pelabuhan, Istana dan Masjid sultan. Pertahanan Melaka turut diperkuatkan oleh ribuan tentera Jawa yang pada permulaan ogos dibayar tiga bulan gaji terkehadapan disamping barisan pejuang Turki dan Khorusones atau Parsi sejumlah 3000 orang. Seperti yang saya telah sebutkan tadi, walaupun tentera Jawa ini telah dibayar gaji awal untuk tiga bulan, mereka tetap belot dan tidak bersungguh-sungguh mempertahankan Melaka kerana penghulu mereka Utimutiraja telah membuat pakatan dengan Alfonso de Albuquerque dan memberitahu anak-anak buahnya agar ‘tidak perlu bersusah payah menggadaikan nyawa sendiri untuk mempertahankan harta benda orang lain’.



Tentera Jawa.


Persoalannya adakah kekuatan Melaka yang sebenar telah digunakan sepenuhnya? Sebenarnya kekuatan Melaka yang sebenar adalah terletak pada armada lautnya. Namun demikian armada laut Melaka yang terdiri daripada jong-jong yang besar tidak berada di perairan Melaka pada ketika itu. Sebelum mulanya serangan yang penghabisan oleh Portugis, Sultan sengaja melambat-lambatkan pelepasan tawanan dan cuba berdiplomasi kerana menunggu armada lautnya bersama Laksamana. Namun tindakan Sultan yang sengaja melengah-lengahkan masa tersebut diketahui Portugis yang menyebabkan serangan total dilakukan sebelum sempat armada itu sampai. Hal ini disebabkan pihak Portugis sangat takut dengan risikan yang diberikan oleh Rui Aroujo yang mengatakan bahawa Sultan Melaka mempunyai satu armada laut yang sangat kuat yang diketuai oleh seseorang yang bernama ‘Laksamana’ yang dapat membakar hangus seluruh armada Portugis jika mereka lambat bertindak.





Terdapat catatan dari Portugis yang menyebut bahawa sewaktu Melaka diserang, Laksamana bersama armada Melaka sedang mengadakan rondaan di kawasan perairan jajahan takluk Melaka, mungkin sekitar Riau-Lingga. Ini kerana dalam catatan tersebut diberitahu bahawa Raja Lingga bersama Laksamana telah berpatah balik apabila mengetahui bahawa Melaka sudah jatuh ke tangan Portugis dan Sultan berundur ke Muar. Pada pendapat saya Raja Lingga dan Laksamana tahu bahawa kejatuhan Melaka bukanlah bermakna kejatuhan empayar Melaka kerana adat Melayu itu 10 negeri boleh dicari, selagi ada raja berdaulat. Jadi jika raja berundur maka pembesar dan raja-raja taklukannya tidak akan membuat keputusan sendiri untuk terus menyerang Melaka, sebaliknya berundur bersama Sultan untuk mengatur strategi baru. Sultan Mahmud juga dikatakan bertitah, adat kita raja Melayu, negeri alah raja mati, yang melambangkan bahawa perjuangan Melaka sebenarnya belum tamat selagi baginda dan waris-warisnya belum mati.



Apa yang dapat saya simpulkan disini ialah kekalahan Melaka kepada Portugis bukanlah satu kekalahan yang mudah seperti yang sering disebut-sebut. Bukan disebabkan teknologi persenjataan yang lemah dan bukan kerana kejakunan tentera Melaka terhadap tembakan meriam tentera Portugis. Barisan pertahanan Melaka telah berjuang berhabis-habisan baik dari segi diplomasi, pertanahan, taktik dan strategi pertempuran. Pihak Portugis sendiri mengakui bahawa pejuang-pejuang Melayu Melaka adalah gagah perkasa dan terlatih dalam ilmu peperangan serta dilengkapi dengan pelbagai jenis senjata berpotensi. Namun begitu kita tidak boleh pandang rendah pada kekuatan Portugis. Orang Portugis mempunyai pengalaman tempur dan kepungan laut yang sama hebatnya dengan bangsa Melayu. Sebelum mereka menyerang Melaka banyak kota pelabuhan lain seperti di India dan Teluk Parsi yang berjaya mereka tawan, malah mereka pernah bertempur dengan armada Turki yang terkenal hebat itu.




