Isnin, 3 Februari 2014

APA SALAH MELAYU?




 

Saya pasti anda semua sudah maklum akan pembantaian terhadap raja-raja Melayu dan golongan bangsawan Melayu terpelajar di Sumatera dan Kalimantan oleh pihak yang mendakwa kononnya sebagai golongan Nasionalis Indonesia sekitar 1946 dan 1960-an. Tak silap saya sudah ada banyak blogger yang menulis mengenainya. Saya ingin menulis sekali lagi mengenai peristiwa ini sebagai peringatan kepada kita bangsa Melayu. Di bawah adalah ringkasan kepada peristiwa-peristiwa sadis yang berlaku di kerajaan-kerajaan Melayu Islam dan Simalugun serta Karo yang telah diserang oleh manusia-manusia kejam ini. Peristiwa ini berlaku hampir serentak di Sumatera iaitu pada 3 Mac 1946 dan kemudiannya pada 1960-an di sebuah kerajaan Melayu di Kalimantan.

Raja Simalugun
 
·         TANAH KARO-

di Kota Berastagi, para pemuda nasionalis menangkap dan mengasingkan para raja Urung dan Sibayak yang diundang ke sebuah majlis. Sebanyak tujuh belas orang Raja ditangkap dan diasingkan ke Aceh, nasib mereka tidak diketahui. Bangsawan serta Datok Tumenggung di Penggal Kepalanya. Raja Raya disembelih di jembatan besar, Raja Silimakuta dilindungi TKR, tapi ahli keluarganya semua di bunuh, ada yang di bakar hidup-hidup dan ada yang di Penggal kepalanya .

·          SIMALUNGUN-

Barisan Harimau Liar pada malam 3 Mac menangkap raja Kerajaan Pane beserta keluarganya, lalu merampas harta benda mereka. Raja dan keluarganya dibawa ke suatu tempat pesta, kemudian mereka dibunuh dengan kejam.

·         KESULTANAN ASAHAN, TANJUNG BALAI-

Pukul enam pagi, istana diserang sekelompok orang dari Nasional Pelopor Indonesia (Napindo), Pemuda Sosialis Indonesia (Pesindo), Ku Tui Sin Tai (Barisan Harimau Liar), Barisan Merah/Partai Komunis Indonesia, Hizbullah, dan buruh-buruh Jawa. Seluruh keluarga dan kerabat kesultanan Melayu Islam serta orang-orang yang bekerja untuk istana ditangkap. Harta benda mereka dirampas. Sultan Sjaiboen Abdoel Djalil Rachmatsjah, Sultan Asahan sempat melarikan diri dari belakang istana.

·         KESULTANAN KUALUH-

Ketika penghuni Istana sedang tidur, istana diserbu segerombolan orang bersenjata tajam. Malam itu, istana diselongkar habis. Tengku Al Hadji Moehammad Sjah, Sultan Kualuh dibawa ke kuburan Cina, tak jauh dari istana. Tengku Besar juga dijemput dari rumah istrinya dan dibawa ke tempat yang sama. Mereka disiksa dengan kejam, lalu ditinggalkan. Tengku Hasnan, Tengku Long, serta seluruh keluarganya dipenggal kepalanya. Seramai 73 orang bangsawan dan kerabat diraja Melayu yang terkorban pada malam itu.

·         KESULTANAN MELAYU DELI-

Ahli Persatoean Perdjoeangan (PP), yang ditubuhkan oleh Tan Malaka, dan Persatuan Ulama Seluruh Aceh (PUSA??) menyerang istana Deli, Istana di tembak. Tapi Sultan selamat dengan bantuan askar Inggeris dan tentera kerajaan. Namun Bangsawan, datuk, orang yang berpangkal nama wan dan warga Melayu deli di luar istana Banyak di Bunuh.

·         KESULTANAN MELAYU SERDANG-

Sultan dan keluarganya hanya ditahan di istananya di Perbaungan. Sultan Serdang dipandang lebih berpihak pada Republik, banyak orang yang melindungi dan menjaga Istananya.

·         KESULTANAN MELAYU LANGKAT-

Pesindo menangkap 21 orang kerabat istana. Istana Sultan Langkat di Tanjung Pura dan di kota Binjai dirompak, Bangsawan-bangsawan Langkat ditangkap dan sebagian besar dibunuh dengan kejam termasuk pujangga besar Tengku Amir Hamzah, puteri-puteri Sultan Langkat diperkosa di depan mata ayahanda , Sultan Langkat, dan putra mahkota yang masih belia hilang hingga kini. Tengku Kamil, Ahli Keluarga Kesultanan Langkat wafat setelah di tebas dengan parang. Semua Tengku, Datuk,Wan dan ahli Istana mati di bunuh.. Kesultanan Melayu Langkat paling banyak di bunuh PKI dan Pesindo.

·         KESULTANAN MELAYU BULUNGAN, KALIMANTAN, 18 JULY 1964-

Sepasukan tentara dari satuan tempur Brawijaya 517 mengepung istana Kesultanan Bulungan. Masyarakat yang sedang mengambil wudhu di Sungai Kayan untuk solat subuh terkejut melihat banyaknya tentera. Dan sekitar pukul enam pagi, seluruh masyarakat di Tanjung Palas dikumpulkan di depan istana. Mayor Sumina Husain, Komandan Kodim 0903 Bulungan di Tanjung Selor, berkata”Para bangsawan Bulungan ingin memberontak terhadap pemerintah Republik Indonesia.” Namun, Datu Taruna, bangsawan Bulungan, menyanggahnya. Letnan B. Simatupang marah, lalu memerintahkan seorang polis M. Ramli untuk menembak Datu Taruna yang akhirnya rebah bersimbah darah. Istana dan harta benda dijarah. Satu per satu bangsawan Bulungan hilang. Sisanya ditangkap dan dibunuh. Kemudian Sabtu malam, 18 July 1964, istana Raja Muda pun dibakar. Istana Bulungan bertingkat dua itu dibakar selama dua hari dua malam hingga rata.

 
Putera-putera Raja Deli, Langkat dan Asahan. Segak berpakaian tradisional Melayu. Berkemungkinan mereka juga diantara kaum kerabat yang telah mati dibunuh.


Penghapusan etnik yang kononnya dikatakan sebagai Revolusi sosial di Indonesia ini menghasilkan begitu banyak pembunuhan, pembantaian, dan kekacauan. Dokumen Belanda memperkirakan bahawa revolusi ini menelan korban sebanyak 1200 orang di Asahan sahaja. Belum lagi di daerah lainnya. Kaum bangsawan Melayu di beberapa daerah termasuk perempuan dan kanak-kanak ditangkap dan dibawa ke Concentration camp di Simalungun dan Tanah Karo. Kaum non-pribumi pun tidak terkecuali, Cina dan India banyak menjadi korban. Kaum bangsawan dinista dan dicacimaki sebagai orang bodoh dan pemalas serta berada dalam kemiskinan dan tidak mendapat bantuan Negara dan di negerinya sendiri.

