Sabtu, 22 November 2014

PERANG JUNK CEYLON: NAGA LAUT DISUDU ANGSA, DIPIJAK GAJAH PUTIH DAN DIPATUK ULAR DARI CHANDI.



   
Daripada tajuk di atas tentu ada yang penin dok pikiaq apa yang saya maksudkan...:D Perumpamaan diatas sebenarnya menggambarkan nasib sebuah kerajaan tua yang bersusur galur dari keturunan Raja Naga laut (Merong), iaitu kerajaan Kedah pada masa tercetusnya perang di Ujung Salang (Phuket). Naga laut melambangkan Kedah yang diasaskan oleh Raja Bangsa Besar Naga Laut atau Merong Mahawangsa, manakala Angsa melambangkan Burma yang menguasai Hongsawadhi atau Hamsavati yang memakai Angsa sebagai symbol dirajanya. Gajah putih pula sudah semestinya Siam Thai yang sangat obses dengan simbol Gajah Putih sebagai lambang diraja, manakala ‘Ular Bisa dari Chandi’ yang saya maksudkan adalah sahabat baik Siam ketika itu iaitu Legor yang memfitnah Kedah dan memburukkan nama Kedah kepada Raja Siam. Simbol bagi Legor pada zaman ini adalah Chedi atau sebuah Chandi.

Peritiwa peperangan di Junk Ceylon atau Phuket ini sebenarnya dinukilkan dalam sebuah Syair yang bertajuk Syair Sultan Maulana. Syair ini dipercayai oleh pengkaji ditulis oleh orang yang terlibat sendiri dengan peperangan terbabit kerana gambaran yang diberikan adalah agak detail dan tepat dengan peristiwa sebenar. Menurut penyelidikan yang dilakukan setakat ini, paling awal syair ini di karang ialah pada 1812. Kajian ilmiah terhadap syair ini pernah dilakukan oleh Prof. Cyrill Skinner dan Prof. Dato' Muhammad bin Hashim dari Universiti Malaya. Syair ini sangat menarik kerana ia menceritakan taktik, persenjataan dan strategi perang orang Melayu Kedah dalam perang di laut. Dalam rangkap dibawah disebut penggunaan sejenis senjata api atau meriam Melayu yang dipanggil Lotang.

“Jabatan Temenggung panglima perang
 lotang bernama Harimau Garang
tetunggulnya merah cahaya berdarang
 memberi gentar dipandang orang “

Semuanya bertitik tolak apabila Burma meyerang Pulau Salang atau Phuket beberapa kali sejak 1785 lagi, namun sering kali gagal kerana dihalau Siam. Raja Bodawphaya inginkan Phuket untuk mendapatkan bekalan buroh kasar dari kawasan ini untuk pembangunan Ava dan menguasai lombong-lombong bijih timah di kawasan ini. Phuket juga boleh menyekat bekalan senjata api dari India supaya tidak masuk ke Thailand jika Burma menguasainya. Satu sebab lagi yang lebih penting ialah ia akan melemahkan cengkaman Siam ke atas negeri-negeri Melayu khususnya ke atas Kedah.


Panglima perang Burma, Atwinwun, menduduki Phuket dalam bulan Januari 1810. Awal-awal lagi beliau menulis sepucuk surat kepada Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah supaya melepaskan diri dari Siam dan menghantar "Bunga Emas" dan Bunga Perak Kepada Ava (Burma). Pada masa ini orang-orang Burma dikenali oleh orang-orang Kedah sebagai orang "Awak" – (orang Ava). Bak kata orang tua-tua "Lari dari mulut harimau masuk ke mulut buaya". Phuket merupakan kubu penting yang mengawal daerah selatan. Siam Thai tidak akan membiarkan pulau itu jatuh ke tangan Burma selama-lamanya.

