Salam kepada pembaca
semua. Saya pasti anda tertunggu-tunggu untuk terus mengetahui rahsia bangsa Naga.
Dalam artikel bahagian kedua ini kita akan lihat dengan lebih mendalam lagi
peranan yang dimainkan bangsa ini di benua India dan apa kaitan seterusnya
dengan rumpun Melayu Nusantara. Sebelum itu cuba kita baca apa yang ditulis
oleh David Hatcher Childres, seorang pengkaji dan pengembara bebas:
‘…salah satu bangsa yang tertua di Asia Tenggara adalah satu
bangsa yang dipanggil Naga iaitu bangsa pelaut yang menjalankan kegiatan
perdagangan dengan perahu atau kapal yang berbentuk menyerupai kapal Naga
puak-puak Viking…’
David menyangka bahawa
puak ini berasal dari India. Namun seperti yang kita tahu, leluhur puak ini
berasal dari Sundaland dan semasa banjir besar leluhur mereka termasuk dalam
bahtera Nabi Nuh. Dari tempat bahtera ini mendarat mereka kemudian secara
beransur-ansur pulang mencari tanah asal. Keturunan anak Nabi Nuh yakni Ham, meneruskan
perjalanan ke timur hingga membentuk bangsa-bangsa di Sind dan Hind termasuk
bangsa Dravidian seperti Tamil serta bangsa Sino-Tibetan dan Austroasiatik
manakala segolongan daripada keturunan Ham yang mahir akan ilmu kelautan telah
meneruskan perjalanan ke Nusantara dan lautan Pasifik lalu membentuk bangsa
Austronesian atau Melayu-proto. Seperti yang saya jelaskan sebelum ini Hind
bukan sahaja benua India tetapi juga Nusantara.
Seperti yang
diriwayatkan Ibnu Thabari bahawa dalam kapal Nabi Nuh selain anak dan menantu
baginda terdapat 80 orang pengikut yang lain. Mereka yang bersama Ham berhijrah
ke timur dan membentuk suku-suku berbahasa Austrik dan Dravidian seperti Tamil
yang mendiami zaman awal India yang digelar sebagai bangsa Raksasa, Yaksha dan
Asuras manakala puak yang digelar puak Naga pula adalah keturunan anak Ham yang
mewarisi tradisi pelayaran dari nendanya Nabi Nuh menjadikan mereka sebagai bangsa
pelaut handal Austronesia atau Melayu Proto yang pada zaman awal bukan sahaja
terdapat di Nusantara tetapi juga di India seperti dalam petitih-petitih Hindu
kuno. Oleh sebab itu para anthropology yang membuat kajian tentang bangsa awal
India mendapati bahawa orang Austronesia, Sino-Tibetan dan Austro-asiatic
pernah tinggal di benua India bersama orang Dravidian, ini kerana mereka semua
adalah dari keturunan anak-anak Ham. Setelah kedatangan keturunan anak Yafits
yang berbudaya Aryan dari tanah besar Parsi maka mereka tertolak ke timur dan
selatan. Inilah yang berlaku kepada anak-cucu Nabi Nuh yang berbalah sesama
mereka hingga kini tak sudah-sudah.
Perlu saya ingatkan
disini bahawa nama Naga yang diletakkan pada kaum ini bukanlah bermakna mereka
menyembah makhluk tersebut pada zaman Ham. Jika ini berlaku bermakna kaum ini
termasuk dalam golongan kafir dan ingkar kerana Nabi Nuh menurunkan ajaran
Tauhid kepada anaknya. Mungkin pada zaman tersebut kaum ini masih belum
dipanggil bangsa Naga dan ada nama lain bagi mereka yang tidak kita ketahui. Dari
mana dan bila kaum ini mula dipanggil Naga juga adalah menjadi misteri. Berkemungkinan
juga bangsa ini mula ingkar akan ajaran tauhid dan mula menggunakan simbol Naga
laut sebagai lambang mereka pada zaman berikutnya tetapi itu hanya Allah yang
tahu. Yang pasti keturunan Ham yang berbangsa Austronesia inilah yang masih
ingat akan peristiwa banjir besar dan menurunkan kisah tersebut kepada anak
cucu mereka yang masih wujud hingga kini. Keturunan Ham yang ini jugalah
kemudiannya bersambung Nasab dengan Nabi Ibrahim keturunan anak Sam apabila
baginda berkahwin dengan Keturah yang merupakan keturunan Ham. Nampaknya
kesemua keturunan anak-anak Nabi Nuh akhirnya bertemu dan bercantum juga di
sini.
