Jumaat, 21 Januari 2011

JAWAKA


Keris Tanjong atau Pekaka adalah salah satu warisan misteri Empayar Jawaka. Senirekanya boleh saya katakan sebagai antara yang tercantik dikalangan keris-keris di Nusantara.



Assalamualaikum kepada para pembaca. Artikel saya kali ini akan cuba untuk memberikan sedikit sebanyak penjelasan tentang sebuah empayar yang dinamakan oleh orang–orang Arab sebagai Zabag atau Zabaj. Tidak diketahui secara tepat sejak bila orang-orang Arab mula mengenali sebuah kerajaan yang bernama Zabag ini. Namun demikian antara catatan terawal yang dijumpai menyebut nama Zabag adalah catatan daripada Ibnu Khordadzbeh sekitar tahun 844-848 M. Menurut beliau pemerintah Zabag disebut sebagai Maharaja, dan kekuasaanya meliputi pulau-pulau di seluruh lautan timur. Hasil negerinya adalah berupa kapur barus dan gajah banyak terdapat disana. Tambah beliau lagi, daripada catatan pengembara dikatakan bahawa di Zabag ada seekor ular besar yang tinggal di kawasan gunung yang boleh menelan kerbau mahupun manusia malahan ada diantaranya boleh menelan seekor gajah. Beliau juga ada menyatakan tentang proses pemerolehan kapur barus daripada pokoknya dari mula sampai akhir.



Pada tahun 851 masihi pula seorang saudagar yang bernama Sulaiman telah menyebutkan tentang pelayaran beliau ke kawasan timur. Beliau menyatakan bahawa kapalnya telah berlabuh di sebuah negeri bernama Kalah Bar yang diperintah oleh seorang raja seperti halnya Zabag. Dikatakan juga di Zabag terdapat sebuah gunung berapi yang sentiasa bergelodak. Pada tahun 902 M berita tadi diulangi oleh Ibnu Al Fakeh yang menyatakan bahawa Zabag dan Kalah Bar dikuasai oleh seorang raja. Barang dagangannya terdiri daripada cengkih, buah pala, kayu cendana dan kapur barus. Rajanya disebut sebagai Maharaja dan baginda sangat kaya. Pelabuhannya yang besar salah satunya adalah Fansur atau panchur.



Daripada Ibnu Rosteh tahun 903 M pula dinyatakan bahawa Maharaja Zabag adalah Maharaja yang paling kaya malahan lebih kaya daripada mana-mana raja di seluruh India sedangkan Abu Zyad menyatakan bahawa setiap hari Maharaja melemparkan segumpal emas kedalam kolam dekat istananya. Kolam ini dikatakan berhubung dengan laut yang menyebabkan airnya menjadi payau. Menurut beliau lagi, Raja Zabag menguasai banyak pulau-pulau, antaranya Sribuza Dan Rami. Kalah juga milik baginda. Al Masudi pada tahun 955 menyatakan bahawa, Maharaja Zabag menguasai banyak pulau-pulau, diantaranya ialah Kalah Dan Sribuza. Rakyatnya banyak sedangkan tenteranya tidak terhitung dengan perahu tercepat sekalipun, orang tidak akan dapat mengelilingi pulau-pulau ini dalam masa dua tahun. Maharaja Zabag dikatakan juga mempunyai lebih banyak minyak wangi dan bahan-bahan berbau harum daripada yang dimiliki oleh raja-raja lain. Hasil daerahnya berupa kapur barus, cengkih, kayu gaharu, kayu cendana, Pinang, pala, pulaga, dan lada hitam. Pelayaran dari Siraf dan Oman dikuasai laluannya oleh raja ini. Fansur menghasilkan kapur barus sedangkan Kalah dan Sribuza ada tambang emas dan timah.


Catatan Ibnu Said menyatakan bahawa kepulauan Zabag sangat mashur dikalangan para pedagang, dan pulau yg terbesar sekali dalam Zabag adalah pulau Sribuza yakni Sumatera. Hal ini bermakna Zabag bukanlah berada di Sumatera. Namun yang menjadi persoalan adalah Zabag sering disebut oleh para pengembara Arab dab georafis sebagai sebuah pulau. Dan ini amat membingungkan sesetengah sarjana yang mahu meletakkan Zabag di Semenanjung atau tanah besar. Namun sebenarnya kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada maklumat yang diperolehi daripada catatan Arab ini. Hal ini kerana kebanyakan daripada maklumat ini adalah maklumat sekunder yang diperolehi daripada khabar-khabar berita para pedagang yang kemudian dibukukan.



Sebahagian besar sejarawan berpendapat bahawa Zabag adalah sama dengan Srivijaya dan bukan nama sebuah kerajaan yang berbeza, sebaliknya hanyalah variasi panggilan nama kerajaan Srivijaya dikalangan para pedagang Arab. Namun ini tidak dapat menjelaskan asal kata Zabag yang sebenar kerana ia terlalu jauh untuk disamakan dengan Srivijaya. Malahan Srivijaya sudah ada panggilan Arabnya sekitar kurun ke 10 iaitu Sribuza atau Syarbazah namun pada masa yang sama Zabag masih disebut oleh para pengembara Arab dan timur tengah yang lain sebagai sebuah kerajaan. Sebenarnya istilah Zabag berasal daripada kata Javaka atau Jawaka. Para pedagang Arab telah mendengar nama ini daripada para pedagang India yang menyebut kerajaan ini sebagai Savaka atau Savak yang sedikit berbeza dengan sebutan bahasa Sanskrit iaitu Javaka. Dijangkakan bahawa Savaka adalah sebutan dalam bahasa Prakrit. Daripada Savak ini maka terjadilah perubahan sebutan dengan lidah Arab menjadi Zabag. Javaka adalah nama sebuah empayar kuno Melayu yang wujud di Nusantara sebelum kewujudan Srivijaya lagi. Namun terus terang saya katakan bahawa saya masih belum menjumpai sebarang sumber yang solid untuk meletakkan dimanakah sebenarnya Zabag. Namun saya yakin bahawa kerajaan ini memang wujud suatu ketika dahulu.