Kedah dilindungi "suzerainty" tetapi bukanlah langsung dari Bangkok. Buat beberapa ketika Bangkok menyerahkan pentadbiran Kedah dan negeri-negeri Melayu utara lain ke tangan Legor (Nakhorn Sri Tammarat). Tetapi Songkhla (Singgora) pun telah mendapat kepercayaan Bangkok untuk mengambil alih tugas-tugas Ligor. Sultan Ahmad Tajuddin menjadi Sultan kerana disokong oleh Raja Singgora yang bersahabat baik dengan Sultan Ahmad Tajuddin. Bangkok menganugerahkan darjah "Cau Phaya" kepada Sultan Ahmad Tajuddin sedangkan Raja Ligor dianugerahkan darjah "Phaya" sahaja.

Dalam zaman Sultan Muhammad Jiwa (1710-1718) Pulau Salang menjadi kepunyaan Kedah dan Kedah berkuasa penuh di kawasan laut antara Pulau Phuket dengan Pulau Pinang. Orang Kedah melombong bijih-bijih timah di kawasan ini dan memungut sarang burung dan siput-siput laut dari beratus-ratus pulau yang terdapat di sini.

Walaupun Kedah tidak lagi memerintah Pulau Salang tetapi orang-orang Melayu Kedah yang menduduki beratus-ratus pulau di kawasan ini dan di dataran Ranong, Murgi, Takuapa hingga ke Phuket, Terang dan Terutau, Langkawi, Langu, Pangnga dan Setol tidak diganggu oleh Siam dari menjalankan kerja mengumpul hasil-hasil ini. Jika Pulau Salang jatuh ke tangan Burma, bijih timah akan diangkut ke Burma dan mungkin hasil-hasil laut juga akan diambil oleh orang-orang awak.


Sultan Ahmad Tajuddin telah menjawab surat Atwinwun menyatakan rasa gembiranya kerana Burma berjaya menduduki Pulau Salang. Tetapi malangnya Kedah tak dapat berbuat apa-apa kerana satu angkatan Siam yang besar berada di sempadan memerhati tindakan Kedah. Terdapat antara lima ribu hingga enam ribu orang tentera Siam bersiap sedia. Jika Kedah dapat mengusirkan angkatan Siam tersebut mungkin Kedah akan dapat menghantar ufti "Bunga Emas dan Bunga Perak" ke Burma pula. Namun ianya agak mustahil.

Angkatan Siam yang dimaksudkan oleh Sultan Ahmad Tajuddin itu sebenarnya adalah angkatan dari kerajaan Singgora, dari sahabatnya sendiri, yang sedang digunakan untuk menekan pemberontakan Patani dalam tahun 1808. Siam meminta Sultan Ahmad Tajuddin menghantar orang-orang Kedah membantu angkatan tersebut menekan Patani tetapi Sultan Ahmad Tajuddin telah memberi pelbagai alasan yang mengecewakan Siam. Pemimpin pasukan Kedah memperlihatkan kebijaksanaannya dengan melambatkan perjalanan mereka, berhenti di banyak tempat dengan tujuan tidak mahu melibatkan diri menentang orang-orang Patani yang sebangsa dan seagama dengan mereka. Akhirnya apabila mereka tiba di Patani, pemberontakan tersebut telah pun dihapuskan oleh Siam. Siam akhirnya mula menaruh syak terhadap kesetiaan Kedah dan menanti masa sahaja untuk menyerang Kedah.

Dalam keadaan ini, Siam menguji kesetiaan Kedah dengan cara meminta bantuan Kedah mengusir Burma dari Pulau Salang. Bagi membuktikan kesetiaannya kepada Siam, atau sebenarnya untuk mengelakkan dari diserang Siam Thai, Sultan Ahmad Tajuddin terpaksa menghantar Laksamananya ke sana bersama dengan 100 buah perahu dan seribu orang pendekar. Mereka akhirnya berjaya mengusir Burma dari Pulau Salang. Kisah kehebatan angkatan perang Kedah dalam peperangan ini dirakamkan dengan lengkapnya dalam "Syair Sultan Maulana".

