Isnin, 16 Jun 2014

SILAT HAWAII


Golongan elit dan pahlawan Hawaii yang lengkap dengan pakaian kebesaran.


Salam dan sejahtera. Beberapa orang rakan bertanya saya mengenai asal usul silat. Saya sendiri juga masih membaca dan mencari jawapan kepada persoalan tersebut. Ada pihak yang membuat andaian bahawa silat itu berasal daripada seni beladiri masyarakat luar nusantara atau tamadun lain yang lebih maju seperti China dan India yang terkenal dengan seni beladirinya. Malah sering disebut-sebut oleh pihak tertentu yang silat itu asalnya sama seperti Taek Won Do dan Karate yang berasal daripada Kung Fu Shaolin. Manakala Kung Fu Shaolin pula dikatakan berasal daripada seni beladiri India yang dibawa masuk oleh seorang pendeta bernama Bodidharma. Ada juga yang berpendapat bahawa silat adalah gabungan daripada seni atau teknik beladiri masyarakat tempatan dengan teknik beladiri dari China dan juga India.

 

Walau apa pun jawapannya, saya percaya bahawa bangsa Melayu juga mampu mencipta seni beladiri mereka sendiri yang bercirikan kepandaian lokal atau Local Genius tanpa perlu mempelajarinya daripada bangsa-bangsa lain. Namun ini tidak bermakna tidak wujud  sejenis seni beladiri Melayu yang menerima pengaruh dari bangsa luar, contohnya Silat Kuntau yang dipercayai berasal dari China. Namun tidak semua seni beladiri masyarakat rumpun Melayu itu berasal dari tamadun luar. Saya percaya sebahagian besarnya adalah hasil kreativiti dan inisiatif masyarakat tempatan sendiri bagi mempertahankan diri dan kaum keluarga mereka dari sebarang ancaman samaada dari dalam ataupun luar. 

 

Mengapa saya berpendapat sedemikian? Kerana terbukti memang wujud masyarakat rumpun bangsa Melayu yang mempunyai satu seni beladiri tersendiri yang terasing daripada tamadun-tamadun besar dunia. Seni beladiri yang saya maksudkan adalah dari orang Hawaii iaitu Lua. Bangsa Hawaii adalah saudara serumpun kita yang berada dalam kelompok besar manusia yang berbahasa Austronesia. Malah jika kita lihat rupa paras mereka juga saling tak tumpah seperti rupa orang-orang  rumpun Melayu yang lain. Budaya mereka juga adalah budaya kelautan seperti sebahagian besar masyarakat rumpun Melayu.



Bagi mereka yang selalu menonton filem-filem barat mengenai Hawaii atau kepulauan Pasifik, mereka pasti dimomokkan dengan gambaran kecantikan, keindahan, ketenangan dan sifat lemah lembut serta mesra orang Hawaii, ditambah pula dengan alunan musik yang mengasyikkan disertai dengan persembahan tarian Hula yang meliang liuk serta menggoda. Pasti tidak terbayang difikiran mereka bahawa orang Hawaii mempunyai satu seni beladiri yang ampuh malah menggerunkan musuh sehinggakan ada yang menyebut bahawa seni beladiri Hawaii adalah yang paling merbahaya di dunia. Hal ini bukanlah sesuatu yang pelik bagi saya kerana kita tahu bahawa saudara-saudara kita di Pasifik ini memang sangat mahir dalam ilmu peperangan, lihat sahaja pada masyarakat Maori yang selama berpuluh tahun melawan dan menentang penjajahan bangsa Eropah dengan berbekalkan ilmu beladiri tradisional mereka sendiri (tak dinafikan yang mereka juga akhirnya menggunakan senjata api seperti musuh mereka).

 

Apakah sebenarnya yang dikatakan sebagai Lua? Lua adalah nama umum bagi seni beladiri tradisional Hawaii yang merangkumi pelbagai stail dan teknik. Antara teknik yang terangkum dalam Lua ialah teknik mematah tulang, mengunci sendi, menghumban, memanipulasi titik tekanan badan, pukulan tangan kosong, penggunaan senjata, strategi peperangan, seni perang diatas air dan ditambah dengan seni bermain senjata api pada zaman kemasukan pengaruh senjata api ke Hawaii. Pendek kata seni Lua adalah sebuah seni beladiri holistik atau menyeluruh yang hampir sama seperti beberapa jenis seni beladiri Melayu di nusantara seperti Silat. Malahan menurut pendapat sesetengah ahli seni beladiri, teknik tangan kosong dan kuncian Lua juga mempunyai  persamaan dengan seni beladiri Jepun moden seperti Judo dan Jujitsu. 

 

Dalam masyarakat Hawaii setiap anak muda pasti pernah mendengar kisah-kisah hebat para pahlawan nenek moyang mereka yang menggunakan seni Lua dalam pertempuran sehinggakan ianya menjadi lagenda turun temurun sepertimana ilmu silat dalam masyarakat Melayu. Pada zaman dahulu rahsia ilmu Lua hanya diturunkan kepada orang-orang yang terpilih sahaja terutama golongan diraja, pengawal elit diraja, panglima-panglima tentera, pahlawan profesional dan para bangsawan. Hal ini juga sama seperti tradisi silat di nusantara yang pada awalnya hanya diajar kepada golongan tertentu terutama yang dekat dengan Istana. Kebiasaanya Lua akan dipertandingkan diantara kampung-kampung di Hawaii ketika musim perayaan Makahiki atau perayaan untuk dewa Lono iaitu dewa pertanian. Perayaan ini biasanya berlansung selama tiga bulan atau lebih. Dalam tempoh tersebut semua masyarakat tidak perlu turun berkerja sebaliknya mereka digalakkan untuk bergembira dan berkenduri sepuas-puasnya.

 
Macam muka bapak saudara saya..:).


Namun demikian teknik atau jurus sebenar Lua tidak dipamirkan dalam keramaian ini kerana seperti yang saya sebut tadi hanya golongan tertentu sahaja yang mempunyai ilmu rahsia tersebut. Sebaliknya dalam keramaian ini bentuk Lua yang lebih umum iaitu Momoko yang menyerupai gusti atau tinju dipertontonkan untuk hiburan khalayak ramai. Seperti kebiasaan dimana-mana tamadun di dunia kecuali tamadun Islam mungkin, pertaruhan atau perjudian dikalangan penonton adalah perkara biasa malah ada yang mempertaruhkan rumah dan isteri mereka. Pertandingan momoko ini pernah dilihat sendiri oleh kru kapal Kapten Cook yang merupakan orang Eropah pertama sampai ke Hawaii. Pertarungan kebiasaanya disertai dengan ejek-ejekan diantara lawan dan antara ejekan yang popular ialah ‘makan tahi ayam! Setiap peserta juga ditemani oleh seorang pawang atau Kahuna yang bertindak seperti ‘coach’ yang bertugas untuk memberi motivasi dan membaca mantera-mantera tertentu.

 

Mengenai ilmu Lua yang menjadi rahsia turun temurun ini, hanya pada tahun 1865 barulah ada catatan mengenainya yang ditulis oleh seorang Eropah. Menurut catatan tersebut Lua hanya diajar kepada orang yang dapat mengawal kemarahan dan hanya boleh digunakan untuk mempertahankan nyawa. Menurut lagenda, seni beladiri Lua memerlukan seseorang itu mempunyai pengetahuan dalam anatomi, physiologi malah hypnotism atau ilmu pukau dan ilmu telepathy iaitu ilmu membaca fikiran. Jika kita perhatikan, ciri-ciri dan persyaratan yang terdapat dalam Lua hampir sama seperti dalam seni silat Melayu. Malahan para pengamal Lua akan mencukur seluruh bulu di badan serta melumuri badan mereka dengan minyak kelapa sebelum berperang. Hal ini adalah bagi menyukarkan musuh untuk memegang atau menangkap badan mereka. Pengamal lua juga akan diajar ilmu Lomilomi atau mengurut malah Lua juga mempunyai ritualized combat atau seni tari seperti latihan bunga tari dalam silat, dalam bahasa Hawaii ia dipanggil sebagai Hula. Hula yang dimaksudkan termasuklah Hula seperti yang sering kita tonton di kaca television dan tarian-tarian lain yang dijadikan asas latihan dan senaman dalam Lua.

