Memaparkan catatan dengan label buta sejarah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label buta sejarah. Papar semua catatan

Selasa, 26 Ogos 2014

PERANG 1511: MELAKA KALAH DENGAN MUDAH?




Gambaran kemegahan Istana Melaka. Adakah Melaka sekadar jeti pelabuhan ala-ala kampung?


Masih terngiang-ngiang di telinga saya, beberapa orang rakan malah guru yang mengejek dan mencemuh dengan kata-kata ‘alah…apalah hebat sangat pada Melaka, Portugis serang tak sampai seminggu terus kalah teruk, lari lintang pukang’...’Melaka kalah dengan mudah kerana teknologi persenjataan yang sangat lemah, bayangkanlah orang kita berperang hanya guna keris, sumpit dan tombak, padahal Portugis guna meriam dan senapang, mana tak kalahnya’…’Orang Melaka semua jakun sebab tak pernah tengok Meriam lalu lari lintang pukang’. Kalaulah mereka tahu hakikat yang sebenar, kalaulah. Sebenarnya apakah yang berlaku dalam peristiwa 1511 ini dan bagaimanakah gambaran sebenar detik-detik Melaka mempertahankan dirinya dari diperkosa Portugis?



Gambaran pelukis Portugis akan serangan terhadap Kota Melaka.


Hakikat yang sebenarnya ramai tidak tahu adalah Melaka sudah mencapai kedudukan politik yang unggul sementara perdagangannya juga terus berkembang, dan pelabuhannya menggamit pelbagai bangsa datang singgah dari segenap pelusuk dunia. Imej bandar terapung seperti Venice dan Genoa serta pasar dan rumah yang tidak berputusan hingga Muar bukanlah satu khayalan atau cakap-cakap kosong sahaja. Walaupun memang wujud kepincangan dalam pemerintahan, pergeseran, perebutan dan pelbagai lagi konflik dalaman yang sering kita dengar namun ianya belum cukup parah untuk menjatuhkan Melaka jika dibandingkan dengan serangan Portugis. Tambahan lagi oleh sebab begitu makmurnya Melaka maka banyaklah kaum-kaum ‘asing’ yang mula dengki, hasad dan cemburu akan kekayaan Melaka. Pembelotan kaum-kaum asing ini juga ibarat gunting dalam lipatan yang memudahkan lagi kemaraan Portugis.


Sudah tiba masanya untuk kita cuba merubah pemikiran kita mengenai Kota Melaka. Melaka diakui sendiri oleh penulis barat sebagai bandar pelabuhan yang terkaya di timur dan setanding dengan Venice. Oleh itu gambaran Melaka dalam lukisan diatas adalah munasabah.



Sesungguhnya tidak semua persoalan tentang kejatuhan Melaka dapat kita rungkaikan disini. Namun memadai rasanya untuk kita membuka perbincangan dalam hal kesungguhan dan semangat juang Melaka bagi mempertahankan maruah dan kedaulatannya daripada dinodai oleh Portugis. Sebelum itu yang paling penting ialah pandangan kita bahawa Melaka ketinggalan dari segi teknologi meriam, senapang atau istinggar dan peluru serta lain-lain senjata api perlu diubah dan dibuang sejauh mungkin. Seperti yang saya pernah sebut dahulu angkatan Portugis dicatatkan membawa pulang ribuan pucuk meriam dan senapang yang dirampas dari Melaka. Teknologi pembuatan dan penggunaannya juga adalah standing dengan teknologi barat.




Menurut catatan yang dibuat oleh Godinho Eredia, sewaktu kedatangan Portugis di Melaka, jumlah meriam yang dipunyai kerajaan tersebut adalah sangat banyak. 3,000 pucuk meriam besar telah dijumpai di dalam kota Melaka sementara 5,000 pucuk lagi telah sempat dibawa lari oleh tentera Melaka apabila kota itu tumbang. Albuquerque menyatakan bahawa terdapat 2,000 pucuk meriam yang diperbuat daripada tembaga dan yang lain diperbuat daripada besi.



Tentera Melaka dilengkapi dengan pelbagai jenis senjata api menurut catatan Portugis sendiri.



Walaupun dalam naskah Sulalatus Salatin ada ditulis yang serangan meriam Portugis menggemparkan orang Melaka bagai bertih digoreng, namun petikan tersebut harus ditafsir sebagai penyedap cerita untuk khalayak pembaca atau pendengar. Jambatan Melaka yang kita lihat dalam lukisan seperti di muzium atau dalam buku-buku teks sejarah yang sering digambarkan dengan penuh daif dan uzur juga perlu kita buang jauh-jauh. Catatan Portugis sendiri mendapati jambatan tersebut terbina dengan sangat kukuh, malah rekod-rekod China beberapa dekad sebelum serangan Portugis melaporkan bahawa ada lebih kurang 20 buah kedai di atas jambatan tersebut. Saya menggambarkan jambatan ini seperti jambatan London Bridge yang pada zaman pertengahan penuh dengan kedai-kedai. Pihak Portugis juga mengalami kesukaran dan mengambil masa untuk merobohkan jambatan tersebut atas maklumat risikan dari Rui Aroujo.



Catatan Portugis juga menyebut tentang senjata api yang boleh dipikul dengan bahu serta meriam gergasi milik Sultan Melaka.



Selain itu jambatan Melaka juga dilengkapi dengan sistem pertahanan yang jitu dimana diletakkan meriam-meriam besar dan kecil bagi menangkis serangan dari arah laut. Dicatatkan bahawa sebaik sahaja meriam-meriam Melaka yang terdapat di atas jambatan dirampas oleh Portugis dalam serangan mereka, askar-askar Melaka yang berjaya mengusir semula tentera Portugis dari jambatan telah mengeluarkan meriam-meriam baru untuk menggantikan meriam yang telah dirampas tadi. Hal ini menunjukkan simpanan senjata api Kerajaan Melaka adalah banyak. Dicatatkan juga bahawa sebahagian besar daripada meriam Kerajaan Melaka sebenarnya tidak digunakan langsung sepanjang peperangan tersebut kerana jumlahnya yang terlalu banyak.




Di dalam buku teks sekolah juga kita diberitahu atau digambarkan pertempuran berlaku di daratan kota Melaka sahaja, namun dari catatan Portugis didapati pertempuran sebenarnya telah bermula sejak di laut lagi. Sebelum pihak Portugis berjaya mendarat, mereka dilaporkan telah diserang tentera Melaka di perairan yang mengakibatkan kehilangan 100 nyawa di pihak Portugis. Pihak Melaka menggunakan perahu atau lancara yang diisi dengan minyak dan bahan pembakar kayu serta dihalakan ke kapal-kapal Portugis. Taktik ‘Fire Ship’ ini sering digunakan di Eropah juga seperti dalam perang Inggeris dengan Sepanyol pada zaman ratu Elizabeth. Selain itu tembakan meriam dari Melaka menghala ke kapal-kapal Portugis juga turut mendatangkan kecelakaan. Oleh itu pendapat yang mengatakan meriam Melaka tidak boleh menembak jauh juga harus dibuang kelaut.