 

Dua generasi orang Melayu hampir kehilangan identiti mereka. Mereka takut mengaku Melayu, takut memakai baju teluk belanga dan sengaja menambah gelar keturunan Batak di depan namanya supaya boleh masuk sekolah atau diterima di pejabat kerajaan. Mereka menghilangkan gelaran Tengku, Wan, OK dan Datuk kerana takut dicaci sebagai feudal, bahkan kaum Melayu yang bukan bangsawan tetapi bekerja dengan para Sultan dan Tengku pun turut ditindas. Banyak dari mereka berhijrah ke Semenanjung, terutama di Kedah da Perak kerana masih erat hubungan kekerabatan. Sebahagian lagi pergi ke Belanda.

 

Kalau kita baca di Wikipedia atau buku-buku sejarah sekolah Indonesia, pasti akan tertulis yang revolusi ini terjadi kerana para sultan Melayu serta raja-raja Simalugun dan Karo banyak menindas rakyat miskin dan tidak mempedulikan rakyat mereka yang dalam kesusahan atau mereka bersubahat dengan penjajah. Ternyata hal ini adalah propaganda dari pihak pemerintah Pro-Jawa-komunis. Dalam penulisannya berjudul “Revolusi Sosial Berdarah di Simalungun Tahun 1946”, Paderi Juandaha Raya Purba Dasuha menuliskan kisah sebenar yang berlaku. Dia membantah sebutan ‘Raja-raja menindas rakyat’ yang selama ini disebut-sebut sebagai pembenar pembantaian kejam tersebut. Hal ini kerana yang bangkit menyerang raja-raja simalugun, melayu dan pane misalnya adalah para pedatang tapanuli dan jawa yang telah diberikan tanah dan sawah oleh pemerintah melayu dan raja-raja panei.

 

Menurut Tengku Haniah salah seorang kerabat Kesultanan Asahan yang sudah berumur lebih 85 tahun, jika benar mereka  mahu menghapuskan kerajaan monarki atau Kesultanan, mengapa Kesultanan Jogjakarta Jawa dibiarkan!Apapunlah alasan mereka, pembunuhan dan perompakan itu tetap satu kejahatan” ujar Haniah. Seorang puteri bangsawan yang pada usia mudanya hidup senang, demi bertahan hidup, setelah kehilangan seluruh harta bendanya, Haniah bekerja menggulung rokok malah membuat bunga dari plastik untuk mencari sesuap nasi.

 
Istana Kesultanan Langkat


Walaupun revolusi yang hamper sama berlaku di Kesunanan Surakarta, namun yang menjadi mangsa hanyalah beberapa penasihat sultan dan pekerja-pekerja istana. Keluarga sultan serta para bangsawan tertinggi tetap dilindungi tentera kerajaan Indonesia. Namun raja-raja Melayu dibiarkan untuk mempertahankan diri mereka dan keluarga mereka sendiri. Sebenarnya para pembaca sekalian, satu perkara yang saya mahu tekankan tentang peristiwa ini adalah hakikat bahawa negeri-negeri Melayu yang terlibat ini semuanya adalah negeri yang tersangat-sangat kaya dengan hasil perlombongan, getah, sawit, tanaman-tanaman komersil seperti kopi, koko dan lada malah telaga minyak!

 

Di negeri-negeri ini wujud pekan-pekan, pelabuhan serta bandar yang makmur dan indah, malah para sultan mempunyai kapal dagang dan kapal wap masing-masing seperti Sultan Langkat dan Sultan Bulungan. Kekayaan negeri-negeri Melayu ini sentiasa di cemburui oleh pihak-pihak tertentu.

 
Kapal Wap Sultan Langkat


Betul lah kata seorang pengkaji sejarah bahawa orang Melayu ini walau dimanapun dia tercampak dan membuka kerajaan, pasti kerajaan itu akan jadi, terkenal, kaya dan menjadi pusat perdagangan yang masyhur. Contohnya lihat sahaja Parameswara yang membuka Melaka, kemudian keturunannya Sultan Alauddin yang membuka Johor, kerabat-kerabat Melayu dari Semenanjung dan Sumatera yang berhijrah ke kepulauan Filipina dan Kalimantan selatan dan membuka kerajaan-kerajaan baru. Kebanyakannya menjadi pusat persinggaan dan perdagangan yang maju.

 

Oleh sebab itu pada pendapat penulis, peristiwa, pembunuhan hampir seluruh sultan-sultan Melayu dan kaum bangsawan serta kerabat, bukan hanya satu revolusi sosial, sebaliknya sebagai satu cover up oleh pihak tertentu dari belakang tabir atau hidden hand yang menggunakan nama pejuang nasionalis kemerdekaan Indonesia untuk mendapatkan kekayaan raja-raja Melayu dan hasil mahsul negeri mereka serta menghapuskan kedaulatan dan keturunan raja-raja Melayu.

 

 Begitulah sedikit sebanyak peristiwa operasi terancang yang secara sengaja untuk menghapuskan kerajaan-kerajaan etnik Melayu dan yang dekat dengannya atas sebab-sebab yang masih kurang jelas sehingga sekarang. Sebenarnya tidak ada sebarang justifikasi yang boleh diberikan terhadap peristiwa ini kerana ia terang-terangan adalah serupa dengan ethnic cleansing. Walau apa pun alasan yang diberi untuk mengelak dari memperkatakan mengenainya, konflik diantara ketuanan Melayu dengan ketuanan Jawa di nusantara ini adalah sesuatu yang reality dan sudah sekian lama berlaku. Sejak ekspedisi Srivijaya terhadap pulau Jawa dan dan diikuti pula dengan ekspedisi Pamalayu oleh Majapahit, konflik ini sudah bermula, walaupun dua suku besar dan penting nusantara ini adalah dari rumpun yang sama. Sekian. Wallah hu a’lam.

.

Khamis, 23 Januari 2014

MALAYSIA TIADA PAHLAWAN NASIONAL!



 

 


 


Saya tergerak untuk menulis artikel ini kerana terdapatnya tohmahan dari sesetengah pihak atau individu tertentu dari negara jiran yang mengatakan bahawa bangsa Malaysia tiada pejuang atau penentang terhadap penjajahan British. Mereka beranggapan bahawa bangsa Malaysia ini lemah dan lembik kerana Malaysia merdeka dengan cara yang aman dan tidak berklakunya konflik yang menumpahkan darah anak watan seperti negara mereka. Ternyata dakwaan bahawa kita tiada pejuang ini adalah spekulasi rambang semata-mata. Kita sebagai rakyat Malaysia sudah sedia maklum bahawa memang wujud penentangan terhadap pendudukan British di Tanah Melayu ini sejak awal lagi. Seharusnya orang seberang harus peka dengan sejarah negara serantau dan tidak membuat tuduhan melulu bagaikan orang tidak bersekolah.

