Kawasan Selat Mozambique yang menghubungkan Benua Afrika dengan Pulau Madagaskar.
Buku-buku sejarah dunia selalu
mengagung-agungkan Columbus, Magellan, Captain Cook dan lain-lain pelayar serta
penjelajah barat sebagai The First
atau The Greatest dari kalangan
penjelajah dalam sejarah. Tetapi tahukah anda, ternyata piawaian mereka ini
adalah jauh ketinggalan dari para pelaut Nusantara. Mungkin bagi anda yang
kurang mentelaah mengenai kehebatan dunia maritim nenek moyang kita akan berasa
ragu-ragu dengan apa yang saya ingin sampaikan. Tetapi tidak mengapa, kerana
walau anak bangsa kita sendiri tidak tahu betapa hebat dan luasnya tamadun
maritim bangsa kita, ada banyak lagi para penyelidik dari luar yang tahu dan
yakin mengenainya. Apa yang mahu saya
paparkan ini sebenarnya telah ramai yang tahu, namun pada pendapat saya ada
moleknya saya mengulang semula untuk yang belum tahu.
Kehebatan ilmu pelayaran bangsa
Nusantara sebenarnya tidak boleh dipersoalkan lagi. Dan keberadaan bangsa
Austronesia di seluruh pelusuk dunia adalah bukti yang tak tertulis. Menurut James
Hornell dalam penulisannya, terdapat bukti kewujudan suku Austronesia di
selatan India pada zaman kuno . Georgio Bucallati pula dalam kajiannya terhadap
Cengkih di Syria mendapati bahawa rempah tersebut telah digunakan sejak tahun 3,700
SM, dan Julian Reade pula telah menjumpai rangka kambing atau Bebiri yang
berasal dari Timur Tengah yang berusia sangat langka di Nusantara. Segala
penemuan ini membuktikan bahawa sememangnya bangsa Melayu telah terlibat dalam
aktiviti perdagangan laut jarak jauh yang menjangkau sehingga ke Timur Tengah
malah Afrika. Jumpaan Cengkih di Syria yang berusia beribu tahun mengukuhkan
lagi hal ini kerana Cengkih adalah rempah yang hanya dapat diperolehi di pulau
Maluku sahaja.
Pelaut Melayu Nusantara pastinya pernah singgah di setiap pelabuhan kuno yang terdapat dalam peta di atas termasuklah di Laut Merah. Tiada halangan untuk mereka berbuat demikian sekiranya mereka mampu untuk ke Madagaskar dan Afrika.
Saya pernah menyentuh mengenai
pengaruh Melayu Nusantara di Madagaskar
dalam artikel saya terdahulu. Tetapi tak terfikirkah anda, jika bangsa kita
mampu berlayar hingga ke Madagaskar adakah terdapat sebarang halangan untuk
mereka terus berlayar hingga ke pantai-pantai di sepanjang benua Afrika? Sudah
tentu tiada sebarang halangan bukan? Malah sudah tentu tiada halangan untuk
mereka bermain-main di lautan sekitar semenanjung Tanah Arab dan berdagang di
pelabuhan-pelabuhan di sepanjang Yaman malah hingga ke pelabuhan milik para
Firaun Mesir di Lautan Merah. Adalah mustahil satu bangsa pelaut hebat yang
menguasai lautan seluas lautan Hindi tidak mampu untuk mengharungi laut Merah.
Saya yakin para wakil dagang Raja Perehu pernah berkunjung ke
pelabuhan-pelabuhan yang dikuasai Ratu Hatshepsut. Lautan adalah tempat mainan
mereka, jika bangsa lain mengaggap lautan adalah pemisah dan halangan namun
bagi bangsa Melayu Nusantara lautan adalah penghubung atau jalan raya yang
boleh membawa mereka kemana sahaja yang mereka mahu.
Sebenarnya pelaut-pelaut Nusantara
sudah menjejakkan kaki di benua Afrika
sejak abad ke-5 M lagi atau mungkin juga lebih awal. Jauh sebelum bangsa Eropah
mengenal Afrika dan jauh sebelum bangsa Arab berani berlayar dengan Dhow mereka
ke Zanzibar. Malah lebih jauh daripada zaman kegemilangan pelayaran China yang
hanya bermula pada kurun ke 13 iaitu semasa zaman Laksamana Cheng Ho. Teknologi perkapalan Melayu juga banyak ditiru
oleh para pelaut China, India, Arab dan kemudiannya Barat. Namun tak ramai yang
sedar akan hal ini. Malah menurut Anthony Reid, bangsa Nusantara adalah
perintis kepada peradaban maritim dan perdagangan laut. Tanpa pengenalan
teknologi daripada bangsa Melayu Nusantara kepada dunia mungkin teknologi
perkapalan dan perdangangan maritim masa kini akan terbantut atau lambat
berkembang.