Sebelum ini sudah saya nyatakan dalam artikel saya berkenaan serangan orang Melayu terhadap Sri Lanka bahawa Chandrabanu adalah salah seorang raja Javaka yang telah berjaya membina sebuah dynasti disana. Raja ini adalah dari kerajaan Tambralingga, Sridhammaraja yang selama ini memang digelar sebagai Javaka. Hal ini kerana kerajaan Tambralingga dikatakan sebagai pewaris empayar Javaka yang pernah wujud sebelum itu. Raja Javaka juga disebut dalam catatan pengembara Arab bernama Sulaiman yakni yang telah memenggal kepala Raja Kemboja yang dikatakan adalah raja dari dinasti Saylendra, kerana memang ada catatan daripada prasasti di Champa dan Kemboja yang menunjukkan bahawa pernah ada tentera Chaeva yang menyerang dan memusnahkan kuil mereka. Adakah raja-raja sailendra berasal dari Javaka? Atau sebenarnya mereka adalah pemerintah sebenar kerajaan Javaka? Sesetangah sejarawan percaya bahawa dinasti Sailendra berasal daripada Indochina yang kemudiannya terpaksa berpindah ke Tanah Jawa apabila Indochina mula dikuasai orang Khmer yang menubuhkan kerajaan Chenla. Ada pula yang berpendapat mereka berasal dari India. Namun saya lebih bersetuju dengan pendapat yang pertama, cuma saya tidak bersetuju mereka terus ke Jawa dari Indochina, sebaliknya mereka ke Semenanjung dahulu dan kemudian ke Sumatera dan setelah itu barulah mereka bertapak di Kerajaan Medang di Jawa.



Hal ini kerana ada ciri-ciri Melayu yang amat kuat dalam dinasti ini berbanding ciri India atau Jawa. Antaranya ialah gelaran Dapunta. Sebahagian besar sejarawan bersepakat mengatakan bahawa gelaran dapunta ini adalah gelaran asli Melayu. Ini bermakna dinasti Sailendra bukanlah dinasti Khmer mahupun Jawa, sebaliknya adalah Melayu kerana salah seorang rajanya di dapati bergelar Dapunta Sailendra. Malahan sebenarnya dinasti Sanjaya yang dibangga-banggakan oleh masyarakat Jawa juga sebenarnya adalah berasal daripada dinasti Melayu. Mengapa saya berkata demikian? Kerana kita dapat lihat daripada gelaran yang digunakan oleh raja-raja Sanjaya seperti Sri Maharaja Rakai Panangkaran, Sri Maharaja Rakai Panunggalan, Sri Maharaja Rakai Warak, dan Sri Maharaja Rakai Garung. Gelaran Sri Maharaja adalah gelaran yang juga berasal daripada gelaran lumrah bagi dinasti-dinasti Melayu dan bukan dinasti Jawa yang dapat kita lihat dalam kerajaan-kerajaan Jawa pada abad-abad selepas itu. Nama Dapunta Sailendra sendiri jelas merupakan ejaan Melayu dari bahasa Sanskrit kerana di dalam prasasti digunakan bahasa Melayu Kuno. Jika demikian, kalau keluarga Sailendra berasal dari India Selatan atau Jowo tentunya mereka memakai bahasa Sanskrit di dalam prasasti-prasastinya atau bahasa Jowo dan bukan bahasa Melayu!



Dengan ditemukannya prasasti Sojomerto maka telah diketahui asal keluarga Sailendra dan siapa sebenarnya Dapunta Selendra yang disebut dalam prasasti itu. Berdasarkan paleografinya, prasasti Sojomerto berasal dari sekitar pertengahan abad ke-7 Masehi ini bertepatan dengan tarikh permulaan kegemilahan empayar Srivijaya. Namun persoalannya masih sama. Dimanakah bermulanya sebuah kerajaan yang bernama Zabag atau Jawaka? Adakah semasa dinasti Sailendra ini berkuasa di Indochina seperti di kerajaan Funan , atau sebenarya ia lebih tua dari kerajaan Funan? Saya beranggapan bahawa ia memang bermula di Funan, sama ada Funan dan Zabag adalah kerajaan yang sama atau Funan sebenarnya berada di bawah kekuasaan Zabag, wallah hu a’ lam, kajian yang lebih mendalam perlu dijalankan. Mungkin ada yang mahu memberi pendapat yang berbeza, dipersilakan.



Saya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan. Jika teori Cik Sri yang mengatakan bahawa dari Indochina mereka bermukim di sekitar Kelantan dan membuka kerajaan di situ sebelum ke Sumatera, ini bermakna kita dapat camtumkan puzzle dan teka-teki mengapa terlalu banyaknya persamaan di antara budaya penduduk Kelantan dengan Jawa. Dari kain batik, bahasa, wayang kulit, Keris, adat istiadat, baju kebaya, kain kemban, alat-alat muzik dan nama-nama tempat yang saling tak tumpah seperti di Jawa! Apa maknanya ini tuan-tuan sekalian? Ini bermakna dinasti Sailendra dengan para menteri atau budayawan dari Medang kawulan Kelantan telah membawa segala jenis bentuk budaya yang mereka bina sejak berkurun-kurun turun ke Sumatera dan kemudian ke Tanah Jawa. Namun yang pasti dalam lagenda Aji saka, memang dinyatakan dengan jelas bahawa beliau berasal dari luar tanah Jawa.



Jadi sebenarnya di manakah Zabag yang dikenali oleh orang–orang Arab sekitar kurun ke 8 hingga sepuluh Masihi tersebut? Naluri sejarah saya menyatakan ia terletak sekitar Semenanjung atau lebih tepat di Utara Semenanjung dari Kelantan hingga ke segenting Kra. Inilah seat of power Zabag semasa kegemilangan kerajaan Srivijaya. Zabag adalah Srivijaya di tanah besar manakala Srivijaya di palembang menguasai pulau. Jadi Srivijaya adalah ‘anak’ kepada Zabag dan bukan sebaliknya. Sebab itu pengembara Arab sering menyebut bahawa Maharaja Zabag adalah raja Kalah dan Sribuza. Kerana Maharaja Zabag adalah Yang dipertuan Agong. Raja-raja bawahan seperti di Kedah,Palembang, Malayu, Langkasuka dan Jawa memerintah di bawah naungan Maharaja Zabag atau Jawaka. Apabila berlakunya krisis dalam dinasti Sailendra maka empayar Jawaka berpecah menjadi dua. Satu di Semenanjung dan satu lagi di Sumatera. Lama-kelamaan dinasti di Sumatera menjadi semakin kuat dan menguasai kawasan yang sebelum ini dikuasai Jawaka.