"Perahu Melayu Telibung Kedah,
Lima puluh dibilang sudah,
Lainnya Siam haram zadah,
Perahu tiada memberi faedah"

Atwinwun terkejut kerana belum sampai seminggu beliau menerima surat Sultan Ahmad Tajuddin mengatakan kegembiraan Kedah melihat Burma berjaya menduduki pulau itu, Sultan Ahmad Tajuddin sendiri pula telah menghantar angkatan perang Melayu Kedah untuk mengusir Burma. Atwinwun sedar bahawa tindakan Sultan Ahmad Tajuddin adalah satu paksaan diplomasi yang mesti dibuat oleh Sultan Ahmad tajuddin. Sultan Ahmad Tajuddin barangkali tidak berharap untuk mendapat bantuan Burma bagi melepaskan tekanan Siam ke atas Kedah, namun Burma masih berazam membantu Kedah kerana Siam adalah musuh tradisi Burma yang paling ketat.

Burma diusir dari Phuket dalam bulan Mac 1810 tetapi Atwinwun datang kembali dengan angkatan yang lebih besar dalam bulan Jun. Seribu orang ditugaskan mengambil semula Pulau Phuket manakala enam ribu orang tentera lagi diarah berangkat ke Kedah menghalau Siam yang mengancam Sultan Ahmad Tajuddin. Malangnya angkatan Burma dipukul ribut dan hanyut di celah-celah selat dan teluk di kawasan perairan Phuket. Hampir tiga ribu orang terkorban di laut. Hanya sedikit berdaya mendarat di Takuapa, dan saki baki dari angkatan besar ini berjaya juga menyeberangi Selat Pak Phra dan menduduki sebahagian dari Pulau Phuket itu.

Angkatan Siam yang diketuai oleh anak Raja Legor kemudiannya berjaya mengusir Burma dari Phuket dalam bulan September tahun itu juga. Siam mengambil beberapa tindakan menjamin supaya kawasan Selatan (Teluk Andaman) tidak diganggu gugat oleh Burma dan melemahkan negeri Kedah yang dikhuatiri kesetiaannya. Siam telah meletakkan Setol dan Langu, dua daerah Kedah, yang diperintahkan oleh Tunku Bisnu bagi pihak Sultan Kedah, di bawah tadbir Raja Senggora. Wilayah Terang, sebuah daerah Kedah yang lebih mewah, diserah kepada Legor sebagai tukaran kerana sebelum ini Terang ditadbir oleh Senggora.

Sultan Ahmad Tajuddin yang berjasa besar menghalau Burma dari Phuket berasa marah kerana diperlakukan oleh Siam sebegitu. Lembu punya susu sapi dapat nama, lalu lembu kena sembelih! Akibatnya Kedah hilang hak ke atas Langu, Setol dan Terang walaupun itu wilayahnya sendiri. Peperangan membantu Siam Mengusir Burma dalam bulan Mac 1810 boleh dianggap satu peristiwa sial yang memulakan tekanan demi tekanan ke atas Kedah dari Bangkok melalui Legor.

 Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II 


Kejayaan Kedah di Phuket sebenarnya menyemarakkan hasad dengki Raja Legor, Phaya Noi terhadap Cao Phaya Sultan Ahmad Tajuddin. Apabila Sultan Ahmad Tajuddin bersahabat baik dengan Raja senggora dan membuat hubungan dengan Inggeris setelah memajakkan Pulau Pinang kepada Inggeris. Raja Legor terpaksa memfitnah dan menjatuhkan imej Kedah di istana Raja Bangkok. Raja Siam di Bangkok amat rapat dengan Raja Legor kerana adik perempuan Raja Legor menjadi seorang gundik kepada Raja Bangkok .

Tindakan Legor seterusnya mengarahkan Kedah menyerang Perak (1818) dan Legor sendiri menyerang Kedah (1812) dengan anggapan Kedah akan musnah buat selama-lamanya. Sultan Ahmad Tajuddin berkelana diluar negeri lebih dari 20 tahun dan bila Baginda pulang ke Kedah (1842) Setol dan Langu tidak dipulangkan kepada Baginda, malahan Perlis pula disisihkan. Begitulah nasib kedah dipermainkan oleh Legor dan Bangkok. Sekian. Wallah hu a'lam.


