Memaparkan catatan dengan label rahsia segala rahsia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rahsia segala rahsia. Papar semua catatan

Rabu, 24 Jun 2015

MISTERI PAUH JANGGI.



Ini adalah buah Pauh janggi atau Kelapa laut Afrika.



Saya pasti ramai yang tidak pernah melihat pokok Pauh Janggi atau lebih dikenali dengan nama kelapa laut yang nama saintifiknya ialah Lodoicea maldivica. Pokok kelapa laut atau Pauh Janggi ini sering dikaitkan dengan Lagenda Pelayaran Melayu sejak turun temurun.Seperti yang kita ketahui, nenek moyang kita zaman dulu terkenal sebagai ahli pelayaran yang hebat dalam ilmu maritim dan sering belayar ke merata tempat di lautan luas dari Australia hinggalah ke Afrika.

Ahli pelayaran Melayu pada zaman dahulu dan mungkin juga sekarang dikatakan kerap menemui buah Pauh Janggi atau kelapa laut terapung-apung di permukaan Lautan Hindi. Buah Pauh Janggi ini akan dipungut dan dijual dengan harga yang mahal dan ramai yang mencarinya kerana dikatakan boleh dibuat ubat dan dapat menyembuhkan pelbagai penyakit serta penawar segala racun, sehingga dikatakan air yang disimpan dalam tempurung, jika diminum dapat mengelakkan diri daripada jangkitan penyakit. Buah ini juga sering dicari oleh bomoh, pawang dan para pengamal Silat serta ilmu batin

Ahli pelayaran Melayu juga dikatakan selalu merahsiakan kewujudan pokok Pauh Janggi dan asal usulnya, namun mengikut catatan, Pigafetta yang turut serta dalam pelayaran Magellan pada 1519, beliau diberitahu seorang ahli pelayaran Melayu bahawa buah yang terapung yang sering dilihat mereka di lautan ialah Pauh Janggi daripada pokok besar yang hidup di “Pusat Sebuah Tasik”. Mereka percaya di Pusat Tasik itu ada burung Garuda yang memakan lembu dan gajah dan tempat itu tidak boleh dihampiri kerana selalu ribut dan taufan.

Pokok ini mempunyai buah seakan-akan buah mangga atau mempelam yang kembar. Buahnya seberat 15 hingga 20 kilogram (kg) dan menjadi buah yang terbesar di dunia.Pakar Botani kagum dengan pokok Palma ini yang dapat hidup di lereng-lereng bukit sedangkan buahnya seberat 15 kg boleh berada di lereng bukit. Pokok Pauh Janggi tersebar luas dan ditanam di sekitar taman botani sebagai tanaman antikuiti, ini termasuk ditanam di Taman Botani Singapura.

Maklumat yang menarik bagi saya mengenai pokok dan buah ini ialah ianya dikatakan hanya boleh didapati di Kepulauan Seychelles.Anda tahu dimana kepulauan tersebut? Kepulauan Seychelles adalah gugusan pulau-pulau kecil yang terdapat di bahagian barat lautan Hindi dan lokasinya dekat dengan benua Afrika dan pulau Madagaskar. Mengapakah agakya sepohon pokok yang hanya boleh didapati di sebuah pulau yang sangat jauh dari Nusantara menjadi begitu lagenda dalam masyarakat Melayu sehinggakan ia disebut dalam sejarah Kesultanan Perak, dalam Wayang Kulit malah dalam Mak Yong?

Andaian saya ialah ia mempunyai kaitan dengan benua Afrika itu sendiri. Pada zaman dahulu para pengembara Arab menggelarkan pantai timur Afrika dan Madagaskar sebagai Zanj atau Zanji. Sebahagian pengkaji mempercayai bangsa Zanj yang berhubung dengan bangsa-bangsa Arab dalam perdagangan di Madagaskar dan Afrika Timur berasal dari rumpun Melayu yang telah berkahwin dengan suku-suku Afrika timur lalu melahirkan orang Zanj seperti suku Merina yang masih wujud di Madagaskar hingga sekarang. Catatan dari pengembara Arab juga pernah menyebut akan perdagangan besi diantara Afrika Timur dengan Kedah Tua atau Srivijaya. Hal ini membuktikan bahawa orang Melayu telah lama menjejakkan kaki ke Benua Afrika dan membuka koloni di sana terutama di Madagaskar. Bukti-bukti atau kesan jejak peninggalan mereka di Afrika pernah saya tuliskan dalam sebuah artikel saya sebelum ini.


Lihat dimana Janggi/Jenggi/Zanj/Zanji.



Berkenaan Pohon Pauh Janggi, hipotesis saya ialah perkataan Janggi itu mempunyai perkaitan atau mungkin berasal daripada perkataan Arab Zanj atau Zanji. Oleh kerana Pulau Seychelles tempat dimana buah dan pohon ini boleh dijumpai adalah dalam laluan yang sama untuk ke Afrika Timur dan Madagaskar, sudah pasti ada pelayar Melayu yang pernah singgah dan melihat pohon yang unik tersebut. Oleh kerana bentuknya yang menyerupai buah Pauh/Mangga/Mempelam yang berkembar dua dan tempat ia ditemui berdekatan dengan Zanji iaitu Afrika, maka ia dinamakan buah Pauh Zanji/Janggi. Hal ini boleh jadi benar kerana orang Jawa pada zaman langka juga memanggil Afrika dan orang kulit hitam sebagai Jenggi.
Inskripsi di Gedangan dekat Surabaya (860AD) Jawa:

“…. rahashya, tuha-dagang,(overseer of people) tuhanambi,(overseer of socially inferior or foreign people) pakarapa(a gatherer of wild roots and herbs?), kdi(unfertile), walyan(doctor), sambal, sumbul(police officers), hulun haji(kings slaves-out of misdeeds?-mostly farmers), singgah(slave walking in front of his owner), pabrsi(carries the cushions), pajut(negrito slave), jenggi(black slave) watek I jro(slaves -to show off the wealth of the owner-) ityewamadi (and so forth)”

Namun demikian saya akui saya masih tidak dapat menyelesaikan puzzle mengapa buah dan pohon ini menjadi begitu mistik dan lagenda dalam masyarakat Melayu dan saya juga tidak dapat mengaitkannya dengan lagenda “Tasik Pauh Janggi”. Mungkin mitos dan legenda mengenai Tasik Pauh Janggi tersebut terbentuk kemudian setelah pertama kalinya pelayar Melayu menjumpai pohon dan buah unik tersebut di Seychelles.Maka kemudiannya sebuah tasik terbesar di Asia Tenggara yang suatu ketika dahulu pernah menjadi tempat wujudnya city-state Melayu kuno telah dinamakan Tasik Pauh Janggi kerana bentuknya yang menyerupai buah dari pohon tersebut. Selepas ini kalau anda batuk-batuk jangan lupa makan “Ubat Batuk Cap PAUH JANGGI” ye…eh silap…cap Kelapa Laut AFRIKA…:D. Wallah hu a’lam.