Sayogia anda akan jumpa sebuah tempat yang bernama Jawakotti di Kelantan. Untuk pengetahuan anda juga sebenarnya wujud sebuah nama tempat yang sama di Sri Lanka iaitu Javakotte. Malahan banyak nama tempat di utara Sri Lanka di daerah Jaffna yang bermula dengan Jawa atau Java. Sejarawan Sri Lanka berpendapat nama tempat ini wujud disebabkan oleh penguasaan dinasti Jawaka di bawah Chandrabanu dari Tambralingga. Saya beranggapan Chandrabanu sebenarnya adalah titisan daripada kerajaan Jawaka yang telah dikuasai Srivijaya. Beliau cuba menaikkan semula prestij kerajaan Jawaka yang telah tenggelam di bawah Srivijaya dengan membina dinasti baru di Sri Lanka. Sebab itu dia berani cuba membebaskan diri daripada Srivijaya dan meminta pertolongan kaum kerabatnya di Indochina atau di Angkor. Ini bukan pertama kali Jawaka cuba untuk bangun semula setelah dikuasai Srivijaya laut. Sebelum itu Suryavarman pernah meminta bantuan Chola untuk memebaskan Kra daripada pengaruh Srivijaya. Jika kita perhatikan sejak dari awal lagi bahawa Malay city state di sekitar utara semenanjung adalah negeri-negei yang sentiasa ingin bebas. Mengapa? Kerana mereka adalah Jawaka yang asal.



Apa yang dapat saya simpulkan ialah Zabag atau Jawaka yang disebut oleh Ibnu Said, AL Mas’udi dan Ibnu Khurdabieh itu sebenarnya bukanlah Jawaka yang sama seperti mana yang asal. Apa yang saya maksudkan adalah Jawaka yang asal pada zaman tersebut telah pun digantikan dengan kerajaan Srivijaya. Mengapa ini berlaku? Sebenarnya para pencatat Arab ini mendapat sebahagian maklumat tentang kerajan Jawaka atau Zabag ini daripada cakap-cakap dan khabar berita daripada para pengembara dan pedagang yang berdagang dengan Jawaka atau Nusantara. Para pedangang dan peniaga ini datang dengan hanya satu tujuan iaitu untuk mengaut keuntungan hasil perdagangan mereka dan memastikan agar kargo mereka penuh. Mereka bukanlah seorang duta khas yg duduk di istana pada setiap pertemuan balai diraja untuk mengetahui percaturan dan pasang surut politik dan krisis dinasti yang berlaku dalam empayar Jawaka yang mereka singgahi.


Pada zaman kegemilangan Jawaka atau Zabag, nama kerajaan itu sudah pasti sangat terkenal dan masyhur sehingga menjadi sebutan para pedangang dan ibu kotanya juga pasti adalah salah satu daripadat pelabuhannya. Namun apabila Zabag telah diganti dengan Srivijaya, kemasyhuran nama Zabag atau Jawaka tersebut masih kekal kerana masyarakat pedagang seluruh dunia purba selama ini menggelar semua penduduk yang berada di bawah empayar tersebut sebagai orang Zabag, Jawaka, Javaka, Savaka, Sabeth, Zapech, Sabak, Jabak, dan sebagainya. Oleh sebab itu walaupun empayar Jawaka telah terpecah menjadi kerajaan-kerajaan yang berlainan, namun orang luar tetap kenal dengan nama Zabag dan menggelar orang Melayu sebagai orang Zabag yang kemudian berevolusi menjadi Al Jawwah atau orang Jawi.



Saya juga ingin menyentuh tentang claim yang sering dibuat oleh sebahagian daripada Indonesian yang pernah saya jumpa. Mereka sering menyatakan bahawa Bani Jawi adalah istilah khas orang Arab kepada mereka. Kenyataan ini ternyata salah sama sekali! Buktinya sangat jelas. Jika kita pergi ke Makkah atau Madinah kita boleh jumpai ramai orang Nusantara baik Melayu, Minang, Jawa, Banjar atau Aceh. Mereka juga membina perkampungan masing-masing. Namun orang-orang Arab tetap menggelar mereka dalam kelompok Bani Jawi walaupun ada diantara mereka tahu bahawa Nusanatara ini terdiri daripada pelbagai suku dan bahasa yang berbeza-beza. Mengapa? Kerana prestij kerajaan Zabag ! Selama lebih dari 2000 tahun prestij kerajaan Zabag atau Jawaka tidak pernah luntur sehinggalah Melaka mengambil alih. Walaupun Srivijaya telah menguasai jajahan Jawaka sebelum ini tetapi tidak pula penduduknya dinamakan orang Srivijaya atau Bani Sribuza? Namun sehingga sekarang istilah Bani Jawi itu masih lekat di bibir dan minda mereka. Cuba anda banyangkan betapa hebatnya prestij empayar Melayu tersebut.



Adakah anda pernah mendengar sebuah kerajaan yang bernama Kerajaan Jowo wujud di Pulau Jawa. Setakat yang saya tahu tidak ada lagi sebuah kerajaan purba yang dinamakan kerajaan Jawa wujud ditanah Jawa. Walhal kita dapat jumpa beberapa nama tempat dan kerajaan yang bermula dengan Jawa di Sumatera malahan Semenanjung! Di Sumatera dalam catatan Eropah dan cerita lisan penduduk tempatan pernah wujud sebuah kerajaan kecil bernama Tanah Jawa. Di Kelantan ada Jawakotti di Sri Lanka ada Javakotte dan Javakacherri. Semuanya merujuk kepada Jawa yang mana? Sudah tentulah Jawaka. Sebab itu saya menolak andaian sebahagian orang Indon (maaf jika orang seberang menganggap ini kasar kerana bagi kami ia tidak, ianya sama seperti anda memanggil kami Malay yang merupakan satu singkatan sahaja dan bukan penghinaan) yang menyatakan bahawa bani Jawi adalah merujuk kepada mereka.


Penguasaan Srivijaya Ke Atas Mandala Jawaka

Sekarang kita sudah tahu bahawa sebelum ini istilah Zabag diberikan oleh orang Arab yang merujuk kepada realm kekuasaan Empayar Jawaka di seluruh Nusantara. Pada kurun kesepuluh masihi barulah kita dapat menjumpai catatan pengembara dan georgrafis Arab menyebut sebuah kerajaan yang bernama Sribuza yakni Srivijaya. Namun catatan ini masih menyebut bahawa Zabag masih wujud dan Sribuza atau Srivijaya adalah dibawah pengaruh Zabag. Saya berpendapat pada zaman ini sememangnya Srivijaya telah menguasai seluruh bekas jajahan Zabag cuma para pengembara Arab terkeliru dengan perubahan dinasti yang berlaku seperti yang telah saya terangkan sebelum ini. Pada masa ini Zabag sebagai sebuah tempat atau Kota memang masih wujud, namun Zabag sebagai sebuah Empayar telah digantikan oleh Srivijaya. Orang Arab mungkin keliru yang mana satu nama kerajaan dan yang mana satu nama pusat pemerintahan. Maka disangkakan bahawa pada kurun ke 10 Empayar Zabag masih wujud padahal Srivijaya telah menggantikannya. Ini terjadi kerana Empayar Srivijaya menguasai kawasan yang sama dengan kawasan empayar Zabag. Kota Zabag sebelumnya mungkin pada zaman Srivijaya telah dikekalkan sebagai salah satu pelabuhan penting, yang memberi gambaran bahawa kerajaan Zabag atau Jawaka masih berkuasa.