 

Dalam sejarah Hawaii tiadak ada tokoh yang lebih terkenal dalam ilmu Lua selain raja-raja mereka sendiri terutamanya raja Kamehameha. Kamehameha terkenal dikalangan sejarawan sebagai The Napoleon of The Pacific kerana kejayaan beliau dalam menyatukan seluruh wilayah kepulauan Hawaii melalui beberapa siri peperangan yang hebat sekitar tahun 1790 hingga 1810. Kamehameha dikatakan telah mendirikan tiga buah sekolah beladiri Lua yang terkenal. Sesebuah sekolah Lua itu akan dikelolai oleh seorang Kahuna yakni Pawang atau pendita agama kuno Hawaii. Seorang Kahuna yang mahir dalam Lua mestilah memahami ilmu anatomi terutama mengenai kedudukan saraf tertentu dan otot-otot penting dalam badan. Mereka percaya bahawa perut adalah asas bagi segala kekuatan atau pusat tenaga. Konsep ini sama seperti dalam seni beladiri Jepun Aikido dan beberapa lagi seni beladiri lain dari seluruh dunia.

 




Seorang pakar seni beladiri Jepun iaitu Prof Henry S. Okazaki, pernah menyatakan bahawa, walaupun Lua mempunyai banyak persamaan dengan beberapa seni beladiri Jepun, namun teknik yang terdapat dalam seni beladiri Hawaii tersebut adalah lebih berkesan. Menurut pengamal Judo moden pula Lua boleh dianggap sebagai  satu seni beladiri paling ganas yang pernah dicipta dan digunakan oleh raja-raja serta para pengawal elit Hawaii. Dalam sesebuah peperangan Hawaii, pertarungan atau pertempuran itu berlaku sangat pantas, dan sengit. Sebagai contoh dalam peristiwa penaklukan pulau Maui oleh para pendekar Oahu. Dalam pertempuran tersebut hanya dua orang yang terselamat daripada 800 orang pahlawan yang terlibat.

 

Jika di medan perang kebiasaannya pengamal Lua akan bergantung kepada beberapa jenis senjata seperti lembing, terbil, cokmar malahan senjata dari batu. Selain itu terdapat juga senjata lain seperti pendayung, pisau gigi jerung, kayu panjang, dan sejenis senjata seperti buku lima yang namanya juga berbunyi seperti bahasa Melayu iaitu Kuekue Lima, malah senjata buku lima juga digunakan dalam sesetengah silat Melayu. Kalau dalam silat Melayu ada ilmu unik yang diberinama seni Cindai, dalam Lua pula ada satu teknik yang hampir sama iaitu teknik tali penjerut. Tetapi jika semua senjata-senjata ini terlepas dari tangan atau dirampas musuh, maka masa inilah akan digunakan teknik-teknik rahsia tangan kosong. Dalam Lua juga ada seni bermain kayu yang dipanggil sebagai Kakalaau. Seni ini menggunakan kayu berukuran enam kaki dan hampir serupa dengan seni Kendo dan Bujutsu Jepun. Namun dalam seni Kakalaau tiada sebarang protection atau baju pelindung yang digunakan. Selain daripada menggunakan batu biasa, kayu dan gigi jerung, terdapat juga senjata yang diperbuat daripada batu Jed.

 


Satu perkara yang paling menarik dalam Lua adalah teknik menangkap senjata lontaran atau jarak jauh seperti lembing, panah, malah terbil. Menangkap lembing dan anak panah yang dilontarkan oleh musuh adalah salah satu kemahiran tertinggi yang harus ada pada seorang pengamal Lua. Raja Kamehameha dikatakan mampu untuk menangkap sebanyak 12 batang lembing yang dilemparkan kepada beliau. Saya pasti teknik menagkap lembing ini juga ada dalam silat Melayu kerana saya pernah terbaca mengenai ilmu menangkap rejaman lembing dengan mata tertutup dalam silat Melayu. Selain sebagai seni beladiri, Lua juga sering dipraktikkan oleh golongan elit Hawaii sebagai satu cara untuk mendisiplinkan diri, menyihatkan badan dan membentuk keperibadian sepertimana dalam seni silat. Selain itu Lua turut mengandunngi sejenis teknik tenaga dalaman dan senaman khusus bagi mengumpul tenaga ghaib yang dinamakan ‘Mana’. Konsep Mana hampir sama dengan konsep Chi dalam amalan Tai Chi dan Chi Qung.

 
Latihan menangkap lembing.


Sehingga hari ini seni beladiri Lua sebenarnya sudah semakin pupus. Kepupusan ini bermula sejak kemasukan para mubaligh-mubaligh kristian yang memperkenalkan agama Kristian kepada masyarakat Hawaii pada 1820. Malahan sebahagin besar kebudayaan tradisional Hawaii hampir punah disebabkan hal yang sama. Dikatakan juga faktor lain yang turut menyumbang kepada kepupusan seni beladiri ini adalah dengan kemasukan senjata api yang dibawa oleh penjajah barat. Charles Kenn seorang ethnographer barat telah berjaya mengumpulkan cebisan-cebisan yang masih tinggal daripada seni Lua ini dan beliau dikatakan telah mengajarkan teknik-teknik rahsia Lua kepada seorang pengamal Jujitsu Hawaii. Sekitar 1960 an Kenn kemudian mengajarkan pula Lua kepada Jerry Walker dan dari situ Walker telah cuba mengembangkannya kembali sehingga sekarang. Walaupun Lua semakin pupus namun legasi Lua sebagai sebuah seni beladiri lagenda masih berlegar dikalangan masyarakat Hawaii hingga sekarang sepertimana segarnya lagenda Hang Tuah dengan kehebatan silatnya dalam masyarakat Melayu. Malahan banyaknya persamaan diantara amalan Lua dengan amalan silat Melayu membuatkan saya terfikir adakah kedua-dua seni beladiri ini datang dari akar yang sama atau ianya secara kebetulan? Wallah hu a'lam.


Dapat disimpulkan bahawa kewujudan Lua sebagai satu seni beladiri yang terasing jauh dari sebarang pengaruh seni beladiri utama dunia seperti dari China mahupun India, menunjukkan bahawa sesebuah masyarakat itu walau terasing juga mampu untuk menghasilkan satu seni beladiri hebat dengan kreativiti dan kepandaian lokal mereka sendiri tanpa perlu bergantung kepada ilmu dari tamadun luar. Hal yang sama juga mengukuhkan lagi pendapat yang mennyatakan bahawa silat itu adalah seni beladiri asli hasil ciptaan masyarakat nusantara. Jika masyarakat yang jauh daripada tamadun lain seperti di kepulauan pasifik mempunyai seni beladiri unik dan tersendiri yang terbentuk secara insitu, mengapa tidak seni beladiri masyarakat Melayu? Dalam beratus-ratus aliran silat yang wujud di Malaysia, Brunei, Thailand dan Indonesia saya pasti hanya beberapa buah sahaja yang mempunyai akar dari seni beladiri bangsa luar dan selebihnya adalah hasil ciptaan masyarakat tempatan sendiri. Sekian. Wallah hu a’lam.
~ASJ~

Sabtu, 10 Mei 2014

BANGSA MELAYU HINDU-BUDDHA.



SUKU TENGGER YANG BERAGAMA HINDU



Saya runsing dengan masyarakat Malaysia zaman sekarang ini terutamanya dengan sikap segelintir daripada keturunan kaum imigran yang selalu sahaja membuat onar dengan menidakkan kewujudan sejarah Melayu kuno Hindu-Buddha. Mereka sangat susah untuk menerima hakikat bahawa rumpun Melayu pada zaman kuno pernah menganuti agama Hindu mahupun Buddha. Mungkin ini disebabkan kelemahan sistem pendidikan kita sebelum ini. Sampai bila gamaknya kami perlu terangkan kepada anda semua bahawa Hindu itu tidak semestinya anutan orang India dan Melayu itu tak semestinya beragama Islam. Bagi masalah ini kita harus ketepikan dahulu takrif Melayu dalam perlembagaan yang agak sempit itu, kerana 1000 tahun dahulu negara Malaysia dan perlembagaannya masih belum wujud.
Jika anda bertemu seseorang yang bernama Mohammad adakah anda akan mengecam bahawa dia seorang Melayu atau Arab, sedangkan orang kulit putih, orang negro Afrika dan orang China juga ada bernama Mohammad jika mereka beragama Islam? Malahan jika seseorang itu bernama Arab juga belum pasti bahawa mereka beragama Islam kerana wujud masyarakat Arab yang beragama Kristian dan Yahudi tetapi menggunakan nama dalam bahasa Arab seperti Jamal, Razak, Jamil, Abu Sufian, Musa, Isa dan Salman. Oleh itu adalah tidak berasas jika anda mengatakan bahawa seorang raja Malayu yang bernama Parameswara sebagai seorang yang berbangsa India, kerana selain daripada namanya, tiada bukti lain yang menunjukkan bahawa beliau berbangsa India. Nama sahaja belum dapat menentukan bangsa seseorang.
 