Kekalahan Melaka adalah sebab kurangnya kesepaduan dan kesepakatan diantara ‘Anakvanua’, dan sikap terlalu memberi kepercayaan kepada ‘anak dagang’ atau bangsa ‘asing’. Bak kata pepatah ‘apalah diharap pada dagang, bertukar musim berlalulah ia’. Sikap terlalu bertoleransi yang ditunjukkan oleh orang Melayu sejak zaman berzaman ini akhirnya memakan diri sendiri apabila golongan-golongan ‘dagang’ ini mula menunjukkan belang mereka dan menikam dari belakang! Baik dagang Kalingga, dagang Ming, dagang Burma, maupun dagang Kampar dan Mojo yang serumpun sebangsa, semuanya menjadi duri dalam daging. Harapkan pagar-pagar makan padi. Peristiwa ini seharusnya menjadi pengajaran kepada anak-anak vanua pada hari ini, dan bukannya kisah Melaka kalah berperang kerana menggunakan keris dan sumpit semata-mata yang ternyata tidak benar. Sekian, wallah hu a’lam.



~ASJ~



·   Prof Emeritus Dr. Muhammad Yusof Hj. Hashim , Kisah Melaka 1511, Institute Kajian Sejarah Dan Patriotism Malaysia, 2006.
·      Abdul Aziz Zakaria, Portugis Dalam Sejarah Melaka, DBP, 1963.
·      Portuguese Documents on Malacca: 1509-1511, National Archives of Malaysia, 1993.
·    Muhammad Yusoff Hashim, Muzaffar Desmond John Tate, The Malay Sultanate of Malacca: A Study of Various Aspects of Malacca in the 15th and 16th Centuries in Malaysian History, Dewan Bahasa & Pustaka, 1992.



CHOLA: BERTELUR SEBIJIK RIUH SEKAMPUNG!






Bendera Pandyan




Saya ingin berbicara sedikit mengenai sejarah orang Tamil dan kerajaan Pandya atau Pandyan. Mungkin ada yang tidak perasan bahawasanya kerajaan Pandya juga sebenarnya adalah sebuah kerajaan Tamil di selatan India. Berbeza dengan Chola, kerajaan Pandya semasa era kegemilangannya tidak pernah menjalankan dasar perluasan kuasa hingga ke Asia Tenggara setakat yang saya tahu. Paling jauh yang pernah mereka tawan adalah utara Sri Lanka. Kerajaan Pandya juga sering bermusuh dengan kerajaan Chola walau mereka dari bangsa yang sama.


Era Kejatuhan Chola


Malah dalam banyak peristiwa sejarah di selatan India dan Sri Lanka, kerajaan Pandya banyak kali mengadakan pakatan dengan Sri Lanka dan Srivijaya bagi mengalahkan Chola. Ibu kota kerajaan ini adalah terletak di Madhurai yang masih wujud hingga kini. Boleh dikatakan kerajaan Pandya ini kurang aggressive berbanding Tamil Chola. Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, kerajaan Srivijaya juga pernah membantu kerajaan Pandya untuk mendapatkan semula ibu kota mereka Madhurai dari cengkaman Chola.


Sebuah kuil di Madurai, Ibu Kota Pandyan


Satu persoalan disini ialah mengapa tiada orang-orang Tamil di Negara kita yang menyebut tentang raja-raja dari kerajaan Pandya ini? Mereka juga Tamil bukan? Seolah-olah hanya kerajaan Chola sahajalah kerajaan Tamil yang pernah wujud di dunia ini. Malah kerajaan Cherras juga sebuah kerajaan Tamil yang kerap bermusuhan dengan kerajaan Chola juga tidak disebut oleh mereka. Tidakkah mereka tahu menjelang kurun ke 12 Chola hampir tidak wujud lagi kerana ditawan, diserang dan dimusnahkan dengan teruk oleh Pandya? Nampak sangat bahawa segolongan Tamil yang heboh mengklaim pelbagai sejarah Melayu ini tidak arif malah mungkin tidak tahu tentang sejarah dinasti-dinasti bangsa mereka sendiri, tetapi ada hati untuk mengubah sejarah bangsa lain.

Empayar Melayu Srivijaya
Hinggakan ada yang mendakwa Raja Raja Cholan adalah Raja yang paling hebat yang pernah wujud di dunia malah dialah yang membina kerajaan Kedah Tua itu. Sehebat manakah Raja Raja Cholan ini? Lebih hebat dari Hammurabi Raja Babylon atau Ramsis 3 kerajaan Mesir kuno? Adakah sehebat Julius Caesar dari Rom dan Alexander The Great dari Macedonia? Setahu saya empayar Chola tidaklah sebesar mana dan tidak pernah pun berjaya melawan atau menyekat kemaraan kerajaan-kerajaan orang Kannada di Timur India dan orang Indo-Aryan dari utara India. Tetapi lagaknya bagai ‘ayam, bertelur sebijik riuh sekampung’! Tambahan pula catatan Dinasti Song ada menyebut bahawa RajaRaja Cholan telah menghantar sembah dan ufti kepada Maharaja China, inikah yang dikatakan Raja terhebat dunia?  Sebaliknya empayar Srivijaya pernah menaungi hampir seluruh Asia Tenggara, malah pernah membuka koloni hingga ke Madagaskar dan Afrika timur. Sekian.