Taktik 'fire ships' telah digunakan sejak zaman Yunani kuno lagi.


Melaka juga melaksanakan strategi menggertak dan tindakan perang psikologi untuk menakutkan pihak lawan dengan mengeluarkan sejumlah perahu perang, lancara, tongkang, sampan dan sebagainya yang lengkap bersenjata untuk menunjukkan kekuatannya kepada Portugis. Walaupun begitu kekuatan sebenar Melaka yakni armada jong perang gergasinya yang diketuai laksamana pada waktu itu tiada di perairan. Maklumat daripada catatan Giovani Da Empoli mengesahkan bahawa tentera Melaka telah menggunakan lancara serta perahu berapi untuk memusnahkan kapal Portugis. Di kawasan pantai pula pertahanan dikukuhkan dengan pancangan kayu dan besi-besi tajam atau kawat beracun serta meriam-meriam pelbagai jenis besar dan kecil beserta dengan peti-peti berisi serbuk peluru.






Sebenarnya saudara sekalian perang Melaka bukan berlaku dalam jangka masa yang singkat. Pada masa ketibaan Portugis pada 28 Jun 1511 pertempuran tidak terus terjadi sebaliknya kedua-dua belah pihak menggunakan taktik tunggu dan lihat, masing-masing menunggu siapa yang akan menyerang dahulu. Hal ini diselangi dengan sesi perundingan dan diplomasi yang tidak kemana. Pihak Portugis mahu tawanan Portugis termasuk Rui Aroujo dibebaskan. Selang tiga minggu dari itu keadaan mula semakin tegang. Beberapa siri pertempuran kecil berlaku di laut dan dikawasan penginapan para pedagang berdekatan pantai. Portugis menyerang empat kapal Jawa dan sebuah kapal Sumatera. Kemudian kapal-kapal saudagar Gujarat di pelabuhan juga dibakar termasuk rumah penduduk di pantai. Walaupun Sultan kemudiannya membebaskan tawanan, namun perang tetap tidak dapat dielakkan lagi.






Pihak Portugis sebenarnya sangat tahu akan kelemahan Melaka. Hal ini kerana mereka telah mempunyai perancangan yang jitu. Mereka mempunyai kelebihan dari segi risikan atau maklumat yang diberi oleh Rui Aroujo dan orang-orang dalaman Melaka sendiri seperti Utimutiraja, seorang perempuan Parsi dan Nainachittu. Melaka mempunyai musuh di setiap penjuru malah didalam kelambunya sendiri. Namun demikian Portugis tidak pernah memperkecilkan kemampuan pertahanan Melaka. Albuquerque sendiri pernah menyebut bahawa ‘Kita tidak akan dapat menawan melaka dengan hanya dua batang pedang yang berkarat!’  Di waktu subuh sebelum serangan habis-habisan dilancarkan, Albuquerque memberi ucapan bahawa Melaka harus ditundukkan supaya aliran rempah tidak akan sampai ke Makkah dan Kaherah dan sinar Islam disini akan padam! Ungkapan beliau ini jelas menunjukkan niat sebenar mereka.




Barisan ketenteraan Portugis sebenarnya lebih ramai dari yang kita ketahui. Namun kita sering mendengar jumlah tentera Portugis hanyalah 1200 orang termasuk 600 tentera upahan Malabari dan kapalnya lebih kurang 19 buah. Maklumat daripada catatan Giovanni menunjukkan bahawa sewaktu tiba di Pedir, jumlah kapal termasuk yang ditawan di perjalanan mencecah angka 25 buah. Di Pasai, lapan buah kapal dari Cambay lagi menjadi mangsa tawanan atau dirosakkan. Dengan demikian kita menganggarkan lebih kurang 27 buah kapal telah tiba di perairan Melaka, tetapi menurut Hamka pula lebih dari 60 buah kapal ada dalam angkatan Portugis, termasuk kapal-kapal kecil seperti fusta dan galias. Malahan terdapat beberapa buah kapal lagi di Melaka yang ditawan dan tawanannya dijadikan barisan sokongan dalam serangan keatas Melaka.






Giovanni turut melaporkan bahawa dalam serangan pada 25 julai 1511 terdapat 1500 orang tentera Portugis yang terlibat, dengan pasukan bantuan daripada orang Cina sebanyak 400 orang dan bantuan dari seorang putera Sumatera (Raja Kampar menantu Sultan Mahmud sendiri) juga lebih kurang 400 orang. Ini semua belum termasuk tentera bantuan dari orang Pegu, Siam, malah orang-orang Keling dibawah Nainachittu dan tentera upahan Jawa yang sengaja berperang dengan tidak bersungguh-sungguh setelah ketua mereka Utimutiraja disogok Portugis.




Pertempuran berlaku dengan sengit di beberapa lokasi seperti di Jambatan, bukit Melaka, Bandar pelabuhan, Istana dan Masjid sultan. Pertahanan Melaka turut diperkuatkan oleh ribuan tentera Jawa yang pada permulaan ogos dibayar tiga bulan gaji terkehadapan disamping barisan pejuang Turki dan Khorusones atau Parsi sejumlah 3000 orang. Seperti yang saya telah sebutkan tadi, walaupun tentera Jawa ini telah dibayar gaji awal untuk tiga bulan, mereka tetap belot dan tidak bersungguh-sungguh mempertahankan Melaka kerana penghulu mereka Utimutiraja telah membuat pakatan dengan Alfonso de Albuquerque dan memberitahu anak-anak buahnya agar ‘tidak perlu bersusah payah menggadaikan nyawa sendiri untuk mempertahankan harta benda orang lain’.



Tentera Jawa.


Persoalannya adakah kekuatan Melaka yang sebenar telah digunakan sepenuhnya? Sebenarnya kekuatan Melaka yang sebenar adalah terletak pada armada lautnya. Namun demikian armada laut Melaka yang terdiri daripada jong-jong yang besar tidak berada di perairan Melaka pada ketika itu. Sebelum mulanya serangan yang penghabisan oleh Portugis, Sultan sengaja melambat-lambatkan pelepasan tawanan dan cuba berdiplomasi kerana menunggu armada lautnya bersama Laksamana. Namun tindakan Sultan yang sengaja melengah-lengahkan masa tersebut diketahui Portugis yang menyebabkan serangan total dilakukan sebelum sempat armada itu sampai. Hal ini disebabkan pihak Portugis sangat takut dengan risikan yang diberikan oleh Rui Aroujo yang mengatakan bahawa Sultan Melaka mempunyai satu armada laut yang sangat kuat yang diketuai oleh seseorang yang bernama ‘Laksamana’ yang dapat membakar hangus seluruh armada Portugis jika mereka lambat bertindak.