Ya, beliau mungkin beragama Hindu dan menggunakan gelaran Hindu, namun ini belum cukup membuktikan yang beliau berasal dari India atau berbangsa Tamil. Jika beliau memang berasal dari India atau berbangsa Tamil, mengapa tidak dikekalkan budaya, bahasa dan ciri-ciri keindiaan atau Tamilmya? Mengapa bila Islam datang tup-tup terus lenyap bahasa, tulisan dan ciri-ciri tamilnya raja itu. Macam magic la pulak! Sedangkan kaum Tamil Muslim yang wujud di India dan Malaysia pun masih mengekalkan bahasa, tulisan dan kebudayaan Tamil mereka sejak zaman berzaman dan disesuaikan dengan ajaran Islam. Jika anda kata raja tersebut telah ‘Masuk Melayu’ atau jadi Melayu kerana agama Islam, bagi saya alasan ini juga tidak munasabah kerana pada zaman tersebut rajalah yang paling berkuasa dan dijadikan contoh serta ikutan rakyat bukan sebaliknya raja yang perlu ikut cara hidup rakyat, tak ke pelik tu?
 
MASYARAKAT HINDU BALI
Kalau beliau seorang Tamil atau berasal dari India, beliauboleh saja mencorakkan orang Melayu mengikut corak budayanya sendiri seperti mewajibkan pemakaian sari, yang lelaki pakai doti, tulisan dan bahasa rasmi adalah dalam Tamil dan senibina rumah serta rumah ibadat juga senibina India selatan. Namun hakikatnya semua itu tidak berlaku kerana Parameswara dan lain-lain raja Malayu yang beragama Hindu dan bernama Hindu atau Sanskrit bukan berbangsa India tetapi MELAYU, walaupun memang terdapat dari kalangan mereka yang berkahwin dengan wanita dari bangsa India.
SUKU HINDU OSING DENGAN TARIAN TRADISI MEREKA.

Masih lagi tidak mahu percaya? Masih lagi bingung dengan gambaran yang orang Melayu sebelum kemasukan Islam adalah beragama Hindu atau Buddha? Baiklah, sebenarnya kalau anda mahu lihat bagaimana cara atau amalan kepercayaan Hindu dan Buddha masyarakat Melayu pada zaman kuno, anda boleh lihat dengan mudah di Jawa Timur, Bali, Thailand dan Kemboja. Di Jawa Timur masih wujud sekelompok kecil masyarakat Jawa yang masih mengekalkan ajaran Hindu zaman Majapahit. Mereka adalah suku etnik Osing dan Tengger. Kedua-dua suku ini bersama suku Bali dan sedikit daripada suku Sasak adalah saki baki masyarakat rumpun Melayu dari cabang etnik Jawa yang masih mengekalkan adat, budaya dan kepercayaan zaman kerajaan Hindu yang terkenal di nusantara yakni Mojopahit.
 
PERAYAAN KEAGAMAAN SUKU OSING

Suku Osing dan Tengger misalnya dikatakan berasal daripada keturunan putera-putera Majapahit yang tidak mahu memeluk agama Islam pada kurun ke-16. Bilangan mereka adalah kira-kira 400,000 orang dan mereka tnggal di daerah Banyuwangi di Jawa Timur. Walaupun telah wujud ramai daripada suku ini yang memeluk agama Islam, namun Islam yang mereka amalkan bukanlah Islam murni sebaliknya Islam Abangan atau Islam yang bercampur ajaran Hindu dan nenek moyang. Agama Hindu yang diamalkan mereka juga berbeza dengan ajaran Hindu di India kerana  ia turut bercampur amalan animism dan pemujaan nenek moyang, agama Hindu mereka dinamakan Hindu Thirta atau Hindu Dharma. Budaya Osing dan Tengger juga serupa dengan budaya Bali, dan penganut Hindu Osing dan Tengger merayakan perayaan Hindu yang sama dengan di Bali. Jadi jika kita mahu melihat bagaimana orang Melayu zaman dahulu mengamalkan ajaran Hindu, maka lihat sahaja pada suku-suku ini. Malahan kerajaan Hindu Jawa Timur iaitu Blambangan wujud sehingga tahun 1743 sebelum ditawan kerajaan Islam Mataram. Orang-orang Hindu yang lari daripada penguasaan Mataram inilah yang kemudiannya bermukim di Bali, Lombok dan Bayuwangi lalu membentuk kelompok etnik Bali, Tengger dan Osing.
 
PURA ATAU KUIL HINDU SUKU TENGGER BERDEKATAN GUNUNG BROMO. SENIBINANYA KHAS NUSANTARA ATAU SENIBINA JAWA MAJAPAHIT.

Lihat juga pada kesenian, pakaian, senibina, makanan malah adat istiadat serta amalan keagamaan suku Osing, Tengger dan Bali yang lansung tidak sama dengan apa yang diamalkan oleh masyarakat Hindu di India. Dengan kata lain agama Hindu yang diamalkan masyarakat rumpun Melayu ini bukan lagi agama Hindu murni tetapi agama Hindu yang telah diubahsuai mengikut local genius masyarakat tempatan yang tepu dengan kepercayaan animisme serta pemujaan roh nenek moyang, jadi ia tidak lagi boleh dikatakan berpaksi kepada tamadun India sebaliknya ia adalah tamadun yang mempunyai ciri khas yang tersendiri dan hanya asasnya sahaja yang diambil dari tamadun India. Perbezaan yang paling ketara ialah pada senibina kuil-kuil Hindu di Bali dan Lombok yang sangat jelas unsur-unsur local geniusnya, dan ia lansung tidak boleh disamakan dengan kuil-kuil Hindu di India apatah lagi di India selatan. Itu belum lagi jika saya menerangkan mengenai satu lagi kaum minotriti dalam rumpun Melayu yang masih kuat mengamalkan ajaran yang berasaskan Hindu iaitu Melayu Cham Balamon di Kemboja dan Vietnam. Mereka ini masih mengekalkan ajaran Hindu yang bercampur ajaran tradisional yang diwarisi dari kerajaan purba Champa. Merekalah Pembina Cham Tower yang indah serta unik binaannya tidak sama seperti binaan yang terdapat di India.
SENIBINA PURA ATAU KUIL HINDU DI BALI JUGA MENUNJUKKAN KEARIFAN LOKAL DAN TIDAK BERPANDUKAN CIRI SENIBINA INDIA.
 
 
 
Analogi mudah ialah seperti masakan Kari Kepala Ikan yang amat terkenal di Malaysia dan Singapura. Walaupun Kari itu asalnya dari India, namun Kari Kepala Ikan tidak dicipta di India tetapi sebaliknya ia dicipta di Malaysia atau Singapura mengikut citarasa masyarakat tempatan. Oleh itu kita tidak boleh kata yang Kari Kepala Ikan sebagai masakan warisan dari India, walaupun tukang masaknya mamak India, kerana ia dicipta di Nusantara oleh kehendak masyarakat dan selera nusantara dan bukan India. Begitulah juga dengan amalan dan kebudayaan Hindu-Buddha yang diamalkan oleh masyarakat Melayu pada zaman dahulu serta suku etnik Osing, Tengger dan Bali sekarang. Analogi lain ialah tentang Laksa, walaupun dunia mengiktiraf bahawa bangsa China lah yang mencipta mee, namun masakan Laksa tidak boleh dikatakan sebagai masakan asli milik kaum Cina, kerana kuahnya dan rencahnya malah cara memasaknya adalah khas bercitarasa tempatan dan dicipta oleh orang tempatan. Oleh sebab itu tiada sebab mengapa orang India mahu mengklaim Kari Kepala Ikan atau orang Cina mahu klaim Laksa sebagai milik bangsa mereka…J

PENDITA BRAHMIN SUKU TENGGER SEDANG MELAKUKAN RITUAL. JELAS KITA DAPAT LIHAT CARA BERPAKAIAN PENDITA BRAHMIN HINDU NUSANTARA JUGA BERBEZA DENGAN BRAHMIN DI INDIA.
 