“Kembalilah diri ke dunia panggung dan dunia kelir. Merenung masa lalu dan melihat masa depan. Dari ‘pusat tasik pauh janggi’ tempat berpusar lagi jauh ke tengah segara.Tasiknya bukan di daratan bandar, tetapi pusar yang paling tengah dan paling dalam. Siapa terjatuh atau tergelincir, tersuruplah ia ke dalam pusar. Tempat menanti segala mara bahaya.Tempat duduk menantinya Nenek Sepit Pentala Naga di Laut Buih Gelombang Tujuh. Kalau si lemah yang sampai, maka hilang ghaiblah ia di mulut Raja Naga yang maha bisa. Tetapi kalau si kebal malim megah malim perkasa, dia berdiri di atas singa juang siap siaga. Tiada seurat bulu roma celakanya hangus terbakar, tiada seurat rambut hitam lebatnya gugur bertabur”.


~ASJ~

Sumber:
• Medieval Authors about East Africa, By Pieter Derideaux.
• Majapahit Peradaban Maritim: Ketika Nusantara Menjadi Pengendali Pelabuhan Dunia.
• http://teratakmelayu.blogspot.com/…/misteri-tasik-pauh-jang….
• Berita Harian oleh Ismail Saidin.

Selasa, 9 Jun 2015

KITAB TAMADUN MELAYU DARI THE PATRIOTS!





PRE-ORDER KITAB TAMADUN MELAYU KINI DIBUKA.
The Patriots menerbitkan kitab kami yang pertama.
KITAB TAMADUN MELAYU
Kitab ini kami abadikan di dalamnya fakta-fakta dan teori-teori sejarah yang terkini melalui kajian di dalam dan luar negara, lengkap dengan lebih daripada 60 senarai rujukan di dalamnya.
Kitab ini juga kami susun khas untuk semua mengenali Sejarah Tamadun Melayu dari aspek kronologi, linguistik, kerajaan-kerajaan yang wujud dan analisis Melayu hari ini..
Dan tiidak ketinggalan mengenai sejarah kedatangan Islam ke Tanah Melayu..
Kitab ini mengandungi 45 Bab dan artikel istimewa dari Cik Srikandi dan prodigi sejarah TP, Raja Ariff Danial.
----------
Diantara artikel yang terdapat di dalam kitab ini adalah:
1. BAGAIMANA BAHASA MELAYU BOLEH MENJADI LINGUA FRANCA.
2. TAMADUN MELAYU PENAKLUK INDIA SELATAN: SEJAUH MANA KESAHIHANNYA?
3. GAMBARAN SEBENAR PELABUHAN MELAKA.
4. MENGHANCURKAN MITOS MELAKA TUMBANG KERANA SENJATA API.
5. KAITAN TAMADUN MELAYU DAN EMAS NABI SULAIMAN.
Kitab ini juga menerangkan mengenai sejarah kerajaan-kerajaan Melayu seperti Srivijaya, Langkasuka, Champa, Chih Tu, Funan, Kesultanan Johor, Kesultanan Perak dan Kesultanan Terengganu..
Kitab ini juga menjawab beberapa tohmahan, fitnah dan penyelewengan yang dilakukan terhadap Sejarah Melayu..
----------
Pendek cerita, Kitab ini adalah kitab yang kami rumuskan dan nukilkan khas untuk semua mula mengenali Sejarah Melayu sebelum berhijrah kepada pembacaan kitab-kitab lain..
Elok untuk pembinaan asas..
Pre-order dibuka secara rasminya hari ini..
Mari pastikan setiap rumah di Malaysia adanya kitab ini.. Untuk rujukan kini dan akan datang..
- JB -

Untuk tempahan sila PM Admin The Patriots di laman ini ; https://www.facebook.com/thepatriots2020/photos/a.182165691977464.1073741828.181500092044024/381066935420671/?type=1&theater


~ASJ~

Ahad, 23 November 2014

LOST CITY IN PAHANG.





The recent discovery in the Malayan state of Pahang, the homes of apes and ivory and peafowl, of immense goldmine of very ancient date and of a workmanship that has no counterpart in southeastern Asia, supplies an ample reason for the designation of Golden so long applied to the Chersonese. Here hidden away under the shade of the primeval forest, are excavations, which must have yielded in their time, tons of their precious metal……~Further India~.

Kata-kata Hugh Clifford tersebut telah lama menghantui saya. Beliau yakin bahawa pernah wujud satu lost civilization di Pahang yang mempunyai teknologi hebat dalam perlombongan emas. Beliau percaya bahawa bumi Pahang yang kaya dengan emas adalah penyebab mengapa Ptolemy menggelar Semenanjung Tanah Melayu ini sebagai Semenanjung Emas. Terdapat banyak lombong kuno dijumpai berselerak di Pahang. Lombong-lombong ini didapati menggunakan teknologi yang tinggi sehingga menyebabkan para sarjana sukar untuk mempercayai bahawa ianya dikendalikan oleh orang Melayu dan diandaikan pula bahawa ia dibina oleh bangsa asing yang tidak diketahui. William James Perry didalam bukunya The Children of the Sun menyebut:

The Malay Peninsula contains numerous remains of antiquity, not in the form of temples, but of ancient mines, the technique of which testifies to a high civilization……..
In this same region of the Tui valley have been found some stone rings whose use and makers are entirely unknown. Neither Malays nor Chinese in Pahang has any reasonable theory of the origin or the possible use of these things and it seems very improbable that the rings could have been made by either of these peoples. There are other signs of an alien people in this state.