Terdapat catatan dari Portugis yang menyebut bahawa sewaktu Melaka diserang, Laksamana bersama armada Melaka sedang mengadakan rondaan di kawasan perairan jajahan takluk Melaka, mungkin sekitar Riau-Lingga. Ini kerana dalam catatan tersebut diberitahu bahawa Raja Lingga bersama Laksamana telah berpatah balik apabila mengetahui bahawa Melaka sudah jatuh ke tangan Portugis dan Sultan berundur ke Muar. Pada pendapat saya Raja Lingga dan Laksamana tahu bahawa kejatuhan Melaka bukanlah bermakna kejatuhan empayar Melaka kerana adat Melayu itu 10 negeri boleh dicari, selagi ada raja berdaulat. Jadi jika raja berundur maka pembesar dan raja-raja taklukannya tidak akan membuat keputusan sendiri untuk terus menyerang Melaka, sebaliknya berundur bersama Sultan untuk mengatur strategi baru. Sultan Mahmud juga dikatakan bertitah, adat kita raja Melayu, negeri alah raja mati, yang melambangkan bahawa perjuangan Melaka sebenarnya belum tamat selagi baginda dan waris-warisnya belum mati.



Apa yang dapat saya simpulkan disini ialah kekalahan Melaka kepada Portugis bukanlah satu kekalahan yang mudah seperti yang sering disebut-sebut. Bukan disebabkan teknologi persenjataan yang lemah dan bukan kerana kejakunan tentera Melaka terhadap tembakan meriam tentera Portugis. Barisan pertahanan Melaka telah berjuang berhabis-habisan baik dari segi diplomasi, pertanahan, taktik dan strategi pertempuran. Pihak Portugis sendiri mengakui bahawa pejuang-pejuang Melayu Melaka adalah gagah perkasa dan terlatih dalam ilmu peperangan serta dilengkapi dengan pelbagai jenis senjata berpotensi. Namun begitu kita tidak boleh pandang rendah pada kekuatan Portugis. Orang Portugis mempunyai pengalaman tempur dan kepungan laut yang sama hebatnya dengan bangsa Melayu. Sebelum mereka menyerang Melaka banyak kota pelabuhan lain seperti di India dan Teluk Parsi yang berjaya mereka tawan, malah mereka pernah bertempur dengan armada Turki yang terkenal hebat itu.




Kekalahan Melaka adalah sebab kurangnya kesepaduan dan kesepakatan diantara ‘Anakvanua’, dan sikap terlalu memberi kepercayaan kepada ‘anak dagang’ atau bangsa ‘asing’. Bak kata pepatah ‘apalah diharap pada dagang, bertukar musim berlalulah ia’. Sikap terlalu bertoleransi yang ditunjukkan oleh orang Melayu sejak zaman berzaman ini akhirnya memakan diri sendiri apabila golongan-golongan ‘dagang’ ini mula menunjukkan belang mereka dan menikam dari belakang! Baik dagang Kalingga, dagang Ming, dagang Burma, maupun dagang Kampar dan Mojo yang serumpun sebangsa, semuanya menjadi duri dalam daging. Harapkan pagar-pagar makan padi. Peristiwa ini seharusnya menjadi pengajaran kepada anak-anak vanua pada hari ini, dan bukannya kisah Melaka kalah berperang kerana menggunakan keris dan sumpit semata-mata yang ternyata tidak benar. Sekian, wallah hu a’lam.



~ASJ~



·   Prof Emeritus Dr. Muhammad Yusof Hj. Hashim , Kisah Melaka 1511, Institute Kajian Sejarah Dan Patriotism Malaysia, 2006.
·      Abdul Aziz Zakaria, Portugis Dalam Sejarah Melaka, DBP, 1963.
·      Portuguese Documents on Malacca: 1509-1511, National Archives of Malaysia, 1993.
·    Muhammad Yusoff Hashim, Muzaffar Desmond John Tate, The Malay Sultanate of Malacca: A Study of Various Aspects of Malacca in the 15th and 16th Centuries in Malaysian History, Dewan Bahasa & Pustaka, 1992.



CHOLA: BERTELUR SEBIJIK RIUH SEKAMPUNG!






Bendera Pandyan




Saya ingin berbicara sedikit mengenai sejarah orang Tamil dan kerajaan Pandya atau Pandyan. Mungkin ada yang tidak perasan bahawasanya kerajaan Pandya juga sebenarnya adalah sebuah kerajaan Tamil di selatan India. Berbeza dengan Chola, kerajaan Pandya semasa era kegemilangannya tidak pernah menjalankan dasar perluasan kuasa hingga ke Asia Tenggara setakat yang saya tahu. Paling jauh yang pernah mereka tawan adalah utara Sri Lanka. Kerajaan Pandya juga sering bermusuh dengan kerajaan Chola walau mereka dari bangsa yang sama.


Era Kejatuhan Chola


Malah dalam banyak peristiwa sejarah di selatan India dan Sri Lanka, kerajaan Pandya banyak kali mengadakan pakatan dengan Sri Lanka dan Srivijaya bagi mengalahkan Chola. Ibu kota kerajaan ini adalah terletak di Madhurai yang masih wujud hingga kini. Boleh dikatakan kerajaan Pandya ini kurang aggressive berbanding Tamil Chola. Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, kerajaan Srivijaya juga pernah membantu kerajaan Pandya untuk mendapatkan semula ibu kota mereka Madhurai dari cengkaman Chola.


Sebuah kuil di Madurai, Ibu Kota Pandyan


Satu persoalan disini ialah mengapa tiada orang-orang Tamil di Negara kita yang menyebut tentang raja-raja dari kerajaan Pandya ini? Mereka juga Tamil bukan? Seolah-olah hanya kerajaan Chola sahajalah kerajaan Tamil yang pernah wujud di dunia ini. Malah kerajaan Cherras juga sebuah kerajaan Tamil yang kerap bermusuhan dengan kerajaan Chola juga tidak disebut oleh mereka. Tidakkah mereka tahu menjelang kurun ke 12 Chola hampir tidak wujud lagi kerana ditawan, diserang dan dimusnahkan dengan teruk oleh Pandya? Nampak sangat bahawa segolongan Tamil yang heboh mengklaim pelbagai sejarah Melayu ini tidak arif malah mungkin tidak tahu tentang sejarah dinasti-dinasti bangsa mereka sendiri, tetapi ada hati untuk mengubah sejarah bangsa lain.