 
Itu jika anda mahu lihat bagaimana amalan agama Hindu masyarakat rumpun Melayu zaman sebelum Islam. Jika anda ingin lihat bagaimana masyarakat Melayu zaman tersebut mengamalkan ajaran Buddha pula anda tak perlu fikir jauh-jauh hingga ke Sri Lanka atau Nepal, lihat sahaja jiran kita Thailand, Kemboja, Burma dan Laos. Boleh dikatakan sebahagian besar kerajaan-kerajaan Melayu kuno di Semenanjung dan Sumatera adalah penganut ajaran Buddha seperti kerajaan Chih Tu, Srivijaya, Gangganegara, Tambralingga, Kedah Tua, Kantoli, Pan-Pan, Langkasuka dan beberapa buah lagi kerajaan lain. Walaupun kerajaan-kerajaan ini dikatakan mengamalkan ajaran Buddha, namun ia juga bukanlah semurni ajaran asal Buddha seperti yang pernah diamalkan di Nepal dan India. Sebaliknya seperti juga ajaran Hindu, ia telah bercampur dengan amalan pagan, animism dan pemujaan nenek moyang. Malahan terdapat juga percampuran unsur-unsur Hindu seperti keberadaan kasta Brahmin dalam golongan istana sepertimana yang dicatatkan utusan dari dinasti Han ketika mereka melawat Chih Tu, sebuah kerajaan Melayu Buddha yang dipercayai terletak di pedalaman Kelantan.

SAMI BUDDHA THAI MENGAMALKAN YANT ATAU SAKYANT IAITU BERTATU YANG DIKATAKAN BOLEH MENAIKKAN SEMANGAT ATAU SERI SESEORANG. AMALAN INI BUKAN AJARAN ASAL BUDDHA.
Seperti yang telah disebutkan tadi, ajaran Buddha yang diamalkan oleh masyarakat Melayu purba juga banyak diselitkan unsur-unsur tradisional dan animisme. Kita boleh meneliti hal ini jika kita mengkaji ajaran Buddha yang diamalkan di Thailand pada hari ini. Walaupun Thailand dikatakan mengamalkan ajaran Buddha Theravada, namun terdapat banyak unsur-unsur tempatan yang terpatri dan terpancar pada amalan dan ritualnya. Di Thailand dan Burma walaupun mereka menyembah Buddha tetapi mereka turut menyembah ‘Nat’ atau dewa-dewi alam serta roh nenek moyang. Malahan amalan membina ‘rumah makan hantu’ di hadapan rumah mereka dan ritual pemberian ancak dan bunga bukanlah amalan Buddha asli sebaliknya amalan tradisional masyarakat Asia Tenggara termasuk juga masyarakat Melayu kuno.
 
Amalan pemberian persembahan pada hantu, roh, busut dan pokok besar ini sudah sebati dalam kalangan masyarakat tempatan dan ia tidak berubah sebaliknya terasimilasi dengan ajaran Hindu mahupun Buddha apabila ia diperkenalkan di Asia Tenggara. Contoh lain ialah amalan sihir dukun Tok Cha atau tok sami di Thailand. Dalam ajaran asal Buddha tidak wujud upacara sihir dan jampi serapah dan sebagainya, tetapi amalan ini adalah sinkretisme dari amalan tradisi orang-orang Asia tenggara. Sami-sami Melayu zaman dahulu bukan sahaja mentelaah kitab-kitab Buddha tetapi turut menjadi dukun atau bomoh yang mengubati pelbagai penyakit terutama yang bersifat supra natural. Malah di Thailand sekarang masih wujud amalan pemakaian cacah atau tattoo bermantera yang dilakukan oleh sami-sami Buddha. Ternyata amalan ini tidak wujud pada ajaran asal Buddha.
 
INI ADALAH SPIRIT HOUSE ATAU RUMAH KERAMAT YANG KITA BOLEH LIHAT TERDAPAT DI TEMPAT-TEMPAT TERTENTU SAMAADA DI SIMPANG JALAN MAHUPUN DIHADAPAN RUMAH SESEORANG. IA ADALAH TEMPAT UNTUK MENJAMU ROH ATAU HANTU.

Mengapa saya banyak mengambil contoh Thailand? Hal ini kerana Thailand masih mewarisi legasi kebudayaan Buddha zaman Melayu kuno terutama zaman Srivijaya atau lebih dikenali sebagai Siweechai dalam bahasa Thai. Selain itu sebahagian daripada wilayah tengah hingga selatan Thailand juga pada zaman kuno adalah dibawah pengaruh kerajaan Melayu Srivijaya. Oleh sebab itu pengaruh Melayu zaman kerajaan Buddha Srivijaya boleh digambarkan sekiranya kita melihat pada budaya tradisi masyarakat Thai malahan Khmer pada hari ini kerana kerajaan Khmer juga pernah bernaung dibawah kekuasaan kerajaan-kerajaan Melayu seperti Funan, Champa dan Srivijaya.
Seperti yang kita sedia maklum kerajaan Buddha yang paling kuat, besar serta terkenal di seluruh nusantara adalah kerajaan Srivijaya. Nama atau gelaran raja-raja Srivijaya jika dilihat secara kasar sangat tepu dengan pengaruh India atau lebih tepat sebenarnya pengaruh Sanskrit dan Pali. Namun demikian terdapat bukti yang kukuh bahawa mereka bukanlah dari bangsa India, antaranya ialah nama raja terawal Srivijaya yang pernah dicatatkan iaitu Dapunta Hyang Sri Jayanasa. Dapunta Hyang adalah gelaran yang tiada pada mana-mana raja India kerana ia bukan berasal daripada bahasa Sanskrit apatah lagi Tamil, sebaliknya ia adalah gelaran khas terhadap raja-raja Melayu purba. Antara nama-nama Maharaja Srivijaya yang lain ialah seperti Sri Indravarman, Rudra Vikraman, Sri Dharmasetu, Samaratungga, Balaputradewa, Sri Udayadityavarman,  Sri Chulamanivarman, Mara Vijayatungga Varman Serta Sagrama dan Samara Vijayatungga Varman.

Ya, nama-nama ini berunsur keindiaan atau sebenarnya berunsur Pali serta Sanskrit. Namun mereka bukanlah berbangsa India! Buktinya adalah daripada prasasti-prasasti yang dipahat oleh raja-raja Srivijaya ini seperti prasasti Kedukan Bukit 683 M, prasasti Talang Tuwo, 684 M, prasasti Kota Kapur 686 M, prasasti Karang Berahi, prasasti Telaga Batu, prasasti Palas Pasemah, prasati Hujung Langit, prasasti Sojomerto dan prasasti Gandasuli serta beberapa buah lagi prasasti lain yang bertebaran dari Sumatera hingga ke Jawa. Kesemua prasasti ini bukan ditulis dalam bahasa Hindustan, Punjabi, Gujarati, Benggali, Malayali, Telugu mahupun Tamil, sebaliknya ia ditulis dalam bahasa Melayu kuno yang bercampur dengan peminjaman kosakata Sanskrit tulin. Anda boleh Google sahaja tentang prasasti-prasasti ini dan baca bait-baitnya maka anda akan sedar bahawa ia memang bahasa Melayu yang bercampur Sanskrit dan bukan bahasa Tamil, Malayali atau Punjabi.