~ASJ~


Sumber:

·         History, Religion and Culture of India, Volume 2, edited by S. Gajrani.

·         An Atlas and Survey of South Asian History, Karl J. Schmidt.

Jumaat, 15 Ogos 2014

KERAJAAN BUTON: KERAJAAN MELAYU PENUH DEMOKRATIK





PARA BANGSAWAN PENTADBIR BUTON


 
Mungkin ramai yang belum maklum tentang kerajaan Melayu buton yang terletak di tenggara Sulawesi ini. Buton adalah sebuah pulau yang terletak di sebelah tenggara Pulau Sulawesi. Pulau buton pernah tercatat sebagai sebuah kerajaan di dalam naskah Nagarakretagama karya Prapanca pada Tahun 1365 Masehi dengan menyebut Buton atau Butuni sebagai Negeri Keresian atau tempat tinggal para resi dimana terbentang taman dan didirikan lingga serta saluran air. Rajanya dipanggil sebagai Yang Mulia Mahaguru. Patih Gajah Mada dalam Sumpah Palapanya juga ada, menyebut nama Pulau ini.

 

Dipercayai kerajaan ini diasaskan oleh kelompok kaum bangsawan atau golongan elit dari luar yang digelar Mia Patamiana (si empat orang) yaitu Sipanjonga, Simalui, Sitamanajo, Sijawangkati yang dari sumber lisannya mereka dikatakan berasal dari Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke – 13. Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa ada dikalangan orang besar tersebut adalah dari kerajaan Majapahit dan juga dari China selain Srivijaya atau Semenanjung. Pengaruh Melayu yang ketara di Buton dapat dikesan dengan penggunaan bahasa Melayu yang meluas terutama bahasa Melayu yang mempunyai persamaan dengan di Semenanjung iaitu dari Malaka, Johor dan Patani selain daripada bahasa Wolio.

 



Para pendatang awal Melayu ini dikatakan telah membina perkampungan yang dinamakan Wolio serta membentuk sistem pemerintahan tradisional dengan menetapkan 4 Limbo (Empat Wilayah Kecil) yaitu Gundu-gundu, Barangkatopa, Peropa dan Baluwu yang masing-masing wilayah dipimpin oleh seorang Bonto yang lebih dikenali dengan Patalimbona. Selain empat Limbo yang disebutkan di atas, terdapat juga beberapa kerajaan kecil seperti Tobe-tobe, Kamaru, Wabula, Todanga dan Batauga. Maka atas usaha dan inisiatif Patalimbona, kerajaan-kerajaan tersebut kemudian bergabung dan membentuk kerajaan baru iaitu kerajaan Buton dan menetapkan Wa Kaa Kaa (seorang perempuan yang bersuamikan Si Batara seorang yang berketurunan bangsawan Kerajaan Majapahit) menjadi Ratu I pada tahun 1332 .

 

Sistem pemerintahan Buton tidak serupa dengan konsep kekuasaan di kerajaan-kerajaan lain di Nusantara. Struktur kekuasaan raja ditopang oleh dua golongan bangsawan: golongan Kaomu dan Walaka. Kuasa pemilihan Sultan berada di tangan golongan Walaka yang terdiri daripada Bonto atau Patalimbon tadi, namun yang menjadi Sultan harus dari golongan Kaomu. Jadi boleh dikatakan bahawa seorang raja dipilih bukan berdasarkan keturunan, tetapi berdasarkan pilihan yang terbaik. Hal ini menunjukkan bahawa bukan sistem kerajaan Minangkabau dan Negeri Sembilan sahaja yang bersifat demokratik, malah kerajaan Melayu Buton juga dilihat sangat demokratik dalam membentuk kerajaan.

 

Kelompok Walaka atau para Bonto memiliki tugas untuk mengumpulkan waris-waris terbaik untuk dilatih dan dididik sehingga calon-calon raja ini memiliki ilmu yang cukup ketika berkuasa nanti. Selain itu sistem pentadbirannya juga boleh dikatakan terkehadapan dari zamannya. Sistem pentadbiran kerajaan Buton dibahagi kepada tiga. Sara Pangka sebagai lembaga eksekutif, Sara Gau sebagai lembaga legislatif, dan Sara Bhitara sebagai lembaga judikatif. Hal ini menunjukkan bahawa sistem ini sudah muncul seratus tahun sebelum Montesquieu mencetuskan konsep TRIAS POLITICA.