Sumber lain yang menguatkan hujah bahawa di Pahang menyimpan sebuah tamadun silam yang hebat dan kaya dengan emas adalah dari catatan pengembara China Wang Tai Yuan pada tahun 1349. Menurutnya di Pahang perempuan-perempuan kaya memakai beberapa buah gelang emas yang dililit di kepalanya, dan orang kebanyakan pula menghiasi rambut mereka dengan gelang-gelang manik pancawarna. Catatan daripada penulis Portugis Manuel Godinho Eredia pula menyebut Pahang adalah negeri yang mempunyai lombong emas terbesar dan yang paling baik mutunya di seluruh semenanjung. Clifford pernah menyatakan bahawa, jika catatan sejarawan Yahudi kuno Josephus yang menyebut  bahawa Ophir adalah sama dengan Aurea Chersonesus, maka benarlah bahawa Semenanjung Tanah Melayu adalah lombong emas Nabi Sulaiman atau The Mines Of Solomon seperti yang tercatat dalam Kitab Perjanjian Lama.

Kajian mengenai Pahang zaman sebelum Melaka sebenarnya adalah terhad. Jika adapun adalah kajian lama yang telah dibuat oleh Orientalis British seperti Hugh Clifford dan W. Linehan. Sejarah negeri-negeri tua yang lain seperti Kelantan dan Kedah memang banyak berbanding Pahang. Tidak seperti kebanyakan negeri Semenanjung yang lain, pusat ketamadunan masyarakat Pahang pada zaman awal tertumpu di kawasan pedalaman dan jauh daripada pantai. Menurut Geoffrey Benjamin, keunikan negeri Pahang ialah kerana ia terletak di kawasan pertembungan diantara dua rumpun bahasa iaitu Mon-Khmer dengan rumpun bahasa Malayic atau Proto-Malayic dan ia adalah wilayah yang menghubungkan kawasan pantai barat dengan pantai timur dan utara pantai timur seperti Kelantan, Pattani, Negeri-negeri Segenting Kra serta Thailand atau ‘Benua Siam’. Orang zaman dahulu kalau nak ke pantai barat pasti akan menggunakan laluan sungai sepanjang Kelantan dan Pahang sehingga ke Jalan Penarikan dan sungai Muar.


Selain lombong-lombong emas, hutan negeri Pahang juga menyimpan pelbagai misteri lain. Dalam Buku Farther India tulisan Hugh Clifford, dicatatkan bahawa banyak ekspedisi dilakukan oleh para pengkaji British malah Russia dan Itali ke Hulu Pahang seperti Tembeling, Lipis, Jelai, Semantan, dan Gunung Tahan. Malah banyak kali juga ekspedisi mendaki di kawasan Gunung Tahan dibuat dan kebanyakan ekspedisi awal tidak berjaya sehingga ada yang mati. Apa yang mereka cari di sana sehingga sanggup mati? Wallah hu a’lam, saya pun tidak tahu apakah yang menyebabkan mereka begitu tertarik dengan pedalaman Pahang. Walaupun saya sendiri sudah mendengar pelbagai cerita-cerita pelik tentang tinggalan yang mungkin ada di pedalaman Pahang, namun saya bukanlah orang yang arif tentangnya.
Gunung Tahan.

Tapi apa yang pasti hutan Pahang menyimpan satu tamadun yang sangat lama. Hal ini bukanlah aneh kerana hutan Pahang memang telah diiktiraf sebagai diantara hutan hujan khatulistiwa yang tertua didunia. Salah satu daripada tinggalannya ialah misteri penempatan kuno atau ada yang kata ‘kota’ di Tasik Chini. Apa sebenarnya yang ada disitu dan mengapa banyak kajian yang dilakukan disitu tidak disempurnakan dan menghadapi jalan buntu? Sebenarnya kajian terhadap penempatan kuno di tasik Chini bukanlah perkara baru. Sejak zaman pemerintahan British lagi para ‘Indiana Jones’ Inggeris selalu ke tasik tersebut untuk mencari ‘sesuatu’. R.G Cant pernah menyatakan bahawa berkemungkinan besar wujud kota pentadbiran bagi negeri Pahang di kawasan pedalaman.
 

Saya yakin aktiviti perdagangan di sepanjang laluan kuno Trans-Peninsular yang menghubungkan pantai barat dengan pantai timur melalui jalan penarikan telah mewujudkan pusat penempatan yang pesat di sepanjang lembah sungai seperti di sungai Pahang termasuk di Tasik Chini dan Bera. Apa yang pasti laluan Trans-Peninsular ini turut tercatat dalam peta yang dilukis oleh ahli geografi Yunani-Mesir Claudius Ptolemy. Sungai Tembeling adalah salah sebuah sungai terpenting yang menghubungkan laluan dagang kuno ini. Oleh sebab itulah banyak jumpaan barang purba ditemui sekitar Sungai Tembeling. Malah kegiatan pembuatan tembikar tertua di Pahang juga masih wujud di Tembeling.


Di Kampung Batu Pasir Garam (di tebing Sungai Tembeling), ahli arkeologi telah menemui satu serpihan Dram Dong Son, dram kuno yang diperbuat daripada gangsa dan digunakan oleh orang yang mengamalkan Budaya Gangsa. Linehan menyatakan bahawa Dram Dong Son ini dibuat di Indochina dan dibawa ke Ulu Tembeling dari Funan pada sekitar abad ke-3, bersama-sama dengan alat besi kuno yang lain. Menurut Clifford jumpaan artifak dari zaman Hoabinhian, Neolitik, zaman gangsa, dan zaman besi menunjukkan bahawa laluan perdagangan tersebut telah wujud dan digunakan sejak ribuan tahun! 

Catatan daripada rekod imperial China menunjukkan bahawa di Pahang pernah wujud sebuah kerajaan yang kaya dan berdaulat sebelum zaman Melaka. Chau Ja Kua merekodkan pada tahun 1226 bahawa sebuah negeri yang terletak di sekitar pantai timur semenanjung bernama Pe-hang bernaung dibawah kekuasaan Srivijaya. Kerajaan tersebut dilaporkan telah menghantar hadiah ke China pada tahun 1378, 1411, 1414 dan 1416. Turut dicatatkan bahawa raja yang memerintah Pahang pada tahun 1378 digelar Maharaja Tajau. Baginda telah menghantar duta ke China yang membawakan warkah rasmi yang dipahat di atas kepingan daun emas bersama enam orang hamba dan barang-barang hasil bumi dari Pahang untuk dipersembahkan kepada Maharaja China.