SEBELUM MASUKNYA PENGARUH AGAMA HINDU MAHUPUN BUDDHA DI ALAM MELAYU INI MASYARAKAT RUMPUN MELAYU TELAHPUN MEMPUNYAI KETAMADUNAN YANG TINGGI. BUKTINYA ADALAH PADA BINAAN MEGALITIK BERUNSUR STEP PIRAMID YANG TERDAPAT DI GUNUNG PADANG, INDONESIA.
Orang Melayu kuno bukanlah orang bodoh yang hanya tinggal di gua dan memburu di hutan. Mereka pintar dan kreatif, mereka tidak meniru mentah-mentah ilmu yang datang dari India. Mereka meniru agama dari India tetapi mereka mencorakkan serta membangunkan agama serta tempat ibadatnya dengan kretiviti tempatan bernuansa nusantara. Huruf pallava India pula dimodifikasi menjadi huruf Jawa kuno dan Melayu kuno. Bahasa Melayu kuno juga ditambah dengan kosa kata dari bahasa sanskrit yang pada suatu masa dahulu menjadi bahasa internasional. Peminjaman kosakata dari Sanskrit bukanlah perkara yang asing dikalangan masyarakat Asia tenggara, kerana selain masyarakat Melayu, masyarakat Thai, Laos, Khmer dan Burma juga banyak meminjam atau mencedok bahasa Sanskrit dan Pali ke dalam bahasa mereka.
CANDI BOROBUDUR BINAAN KERAJAAN MELAYU SRIVIJAYA DINASTI SAILENDRA TERSENARAI SEBAGAI SALAH SEBUAH  BINAAN PIRAMID TERHEBAT DUNIA. ADAKAH WUJUD BINAAN YANG SAMA TARAF DENGAN BOROBUDUR DI INDIA?


Oleh itu jelas disini bahawa hujah yang mengatakan bahawa kerajaan-kerajaan Hindu Buddha yang wujud di nusantara ini adalah kerajaan suku kaum India dan bukan milik kaum rumpun Melayu adalah salah sama sekali. Ternyata pihak yang mengeluarkan hujah begini adalah buta sejarah atau memang sengaja mahu membangkitkan sensitiviti orang Melayu dengan menidakkan ketamadunan bangsa Melayu. Mereka cuba meracun masyarakat Melayu dengan cara meracun akarnya iaitu sejarah bangsa Melayu. Jika mereka mahu hidup dengan harmoni seperti yang digembar-gemburkan, tidak sepatutnya mereka memutarbelitkan sejarah masyarakat bumiputra. Seharusnya mereka menghormati dan menerima seadanya kelebihan yang ada pada kaum pribumi dan bumiputra yang paling awal membina tamadun dan kerajaan di tanah bertuah ini.
 
 Apa tidak cukupkah dengan sejarah tamadun bangsa mereka di tanah asal nenek moyang mereka hinggakan sejarah ketamadunan bangsa rumpun Melayu juga ingin dibaham dan dihak milikan oleh mereka? Bagaimana jika kami orang Melayu memperkotak katikkan sejarah bangsa anda? Bagaimana kalau kami kata yang bahasa Tamil itu tidak wujud dan tamadun Chola itu hanya dongeng pak kaduk dan orang-orang India sebenarnya tidak pernah mempunyai tamadun apatah lagi kerajaan yang hebat? Amacam? Tentu anda berasa marah, geram dan menyampah bukan? Begitulah perasaan kami orang Melayu apabila sejarah tamadun bangsa kami cuba di pertikaikan. Sekian. Wallah Hu a’lam.
 ~AL SEMANTANI JONES~

Rabu, 23 April 2014

MELAYU ITU BUKAN BANGSA?


 

 


Salam kepada pembaca yang budiman sekalian. Saya pelik dan hairan dengan sikap sesetengah individu yang mengatakan bahawa kami yang cuba untuk mendedahkan dan membangkitkan semula kecintaan terhadap sejarah Melayu sebagai bersikap perkauman serta tali barut pihak tertentu atau dari parti politik tertentu. Adakah dengan menulis mengenai sejarah bangsa Melayu atau memperjuangkan nasib dan hak orang Melayu boleh dianggap sebagai perkauman atau mengikut telunjuk mana-mana pihak berkepentingan? Bagi saya ini adalah pandangan yang cetek dan jumud, pandangan orang-orang yang mindanya sudah tepu dengan inferiority complex dan teori konspirasi yang pelik-pelik. Boleh jadi juga pihak yang berpendirian sedemikian adalah pihak yang takut dengan kebangkitan dan kesedaran masyarakat Melayu akan sejarah dan hak mereka sebagai penduduk asal Alam Melayu.

 

Bagaimana jika bangsa anda dihina, dikeji, dituduh dengan pelbagai tuduhan yang menjelikkan dan sejarahnya diputar belitkan untuk kepentingan pihak tertentu? Adakah anda akan membiarkannya dan melihat sahaja sambil membutakan mata, menulikan telinga dan membisukan mulut sebab tidak mahu dituduh perkauman? Ini lah masalah orang Malayu kita, kita sentiasa beranggapan bahawa melihat atau mendengar sahaja tanpa berbuat apa-apa atau mengambil sebarang tindakan itu lebih baik dan satu contoh diplomasi dan toleransi. Tetapi toleransi juga ada hadnya, bukan semua harus kita tolerate dan biarkan. Lagipun mengapa harus orang Melayu sahaja yang bertoleransi dan berdiplomasi tetapi bangsa atau etnik lain dibiarkan dengan lantang memuntahkan segala pertuduhan dan fitnah kepada bangsa dan agama kita? Kita juga ada maruah! Jangan jadikan bangsa kita sebagai bangsa yang dayus dan pasif yang hanya tahu menerima dan tidak tahu mempertahankan maruah sendiri.

 


Jika kita tidak mahu membela dan mempertahankan sebarang hak milik kaum atau bangsa kita, lebih baik tidak berbangsa, bersuku atau berkeluarga sekalipun, mungkin anda boleh tinggal seorang diri di hutan belantara. Adakah kita mahu senasib dengan kaum Red Indian di Amerika dan kaum asli Australia yang tiada hak keatas tanah nenek moyang mereka sendiri, tiada hak untuk memerintah, tidak dapat bersaing dalam ekonomi dan pendidikan malah dengan senang dipindahkan dan ditempatkan kemana-mana sahaja yang disukai oleh kerajaan yang diperintah kaum pendatang. Akibatnya warisan budaya, bahasa, sejarah dan ketamadunan mereka hampir pupus sama sekali.

 

Maaf jika nada tulisan saya berbunyi agak kasar, tetapi saya bukanlah berniat untuk menyudutkan atau membenci mana-mana kaum lain selain Melayu. Cuma saya rasa tersentak dan terhina apabila ada pihak tertentu yang mahu menidakkan kewujudan bangsa Melayu di bumi Melayu ini. Sehinggakan dikata bahawa bangsa atau ras Melayu itu hanya khayalan dan Melayu itu hanya nama bahasa dan bukan ras atau bangsa. Malah ada juga yang percaya dengan hujah bahawa Melayu itu adalah nama tempat atau wilayah dan bukan nama bangsa.

 


Masih ramai juga yang tidak faham perbezaan diantara bangsa dengan nationality atau kewarganegaraan. Sebenarnya saya sudah pun menyentuh mengenai hal ini dalam artikel saya yang lepas. Negara dan wilayah kekuasaan boleh berubah beribu kali, anda juga boleh mengubah kerakyatan anda berjuta kali, namun bangsa, etnik dan ras anda tidak akan berubah. Kalau anda seorang Melayu, berpindah ke USA atau  UK, walaupun anda gosok seluruh badan dan muka anda dengan tawas dan berus dawai sekalipun, wajah atau ciri-ciri fizikal anda tidak akan bertukar menjadi seperti orang eropah atau Caucasian. Anda boleh menukar taraf kewarganegaraan anda samaada untuk menjadi Singaporean, Indonesian mahupun American. Tetapi yang nyata ciri-ciri fizikal kurniaan tuhan yang ada pada anda dan DNA anda tidak akan berubah.