Di India kaum yang
dinamakan Naga ini pernah membina pusat-pusat keagamaan dan kerajaan di seluruh
wilayah yang mereka duduki. Ini termasuklah pembinaan kerajaan Kashi dekat
Ganges, Kashmir di utara dan Nagpur di tengah India. Dikatakan juga puak Naga
ini turut mendiami bandaraya-bandaraya purba Mohenjo-Daro dan Harappa di lembangan sungai Indus. Mereka juga
menubuhkan pelabuhan perdagangan di sekitar Lautan Arab bagi menjalankan
perdagangan antarabangsa dengan menggunakan duit cowrie sebagai bahan
pertukaran. Penggunaan duit cowrie adalah bukti bahawa mereka adalah
Austronesian, sepertimana yang pernah saya sebutkan dalam artikel mengenai
bangsa Sumeria sebelum ini.
Daripada kajian yang dibuat,
wujud dua kelompok masyarakat yang tingal di selatan India pada zaman kuno.
Masyarakat ini dipanggil dalam dialek tempatan sebagai Villavar yang bermaksud pemanah atau pemburu dan satu kelompok
masyarakat lagi adalah Minavar yakni
golongan nelayan. Dua kelompok masyarakat ini hidup dengan aman di
lembah-lembah yang subur dan juga di kawasan pesisiran pantai. Namun demikian
menurut petitih-petitih kuno dari selatan India dua kelompok masyarakat yang
mendiami selatan India ini akhirnya ditakluk oleh sebuah masyarakat yang jauh
lebih bertamadun dari mereka yang dinamakan mereka sebagai bangsa Naga.
Jika Villavar dan Minnavar ini benar-benar
wujud berkemungkinan mereka bangsa Dravidian manakala bangsa Naga bertamadun
yang menyerang mereka itu adalah bangsa Austronesian yang berkemungkian dari
utara dan sudah bergaul dengan golongan keturunan anak Yafits yang melahirkan
puak-puak bertamadun dan berbahasa Avestan. Sebab itu para pengkaji kaum Naga
ini tidak bersetuju sekiranya ada pengkaji lain yang mengatakan bahawa kaum Naga
ini adalah orang Dravidia tempatan yang merupakan nelayan, kerana sememangnya
mereka bukan berasal dari selatan India sebaliknya datang dari luar.
Menurut kajian juga,
kaum Naga lah yang mentamadunkan kaum Tamil, ini bermakna kaum Austronesia
lebih bertamadun dari anak cucu Ham yang melahirkan bangsa Tamil. Setelah kaum Naga
ini secara misteri hilang dari selatan India kaum Tamil mengambil alih
pemerintahan di selatan India dan mula menubuhkan kerajaan Cholas, Padyan dan sebagainya.
Menurut catatan petitih kuno Tamil, kaum Naga adalah sebuah kaum pahlawan yang
amat menggerunkan dan mereka telah berperang dengan kaum Naga sejak beratus
tahun untuk cuba membebaskan diri daripada cengkaman mereka. Menurut Kasanakabhai
seorang pengkaji India, akibat daripada peperangan yang berterusan ianya telah
membentuk sifat ganas kepada masyarakat Tamil hingga hari ini yang suka
memberontak.
Lagi bukti bahawa kaum
ini adalah kaum Austronesia adalah, di dalam kitab Ramayana kaum ini juga
disebut sebagai kaum pemakan kelapa atau
coconut eater people. Hal ini menunjukkan bahawa mereka adalah kaum
Austronesia kerana seperti yang kita tahu kelapa berasal dari kawasan kepulauan
Asia Tenggara dan kelapa juga amat banyak kegunaannya kepada kaum Austronesia
sejak beribu-ribu tahun. Dalam catatan literature Tamil kuno ada menyebut
tentang sebuah puak dalam golongan orang Naga ini yang dipanggil sebagai Eyinar.
Dalam hikayat Tamil purba ini yakni Chillap
Athikaram dinyatakan bahawa dalam banyak-banyak puak Naga, puak Eyinar
adalah yang paling gasar dan ganas berbanding puak lain.
Menurut hikayat itu lagi pekerjaan utama puak
ini rata-ratanya adalah melaga kerbau,
menjarah harta orang lain dan merompak serta membunuh puak-puak lain. Yang
menariknya mereka dikatakan menyembah dewi pemusnah Kali pada zaman tersebut.
Mereka juga sering mengorbankan kerbau untuk dewi tersebut. Seperti yang telah
dikaji oleh kebanyakan sejarawan Asia Tenggara diketahui bahawa pengorbanan
kerbau adalah salah tanda penting yang menunjukkan bahawa mereka ini adalah
kaum Austronesia. Hal ini kerana sehingga sekarang masih banyak puak-puak
Austronesia yang mengamalkan pengorbanan kerbau untuk dewa dewi mereka dan
dalam upacara seperti kematian dan ritual-ritual agama lama.