 

 Apa yang tidak difahami oleh masyarakat luar seperti dari negara seberang adalah mereka menganggap penjajahan Brtish di negara ini adalah penjajahan total sepertimana yang dilaksanakan oleh pemerintah Belanda di negara mereka. Di Malaysia British pada awalnya hanya meletakkan seorang residen yang bertindak sebagai penasihat kepada sultan dan tidak menggantikan sultan itu sendiri. Walaupun British menguasai ekonomi tempatan, namun mereka masih memelihara Institusi Kesultanan di Tanah Melayu. Hal inilah yang menyebabkan penjajahan British di Tanah Melayu lebih unik dan terkecuali berbanding dengan jajahan-jajahan kolonial yang lain di seluruh dunia.

 

 Oleh sebab itu penentangan yang berlaku di Tanah Melayu dilihat sedikit berbeza dan terpencil berbanding dengan tanah-tanah jajahan yang lain contohnya Indonesia. Hanya apabila British mahu menubuhkan Malayan Union barulah berlakunya penentangan secara bersepadu dan menyeluruh oleh orang Melayu kerana institusi beraja mahu dihapuskan. Namun demikian, penentangan yang dibangkitkan orang Melayu tetap secara aman kerana pemimpin Melayu tahu bahawa perjuangan dengan cara kekerasan pasti akan merugikan semua pihak terutamanya orang Melayu sendiri.               

                                                                                                                           

Bagi membuktikan bahawa wujudnya penentangan terhadap penjajajahan British di Tanah Melayu maka kali ini saya akan menulis mengenai salah seorang pejuang nasional yang terkenal di Malaysia iaitu Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh, atau lebih dikenali sebagai Dato' Bahaman yang merupakan Orang Besar atau golongan bangsawan yang menentang penjajah British di Semantan, kawasannya di negeri Pahang, Tanah Melayu yang juga merupakan tempat saya dibesarkan. Ketika orang Aceh dan beberapa lagi wilayah lain di Indonesia masih sedang hebat berperang dengan penjajah Belanda secara gerila. Tokoh ini juga melancarkan perangnya terhadap penjajah British di kawasan pentadbirannya di Semantan, Temerloh, Pahang.

 


Dato Bahaman ialah anak kepada pasangan Tuanku Imam Nuh dan Rokiah Abdul Rahman, anak perempuan Tok Setia Perkasa Semantan. Beliau merupakan seorang yang pandai bersilat dan dikabarkan melalui sumber lisan mempunyai ilmu kebal, kelebihan ini telah menyebabkan Bahaman digelarkan sebagai 'Seman Tahan' oleh penduduk di sekitar kawasan itu sehingga sungai yang tidak bernama ketika itu diberi nama Sungai Seman Tahan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan British.

 

 Dato Bahaman pernah berkahwin sebanyak enam kali. Isteri pertamanya ialah Cik Mukut anak seorang Cina kaum Taicu yang dipelihara oleh Bendahara Ali. Manakala isteri keduanya pula adalah seorang perempuan dari Kg. Penjom, Raub iaitu Cik Bibah. Anaknya,Encik Awang Mohammad atau Awang Nong meninggal di Batu Hampar ketika  bertempur dengan pihak Inggeris dalam gerakan Raja. Perkahwinan ketiga adalah dengan anak Encik Buang, orang Tembeling, Jerantut yang bernama Cik Nik. Anaknya, Encik Muhammad telah dilantik menjadi Penghulu Semantan dan Awang Ahmad menjadi penghulu di Padang Tengku.

 

 Isteri keempat pula adalah dengan anak seorang Rawa yang bernama Cik Ba’iyah binti Malim Kuning. Yang Burbah, anak Tok Setia Lela Kerdau adalah isteri Datuk Bahaman yang kelima dan mendapat anak diberi nama Jantan yang menjadi guru tetapi telah mati dibunuh semasa pemerintahan Jepun. Seterusnya, isteri yang keenam pula ialah orang Kelang dari Permatang Pasir yang bernama Yang Chik binti Aman. Anak gadis ini adalah hadiah dari Tengku Kudin bagi membalas jasanya dalam perang Kelang. Anak dari perkahwinan itu telah meninggal dunia sebelum dewasa.

 

Dato’ Bahaman juga dikatakan pernah menjadi anak angkat kepada Bendahara Ali dan menjadi rakan sepermainan kepada Sultan Ahmad ketika mudanya. Apabila Sultan Ahmad menaiki takhta, Dato’ Bahaman terus menabur bakti kepada tanah airnya. Beliau bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan Sultan Ahmad. Hubungan mereka sangat rapat pada ketika itu. Beliau telah diangkat sebagai salah seorang Orang Besar Berlapan dan dianugerahkan dengan gelaran Dato’ Setia Perkasa Pahlawan Semantan kerana beliau telah menunjukkan sikap serta kebolehannya sebagai panglima dalam perang saudara antara Sultan Ahmad dan adinda baginda Wan Mutahir serta memimpin pasukan Pahang untuk membantu Tengku Kudin dalam perang Saudara di Klang, Selangor. Selepas kematian Orang Kaya Indera Segara, Dato’ Bahaman telah dilantik oleh Sultan Ahmad sebagai Orang Kaya Temerloh. Dengan pangkat tersebut, kedudukan Dato’ Bahaman adalah sedarjat dengan Orang Besar Berempat dan seringkali diajak berunding oleh baginda Sultan Ahmad.

 


Perang Semantan

Punca utama Perang Semantan ialah ketidakpuasan hati Orang-orang Besar Pahang terhadap campur tangan British ke atas kawasan mereka. Ketegangan itu bermula pada bulan Disember 1890 ketika E.A Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua yang terletak di kawasan Dato' Bahaman, tanpa sebarang perundingan dengannya. Apabila Hugh Clifford, Pemangku Residen British Pahang, mengetahui hal tersebut, beliau menasihatkan Sultan dan baginda kemudian menitahkan Dato' Bahaman supaya pergi ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat. Oleh sebab Dato' Bahaman enggan ke Pekan, Sultan mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Orang Kaya Semantan. Namun demikian tindakan ini sebenarnya bukanlah kehendak Sultan Ahmad sendiri kerana Dato Bahaman adalah rakan karib Baginda. Sebenarnya sultan telah dipaksa oleh pihak British dan diugut.