 ~ASJ~



Sumber;
·         Persatuan Sejarah Kedah.
·         Microfilm Syair Sultan Maulana.
·         British Library Blog.

Ahad, 12 Oktober 2014

BAKAL TERBIT! BUKU: MENGBONGKAR SEJARAH MELAYU, PRIBUMI ASIA TENGGARA.




As salam kepada semua. Dengan sukacitanya saya mempersembahkan sebuah buku sejarah berbentuk santai yang pertama hasil tulisan tiga orang Blogger yang mempunyai minat yang mendalam pada sejarah bangsa Melayu.  Seperti yang tertera pada tajuk buku diatas, penerbitan buku ini adalah inisiatif atau percubaan penulis bersama dua orang Blogger yang terkenal iaitu Srikandi dan Ibnu Rusydi untuk menjawab beberapa topik berkenaan sejarah  Melayu yang  sering dipertikaikan oleh pihak tertentu . Perkara yang dibincangkan adalah topik yang sering dibangkitkan khususnya di alam maya terutama laman-laman sosial yang sering dilayari oleh anak-anak muda kita.

Hasil kerjasama dengan Penerbit buku  Hijjaz Record Publishing (HRP), sebuah buku yang menghimpunkan beberapa buah artikel ini akan diterbitkan sebagai rujukan sampingan dan panduan asas terutamanya kepada generasi muda agar lebih cakna akan sejarah bangsa dan tidak mudah termakan dengan dakyah negatif yang bertujuan untuk menjatuhkan keyakinan serta melemahkan semangat bangsa Melayu dan Bumiputra di negara ini.

Jika semuanya berjalan lancar, Insya Allah buku ini akan berada di pasaran sebelum hujung tahun ini. Buku ini boleh didapati di kedai-kedai buku berhampiran atau terus memesan dengan penerbit di http://www.hijjaz.my/store/.

Berikut dipaparkan sedikit petikan daripada salah satu artikel di dalam buku ini tentang topik ‘SENJATA API DI ALAM MELAYU’:


Tidak ramai yang tahu bahawa masyarakat Melayu juga menghasilkan dan menggunakan pelbagai jenis senjata api sejak zaman Kesultanan Melaka lagi. Bukti sejarah juga menunjukkan bahawa tentera Portugis pada awal abad ke-16, Belanda pada abad ke-17, dan Inggeris pada akhir abad ke-17 berhadapan dengan tentera Melayu yang lengkap bersenjata api secanggih senjata api mereka.

Perkara sebenar ini amat bertentangan dengan apa yang dipaparkan pada buku teks sejarah di sekolah iaitu pada Bab serangan Portugis ke atas Melaka. Apa yang digambarkan adalah tentera Melaka berhadapan dengan tentera Portugis dengan hanya bersenjatakan senjata tradisional seperti keris, pedang, tombak dan panah. Sedangkan pihak Portugis lengkap dengan baju perisai termasuklah senjata api seperti meriam dan senapang. Gambaran yang diberikan terhadap pasukan ketenteraan Melaka sangat daif dan hampir tiada penekanan mengenai penggunaan senjata api. Jika adapun hanyalah penggunaan Lela iaitu sejenis meriam kecil tanpa sebarang penerangan lanjut.

Ilustrasi yang diberikan seolah-olah pelabuhan Melaka hanyalah sebuah penambang bot kampung sahaja. Gambaran tidak tepat dan merendah-rendahkan tamadun Melayu ini menjadi trend pada satu masa sehinggakan ada dikalangan bangsa kita sendiri mengakui ungkapan menghina bahawa orang Melayu ‘hendak membuat sebatang jarum pun tidak tahu’. Akibatnya orang Melayu terperangkap dalam fenomena ‘inferiority complex’ yang teruk sehinggakan ramai dikalangan orang Melayu yang malu untuk mengaku sebagai Melayu dan lebih berbangga dengan tradisi dan ketamadunan barat yang ditinggalkan penjajah.