Menurut Al Idrisi orang-orang Zabag
mendatangi wilayah Zanj iaitu Afrika timur dengan kapal-kapal besar dan kecil,
dan mereka berhubungan dengan orang-orang Zanj dalam urusan perdagangan kerana
mereka mengerti bahasa satu sama lain. Kenyataan daripada Al Idrisi ini membuat
kita terfikir mungkinkah terdapatnya satu bangsa yang memahami dan bertutur
dalam bahasa Melayu di Afrika timur pada suatu masa dahulu. Dan mungkinkah
koloni mereka ini lah yang menjadi pusat pengumpulan bahan logam seperti besi
dan emas yang kemudiannya dibawa ke Kedah-Srivijaya. Saya berpendapat tentu
ianya wujud! Sejak dari awal lagi para penulis Arab dan Parsi mengkhabarkan
bahawa orang-orang Melayu Nusantara sudah biasa menjalankan perdagangan hamba
dari Afrika dan dibawa ke seluruh dunia timur. Malah catatan China pernah
menyebut bahawa Maharaja Srivijaya pernah menghadiahkannya dengan hamba-hamba
kulit hitam.
Terdapat para pengkaji sejarah
Afrika yang berpendapat teknologi perlombongan emas di Arfika timur dan selatan
adalah berasal dari luar. Dikatakan bahawa perlombongan amas di Afrika timur
bermula kira-kira pada 600 Masihi. Jika dilihat sekitar tahun 600 M adalah
tahun dimana kerajaan Srivijaya mula muncul. Selain itu menurut pengkaji barat
seperti Robert Dick Read, beliau yakin bahawa bangsa Zanj yang sering disebut
oleh pengembara Arab dalam catatan mereka di Afrika timur adalah bangsa Nusantara
yang telah bersemenda dengan masyarakat tempatan dan membuka koloni serta pusat
perdagangan dan perlombongan di Afrika. Sisa-sisa bangsa tersebut pada hari ini
yang masih tinggal hanyalah di Madagaskar yang kita tahu memang mempunyai
hubungan genetik, bahasa dan kebudayaan dengan Nusantara.
Seorang ahli Arkeologi Rhodesia,
Roger Summers mengatakan bahawa sebahagian besar emas yang dilombong di Afrika
Timur sekitar abad ke 9M hingga 12M adalah sebanyak kira-kira 20.000.000 hingga
25.000.000 auns, iaitu satu jumlah yang sangat besar dan tak mungkin dilakukan
oleh masyarakat tempatan yang hanya melombong dengan menggunakan teknologi
primitif dan tidak sistematik. Selain itu dalam sebuah lombong kuno suatu
ketika dahulu ditemui sejenis penggali tanah yang menggemparkan para ahli
arkeologi Afrika kerana mereka tahu teknologi penggali tanah atau cangkul
seperti itu tidak wujud di Afrika sebelum kedatangan barat dan hanya wujud di
India dan Nusantara sahaja. Berkemungkinan lombong kuno tersebut pernah
dilombong nenek moyang orang Nusantara.
Tetapi siapakan para pelaut ini?
Para pengkaji bahasa yang mengkaji bahasa Malagasy dan Swahili mendapati bahawa
bahasa yang digunakan oleh mereka sebenarnya lebih banyak mendekati bahasa
Melayu , Dayak Maayan serta bahasa Bajau dan Bugis dengan sedikit pengaruh
bahasa Jawa. Jadi andaian saya adalah para pelaut yang pergi berdagang atau
membuka koloni di Afrika timur dan Madagaskar ini adalah dari suku ‘Orang
Laut’. Kita memang tahu bahawa kekuatan kerajaan Srivijaya adalah dengan adanya
Orang Laut dan antara suku Orang Laut yang terkenal adalah Bajau dan Bugis. Menurut
pengkaji sejarah Bajau, sebelum orang-orang Bajau berhijrah ke kawasan perairan
Sabah, Sarawak dan kepulauan Filipina mereka adalah berasal dari kawasan
perairan selat Melaka terutama sekitar Johor. Mereka mempunyai kaitan dengan
suku Seletar yang masih ada di Johor hingga sekarang. Sudah pasti mereka inilah
yang telah dihantar oleh Maharaja-maharaja Srivijaya untuk membuka koloni di
Madagaskar dan Afrika Timur.