 

Tindakan itu menyakitkan hati Dato' Bahaman. Keadaan ini menyebabkan beliau dan pengikut-pengikutnya menyerang hendap C.E.M Deaborough di Sungai Semantan pada 15 Disember 1891 ketika beliau menyangka Desborough datang untuk menangkapnya. Dalam serangan tiba-tiba itu, pihak Desborough telah kalah dan mereka melarikan diri ke bandar Temerloh. Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu, pegawai-pegawai British Pahang menyediakan tentera untuk melawan penentang-penentang Melayu. Ekoran dari itu pada 21 Disember 1891, satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato' Bahaman. Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak British dengan Dato' Bahaman tetapi pihak British sekali lagi ditewaskan.

 

Tempat-tempat lain yang pernah berlaku pertempuran sepanjang Perang Semantan adalah seperti di Pasir Rawa Mentakab, Batu Hampar dan Kuala Dal dan Linggam di Rantau Panjang. Selain itu pertempuran juga berlaku di Jeram Temeriak tidak jauh dari Bentong. Jeram Temeriak sekarang terletak tidak jauh dari Sungai Dua, sungai di situ sempit dan terletak berhampiran lereng bukit yang curam. Orang-orang Bahaman telah menggolekkan batu-batu besar, apabila perahu mata–mata Inggeris melalui jeram tersebut. Tektik perang gerila ini digunakan oleh pengikut Bahaman apabila berdepan dan tahu mata-mata Inggeris hendak menyerang.

 

Bahaman juga mempunyai pembesar atau ketua tempatan sendiri untuk membantunya dalam urusan penentangan di daerah-daerah tertentu kekuasaannya ,seperti Penglima Besar Abd Majid ( Rantau Panjang ),Imam Perang Yaman ( Kuala Kaung ), Penglima Raja Awang Sabak ( Mempateh ) Imam Perang Weh ( Chempaka ), Tok Muda Bidin ( Teris ) , Tok Pemangku Din ( Bolok ). Dikatakan bahawa Imam Perang Weh dan Khatib Bidin telah syahid dalam peperangan di Kelubi, Batu Lima.

 

 

 

Pada Januari 1892, pihak Inggeris telah memaksa Sultan Wan Ahmad untuk menamatkan kebangkitan Dato’ Bahaman di Pahang. Satu pasukan yang dinamakan “Gerakan Sultan” telah dilancarkan pada 22 Januari 1892 dengan kekuatan 800 orang. Seramai 140 daripadanya mempunyai senjat api yang dipimpin oleh Tengku Ali, Rodger (Residen Pahang), Panglima Garang Yusof, Saiyid Ali Badoh dan Abdullah dari Bera. Gerakan ini juga menemui kegagalan kerana selain daripada hanya dapat memusnahkan 11 buah kubu kecil termasuk Kubu Batu Ampar, jejak Dato’ Bahaman tidak dapat dikesan dan tidak ada tanda-tanda yang memungkinkan Orang Kaya Semantan itu dan pengikut-pengikutnya yang terdekat akan tertangkap.

 

Terdapat sumber yang mengatakan bahawa orang-orang Melayu dalam pasukan British ini sebenarnya sengaja membawa tentera dan pasukan mereka ke arah yang bertentangan dengan tempat sebenar Dato Bahaman dan para pengikutnya berada. Hal ini kerana mereka dan juga Sultan Ahmad dengan senyap-senyap ingin membantu Dato Bahaman. Pada awal bulan Februari, 1892, keadaan tegang dianggap telah berakhir. Untuk sementara waktu, daerah Semantan telah diletakkan dibawah jagaan Abdullah Bera.

 

Pada Mac 1892, pasukan Dato’ Bahaman berjaya menawan semula Lubuk Terua. Perjuangan Dato’ Bahaman menjadi lebih hebat kerana dibantu oleh Tok Gajah. Pihak Inggeris kalah dan Abdullah Bera terpaksa pulang ke Bera. Kubu Lubuk Terua dikawal oleh orang-orang dari Cempaka dan Buluh. Ternyata mereka bersimpati dengan gerakan penentangan Dato’ Bahaman terhadap Inggeris. Pada Mei 1892, Inggeris telah menyerang Lubuk Terua lagi. Pejuang Pahang terpaksa berundur ke Kelantan dan Terengganu. Di Terengganu, Ulama Tok Ku Paluh telah menyemarakkan semangat pejuang Pahang untuk berjihad menentang Inggeris. Pada 14 Jun 1894, Kuala Tembeling dan Jeram Ampai berjaya ditawan oleh Dato’ Bahaman bersama 100 orang pengikutnya.

 

 

Pada 29 Jun 1894 sepasukan tentera kerajaan Inggeris yang diketuai oleh Jeneral Walker menyerang kumpulan penentang Inggeris yang diketuai oleh Dato Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan Mat Kelubi di Jeram Ampai, Kuala Tembeling, Pahang. Dalam serangan itu Pemangku Penguasa Ulu Pahang bernama Wise, terbunuh bersama empat anggota polis. Serangan tersebut menyebabkan Mat Kilau berundur ke Kelantan. Ini menandakan berakhirnya perang menentang Inggeris di Pahang.

 

Sir Hugh Clifford, Residen Bristish di Pahang melancarkan operasi secara besar-besaran yang menelan belanja yang sangat banyak untuk memburu mereka hingga ke Terengganu dan Kelantan. Gerakan itu dihentikan pada bulan November 1895 apabila Dato Bahaman, Pawang Nong dan Mat Lela dikatakan menyerah diri kepada kerajaan Siam tetapi diberi tempoh perlindungan dan ditempatkan di Chiengmai pada awal 1896, manakala Tok Gajah dan Mat Kilau diberitakan meninggal di Terengganu. Kebangkitan Dato’ Bahaman selama 4 tahun dari 1891-1894 telah menyebabkan pihak Inggeris menanggung hutang yang banyak. Sultan Ahmad dipaksa membayar sebanyak 7200.00 dollar setahun bagi menyelesaikan hutang tersebut.

 


Memandangkan keadaan tidak selamat di Kelantan, Dato’ Bahaman dan pengikutnya telah mengambil keputusan pergi ke Siam. Sebelum itu satu persetiaan telah dilakukan di Kg. Bukit Haji Pak Jedih, Tanah Merah, dimana para pejuang bersumpah akan menggunakan nama lain dan tidak akan mendedahkan siapa diri mereka sebenarnya. Seramai 7 orang terlibat dalam sumpah persetiaan itu, iaitu Dato’ Bahaman (Panglima Kakap), Mat Kilau (Mat Siam, Mat Dahan, Mat Dadu, Mohamed Ibrahim), Mat Lela (Kilat Senja, Gong Poh), Mamat Kelubi (Tok Janggut).