Pada tahun 303 sebelum masihi lagi telah ada disebut mengenai sebuah negeri bernama Suvarnadbhumi dan Yawadwipa, namun lokasinya kurang jelas dan kadang kala bertukar diantara satu sama lain. Ada pihak yang berpendapat bahawa inskripsi Kota Kapur yang terpahat mengenai Srivijaya yang ingin menakluk Bhumi Jawa yang tidak menyembahnya adalah Pulau Jawa atau Kerajaan Taruma. Namun ada juga sejarawan yang berpendapat bahawa Jawa yang dimaksudkan adalah Semenanjung Tanah Melayu atau lebih tepat lagi di Kra dimana memang wujud banyak kerajaan-kerajaan penting yang hampir sama kuat dengan Srivijaya suatu ketika dahulu seperti Kalaha, Langkasuka dan Tambralingga yang memang sentiasa ingin memberontak. Jika benar bermakna prasasti tersebut menunjukkan bahawa Srivijaya ketika itu telah cukup kuat untuk menawan semula bekas big bossnya iaitu Jawaka. Namun ini hanya pendapat saya.



Sebenarnya daripada catatan Arab juga ada di dapati longitude dan magnitude kerajaan Zabag yang membolehkan kita menjangka dimana letaknya. Menurut sarjana yang mengkaji catatan tersebut, setelah diteliti dan dianalisa kedudukannya, ia adalah hampir kepada kawasan utara semenanjung Tanah Melayu atau lebih tepat lagi disekitar Segenting Kera. Jika ini benar bermakna Zabag yang sebelum ini sangat gah di bibir mereka berpusat di Semenanjung seperti telahan saya sebelum ini. Kenyataan ini disokong oleh Prof Majumdar yang menyatakan bahawa pusat awal Kerajaan Jawaka atau menurutnya Srivijaya awal bukan bermula di Sumatera tetapi di Semenanjung atau lebih tepat lagi di sekitar utara Semenanjung. Ini bertepatan dengan dakwaan orang Sri Lanka yang menyebut bahawa Chandrabanu iaitu Raja kerajaan Tambralingga yang berada di Segenting Kra atau lebih tepat lagi di wilayah Ligor atau Nakorn Sithammarath sekarang adalah serorang Raja Javaka.



Lebih menggemparkan lagi ,seorang sarjana lain iaitu Moens memberikan pandangan bahawa pusat awal Srivijaya pada kurun ke 7 adalah di Semenanjung atau lebih tepat di Kelantan malahan menurut beliau negeri yang di kunjungi oleh I ching untuk mmepelajari kitab Sanskrit tersebut adalah di Kelantan dan bukan di Sumatera atau Palembang. Menurutnya ketika itu Palembang masih belum menjadi sebahagian daripada mandala Srivijaya. Hal ini ada asasnya kerana 12 tahun setelah I ching melawat Srivijaya barulah seorang raja daripada sebuah kerajaan misteri telah menawan Minanga Tamwan dengan 20 ribu orang tentera! Namun demikian pendapat Prof Majumdar dan Moens ini kurang popular dan tidak mendapat liputan meluas oleh para akademis baik di Indonesia mahupun di Malaysia kerana dikatakan bahawa teori mereka banyak kecacatan dan lompang yang harus di tutup. Saya akui bahawa memang teori mereka memang masih banyak lompangnya, namun kenyataan mereka tentang permulaan Srivijaya yang bermula di Semenanjung sekurang-kurangnya memberikan harapan dan sedikit rujukan untuk kita melakar kembali sejarah Jawaka yang sebenar.



Ibnu khurdazbeh juga ada mencatat di dalam kitabnya tentang nama-nama Raja Al Hind. Pada zaman dahulu Al Hind bukan bermaksud India sahaja tetapi termasuk Nusantara yang kemudiannya digelar orang barat sebagai Greater India atau East Indies. Dalam salah satu nama raja tersebut ada raja yang bernama Raja Jaba yang digelar Kings Of The Island atau Raja Kepulauan. Namun dalam senarai yang sama ada disebut Raja Zabaj dan seorang lagi bergelar Maharaja iaitu Raja Laut Timur. Jadi di sini terdapat 3 orang pemerintah daripada Nusantara yang masih tidak di ketahui samaada orang yang sama atau memang berlainan. Namun yang jelas bahawa Maharaja Laut Timur adalah gelaran khas kepada Raja-Raja Melayu yang pernah memerintah Nusantara tak kira dari dinasti apa pun. Mungkin yang berbeza disini adalah gelaran sahaja tetapi orangnya adalah sama.



Seperti kebiasaan raja-raja melayu yang memang mempunyai gelaran yang panjang dan berbeza. Dalam catatanya juga ibnu kuraidazbeh ada menyatakan tentang keadaan Zabag dimana wujud orang yang gelap dan kecil yang tinggal di pedalaman manakala puak yang kulitnya lebih cerah hidup di pantai dan menjalankan perdagangan dengan pedagang luar. Al Idrisi dalam catatannya ada menyatakan mengenai sebuah pulau yang pelabuhannya bernama Qamar. Sejarawan pada awalnya menyamakan Qamar ini degan Khmer. Namun ianya adalah kurang logik sebab Al Idrisi dengan jelas menyatakan bahawa negeri Qamar ini terletak di sebuah pulau selepas pulau Sri Lanka, dan Kemboja pula bukan sebuah pulau dan bukan juga terletak selepas Lanka.



Dikatakan bahawa rajanya pada suatu masa adalah seorang perempuan yang dihiasi dengan pelbagai perhiasa emas. Catatan Al Idrisi ini adalah semasa mandala Srivijaya sedang melemah dan kerajaan Malayu menguasai Srivijaya dan mengambil alih pemerintahan ke Kota Malayu di Jambi. Sarjana berpendapat bahawa Qamar dan masyarakat matrilinielnya adalah masyarakat Kampar atau Minang dan kerinci yang memang di kawasan tersebut sangat banyak dengan emas. Boleh jadi pelabuhan itu adalah Kampar. Catatan Al Idrisi seterusnya dapat memperjelaskan lagi dakwaan ini apabila beliau menyatakan Raja Qamar Tinggal di ibu kota yang bernama Malayu. Masyarakat Qamar dikatakan memakai pakaian terbaik dari China dan Iraq dan ada dikalangan penduduknya yang mengaku berketurunan Turki. Berbanding dengan catatan Arab awal yang lain Al Idrisi ada memberikan diskripsi yang sedikit mendalam mengenai raja Jaba atau Zabag. Menurutnya Raja Jaba Al Hind memakai mahkota menjulang yang diperbuat daripada emas dan seorang penganut Buddha yang taat. Dalam kerajaannya banyak kuil-kuil dan patung daripada emas.