Rekod seterusnya menyebut pemerintah Pahang pada tahun 1411 bernama Pa la mi su la ta lo si ni atau Parameswara Teluk Chini telah menghantar ufti ke China. Kemudian Maharaja China telah mengutus Laksamana Cheng Ho untuk melawat kerajaan tersebut. Maka utusan dari Parameswara Telok Chini telah berkunjung sebanyak dua kali ke Cina iaitu pada tahun 1412 dan 1414. Daripada catatan inilah kita dapat membuat andaian bahawa memang wujud sebuah kota pemerintahan di sekitar pedalaman Pahang atau di Tasik Chini. Siapakah sebenarnya Maharaja Tajau dan Parameswara Telok Chini ini dan benarkah pernah wujud satu penempatan kuno di sekitar Tasik Chini?

W. Linehan pernah menyebut dalam catatannya mengenai sebuah tempat di Tasik Chini yang bernama Belukar Bata/Batol. Menurut beliau semasa beliau meninjau tempat tersebut beliau mendapati terdapatnya sebuah bukit yang dilitupi dengan rumput yang tebal dan besar. Daripada pemerhatian yang dibuat didapati bahawa bukit tersebut bukan semualajadi tetapi adalah sebuah binaan. Linehan percaya nama tempat tersebut mempunyai kaitan dengan tinggalan bangunan, ataupun kota yang menjadi lagenda masyarakat tempatan.  Dalam catatan yang sama juga Linehan menyatakan bahawa di dasar Sungai Jeram terdapat pecahan dan serpihan tembikar dan seramik tua di beberapa tempat.  Penemuan-penemuan yang disebutkan diatas menguatkan lagi hujah bahawa kawasan Chini-Jeram dan berdekatannya suatu ketika dahulu pernah menjadi laluan perdagangan mahupun penempatan yang pesat.

Menurut cerita penduduk asli yang mendiami sekitar tasik tersebut, terdapat sebuah kerajaan yang makmur di situ yang didiami oleh orang ‘SIAM ASLI’ yang menyembah patung-patung diperbuat daripada emas.  Nama Chini tersebut dipercayai berasal dari perkataan Siam asli yang bermaksud ungka atau monyet. Penempatan masyarakat ini dibina di sekitar bukit yang dinamakan Bukit Balai . Menurut lagenda, bukit tersebut dinamakan Bukit Balai kerana dahulu wujudnya sebuah balai bagi menyambut orang-orang yang berkunjung atau lalu di kota tersebut. Di bahagian barat laut Bukit Balai terdapat sebuah lagi bukit yang dinamakan Bukit Berhala Besar. Bukit ini merupakan tempat pemujaan berhala yang paling besar bernama Henek/nenek bagi masyarakat kota itu. Sebuah lagi bukit bernama Bukit Ketaya yang berdekatan dengan tasik adalah tempat mereka melombong emas.


Apa yang lebih menarik, menurut lagenda tersebut masyarakat kota Tasik Chini sangat mahir dalam pembinaan sistem tadahan air dan saliran. Mereka membina sistem saliran di sekitar kawasan Chini yang mengalirkan dan menghubungkan air dari segenap arah yang bersambung dengan Sungai Chini. Mereka mengawal sistem saliran dan tadahan air ini menggunakan empangan. Namun setelah beberapa ratus tahun empangan tersebut akhirnya pecah dan mengakibatkan berlaku banjir besar dikawasan lalu membentuk Tasik Chini. Akibatnya ramai rakyat Chini yang mati kebuluran kerana sawah, ladang dan penempatan mereka dibanjiri air. Menurut lagenda itu juga akhirnya pemerintah Chini memindahkan istananya ke Belukar Batol. Sebenarnya hampir kesemua nama-nama tempat yang disebut didalam lagenda orang asli ini wujud di sekitar tasik Chini. Malah menurut seorang pengkaji K.E Southwood kisahnya adalah terlalu tepat dan boleh jadi benar.

Linehan juga pernah menyatakan yang dia telah menjumpai satu binaan yang terbuat dari batu bata di kawasan Kuala Chini dan di Pengkalan Durian. Berdekatan situ juga ditemui sebuah tempat yang dinamakan Padang Siam. Malah beliau turut menyebut tentang penemuan binaan batu bata di Langgar yang dipanggil Tambak Siam. Oleh sebab itu saya yakin sememangnya pernah wujud sebuah tamadun atau paling tidak sebuah penempatan lama di sekitar pedalaman Pahang atau Tasik Chini pada zaman dahulu. 

Daripada hasil pemerhatian aerial view juga didapati sememangnya terdapat rupa bentuk saliran air atau bentuk muka bumi aneh seperti buatan manusia di sekitar lima batu ke timur Chini. Menurut pengkaji, bentuk saliran ini adalah typical bagi saliran air yang dibina oleh masyarakat Angkor ataupun Ligor. Malah turut ditemui rupa bentuk muka bumi yang dipercayai adalah bekas empangan berdekatan Sungai Tasek melalui foto udara. Di Pulau Balai pula ditemui batu bata dari tanah laterit yang sama cara buatannya seperti yang dijumpai di Tanjung Makam, Pekan. Dikawasan yang sama juga dijumpai serpihan tembikar, porselin zaman Ming, beberapa tembikar tidak bersadur serta serpihan mangkuk dari besi, mangkuk zaman Neolitik, pisau batu dan banyak lagi barang-barang purba. Namun kajian susulan yang dilaksanakan K.E Southwood telah menemui jalan buntu. Beliau menyatakan bahawa tidak ditemui sebarang bukti wujudnya binaan di kawasan yang di tunjukkan Linehan dalam catatannya. Saya yakin sememangnya wujud suatu binaan dan penempatan di tapak yang telah disebutkan Linehan. Mungkin Southwood kurang bernasib baik.


Berbalik semula kepada dua orang raja Pahang dalam catatan imperial China tersebut, penulis percaya bahawa Parameswara Telok Chini dan Maharaja Tajau merupakan orang Melayu Darat yang menguasai kawasan perlombongan emas dan bijih timah di Pahang sebelum Pahang ditakluk Melaka. Sebahagian besar kawasan paya sepanjang sungai Pahang mengandungi pasir dan batu batan kasar, ini menunjjukan bahawa kawasan paya ini dulu merupakan lombong bijih dan bukan kawasan penanaman padi pada awalnya. Apa yang pasti memang terlalu banyak nama-nama tempat di sekitar Tasik Chini dan Pahang yang memberikan kita petunjuk bahawa kota tersebut berkemungkinan besar didiami bersama oleh orang Siam asli dan Melayu dari negeri-negeri Melayu Utara atau Segenting Kra seperti Sri Dharmaraja atau Ligor yang memang mahir dalam pembuatan sistem saliran.



