Khamis, 14 Jun 2012

SRIVIJAYA BERMULA DI SEMENANJUNG TANAH MELAYU





 Terdapat begitu banyak salah faham dan kekeliruan tentang sejarah peringkat awal Asia Tenggara. Keadaan ini tidak  begitu banyak berubah sepanjang 100 tahun kebelakangan ini. Dalam artikel ini apa yang akan saya cuba bincangkan adalah tentang teori alternative yang pada pendapat saya kurang diketahui oleh masyarakat kita iaitu lokasi Shih-li-fo-shi atau Srivijaya di Chaiya selatan Thailand. Sebenarnya teori ini bukan teori baru, namun demikian oleh kerana teori Coedes dan Slamet Muljana yang amat popular mengatakan Srivijaya berpusat di Palembang maka teori-teori lain terkubur dan terlindung dek bayang-bayang teori aliran perdana ini. Melalui Hipotesis ini kita akan melihat bagaimana sejarawan jepun Takashi Suzuki meletakkan pusat Srivijaya di Chaiya selatan Thailand. Saya sebenarnya setuju bahawa Pusat terawal Srivijaya bukanlah bermula di Palembang kerana masih tidak terdapat bukti kukuh hingga hari ini yang dapat menyatakan dengan jelas bahawa Palembang adalah tempat bermulanya Empayar Maritim Melayu ini.



 Setakat ini yang dijumpai adalah prasasti-prasasti yang belum cukup untuk membuktikan teori tersebut. Malahan candi-candi dan kota-kota purba adalah susah sekali untuk dijumpai di Palembang. Namun jika kita ke Semenanjung Tanah Melayu bermula dari Segenting Kera hingga ke Negeri-negeri utara Malaysia banyak ruins atau runtuhan-runtuhan kota dan candi serta tinggalan arkeologi yang boleh kita jumpa terutama di Kedah. Itu belum lagi di Kelantan yang mungkin ada lebih banyak tinggalan kota-kota purba yang hanya tunggu untuk digali. Begitu juga dengan inskripsi Grahi yang dijumpai di Chaiya dan beberapa buah wat yang memang sah mempunyai gaya binaan Srivijaya. Jadi pada pendapat anda kawasan yang mana paling pas untuk menjadi kawasan bermulanya kerajaan Srivijaya yang jaya itu? Adakah di Palembang yang dalam kebanyakan catatan cina dikatakan sebagai sebahagian daripada jajahan Shi Li Fo Shi yang mana agak pelik kerana jika Palembang adalah pusat pemerintahan dan juga Srivijaya mengapa pula dikatakan banhawa Palembang adalah jajahan Srivijaya? Namun walau apa pun keputusannya kita terima dengan minda yang terbuka.


Seperti telahan saya sebelum ini saya memang menjangka bahawa Srivijaya bermula di utara semenjung Tanah Melayu tak kiralah di Kelantan, Pattani atau di Chaiya Thailand. Hal ini adalah kerana Srivijaya adalah penerus bagi kegemilangan kerajaan Melayu Funan! Sudah tentulah elit-elit Funan yang melarikan diri daripada serangan dan penindasan Chenla telah menuju ke negeri-negeri Melayu atau City State Melayu di Semenanjung kerana mereka memang mempunyai hubungan rapat dengan tempat ini dan dipercayai nenek moyang mereka juga pernah berasal dari sini. Samaada di Kelantan atau Chaiya mereka mula membina kekuatan baru dan mengumpul tentera untuk membina sebuah kerajaan yang baru. Akhirnya mereka berjaya menubuhkan Sriwijayamala.


 Berbalik kepada kekeliruan sejarawan tentang lokasi pusat Srivijaya yang sebenarnya. Hipotesis Palembang telah dibentangkan oleh G. Coedes dan telah disokong oleh kebanyakan ahli sejarah. Namun demikian seorang ahli sejarah dari jepun Takashi Suzuki merasakan bahawa hipotesis itu tidak rasional dari banyak aspek dan ia dibuktikan dengan beberapa kesilapan ketara. I-Ching dalam "Xin (Baru) Tang-Shu" menulis bahawa Shih-li-fo-shi terletak di hemisfera utara, dalam erti kata lain di Semenanjung Tanah Melayu .Sejarah Asia Tenggara telah diputarbelitkan oleh hipotesis yang salah katanya. Kesilapan yang paling serius ialah 'Hipotesis Palembang'.



Dr Quaritch Wales dan R.C. Dr. Majumdar adalah diantara sejarawan yang percaya bahawa Sriwijaya bermula di utara Semenanjung Tanah Melayu. Ciri-ciri hipotesis sejarawan jepun Takashi Suzuki kebanyakannya penilaian semula  terhadap bukti teks Cina dari sudut pandangan seorang ahli ekonomi dan ahli sejarah ekonomi. Pada masa yang sama, dia cuba untuk menetapkan lokasi negeri-negeri penting yang dicatatkan dalam sejarah Cina. Tanpa pengenalan yang tepat terhadap beberapa negeri-negeri penting, sejarah Asia Tenggara tidak boleh dibincangkan dan dijelaskan. Shih-li-fo-shi di zaman dinasti Tang telah terkenal sebagai Srivijaya. San-fo-chi yang muncul pada tahun 904 di peringkat terakhir Dinasti Tang (618 ~ 907) telah diakui oleh pegawai Tang sebagai Srivijaya. Dan dalam masa Song, ia telah diiktiraf sebagai San-fo-chi, yang menurut Chau-Ju-ka, mula menghantar utusan ke China sejak 904.



Menurut Takashi Suzuki antara Shih-li-fo-shi dan San-fo-chi, terdapat negeri baru Kha-ling (Sailendra). Namun ia semua adalah merujuk kepada Srivijaya. Srivijaya terdiri daripada lebih daripada 14 bandar dan kebanyakan dari Bandar tersebut adalah adalah negeri-negeri atau Bandar kota pelabuhan yang mengambil bahagian dalam perdagangan antarabangsa. Negeri-negeri terpenting adalah, Shih-li-fo-shi barangkali Chaiya, Kha-ling di Jawa Tengah dan San-fo-chi, Jambi serta Kedah. Melalui tiga peringkat sejarah Srivijaya, semua raja-raja terkemukanya adalah keturunan raja Funan penganut Buddhisme Mahayana. Raja-raja Funan selepas ditendang keluar dari Kemboja, melarikan diri ke negeri takluk mereka, iaitu Pan-pan Pada pertengahan abad ketujuh, mereka menubuhkan sebuah negeri baru yang dikenali sebagai Shih-li-fo-shi atau mungkin Sriwijayamala. Sebelum membina Shih-li-fo-shi, mereka menggabungkan negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu.