Selain daripada sumber Arab kita juga boleh merujuk sumber dari bangsa lain untuk merangka kedudukan kerajaan Jawaka. Dalam tulisan Ptolemy ada disebut beberapa buah negeri atau pulau berdekatan Golden Chersonese, antaranya adalah Labadieu, Sabadibae dan Zabag. Catatan Yunani ini adalah catatan yang tertua sekali malah lebih tua daripada catatan Arab yang telah saya sebut sebelum ini. Ini memberikan gambaran bahawa sebuah negeri yang bernama Zabag atau Jawaka sememangnya telah wujud lebih lama dariapda Srivijaya. Waruno Mahdi seorang sarjana, ada menyatakan tentang teori kerajaan Jawaka ini. Walaupun beliau mengakui bahawa kita tidak sepatutnya menyamakan Yawadipa yang dimaksudkan dalam Ramayana atau Zabag catatan Arab itu dengan Pulau Jawa namun beliau tidak meletakkan Jawaka di Semenanjung ,sebaliknya di Sumatera iaitu di lembangan sungai Batanghari. Namun hal ini masih diperdebatkan kerana masih tidak dapat ditemukan sebarang bukti kukuh mahupun nama tempat yang boleh dikaitkan dengannya.



Dalam Catatan Cina pula ada menyebut tentang sebuah kerajaan atau empayar beratus tahun sebelum wujudnya Srivijaya. Menurut catatan itu pada tahun 132 masihi duta daripada negeri Ye Tiao yang ditafsirkan sejarawan sebagai sebutan orang Cina bagi Yavadwipa yang bermakna Sumatera dan bukan Pulau Jawa datang ke istana Cina. Catatan pada tahun 240-252 ada menyatakan tentang sebuah negeri yang bernama Cu-Po atau Cu-Bak yang berasal dari sebutan Shu Bak yang bermakna Zabag atau Jawaka. Sarjana menyangkakan bahawa sekitar pada zaman inilah berlakunya penjelajahan oleh orang-orang dari Jawaka ke Malagasi. In kerana terdapatnya kesan-kesan bahasa Melayu Kuno dalam bahasa Malagasy.



Pada tahun 410 di Iraq semasa empayar Selucied catatan mengenai Majlis Synod Of Isaac yang membincangkan mengenai Agama Kristian ada menyebut tentang sebuah metropolitan yang bernama Dabag, Cin dan Macin. Empat tahun kemudian Fa Sien seorang Sami dari Cina ada singgah di sebuah negara yang dipanggil Ye Po Ti. Daripada diskripsi yang diberikan beliau , Yepo Ti bukanlah Pulau Jawa sebaliknya berada di Sumatera atau Semenanjung. Yepoti bermaksud Yavadipa. Dalam syair Tamil Manimenggalai ada menyebut tentang sebuah kota yang bernama Naga Puram iaitu Kota Naga di sebuah negara yang bernama Savakanadu yang bermaksud tanah orang Jawaka. Al Idrisi menyatakan bahawa sejak dahulu lagi orang dari Zabag dan Kerajaan Maharaja berlayar dan berdagang dengan orang Madagaskar dan memahami bahasa masing-masing, penduduk zabag juga berdagang di Sofala iaitu di Afrika Timur dekat Mozambiq malahan sebuah negeri beranama wakwak berdekatan Zabag pernah menyerang Sofala.



Tambahan lagi inskripsi yang ditemui di Campa dan catatan sejarah Daiviet tidak pernah membezakan diantara serangan dari Sumatera atau Semenanjung dengan dari Pulau Jawa dan mereka semua dipanggil dengan gelaran Cheva. Dalam catatan Parsi pula ada dinyatakan bahawa di negara Zabag terdapat sebuah gunung berapi yang sentiasa berasap dan mengeluarkan lanar, dan dibawahnya ada air tawar yang sentiasa diambil oleh para pelayar. Seperti yang kita tahu memang Nusantara mempunyai banyak gunung berapi. Di Sumatera ada gunung Merapi dan Di Jawa juga ada begitu juga Pinatubo di Luzon. Namun yang mana satu berada didalam jajahan Zabag. Sesetengah sarjana berpendapat gunung yang dimaksudkan adalah Pinatubo. Namun ianya jauh daripada lautan dan mustahil untuk mendekatinya.



Teori ini dikemukankan oleh sarjana Filipina bagi meletakkan Zabag di sana, namun pendapat yang saya lebih cenderung adalah yang mengatakan bahawa gunung itu adalah Karakatoa yangg terletak di Selat Sunda dan gunng ini adalah antara yang teraktif di Nusantara malahan pernah meletuskan letupan yang maha besar suatu ketika dahulu. Gunung ini juga mudah untuk di lihat melalui kapal dan didekati kerana ia berada di tengah laut berbanding Pinatubo atau Merapi yang berada di pedalaman, jadi ia adalah lebih munasabah. Mungkin ada yang akan mempersoalkan bahawa gunung itu terlalu jauh dari Semenanjung, sedangkan catatan tersebut menyatakan ia berada di Zabag. Sebenarnya penerangannya sama sahaja seperti sebelum ini. Orang Arab menggunakan istilah Zabag bagi melambangkan perimeter kekuasaan mandala Jawaka. Oleh kerana selat sunda berada di dalam mandalanya maka ia disebut berada dekat Zabag.



Daripada perbincangan yang panjang lebar diatas hasil daripada telaah saya terhadap kajian-kajian para sarjana terdahulu, maka dapat saya simpulkan bahawa, sememangnya wujud sebuah kuasa atau empayar besar yang bernama Jawaka atau Zabag suatu masa dahulu yang di warisi kegemilangannya oleh kerajaan Srivijaya. Tentang dimana dan bila bermulanya empayar ini masih lagi menjadi persoalan yang tergantung dan didebatkan oleh para ilmuan dalam bidang berkenaan. Dapat saya tegaskan juga mengenai pendapat saya bahawa Zabag bukanlah merujuk khusus kepada Pulau Jawa sahaja. Namun ianya adalah merujuk kepada seluruh nusantara barat iaitu Sumatera, Semenanjung dan Jawa. Mungkin pusat kerajaan Jawaka kuno sebelum Srivijaya terletak di Indochina, Utara Semenanjung, atau pun Sumatera. Kajian lanjut haruslah dilakukan untuk memastikan kebuntuan ini terlerai dan dapat menyelesaikan teka-teki mengenai kerajaan Melayu purba yang amat misteri ini.