Linehan dalam bukunya A History of Pahang dipetik sebagai berkata:
The pre-Malaccan people of Pahang lived by mining gold, tin, and iron and planting rice. They left many traces: irrigation works, mine workings, remains of brick buildings [at Belukar Bata], specimens of Sawankalok pottery, and probably the pottery industry at Kuala Tembeling which has survived through the years to the present day. The preMalaccans occupied the Tembeling. They can be traced as far south as the Merchong. They extended into the Pahang and the Jelai; their tracks can be found along Lake Chini up to the head-waters of the Rompin; in the old Selinsing mines scoops of palas wood used by them have been discovered. They left numerous relics in gold-workings at Tresang and Sempore.


Antara tempat-tempat di Pahang yang banyak dikaitkan dengan penempatan kuno masyarakat Siam asli atau mempunyai makna dalam bahasa Siam asli adalah seperti Gunung Benom. Benom sebenarnya adalah dari bahasa Mon-Khmer yang bermaksud ‘Gunung’. Perkataan ini juga wujud dalam suku kaum berbahasa Aslian Mon yang masih wujud di Pahang hingga kini iaitu suku Jah Hut iaitu ‘Benam’ dan juga suku Che Wong ‘Banim’. Namun perkataan ini juga mempunyai kaitan dengan perkataan Melayu kuno iaitu ‘Banang’. Sungai Chenor pula dipercayai berasal dari perkataan Mon iaitu Cnor yang bermaksud kayuh. Sungai Reman dikatakan berasal daripada perkataan Mon iaitu Ramman atau Ramannadesa. Jeram Kuai dikatakan berasal dari perkataan Siam asli iaitu kuai yang bermaksud perlahan. Namun menurut pengkaji, perkataan yang lebih tepat ialah Koi yang berasal dari perkataan suku Batek yang mempunyai maksud yang sama. Selain itu Chini (ungka), Parit Siam, Tambak Siam, Lubang Siam (atau Lombong Siam), adalah nama tempat-tempat di sekitar hulu Pahang yang dikaitkan dengan Siam asli.
 

Kampung Senggora yang tidak jauh dari Tasik Chini juga merupakan petunjuk bahawa kota tersebut pernah didiami orang dari utara semenanjung. Malahan persamaan nama Tembeling dengan Tambralingga atau Ligor juga memberikan petunjuk yang kuat bahawa sememangnya Pahang pernah dipengaruhi atau diperintah oleh Melayu dari Sri Dharmaraja atau Ligor. Malah telah disebut dengan jelas dalam Sulalatus Salatin bahawa Maharaja Dewa Sura yang memerintah Pahang semasa serangan Melaka adalah saudara kepada Paduka bubunya Raja Siam. Malah di Tekam berdekatan Kota Gelanggi, Jerantut ada sebuah sungai yang bernama Sungai Lego yang sipercayai berasal dari perkataan Ligor. Kota Gelanggi di Jerantut itu sendiri sebenarnya dikaitkan dengan sebuah Lost City Siam asli atau Melayu darat iaitu Kota Klangkio yang dikatakan Tun Sri Lanang terletak di Hulu Johor.

Kaum asli yang tinggal di sekitar tasik Chini sekarang sebenarnya adalah Orang Jakun dan mereka ini termasuk dalam Proto-Malay  dan bukan Mon-Khmer. Sebab itu saya berpendapat jika wujud kota di dasar Tasik Chini, ia adalah kota purba MELAYU yang didiami bersama dengan Siam asli dari kalangan orang Mon dan Aslian bukan Khmer seperti yang digembar gemburkan sesetengah pihak. Sebabnya semua mitos berkenaan Naga-naga Seri Gumum, Seri Siam, Seri Kemboja, Seri Pahang dan Kota itu adalah dari mulut Orang Jakun sendiri dan mereka tidak kenal apa itu istilah 'KHMER'. Orang Jakun di sini mempunyai perhubungan rapat dengan suku Asli lain iaitu Orang Semelai yang tinggal di sekitar Tasik Bera. Orang Semelai inilah yang berbahasa Aslian iaitu dalam rumpun bahasa Mon-Khmer. Mugkin nama-nama tempat yang dikaitkan dengan Siam dan Mon tersebut diberi oleh suku-suku Aslian ini.


Linehan pernah melaporkan bahawa ketua suku Jakun di kawasan Ulu Bebar iaitu Pak Usoh dari Kuala Serai dan Pak Mehat dari Kuala Merba mengakui bahawa mereka adalah keturunan ‘Orang Siam’ yang pernah berkuasa di Pahang sebelum penaklukan Melaka. Hal ini membuktikan bahawa masyarakat Siam asli yang suatu ketika dahulu pernah memerintah dan memakmurkan negeri Pahang ini bukanlah terdiri daripada kaum rumpun Mon-Khmer atau Aslian sahaja tetapi juga Melayu-Proto. Dan seperti yang telah diterangkan oleh Cik Srikandi dahulu, bahawa istilah Siam asli yang digunakan oleh orang Melayu Melaka adalah merujuk kepada masyarakat Melayu dan Mon-Khmer yang beragama Buddha dan berasal dari ‘Benua Siam’ iaitu sebuah wilayah yang sekarang ini berada di Thailand.

Jadi disini Siam itu merujuk kepada nama wilayah dan bukan nama kaum, kerana suku kaum yang tinggal di wilayah tersebut terdiri daripada Melayu,Champa, Mon, Aslian, Khmer dan yang paling lewat datang ialah Thai. Kerajaan Ligor/Tambralingga/Sri Dharmaraja pula memang sebuah negeri Melayu. Rajanya orang-orang Melayu namun rakyatnya ada yang Thai, Mon dan Khmer. Sebab itu dalam Sulalatus Salatin, raja Benua Siam yang digelar Paduka Bubunya diakui oleh Sultan Melaka bahawa 'raja Benua Siam bukan orang lain bahkan saudara mereka juga'. Semasa Melaka menerima Islam, Sri Dharmaraja masih menganut ajaran Buddha Theravada. Ketika era Ligor,barulah ada rajanya yang memeluk Islam.
Gambar menunjukkan Kota-kota Naksat dibawah penguasaan Ligor/Tambralinga atau Negara Sri Dharmaraja.