 

Pada tahun 1911, Dato’ Bahaman telah ke Kelantan semula manakala Mat Lela pergi ke Indonesia, sementara 2 orang pejuang lagi telah meninggal dunia di Patani, Siam. Pada tahun 1920, Dato’ Bahaman balik ke Kuantan dan tinggal di Kg. Paya Lalang dengan memakai nama Lebai Deraman. Pada tahun 1926, Dato’ Bahaman berpindah ke Kg. Peramu dan dikenali sebagai Tok Guru Peramu. Mat Kilau pula dikatakan berpindah ke Kg Aur Rompin, Tanjung Medang, Kg. pasir Panjang, Kg. Batu Tering Pekan, Kg. Batu Lima Jalan Gambang. Mamat Kelubi dan Panglima Hitam tidak diketahui kisahnya. Dato’ Bahaman tinggal di Kg. Peramu sehinggalah kematiannya.

 

Jelas melalui penulisan ini ahawa tohmahan busuk individu tertentu dari seberang yang mrngatakan bahawa orang melayu di Malaysia tiada pahlawan atau pejuang nasional adalah satu tuduhan yang tidak berasas. Dato Bahaman hanyalah salah seorang sahaja daripada ramai lagi pejuang-pejuang nasional Tanah Melayu yang telah bersusah payah memimpin rakyat tempatan untuk menentang ketamakan dan kerakusan penjajah mengaut hasil mahsul bumi Tanah Melayu ini untuk kepentingan mereka. Ramai dikalangan pengikut-pengikut Dato Bahaman yang juga terdiri dari orang biasa dan pemimpin masyarakat, yang syahid dibedil senapang British laknatullah. Adakah mereka ini bukan pejuang yang mempertahankan tanah air mereka dan menumpahkan darah mereka? Ya, mungkin benar bahawa Indonesia mempunyai lebih ramai pejuang nasional yang menentang Belanda, namun hal tersebut tidak boleh disamakan dengan Malaysia atau Tanah Melayu kerana Indonesia wilayahnya lebih luas, lebih bermacam dan lebih banyak penduduknya. Adalah tidak adil untuk membandingkan kedua-dua negara ini kerana latar geopolitiknya juga adalah sangat berbeza. Sekian. Wallah hu a’lam.

 

~ASJ~

 


Selasa, 14 Januari 2014

CUT NYAK MEUTIA: SRIKANDI MELAYU YANG SYAHID DI MEDAN TEMPUR




 

Salam dan selamat menyambut hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W kepada semua umat Islam di Malaysia. Sempena hari yang mulia ini saya ingin memaparkan satu artikel mengenai seorang pahlawan atau srikandi yang syahid kerana mempertahankan agama, bangsa dan negaranya dari dirogol penjajah Belanda. Kecekalan dan keberanian wanita Melayu Aceh ini patut di contohi oleh anak-anak muda kita hari ini tak kira lelaki mahupun wanita. Sepertimana beberapa orang pahlawan wanita Aceh yang lain iaitu Laksamana Keumalahayati dan Cut Nyak Dhien, Cut Nyak Meutia adalah lambang kepahlawanan dan kepimpinan wanita Melayu Aceh. Cut Nyak Meutia dilahirkan di Keureutoe, Pirak, Aceh Utara, pada tahun 1870. Beliau adalah salah seorang Srikandi yang berasal dari Aceh. Dalam perjalanan kehidupannya Cut Nyak Meutia bukan sahaja menjadi mutiara bagi keluarganya tetapi juga telah menjadi mutiara yang bersinar bagi seluruh umat Islam Melayu nusantara.

 

Cut Meutia dilahirkan dari hasil perkawinan Teuku Ben Daud Pirak dengan Cut Jah. Dalam perkawinan tersebut mereka dikurniakan 5 orang anak. Cut Meutia merupakan puteri tunggal di dalam keluarga tersebut, sedangkan empat lagi saudaranya adalah laki-laki. Saudara tertua bernama Teuku Cut Beurahim disusuli kemudian oleh Teuku Muhammad syah, Teuku Cut Hasan dan Teuku Muhammad Ali. Ayahnya adalah seorang Uleebalalang di desa Pirak yang berada dalam daerah uleebalangan Keureutoe

 

Daripada perhatian seorang penulis Belanda, yang mengatakan bahawa “Cut Meutia bukan saja amat cantik, tetapi dia juga memiliki tubuh yang molek dan menggairahkan. Dengan mengenakan pakaian adatnya yang indah-indah menurut kebiasaan wanita di Aceh dengan silueue atau seluar sutera bewarna hitam dan baju dikancing perhiasan-perhiasan emas di dadanya serta tertutup ketat, dengan rambutnya yang hitam pekat dihiasi ulee cemara emas yakni sejenis perhiasan rambut dengan gelang di kakinya yang melingkari pergelangan lunglai, wanita itu benar-benar seorang bidadari.

 

Ketika dewasa Cut Meutia dinikahkan dengan Teuku Syamsarif yang mempunyai gelaran Teuku Chik Bintara. Namun Syamsarif mempunyai watak lemah dan suka berkerjasama dengan Kompeni Belanda. Teuku Chik Bintara merupakan anak angkat dari Teuku Chik Muda Ali dan Cut Nyak Asiah, Uleebalang Keureutoe. Daerahnya mencakupi Krueng Pase sampai ke Panton Labu yang pusat pemerintahannya di daerah Kutajrat Manyang yang sekarang terletak 20 km dari kota Lhokseumawe. Pernikahan mereka tidak bertahan lama. Akhirnya Cut Meutia bercerai dan kemudian bernikah dengan adik Teuku Syamsarif sendiri iaitu Teuku Chik Muhammad atau yang lebih dikenali dengan nama Teuku Chik Tunong. Setelah itu dia dan suaminya berhijrah ke kawasan pergunungan untuk melawan Belanda

 

Awal pergerakan penentangan mereka bermula pada tahun 1901 dengan pusat perjuangannya di daerah Pasai atau Krueng Pasai di bawah komando perang Teuku Chik Tunong. Cut Nyak Meutia bukan sahaja bertindak sebagai isteri Teuku Chiek Tunong tetapi lebih jauh dari itu. Beliau sangat aktif bersama suaminya mengatur taktik dan strategi pasukan muslimin bagi melakukan penyerangan terhadap musuh serta dapat merampas persenjataan musuh untuk memperkuatkan gerilawan muslimin. Dalam setiap pertempuran yang terjadi di kawasan mereka, Cut Nyak Meutia selalu tampil sebagai panglima, berjuang di samping suaminya menghadapi musuh, bertempur dan memimpin pertempuran. Cut Nyak Meutia bersama dengan Teuku Chiek Tunong mempergunakan taktik menyebarkan mata-mata untuk menyiasat rencana-rencana yang akan dilaksanakan oleh pihak musuh, terutama rancangan-rancangan perondaan dan operasi tentera Belanda.