 Pada akhir 670 hanya nama Shih-li-fo-shi kekal di tengah-tengah Semenanjung, yang dicatatkan dalam sejarah Cina sebagai sebuah negara jajahan. Sebelum itu Chi-tu, Tan-tan dan Pan-pan hilang. Shih-li-fo-shi membuka tingkap untuk ke Selat Melaka, selepas Kedah yang bergabung dengan Chi-tu yang menjadikan kedah sebagai sebuah entity yang kuat, kemudian kedah diserap ke dalam Shih li fo shi. Adalah amat perlu untuk Shih-li-fo-shi mengawal Selat Melaka bagi membeli dan mengawal kemasukan komoditi barat yang datang dari seluruh Teluk Bengal. Pada pertengahan abad ketujuh, kehadiran negara-negara barat, Parsi dan Arab, telah meningkat di Tang. Ini bermakna status Shih-li-fo-shi, sebagai orang tengah menjadi goyah dan mungkin melemah. Oleh sebab itu Shih-li-fo-shi atau Sriwijayamala menghantar ekspedisi tentera laut untuk meletakkan Malayu , Jambi dan Palembang di bawah kawalannya dalam tahun 680.


 Selepas kempen yang berjaya, Shih-li-fo-shi memahat beberapa inskripsi berhampiran Palembang dan Jambi. Kemudian Shih-li-fo-shi menghantar wakilnya pada tahun 686 di Pulau Bangka dan Kha-ling = Sanjaya, yang terletak di Jawa Tengah. Tentera laut Sriwijaya mungkin telah berjaya mendarat di Pekalongan, sebuah pelabuhan utama Kha-ling.  Shih-li-fo-shi telah menubuhkan kerajaan Sailendra. Walau bagaimanapun Sailendra wujud bersama dengan kerajaan Sanjaya. Pada akhir abad ketujuh, wilayah Shih-li-fo-shi menjadi yang terbesar, meliputi pertengahan Semenanjung Tanah Melayu, pantai timur Sumatera dan Jawa. Pada masa yang sama, Shih-li-fo-shi mula untuk mengawal lalu lintas di Selat Melaka.Walau bagaimanapun, sekitar 745, Chen-la (Kemboja) menyerang Shih-li-fo-shi, dan menduduki Chaiya dan Nakhon Si Thammarat.




 Pada masa yang sama kawalan ke atas Selat Melaka runtuh. Hampir dua puluh tahun kemudian, barulah Srivijaya mampu menyerang Chen-la dan mendapatkan kembali Chaiya dan Nakhon Si Thammarat. Pada kempen ini tentera laut Sailendra dari Jawa memainkan peranan utama dan raja Sailendra telah diberi gelaran 'Maharaja Srivijaya. Bagi memperingati kejayaan ini sebuah prasasti yakni prasasti Ligor telah dipahat pada tahun 775. Sailendra menjadi negeri terkuat dalam konfederasi Srivijaya, tetapi Sailendra telah menghantar utusan ke dinasti Tang di bawah nama 'Kha-ling sama seperti Sanjaya.


Sekitar 830, selepas Maharaja Samaratuńga meninggal dunia, Sailendra telah hilang kuasa di Jawa tengah dan tidak lama selepas itu pemerintahan Sailendra di Jawa telah dirampas oleh Sanjaya. Putera Balaputra melarikan diri ke Suvernadvipa (Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu) namun dia tetap mewarisi gelaran Maharaja Srivijaya. Dia mungkin pada mulanya telah melarikan diri ke Palembang, tetapi lokasi terakhir adalah tidak diketahui.


 Jambi mempunyai kuasa ekonomi yang kuat di kalangan negara-negara Srivijaya pada masa ini dan sistem dirajanya juga tidak dapat digoyahkan, jadi Balaputra telah pergi ke Kedah akhirnya. Pada akhir abad kesembilan Srivijaya membentuk konfederasi negeri baru iaitu 'San-fo-chi'. San-fo-chi secara literal bermaksud 'tiga Vijaya', mungkin terdiri daripada Jambi, Kedah dan Chaiya (atau Palembang). Peranan Palembang tidak menonjol selain daripada laluan utama 'Timur dan Barat'. Selepas membentuk San-fo-chi, kawalan Selat Melaka diperkuat dan San-fo-chi boleh menguasai perdagangan antarabangsa dengan Tang dan Song. Sebaliknya, Sanjaya tidak boleh terus menghantar utusan ke China, kerana Sanjaya tidak dapat membeli barangan barat dengan mudah melalui Selat Melaka.



Pada awal abad ke-11, San-fo-chi telah diduduki oleh Chola (hipotesis yang masih meragukan), dari selatan India. San-fo-chi kembali menerajui pada akhir abad ke-11. Pada akhir abad ke-12 Dinasti Song Selatan telah menghapuskan sistem jajahan disebabkan kesukaran kewangan, dan termaktubnya regulasi baru yang dibuat untuk menghadkan pengaruh kuasa dari luar melalui 'sistem adat maritim. Di bawah sistem adat maritim yang baru, peranan San-fo-chi telah berkurangan sebagai negara naungan terkemuka. Selepas 1178, nama San-fo-chi hilang dari rekod Song Selatan. Semua bandar dan negara kota dalam negeri-negeri Srivijaya telah tenggelam di tengah-tengah lautan 'sistem pasaran bebas'. Antara mereka ialah Tambralinga (Nakhon Si Thammarat) muncul pada abad ke-13 di bawah pemerintahan raja Candrabhānu.

Tambralinga menguasai sebahagian penting Semenanjung Tanah Melayu dan mempunyai dua belas negeri dibawah lindungannya. Namun setelah Candrabhānu gagal dalam kempen menentang Sri Lanka sekitar 1260, kuasa Tambralinga menurun dan pada akhir abad ketiga belas Tambralinga telah diserang dan diserap oleh raja Rama Khamheng dari kerajaan Sukodaya. Kerajaan Yuan mewarisi 'adat sistem maritim', jadi mana-mana individu hanya boleh berdagang dengan pegawai kastam di pelabuhan utama China. Pada awal Dinasti Ming, maharaja pertama Hongwudi menyambung semula sistem jajahan. Maka nama 'San-fo-chi' muncul kembali di istana Ming. Kali ini San-fo-chi datang dari wilayah Palembang. Pada masa itu Palembang adalah sebuah negeri takluk Jawa (kerajaan Majapahit).

Telah disebutkan bahawa sejarah Srivijaya dibahagikan dengan tiga fasa sebagai negeri jajahan China. Yang pertama adalah 'Shih-li-fo-shi, yang kedua ialah 'Sailendra (di Jawa tengah)', yang ketiga ialah 'San-fo-chi. Shih-li-fo-shi menghantar kedutaan pada 670 hingga 741, Sailendra semasa 768 ~ 860 dan San-fo-chi semasa 904 ~ 1178. Pada setiap peringkat, keturunan keluarga diraja Funan mungkin menguasai Srivijaya. Kesimpulan saya adalah bahawa Srivijaya adalah sebuah negara berorientasikan konfederasi perdagangan (atau empayar) yang cuba untuk memonopoli aliran perdagangan di tanah naungan dan jajahan China dari seluruh Asia Tenggara. Semua negeri bawahan membawa komoditi mereka ke pelabuhan utama Srivijaya, yang kemudian dieksport ke ke China. Fungsi Srivijaya kelihatan seperti 'sogo shousha (firma dagangan gergasi)' di Jepun.