Oleh itu kita berbalik semula kepada persoalan pokok, benarkah wujudnya sebuah penempatan kuno di sekitar Tasik Chini? Jawapan saya ialah ya. Sememangnya wujud sejenis penempatan purba di sekitar Tasik Chini kalau tidak di dasarnya. Samaada ianya wujud sebagai sebuah kota, bandar, pyramid, binaan kuil, candi dari batu bata atau hanya petempatan biasa dari kayu, wallah hu a’lam ianya tetap misteri. Masih banyak kajian yang perlu dilaksanakan disana untuk mendapatkan jawapan yang tepat. Sekian dari saya.

~ASJ~






  • ·        Hugh Clifford, Further India, Frederick A, Stokes Publisher. 1904.
  • ·        Geoffrey Benjamin, Arkeologi Pelancongan Negeri Pahang, Lembaga Muzium Negeri Pahang.
  • ·     J.N McHugh, The Daragon Of Chini and Recent Discoveries Under the Lake. Malaysian historical society.
  • ·        Zakaria Awang Ali, Latar Belakang Sejarah Perlombongan Emas Di Pahang Hingga 1914.
  • ·        K.E Southwood, Lake Chini, A lost Settlement in Pahang.
  • ·        W. Linehan, The Prince Of Chini, JMBRAS Vol XX. 1947.
  • ·        W.Linehan, The History Of Pahang, JMBRAS Vol XIV. 1928.
  • .      Cik Srikandi.
  • .      Blog SusurGalor.  
  • .      Dani Warguide.


Isnin, 4 Ogos 2014

SRIVIJAYA DAN AFRIKA




Kawasan Selat Mozambique yang menghubungkan Benua Afrika dengan Pulau Madagaskar.


 
Buku-buku sejarah dunia selalu mengagung-agungkan Columbus, Magellan, Captain Cook dan lain-lain pelayar serta penjelajah barat sebagai The First atau The Greatest dari kalangan penjelajah dalam sejarah. Tetapi tahukah anda, ternyata piawaian mereka ini adalah jauh ketinggalan dari para pelaut Nusantara. Mungkin bagi anda yang kurang mentelaah mengenai kehebatan dunia maritim nenek moyang kita akan berasa ragu-ragu dengan apa yang saya ingin sampaikan. Tetapi tidak mengapa, kerana walau anak bangsa kita sendiri tidak tahu betapa hebat dan luasnya tamadun maritim bangsa kita, ada banyak lagi para penyelidik dari luar yang tahu dan yakin mengenainya.  Apa yang mahu saya paparkan ini sebenarnya telah ramai yang tahu, namun pada pendapat saya ada moleknya saya mengulang semula untuk yang belum tahu.

 

Kehebatan ilmu pelayaran bangsa Nusantara sebenarnya tidak boleh dipersoalkan lagi. Dan keberadaan bangsa Austronesia di seluruh pelusuk dunia adalah bukti yang tak tertulis. Menurut James Hornell dalam penulisannya, terdapat bukti kewujudan suku Austronesia di selatan India pada zaman kuno . Georgio Bucallati pula dalam kajiannya terhadap Cengkih di Syria mendapati bahawa rempah tersebut telah digunakan sejak tahun 3,700 SM, dan Julian Reade pula telah menjumpai rangka kambing atau Bebiri yang berasal dari Timur Tengah yang berusia sangat langka di Nusantara. Segala penemuan ini membuktikan bahawa sememangnya bangsa Melayu telah terlibat dalam aktiviti perdagangan laut jarak jauh yang menjangkau sehingga ke Timur Tengah malah Afrika. Jumpaan Cengkih di Syria yang berusia beribu tahun mengukuhkan lagi hal ini kerana Cengkih adalah rempah yang hanya dapat diperolehi di pulau Maluku sahaja.



Pelaut Melayu Nusantara pastinya pernah singgah di setiap pelabuhan kuno yang terdapat dalam peta di atas termasuklah di Laut Merah. Tiada halangan untuk mereka berbuat demikian sekiranya mereka mampu untuk ke Madagaskar dan Afrika.


Saya pernah menyentuh mengenai pengaruh  Melayu Nusantara di Madagaskar dalam artikel saya terdahulu. Tetapi tak terfikirkah anda, jika bangsa kita mampu berlayar hingga ke Madagaskar adakah terdapat sebarang halangan untuk mereka terus berlayar hingga ke pantai-pantai di sepanjang benua Afrika? Sudah tentu tiada sebarang halangan bukan? Malah sudah tentu tiada halangan untuk mereka bermain-main di lautan sekitar semenanjung Tanah Arab dan berdagang di pelabuhan-pelabuhan di sepanjang Yaman malah hingga ke pelabuhan milik para Firaun Mesir di Lautan Merah. Adalah mustahil satu bangsa pelaut hebat yang menguasai lautan seluas lautan Hindi tidak mampu untuk mengharungi laut Merah. Saya yakin para wakil dagang Raja Perehu pernah berkunjung ke pelabuhan-pelabuhan yang dikuasai Ratu Hatshepsut. Lautan adalah tempat mainan mereka, jika bangsa lain mengaggap lautan adalah pemisah dan halangan namun bagi bangsa Melayu Nusantara lautan adalah penghubung atau jalan raya yang boleh membawa mereka kemana sahaja yang mereka mahu.

 

Sebenarnya pelaut-pelaut Nusantara sudah menjejakkan kaki di  benua Afrika sejak abad ke-5 M lagi atau mungkin juga lebih awal. Jauh sebelum bangsa Eropah mengenal Afrika dan jauh sebelum bangsa Arab berani berlayar dengan Dhow mereka ke Zanzibar. Malah lebih jauh daripada zaman kegemilangan pelayaran China yang hanya bermula pada kurun ke 13 iaitu semasa zaman Laksamana Cheng Ho.  Teknologi perkapalan Melayu juga banyak ditiru oleh para pelaut China, India, Arab dan kemudiannya Barat. Namun tak ramai yang sedar akan hal ini. Malah menurut Anthony Reid, bangsa Nusantara adalah perintis kepada peradaban maritim dan perdagangan laut. Tanpa pengenalan teknologi daripada bangsa Melayu Nusantara kepada dunia mungkin teknologi perkapalan dan perdangangan maritim masa kini akan terbantut atau lambat berkembang.