Empayar Melayu Srivijaya
Hinggakan ada yang mendakwa Raja Raja Cholan adalah Raja yang paling hebat yang pernah wujud di dunia malah dialah yang membina kerajaan Kedah Tua itu. Sehebat manakah Raja Raja Cholan ini? Lebih hebat dari Hammurabi Raja Babylon atau Ramsis 3 kerajaan Mesir kuno? Adakah sehebat Julius Caesar dari Rom dan Alexander The Great dari Macedonia? Setahu saya empayar Chola tidaklah sebesar mana dan tidak pernah pun berjaya melawan atau menyekat kemaraan kerajaan-kerajaan orang Kannada di Timur India dan orang Indo-Aryan dari utara India. Tetapi lagaknya bagai ‘ayam, bertelur sebijik riuh sekampung’! Tambahan pula catatan Dinasti Song ada menyebut bahawa RajaRaja Cholan telah menghantar sembah dan ufti kepada Maharaja China, inikah yang dikatakan Raja terhebat dunia?  Sebaliknya empayar Srivijaya pernah menaungi hampir seluruh Asia Tenggara, malah pernah membuka koloni hingga ke Madagaskar dan Afrika timur. Sekian.


~ASJ~


Sumber:

·         History, Religion and Culture of India, Volume 2, edited by S. Gajrani.

·         An Atlas and Survey of South Asian History, Karl J. Schmidt.

Jumaat, 4 Julai 2014

MEREKA LELUHUR KAMI


 

 

Salam sejahtera dan salam Ramadhan kepada semua. Tulisan saya kali ini mahu menyentuh sedikit perihal pihak tertentu yang menyatakan bahawa orang Melayu dan orang asli itu adalah satu entiti yang berbeza dan orang asli adalah pemilik sebenar semenanjung ini. Pada pendapat saya tujuan atau niat sebenar mereka berbuat demikian bukanlah untuk memperjuangkan nasib orang asli atau masalah-masalah yang mendepani mereka tetapi untuk mengatakan bahawa orang Melayu itu tidak layak diberikan status Bumiputra dan taraf orang Melayu itu adalah sama seperti kaum lain yang dianggap sebagai pendatang.

 

Tidak ada alasan untuk mereka mengatakan bahawa orang Melayu itu bukan pribumi Semenanjung atau Asia Tenggara secara keseluruhannya. Sebelum wujudnya sempadan wilayah negara bangsa moden seperti hari ini yang memisahkan Alam Melayu kepada negara-negara tertentu, Alam Melayu ini tidak terikat dengan sempadan tertentu yang boleh menghalang daripada masyarakatnya untuk berhijrah, berpindah randah dan bertukar-tukar tempat tinggal dari satu wilayah ke wilayah yang lain di seluruh Asia Tenggara malah hingga ke Madagaskar dan lautan Pasifik. Orang Melayu itu adalah pelaut atau perantau kelautan yang tegar. Mereka bebas bergerak kemana sahaja yang mereka mahu. Sifat wilayah-wilayah Alam Melayu itu adalah fluid. Baik Sumatera, Sememenanjung, Borneo, Sulawesi dan Pulau Jawa semuanya rumah-rumah bangsa rumpun Melayu.

 

Apa yang mengikat mereka bukanlah sempadan negara sebaliknya budaya sejagat dan yang paling penting adalah bahasa iaitu bahasa kelompok Austronesia. Hal inilah yang menyebabkan kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa suku kaum asli di semenanjung ini terutamanya dari kelompok Proto Malay sebagai saudara serumpun yang dekat dengan kita. Mereka juga bernaung dibawah kelompok yang berbahasa Austronesia sama seperti orang-orang Melayu Jambi, Champa, Jawa, Banjar, Bugis, Makassar, Batak, Nias, Minang, Boyan, Lombok, Hawaii, Maori, Tahiti, Kelantan, Pahang, Kedah, Pattani, Orang Sungai, Orang Kuala, Dayak Iban, Kadazan, Melanau, Murut, Penan, Tidung, Bajau, Sulu dan banyak lagi yang tak mampu disebut disini.

 
Pasangan Temuan.


Golongan yang suka mengatakan Melayu itu pendatang atau di semenanjung yang ada hanya Jawa, Bugis, Banjar, Boyan dan Minang bukan Melayu, perlu meneliti beberapa perkara. Mengapa orang Bugis yang datang ke Johor dan Selangor sangat mudah untuk menyerap budaya Melayu Johor dan Selangor? Mengapa orang Jawa yang merantau ke Semenanjung sangat mudah berasimilasi dengan orang Melayu Johor? Mengapa orang Banjar, Mendahiling atau Rawa lebih rapat dengan orang Melayu berbanding dengan orang Thai, atau Burma dan Vietnam yang juga cari makan di tanah bertuah ini? Mengapa budaya berkeris ada pada orang Sulu, Jawa, Bugis dan Melayu? Budaya Batik dan Songket di Kelantan dan Terengganu juga ada pada orang Jawa dan Lombok. Dan yang paling penting mengapa kita lebih faham bahasa yang dituturkan mereka-mereka ini berbanding bahasa orang Thai, Burma, Bangla dan Nepal?

 

Adakah golongan yang kononnya mahu memperjuangkan kesamarataan hak dan keadilan ini betul-betul kenal dengan orang asli yang sering mereka sebut dan perkatakan itu? Atau mereka hanya menjadikan kaum asli sebagai alat propaganda untuk mencapai matlamat politik mereka? Pastinya mereka tidak tahu pun bahawa orang asli Proto Malay mempunyai terlalu banyak persamaan dengan orang-orang Melayu moden sendiri. Samaada dari segi fizikal iaitu rupa paras, warna kulit mahupun dari segi adat budaya serta bahasa yang dituturkan mereka. Jadi siapakah yang dimaksudkan sebagai Proto Malay ini?

 

Sebagai contoh suku orang asli yang dikategorikan sebagai Melayu Proto adalah orang Jakun dan Temuan. Mereka sebenarnya adalah kelompok kaum-kaum Austronesian yang tidak menerima atau tidak mahu menerima pengaruh tamadun samaada tamadun India, Cina, Arab dan lain-lain yang pernah masuk ke alam Melayu. Cuba kita bandingkan rupa paras orang Jakun dengan orang Melayu di kampung-kampung malah dengan orang Hawaii. Lebih kurang sama sahaja muka mereka. Malah saya sering melihat rupa-rupa yang ayu dan menawan sebujur sireh seperti yang sering digambarkan dalam puisi-puisi Melayu lama tentang anak dara Melayu wujud pada suku kaum Temuan dan Jakun ini. Tak percaya pergilah ke kampung-kampung mereka, anda pasti berjumpa dengan muka-muka yang anda rasa sangat kenal dan mesra.