Seperti yang saya sebutkan tadi Takashi Suzuki menegaskan hipotesisnya bahawa lokasi awal ibu kota Srivijaya semasa I-ching melawatnya pada tahun 671 adalah di Chaiya Ban Don Bay Thailand. Menurut beliau lagi Chaiya dikenali sebagai ibu kota Pan-pan yang telah menjadi negeri jajahan Funan. Srivijaya telah dibina oleh elit Funan yang melarikan diri ke Pan-pan, selepas mereka dikalahkan oleh Chen-la dipertengahan abad keenam. Hubungan Funan dan Pan-pan sebenarnya sudah tidak aktif untuk jangka masa yang agak lama. Sebenarnya Pan-pan telah ditawan oleh Funan melalui pimpinan Fan-shih man dalam abad ketiga, sejak itu, Pan-pan telah digunakan oleh Funan sebagai pelabuhan perdagangan utama menghubungkan Takua Pa dan merentasi Teluk Siam OC- eo. Funan mengimport barangan berharga dari barat melalui 'laluan trans-semenanjung' antara Takua Pa dan Pan-pan. Dari satu segi, Pan-pan, bukan sahaja sebuah negara jajahan Funan, tetapi juga sebahagian dari Funan itu sendiri



Pada awal abad ke-21, beberapa orang sejarawan merasa ragu dengan lokasi Srivijaya terletak di Palembang Sumatera, kerana, menurut G. Coedes, Palembang merupakan pusat perdagangan antara Timur dan Barat dan sebuah pusat ajaran Buddhisme Mahayana. Sebagai entrepot antara India dan China, Jambi terletak di lokasi yang lebih lebih baik daripada Palembang. Manakala sebagai pusat Buddhisme Mahayana, negeri-negeri Semenanjung Tanah Melayu, seperti Chaiya mempunyai kelebihan yang lebih daripada Palembang. Menurut sejarah China, Funan dan Pan-pan telah dikenali sebagai pusat ajaran Buddhisme Mahayana sejak abad kelima dan menyumbang kepada tamadun China dalam bidang agama Buddha.

Dalam sejarah Srivijaya, peranan Palembang terlalu dibesar-besarkan, akibatnya sejarah kuno Asia Tenggara telah diputarbelitkan. Sebagai contoh hubungan perdagangan antara China dan Indonesia (Jawa dan Sumatera) tidak begitu maju sebelum abad ketujuh. Malah, inskripsi adalah jarang ditemui sebelum abad ke-7 di Jawa. kerajaan Cina lebih suka barang-barang dari barat seperti India, Arab dan Parsi serta produk daratan Asia Tenggara, seperti kayu wangi dan kemenyan. Namun Pulau Jawa tidak berada dalam kedudukan untuk mendapatkan barang-barang barat dengan mudah, berbanding dengan Funan dan Champa. Funan memperolehi barangan ini melalui pelabuhan Takua Pa dan dibawa mereka melalui laluan tanah ke Chaiya. Dari Chaiya, Funan menghantar barangan tersebut ke pelabuhannya, 'OC-Eo' dan terus ke China dan Champa. Chaiya dan Champa mengekalkan hubungan yang baik untuk jangka masa yang lama.



Sejak dari zaman purba, orang-orang India telah membawa pengaruh budaya mereka ke Asia Tenggara dalam gelombang berturut-turut. Walau bagaimanapun, kumpulan asing yang pertama datang ke Asia Tenggara adalah berkemungkinan sebagai pemburu perbendaharaan. Mereka mencari emas dan logam berharga yang lain. Mereka mendapati terdapat beberapa lombong emas di kawasan ini, Pahang contohnya di tengah-tengah Semenanjung Tanah Melayu. Pendatang India membawa manik dan pakaian kapas untuk ditukarkan dengan emas dan keperluan harian dari masyarakat pribumi.


Dalam fasa kedua, India muncul di Asia Tenggara sebagai pedagang. Pada mulanya mereka membawa produk India dan peringkat seterusnya mereka membawa produk barat seperti kemenyan, barang kaca, ketulan gangsa dan pelbagai jenis barangan Arab dan Parsi. Produk-produk ini telah digunakan oleh masyarakat tempatan dan dieksport semula ke China atau negara-negara lain. Ekonomi India memerlukan lebih banyak emas selepas aliran masuk syiling emas dari Rom. Di India, perak adalah mata wang utama, tetapi kemudian perak digantikan secara beransur-ansur dengan emas. Dari awal abad ketiga, Funan dan Lin-yi (Champa) muncul sebagai negara naungan China. Kedua-dua negara menguasai perdagangan dengan China, tetapi dari pantai timur Semenanjung Tanah Melayu, Kelantan, Pahang dan Pattani muncul sebagai negeri yang tidak kurang hebatnya. Negeri ini bebas daripada kawalan langsung Funan. Pada peringkat ini tidak ada bukti bahawa Jawa dan Sumatera telah berhubung secara langsung dengan China.



Sami Cina I-Ching yang menulis "Nan-Hui Chi-Kuei Nei-Fa Chuan" dan " the Memoir on the Eminent Monks who sought the Law in the West during the Great Tang Dynasty "di mana beliau mencatatkan bahawa beliau meninggalkan Canton pada 671 di dalam sebuah kapal Parsi ke India. Beliau mendarat di pelabuhan antarabangsa, Shih-li-fo-shi, di mana beliau mendapati sejumlah besar sami lebih daripada 1,000 yang belajar dan mengamalkan Buddhisme tahap yang tinggi. Beliau tinggal di sana selama enam bulan untuk mengkaji tatabahasa Sanskrit. Sejarah kontemporari percaya bahawa Shih-li-fo-shi terletak di Palembang Sumatera. Namun kita sedia maklum bahawa laluan utama pengajaran agama Buddha datang terus awalnya ke Semenanjung Tanah Melayu dahulu bersama-sama dengan komoditi barat.



Pada masa  dinasti Tang, Pan-pan mempunyai 11 kuil Buddha dan Funan telah menjadi pusat Buddhism Mahayana di Asia Tenggara. I-Ching menerima sambutan hangat dan layanan istimewa dari raja Shih-li-fo-shi dan dia telah dihantar ke pelabuhan Malayu dengan kapal raja. Di Malayu, I-Ching tinggal selama dua bulan, dari sini dia berpaling ke arah timur. Dalam perjalanan ke pelabuhan di India Utara, Tāmraliptī, beliau berhenti di Kedah dan kemudian di Pulau Orang yang berbogel yakni Kepulauan Nicobar. Lokasi Malayu, Kedah dan Pulau telanjang hampir jelas, tetapi lokasi Shih-li-fo-shi masih kabur untuk jangka masa yang lama.Tetapi sekitar tahun 1920, George Coedes memberi jawapan yang tegas bahawa Shih-li-fo-shi perlu disebut sebagai Srivijaya dan lokasinya di Palembang Sumatera selatan. Beliau mengambil beberapa inskripsi sebagai bukti yang dijumpai di Palembang dan Jambi, yang  akan dibincang kemudian.