Sebenarnya penyembahan Dewi Kali
bukanlah berasal daripada tradisi Vedic, malahan ianya telah wujud sebelum
kedatangan agama Vedic lagi dan dipercayai ianya dibawa masuk dari luar. Hal
ini ditambah lagi dengan hakikat bahawa masyarakat Austronesia sejak dahulu
kala lagi adalah bersifat matriliniel dan kebanyakan dewa mereka adalah wanita.
Kesemua bukti ini menunjukkan adanya pengaruh kosmologi Austronesia yang
melebihkan jantina kaum hawa. Kewujudan kaum Naga di India juga mempunyai
kaitan rapat dengan budaya megalitik atau batuan besar. Di dapati bahawa
kebanyakan daripada kaum Naga ini menyembah batu-batu besar dan juga
sumber-sumber mata air sebelum kedatangan orang Tamil. Seperti yang kita tahu
tradisi menhir dan kewujudan batu-batuan besar adalah amat banyak dikalangan
masyarakat Austronesia di seluruh kepulauan Melayu dan Polinesia.
Setelah orang Tamil yang dikatakan berjaya
mengalahkan dan menjadikan mereka orang kelas bawahan, mereka hilang dari benua
India dan yang tinggal sekarang hanyalah saki baki mereka yang berada di timur utara
India yang dikenali dengan kaum Naga serta Munda. Namun demikian puak ini tidak
lagi bertutur dalam bahasa Austronesia kerana mereka telah terlalu lama
terpisah dengan kaum kerabat dan nenek moyang mereka yang berbahasa Austronesia
setelah beribu tahun ditolak jauh dari kawasan laut oleh puak-puak lain.
Sekarang puak ini bertutur dalam bahasa Tibeto-Burma yang dipengaruhi oleh
kawasan dimana mereka duduki sekarang yakni berdekatan dengan Burma.
Dalam epik Ramayana
bangsa Naga tidak dianggap sebagai bangsa yang barbarik dan asing tetapi
sebaliknya sebagai sebahagian daripada bangsa bertamadun Baratha Hindu. Menurut
pengkaji hal ini berkemungkinan berlaku apabila ajaran-ajaran vedik yang dibawa
masuk kaum berbahasa dan budaya Aryan dari tanah besar Iran mula menyerap dalam
kaum Naga dan terdapat sekelompok dari mereka menerima agama baru tersebut. Pernyataan yang mengatakan bahawa puak Naga
memang bertamadun dan bukan kaum gasar dalam Ramayana ini bertepatan dengan
catatan dari epik dan petitih kuno kaum Tamil. Dalam Mahabrata ada menyebut tentang
sebuah kerajaan Naga yang terpaksa diperangi oleh kaum Aryan sebelum menguasai India.Ini
membuktikan yang bangsa Naga telah ada awal sebelum kemunculan bangsa yang
berbudaya Aryan.
Dalam Mahabrata dinyatakan
bahawa terdapat seorang putera raja bernama Janamejaya yang menghidupkan api
korban yajna bagi tujuan mnghapuskan kaum Naga. Hal ini adalah untuk membalas
dendam akan kematian ayahnya Pariksit yang dibunuh seorang raja Naga bernama Taksaka. Namun Taksaka terselamat dari
sumpahan api korban tersebut kerana diselamatkan oleh seorang pendita bernama Astika yang juga merupakan anak seorang
Naga dari sebelah ibunya. Apa yang lebih menarik bahawa Astika dibesarkan oleh
keluarga sebelah ibunya yang menunjukkan wujudnya amalan matriacle yang merupakan
amalan orang Austronesia. Amalan menyerahkan pendidikan anak-anak kapada kaum keluarga
sebelah ibu sama seperti amalan sesetengah kaum di Sumatra barat
Para pengkaji mengatakan bahawa, mengenai kaum
pemakan kelapa yang disebut dalam Ramayana dan kaum Naga, berkemungkinan mereka
adalah kaum yang sama. Berkemungkinan kaum pemakan kelapa adalah kaum Austronesia
terawal yang lebih primitive manakala kaum Naga pula lebih bertamadun. Menurut Hornell
seorang antropologis yang mengkaji bentuk tengkorak orang-orang India
menyatakan bahawa terdapat sekelompok kaum India yang mempunyai tengkorak mirip
kaum Polinesia berbanding Dravidian. Dia menganggap mereka ini adalah hasil perkahwinan
campur dengan kaum Naga.