 
ISTANA BUTON


Dalam Sejarah Buton telah tercatat dua fasa penting iaitu masa Pemerintahan Kerajaan sejak tahun 1332 hingga pertengahan abad ke – 16 dengan diperintah oleh 6 orang raja diantaranya 2 orang raja perempuan yaitu Wa Kaa Kaa dan Bulawambona. Kedua-dua raja perempuan ini membuktikan bahawa sejak dahulu lagi darjat kaum Hawa sudah mendapat tempat yang istimewa dalam masyarakat Melayu Buton. Fasa kedua pula adalah semasa Pemerintahan Kesultanan sejak masuknya Islam ke Kerajaan Buton pada tahun 948 Hijriah ( 1542 M ) iaitu zaman pemerintahan Laki La Ponto sebagai Sultan Buton I dengan Gelaran Sultan Murhum Kaimuddin Khalifatul Khamis hingga zaman pemerintahan Muhammad Falihi Kaimuddin sebagai Sultan Buton ke – 38 yang berakhir pada tahun 1960.


Sejarah umum menyatakan, bahawa Kerajaan Bone di Sulawesi lebih awal menerima Islam yang dibawa oleh Datuk ri Bandang yang berasal dari Minangkabau sekitar tahun 1605 M. Sebenarnya Sayid Jamaluddin al-Kubra lebih dulu sampai di Pulau Buton, iaitu pada tahun 815 H/1412 M. Ulama tersebut diundang oleh Raja Mulae Sangia i-Gola dan baginda terus memeluk Islam. Lebih kurang seratus tahun kemudian, Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman al-Fathani yang dikatakan datang dari Johor pula telah datang berdakwah. Baginda berhasil mengislamkan Raja Buton yang ke-6 sekitar tahun 948 H/ 1538 M. Selain pendapat yang menyebut bahawa Islam datang dari Johor, ada juga pendapat yang menyebut bahawa Islam datang ke Buton dari Ternate.

 

Tambahan lagi, apa yang unik tentang bidang kehakiman masyarakat Melayu Buton ialah, hukuman yang dilaksanakan adalah sangat tegas dan tidak membezakan diantara pemerintah mahupun rakyat. Hal ini dapat dilihat daripada 38 orang Sultan yang memerintah Buton , ada 12 orang Sultan yang menyalahgunakan kekuasaan dan melanggar sumpah kerajaan, akibatnya mereka telah dihukum. Salah seorang daripadanya iaitu Sultan ke VIII yakni Sultan Mardan Ali, yang telah dijatuhkan hukuman mati dengan cara leher dililit dengan tali hingga meninggal yang dalam bahasa wolio dikenali dengan istilah digogoli .

 
BENTENG KOTA BAU-BAU


Selain itu kerajaan Buton juga terkenal dengan binaan kubu pertahanannya. Antara yang terkenal ialah Benteng Keraton Buton yang dibina pada abad ke-16 oleh Sultan Buton III bernama La Sangaji Sultan Kaimuddin (1591-1596). Pada masa pemerintahan Sultan Buton IV yang bernama La Elangi atau Sultan Dayanu Ikhsanuddin, benteng berupa longgokan batu tersebut diperkukuh dan diperbesarkan. Benteng ini memiliki 12 pintu gerbang yang disebut Lawa dan 16 lubang meriam yang mereka sebut Baluara. Kerana letaknya di puncak bukit yang cukup tinggi dengan lereng yang cukup curam, membolehkan ianya dijadikan tempat pertahanan terbaik.


Kerajaan ini bertahan sehingga 600 tahun namun setelah kematian Sultannya yang terakhir, Kesultanan ini sudah tidak wujud dan menjadi sebahagian daripada wilayah Republik Indonesia. Daripada penulisan ini jelas bahawa bangsa Melayu Nusantara ini sebenarya adalah sangat bijak dan hebat dalam ilmu pentadbiran. Kita boleh lihat kebijakan ini dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran kerajaan Buton dan tidak lupa juga Kerajaan Negeri Sembilan di Semenanjung yang boleh dikatakan sebagai kerajaan Melayu yang mengamalkan sistem demokrasi dalam pentadbiran negeri dan pemilihan pemerintah. Sekian, wallah hu a’lam.