 

Kaum Melayu Proto yang lebih maju iaitu yang kebiasaannya tinggal di pesisir pantai dan terdedah kepada pergaulan dan pengaruh antarabangsa lama kelamaan menolak Melayu Proto yang hidupnya berasaskan pertanian dan memburu binatang lebih jauh ke pedalaman. Melayu Proto yang tinggal di pesisir pantai dan menjalankan kegiatan perdagangan maritim lama kelamaan berubah menjadi Melayu Deutro. Mereka kemudiannya menubuhkan pusat-pusat pengumpulan barang dan pengkalan yang berevolusi menjadi kerajaan dan negarakota awal. Mungkin sejak dari itu mereka mengaku bangsa mereka sebagai 'Malayu'.

 


Antara persamaan yang paling ketara yang boleh saya tunjukkan diantara kaum Melayu Proto Temuan dengan orang Melayu adalah bahasa mereka. Sebagai contoh saya akan senaraikan beberapa perkataan Temuan yang sama atau mirip dengan perkataan Melayu. Antaranya ialah:

·         Bahabah-labah-labah

·         Bangat-sangat

·         Basik-basi

·         Bercelengko-berteleku

·         Beladok-burung belatuk

·         Bi’hiang-hilang atau tak nampak

·         Bibik-bibir

·         Bisan-besan

·         Celincir-gelincir

·         Encih-rincih

·         Isau-pisau

·         Kamin-kami

 

Bagaimana dengan orang asli Jakun? Adakah bahasa mereka juga mempunyai persamaan yang rapat dengan bahasa Melayu? Sudah tentu! Saya berikan sedikit contoh dalam perbualan harian dalam bahasa Jakun di Pahang:

AWAK TINGGAL DIMANA?

Ajeh duduk kat mano?

SAYA SUKA AWAK.

Kam suka kat ajeh.

SIAPA NAMA MAK AWAK?

Sapa namo mok ajeh?

AWAK BUAT APA TU?

Ajeh tengoh muat napa tu?

SAYA BERASA PENAT HARI INI.

Kuk seloi arik enik.

 

Dari sudut amalan dan adat istiadat juga suku kaum Melayu Proto ini sangat mirip dengan adat orang Melayu. Contohnya masyarakat Jakun, Temuan, Seletar dan Kanaq turut mengamalkan adat merisik, meminang malah bersanding dalam adat perkahwinan mereka. Kenapa? Anda ingat orang Hindu sahaja yang bersanding? Orang Asli pun bersanding. Malah mereka turut berbalas-balas pantun, memalu gendang dan gong. Tetapi yang berbezannya dengan orang Melayu zaman kita ialah masyarakat Jakun sangat menghormati perkahwinan dan hidup berumah tangga sehinggakan penceraian dianggap sesuatu yang taboo dan celaka jika berlaku. Oleh sebab itu memang susah untuk mencari orang Jakun yang bercerai kecuali kematian pasangan.

 


Baik, sekarang nampak atau tidak betapa rapatnya persamaan yang terdapat dalam bahasa orang asli kelompok Melayu Proto ini dengan bahasa Melayu? Kalau puak-puak Liberal, Chola dan Ultrakiasu masih tidak nampak itu bermakna mereka memang sengaja buat-buat tidak nampak kerana tidak mahu menerima hakikat bahawa orang Melayu itu adalah Peribumi asal Tanah Semenanjung ini sama seperti orang Asli. Tetapi kalau ada orang Melayu sendiri yang masih buta dan masih tak nampak memang anda petualang bangsa yang tak boleh diajar.  Itu belum lagi kalau kita lihat persamaan dalam bahasa-bahasa suku kaum Pribumi Borneo seperti Iban, Kadazan, Melanau dan Bajau, sememangnya sangat banyak persamaan bahasa malah budaya, kerana kita semua adalah serumpun dan tergolong dalam kelompok besar bangsa yang berbahasa Austronesia, ingat itu Austronesia!

 

Sebab itu kita tidak boleh terima hujah dangkal yang memisahkan orang Melayu dengan orang asli di semenanjung dan membeza-bezakannya dengan pribumi Sabah dan Sarawak. Kita dan suku kaum ini adalah serupa. Malah kajian DNA juga telah membuktikannya. Alam Melayu malah Asia Tenggara ini adalah rumah rumpun bangsa Melayu. Kami berhak untuk berpindah randah dari satu pulau ke pulau yang lain. Penyebaran kami dari satu pulau ke pulau atau sememanjung tidak menjadikan kami sebagai pendatang. Kerana semua kawasan ini adalah kawasan kami.

 

Suku kaum yang datang luar dari kawasan kepulauan Melayu inilah yang boleh dikategorikan sebagai pendatang. Kerana anda datang dari benua lain yang masyarakatnya mempunyai budaya dan bahasa yang sangat ketara perbezaannya dengan etnik-etnik dibawah rumpun kami Austronesia. Anda datang dari The Middle Kingdom Tanah Besar China dan anda datang dari Benua Kecil India Bharata atau Jambu Dwipa. Tetapi anda mengatakan bangsa anda bukan pendatang? Bukankah datuk nenek malah mungkin ayah dan ibu anda baru sahaja menapak di bumi kami ini tak lebih dari seratus ke seratus lima puluh tahun yang lalu? Ini sangat melucukan.

 
Rupa lelaki Temuan ini saling tak tumpah seperti rupa orang Melayu.


Jika Sumatera dikatakan asal-usul Melayu, kerajaan orang apa yang wujud dari Johor sampai ke Segenting Kra sejak beribu tahun dahulu? Lankasuka, Chih-tu, Gangga Negara, Gelanggiu, Pan-pan, Peng keng Temasik dan Tiumah adalah kerajaan-kerajaan orang Melayu atau orang Proto Melayu yang telah bertamadun. Ptolemy, pelukis peta Yunani dari Mesir melabelkan Pulau Phuket di Thailand sebagai Jung Si Lang dalam petanya tahun 157 Masehi iaitu hampir 2000 tahun dahulu. Tetapi pihak kolonial menafsirkannya sebagai 'Junk Ceylon'. Namun nama sebenar pulau tersebut adalah berasal daripada bahasa Melayu iaitu Hujung salang. Hal ini membuktikan orang yang bertutur dalam bahasa Melayu itu sudah wujud di Phuket sejak 2000 tahun dahulu. Tak kisahlah mereka Orak Lawoi ke, Orang Seletar, Jakun, Kanaq atau orang-orang Asli yang lain. Apa yang penting mereka adalah leluhur kita. Sekian Wallah hu a’lam.
 
~ASJ~

Sabtu, 10 Mei 2014

BANGSA MELAYU HINDU-BUDDHA.