Suku kaum Bajau Islam dan Bajau Laut.
Antara bukti kaitan suku Bajau dan
Bugis dengan Afrika adalah terdapatnya persamaan diantara perahu orang Swahili
dengan perahu bercandik Bajau dan Bugis. perkataan Kiswahili untuk candik pada perahu
adalah tengo, tengotengo, atau rengo. Dalam bahasa bugis ianya dipanggil
baratang dan dalam bahasa Makassar penyambung candik tersebut dipanggil tenko.
Manakala dalam bahasa Bajau ia disebut tetenkona. Di timur Indonesia perahu
bercandik dua biasanya dipanggil tango. Semua perkaitan ini memberikan petunjuk
bahawa berkemungkinan orang Bajau/Bugis/Makasar lah atau ‘Orang Laut’ yang
membuka koloni di Afrika timur.
Selain itu ada pengkaji yang membuat andaian
bahawa suku Bajun yang terdapat di sekitar perairan Somalia mempunyai kaitan
dengan orang Bajau. Dari segi Linguistik pula Dahl dan Alexander Adelaar telah
membuat kesimpulan bahawa masyarakat proto-Malagasy pernah tinggal atau berasal sekitar Pulau Bangka yang
terletak di selat Melaka dan berdekatan dengan pantai timur Sumatera dimana
pernah wujudnya salah satu pusat kerajaan Srivijaya. Mereka berpendapat
Masyarakat orang laut inilah yang mula-mula membuka koloni di Madagaskar dan
Afrika Timur. Kenyataan mereka ini sesuai dengan pendapat saya tadi iaitu para
pelaut tersebut sudah pasti adalah dari golongan ‘Orang Laut’ yang menjadi
tunggak penting kerajaan-kerajaan maritim di sekitar selat Melaka.
Para pedagang dan pelaut Nusantara
ini juga meninggalkan banyak jejak kebudayaan mereka yang masih boleh dilihat
hingga kini di seluruh Afrika. Diantara kesan-kesan yang ditinggalkan oleh
mereka adalah dari segi kebudayaan muzik iaitu alat-alat muzik mereka. Salah
satu daripada alat muzik yang dibawa oleh pelaut Melayu Nusantara adalah
Xylophone. Selain itu sejenis alat muzik yang dinamakan sebagai penpipes dari
suku kaum Ngungwe dari Zambezi juga dikatakan diperkenalkan oleh pelaut
Nusantara. Distribusi alat muzik penpipes ini adalah sangat spesifik. Alat muzik
ini dari segi morphologi dan musikologinya mempunyai persamaan yang sangat
rapat dengan alat yang dimainkan di Borneo dan Pulau Jawa. Oleh sebab itu
terdapat dikalangan para pengkaji budaya Afrika berandaian bahawa ia dibawa
masuk oleh para pelaut Nusantara.
Dalam bukunya, Hugh Tracey telah
menulis bahawa sekitar 1500 Masihi, suku kaum Chopi iaitu pemain alat muzik
Xylophone terbaik di Afrika telah berpecah dari kaum Karanga, iaitu satu
pecahan daripada suku kuno yang dipercayai penghuni The Great Zimbabwe. Kaitan
diantara suku Chopi dengan The Great Zimbabwe ini dipercayai menguatkan lagi
kaitan atau bukti bahawa alat muzik tersebut adalah datang dari Nusantara. Hal
ini kerana The Great Zimbabwe dipercayai adalah salah sebuah tapak peradaban
kuno yang telah lenyap yang diasaskan oleh bangsa Zanj atau Nusantara yang
bersemenda dengan masyarakat setempat.
Apa yang menyebabkan sebahagian
dariapda pengkaji beranggapan bahawa binaan batu yang terdapat di great
Zimbabwe adalah binaan dari orang luar ialah kerana teknologi binaan batuan
sebegitu adalah asing bagi masyarakat Afrika Timur pada zaman tersebut. Malah
terdapat pengkaji yang mengaitkan binaan tersebut dengan binaan rumah ibadat
agama kuno kaum Malagasy di Madagaskar. Selain di Afrika timur orang Nusantara
juga mempengaruhi alatan muzik bagi masyarakat Afrika barat. Antara alat
muziknya adalah seperti Ekere Mba dari puak Igbo yang mempunyai persamaan
dengan alat muzik Melayu segenting kra atau Mon dan Thai iaitu Kong Tok.