Hampir dua puluh tahun lebih awal daripada G. Coedes, Dr. Junjiro Takakusu telah menerbitkan sebuah buku, " A Record of the Buddhist Religionas practiced in India and the Malay Archipelago Oxford University, 1896, yang merupakan terjemahan Nan I-Ching” -hai Chi-kuei Nei Fa Chuan". * Dalam buku ini, Dr. Takakusu melampirkan lembaran peta yang menunjukkan jadual perjalanan ke India I-Ching dari China. Dr. Takakusu membuat dua kesilapan besar di atas peta ini. Yang pertama adalah dia menandakan bahawa destinasi pertama I-Ching ialah Palembang. I-Ching sebenarnya tidak menyebut lansung tentang sebuah tempat yang bernama Palembang, beliau menulis bahawa beliau tiba di Shih-li-fo-shi iaitu Srivijaya selepas perjalanan kurang daripada dua puluh hari dari Canton.


 Dr. Takakusu tersilap membuat andaian lokasi Shih-li-fo-shi (Srivijaya) sebagai Palembang. Sebab musabab kenapa Dr. Takakusu meletak Srivijaya di Palembang adalah sangat ketara. Beliau percaya apa yang Ma-Huan tulis dalam "Ying-Yai Sheng-Lan pada tahun 1416, di mana Ma menyatakan bahawa Ku-kang (Pelabuhan = Lama) adalah negara yang sama dengan San-fo-chi dan Ku-kang juga dikenali sebagai Palembang yang pada masa tersebut berada di bawah kekuasaan raja Jawa. Ku-kang sebenarnya (Old Port) merupakan satu lagi nama bagi Palembang yang diberi oleh orang cina,namun seperti yang telah diterangkan sebenarnya Palembang adalah salah satu daripada negeri-negeri bawahan San-fo-chi pada masa dinasti Song, namun ia bukan San-fo-chi (Srivijaya) mahupun ibu kota konfederasi San-fo-chi.


Membaca tulisan Ma-Huan, Dr. Takakusu mungkin telah salah faham bahawa Palembang adalah Shih-li-fo-shi, yang juga merupakan Srivijaya. Walau bagaimanapun, ini adalah kekhilafan yang amat besar kesannya. Pada zaman dinasti Yuan (1271 ~ 1368), San-fo-chi tidak wujud sebenarnya. Dalam Shih Yuan, nama San-fo-chi pernah disebut, dan bukannya nama Mulayu. Mulayu bermakna jambi pada masa itu.


Pada peringkat awal Dinasti Ming pula, Palembang adalah sebuah negeri taklukan Jawa, tetapi telah menghantar kedutaan ke China dan berpura-pura sebagai San-fo-chi. Menurut "Zhu-yuan-Zhi" ("Rekod Negara babar") yang ditulis oleh Chau-Ju-ka (1225), Palembang adalah salah satu daripada lima belas jajahan San-fo-chi dan bukan San- fo-chi sendiri. Dari satu segi, pada mulanya kerajaan Ming telah ditipu oleh raja Palembang, dan Ma Huan juga telah dikelirukan. Kemudiannya Dr. Takakusu membuat kesilapannya. Kekeliruan yang hebat berlaku pada peringkat terakhir abad ke-19 apabila Dr. Takakusu menerbitkan bukunya yang terkenal tentang I-Ching. Malangnya buku Dr Takakusu telah begitu berpengaruh dan dibaca oleh ramai orang hinggakan Dr S.Q Wales sendiri percaya bahawa destinasi pertama I-Ching ialah Palembang. Apabila Dr. Takakusu melukis peta ini, dia tidak dapat membaca Shih-li-fo-shi sebagai Srivijaya, tetapi dia menulis sebagai '(Sri) Bhoga'.


Kesilapan kedua adalah Kedah. I-Ching menulis dengan jelas sebagai Khe-da, namun Dr. Takakusu membaca sebagai 'Kacha', jadi I-Ching telah disesatkan ke Aceh Sumatera utara. 'Cha' disebut sebagai 'da' dalam masa Tang, jadi ia sepatutnya disebut sebagai 'Ka-da', tetapi dia tidak tahu sebutan tersebut pada zaman Tang. Walaupun P. Wheatley pernah menulis Kedah sebagai Chieh-cha, kemudiannya ia telah diperbetulkan oleh ahli sejarah lain, namun salah faham Takakusu mengenai Palembang tidak pernah diperbetulkan sehingga hari ini. Pada masa yang sama beberapa ahli sejarah kemudiannya tidak memahami kepentingan Kedah dan laluan perdagangan darat Semenanjung Tanah Melayu. Ini adalah sebab-sebab mengapa sejarah kuno Asia Tenggara sangat keliru. Catatan Sejarah Dinasti Ming menyatakan bahawa San-fo-chi sebelum ini dikenali sebagai Kan-da-li (atau Kan-Tuo-li,) dan telah menghantar ufti ke china sejak zaman dinasti Liang. Kan-da (Tuo)-li bersamaan dengan Kedah, jadi tulisan sejarah Ming sebahagiannya adalah betul. Pada peringkat zaman terakhir pusat ibu Kota Srivijaya adalah terletak di Kedah.


Kita dapat lihat dari teori ini bahawa kesilapan hanya satu istilah atau sebutan sahaja menyebabkan sejarah seluruh Asia tenggara menjadi tunggang langgang. Jelas disini adalah penitng untuk ahli sejarah mempunyai ilmu yang cukup dan pelbagai supaya tidak melakukan kekhilafan yang sebegini. Sekarang kita sudah tahu bahawa sememangnya Srivijaya bermula di Semenanjung Tanah Melayu yakni di Chaiya. Banyak fakta dan bukti yang boleh menyokong teori ini. Maka saya lebih yakin bahawa teori ini adalah diantara teori yang paling dekat dengan kebenaran malah menepati telahan saya dan teori yang diberi Cik siti. Tetapi artikel ini bukanlah pengakhiran, diharap anda dapat tunggu sambungannya nanti supaya kita dapat membayangkan betapa grand dan hebatnya sejarah bangsa Mala Srivijaya ini. Sekian wallah hua’lam.


54 ulasan:

  1. Dalam fasa kedua, India muncul di Asia Tenggara sebagai pedagang. Pada mulanya mereka membawa produk India dan peringkat seterusnya mereka membawa produk barat seperti kemenyan, barang kaca, ketulan gangsa dan pelbagai jenis barangan Arab dan Parsi

    salam tuan..btul ke kemenyan tu dr barat?minta maaf bertanya idiot question

    =fais=

    BalasPadam
    Balasan
    1. saudara fais,

      barat yg dimaksudkan bukan eropah tetapi timur tengah dan mungkin termauk rom timur. di yaman mmng ada spesis kemenyan. jika mengikut kajian dari sejarawan jepun tersebut ada kemungkinan kemenyan yang dimaksudkan adalah kemenyan yaman yg seketurunan dgn kemenyan lubban jawi spt dlm artikel tnh para dewa saya dahulu.

      selain daripada kemenyan kita yg terkenal tu spt lubban jawi kemenyan yaman juga mendapat permintaan di china dan india. mungkin sebgai alternatif kerana harga kemenyan lubban jawi yg berkualiti tersebut terlalu mahal dan hanya boleh diguna golongan istana dan bangsawan

      Padam
    2. luban jawi -styrax benzoin
      luban arab -boswellia carterii

      Padam
  2. Salam,

    Terima kasih kerana membuat ulasan dan menterjemah tulisan Dr Takashi Suzuki. Kebetulan, dua hari lalu, saya selesai menterjemah beberapa halaman. Sebagai perbandingan, tuan menterjemah "incense wood" sebagai kayu wangi dan kemenyan. Bolehkah saya menterjemahkannya sebagai kayu gaharu? Bagaimana dgn "setanggi"? Satu lagi, "Mahayana Buddhism" - terjemahan saya: ajaran Buddha aliran Mahayana. Adakah ini dapat diterima?