 ~ASJ~


*Oleh kerana ini adalah cubaan pertama saya dalam penulisan buku, diharap jika berlaku sebarang salah atau silap, terguris hati dan terkasar bahasa harap dimaafkan hendaknya. Sekian...:)

Isnin, 22 September 2014

PENGLIBATAN MELAKA DALAM PERANG DI NEGERI LANXANG.










Tahukah anda, bahawa Kesultanan Melaka pernah bertelagah dan bertempur dengan Kerajaan Annam atau orang Dai Viet (Orang Kuci)? Ya, kekuatan dan pengaruh Melayu Melaka di Asia Tenggara sebenarnya lebih dari yang kita jangkakan. Ramai yang meragui Melaka adalah sebuah kerajaan yang kuat dan berpengaruh malah ada yang menganggap kerajaan Melaka itu langsung tidak wujud. Kalau ia tidak wujud mengapa catatan-catatan asing sibuk-sibuk mahu menulis tentangnya? Tak ke pelik tu?  Sekitar tahun 1469 dalam catatan China disebut bahawa serombongan utusan dari Melaka yang dalam pelayaran balik dari China telah dipukul ribut dan terkandas di Vietnam. Kesemua anak kapal ditangkap, ada yang dibunuh malah yang muda dan anak-anak dikasi dan dijadikan sida-sida oleh orang Vietnam.

Melaka telah mengadukan hal tersebut kepada Maharaja China sekitar tahun 1481, pada mulanya Melaka tidak mahu bertindak kerana tahu bahawa Vietnam juga adalah negara yang menghantar ufti ke China. Utusan Melaka Duan Ya Ma La Di Na Cha (Tun Seri Nara Diraja?) juga telah mengadukan rancangan Vietnam untuk menyerang dan menakluk Melaka. Sewaktu utusan Melaka berada di China kebetulan utusan dari Vietnam juga turut ada. Hal ini telah menyebabkan timbul pertengkaran diantara wakil Melaka dengan wakil Vietnam tentang tindakan biadap Vietnam yang telah menculik dan membunuh utusan Melaka sebelum itu.

Mereka berdua ditenangkan oleh salah seorang menteri pertahanan China ketika itu yang menasihati mereka agar melupakan persengketaan kerana perkara tersebut telah lama berlalu. Sebelum kedua-dua utusan tersebut pulang ke negeri masing-masing, Maharaja China telah mengirimkan surat yang menyelar perbuatan Maharaja Vietnam dan menasihatinya agar berbuat baik dengan negara tetangga dan merenung kesalahan sendiri. Manakala Maharaja China telah bertitah kepada utusan Melaka supaya bertindak tegas dan menyiapkan tentera serta kuda perang sekiranya Vietnam tetap mahu menyerang Melaka kelak.


Dalam sejarah, Maharaja Vietnam yang dimaksudkan diatas adalah Le Than Tong. Pada zaman beliau wilayah kekuasaan Vietnam mencapai sehingga sempadan Burma. Le juga dikatakan telah menyerang kerajaan Lanxang dengan 90 ribu askar namun dalam satu serangan mereka telah kalah dan terpaksa berundur kembali. Walaupun dalam catatan sejaran Lanxang dan Vietnam tidak pernah menyebut keterlibatan Melaka dalam perang diantara Lanxang dan Vietnam ini, namun kronik China ada mencatatkannya. Dikatakan bahawa 90 ribu bala tentera Vietnam telah melanggar Lanxang namun mereka berjaya diusir oleh angkatan perang Melaka dan mengakibatkan mereka kehilangan seramai 30 ribu nyawa. Peristiwa ini tercatat didalam kronik China Ming Shilu. Adakah peristiwa ini merupakan tindakbalas Melaka terhadap kekejaman yang dilakukan oleh Vietnam sebelum itu? Faktor penentu kekalahan Vietnam ini pastinya adalah kerana kehebatan Melaka di medan tempur.