~Al Semantani

37 ulasan:

  1. salam al semantani jones..

    biasalah belum baca lagi....
    semoga anda bertambah rajin, semakin rajin, selalu rajin dan selamanya rajin untuk menambahkan pemahaman kami.....para pencari tamadun melayu yg hilang

    mekacih!

    BalasPadam
  2. wah...artikel baru... terima kasih...

    BalasPadam
  3. Salam tuan,

    terima kasih atas artikel yang sarat dengan maklumat dan menarik ini...beru semalam saya membelek atlas untuk melihat koordinat 5 darjah dan 5 minit di Semenanjung Tanah Melayu...tup-tup..tuan sebut dalam artikel ni...lepas tu saya buat kajian tentang menora...ada juga di side bar ni....hehe..meremang dibuatnya...saya ada satu pertanyaan buat tuan...saya pernah terbaca tentang satu tapak arkeologi di Jordan dengan nama 'Java'..tapi tidak banyak maklumat boleh dijumpai..mungkin tuan boleh bantu,terima kasih

    Seri Mala

    BalasPadam
  4. seri...

    Itulah ketentuan ilahi namanya...alhamdulillah...semoga Allah berkati usaha kita untuk membongkar sejarah bangsa mim dan permudahkan jalan untuk terus mengkaji.

    tentang kota java tu saya juga dlm proses kajian...mungkin cik sri ada mklumat tambahan.

    BalasPadam
  5. Salam Al Semantani,

    Sejak kemunculan Srikandi, artikel tuan hamba semacam kurang menyegatlah termasuklah artikel Jawaka ini! Semacam terlalu sangat berhati-hati dan merendah diri ketika menulis artikel ini.

    Pernah bersemuka dengan Srikandi ke?

    M_M

    BalasPadam
  6. wsalam Diraja...

    kurang menyengat macam mana tu ...:)

    memang saya agak berhati-hati dgn artikel ini, tapi bukan sebb srikandi..:)

    atau anda rindukan entry2 yg menyelar merong n the geng..hehe..tungguuu...masanya belum lagi..:p

    Al semantani

    BalasPadam
  7. Oh, kurang menyengat yang hamba maksudkan bukanlah patut diertikan sebagai menyelar mana-mana geng ULTRA FIKSYEN RASIS. Blog Riwayat Melayu sudah memadai bagi memainkan peranan tersebut.

    Maksud hamba ialah olahan penyampaian ilmu sejarah Melayu tuan hamba semacam tidak pasti dan tidak tegas terhadap apa-apa hujah yang tuan hamba sendiri kemukakan. Mula-mula tuan hamba kemukakan hujah dan bukti, kemudian tuan hamba tidak pasti adakah hujah tersebut betul-betul pasti. Saya sebagai pembaca yang jahil dalam sejarah Melayu pun menjadi risau sebab tidak tahu mana hujah kuat untuk dipegang sebagai prinsip dan fakta bangsa Melayu.

    Hamba semacam terlihat psikologi Melayu tulen pada tuan hamba: MALAY INFERIORITY COMPLEX...

    Hamba lihat artikel Jawaka ini sebagai respons terhadap artikel Alter Terahsia Bangsa Melayu XV. Sebaiknya artikel ini merungkai keabtrakskan artikel Srikandi, cuma yang tersaji ialah maklumat umum tentang Jawaka dan bukannya maklumat terperinci secara fokus tentang misteri Jawaka.

    Oh, terbongkar satu rahsia tuan hamba. Tanpa Nama sebenarnya ialah tuan hamba... hahaha...

    M_M

    BalasPadam
  8. Diraja...

    sebelum ni saya pernah sebut bahawa sejarah ini suatu bidang ilmu dan kajian yang berterusan. jadi tiada hujah yg mutlak dalam sejarah. seorang ahli sejarah itu tidak boleh berkata " inilah bukti sahih bahawa xx adalah xx kerana buktinya ialah xxx". Nak pulak jika membincangkan teori yg agak kontroversial seperti kali ini. Saya pernah merujuk pada tok guru saya yg memang pakar dalam sejarah Nusantara. Dia juga tidak mampu untuk memberikan ulasan yg banyak sebb Jawaka masih dalam 'kabut'.

    Dalam membuat sebarang kesimpulan dalam ilmu sejarah, kita perlu sangat hati2 kerana jika tidak ia bakal menjerat diri sendiri. saya tak mahu jadi macam pihak2 tertentu yg suka buat kesimpulan melulu dan akhirnya teori mereka macam cerita kartun.

    sebb lain ialah saya masih dalam proses kajian. salah satu cara untuk dapatkan bukti solid bagi membuat hujah yg mantap dan jitu adalah dengan mendapatkan prasasti atau apa-apa inskripsi terbaru serta bahan dari ekskavasi. Namun ini memerlukan masa dan belanja yg besar. saya masih belum mampu. oleh sebb itu buat masa ini saya hanya mampu membuat analisis terhadap kajian-kajian lepas sahaja. tapi nampaknya kajian-kajian lepas tersebut juga masih banyak lompang seperti yg saya katakan.

    kadang-kadang kita perlu ikut resmi padi untuk mengelakkan kaduk naik junjung...:)

    saya kalau boleh tak mahu jadi macam seorang 'self proclaim' pakar bahasa yg mahu menghasilkan tesis menggempar dunia dan menyamatarafkan diri dengan wali...:)

    BalasPadam
  9. salam,

    artikel yang meanarik.
    keris diatas juga disebut keris Patani.
    Terima kasih kerana kajian tentang Empayar Jawaka.Satu lagi Empayar yang hilang ialah Empayar Chermin, mohon sahabat selidiki jika ada masa terluang.

    ya... Jawakotti.... terfikir pula saya mengapa sheikh Hussien Jamaluddin Kubra dan adindanya Sheikh Thanaudin(Adi Putra) memilih Bukit Panau untuk bersuluk dan merancang misi dakwah mereka di Nusantara!

    salam perjuangan.