    Jawapan tuan, saya dahului dgn ucapan terima kasih.

    AM

    BalasPadam
    Balasan
    1. ya kedua-duanya boleh. terjemahan saudara sudah bagus, kayu gaharu lebih baik. saya menterjemah sebagai kayu wangi dan kemenyan untuk pembaca yang kurang tahu nama kayu gaharu dan setangi.

      tentang mahayana buddhism itu terjemahan anda tepat sekali tetapi saya menulis berkenaan kerana hendak lekas dan sudah terbiasa menulis dalam bahasa inggeris. hanya ralat disitu tetapi tidak lari dari makna sebenar...:)

      Padam
    2. Terima kasih tuan. Saya sebenarnya menggunakan artikel tulisan Dr Takashi sebagai latihan penterjemahan utuk pelajar saya. Sebab itu saya mahukan pandangan kedua sebab tuan ahli dalam bidang sejarah. Satu lagi, dalam artikel beliau menyatakan: "The ancient Chinese courts preferred the Indian, Arabic and Persian goods..." Istilah "courts" dalam konteks ini apa terjemahan yg tepat? Dlm banyak artikel sejarah, kata "courts" seumpama ini sering timbul Raja? Empayar? Pihak istana?

      AM

      Padam
    3. oh, begitu. anda seorang guru mungkin?

      ya terjemahan yang paling tepat ialah pihak istana china, kerana barang2 ini khusus untuk golongan diraja sahaja jadi kurang sesuai untuk 'empayar' yang lebih umum.harap jawapan ini membantu.

      Padam
  3. Assalam tuan,

    terima kasih atas artikel yang menarik ini. Semasa sedang membaca artikel ini,saya terfikir mungkinkah sebenarnya Gautama Buddha itu berasal dari Semenanjung Melayu bukan dari India? Telahan ini adalah berdasarkan kepada ilmu berkaitan Buddha yang dikatakan peringkat tertinggi hinggakan I Tsing pun berguru di sini serta penggunaan Bahasa Sanskrit yang meluas ( tidak seperti di India, ianya khusus untuk golongan elit dan cendikiawan sahaja) .

    BalasPadam
    Balasan
    1. Seri mala,

      memng ada pihak yang berfikir demikian namun saya tidak berani untuk berkata apa2 kerana bukti yang kukuh tiada. bagi saya tidak kisah dia datang dari mana , yang penting srivijaya menjadi hebat bukan kerana buddha berasal dari sini tetapi kerana bangsa mala itu yang hebat hinggakan dapat mengatasi bangsa asal buddha di nepal.

      tak perlu kita berasa lemah dan malu dan tak perlu kita letakkan buddha sebagai sebangsa dengan kita semata2 untuk nampak hebat kerana tanpa buddha pon kita dah hebat betul tak..:)

      Padam
    2. Assalam tuan,

      Saya setuju dengan tuan,bukanlah niat saya untuk mengaitkan kehebatan bangsa Melayu disebabkan Gautama Buddha,Melayu hebat atas anugerah Allah dan Dia Maha Mengetahui...cuma setelah sekian lama saya mencerna maklumat tentang Buddha+Sanskrit,barulah saya diberi ilham tentang kemungkinan ini...terima kasih tuan

      Padam
  4. Salam,
    Awal bulan Mei pergi Borobudur..bila sampai ke kemuncak hati teruja dgn pemandangan yg cukup indah. itu sekarang, kalau dulu2 lagi cantik . Kat Borobudur tu tak de pun bekas2 patung2 untuk menyembah berhala. Yang ada patung Buddha yang difahamkan sudah sampai peringkat NIRVANA. Adakah benar telahan saya yang dulu mereka ini mengikut syariat Nabi Ibrahim..

    BalasPadam
  5. Akhirnya.. terungkai sudah apa yang saya pikir kan selama ini... Melayu berasal dari tanah besar baru ke pulau.. bukan dari pulau ke tanah besar... TERIMA KASIH BANYAK2..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saudara ada sesuatu yang hendak dikongsi bersama dgn kami? maafkan saya, sebab saya tetiba terfikir seperti ada maksud tersembunyi dalam komen saudara Al semantani..

      Padam
  6. Assalamualaikum..
    maaf saya ada satu soalan kurang bijak skit tapi saya tertanya-tanya, kerajaan Melayu dahulu mmg xde bendera ker mcm yg ada pada hari ini?..ker penjajah dh hapuskan semua mcm mereka gelapkan sejarah Melayu itu sendiri..maaf soalan kurang bijak...

    BalasPadam
    Balasan
    1. muhd akmal, tiada soalan yang dinamakan soalan kurang bijak. apa-apa soalanpun kalau tak tahu mmng wajib kene tanya, kalau tak tahu dan tak mahu bertanya kerana rasa kurang bijak maka barulah jadi tidak bijak...:)

      sebenarnya mereka ada bendera atau panji-panji mereka sendiri namun seperti yang kita tahu bendera biasanya dibuat dari bahan yang tidak tahan lama dan mudah reput seperti kain atau kulit. mengambil kira ratusan tahun atau mungkin ribuan tahun sudah tentu ianya susah untuk dijumpai.

      satu lagi tentang kerajaan melayu dahulu kala, ada kalanya benderanya berbeza-beza dan banyak jenis dan mungkin bertukar2 dari satu raja ke raja yang lain dan satu era ke era yang lain. jadi agak susah untuk dikenalpasti. namun kalau kerajaan2 melayu sekitar 1800 mungkin masih ada dan ada yang masih mengekalkannya seperti kerajaan-kerajaan melayu sumatera timur. jika kerajaan melaka itu kurang pasti, tetapi ada pihak yang menulis bahawa kerajaan melaka memakai bendera berlambang bulan sabit dan bertanah merah seperti kerajaan turki. mungkin kerana ada hubungan dengan turki. wallah hu a'lam.