Kenyataan daripada Raymond Kent
mengukuhkan lagi pendapat bahawa berkemungkinan besar memang wujud bangsa Zanj
yang merupakan percampuran darah diantara suku-suku tempatan Afrika dengan
orang-orang Nusantara. Menurut beliau, sudah tentu pada abad-abad pertama
masihi terdapatnya satu bangsa Afro-Malagasy yang mendiami kedua-dua belah
pantai yang menghadap ke selat Mozambiq yang pada zaman itu adalah sebuah
laluan perhubungan diantara dua daratan tersebut. Selain itu terdapatnya
perkaitan diantara kepercayaan tradisional di sekitar great Zimbabwe dengan kepercayaan
tradisional masyarakat Malagasy yang mengukuhkan lagi dakwaan bahawa pada zaman
kuno orang Malagasylah yang menguasai pantai timur Afrika. Antara buktinya
adalah dengan terdapatnya banyak menara-menara berbentuk silinder di sekitar
great Zimbabwe serta ukiran-ukiran batuan kecil yang berbentuk phallic iaitu
bentuk kemaluan lelaki.
Menara silinder
Dalam masyarakat Malagasy
sememangnya terdapat pemujaan terhadap kemaluan lelaki yang dilakukan oleh puak
Betsileo. Batuan yang diukir membentuk kemaluan lelaki ini biasanya dipanggil
sebagai Vatolahy (Batu Laki). Malahan G.W.B Huntingford seorang ahli etnografi
berpendapat bahawa simbol-simbol pelir atau kemaluan lelaki itu adalah berasal
dari Asia Tenggara atau Nusantara. Beliau juga mengemukakan pendapatnya bahawa pengaruh
Nusantara juga meluas hingga ke selatan semenanjung tanah Arab malah hingga ke
Abbysinia kerana hagiolit yang terdapat di sana mempunyai persamaan dengan yang
ada di Asia Tenggara.
Selain suku Merina suku Betsileo juga adalah salah satu suku yang serumpun dengan kita.
Tambahan lagi, ada juga peresamaan
pada seni ukiran patung yang dimiliki suku kaum Ife di Nigeria dengan patung
dan relief perahu yang terpahat di Nusantara atau di candi Borobudur. Beberapa
tanaman yang diketahui berasal dari Nusantara juga didapati telah dibawa
bersama para penghijrah Nusantara ke sana, seperti pisang raja, ubi jalar,
keladi, Kelapa, Padi sawah dan jagung. Menurut penelitian George Murdock, seorang
profesor dari Amerika pada 1959, tanaman-tanaman tersebut telah dibawa
orang-orang Nusantara ketika melakukan pelayaran dan membuka koloni ke
Madagaskar. Sebagai contohnya di Yorubaland telah ditemui sebuah jubin lantai
yang mempunyai terapan atau ukiran puntung Jagung. Seperti yang kita sedia
maklum Jagung bukanlah tanaman asli Afrika, ia berasal daripada benua Amerika.
Oleh itu terdapat kemungkinan besar bahawa ia telah diperkenalkan oleh para
pelaut Nusantara melalui hubungan mereka dengan benua Amerika
Tanaman padi teres memang salah satu ciri Austronesia.
Sebenarnya ada banyak lagi kesan
atau jejak yang ditinggalkan oleh masyarakat Nusantara dalam budaya dan
kehidupan masyarakat di Madagaskar, Afrika Timur dan Afrika Barat. Bangsa yang
layak digelar sebagai Viking Timur ini telah membawa bersama mereka ke Benua
Afrika yang kaya dengan emas pelbagai jenis tumbuhan, muzik dan alatannya,
kesenian, teknologi, barangan perhiasan, tembikar,manik, penyakit, kepercayaan dan
agama malah amalan dan cara menilik. Kesemua unsur-unsur kebudayaan yang dibawa
mereka ini akhirnya diserap oleh masyarakat tempatan. Adalah tidak keterlalauan
sekiranya saya mengatakan jika tiadanya pengaruh kebudayaan Nusantara yang
datang melalui para pedagang dan pelaut Melayu Nusantara ini sudah pasti
keadaan Afrika pada masa kini adalah
sangat-sangat berbeza.
·
D. Sopher. The
Sea Nomads, A study of the Maritime Boat People of Southeast Asia. 1965 Nat. Mus.
Of Singapore. 1977.
·
A.M. Jones
Africa and Indonesia. Leiden. 1970
·
The phantom
voyagers: evidence of Indonesian settlement in Africa in ancient times. Robert
Dick-Read.2005.





