SUKU TENGGER YANG BERAGAMA HINDU



Saya runsing dengan masyarakat Malaysia zaman sekarang ini terutamanya dengan sikap segelintir daripada keturunan kaum imigran yang selalu sahaja membuat onar dengan menidakkan kewujudan sejarah Melayu kuno Hindu-Buddha. Mereka sangat susah untuk menerima hakikat bahawa rumpun Melayu pada zaman kuno pernah menganuti agama Hindu mahupun Buddha. Mungkin ini disebabkan kelemahan sistem pendidikan kita sebelum ini. Sampai bila gamaknya kami perlu terangkan kepada anda semua bahawa Hindu itu tidak semestinya anutan orang India dan Melayu itu tak semestinya beragama Islam. Bagi masalah ini kita harus ketepikan dahulu takrif Melayu dalam perlembagaan yang agak sempit itu, kerana 1000 tahun dahulu negara Malaysia dan perlembagaannya masih belum wujud.
Jika anda bertemu seseorang yang bernama Mohammad adakah anda akan mengecam bahawa dia seorang Melayu atau Arab, sedangkan orang kulit putih, orang negro Afrika dan orang China juga ada bernama Mohammad jika mereka beragama Islam? Malahan jika seseorang itu bernama Arab juga belum pasti bahawa mereka beragama Islam kerana wujud masyarakat Arab yang beragama Kristian dan Yahudi tetapi menggunakan nama dalam bahasa Arab seperti Jamal, Razak, Jamil, Abu Sufian, Musa, Isa dan Salman. Oleh itu adalah tidak berasas jika anda mengatakan bahawa seorang raja Malayu yang bernama Parameswara sebagai seorang yang berbangsa India, kerana selain daripada namanya, tiada bukti lain yang menunjukkan bahawa beliau berbangsa India. Nama sahaja belum dapat menentukan bangsa seseorang.
 
Ya, beliau mungkin beragama Hindu dan menggunakan gelaran Hindu, namun ini belum cukup membuktikan yang beliau berasal dari India atau berbangsa Tamil. Jika beliau memang berasal dari India atau berbangsa Tamil, mengapa tidak dikekalkan budaya, bahasa dan ciri-ciri keindiaan atau Tamilmya? Mengapa bila Islam datang tup-tup terus lenyap bahasa, tulisan dan ciri-ciri tamilnya raja itu. Macam magic la pulak! Sedangkan kaum Tamil Muslim yang wujud di India dan Malaysia pun masih mengekalkan bahasa, tulisan dan kebudayaan Tamil mereka sejak zaman berzaman dan disesuaikan dengan ajaran Islam. Jika anda kata raja tersebut telah ‘Masuk Melayu’ atau jadi Melayu kerana agama Islam, bagi saya alasan ini juga tidak munasabah kerana pada zaman tersebut rajalah yang paling berkuasa dan dijadikan contoh serta ikutan rakyat bukan sebaliknya raja yang perlu ikut cara hidup rakyat, tak ke pelik tu?
 
MASYARAKAT HINDU BALI
Kalau beliau seorang Tamil atau berasal dari India, beliauboleh saja mencorakkan orang Melayu mengikut corak budayanya sendiri seperti mewajibkan pemakaian sari, yang lelaki pakai doti, tulisan dan bahasa rasmi adalah dalam Tamil dan senibina rumah serta rumah ibadat juga senibina India selatan. Namun hakikatnya semua itu tidak berlaku kerana Parameswara dan lain-lain raja Malayu yang beragama Hindu dan bernama Hindu atau Sanskrit bukan berbangsa India tetapi MELAYU, walaupun memang terdapat dari kalangan mereka yang berkahwin dengan wanita dari bangsa India.
SUKU HINDU OSING DENGAN TARIAN TRADISI MEREKA.

Masih lagi tidak mahu percaya? Masih lagi bingung dengan gambaran yang orang Melayu sebelum kemasukan Islam adalah beragama Hindu atau Buddha? Baiklah, sebenarnya kalau anda mahu lihat bagaimana cara atau amalan kepercayaan Hindu dan Buddha masyarakat Melayu pada zaman kuno, anda boleh lihat dengan mudah di Jawa Timur, Bali, Thailand dan Kemboja. Di Jawa Timur masih wujud sekelompok kecil masyarakat Jawa yang masih mengekalkan ajaran Hindu zaman Majapahit. Mereka adalah suku etnik Osing dan Tengger. Kedua-dua suku ini bersama suku Bali dan sedikit daripada suku Sasak adalah saki baki masyarakat rumpun Melayu dari cabang etnik Jawa yang masih mengekalkan adat, budaya dan kepercayaan zaman kerajaan Hindu yang terkenal di nusantara yakni Mojopahit.
 
PERAYAAN KEAGAMAAN SUKU OSING

Suku Osing dan Tengger misalnya dikatakan berasal daripada keturunan putera-putera Majapahit yang tidak mahu memeluk agama Islam pada kurun ke-16. Bilangan mereka adalah kira-kira 400,000 orang dan mereka tnggal di daerah Banyuwangi di Jawa Timur. Walaupun telah wujud ramai daripada suku ini yang memeluk agama Islam, namun Islam yang mereka amalkan bukanlah Islam murni sebaliknya Islam Abangan atau Islam yang bercampur ajaran Hindu dan nenek moyang. Agama Hindu yang diamalkan mereka juga berbeza dengan ajaran Hindu di India kerana  ia turut bercampur amalan animism dan pemujaan nenek moyang, agama Hindu mereka dinamakan Hindu Thirta atau Hindu Dharma. Budaya Osing dan Tengger juga serupa dengan budaya Bali, dan penganut Hindu Osing dan Tengger merayakan perayaan Hindu yang sama dengan di Bali. Jadi jika kita mahu melihat bagaimana orang Melayu zaman dahulu mengamalkan ajaran Hindu, maka lihat sahaja pada suku-suku ini. Malahan kerajaan Hindu Jawa Timur iaitu Blambangan wujud sehingga tahun 1743 sebelum ditawan kerajaan Islam Mataram. Orang-orang Hindu yang lari daripada penguasaan Mataram inilah yang kemudiannya bermukim di Bali, Lombok dan Bayuwangi lalu membentuk kelompok etnik Bali, Tengger dan Osing.
 
PURA ATAU KUIL HINDU SUKU TENGGER BERDEKATAN GUNUNG BROMO. SENIBINANYA KHAS NUSANTARA ATAU SENIBINA JAWA MAJAPAHIT.