    BalasPadam
  10. wsalam bro sangrawal...

    ya mmng banyk misteri menyelubungi sejarah kelantan dan negeri2 utara semenanjung. sebahagian besar ulama terkemuka juga dari sana. jika sejak zaman i ching lagi ada 1000 sami dan cerdikpandai di kota srivijaya, jadi saya tak heran mengapa banyak ilmuan dihasilkan dari sana hingga sekarang. kelantan dan negeri2 utara semenanjung adalah cradle of malay civilization.

    oh terlupa...kepada semua pembaca harap maaf kerana saya xsempat masuk gambar2 dan lain2 touchup utk artikel ini sbb laptop dimasuki virus...lembab jadinya...jadi saya postkan je yg mana ada...sebb tu nmpk cincai. insyaallah saya akan edit semula lepas ni.

    dan lagi satu, walaupun artikel ini topiknya ada sedikit persamaan dengan topik yg dihuraikan dalam artikel cik sri namun pandangan dan analisis dalam artikel ini adalah hasil kajian saya sendiri, saya tidak berpihak pada mana-mana pendapat sebaliknya cuba mencari kebenaran dalam semua aspek. oleh itu pandangan saya dalam artikel ini tidak mewakili pandangan beliau. beliau mungkin mempunyai sumber yg berbeza dengan saya. lagipun beliau ada 'secret weapon' yg saya xada iaitu diary lodgekeeper...;)

    Al Semantani~ Seeker of Mala History

    BalasPadam
  11. salam,
    aku ade carik jawakotti kat internet, yang keluar, javakheti n javakhk kat georgia russia nu. Tak tau le apa kaitannya
    --Khairul--

    BalasPadam
  12. wslm saudara khairul...

    saya maklum dgn tempat tersebut...ia dlm kajian saya. saya masih belum dpt petunjuk yg nyata lagi. sebb tu saya xsentuh apa2 pasal tmpt tu.

    apa yg saya boleh bgtau semua ialah org Armenian yg bersebelahan dgn georgian sudah lama mempunyai hubungan dagang dengan nusantara. sebb itu saya berpendpt kaitan antara tmpt tersebut dgn jawaka atau sekurang2nya nusantara secara am adalah plausible...:) dlm bahasa armenia tempat tu dipanggil zabaakha yg bermkna tempat orng2 zabag atau javaka, dan ia hampir sama dengan maksud javakotte di srilanka iaitu tempat tinggal atau kota orng javaka...panggilan org armenia terhadap nusantara pula adalah zapeckh yg dipinjam dari Arab iaitu zabag.

    ok nmpknya dah terlebih ni...cukup setakat ini dulu ya...:)

    BalasPadam
  13. salam buat semantani

    pandangan ikhlas dari saya. sebenarnya saya amat berminat mengikuti blog saudara sejak dulu. Blog saudara merupakan rujukan bagi saya selain mistisfile. dan saya dapati penulisan saudara telah improve dengan banyak sejak kemunculan srikandi. tetapi saya lihat cara komen dan penulisan saudara terutama di mistisfile dan riwayat melayu kadang kadang terikut gaya srikandi. jadi, saya cadangkan saudara kekal dengan gaya saudara yang asal, kerana di situ terdapat originallity yang tiada pada orang lain. anyway, artikel yang baik dari saudara dan teruskan menulis.

    BalasPadam
  14. wsalm din...

    terima kasih atas sokongan anda. Insyaallah saya akan perbaiki mana2 kelemahan yg ada pada diri ini...

    agaknya aura cik sri terlalu kuat hingga terpancar dan mempengaruhi gaya penulisan saya...:) apa-apapun saya akan cuba jadi se-original yg mungkin.

    BalasPadam
  15. Salaam Ya Tuan

    saya setuju dengan pendekatan anda. sebenarnya memang tiada kata putus dalam apa bidang sekalipun inikan pula bidang sejarah. artikel kali ini memang padat tidak banyak 'ulang tayang' dan 'flashback'.

    kata putus hanya milik Allah yang empunya segala ilmu

    BalasPadam
  16. saya rasa pola-pola tamadun warisan silam Kerajaan Srivijaya yang mewujudkan para pemerintah yang berpandu kepada tiga “Dapunta Hyang” negeri iaitu Maharaja, Yuvamaharaja dan Yuvaraja . ini adalah sistem pemerintahan tradisi Melayu. Iaitu suatu persekutuan yg mempunyai Maharaja dan kita dpt lihat hari ini, sistem di negeri sembilan, juga Perak ( ada raja Muda, raja dihilir, raja dihulu, raja dibaruh) yg sebenarnya berasaskan sistem ini.
    Maka dlm byk2 kerajaan kita terkeliru yg manakah Maharajanya, buat masa ini kita beranggapan Sriwijaya lah tunggak kuasa, tp dlm pd itu, masih ada kdg2 perebutan puncak kuasa. Jadi biasanya, setiap Raja akan terus memerintah negerinya walaupun setelah kalah peperangan krn yg penting kerajaan itu tunduk kpd persekutuan. Dan itulah kaedah yg diamalkan oleh leluhur kita.
    -jouhar

    BalasPadam
  17. salam AL semantani

    sedikit pandangan dari hamba ni Karakatoa adalah landmark yg boleh dijadikan ukuran mengenai dimana letaknya kerajaan zabag, namun ia bukan petanda aras ia terletak di kepulauan java ataupun sumatera. zabag bekemungkinan besar terletak disemenanjung tanah melayu, semenanjung adalah jantung kpd dunia.. jika disemenanjung memang mudah mengawal selat melaka

    kaw segenting kera semenanjung, boleh dikatakan pusat zabag
    kerana..

    1. mudah mengawal burma
    2. indo china kemboja
    3. mudah ke borneo, kerajaan diborneo mengawal sulawesi filipina

    namun bagi sumatera dan pulau java, ibarat wilayah autonomi bagi kerajaan zabag, sbb bila zabag hilang empayar dinasti salindera srivijaya mengambil alih peranan zabag.

    aduh sakit kepala pula bile nk cungkil minda

    thnks

    BalasPadam
  18. saudara jouhar...

    Memang tepat pendapat anda. memang sistem ini ada dipakai. Malah semasa penguasaan dinasti melayu di Angkor juga sistem ini digunakan untuk mengawal kerajaan2 naungan yg sangat luas. tak silap saya ada satu gelaran khmer atau Thai iaitu Obyaraja untuk raja kedua, raja ketiga saya kurang pasti.

    Al semantani

    BalasPadam
  19. jawika mimnya di sini
    jawaka nunnya di sana
    jiwaka mimnun bersatu tiada terpisah lagi