 
~ASJ~

 

Sumber;

·         Mengenal Kerajaan-Kerajaan Nusantara, Deni Prasetyo, 2009.

·         Kerajaan tradisional Sulawesi Tenggara: Kesultanan Buton, Susanto Zuhdi, G. A., Departmen Pendidikan dan Kebudayaan RI, 1996.

 

 

Isnin, 4 Ogos 2014

SRIVIJAYA DAN AFRIKA




Kawasan Selat Mozambique yang menghubungkan Benua Afrika dengan Pulau Madagaskar.


 
Buku-buku sejarah dunia selalu mengagung-agungkan Columbus, Magellan, Captain Cook dan lain-lain pelayar serta penjelajah barat sebagai The First atau The Greatest dari kalangan penjelajah dalam sejarah. Tetapi tahukah anda, ternyata piawaian mereka ini adalah jauh ketinggalan dari para pelaut Nusantara. Mungkin bagi anda yang kurang mentelaah mengenai kehebatan dunia maritim nenek moyang kita akan berasa ragu-ragu dengan apa yang saya ingin sampaikan. Tetapi tidak mengapa, kerana walau anak bangsa kita sendiri tidak tahu betapa hebat dan luasnya tamadun maritim bangsa kita, ada banyak lagi para penyelidik dari luar yang tahu dan yakin mengenainya.  Apa yang mahu saya paparkan ini sebenarnya telah ramai yang tahu, namun pada pendapat saya ada moleknya saya mengulang semula untuk yang belum tahu.

 

Kehebatan ilmu pelayaran bangsa Nusantara sebenarnya tidak boleh dipersoalkan lagi. Dan keberadaan bangsa Austronesia di seluruh pelusuk dunia adalah bukti yang tak tertulis. Menurut James Hornell dalam penulisannya, terdapat bukti kewujudan suku Austronesia di selatan India pada zaman kuno . Georgio Bucallati pula dalam kajiannya terhadap Cengkih di Syria mendapati bahawa rempah tersebut telah digunakan sejak tahun 3,700 SM, dan Julian Reade pula telah menjumpai rangka kambing atau Bebiri yang berasal dari Timur Tengah yang berusia sangat langka di Nusantara. Segala penemuan ini membuktikan bahawa sememangnya bangsa Melayu telah terlibat dalam aktiviti perdagangan laut jarak jauh yang menjangkau sehingga ke Timur Tengah malah Afrika. Jumpaan Cengkih di Syria yang berusia beribu tahun mengukuhkan lagi hal ini kerana Cengkih adalah rempah yang hanya dapat diperolehi di pulau Maluku sahaja.



Pelaut Melayu Nusantara pastinya pernah singgah di setiap pelabuhan kuno yang terdapat dalam peta di atas termasuklah di Laut Merah. Tiada halangan untuk mereka berbuat demikian sekiranya mereka mampu untuk ke Madagaskar dan Afrika.


Saya pernah menyentuh mengenai pengaruh  Melayu Nusantara di Madagaskar dalam artikel saya terdahulu. Tetapi tak terfikirkah anda, jika bangsa kita mampu berlayar hingga ke Madagaskar adakah terdapat sebarang halangan untuk mereka terus berlayar hingga ke pantai-pantai di sepanjang benua Afrika? Sudah tentu tiada sebarang halangan bukan? Malah sudah tentu tiada halangan untuk mereka bermain-main di lautan sekitar semenanjung Tanah Arab dan berdagang di pelabuhan-pelabuhan di sepanjang Yaman malah hingga ke pelabuhan milik para Firaun Mesir di Lautan Merah. Adalah mustahil satu bangsa pelaut hebat yang menguasai lautan seluas lautan Hindi tidak mampu untuk mengharungi laut Merah. Saya yakin para wakil dagang Raja Perehu pernah berkunjung ke pelabuhan-pelabuhan yang dikuasai Ratu Hatshepsut. Lautan adalah tempat mainan mereka, jika bangsa lain mengaggap lautan adalah pemisah dan halangan namun bagi bangsa Melayu Nusantara lautan adalah penghubung atau jalan raya yang boleh membawa mereka kemana sahaja yang mereka mahu.