Lihat juga pada kesenian, pakaian, senibina, makanan malah adat istiadat serta amalan keagamaan suku Osing, Tengger dan Bali yang lansung tidak sama dengan apa yang diamalkan oleh masyarakat Hindu di India. Dengan kata lain agama Hindu yang diamalkan masyarakat rumpun Melayu ini bukan lagi agama Hindu murni tetapi agama Hindu yang telah diubahsuai mengikut local genius masyarakat tempatan yang tepu dengan kepercayaan animisme serta pemujaan roh nenek moyang, jadi ia tidak lagi boleh dikatakan berpaksi kepada tamadun India sebaliknya ia adalah tamadun yang mempunyai ciri khas yang tersendiri dan hanya asasnya sahaja yang diambil dari tamadun India. Perbezaan yang paling ketara ialah pada senibina kuil-kuil Hindu di Bali dan Lombok yang sangat jelas unsur-unsur local geniusnya, dan ia lansung tidak boleh disamakan dengan kuil-kuil Hindu di India apatah lagi di India selatan. Itu belum lagi jika saya menerangkan mengenai satu lagi kaum minotriti dalam rumpun Melayu yang masih kuat mengamalkan ajaran yang berasaskan Hindu iaitu Melayu Cham Balamon di Kemboja dan Vietnam. Mereka ini masih mengekalkan ajaran Hindu yang bercampur ajaran tradisional yang diwarisi dari kerajaan purba Champa. Merekalah Pembina Cham Tower yang indah serta unik binaannya tidak sama seperti binaan yang terdapat di India.
SENIBINA PURA ATAU KUIL HINDU DI BALI JUGA MENUNJUKKAN KEARIFAN LOKAL DAN TIDAK BERPANDUKAN CIRI SENIBINA INDIA.
 
 
 
Analogi mudah ialah seperti masakan Kari Kepala Ikan yang amat terkenal di Malaysia dan Singapura. Walaupun Kari itu asalnya dari India, namun Kari Kepala Ikan tidak dicipta di India tetapi sebaliknya ia dicipta di Malaysia atau Singapura mengikut citarasa masyarakat tempatan. Oleh itu kita tidak boleh kata yang Kari Kepala Ikan sebagai masakan warisan dari India, walaupun tukang masaknya mamak India, kerana ia dicipta di Nusantara oleh kehendak masyarakat dan selera nusantara dan bukan India. Begitulah juga dengan amalan dan kebudayaan Hindu-Buddha yang diamalkan oleh masyarakat Melayu pada zaman dahulu serta suku etnik Osing, Tengger dan Bali sekarang. Analogi lain ialah tentang Laksa, walaupun dunia mengiktiraf bahawa bangsa China lah yang mencipta mee, namun masakan Laksa tidak boleh dikatakan sebagai masakan asli milik kaum Cina, kerana kuahnya dan rencahnya malah cara memasaknya adalah khas bercitarasa tempatan dan dicipta oleh orang tempatan. Oleh sebab itu tiada sebab mengapa orang India mahu mengklaim Kari Kepala Ikan atau orang Cina mahu klaim Laksa sebagai milik bangsa mereka…J

PENDITA BRAHMIN SUKU TENGGER SEDANG MELAKUKAN RITUAL. JELAS KITA DAPAT LIHAT CARA BERPAKAIAN PENDITA BRAHMIN HINDU NUSANTARA JUGA BERBEZA DENGAN BRAHMIN DI INDIA.
 
 
Itu jika anda mahu lihat bagaimana amalan agama Hindu masyarakat rumpun Melayu zaman sebelum Islam. Jika anda ingin lihat bagaimana masyarakat Melayu zaman tersebut mengamalkan ajaran Buddha pula anda tak perlu fikir jauh-jauh hingga ke Sri Lanka atau Nepal, lihat sahaja jiran kita Thailand, Kemboja, Burma dan Laos. Boleh dikatakan sebahagian besar kerajaan-kerajaan Melayu kuno di Semenanjung dan Sumatera adalah penganut ajaran Buddha seperti kerajaan Chih Tu, Srivijaya, Gangganegara, Tambralingga, Kedah Tua, Kantoli, Pan-Pan, Langkasuka dan beberapa buah lagi kerajaan lain. Walaupun kerajaan-kerajaan ini dikatakan mengamalkan ajaran Buddha, namun ia juga bukanlah semurni ajaran asal Buddha seperti yang pernah diamalkan di Nepal dan India. Sebaliknya seperti juga ajaran Hindu, ia telah bercampur dengan amalan pagan, animism dan pemujaan nenek moyang. Malahan terdapat juga percampuran unsur-unsur Hindu seperti keberadaan kasta Brahmin dalam golongan istana sepertimana yang dicatatkan utusan dari dinasti Han ketika mereka melawat Chih Tu, sebuah kerajaan Melayu Buddha yang dipercayai terletak di pedalaman Kelantan.

SAMI BUDDHA THAI MENGAMALKAN YANT ATAU SAKYANT IAITU BERTATU YANG DIKATAKAN BOLEH MENAIKKAN SEMANGAT ATAU SERI SESEORANG. AMALAN INI BUKAN AJARAN ASAL BUDDHA.
Seperti yang telah disebutkan tadi, ajaran Buddha yang diamalkan oleh masyarakat Melayu purba juga banyak diselitkan unsur-unsur tradisional dan animisme. Kita boleh meneliti hal ini jika kita mengkaji ajaran Buddha yang diamalkan di Thailand pada hari ini. Walaupun Thailand dikatakan mengamalkan ajaran Buddha Theravada, namun terdapat banyak unsur-unsur tempatan yang terpatri dan terpancar pada amalan dan ritualnya. Di Thailand dan Burma walaupun mereka menyembah Buddha tetapi mereka turut menyembah ‘Nat’ atau dewa-dewi alam serta roh nenek moyang. Malahan amalan membina ‘rumah makan hantu’ di hadapan rumah mereka dan ritual pemberian ancak dan bunga bukanlah amalan Buddha asli sebaliknya amalan tradisional masyarakat Asia Tenggara termasuk juga masyarakat Melayu kuno.
 
Amalan pemberian persembahan pada hantu, roh, busut dan pokok besar ini sudah sebati dalam kalangan masyarakat tempatan dan ia tidak berubah sebaliknya terasimilasi dengan ajaran Hindu mahupun Buddha apabila ia diperkenalkan di Asia Tenggara. Contoh lain ialah amalan sihir dukun Tok Cha atau tok sami di Thailand. Dalam ajaran asal Buddha tidak wujud upacara sihir dan jampi serapah dan sebagainya, tetapi amalan ini adalah sinkretisme dari amalan tradisi orang-orang Asia tenggara. Sami-sami Melayu zaman dahulu bukan sahaja mentelaah kitab-kitab Buddha tetapi turut menjadi dukun atau bomoh yang mengubati pelbagai penyakit terutama yang bersifat supra natural. Malah di Thailand sekarang masih wujud amalan pemakaian cacah atau tattoo bermantera yang dilakukan oleh sami-sami Buddha. Ternyata amalan ini tidak wujud pada ajaran asal Buddha.
 
INI ADALAH SPIRIT HOUSE ATAU RUMAH KERAMAT YANG KITA BOLEH LIHAT TERDAPAT DI TEMPAT-TEMPAT TERTENTU SAMAADA DI SIMPANG JALAN MAHUPUN DIHADAPAN RUMAH SESEORANG. IA ADALAH TEMPAT UNTUK MENJAMU ROH ATAU HANTU.