Memandangkan tentera Melaka perlu merentas negara Kemboja atau Siam Ayuthia untuk ke Lanxang maka dapatlah disumpulkan bahawa salah satu atau kedua dua pihak ini telah membenarkan bala tentera Melaka melintasi negara mereka kerana berasa terancam dengan dasar perluasan kuasa Vietnam sepanjang pemerintahan Maharaja Le Than Tong 1460-97. Kegagalan besar ini melenyapkan impian Le Than Tong untuk meluaskan lagi empayarnya sekaligus mengesahkan keunggulan Melaka ke atas semua kuasa lain di Asia tenggara meskipun jumlah tentera dan penduduk Vietnam adalah berkali ganda lebih besar. Saya percaya kemenangan ini juga dibantu oleh jajahan takluk Melaka yang lain termasuk tentera Siam Ayuthia dan Lanxang sendiri.

Dalam Sulalatus Salatin ada satu kisah mengenai utusan Melaka ke Siam. Dalam peristiwa ini Raja Siam telah meminta bantuan rombongan Melaka untuk berperang dengan musuh mereka di wilayah sebelah matahari jatuh atau barat. Namun Tun Telanai membuat helah supaya mereka dapat berperang dengan musuh yang berada di kedudukan matahari naik atau timur. Jika dilihat peta kerajaan-kerajaan lama zaman tersebut didapati kerajaan Lanxang memang berada di sebelah timur Siam iaitu di Laos sekarang. Dalam catatan sejarah Vietnam, Ayuthia atau Siam juga pernah berada dibawah taklukan Vietnam untuk beberapa ketika pada zaman Le Than Tong. Adakah peristiwa ini adalah peristiwa dimana tentera Melaka berjaya mengusir 90 ribu tentera Vietnam yang menyerang Lanxang seperti dalam kronik China tersebut? Wallah hu 'lam. Saya belum mendapat jawapan yang pasti.


Namun apa yang pasti ialah hubungan diantara orang Melayu dengan kerajaan di Indochina atau Lanxang sebenarnya bukan baru dan bukan kebetulan. Orang Melayu semenanjung sebenarnya telah lama berada di tanah besar asia tenggara dan bukannya berasal dari Sumatera. Sebahagian besarnya berada di Indochina dan Segenting Kra, dan mereka membina tamadun di Negara kota-negara kota mereka. Orang Melayu yang menubuhkan Langkasuka bukanlah Melayu Sumatera. Langkasuka ada kaitan dengan Funan, dan orang Melayu semenanjung pada zaman purba punyai hubungan dengan Khmer, Pyu, Mon, Burma, Dai-Viet, Lao dan Tai.  Jadi boleh dikatakan bahawa Melayu semenanjung kebanyakannya berasal dari Indochina, Segenting Kra hingga ke utara Malaysia. Sebab itu kita lihat orang Kedah-Perlis dan Kelantan-Pattani mempunyai loghat yang sangat ketara dan unik.

Berbalik kepada negeri Lanxang, dalam Hikayat Merong Mahawangsa ada menceritakan mengenai pembukaan sebuah negeri di Indochina. Apa yang menariknya adalah negeri tersebut bernama Siam Lancang, sebutan Lancang saling tak tumpah seperti sebutan negeri Lanxang yang kita bincangkan tadi. Negeri Siam Lancang dibuka oleh anak Raja Merong Mahapudisat yang paling tua, bersama-sama Pra Chisim dan isterinya Nang Sutaman, pemerintah bangsa gergasi. Bagi saya gelaran gergasi ini adalah pengkelasan orang Melayu zaman itu untuk satu kaum lain yang lebih ‘gasar’ atau berbeza dengan mereka, sepertimana orang China zaman imperial yang menggelar semua bangsa dari Negara luar sebagai barbarian atau hantu.

"Setelah didengarnya oleh Raja Merong Mahapudisat sembah menteri itu,"Jikalau demikian hendaklah saudara kerahkan segala kaum gergasi himpun sekaliannya dan panggil penghulu Pra Chisim dan penghulu Nang Sutaman itu ke mari,kita beri ia pergi bersama-sama anak kita dan orang kita Melayu,setengah kita suroh pergi bersama anak kita yang tua ini kita hantarkan ka hulu di sebelah utara barat laut.Maka tanah bumi itu lanjut jauh jua perjalanannya"

"...Maka di situlah sekalian berbuat istana dengan kota parit serta dihimpunkan segala orang yang duduk bertaboran pechah belah itu. Maka di satukan sekaliannya, maka menjadi besarlah. Maka dinamai negeri itu Siam Lancang, tempat membuat kota istana itu.."