Dalam petitih kuno Sri
Lanka turut wujud kaum yang bernama Naga ini. Menurut para pengkaji sejarah Sri Lanka,
sebelum wujudnya kaum Aryan, pulau ini didiami oleh dua kaum yakni Yaksha dan Naga. Catatan pengembara China Faxian juga ada
menyalin semula petitih kuno ini pada tahun 413 masihi. Menurut catatan Faxian
pada mulanya pulau ini tiada manusia selain daripada Naga dan hantu atau raksaksa.
Raksaksa atau yaksha ini menurut pengkaji adalah kaum Austro Asiatic dan Tibeto
Burma *( mengikut kajian yang dibuat oleh Puan Zaharah Sulaiman daripada Ikatan Arkeologi Malaysia berkemungkinan kaum Yaksya ini juga adalah kaum Malanesia Tua yang berhijrah dari Afrika dan membentuk suku Wedda atau Veda yang wujud di India dan Sri Lanka hari ini) manakala Naga adalah Austronesia. Dalam puisi Manni Mekalai Tamil ada
menyebut dengan jelas bahawa Naga juga adalah panggilan kaum-kaum selatan India
terhadap orang laut, atau seaboaters
serta nomad laut yang banyak terdapat di perairan laut Hindi dan selat
Melaka.
Puisi Mani Mekkalai juga secara specific
menyatakan bahawa kaum Naga juga dipanggil sebagai CAVAKAM! Ini jelas menunjukkan bahawa Bangsa Naga sebenarnya adalah orang Austronesia atau Melayu Nusantara. Seperti yang kita
tahu terma ini pada suatu ketika dahulu digunakan oleh orang di selatan India
untuk merujuk kepada orang Melayu dan lain-lain suku rumpun Melayu yang tinggal
di sekitar Semenanjung, Sumatera dan pulau Jawa serta Borneo.
Epik Mahabrata ada
menyebut bahawa pulau yang didiami oleh bangsa Naga adalah bernama Ramaniyaka. Perkara
ini mungkin boleh dikaitkan dengan sebuah tempat di semenanjung yang dinamakan Rammanadesa atau Land Of The Mon. Di dapati
juga bahawa terdapat kesan-kesan wujudnya tamadun awal masyarakat Austronesia
di sekitar Martaban dan leher Semenanjung Tanah Melayu, adakah kawasan yang
bernama Reman ada kaitan dengan
tempat ini? Dikatakan juga di sekitar Martaban terdapat kesan-kesan tamadun
yang sezaman dengan tamadun Banchiang di Thailand. Cara pengebumian dan
penghasilan besi serta alat pengebumian juga adalah selari dengan lain-lain
tempat di seluruh Asia Tenggara yang terdapat tanda-tanda tamadun awal
Austronesia contohnya di Palawan Filipina.
Sebenarnya keberadaan orang
Austronesia di benua India bermula lebih daripada 1000 tahun sebelum masihi
lagi dan kali terakhir ialah di Sri Lanka sekitar 400 sebelum masihi. Salah satu perkara yang dapat membuktikan hal ini adalah terdapat
satu budaya yang memberi pengaruh terhadap ajaran keagamaan Hindu orang-orang
di benua India yakni penghormatan terhadap pohon beringin. Sebenarnya
penghormatan terhadap pokok Bodhi dan pohon beringin dalam agama Hindu berasal
dari amalan orang Melayu Austronesia. Anda bisa dengar sendiri lagu yang sangat
popular dalam drama klasik Bawang Putih Bawang Merah lakonan seniwati Latifah
Omar ketika Bawang Merah bermain buaian. Antara lirikya berbunyi…pohon beringin,
tegaknya tinggi, kalau rendah menyapu bumi, pohon beringin, daunya rendang,
akar berjalur mencakar bumi, pohon beringin daunnya rendang tempat bermain pari dan mambang.
Dalam masyarakat Melayu lama pohon beringin
adalah pohon yang dianggap keramat. Sejak zaman kuno lagi pohon ini dijadikan
tempat untuk memuja dan membuang ancak atau memberi sembahan kepada penunggu
pohon. Jika kita dengar cerita-cerita seram dari datuk dan nenek kita pasti
pohon beringin mejadi salah satu bahan cerita kerana menurut mereka di pohon
ini banyak hantunya. Malah masyarakat Melayu Proto dan sebahagian dari
masyarakat rumpun Melayu di Indonesia sekarang masih menghormati pohon ini. Ini
adalah antara contoh berlakunya pertembungan budaya diantara masyarakat
Auostronesia atau bangsa Naga dengan puak-puak Dravidian di India.