 

Taktik ini sangat berkesan. Penyiasat mereka selalu dapat mengumpulkan informasi yang tepat tentang rancangan serta daerah yang bakal dijadikan operasi oleh Belanda. Dengan demikian Cut Nyak Meutia bersama Teuku Chiek Tunong dapat mengatur serta mempersiapkan pasukannya untuk menyerang pasukan Belanda. Dapat dilihat taktik yang digunakan ini pada November 1902. Salah seorang pejuang muslimin bernama Pang Gadeng menyebarkan maklumat palsu bahawa pasukan Teuku Chik Tunong akan mengadakan kenduri yang bertempat di kampong Matang Rayeuk di seberang sungai Sampoiniet. Mendapat berita itu, Belanda merancang untuk menggempur kenduri tersebut yang dipimpin oleh Leftnan RDP DE Cok bersama 45 orang askar. Di dalam perjalanan, pasukan Belanda terpaksa menghadapi serangan jarak dekat yang dahsyat dari pasukan Chik Tunong kerana mereka telah terkena muslihat yang disusun oleh Cut Nyak Meutia. Dalam penyerangan itu, Letnan De Cok dan 28 prajuritnya tewas serta 42 pucuk senapang diperoleh kaum muslimin.

 
Pasukan Marsose Belanda


Selain itu, pasukan Cut Meutia juga sering melakukan sabotaj terhadap kereta api, memutuskan hubungan talifon dan menyekat perhubungan untuk mengangkut logistik pasukan Belanda seperti di Lhoksukon dan Lhokseumawe. Tindakan ini sebagai tindak balas setelah Belanda melakukan penyerangan ke atas Desa Blang Paya Itiek akibat dari pengkhianatan Pang Ansari dimana pasukan Belanda menyerang pasukan Sultan Alaidin Mahmud Daudsyah sehingga Sultan dan pasukannya harus mundur diri ke Menasah Nibong Paya kemuek.

 

Berakhirnya perjuangan Teuku Chik Muhammad dan Cut Meutia adalah akibat dari peristiwa di Meurandeh Paya sebelah timur kota Lhoksukon pada tanggal 26 Januari 1905. Peristiwa ini dimulai dengan terbunuhnya pasukan Belanda yang sedang meronda dan berteduh di Meunasah Meurandeh Paya. Pembunuhan keatas pasukan Belanda ini memberikan impak yang sangar besar bagi Belanda. Di dalam penyelidikan Belanda, didapat bahawa Teuku Chik Tunong terlibat dalam pembunuhan itu. Maka dari itu, Teuku ditangkap dan dihukum gantung. Namun pada akhirnya berubah menjadi hukum tembak mati. Pelaksanaan hukuman mati dilaksanakan pada bulan Mac 1905 di tepi pantai lhoksuemawe dan dimakamkan di Masjid Mon Geudong.

 

 Sebelum dihukum mati, Teuku Tunong mewasiatkan agar Pang Nanggroe yang merupakan sahabat perjuangannya untuk menikahi Cut Nyak Meutia serta menjaga anak-anaknya. Sesuai dengan amanah dari almarhum suaminya, Cut Meutia menerima lamaran Pang Nanggroe. Dan dengan beliau, Cut Meutia meneruskan perjuangan melawan Belanda dan memindahkan markas pusat perjuangan ke Bukit Bruek Ja. Pang Nanggroe mengatur strategi untuk melawan pasukan marsose Belanda bersama dengan Teuku Muda Gantoe. Penyerangan Cut Meutia dan Pang Nanggroe dimulai dari hulu Kreueng Jambo Aye, sebuah tempat pertahanan yang sangat strategik kerana daerah tersebut merupakan daerah hutan yang sangat banyak tempat persembunyian. Pasukan muslimin melakukan penyerangan ke post-post tentera Belanda dimana banyak pejuang muslim yang ditahan di situ.

 

Taktik penyerangan Cut Meutia yang lain pula adalah taktik menjerat yang dirancang dengan menyebarkan khabar angin bahawa adanya kenduri di sebuah rumah dengan mengundang pasukan Belanda. Rumah tersebut telah dipasang perangkap berupa makanan yang lazat. Tiang dan lantai rumah itu telah ditukar dengan potongan buluh sehingga mudah untuk diruntuhkan. Pada masa pasukan Belanda berada di dalam rumah tersebut, rumah itu diruntuhkan dan pasukan Cut Meutia akan menyerang.

 

Penyerangan pasukan Cut Meutia juga tertumpu pada rel kereta api sebagai usaha untuk memutuskan logistic belanda dan jalan kereta apinya. Di pertengahan tahun 1909 hingga ogos 1910 pihak Belanda dengan petunjuk orang kampung yang dijadikan tawanan telah mengetahui pusat pertahanan pasukan Pang Nanggroe dan Cut Nyak Meutia. Beberapa penyerangan dilakukan, namun pasukan Cut Meutia yang selalu berpindah tempat membuatkan Belanda susah untuk menangkapnya. Beberapa penyerangan dilakukan di daerah Jambo aye, Peutoe, Bukit Hague, Paya Surien dan Matang Raya. Namun pada 25 September 1910, ketika terjadi penyerangan di daerah Paya Cicem, Pang Nanggroe terkena tembakan Belanda sehingga meninggal dunia setelah mewasiatkan kepada anaknya Teuku Raja Sabi untuk mengambil rencong dan pengikat kepala ayahnya dan menjaga ibundanya Cut Nyak Meutia.

 

Setelah Pang Nanggroe syahid, pasukannya dipimpin oleh Cut Meutia dan pusat pertahanan dipindahkan ke daerah Gayo dan Alas bersama pasukan yang dipimpin oleh Teuku Seupot Mata. Pada 22 Oktober 1910, pasukan Belanda mengejar pasukan Cut Meutia yang diperkirakan berada di daerah Lhokreuhat. Esoknya pengejaran dilakukan semula ke daerah Krueng Putoe menuju Bukit Paya hingga menyebabkan pasukan Cut Meutia semakin terkepong dan selalu berpindah antara gunung dan hutan.

 

Dalam pertempuran pada 25 Oktober di Krueng Putoe, pasukan Cut Meutia menghadapi serangan hebat dari Belanda. Di sinilah Cut Meutia mati syahid bersama pasukan muslim yang lain seperti Teuku Chik Paya Bakong, Teungku Seupot Mata dan Teuku Mat Saleh. Sebelum srikandi ulung ini gugur ke bumi, Cut Meutia mewasiatkan kepada Teuku Syekh Buwah untuk berhenti melawan serangan belanda, taktik selanjutnya adalah berundur sejauh mungkin dan menyusun serangan semula, kerana posisi mereka sudah tersepit. Cut Meutia juga mewasiatkan agar anaknya dicari dan dijaga. Begitulah pengakhiran perjuangan wanita berhati kental ini. Walaupun dua orang suaminya gugur dalam pertpuran, namun beliau sanggup memegang tampuk kepimpinan pasukannya melawan kafir laknatullah dan akhirnya menjadi syahidah. Sekian, Al Fatihah untuk wirawati ini.