 

Sebenarnya pelaut-pelaut Nusantara sudah menjejakkan kaki di  benua Afrika sejak abad ke-5 M lagi atau mungkin juga lebih awal. Jauh sebelum bangsa Eropah mengenal Afrika dan jauh sebelum bangsa Arab berani berlayar dengan Dhow mereka ke Zanzibar. Malah lebih jauh daripada zaman kegemilangan pelayaran China yang hanya bermula pada kurun ke 13 iaitu semasa zaman Laksamana Cheng Ho.  Teknologi perkapalan Melayu juga banyak ditiru oleh para pelaut China, India, Arab dan kemudiannya Barat. Namun tak ramai yang sedar akan hal ini. Malah menurut Anthony Reid, bangsa Nusantara adalah perintis kepada peradaban maritim dan perdagangan laut. Tanpa pengenalan teknologi daripada bangsa Melayu Nusantara kepada dunia mungkin teknologi perkapalan dan perdangangan maritim masa kini akan terbantut atau lambat berkembang.

 

Menurut Al Idrisi orang-orang Zabag mendatangi wilayah Zanj iaitu Afrika timur dengan kapal-kapal besar dan kecil, dan mereka berhubungan dengan orang-orang Zanj dalam urusan perdagangan kerana mereka mengerti bahasa satu sama lain. Kenyataan daripada Al Idrisi ini membuat kita terfikir mungkinkah terdapatnya satu bangsa yang memahami dan bertutur dalam bahasa Melayu di Afrika timur pada suatu masa dahulu. Dan mungkinkah koloni mereka ini lah yang menjadi pusat pengumpulan bahan logam seperti besi dan emas yang kemudiannya dibawa ke Kedah-Srivijaya. Saya berpendapat tentu ianya wujud! Sejak dari awal lagi para penulis Arab dan Parsi mengkhabarkan bahawa orang-orang Melayu Nusantara sudah biasa menjalankan perdagangan hamba dari Afrika dan dibawa ke seluruh dunia timur. Malah catatan China pernah menyebut bahawa Maharaja Srivijaya pernah menghadiahkannya dengan hamba-hamba kulit hitam.





Terdapat para pengkaji sejarah Afrika yang berpendapat teknologi perlombongan emas di Arfika timur dan selatan adalah berasal dari luar. Dikatakan bahawa perlombongan amas di Afrika timur bermula kira-kira pada 600 Masihi. Jika dilihat sekitar tahun 600 M adalah tahun dimana kerajaan Srivijaya mula muncul. Selain itu menurut pengkaji barat seperti Robert Dick Read, beliau yakin bahawa bangsa Zanj yang sering disebut oleh pengembara Arab dalam catatan mereka di Afrika timur adalah bangsa Nusantara yang telah bersemenda dengan masyarakat tempatan dan membuka koloni serta pusat perdagangan dan perlombongan di Afrika. Sisa-sisa bangsa tersebut pada hari ini yang masih tinggal hanyalah di Madagaskar yang kita tahu memang mempunyai hubungan genetik, bahasa dan kebudayaan dengan Nusantara.

 

Seorang ahli Arkeologi Rhodesia, Roger Summers mengatakan bahawa sebahagian besar emas yang dilombong di Afrika Timur sekitar abad ke 9M hingga 12M adalah sebanyak kira-kira 20.000.000 hingga 25.000.000 auns, iaitu satu jumlah yang sangat besar dan tak mungkin dilakukan oleh masyarakat tempatan yang hanya melombong dengan menggunakan teknologi primitif dan tidak sistematik. Selain itu dalam sebuah lombong kuno suatu ketika dahulu ditemui sejenis penggali tanah yang menggemparkan para ahli arkeologi Afrika kerana mereka tahu teknologi penggali tanah atau cangkul seperti itu tidak wujud di Afrika sebelum kedatangan barat dan hanya wujud di India dan Nusantara sahaja. Berkemungkinan lombong kuno tersebut pernah dilombong nenek moyang orang Nusantara.

 


Tetapi siapakan para pelaut ini? Para pengkaji bahasa yang mengkaji bahasa Malagasy dan Swahili mendapati bahawa bahasa yang digunakan oleh mereka sebenarnya lebih banyak mendekati bahasa Melayu , Dayak Maayan serta bahasa Bajau dan Bugis dengan sedikit pengaruh bahasa Jawa. Jadi andaian saya adalah para pelaut yang pergi berdagang atau membuka koloni di Afrika timur dan Madagaskar ini adalah dari suku ‘Orang Laut’. Kita memang tahu bahawa kekuatan kerajaan Srivijaya adalah dengan adanya Orang Laut dan antara suku Orang Laut yang terkenal adalah Bajau dan Bugis. Menurut pengkaji sejarah Bajau, sebelum orang-orang Bajau berhijrah ke kawasan perairan Sabah, Sarawak dan kepulauan Filipina mereka adalah berasal dari kawasan perairan selat Melaka terutama sekitar Johor. Mereka mempunyai kaitan dengan suku Seletar yang masih ada di Johor hingga sekarang. Sudah pasti mereka inilah yang telah dihantar oleh Maharaja-maharaja Srivijaya untuk membuka koloni di Madagaskar dan Afrika Timur.