      Padam
  7. bro nak tanya skit,betulkah orang2 jawa itu asalnya berasal dari orang2 sunda coz kerajaan2 jawa hanya dicatat sekitar pada abad ke-13(kalau salah sila betulkan).

    tiada rekod yang mencatat kerajaan2 awal jawa sebelum itu?jika mengambil teori bahawa dinasti sailendra adalah dinasti melayu maka dinasti jawa bermula selepas dinasti melayu sailendra..sebelumnya itu di tanah jawa hanya dicatat kerajaan sunda tak silap saya di abad-4 kerajaan tarumanegara dan after that kerajaaan melayu sailendra..thats mean adakah orang2 jawa adalah suku sunda yang dijawakan oleh keturunan raja melayu sailendra?

    ataupun orang2 jawa adalah pendatang luar sebagaimana melayu sailendra yang berjaya menguasai pulau jawa sehingga hari ini coz saya pernah membaca sejarah sunda yang mengatakan pulau jawa dahulunya dikenali sebagai pulau sunda besar dan pulau madura digelar sebagai pulau sunda kecil.harap tuan blog boleh explain.

    BalasPadam
    Balasan
    1. zack,

      memang apa yang anda kata tentang kerajaan sunda tu betul. mmng kerajaan terawal di pulau jawa adalah milik orng sunda. namun kerajaan sunda awal ini menguasai hampir separuh daripada pulau jawa pada zaman kegemilangannya.

      pada pendapat saya pada peringkat awal memang para elit kerajaan adalah dari suku sunda sahaja namun, tidak dapat dielakkan berlakunya percampuran darah diantara orng sunda dan jawa. mungkin dari org sunda ini orng2 jawa mempelajari untuk mendirikan kerajaan.perlu diingat juga sejarawan menyebut pengasas kerajaan terawal di sunda adalah pelarian dari salankaya india.

      kerajaan2 spt, tarumanegara, sunda galuh,salaknegara,kalingga adalah contoh kerajaan sunda yang terawal. suku sunda sebenarnya serumpun dan amat dekat dengan suku jawa, jadi percampuran darah tidak dapat dielak.mungkin dari sini sunda mempengaruhi jawa.

      jika di jawa tengah dan timur pula srivijaya atau sailendra yg mempengaruhi mereka. jadi boleh dikatakan mmng ada pengaruh luar yang membentuk kerajaan2 jawa.ada juga pendapat yang kerajaan2 sunda awal ini terutama taruma mempunyai kaitan dengan kerajaan2 di indochina seperti kerajaan funan dan champa. mengapa dikatakan demikian adalah kerana nama raja-raja mereka menggunakan akhiran Varman dan mereka mennyembah aliran vishnu. jadi ada misteri disitu. mungkin funan pernah menghantar wakilnya untuk membuka kerajaan di sunda.

      samaada orang jawa adalah suku2 sunda yang telah dijawakan oleh dinasti melayu sailendra saya tidak ada jawapannya. namun kemungkinan itu ada. suku-suku sunda tertentu yg tiada kuasa mungkin ingin membina satu entiti baru dan membentuk satu bangsa baru yang dinamakan jawa bagi mengatasi elit2 sunda.

      seperti yg kita tahu jawa adalah perkataan yang bukan berasal dari pulau jawa. jadi mungkin mereka ini meminjam istilah jawa tersebut bersama dengan budayanya sekali bagi membentuk sebuah entiti dan kerajaan baru yakni sanjaya.namun dari segi bahasa suku jawa tetap dekat dengan suku sunda, malah dari segi dna suku jawa mempunyai rantaiian yg lebih dekat dengan suku cham dan suku-suku melayu indochina.misteri lagi disitu. saya perlu banyak mengkaji lagi, insyaallah. apa pun trimas kerana bertanya dan harap puas dgn jawapan saya yg dangkal ini.

      Padam
    2. terima kasih kepada Tuan blog yang sudi mengomentari komen saya yang jumud itu..jawapan saudara tuan blog walaupun ringkas tapi banyak mengiyakan telahan saya sebelum ini walaupun tanpa bukti yang kukuh dan memerlukan lebih banyak kajian untuk menjawap perosalan saya bawakan.

      Nampaknya misteri orang2 jawa jauh lebih sulit dari misteri Bangsa Melayu ye tak bro?

      suku jawa nampaknya perlu diberi perhatian dalam kajian bro kerana mereka adalah suku dominan di asia tenggara dan suku jawa amat berkait rapat dengan perkembangan Bangsa Melayu.

      salam ilmu my sahabat ^_^ Maybe someday Tuan blog boleh buat satu kajian khas tentang suku Jawa..puas saya mencari penyelesaian tentang misteri orang2 jawa dan saya pernah berdebat dengan begitu sengit sekali soal asal usul jawa dengan Nasionalis2 jawa indonesia dan yang malangnya mereka sendiri tidak tahu asal usul mereka sendiri.

      Padam
    3. ya, mmng suku jawa agak misteri. namun saya rasa cik siti tahu misteri tersebut dan dia lebih arif ttng sukunya ini..:) tetapi saudara perlu ingat satu perkara. segala kajian yg saya buat atau nukilkan dlm blog ini bukan untuk 'suku melayu' shj. sebaliknya Melayu atau Malayu itu saya anggap sebagai seluruh suku bangsa yg ada di nusantara. sebb itu nama blog ini melayu nusantara.

      bagi saya istilah melayu itu bukan untuk suku sahaja tetapi untuk seluruh kaum austronesia tak kira suku mana dan dari pulau mana mereka dtng termasuklah jawa. sebb itu jika anda ada baca tulisan-tulisan saya seperti siri ilmu perang Melayu, sebenarnya bukan sahaja menceritakan ttng bangsa melayu di semenanjung sahaja malah di pulau jawa dan sumatera termasuklah filipina sulu sekalipun.

      jadi jika ada suku2 jawa yg membaca blog ini harap jangan kecil hati jika saya tidak menyebut ttng anda kerna sebenarnya saya telah pun menceritakan ttng anda dalam konteks yg lebih meluas iaitu bangsa Malayu dan bukan suku sakat. diharapkan dengan cara ini semua suku2 yg ada di nusantara ini dapat bersatu.

      mengenai misteri bangsa jawa seperti yg saya katakan tadi srikandi ada menceritakannya serba sedikit dalam siri tutorialnya dahulu yakni suku jawa adalah lebih keras dan sedikit berbeza dgn suku melayu adalah kerana cara mereka datang ke nusantara dari Afrika adalah melalui laut. jadi dna mereka lebih pure sedikit berbnding suku melayu yg terpaksa menghadapi pelbagai bangsa lain dan bercampur dengan suku lain serta berdiplomasi sebelum sampai kesini. diharap jawapan ini memuaskan...:)

      Padam
  8. kepada bro al semantani,terima kasih dan saya ucapkan syabas kerana berjaya merungkai sejarah sriwijaya dengan cara paling saintifik sekali..sukar untuk menyangkal kerana hujah saudara sangat solid!

    tapi apa yang masih bersarang di otak saya adalah tentang peradaban sg batu kedah..kerana usia peradaban sg batu adalah yang paling tua dari mana2 tempat di asia tenggara ini.

    apa yang menjadi telahan saya..adakah peradaban di asia tenggara ini bermula dari kedah?

    BalasPadam
  9. Salam saudaraku Al-Semantani.

    Penulisan yang lebih mudah difahami berbanding penulisan asal Suzuki.