 

Sabtu, 4 Januari 2014

KEPALA PATUNG DEWA VISHNU BERUSIA 4,000-3,500 DI VIETNAM.




 

 
Kepala Dewa Vishnu Purba


Terdapat laporan dari Vietnam bahawa adanya penemuan sebuah ukiran patung Vishnu purba. Mengikut laporan yang dibuat oleh Jawatan Kuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, patung Vishnu tersebut digambarkan sebagai patung kepala Dewa Vishnu dari kebudayaan Oc Eo yang berusia lebih kurang 4000 hingga 3, 500 tahun. Sejak kebelakangan ini walaupun kerajaan Vietnam adalah sebuah kerajaan yang mengamalkan doktrin Komunis, namun terdapat perkembangan dalam pengkajian serta projek yang melibatkan sejarah zaman purba yang melibatkan agama lain seperti Bramanism atau Hinduisme. Kajian arkeologi yang dibuat adalah secara professional dan sahih serta dapatan akhirnya dikatakan adalah berautoriti.

 
Tablet purba berukir dewa Vishnu


Penemuan artifak berusia 4 ribu hingga 3 ribu lima ratus tahun ini adalah salah satu penemuan sejarah ulung yang dapat memberikan pencerahan dan gambaran awal tentang agama Hindu di Vietnam dan juga dunia amnya. Setakat ini menurut mereka tiada lagi jumpaan rasmi artifak Vedik yang berusia setua itu yang pernah dicatatkan di dunia. Hal ini menjadikan Vietnam satu-satunya negara buat masa ini yang mempunyai artifak Vedik purba yang tertua di dunia. Walaupun terdapat banyak penemuan artifak purba lain yang menggambarkan dewa yang sama, namun ianya bukan berbentuk budaya Indik dan tidak dapat dikelaskan sebagai dewa Vishnu budaya Indik Vaishanava.

 

 Artifak purba tersebut ditemui diwilayah selatan Vietnam yakni berdekatan Delta Mekong. Nama sungai Mekong sebenarnya dinamakan sempena nama Ma Gangga iaitu sungai Ganges di India. Kawasan tersebut pernah menjadi pusat kemunculan beberapa tamadun Vedik purba dan banyak artifak-artifak berunsur Vedik pernah dujumpai di wilayah tersebut. Artifak kepala Vishnu tersebut telah dipamerkan secara rasmi semasa Festival Warisan Quang Nam kali ke lima yang dibuka pada jun 21, 2013 di Kota Hoi An. Festival ini mempamerkan banyak objek purba dari zaman Dong Son-Sa Huyn serta Oc Eo di Vietnam. Terdapat lebih dari 1000 artifak purba dipamerkan yang diperolehi dari seluruh Vietnam terdiri daripada tembikar, barangan tembaga atau gangsa, barangan perhiasan, alat pertanian dan lain-lain.

Anting-anting Lingling-o dari kebudayaan Sa Hunyn. Kebudayaan ini dipercayai adalah kebudayaan Melayu Cham yang tertua , sama waktunya dengan Kebudayaan Dong son. Anting-anting ini unik untuk bangsa Austronesia dan ia terdapat di Filipina dan Taiwan selain Champa.
 

Jika konklusi mengenai penemuan ini diterima umum , bermakna sejarah agama Hindu di Asia tenggara mungkin perlu disemak semula. Mengikut sejarah agama Hindu dan kebudayaan vedik aliran perdana, agama vedik atau Hindu tidak wujud sebelum orang-orang berketurunan Aryan masuk ke india 1500 tahun sebelum masihi. Malah ajaran Vaishnavism di perkirakan oleh ahli sejarah bermula lebih lewat berbanding jumpaan patung tersebut. Sebelum ini India sering disebut sebagai tempat berkembangnya budaya Vedic atau kebudayaan Hindu.

 
Gendang Dong Son


Setakat ini tiada lagi pengkaji yang cuba untuk membuat sebarang kajian atau hipotesis bahawa tamadun Hindu mungkin berasal dari tanah besar Asia Tenggara. Namun saya percaya jumpaan seperti ini bukanlah yang terakhir, dan jika kerajaan Vietnam begitu komited untuk memulihara warisan silam kerajaan Hindu Champa, pasti banyak lagi jumpaan-jumpaan purba seperti ini akan timbul. Namun jumpaan ini sahaja belum cukup untuk membuktikan bahawa tradisi Vedik sebenarnya berasal atau berkembang disini. Apa yang perlu dilaksanakan adalah kajian demi kajian supaya teka-teki patung Vishnu berusia 4000 tahun ini terjawab. Sekian wallah hu ‘lam

 Al-Semantani

Sumber: Communist Party of Vietnam Online Newspaper

 

Sabtu, 28 Disember 2013

RUMPUN MELAYU BUKAN PENDATANG!




Kejahilan  mengenai apa yang disebut sebagai RUMPUN MELAYU sejak akhir-akhir ini dilihat semakin berleluasa. Hal ini berkemungkinan kerana kurangnya pembacaan dan pendedahan di kalangan rakyat kita terutama yang bukan dari rumpun tersebut mengenai sejarah Melayu. Apa yang difahami mereka adalah suku kaum seperti Bugis, Banjar, Bajau, Suluk, Cham, Kerinchi, Acheh, Ambon, Minang, Sunda, Jawa dan sebagainya bukan daripada RUMPUN MELAYU. Mereka menyempitkan fahaman rumpun bangsa itu kepada suku kaum sahaja.

 

 Hal ini membawa kepada klaim yang bukan-bukan dan bersifat menghina sehinggakan dikata bahawa orang Melayu tidak pernah ada tamadun dan segala tamadun lama Hindu-Buddha yang wujud di Asia Tenggara adalah tamadun masyarakat Tamil atau India yang membuka koloni di sini. Bagi saya klaim sebegini adalah satu klaim yang tidak berasas, berbaur politik murahan, memprovok  dan bersifat rasist. Sedangkan jika kita teliti dan amati, sebenarnya konsep rumpun ini juga wujud dalam masyarakat Cina yang terdiri dari pelbagai suku seperti Han, Min, Wu, Kek, Hakka, Hokkien, Canton dan Hui yang bersatu di bawah rumpun Cina atau Sino-Tibetan. Malahan tiada catatan kuno serta kajian ilmiah yang dapat membuktikan bahawa yang membina tamadun tersebut adalah orang-orang Tamil atau India. Malah sejarawan antarabangsa mengiktiraf tamadun-tamadun tersebut sebagai tamadun ‘Malays’.