Suku kaum Bajau Islam dan Bajau Laut.


Antara bukti kaitan suku Bajau dan Bugis dengan Afrika adalah terdapatnya persamaan diantara perahu orang Swahili dengan perahu bercandik Bajau dan Bugis. perkataan Kiswahili untuk candik pada perahu adalah tengo, tengotengo, atau rengo. Dalam bahasa bugis ianya dipanggil baratang dan dalam bahasa Makassar penyambung candik tersebut dipanggil tenko. Manakala dalam bahasa Bajau ia disebut tetenkona. Di timur Indonesia perahu bercandik dua biasanya dipanggil tango. Semua perkaitan ini memberikan petunjuk bahawa berkemungkinan orang Bajau/Bugis/Makasar lah atau ‘Orang Laut’ yang membuka koloni di Afrika timur.

 

 Selain itu ada pengkaji yang membuat andaian bahawa suku Bajun yang terdapat di sekitar perairan Somalia mempunyai kaitan dengan orang Bajau. Dari segi Linguistik pula Dahl dan Alexander Adelaar telah membuat kesimpulan bahawa masyarakat proto-Malagasy pernah tinggal  atau berasal sekitar Pulau Bangka yang terletak di selat Melaka dan berdekatan dengan pantai timur Sumatera dimana pernah wujudnya salah satu pusat kerajaan Srivijaya. Mereka berpendapat Masyarakat orang laut inilah yang mula-mula membuka koloni di Madagaskar dan Afrika Timur. Kenyataan mereka ini sesuai dengan pendapat saya tadi iaitu para pelaut tersebut sudah pasti adalah dari golongan ‘Orang Laut’ yang menjadi tunggak penting kerajaan-kerajaan maritim di sekitar selat Melaka.

 

Para pedagang dan pelaut Nusantara ini juga meninggalkan banyak jejak kebudayaan mereka yang masih boleh dilihat hingga kini di seluruh Afrika. Diantara kesan-kesan yang ditinggalkan oleh mereka adalah dari segi kebudayaan muzik iaitu alat-alat muzik mereka. Salah satu daripada alat muzik yang dibawa oleh pelaut Melayu Nusantara adalah Xylophone. Selain itu sejenis alat muzik yang dinamakan sebagai penpipes dari suku kaum Ngungwe dari Zambezi juga dikatakan diperkenalkan oleh pelaut Nusantara. Distribusi alat muzik penpipes ini adalah sangat spesifik. Alat muzik ini dari segi morphologi dan musikologinya mempunyai persamaan yang sangat rapat dengan alat yang dimainkan di Borneo dan Pulau Jawa. Oleh sebab itu terdapat dikalangan para pengkaji budaya Afrika berandaian bahawa ia dibawa masuk oleh para pelaut Nusantara.

 


Dalam bukunya, Hugh Tracey telah menulis bahawa sekitar 1500 Masihi, suku kaum Chopi iaitu pemain alat muzik Xylophone terbaik di Afrika telah berpecah dari kaum Karanga, iaitu satu pecahan daripada suku kuno yang dipercayai penghuni The Great Zimbabwe. Kaitan diantara suku Chopi dengan The Great Zimbabwe ini dipercayai menguatkan lagi kaitan atau bukti bahawa alat muzik tersebut adalah datang dari Nusantara. Hal ini kerana The Great Zimbabwe dipercayai adalah salah sebuah tapak peradaban kuno yang telah lenyap yang diasaskan oleh bangsa Zanj atau Nusantara yang bersemenda dengan masyarakat setempat.

 


Apa yang menyebabkan sebahagian dariapda pengkaji beranggapan bahawa binaan batu yang terdapat di great Zimbabwe adalah binaan dari orang luar ialah kerana teknologi binaan batuan sebegitu adalah asing bagi masyarakat Afrika Timur pada zaman tersebut. Malah terdapat pengkaji yang mengaitkan binaan tersebut dengan binaan rumah ibadat agama kuno kaum Malagasy di Madagaskar. Selain di Afrika timur orang Nusantara juga mempengaruhi alatan muzik bagi masyarakat Afrika barat. Antara alat muziknya adalah seperti Ekere Mba dari puak Igbo yang mempunyai persamaan dengan alat muzik Melayu segenting kra atau Mon dan Thai iaitu Kong Tok.