    alfaaqa

    BalasPadam
  20. Al semantani,
    Tamadun tercipta dgn adanya struktur pemerintahan. Sy cuba membandingkan kewujudan city state di greek, dan juga rom yg akhir nya mewujudkan sistem pemerintahan demokrasi.
    Lalu sy memandang ke sebelah sini, nusantara ada city state yg bertaburan dan hubungkan dgn perkahwinan juga persaudaraan dan ada sistem kerajaan pusat..kdg2 di Funan, di Palembang, juga Majapahit. Kita mewarisinya, dan sy cuba pula melihat kesan2 yg ada di Palembang, sudah tentunya mengamal ada perpatih iaitu sistem tamadun yg diwaris dr kerajaan Sri wijaya.
    Jadi 2 kerajaan yg ada hubungan dgn Sri wijaya adalah perak & N9. Akhirnya sy cuba menyimpulkan bhw kjaan melayu lama mengamalkan sistem yg serupa, dlm 1 persekutuan yg ada raja persekutuan, juga bersaudara... dan kdg2 berpindah ibu kota. Dlm sesetengah keadaan raja yg bersaudara dr city state yg lain bole dimaharajakan. spt yg berlaku di Acheh, apabila sudah tiada waris, mereka mengambil raja dr pariaman. Begitu juga Melaka, meletakkan waris2 simpanan di Pahang dan Kampar. Itu juga sbb knp dirajakan di Perak, mugkin apa2 terjadi pd kerajaan Johor, masih ada waris yg survive di Perak dan Pahang. Spt kata bendahara tun isap barakah ~ Lainkah Sultan Pahang dan Sultan Perak dengan Yang Dipertuan (Johor)? Sekaliannya itu tuan pada kita, tetapi pada ketikanya baik! Jikalau pada jahatnya, hingga Yang Dipertuan (Johor) juga seorang tuan kita”
    Manakala ni N9 dgn pemilihan antara 4 putera, satu kaedah yg demokratik

    ~ jouhar

    BalasPadam
  21. salam... semantani orang temerloh ke? saja tanya

    BalasPadam
  22. Salam Tuan,

    Ada gak catitan dalam versi Burma dan Afrika ttg kehebatan kerajaan Melayu lama. Saya ada terlihat d Perpustakaan Negara KL. Tentang anakanda Tengku Mahkota Alang Kencana iaitu Awang Sulong Merah Muda @ Malim Deman @ Sanjaya. Selain buku Pawang Ana yang terdapat disana. Buat pengetahuan Tuan besar Mahligai tu seluas 4 ekar dan bergaris lilit 10 batu persegi dengan bentuk hexagon.

    BalasPadam
  23. Salam tuan,

    berkenaan tapak arkeologi di Jordan tu,namanya Tall Jawa,kota itu dipercayai telah diduduki oleh pelbagai kaum pada masa yang berbeza-beza,yang menarik perhatian saya ialah antara artefak yang dijumpai ialah duit-duit yang diperbuat dari aloi tembaga (fulus) yang dipercayai digunakan semasa pemerintahan Khalifah Umaiyah, Abdul Malik, dengan tulisan syahadah di kedua-dua muka duit tersebut.

    BalasPadam
  24. layarilah www.freemalaysiakini.com

    sebarkan kepada pembaca blog anda

    BalasPadam
  25. Salam Al Semantani,

    Apakah artikel tuan hamba yang selanjutnya? Boleh ulas mengenai Kerajaan Funan dan Champa?

    M_M

    BalasPadam
  26. Salam Al Semantani
    Saya harap sangat kajian sejarah bangsa Melayu ini dibukukan oleh penerbit buku Malaysia, tidak hanya dicatat di ruang siber.

    BalasPadam
  27. salam penulis..sy brminat pd topik Saka @ scythian...melalui pembacaan sy dlm buku tulisan muhamad alexander@wisnu sasongko yg brtajuk yakjuj & makjuj, bangsa saka@scythian adalah yakjuj&makjuj. raja cyrus bukanlah isklandar zulkarnain kerana kisah pngembaraannya tidak mngikut apa yg di dalam Al-Quran.sbtulnya alexander macedonia adalah iskandar zulkarnain...jadi, tidak salah kalau dikatakan keturunan kambojas adalah drpd kturunan saka@scythian krana sememangnya mereka ini dtg dr arah utara(russia)...sy cadangkan saudara meneliti buku2 kajian muhammad alexander@wisnu sasongko sperti alexander adalah iskandar, yakjuj&makjuj dan sbagainya....usaha saudara utk memartabatkan bangsa melayu adalah satu usaha yg bermakna...sy suka pd kajian dan tulisan saudar..trima kasih

    BalasPadam
  28. http://www.singaperbangsa.com/2010/12/nomer-urut-dan-nama-kerajaan-serta.html

    BalasPadam
  29. kenapa x seorangpun yg mengatakan zabag tu kat sabah skrg? sebuah
    pulau besar ditengah2 lautan, dikelilingi 3 buah lautan, gunung kinabalu ditengahnya.gunung kinabalu pun xjauh sangat dari lautan, turun ckit dah jumpa sungai mudik terus ke kuala.Dan digunakan sebagai panduan bagi pedagang, dan dulunya ia sebuah gunung berapi besar yg meletup menjadilah apa yang dilihat sekarang.mungkin masih banyak yg tersimpan misteri di hutan2 borneo. Mustahil, dengan kepesatan laluan nusantara, sehingga ptolemy dtg menggelarkannya sebagai sumber emas, menjadi tumpuan saudagar seantero dunia, sultan raja datu naik taktha bersilih ganti, lari membuka tanah berkerajaan beraja di sana sini.tentera india dinasti china penah singgah, malah mongol datang melanggar jawa. Mustahillah tanah borneo, umumnya di sabah yang luas subur tanahnya, kosong tak berkerajaan? atau paling kurang sebelum kesultanan brunei dan sulu ditubuhkan? bukankah terlalu muda usia kesultanan tersebut?

    BalasPadam
  30. sabak juga terdapat di kelantan..pantai sabak..

    BalasPadam
  31. Jika jawa bukan pulau jawa dan medang bukan mataram kuno mengapa mpu sindok berperang dengan sriwijaya dalam perang di anjukladang?

    BalasPadam
  32. Kerajaan medang berpindah-pindah tempat. Ada medang ri bhumi mataram. Medang ri bhumi mamrati, bhumi tamwelang dan lain-lain. Mpu sindok menamakan medang dengan medang ri bhumi tamwlang

    BalasPadam
  33. Sejarah yang puling bulet jatuh kepada jreng jreng kerajaan medang yg mempunya peninggalan jelas tpi sampai saat ini belum jleas jelas alur ceriatnya

    BalasPadam
  34. Tinggal cari aja informasi abad 8 sampai abad 10 maharaja zabag. Gelar yg digunakan dngan jelas adalah maharaja, ada gunung berapi tinggal disesuikan dngan prasasti dan catatan arab hal yg sama juga prasasti kerajaan khmer menulis hal yg sama dgna catatan arab, tinggal dikaji gitu aja kok repot

    BalasPadam
  35. Catatan arab juga tidak beramsumsi sendiri tentang maharaja zabag bermusuh dngan khmer seperti contoh aja prasasti sdok kak tong dan watt samrong mencatat hal yg sama. Itu berarti catatan arab sesui tidak berasumsi sendiri

    BalasPadam
  36. Saya heran sama orang Melayu kok bawa bawa suku jawa biar agar terlihat suku Melayu paling hebat wkwkkw

    BalasPadam