 

Negara atau wilayah kekuasaan boleh jatuh dan bangun berkali-kali, tetapi bangsa, etnik mahupun ras yang membinanya tidak akan berubah kecualilah kalau berlakunya penghapusan etnik! Pendek kata bangsa dan ras itu ciptaan tuhan tetapi kewarganegaraan atau kerakyatan itu adalah ciptaan manusia. Kalau masih lagi ada yang berpegang dengan hujah bahawa nama bangsa itu berasal dari nama negara atau tempat, sila jelaskan mengapa di Kalimantan ada Melayu, di Sumatera ada Melayu malah di Indochina dan Semenanjung ada Melayu, malah orang Brunei pun mengaku sebagai bangsa Melayu Brunei dan bukan etnik atau suku Brunei. Jika Melayu itu hanya nama tempat atau wilayah mengapa pemerintah dan pembesar kesultanan Melaka menggelar diri mereka sebagai orang atau bangsa Melayu dan bukan bangsa Melaka? Buktinya boleh dibaca di dalam Sulalatus Salatun kitab Sejarah Melayu. Bangsa Parsi juga pernah memiliki berpuluh-puluh kerajaan silih berganti sepanjang zaman seperti kerajaan Parthia, Median, Achaemenid, Sassanid, Safavid dan sekarang Iran, namun bangsa mereka tetap sama dan tidak berubah iaitu bangsa Parsi.





Perlu juga difahami bahawa Melayu itu terbahagi kepada dua kelompok di Malaysia iaitu, Melayu anak dagang dan Melayu anak jati. Melayu anak dagang ialah Melayu yang datang dari luar Malaysia seperti orang Banjar, Jawa, Bugis dan sebagainya. Manakala Melayu anak jati ialah Melayu yang memang sudah wujud di Semenanjung Tanah Melayu sejak beribu tahun dahulu seperti Melayu Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan beberapa lagi. Sebelum kerajaan Moloyu atau Malayu di Sumatera wujud, sudah ada kerajaan-kerajaan Melayu di sekitar Semenanjung seperti kerajaan Chih Tu, Gangga Negara, Langkasuka dan Kedah Tua.

 

Dalam Prasasti Matari Singa Jaya Hikmat yang ditulis sekitar kurun ke 13 jelas terpampang perkataan bangsa Melayu …’Matari Singa Jaya Mat, Dari Ratu, Lami Lami Bangsa Malayu...'. Maka kalau Melayu itu tidak wujud, mengapa dalam prasasti tua ini serta kitab Sejarah Melayu tertulis nama sebuah bangsa yang bernama Melayu? Adakah bangsa ini turun dari langit atau datang dari planet Zargus? Terpulanglah kepada anda semua bagaimana anda mahu menyimpulkannya. Apa yang nyata perbezaan pendapat dan pandangan itu adalah perkara biasa dan sebagai seorang yang waras dan berfikiran terbuka saya menghormati pandangan lain yang bertentangan dengan pandangan serta pendapat saya, namun jangan sesekali putarbelitkan sejarah bangsa saya untuk kepentingan peribadi atau kelompok tertentu. Sekian, wallah hu a’lam.

~ASJ~

Khamis, 10 April 2014

BOMOH WANITA PENGARANG KITAB


Terung Putih.


Salam kasih dan sayang saya ucapkan kepada semua pembaca, hari ini saya hendak berkongsi dengan anda mengenai kisah seorang wanita Melayu yang agak istimewa. Wanita ini bolehlah dianggap sebagai salah seorang penulis wanita Melayu awal.  Wanita ini dipercayai telah lahir di Pulau Penyengat, Riau pada tahun 1885. Namun demikian asal usulnya masih kabur dan besar kemungkinan beliau adalah orang biasa atau rakyat marhaen sahaja dan bukan wanita bangsawan atau bak kata orang dulu-dulu ‘orang berada-ada’. Hal ini adalah salah satu sebab yang menjadikan  beliau ‘special’ berbanding tokoh wanita Melayu lain dalam sejarah yang semuanya para bangsawan ataupun kerabat diraja. Riwayat hidup beliau hanya diketahui setelah beliau berkahwin dengan seorang lelaki yang berada pada zaman tersebut iaitu Raja Haji Abdullah bin Raja Hassan sebagai sterinya yang keempat. Wanita ini bernama ‘Khatijah Terung’J.


Pulau Penyengat, pada pinggir abad ke 19 muncul sebagai pusat budaya, sastera dan bahasa Melayu yang terulung di Alam Melayu. Kehebatan pulau ini  sukar ditandingi tempat-tempat lain daripada segi bilangan penulis, jumlah karya dan kepelbagaian isi kandungan karya, lebih-lebih lagi pembaharuan yang dibawa beberapa orang penulisnya. Daripada segi jumlah terdapat lebih kurang 137 buah karya daripada kira-kira 70 orang penulis. Perkembangan ini sebenarnya ada kaitan dengan pengaruh dari keluarga bangsawan terkenal dan bapa pembaharuan kesusasteraan Melayu yang sebenar iaitu Raja Ali Haji( bukan si mamak kuli British Abdullah Munsyi), selain peranan yang dimainkan Kelab Rusydiah, payung seni dan budaya Riau dari tahun 1895 hingga 1905 .

 
Keadaan ini juga telah membolehkan munculnya golongan penulis-penulis wanita dan munculnya pengarang berbentuk feminis yang cuba memperjuangkan hak wanita. Dari perkembangan inilah yang mungkin telah memberikan inisiatif untuk Khatjah Terung menghasilkan karyanya yang bertajuk Himpunan Gunawan Bagi Laki-Laki dan Perempuan, sebuah karya yang memaparkan tema yang agak kontroversi pada zaman tersebut. Namun demikian kepesatan perkembangan penulisan dan kesusasteraan di pulau ini mula berubah sekitar  awal tahun 1910-an  berikutan banyak bangsawan dan penulis Pulau Penyengat melarikan diri ke tempat lain, akibat pergolakan politik antara kerajaan Belanda dengan kerajaan Melayu Johor -Riau-Lingga yang berpusat di pulau itu.

 

Walaupun dalam dunia sastera beliau dikenali sebagai seorang pengarang, namun bagi para penduduk di Pulau Penyengat yang sempat hidup sezaman dengannya beliau lebih dikenali sebagai seorang dukun atau bomoh. Dia adalah “ public figure” dan kerap diundang ke majlis perkahwinan. Kehadiran beliau di majlis tersebut penting bukan sahaja untuk menyerikannya, tetapi juga dapat mendinding raja sehari daripada dikacau orang halus, polong dan hantu, maka majlis itu dapat berjalan dengan lancar. Khatijah menjadi lebih terkenal setelah berkahwin dengan Raja Haji Abdullah bin Raja Hassan, cucu kepada Raja Ali Haji (1809-1872), antara tahun 1908 dan 1911, ketika berusia antara 23 hingga 26 tahun. Perkahwinan itu adalah kali yang kedua baginya kerana dia pernah berkahwin dengan seorang tukang gunting rambut sebelum itu. Perkahwinannya dengan Raja Haji Abdullah telah membuat orang ramai di Pulau Penyengat memberi perhatian lebih kepadanya, sekaligus mengubah kedudukan sosialnya walaupun dia hanya isteri nombor empat.



Mengapa gamaknya seorang bangsawan terpelajar dan berketurunan bangsawan seperti Raja Haji Abdullah ingin berkahwin dengan seorang bomoh wanita seperti Khatijah Terung?  Al kisahnya ialah kerana, Raja Haji Abdullah juga sebenarnya seorang tabib yang pandai dalam selok belok ilmu Supranatural dan ingin mengetahui kehebatan sebenar ilmu polong, pengasih, tangkal dan lain-lain yang dipunyai Khatijah. Sebab kedua adalah kerana, Khatijah mempunyai bakat menulis, mengarang, berpantun, bergurindam, bersyair, selain tahu bahasa Arab. Ketiga kerana, Khatijah pandai memasak, menekat dan menjahit dan pandai mengambil hati Raja Haji Abdullah, yang jauh lebih tua daripadanya. Dan yang terakhir adalah kerana, hubungan mereka sebenarnya telah berputik sejak Khatijah menjadi orang gaji di rumah Cik Yam, isteri ketiga kepada Raja Haji Abdullah lagi.



Dengan mengahwini Raja Haji Abdullah, Khatijah Terung dapat memanfaatkan bahan bacaan di perpustakaan milik suaminya sebelum ia terbakar pada malam tujuh likur bulan Ramadhan tahun 1923. Kesempatan membaca kitab tentang ilmu dan petua, termasuk bahan bacaan tentang gender dan seksualiti dari Eropah telah memberi ilham kepada Khatijah untuk membukukan ilmunya. Penulisan petua itu juga dipengaruhi penulisan pengarang wanita yang lain, lebih-lebih lagi kebebasan dan keberanian yang ditunjukkan Raja Aisyah Sulaiman dan juga Raja Kalzum. Selain itu, mungkin Khatijah Terung telah mendapat galakan daripada suaminya untuk mengarang.