 

Apakah sebenarnya yang mengikat suku-suku ini sebagai Rumpun Melayu? Yang mengikat mereka adalah bahasa, yakni bahasa Austronesia atau Melayu kuno dan DNA mereka yang sama. Walaupun mereka tinggal di pulau-pulau yang berbeza serta jauh dari satu sama lain, namun DNA MEREKA TETAP SAMA, terutama dari kalangan Melayu proto. Kajian yang dibuat mendapati DNA orang Iban dengan orang Jakun adalah sama. Ini membuktikan bahawa walau mereka tinggal berjauhan namun mereka tetap dari induk yang sama dan berada dibawah RUMPUN MELAYU.

 

Sebenarnya sudah banyak kajian yang telah dibuat bagi membuktikan bahawa Rumpun Melayu lah penduduk asal Tanah bertuah ini. Antaranya adalah satu kajian yang pernah dibuat oleh ahli-ahli Arkeologi dari UKM pada tahun 2010. Melalui kajian tersebut  data arkeologi yang diperolehi di Semenanjung Malaysia dan Sarawak menunjukkan rumpun Melayu  adalah  penduduk asal bumi Malaysia sejak lebih daripada 40,000 tahun lalu dan bukan berhijrah ke mari dari tanah besar di utara samaada Yunnan ataupun Taiwan. Malah jika kita selaraskan dengan kajian terbaru dari puan Zaharah Sulaiman, rumpun bangsa Melayu ini telah wujud sejak  60,000 tahun dahulu melalui pengiraan umur DNA kaum Melayu Proto dan Semang yang merupakan Induk kepada orang-orang Melayu yang wujud sekarang.

 

Artifek-arifek seperti seramik yang ditemui di lebih 100 kawasan ekskavasi yang dijalankan oleh ahli-ahli arkeologi Universiti Kebangsaan Malaysia menunjukkan bahawa artifek itu  adalah berbentuk tempatan dan bukan dibawa masuk dari luar. Antara tempat ekskavasi tersebut ialah Pulau Kalumpang dan Beruas di  Perak; Kota Johor lama, Kota Seluyut, Kota Sayong Pinang dan Muar di Johor; Kota Melaka in Melaka; Kota Lukut di Negeri Sembilan dan beberapa tapak di Tasik Kenyir di Terengganu. Selain itu, penemuan  tengkorak manusia di Gua Niah, Sarawak oleh Kurator Museum Sarawak, Tom Harrison dan isterinya   dalam tahun 1958  menunjukkan rumpun Melayu sudah wujud di Malaysia seawal 40,000 tahun yang lalu.

 

Secara langsung, penemuan di Gua Niah dan kajian-kajian yang dijalankan oleh ahli arkelogi UKM menolak teori dipercayai ramai bahawa Melayu di Semenanjung adalah pendatang dari tanah besar di utara atau Yunnan. Teori migrasi ini dikemukakan Heine-Geldern dan penyelidik dari (Vienna School of Thought) yang dikemukakan dalam tahun 1930an. Teori itu timbul berikutan dengan penemuan kapak batu di Malaysia yang dikatakan mempunyai ciri-ciri yang sama dengan kapak batu yang digunakan di sebelah utara tanah besar Asia bagi membuktikan bahawa orang Melayu telah berpindah dari kawasan utara tanah besar Cina itu kemari.

 

Prof Nik Hassan Shuhaimi  bertanya:  “ADAKAH HANYA KERANA KAPAK BATU DITEMUI DI MALAYSIA ORANG MELAYU TELAH BERPINDAH DARI UTARA KE SELATAN DI MALAYSIA? TIDAK TERFIKIRKAH MEREKA BAHAWA ORANG MELAYU WAKTU ITU JUGA BOLEH MEMBUAT KAPAK BATU?”   Beliau berkata demikian dalam kertas kerjanya bertajuk ‘Tiga Puluh Lapan Tahun Arkeologi di Universiti Kebangsaan Malaysia’ di Seminar Penanda Arasan Penyelidikan Arkelogi di UKM pada 12-13 Julai, 2010.

 

Menurut beliau lagi, penyelidikan arkelogi di UKM  sejak tahun 1980an telah menemui data baru tentang asal usul kerajaan Melayu tertua di Malaysia iaitu Kataha, Kadaram atau Kedah Tua. Data baru ini diperolehi daripada tapak arkelogi Sungai Mas, Kedah. Beliau juga menyatakan isu penting dalam zaman kerajaan awal/zaman klasik ialah proses Indianisasi. Berdasarkan kajian yang dibuat di UKM PROSES INDIANISASI ITU BOLEH DITUKAR KEPADA PROSES PEMBUMIPUTRAAN KEBUDAYAAN INDIA, kata Prof Nik Hassan. Kebudayaan India yang ada di Alam Melayu BUKAN DIBAWA MELALUI PROSES PENAKLUKAN tetapi dijemput oleh masyarakat tempatan dan disesuaikan dengan kebudayaan tempatan.

 
ADAKAH MEREKA-MEREKA INI DATANG KE TAPAK ARKEOLOGI LEMBAH BUJANG DENGAN IKHLAS UNTUK MELIHAT PENINGGALAN SEJARAH TAMADUN MELAYU LAMA , ATAU MEREKA DATANG DENGAN NIAT YANG LAIN? UNTUK MELIHAT KUIL NENEK MOYANG MEREKA KONONNYA? UNTUK SEMBAHYANG?


Penemuan dan kajian ini sekaligus menolak dakwaan-dakwaan tidak berasas serta rasist yang dilakukan oleh segolongan pihak yang berbangsa Tamil di Negara ini. Tindakan mereka yang sengaja mahu mengganggu gugat sejarah Masyarakat tamadun rumpun Melayu adalah perbuatan yang tidak beretika malah sangat jahat dan busuk! Jangan oleh kerana fahaman politik yang cetek maka sejarah sesebuah bangsa itu mahu dipermainkan. Kami orang-orang Melayu tidak pernah mengungkit atau menyentuh mengenai sejarah nenek moyang anda di India malah sejarah kedatangan datuk dan nenek anda ke tanah Melayu pada zaman Kolonial. Mengapa sejarah kami pula yang anda mahu rebutkan? Tidak cukupkah dengan kuil-kuil serta berhala besar yang ada di Tamilnadu India? Adakah kami menghalang kaum anda untuk mencari makan dan minum di negeri tanah tumpah nenek moyang kami ini? Sudah diberikan betis mahukan peha pula. Sekian, Wallah hu a’ lam.

 
Al-Semantani Jones

 

Sumber: UKM, Shahfizal Musa.