Mengapa saya banyak mengambil contoh Thailand? Hal ini kerana Thailand masih mewarisi legasi kebudayaan Buddha zaman Melayu kuno terutama zaman Srivijaya atau lebih dikenali sebagai Siweechai dalam bahasa Thai. Selain itu sebahagian daripada wilayah tengah hingga selatan Thailand juga pada zaman kuno adalah dibawah pengaruh kerajaan Melayu Srivijaya. Oleh sebab itu pengaruh Melayu zaman kerajaan Buddha Srivijaya boleh digambarkan sekiranya kita melihat pada budaya tradisi masyarakat Thai malahan Khmer pada hari ini kerana kerajaan Khmer juga pernah bernaung dibawah kekuasaan kerajaan-kerajaan Melayu seperti Funan, Champa dan Srivijaya.
Seperti yang kita sedia maklum kerajaan Buddha yang paling kuat, besar serta terkenal di seluruh nusantara adalah kerajaan Srivijaya. Nama atau gelaran raja-raja Srivijaya jika dilihat secara kasar sangat tepu dengan pengaruh India atau lebih tepat sebenarnya pengaruh Sanskrit dan Pali. Namun demikian terdapat bukti yang kukuh bahawa mereka bukanlah dari bangsa India, antaranya ialah nama raja terawal Srivijaya yang pernah dicatatkan iaitu Dapunta Hyang Sri Jayanasa. Dapunta Hyang adalah gelaran yang tiada pada mana-mana raja India kerana ia bukan berasal daripada bahasa Sanskrit apatah lagi Tamil, sebaliknya ia adalah gelaran khas terhadap raja-raja Melayu purba. Antara nama-nama Maharaja Srivijaya yang lain ialah seperti Sri Indravarman, Rudra Vikraman, Sri Dharmasetu, Samaratungga, Balaputradewa, Sri Udayadityavarman,  Sri Chulamanivarman, Mara Vijayatungga Varman Serta Sagrama dan Samara Vijayatungga Varman.

Ya, nama-nama ini berunsur keindiaan atau sebenarnya berunsur Pali serta Sanskrit. Namun mereka bukanlah berbangsa India! Buktinya adalah daripada prasasti-prasasti yang dipahat oleh raja-raja Srivijaya ini seperti prasasti Kedukan Bukit 683 M, prasasti Talang Tuwo, 684 M, prasasti Kota Kapur 686 M, prasasti Karang Berahi, prasasti Telaga Batu, prasasti Palas Pasemah, prasati Hujung Langit, prasasti Sojomerto dan prasasti Gandasuli serta beberapa buah lagi prasasti lain yang bertebaran dari Sumatera hingga ke Jawa. Kesemua prasasti ini bukan ditulis dalam bahasa Hindustan, Punjabi, Gujarati, Benggali, Malayali, Telugu mahupun Tamil, sebaliknya ia ditulis dalam bahasa Melayu kuno yang bercampur dengan peminjaman kosakata Sanskrit tulin. Anda boleh Google sahaja tentang prasasti-prasasti ini dan baca bait-baitnya maka anda akan sedar bahawa ia memang bahasa Melayu yang bercampur Sanskrit dan bukan bahasa Tamil, Malayali atau Punjabi.


SEBELUM MASUKNYA PENGARUH AGAMA HINDU MAHUPUN BUDDHA DI ALAM MELAYU INI MASYARAKAT RUMPUN MELAYU TELAHPUN MEMPUNYAI KETAMADUNAN YANG TINGGI. BUKTINYA ADALAH PADA BINAAN MEGALITIK BERUNSUR STEP PIRAMID YANG TERDAPAT DI GUNUNG PADANG, INDONESIA.
Orang Melayu kuno bukanlah orang bodoh yang hanya tinggal di gua dan memburu di hutan. Mereka pintar dan kreatif, mereka tidak meniru mentah-mentah ilmu yang datang dari India. Mereka meniru agama dari India tetapi mereka mencorakkan serta membangunkan agama serta tempat ibadatnya dengan kretiviti tempatan bernuansa nusantara. Huruf pallava India pula dimodifikasi menjadi huruf Jawa kuno dan Melayu kuno. Bahasa Melayu kuno juga ditambah dengan kosa kata dari bahasa sanskrit yang pada suatu masa dahulu menjadi bahasa internasional. Peminjaman kosakata dari Sanskrit bukanlah perkara yang asing dikalangan masyarakat Asia tenggara, kerana selain masyarakat Melayu, masyarakat Thai, Laos, Khmer dan Burma juga banyak meminjam atau mencedok bahasa Sanskrit dan Pali ke dalam bahasa mereka.
CANDI BOROBUDUR BINAAN KERAJAAN MELAYU SRIVIJAYA DINASTI SAILENDRA TERSENARAI SEBAGAI SALAH SEBUAH  BINAAN PIRAMID TERHEBAT DUNIA. ADAKAH WUJUD BINAAN YANG SAMA TARAF DENGAN BOROBUDUR DI INDIA?


Oleh itu jelas disini bahawa hujah yang mengatakan bahawa kerajaan-kerajaan Hindu Buddha yang wujud di nusantara ini adalah kerajaan suku kaum India dan bukan milik kaum rumpun Melayu adalah salah sama sekali. Ternyata pihak yang mengeluarkan hujah begini adalah buta sejarah atau memang sengaja mahu membangkitkan sensitiviti orang Melayu dengan menidakkan ketamadunan bangsa Melayu. Mereka cuba meracun masyarakat Melayu dengan cara meracun akarnya iaitu sejarah bangsa Melayu. Jika mereka mahu hidup dengan harmoni seperti yang digembar-gemburkan, tidak sepatutnya mereka memutarbelitkan sejarah masyarakat bumiputra. Seharusnya mereka menghormati dan menerima seadanya kelebihan yang ada pada kaum pribumi dan bumiputra yang paling awal membina tamadun dan kerajaan di tanah bertuah ini.
 
 Apa tidak cukupkah dengan sejarah tamadun bangsa mereka di tanah asal nenek moyang mereka hinggakan sejarah ketamadunan bangsa rumpun Melayu juga ingin dibaham dan dihak milikan oleh mereka? Bagaimana jika kami orang Melayu memperkotak katikkan sejarah bangsa anda? Bagaimana kalau kami kata yang bahasa Tamil itu tidak wujud dan tamadun Chola itu hanya dongeng pak kaduk dan orang-orang India sebenarnya tidak pernah mempunyai tamadun apatah lagi kerajaan yang hebat? Amacam? Tentu anda berasa marah, geram dan menyampah bukan? Begitulah perasaan kami orang Melayu apabila sejarah tamadun bangsa kami cuba di pertikaikan. Sekian. Wallah Hu a’lam.
 ~AL SEMANTANI JONES~