 
Foto 'Katy Brinjal' ketika usia emasnya...:).

Sebelum kita teruskan mengenai Khatijah Terung , ada moleknya kita tahu serba sedikit latar belakang suaminya Raja Haji Abdullah. Beliau terkenal sebagai tabib yang pakar dalam ilmu rohani dan pukau, dan termasyur dengan nama timangan: Engku Haji Lah. Perkara lain yang menarik pada Raja Haji Abdullah ialah dia pernah dilantik sebagai hakim landard dan kadi syariah. Walaupun  jawatan yang pertama itu disandangnya cuma beberapa tahun, tetapi telah membuatnya dikenali sebagai hakim. Setelah dihantar ke timur tengah untuk melanjutkan pelajaran, penguasaannya ke atas bahasa Arab membolehkannya menterjemah dan mengadaptasikan karya-karya sastera Arab ke dalam bahasa Melayu. Dia juga pandai berbahasa Perancis dan Belanda.

 
Pendek kata, dia mempunyai banyak bakat, maka boleh dikatakan seorang yang serba boleh malah sesuatu yang amat luar biasa bagi masyarakat Melayu pada zaman tersebut. Hal ini membuktikan bahawa jika anak Melayu itu diberi peluang yang sama rata untuk mendapatkan pendidikan yang secukupnya terutama pada zaman penjajahan British, sudah pasti ratusan atau ribuan cendekiawan Melayu yang bijak pandai dapat dilahirkan. Ternyata ungkapan Melayu mudah lupa, pemalas dan lembab itu hanya satu propaganda busuk dari pihak penjajah untuk melemahkan semangat anak Melayu. Jika Raja Haji Abdullah yang hidup sekitar abad ke 19 boleh melakukannya mengapa tidak anak-anak Melayu sekarang?



Tetapi, ada sesuatu yang pelik tentang perangai Raja Haji Abdullah ini sebagai seorang Kadi dan juga muslim umumnya.  Selain daripada mengarang, melukis dan mengukir, membuat patung juga adalah perkara biasa bagi hakim dan kadi yang berjiwa seni, tetapi adalah agak kontroversial apabila dia didapati menampal gambar wanita Eropah telanjang yang dikerat daripada bahan bacaan dari Eropah, malah telah melukis alat kelamin wanita dalam karyanya. Model wanita bogel dan yang menunjukkan buah dada yang menjadi objek utama seni lukis dan ukir di Eropah sejak zaman Renaissance itu boleh didapati dalam Cempaka Putih dan Pahlawan Ferhad, dua buah karya daripada Raja Haji Abdullah. Namun yang peliknya pula beliau juga tidak meninggalkan karya berunsur agama atau undang-undang, dan telah mewariskan kepada kita sembilan buah karya tentang tatabahasa Melayu, karya sastera kreatif terjemahan/ saduran dan juga karya ilmu perubatan.

 
Baiklah, mengenai nama Khatijah Terung mungkin ada yang berasa lucu dengan nama tersebut dan mungkin juga ada yang berotak kuning akan memikirkan ‘terung’ mempunyai kaitan dengan sesuatu yang bersifat seksual atau lucah. Sebenarnya menurut seorang sejarawan dari UKM, nama terung itu sebenarnya lekat pada Khatijah kerana dia dikatakan mempunyai kulit yang putih dan licin sepertimana kulit terung susu. Namun demikian sebenarnya jika anda merasakan bahawa gelaran ‘Terung’ itu ada makna yang tersirat mungki juga ada benarnya, ini kerana Khatijah memang terkenal dengan ilmu pengasih serta ilmu yang melibatkan hubungan seksual.


Hal ini terpampang jelas dalam karyanya Himpunan Gunawan Bagi Laki-Laki dan Perempuan. Diantara ilmu-ilmu yang diturunkan dalam kitab beliau yang berkaitan hubungan kelamin  adalah, ilmu pengasih, ilmu menguatkan tubuh suami, ilmu membuat suami tertarik kepada isteri, ilmu membuat jimak yang menyeronokkan, petua menahan air mani supaya tidak cepat keluar, petua mengeraskan anggota suami, bagaimana membuat suami setia kepada isteri, petua memanggil suami untuk bersetubuh,  petua menjamu selera pusara puki  dan bagaimana wanita membuat dirinya cantik dipandang. Khatijah Terung menyatakan ilmu-ilmu itu didapatinya daripada banyak guru, termasuk Wan Mah dan apa yang tertulis hanyalah sedikit daripada segala ilmu yang ada padanya.

 
Walaupun secara keseluruhannya kitab itu lebih berupa panduan kepada perempuan untuk membuat lelaki atau suami merasa berahi, tetapi ia bukanlah sebuah karya lucah atau porno. Tidak kira apa juga lah pandangan kita terhadapnya, mungkin inilah kali pertama seorang pengarang wanita Melayu abad ke 19 yang meluahkan secara terus terang apa yang boleh mereka lakukan untuk membuat lelaki merasa teransang dan sayang kepada mereka. Kelantangan dan keberanian Khathijah Terung untuk mengetepikan Taboo atau larangan masyarakat ketika itu dalam membicarakan hal-hal berkaitan hubungan kelamin, keinginan dalaman, fantasi dan rasa berahi wanita dianggap sebagai sesuatu yang mendahului zamannya dan agak luar biasa terutama bagi seorang wanita Melayu abad ke 19 yang masih terkenal dengan sifat kemelayuannya. Keberanian itu mungkin disebabkan galakan daripada suaminya sendiri, Raja Haji Abdullah, seorang tokoh yang dihormati dan mendapat pendidikan barat selain pendidikan keagamaan.

 
Apa yang dilakukan oleh Khatijah ini bukan sahaja sesuatu yang amat baru bagi masyarakat Melayu, tetapi juga dalam masyarakat barat pada abad ke 19 yang kaum wanitanya masih belum begitu bebas dan terbuka untuk meluahkan keinginan dalaman serta fantasi seksual mereka dalam penulisan. Dalam karyanya itu, dia telah menunjukkan lebih daripada 20 cara untuk mencapai keseronokan dan kasih sayang yang diingini dalam hubungan seksual. Mesej yang tersirat ialah hubungan seksual bukanlah aktiviti yang dikuasai lelaki sahaja, tetapi juga perlu dimulakan oleh wanita.

 
Namun demikian dalam penulisannya dia sering menggambarkan dirinya sebagai “sentiasa di dalam dukacita dan murung”. Perasaan itu mungkin disebabkan dia kesunyian, kerana selalu ditinggalkan suaminya yang selalu sibuk dengan kerja, sentiasa berlayar dan ditambah lagi kerana dia adalah isteri yang keempat, tambahan pula dia mungkin ditakuti orang lain kerana ilmu bomohnya dan juga kerana dia tidak mempunyai anak.Oleh sebab itu, dia mengisi masa lapangnya dengan mengarang Himpunan Gunawan untuk meluahkan apa yang dirasai dan diingininya, selain menyampaikan ilmu yang dipunyai.


Dapat disimpulkan disini bahawa dengan penulisan karya tersebut Khatijah Terung telah menempatkan dirinya dalam suatu ruang yang tersendiri dalam kesusasteraan Melayu Riau, yang lansung berbeza dengan pengarang lelaki dan wanita Melayu yang lain, termasuk Raja Ali Haji sendiri, ini kerana karya ini dikarang khas oleh seorang wanita dan ditujukan pula kepada wanita. Oleh sebab Khatijah Terung adalah satu-satunya pengarang wanita Melayu yang berani dan berterus terang dalam menulis mengenai perkara yang pada amnya cuba dielakkan pengarang wanita yang lain kerana taboo atau kekangan masyarakat, tidaklah keterlaluan jika dikatakan dia adalah pengarang wanita yang amat istimewa dan lain daripada yang lain.Sekian wallah hu a'lam.
~ASJ~

Khamis, 6 Mac 2014

MELAYU MALAYSIA ATAU MELAYU INDONESIA?