Jadi apakah yang dapat
kita simpulkan dari perbincangan kita ini? Satu daripadanya ialah kita sudah
mendapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa bangsa Naga sebenarnya adalah
Austronesia atau Rumpun Melayu Nusantara. Kedua, kita dapat tahu yang bangsa Austronesia
yang datang dari Sundaland pernah berkuasa di tanah India suatu ketika dahulu
selepas banjir Nuh dalam proses apa yang disebutkan oleh Puan Zaharah Sulaiman sebagai Repopulation of Humankind setelah pupusnya manusia awal berkemungkinan dari keturunan anak-anak Adam yang lebih awal seperti Nabi Syits dan Qabil yang pernah disebutkan Ulama silam bahawa telah berhijrah ke wilayah timur tengah termasuk Mesir . Dan yang ketiga, tradisi penyembahan dan penghormatan
terhadap Naga laut adalah ekslusif bagi masyarakat Tamadun Sundaland yang
bermula dari Polinesia dan Mesoamerika hinggalah ke Madagaskar serta Mesir di
tanah besar Afrika.
Sebenarnya misteri
bangsa ini masih lagi banyak dan kajian demi kajian masih perlu dilaksanakan.
Jika sebelum ini kita tertanya-tanya siapakah yang dimaksudkan dengan Raja dan Puteri Naga di dalam epik-epik kuno Khmer, Melayu, dan Champa,
maka sekarang kita tahu bahawa penceritaan epik-epik tersebut bukanlah dogeng
dan karut semata-mata sebaliknya mempunyai seribu satu rahsia yang perlu kita
bongkar. Seperti yang telah saya jelaskan dalam artikel sebelum ini. Untuk kita
memahami hikayat-hikayat dan prasasti-prasasti Melayu lama yang banyak
menggunakan simbolisme seperti Naga, Raksasa, Gergasi, Garuda dan Hantu
jembalang maka kita perlu mempunyai pemikiran yang terbuka. Terbuka bukan
bermaksud taksub, sebaliknya menganalisa mengikut batas agama kita.
Sebenarnya
makhluk-makhluk yang disebut di dalam petitih-petitih kuno tersebut adalah
manusia biasa yang telah dipropagandakan sifat dan sikap mereka dalam bentuk
yang para-normal. Tujuannya adalah untuk melebih-lebihkan sifat mereka bagi
pandangan masyarakat pada zaman tersebut. Yang jahat digambarkan tersangatlah
jahat sehingga menjadi Syaitan dan Monster
manakala yang baik digambarkan tersangatlah baik hingga mencapai taraf dewa
dewi. Namun saya tidak menolak bahawa kepercayaan mereka yang menyembah Naga
laut ini mungkin berasal dari pengalaman segelintir dari kaum Austronesia ini
yang pernah melihat makhluk misteri tersebut. Berkemungkinan makhluk misteri
yang dinamakan Naga ini pernah wujud suatu ketika dahulu ataupun ianya adalah
jelmaan Jin sepertimana yang dilihat oleh seorang nenek pada zaman banjir besar
tahun 70-an dahulu, hanya Allah yang tahu.
Seperti biasa ingin saya
ingatkan agar para pembaca sekalian tidak
terlalu taksub dengan pandangan dan kandungan artikel yang saya sediakan
ini. Segala perbincangan ini masihlah lagi dalam peringkat teori dan hipotesis.
Oleh itu anda bebas untuk menerimanya
ataupun tidak, saya hanyalah penyampai sahaja dan saya tidak boleh dan
tidak akan memaksa anda untuk berpegang dengannya. Sekian, Wallah hua’lam.
Bibliografi
1.
David Hatcher Childress, Ancient Tonga & the Lost City of
Mu’a.
2.
Jesse Walter Fawkes, Hopi Snake Ceremonies: An
eyewitness account by Jesse Walter Fawkes, Selections from the Bureau of
American Ethnology Annual Reports Nos. 16 and 19 for the year 1894-95 and
1897-98.
4.
Cyrus H. Gordon, Before Columbus: Links Between the Old World and
Ancient America (New York: Crown Publishers, Inc., 1971), pp. 54-67.
5.
Thor Heyerdahl, Aku-Aku: The Secret of Easter Island.
6.
The sun and the serpent: a contribution to the history of serpent-worship
By Charles Frederick Oldham.
7.
Una
Vision del Mundo, Prof. G. Zapata Alonzo, Merida, Mexico, 1994.
8.
Maya-Hindu
Connection, Dr. B. N. Narahari Achar. www.hinduismtoday.com.
9.
www.hinduwsdom.org.