 

Menurut Al Idrisi orang-orang Zabag mendatangi wilayah Zanj iaitu Afrika timur dengan kapal-kapal besar dan kecil, dan mereka berhubungan dengan orang-orang Zanj dalam urusan perdagangan kerana mereka mengerti bahasa satu sama lain. Kenyataan daripada Al Idrisi ini membuat kita terfikir mungkinkah terdapatnya satu bangsa yang memahami dan bertutur dalam bahasa Melayu di Afrika timur pada suatu masa dahulu. Dan mungkinkah koloni mereka ini lah yang menjadi pusat pengumpulan bahan logam seperti besi dan emas yang kemudiannya dibawa ke Kedah-Srivijaya. Saya berpendapat tentu ianya wujud! Sejak dari awal lagi para penulis Arab dan Parsi mengkhabarkan bahawa orang-orang Melayu Nusantara sudah biasa menjalankan perdagangan hamba dari Afrika dan dibawa ke seluruh dunia timur. Malah catatan China pernah menyebut bahawa Maharaja Srivijaya pernah menghadiahkannya dengan hamba-hamba kulit hitam.





Terdapat para pengkaji sejarah Afrika yang berpendapat teknologi perlombongan emas di Arfika timur dan selatan adalah berasal dari luar. Dikatakan bahawa perlombongan amas di Afrika timur bermula kira-kira pada 600 Masihi. Jika dilihat sekitar tahun 600 M adalah tahun dimana kerajaan Srivijaya mula muncul. Selain itu menurut pengkaji barat seperti Robert Dick Read, beliau yakin bahawa bangsa Zanj yang sering disebut oleh pengembara Arab dalam catatan mereka di Afrika timur adalah bangsa Nusantara yang telah bersemenda dengan masyarakat tempatan dan membuka koloni serta pusat perdagangan dan perlombongan di Afrika. Sisa-sisa bangsa tersebut pada hari ini yang masih tinggal hanyalah di Madagaskar yang kita tahu memang mempunyai hubungan genetik, bahasa dan kebudayaan dengan Nusantara.

 

Seorang ahli Arkeologi Rhodesia, Roger Summers mengatakan bahawa sebahagian besar emas yang dilombong di Afrika Timur sekitar abad ke 9M hingga 12M adalah sebanyak kira-kira 20.000.000 hingga 25.000.000 auns, iaitu satu jumlah yang sangat besar dan tak mungkin dilakukan oleh masyarakat tempatan yang hanya melombong dengan menggunakan teknologi primitif dan tidak sistematik. Selain itu dalam sebuah lombong kuno suatu ketika dahulu ditemui sejenis penggali tanah yang menggemparkan para ahli arkeologi Afrika kerana mereka tahu teknologi penggali tanah atau cangkul seperti itu tidak wujud di Afrika sebelum kedatangan barat dan hanya wujud di India dan Nusantara sahaja. Berkemungkinan lombong kuno tersebut pernah dilombong nenek moyang orang Nusantara.

 


Tetapi siapakan para pelaut ini? Para pengkaji bahasa yang mengkaji bahasa Malagasy dan Swahili mendapati bahawa bahasa yang digunakan oleh mereka sebenarnya lebih banyak mendekati bahasa Melayu , Dayak Maayan serta bahasa Bajau dan Bugis dengan sedikit pengaruh bahasa Jawa. Jadi andaian saya adalah para pelaut yang pergi berdagang atau membuka koloni di Afrika timur dan Madagaskar ini adalah dari suku ‘Orang Laut’. Kita memang tahu bahawa kekuatan kerajaan Srivijaya adalah dengan adanya Orang Laut dan antara suku Orang Laut yang terkenal adalah Bajau dan Bugis. Menurut pengkaji sejarah Bajau, sebelum orang-orang Bajau berhijrah ke kawasan perairan Sabah, Sarawak dan kepulauan Filipina mereka adalah berasal dari kawasan perairan selat Melaka terutama sekitar Johor. Mereka mempunyai kaitan dengan suku Seletar yang masih ada di Johor hingga sekarang. Sudah pasti mereka inilah yang telah dihantar oleh Maharaja-maharaja Srivijaya untuk membuka koloni di Madagaskar dan Afrika Timur.




Suku kaum Bajau Islam dan Bajau Laut.


Antara bukti kaitan suku Bajau dan Bugis dengan Afrika adalah terdapatnya persamaan diantara perahu orang Swahili dengan perahu bercandik Bajau dan Bugis. perkataan Kiswahili untuk candik pada perahu adalah tengo, tengotengo, atau rengo. Dalam bahasa bugis ianya dipanggil baratang dan dalam bahasa Makassar penyambung candik tersebut dipanggil tenko. Manakala dalam bahasa Bajau ia disebut tetenkona. Di timur Indonesia perahu bercandik dua biasanya dipanggil tango. Semua perkaitan ini memberikan petunjuk bahawa berkemungkinan orang Bajau/Bugis/Makasar lah atau ‘Orang Laut’ yang membuka koloni di Afrika timur.

 

 Selain itu ada pengkaji yang membuat andaian bahawa suku Bajun yang terdapat di sekitar perairan Somalia mempunyai kaitan dengan orang Bajau. Dari segi Linguistik pula Dahl dan Alexander Adelaar telah membuat kesimpulan bahawa masyarakat proto-Malagasy pernah tinggal  atau berasal sekitar Pulau Bangka yang terletak di selat Melaka dan berdekatan dengan pantai timur Sumatera dimana pernah wujudnya salah satu pusat kerajaan Srivijaya. Mereka berpendapat Masyarakat orang laut inilah yang mula-mula membuka koloni di Madagaskar dan Afrika Timur. Kenyataan mereka ini sesuai dengan pendapat saya tadi iaitu para pelaut tersebut sudah pasti adalah dari golongan ‘Orang Laut’ yang menjadi tunggak penting kerajaan-kerajaan maritim di sekitar selat Melaka.

 

Para pedagang dan pelaut Nusantara ini juga meninggalkan banyak jejak kebudayaan mereka yang masih boleh dilihat hingga kini di seluruh Afrika. Diantara kesan-kesan yang ditinggalkan oleh mereka adalah dari segi kebudayaan muzik iaitu alat-alat muzik mereka. Salah satu daripada alat muzik yang dibawa oleh pelaut Melayu Nusantara adalah Xylophone. Selain itu sejenis alat muzik yang dinamakan sebagai penpipes dari suku kaum Ngungwe dari Zambezi juga dikatakan diperkenalkan oleh pelaut Nusantara. Distribusi alat muzik penpipes ini adalah sangat spesifik. Alat muzik ini dari segi morphologi dan musikologinya mempunyai persamaan yang sangat rapat dengan alat yang dimainkan di Borneo dan Pulau Jawa. Oleh sebab itu terdapat dikalangan para pengkaji budaya Afrika berandaian bahawa ia dibawa masuk oleh para pelaut Nusantara.