Dalam Hikayat Merong Mahawangsa juga disebut bahawa perjalanan dari utara semenanjung ke Siam Lancang itu mengambil masa 200 hari perjalanan (berjalan kaki), iaitu kira-kira 6 bulan. Bagi pendapat saya tempoh ini adalah munasabah kerana terpaksa melalui hutan dan bukit bukau di tengah-tengah tanah besar Asia Tenggara bersama pengikut yang ramai. Saya yakin wilayah dimana kerajaan Lanxang yang ditubuhkan sekitar 1354 itu adalah sama dengan negeri purba Siam Lancang dalam Hikayat Merong Mahawangsa.


Dan yang lebih menarik ialah pemerintah pertama Lanxang iaitu Fa Ngum diberi gelaran "Phragna Fah-La-Thorani Sisatanakanahud". Gelaran ini sebenarnya sebutan Lao kepada "Pongna Prah Dharnindra Sri Santan Naga Nahud" di dalam bahasa Sanskrit. Gelaran "Sri Santan Naga" itu juga sebenarnya berasal daripada gelaran raja-raja Melayu Champa! Seorang raja Melayu Champa bernama Simha Jayavarman memakai gelaran 'Sri Siantan'. Malah di Laos ada tempat yang bernama Champasak. Ini menunjukkan bahawa memang wilayah Laos atau Lanxang pernah dikuasai dan diduduki oleh rumpun Melayu sebelum kedatangan Fa Ngum.

Mungkin Fa Ngum telah membina Lanxang selepas mengalahkan raja Melayu terakhir di wilayah Siam Lancang itu kemudian menubuhkan kerajaannya sendiri. Ini kerana ketika itu juga kerajaan Sukhotai juga sedang meluaskan pengaruhnya dan sedang menawan negeri-negeri Mon-Khmer dan Melayu di sekitar benua Siam. Seperti biasa, kebudayaan awal negeri-negeri Tai akan meniru atau mengasimilasikan kebudayaan negeri-negeri yang ditakluknya. Untuk mengetahui kebudayaan bangsa Tai yang sebenar, kita perlu lihat budaya suku kaum Zhuang di China dan Shan di Myanmar. Budaya orang Tai sebenarnya adalah budaya suku kaum bukit yang berasal dari tengah China dan bukan seperti yang kita boleh lihat di Laos dan Thailand sekarang. Jdi jika kita tahu sejarah kuno orang-orang melayu di Indochina, kita tidak akan pelik jika Melaka mampu untuk mengerahkan tenteranya hingga ke Laos dan mengalahkan tentera Vietnam yang terkenal kuat itu. Sekian.

Menarik bukan?..:D

~ASJ~



Sumber: Liang Liji dan credit kepada Cik Srikandi.

Khamis, 4 September 2014

ADAKAH MELAYU SENTIASA KALAH?






Ada seorang hamba Allah, dia cakap dengan saya ‘Orang Melayu kita ni memang lemah sejak zaman dahulu lagi, apa pun buat semua tak menjadi, berperang dan bertempur dengan penjajah pun asyik kalah memanjang, tak ada apa yang hebatnya pada Melayu’. Persoalannya betul ke bangsa Melayu Nusantara kita ini sentiasa kalah dengan penjajah? Salah! Orang kita kalau fikir tentang perang dengan penjajah  mesti  teringat perang Melaka, itu sahaja yang ada dalam fikiran dan ingatan mereka yang tepu dengan pendidikan buku teks sejarah sekolah.