    Tanpa Nama14 Jun 2012 6:27 PTG,

    Pada pendapat peribadi hamba, patung-patung yang ada di candi-candi di Nusantarapada ni bukanlah untuk disembah. Tetapi untuk diikuti perbuatannya.

    Maksud hamba, sekiranya patung-patung pendita itu duduk bersila, tutup mata, kosongkan jiwa & raga serta mengawal & menguasai pernafasan (berzikir), rakyat ketika itu perlulah mengikut & mengamalkan perbuatan berzikir tersebut.

    Sebab itu ajaran Buddha/Hindu yang orang Malayu amalkan berbeza dengan orang Cina/India amalkan.

    Kita boleh lihat perbezaannya pada rumah-rumah ibadat orang Malayu lama berbanding dengan kuil-kuil orang Cina/India sekarang.

    Sekadar berkongsi.



    .

    BalasPadam
  10. salam.saudara al semantani blh kah kami berjumpa secara privacy
    darul 0136234262
    ada fakta sejarah yang perlu disahkan dan perlu dihuraikan bersama saudara sebelum dikupas didalam blog ini

    BalasPadam
    Balasan
    1. salam tanpa nama,saya rasa kurang enak sebenarnya untuk berjumpa sesiapa kerana saya menulis blog ini secara underground bak kata M.O. tetapi saya rasa lebih elok saudara hantarkan butiran atau perkara yg hendak saudara rungkaikan tersebut ke email saya dahulu masdi28@yahoo.com

      Padam
  11. Ikut pembacaan saya dlm buku sejarah dan tamadun asia tenggara Balaputra Dewa dari Sailendra lari ke Jambi dan menjadi raja Kerajaan Malayu Suwarnabumi.

    Pembacaan dari sumber lain-Balaputra Dewa menakluk Johor dan Gangga Negara dan berkahwin dgn puteri Gangga Negara

    BalasPadam
    Balasan
    1. pembacaan pertama anda ada kebenarannya, namun yg kedua saya rasa ia tidak berlaku....mungkin itu pendapat atau teori salah seorng ahli sejarah sahaja. terpulang pada individu untuk menilainya. kerajaan gangga negara lebih tua dari saolendar dan mustahil ia masih wujud pada zaman sailendra kerana semua kerajaan di semenanjung tnh melayu dah berada bawah srivijaya sejak awal penubuhannya lagi.

      Padam
    2. Ada yg kata Rajendra Cola/kerajaan Chola India menyerang Gangga Negara tapi tak pasti tahun berapa

      pembacaan dari sumber lain itu kata Balaputra Dewa dari kerajaan Jambi yg menakluk Johor dan Gangga Negara

      Padam
    3. jika menurut srikandi dan beberapa ahli sejarah tertentu serangan rajendar Chola sebenarnya tidak berlaku dan ia hanya diperbesar2 kan sahaja.

      Balaputra dewa dari kerajaan jambi hmmm...saya tidak tahu pula pasal ini. setahu saya kerajaan yg berkuasa di jambi pada zaman itu adalah Darmasraya atau kerajaan Malayu. kerajaan ini sebenarny masih dibawah hagemoni srivijaya.

      Padam
    4. Jambi ialah pusat Kerajaan Malayu Suwarnabumi.

      Ada kemungkinan teorinya begini-selepas jadi raja Kerajaan Malayu Suwarnabumi(Jambi),Balaputradewa menakluk Kerajaan Genggayu/Linggiu(yg mempunyai kota batu hitam) atau sememangnya Linggui adalah memang satu kawasan Malayu Suwarnabumi.

      Ada tertulis dlm buku Sejarah Tamadun Asia Tenggara,dikatakan Kerajaan Genggayu menyerang Gangga Negara pada tahun 890 Masihi.

      Balaputradewa dianggarkan jadi raja di Malayu Suwarnabumi pada tahun 850 Masihi.

      Kalau benar Balaputradewa menakluk Gangga Negara mungkin ketika itu usianya agak tua.

      ada satu lagi teori ialah city state mungkin ada yg isytiharkan merdeka pada suatu masa

      Padam
    5. PEMBETULAN-ikut sumber lain tu bukannya tulis Balaputra Dewa dari kerajaan jambi.

      Tulisannya ialah mengenai Bolaputra dari Dinasti Sailendra Jawa yg. memerintah Genggayu berkahwin dgn putri Gangga Negara pada tahun 890 masihi.

      Dalam buku Sejarah dan Tamadun Asia Tenggara tersebut tertulis iaitu dikatakan Kerajaan Genggayu menyerang Beruas(Perak) pada tahun 890 masihi.

      Ada kemungkinan Bolaputra ialah anak kpd Balaputra yg jadi raja di Kerajaan Malayu Suwarnabumi(Jambi)

      Padam
  12. Jgn jumpa org tu ini adalah perangkap kamu......mereka cuba memburu orang yg mahir sejarah

    BalasPadam
  13. Berhati2 kerana mereka ramai(kami)

    BalasPadam
  14. pehh lama tak bukak, ambik kau..3 dah keluar. komen dlm ati je la..malas nak taip. hehe

    Penduga Arus

    BalasPadam
  15. Kepada saudara Al semantani,cuba anda belek site ini untuk memahami persoalan yang orang2 indon suka lontarkan.

    Bagi mereka Melayu tetap berasal dari sumatera,yang wujud di indochina hanyalah orang2 mon dan khmer pada fikiran mereka.cuba saudara masuk.

    http://www.topix.net/forum/world/malaysia/THMOA91SP1VLHBJ6A/p87

    BalasPadam
  16. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  17. sriwijaya lama terletak di daerah riau, Candi muara takus..
    i-tsing berkata : ibukota dari sriwijaya adalah ketika tengah hari tidak ada bayangan...
    artinya di garis katulistiwa...
    ya itulah sekitar candi muara takus :)

    BalasPadam
  18. So kota gelanggi aka black stone city yang dikaitkan ngan srivijaya tu xbetul ek...Ingat mula situ. Sbb cam penah tebaca kat blog sape tah. huhuuhu

    BalasPadam
  19. salam,saya jawa dan melayu.. syabas,saya suka pencerahan anda tentang NUSANTARA berbanding sesetengah 'pakar'(ada yg kaji linguistik) yg tetap mau kata burma dan sekitarnya hnya dimulai suku mon-khmer.. bila ditanya,kena 'fire' balik macam tak yakin dengan kajian mereka

    BalasPadam
  20. Tuan tlg buat pencerahan ttg sejarah kedatangan islam ke nusantara.. saya bingung.. bermula dr champa ke pattani ke kota baharu ke terrengganu ke pahang ke sulu ke bajamasin ke majapahit dan ke pantai barat semenanjung.. betul ke tak.. wali songoo(WALI 9) ADAKAH yg datang dr champa.. harap dpt dikongsi..