 

Kenyataan daripada Raymond Kent mengukuhkan lagi pendapat bahawa berkemungkinan besar memang wujud bangsa Zanj yang merupakan percampuran darah diantara suku-suku tempatan Afrika dengan orang-orang Nusantara. Menurut beliau, sudah tentu pada abad-abad pertama masihi terdapatnya satu bangsa Afro-Malagasy yang mendiami kedua-dua belah pantai yang menghadap ke selat Mozambiq yang pada zaman itu adalah sebuah laluan perhubungan diantara dua daratan tersebut. Selain itu terdapatnya perkaitan diantara kepercayaan tradisional di sekitar great Zimbabwe dengan kepercayaan tradisional masyarakat Malagasy yang mengukuhkan lagi dakwaan bahawa pada zaman kuno orang Malagasylah yang menguasai pantai timur Afrika. Antara buktinya adalah dengan terdapatnya banyak menara-menara berbentuk silinder di sekitar great Zimbabwe serta ukiran-ukiran batuan kecil yang berbentuk phallic iaitu bentuk kemaluan lelaki.

 
Menara silinder


Dalam masyarakat Malagasy sememangnya terdapat pemujaan terhadap kemaluan lelaki yang dilakukan oleh puak Betsileo. Batuan yang diukir membentuk kemaluan lelaki ini biasanya dipanggil sebagai Vatolahy (Batu Laki). Malahan G.W.B Huntingford seorang ahli etnografi berpendapat bahawa simbol-simbol pelir atau kemaluan lelaki itu adalah berasal dari Asia Tenggara atau Nusantara. Beliau juga mengemukakan pendapatnya bahawa pengaruh Nusantara juga meluas hingga ke selatan semenanjung tanah Arab malah hingga ke Abbysinia kerana hagiolit yang terdapat di sana mempunyai persamaan dengan yang ada di Asia Tenggara.

 
Selain suku Merina suku Betsileo juga adalah salah satu suku yang serumpun dengan kita.


Tambahan lagi, ada juga peresamaan pada seni ukiran patung yang dimiliki suku kaum Ife di Nigeria dengan patung dan relief perahu yang terpahat di Nusantara atau di candi Borobudur. Beberapa tanaman yang diketahui berasal dari Nusantara juga didapati telah dibawa bersama para penghijrah Nusantara ke sana, seperti pisang raja, ubi jalar, keladi, Kelapa, Padi sawah dan jagung. Menurut penelitian George Murdock, seorang profesor dari Amerika pada 1959, tanaman-tanaman tersebut telah dibawa orang-orang Nusantara ketika melakukan pelayaran dan membuka koloni ke Madagaskar. Sebagai contohnya di Yorubaland telah ditemui sebuah jubin lantai yang mempunyai terapan atau ukiran puntung Jagung. Seperti yang kita sedia maklum Jagung bukanlah tanaman asli Afrika, ia berasal daripada benua Amerika. Oleh itu terdapat kemungkinan besar bahawa ia telah diperkenalkan oleh para pelaut Nusantara melalui hubungan mereka dengan benua Amerika

 
Tanaman padi teres memang salah satu ciri Austronesia.


Sebenarnya ada banyak lagi kesan atau jejak yang ditinggalkan oleh masyarakat Nusantara dalam budaya dan kehidupan masyarakat di Madagaskar, Afrika Timur dan Afrika Barat. Bangsa yang layak digelar sebagai Viking Timur ini telah membawa bersama mereka ke Benua Afrika yang kaya dengan emas pelbagai jenis tumbuhan, muzik dan alatannya, kesenian, teknologi, barangan perhiasan, tembikar,manik, penyakit, kepercayaan dan agama malah amalan dan cara menilik. Kesemua unsur-unsur kebudayaan yang dibawa mereka ini akhirnya diserap oleh masyarakat tempatan. Adalah tidak keterlalauan sekiranya saya mengatakan jika tiadanya pengaruh kebudayaan Nusantara yang datang melalui para pedagang dan pelaut Melayu Nusantara ini sudah pasti keadaan  Afrika pada masa kini adalah sangat-sangat berbeza.

 ~ASJ~
 
Sumber:

·         D. Sopher. The Sea Nomads, A study of the Maritime Boat People of Southeast Asia. 1965 Nat. Mus. Of Singapore. 1977.

·         A.M. Jones Africa and Indonesia. Leiden. 1970

·         The phantom voyagers: evidence of Indonesian settlement in Africa in ancient times. Robert Dick-Read.2005.