 


Salam kepada semua pembaca. Terlebih dahulu saya ingin meminta maaf kerana telah agak lama tidak menulis, sebenarnya saya berehat seketika kerana masalah kesihatan. Hari ini saya ingin memperkatakan mengenai isu lama yang saya rasa masih belum selesai dan masih ramai yang keliru dan tidak faham iaitu isu siapa sebenarnya yang dimaksudkan dengan bangsa Melayu samaada di Malaysia atau di Indonesia menurut pandangan saya sebagai penulis blog ini. Ada sesetengah individu yang tidak puas hati dengan saya kerana katanya saya menyudutkan suku-suku nusantara yang lain sebagai Melayu di dalam penulisan saya , malah ada yang mengatakan saya sengaja memalsukan sejarah suku lain untuk menaikkan nama Melayu!

 

Sebenarnya Malaysia mahupun Indonesia bukanlah sebuah bangsa, walaupun ada usaha untuk memelaysiakan seluruh bangsa yang wujud di negara ini, namun hakikatnya bangsa itu adalah berbeza dari Negara. Sesiapa sahaja yang bernaung dibawah negara disebut sebagai Nasionality atau warganegara. Tidak tepat rasanya bila disebut sebagai bangsa Indonesia atau bangsa Malaysia bagi pendapat saya. Bangsa/race /Ras merupakan satu garis keturunan dengan ciri fizikal dan genetik yang sama dan berasal dari satu daerah yang sama dan mempunyai budaya dan bahasa yang sama .Lalu dikelompokkan lagi menjadi ratusan suku sakat. Negara pula adalah teritorial .Tidak ada satupun negara didunia ini bertahan ribuan tahun. Yang ada dan bertahan beribu tahun adalah bangsa yang sama membuat teritori atau negara baru silih berganti.

 

Sebuah negara atau kerajaan boleh berpecah beribu kali. Namun sesebuah bangsa tetap sama dan tidak berubah. Anda boleh menukar kewarganegaraan sebanyak seribu kali pun, namun ciri-ciri fizikal dan genetik anda tidak akan berubah menjadi ciri bangsa lain, misalnya kalau anda berpindah menjadi warganegara Amerika, mati hidup semula pun, kulit anda tidak akan bertukar menjadi seperti seperti Tom cruise atau Brad pitt.  Walaupun anda berkahwin dengan bangsa lain, secara automatik anak anda akan membawa percampuran genetik. Biasanya anak anda akan kelihatan mempunyai unsur percampuran kedua-dua bangsa. Dalam erti kata lain, bangsa adalah ciptaan Tuhan, manakala Negara dan kewarganegaraan adalah ciptaan manusia.



Jadi apakah nama bangsa besar kita di Asia Tenggara ini? Para pebaca sekalian, kita sebenarnya  dikelompokkan sebagai The "Malay Race" atau Ras Melayu dengan ciri fizikal yang sama dan berasal dari daerah atau kawasan yang sama. Bangsa Melayu meliputi seluruh kepulauan Indonesia dan Semenanjung kecuali Melanesia di Papua dan Ambon yang merupakan percampuran dengan suku Melanesia. Ras Melayu merupakan penghuni atau pribumi di Semenanjung Malaysia, Singapura, Borneo termasuk Brunei, Sebahagian Vietnam, Sebahagian Kemboja, dan di setalan Thailand.

 

Mengapa disebutkan sebagai sebahagian dari Kemboja, Vietnam dan hanya Selatan Thailand? Mengapa tidak disebut Asia Tenggara secara keseluruhan? Kerana wilayah orang Melayu yang pernah wujud di Thailand dari Pattani hingga ke Ayuthia telah ditakluki oleh bangsa Tai. Kerajaan-kerajaan Melayu di Kamboja serta Vietnam telah jatuh ketangan bangsa Khmer dan Viet. Ingat!! sejarah selalunya adalah milik pemenang. Malangnya di tempat-tempat ini orang Melayu telah kalah dengan teruknya dan berhijrah ke selatan ataupun berasimilasi dengan bangsa yang menjajah mereka.

 


Bangsa ini juga mempunyai ratusan suku, bahasa serta dialek. Bahasa kelompok Ras ini digolongkan kedalam kelompok Astronesian Language. Kemudian dikelompokkan lagi menjadi lebih kecil sesuai dengan kemiripan bahasa serta budaya. Kalau dikembangkan lagi, Orang  Austronesia ini termasuklah orang-orang  Hawaii, Madagaskar dan banyak lagi. Perbezaan bahasa serta loghat diantara ras Melayu itu adalah wajar dan perkara biasa. Sesebuah kampung yang berbeza jarak 10 km pun boleh berbeza  loghat serta beberapa sebutan.

 

Jika di Timur tengah ada Tanah Arab, Asia Tengah ada Tanah Cina, Asia Tenggara pula disebut sebagai "Malay Archipelago".  Mengapa bangsa kita disebut sebagai Malay race? Dan mengapa pula kepulauan Asia Tenggara ini disebut sebagai "Kepulauan Melayu"? Mengapa tidak disebut sebagai bangsa Jawa dan kepulauan Jawa atau kepulauan Minang atau kepulauan Bugis? Tolong jangan salahkan suku-suku  cabang Melayu ye! Kami tak mintak pun nama ras kami diagungkan sebegitu rupa, dah orang memberi kami menerima la.  Sebenarnya para Sejarawan, Arkeologis dan, Anthropologis lah yang memberikan nama keramat tersebut. Namun ini bukan bermakna sebelum para sejarawan dan pengkaji ini menamakan wilayah ini sebagai kepulauan Melayu bermakna bangsa yang bernama Melayu itu tidak wujud.  Sebenarnya nama Melayu itu sendiri diambil oleh mereka dari catatan-catatan sejarah yang telah wujud sejak beribu tahun dahulu. Malah kerajaan bernama Malayu pernah wujud di Sumatra semasa eropah masih di zaman gelap.

 


Nama “Malay Race” tersebut juga diberikan oleh mereka atas alasan yang kuat. Jauh sebelum wujudnya kerajaan Jawa Majapahit di Pulau Jawa, Raja-raja yang menggelarkan diri mereka sebagai orang Melayu telah wujud sejak abad pertama masihi. Melayu itu dinamik, Patah tumbuh hilang berganti, wujud di satu negeri, lalu jatuh dan muncul pula di negeri yang lain. Sebab itu adanya pantun, kalau roboh kota Melaka papan di Jawa didirikan dan pepatah dari Hang Tuah Takkan Melayu hilang di dunia. Kalau kita lihat peta, Malay Peninsula meliputi negara-negara  seperti Singapura, Semenanjung Malaysia hingga ke perbatasan Burma. Tetapi mengapa disebut Semenanjung Melayu pula? Kerana di sepanjang Semenanjung ini pernah bertaburan kerajaan-kerajaan Melayu baik kecil mahupun besar. Misalnya Temasek, Johor, Melaka, Kedah Tua, Pahang, Langkasuka, Pattani , Champa, Chihtu, Grahi, Gangga Negara dan banyak lagi.

 


Oleh kerana itu selepas ini saya berharap agar tiada lagi yang mempesoalkan penulisan saya jika saya menulis mengenai  suku-suku Nusantara yang lain seperti Banjar, Jawa, Minang, Bugis ataupun Aceh kerana bagi saya mereka semua itu adalah dari Ras yang sama iaitu Ras Melayu dalam erti kata yang lebih luas dan bukan sekadar satu suku yang wujud di daerah tertentu sahaja. Tujuan saya bukan untuk menyudutkan mana-mana suku samaada dari Indonesia mahupun Malaysia tetapi sekadar mahu berkongsi dan mengembangkan ilmu sekelumit yang saya ada. Malahan saya sendiri mempunyai darah keturunan campuran diantara suku-suku Ras Melayu seperti Banjar, Bugis, Pattani dan Aceh. Oleh itu saya juga berhak untuk menulis mengenai sejarah suku-suku rumpun ini untuk tatapan bersama. Saya berharap supaya tidak ada pihak yang berasa hati dengan penulisan-penulisan saya dan saya memohon maaf sekiranya penulisan saya  yang lepas-lepas ada menyentuh sensitiviti sesetengah pihak. Sekian . Wallah hu a’lam.