    BalasPadam
  21. Salam
    Saya Orang Ogan-Palembang. menurut saya hipotesa tuan sangat beralasan hususnya tentang luasan wilayah kerajaan srivijaya dan pengaruhnya. Tetapi bila menyangkut pusat kerajaan srivijaya saya kurang sependapat. Saya berpegang pada masa-masa kemunduran dan kehancuran kerajaan srivijaya pada abad ke 12 dan 13. sebagaimana kita tahu bahwa srivijaya menggunakan sistim mandala. dibagian selatan, borobudur membuktikan eksistensi srivijaya dipulau jawa dan candi prambanan adalah bukti kehancuran srivijaya di jawa barat oleh kerajaan Pasundan. setelah itu dibagian utara serangan colacola terus mengakibatkan kemunduran srivijaya dan ahirnya gerbang terahir dihancurkan oleh kerajaan jawa yang baru bangkit yakni Singasari-Majapahit. saya fikir demikian kronologi kehancuran srivijaya. tidak mungkin majapahit menyerang sejauh itu ke utara sebab meraka tidak punya kemampuan untuk itu. selain itu prasasti ada yang ditemukan di jambi, palembang dan bangka. Oleh karena itu saya simpulkan pusat kerajaan srivijaya pastilah terletak di Sumatra bagian Selatan, entah dimana tepatnya. sebab tidak ada puing-puing bekas istana kerajaannya. justru yang jadi pertanyaan saya adalah " mengapa Srivijaya membuat monumen keagamaan yang megah dari bahan batu yakni Borobudur tetapi dipusat kerajaannya mereka tidak membuat Istana juga dari batu seperti castle di eropa dan juga dijepang?? yang kedua, mungkinkan istana srivijaya bentuknya sama seperti istana malaka? Terima Kasih ndbentausar96@yahoo.com

    BalasPadam
  22. http://www.kaskus.co.id/thread/54dd3e1a0f8b464f328b4567/sriwijaya-sudah-terbukti-berpusat-dan-bermula-di-semenanjung-tanah-melayu/

    BalasPadam
  23. Pada masa itu kepulauan di sumatera kebanyakannya bermazhab hinayana sementara sriwijaya(Chih Tu?) bermazhab mahayana jika dilihat pada perkataan prasasti Talang Tuwo.Pan Pan dan Tan Tan juga menjalinkan hubungan baik dengan sama-sama hantar utusan ke China pada tahun 616M

    BalasPadam
  24. Buku Nan-Hai-Ji-Gui-Nei-Fa-Chuan oleh I-Tsing disebutkan - Pulau-pulau di Lautan Selatan adalah ,kalau menyebutkannya dari barat,Pulau Po-lu-shi(Pulau Nikobar?),Pulau Mo-lou-you iaitu sekarang adalah negara Shi-li-fo-shi,Pulau Mo-he-xin,Pulau He-ling.Selanjutnya disebutkan - Pulau-pulau di Lautan Selatan semuanya menganut ajaran Buddha kebanyakan adalah Hinayana,cuma di Mo-lo-you sahaja ada Mahayana sedikit.
    Buku Nan Hai Ji Gui Nei Fa Chuan itu disebutkan di dalam artikel Bambang Budi Utomo di dalam buku bertajuk Panji Pendeta, Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM dan Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia

    BalasPadam
  25. u got good ideas but cant copied'i wan to copied now
    pls i wan to sumbit them tommorow,but yesterday only i get project,how/pls help,they give me markh

    BalasPadam
  26. Salam...boleh bagi pencerahan hubungan kutai kertabegara dgn srivijaya..

    BalasPadam
  27. apa lojik sebuah empayar melayu nusantara dikelilingi suku bangsa lain di ibu negara atau ibu kotanya? kan lebih lojik ia dikeliling suku nya sendiri, dan membaur dgn suku bangsa lain di sempadannya

    BalasPadam
  28. Saya confuse lah. San-fo-chi itu di Palembang ke?
    I-tsing tulis dia singgah di negeri Melayu iaitu Khe Da. Salah terjemahan Che Cha
    Negeri Melayu itu sebenar nya yang mana? Semenanjung Malaysia atau Sumatera?
    But saya nampak macam semenanjung Malaysia...sebab i-tsing menghala ke Khe da atau Kedah....mesti lah dis sampai di negeri Malayu.
    Sebab dalam peta Ptolemy abad pertama Masehi, Ptolemy dah tanda semenanjung Malaysia adalah Malayu Kolon, bermaksud Bagian Melayu.
    Mohon pencerahan.

    BalasPadam
  29. Mungkin kerana di Palembang tak ada tamadun manusia yang berasal dari Sriwijaya. Hanya candi.
    Tetapi mana kompleks pentadbiran, pelabuhan, kota penduduk, kota industri, bekas perdagangan, monumen dan arkeology yg jelas menunjukkan kekuasaan Sriwijaya selama 6 ke 8 abad...yang dikatakan berkuasa hingga ke segenting Kra.

    BalasPadam
  30. Prasasti tanjore dan leiden dengan jelas menunjukkan kedah ada pusat pemerintahan sriwijaya, disitu tempat raja sriwijaya ditangkap tentera chola. Saya percaya sriwijaya bermula di utara semenanjung... ini selari dengan bukti bukti penemuan artifak dan candi purba di utara semenanjung terutama di kedah, kelantan/patani, dan sekitarnya.

    BalasPadam
  31. Teori hanya teori ,, tetapi sudah final pusat srivijaya memnglah di palembang ,, tdk ush terlalu fanatik krna anda warga malaysia ,, jika negara anda pny sejarah ceritakan tp jika sejarah negara org lalu di akui” berasal dari wilaya anda(semenanjung malaya) saya sbgai orang palembang marah ,,

    BalasPadam
    Balasan
    1. Anda sbg orang palembang yg sememangnya lahir dan menetap di Palembang atau tidak? Cara pertuturan anda jauh sekali berbaur spt warga yg mempunyai jati diri tanah palembang.

      teori setelah menjadi final, dipahat sebagai “fakta sejarah”. bukan lagi teori sejarah. sehingga hari ini, pusat pemerintahan masih lagi mengikatnya sebagai teori. pembentukan pelbagai teori adalah hasil kajian dan fakta yg terkumpul sehingga pencerahan sebenar diperoleh. tiada elemen fanatik yg dilabelkan bagi usaha sebegini.

      disebabkan penulis warga Malaysia lah, penulis lebih terbuka minda untuk membuat penyelidikan yg lebih meluas. penerimaan ilmu yg baru tidak ditutup dan dipadam oleh mana2 pihak demi merendahkan suatu pihak yg lain.

      bagi teguran ringkas yg mudah diberikan buat saudara, sejarah purbakala dahulu tidak menggariskan had persempadan yg dipaksa lukis oleh penjajah barat apatah lagi persempadanan antara malaysia dan indonesia yang hampir seluruhnya adalah pemisahan satu kumpulan saudara-mara oleh inggeris dan belanda demi pembahagian penjarahan hasil bumi.

      tidakkah anda tertanya-tanya mengapa perlu berlari beramai-ramai ke semenanjung malaya apabila keluarga raja & sultan melayu di sumatera semua jadi buruan rakyatnya sendiri berikutan hasutan dari suatu pihak diwaktu ketika tidak lama dahulu.

      Padam