 


Dalam bukunya, Hugh Tracey telah menulis bahawa sekitar 1500 Masihi, suku kaum Chopi iaitu pemain alat muzik Xylophone terbaik di Afrika telah berpecah dari kaum Karanga, iaitu satu pecahan daripada suku kuno yang dipercayai penghuni The Great Zimbabwe. Kaitan diantara suku Chopi dengan The Great Zimbabwe ini dipercayai menguatkan lagi kaitan atau bukti bahawa alat muzik tersebut adalah datang dari Nusantara. Hal ini kerana The Great Zimbabwe dipercayai adalah salah sebuah tapak peradaban kuno yang telah lenyap yang diasaskan oleh bangsa Zanj atau Nusantara yang bersemenda dengan masyarakat setempat.

 


Apa yang menyebabkan sebahagian dariapda pengkaji beranggapan bahawa binaan batu yang terdapat di great Zimbabwe adalah binaan dari orang luar ialah kerana teknologi binaan batuan sebegitu adalah asing bagi masyarakat Afrika Timur pada zaman tersebut. Malah terdapat pengkaji yang mengaitkan binaan tersebut dengan binaan rumah ibadat agama kuno kaum Malagasy di Madagaskar. Selain di Afrika timur orang Nusantara juga mempengaruhi alatan muzik bagi masyarakat Afrika barat. Antara alat muziknya adalah seperti Ekere Mba dari puak Igbo yang mempunyai persamaan dengan alat muzik Melayu segenting kra atau Mon dan Thai iaitu Kong Tok.

 

Kenyataan daripada Raymond Kent mengukuhkan lagi pendapat bahawa berkemungkinan besar memang wujud bangsa Zanj yang merupakan percampuran darah diantara suku-suku tempatan Afrika dengan orang-orang Nusantara. Menurut beliau, sudah tentu pada abad-abad pertama masihi terdapatnya satu bangsa Afro-Malagasy yang mendiami kedua-dua belah pantai yang menghadap ke selat Mozambiq yang pada zaman itu adalah sebuah laluan perhubungan diantara dua daratan tersebut. Selain itu terdapatnya perkaitan diantara kepercayaan tradisional di sekitar great Zimbabwe dengan kepercayaan tradisional masyarakat Malagasy yang mengukuhkan lagi dakwaan bahawa pada zaman kuno orang Malagasylah yang menguasai pantai timur Afrika. Antara buktinya adalah dengan terdapatnya banyak menara-menara berbentuk silinder di sekitar great Zimbabwe serta ukiran-ukiran batuan kecil yang berbentuk phallic iaitu bentuk kemaluan lelaki.

 
Menara silinder


Dalam masyarakat Malagasy sememangnya terdapat pemujaan terhadap kemaluan lelaki yang dilakukan oleh puak Betsileo. Batuan yang diukir membentuk kemaluan lelaki ini biasanya dipanggil sebagai Vatolahy (Batu Laki). Malahan G.W.B Huntingford seorang ahli etnografi berpendapat bahawa simbol-simbol pelir atau kemaluan lelaki itu adalah berasal dari Asia Tenggara atau Nusantara. Beliau juga mengemukakan pendapatnya bahawa pengaruh Nusantara juga meluas hingga ke selatan semenanjung tanah Arab malah hingga ke Abbysinia kerana hagiolit yang terdapat di sana mempunyai persamaan dengan yang ada di Asia Tenggara.

 
Selain suku Merina suku Betsileo juga adalah salah satu suku yang serumpun dengan kita.


Tambahan lagi, ada juga peresamaan pada seni ukiran patung yang dimiliki suku kaum Ife di Nigeria dengan patung dan relief perahu yang terpahat di Nusantara atau di candi Borobudur. Beberapa tanaman yang diketahui berasal dari Nusantara juga didapati telah dibawa bersama para penghijrah Nusantara ke sana, seperti pisang raja, ubi jalar, keladi, Kelapa, Padi sawah dan jagung. Menurut penelitian George Murdock, seorang profesor dari Amerika pada 1959, tanaman-tanaman tersebut telah dibawa orang-orang Nusantara ketika melakukan pelayaran dan membuka koloni ke Madagaskar. Sebagai contohnya di Yorubaland telah ditemui sebuah jubin lantai yang mempunyai terapan atau ukiran puntung Jagung. Seperti yang kita sedia maklum Jagung bukanlah tanaman asli Afrika, ia berasal daripada benua Amerika. Oleh itu terdapat kemungkinan besar bahawa ia telah diperkenalkan oleh para pelaut Nusantara melalui hubungan mereka dengan benua Amerika

 
Tanaman padi teres memang salah satu ciri Austronesia.


Sebenarnya ada banyak lagi kesan atau jejak yang ditinggalkan oleh masyarakat Nusantara dalam budaya dan kehidupan masyarakat di Madagaskar, Afrika Timur dan Afrika Barat. Bangsa yang layak digelar sebagai Viking Timur ini telah membawa bersama mereka ke Benua Afrika yang kaya dengan emas pelbagai jenis tumbuhan, muzik dan alatannya, kesenian, teknologi, barangan perhiasan, tembikar,manik, penyakit, kepercayaan dan agama malah amalan dan cara menilik. Kesemua unsur-unsur kebudayaan yang dibawa mereka ini akhirnya diserap oleh masyarakat tempatan. Adalah tidak keterlalauan sekiranya saya mengatakan jika tiadanya pengaruh kebudayaan Nusantara yang datang melalui para pedagang dan pelaut Melayu Nusantara ini sudah pasti keadaan  Afrika pada masa kini adalah sangat-sangat berbeza.

 ~ASJ~
 
Sumber:

·         D. Sopher. The Sea Nomads, A study of the Maritime Boat People of Southeast Asia. 1965 Nat. Mus. Of Singapore. 1977.

·         A.M. Jones Africa and Indonesia. Leiden. 1970

·         The phantom voyagers: evidence of Indonesian settlement in Africa in ancient times. Robert Dick-Read.2005.