Sebelum itu saya nak ingatkan kepada anda semua bahawa sejarah bangsa Melayu itu tidak sesempit Semenanjung sahaja. Bangsa Malayonesia itu adalah seluruh suku-suku yang berada dalam kelompok bahasa Austronesia. Baik Jawa, Minang, Batak, Iban, Kadazan, Bugis, Banjar, Aceh, semuanya tergolong dalam kelompok Austronesia atau Malayo-polenesia termasuklah orang asli seperti Jakun, Temuan, Seletar dan Semelai. Jadi jika saya sebut ‘Bangsa Melayu’ tolong buang jauh-jauh kefahaman bahawa Melayu itu adalah suku yang wujud di Sumatera atau Semenanjung dan sedikit di Borneo. Sudah tiba masanya kita membuka luas pemikiran kita dan keluar dari kepompong pemikiran buku teks dan politik sempit.



Jadi adakah benar bangsa kita selalu kalah bertempur dengan penjajah? Baik mari kita tengok beberapa peristiwa peperangan atau siri pertempuran yang berlaku di sekitar Nusantara pada zaman kolonial Belanda yang jarang kita tahu. Antaranya ialah ;



1.      Pertempuran Perak-Belanda (1651) –Belanda terpaksa berdamai dengan Perak setelah beberapa kali pos Belanda diserang Perak. Buktinya masih wujud hingga kini sebuah kota Belanda di Pulau Pangkor yang hampIr roboh.



2.      Pertempuran Batak-Belanda (1878-1907)-Dalam serangan pertama seramai 200 orang tentera Belanda terkorban dan ramai lagi yang tercedera. Kerugian yang ditanggung Belanda adalah amat besar berbanding tentera Batak. Seluruh kubu Belanda tersebut dibakar hangus. Sisinga Mangaraja terus berjuang menentang Belanda hingga akhir hayatnya dan berjaya membumihanguskan banyak kubu-kubu Belanda dan membunuh beratus-ratus tentera Belanda.

Gambar sekadar hiasan


3.      Pertempuran Selangor-Belanda (1784-1785)- Pada Julai 1784 angkatan Belanda yang membawa 11 buah kapal pimpinan Jacob Pieter Van Braam memerangi Selangor kerana tindakan Sultan Ibrahim menyerang Belanda di Melaka bersama Raja Haji. Sultan Selangor kemudian membalas kembali serangan dan menawan kembali Selangor dengan bantuan orang Pahang. Dua pihak akhirnya terpaksa berdamai dengan menandatangani perjanjian pada 29 jun 1786 kerana kekuatan kedua-duanya sama hebat sahaja .



4.      Pertempuran Johor-Belanda (1782) - Gabenor Belanda di Melaka menghantar angkatan perang dibawah pimpinan Toger Aboe membawa 6 buah kapal perang, 910 askar mengepung Riau . Pertahanan Riau yang kukuh menyebabkan Belanda terpaksa menghantar bantuan ke Riau iaitu 7 buah kapal perang seramai 594 askar. Seterusnya pada akhir 1782 Belanda menghantar lagi bantuan dengan 17 buah kapal kecil dan 600 askar yang menaiki kapal besar Malaka's Welvaren, tetapi kedua-duanya diletupkan tentera Johor-Riau dan semua anak kapal terbunuh dan Belanda terpaksa pulang ke Melaka dengan tangan kosong.



5.      Perang Siak- Belanda (1752) – Siak telah menang besar dalam pertempuran ini dimana banyak askar Belanda yang terkorban bersama kapal-kapal mereka yang berjaya dikaramkan oleh tentera Melayu Siak. Sejarah perang ini dinukilkan dalam Syair Perang Siak.

Sekadar hiasan


6.      Perang Aceh-Belanda (1873-1874) - Dipimpin oleh Panglima Polim dan Sultan Mahmud Syah melawan Belanda yang dipimpin Köhler. Köhler dengan 3000 askarnya dapat dikalahkan, dimana Köhler sendiri tewas pada tanggal 14 April 1873. Sepuluh hari kemudian, perang berkecamuk di mana-mana. Pertempuran paling sengit ialah saat merebut semula Masjid Raya Baiturrahman. Walaupun pada tahun-tahun berikutnya Belanda berhasil menawan Banda Aceh namun perjuangan rakyat Aceh tak pernah berhenti sehingga zaman Jepun. Malah ada yang menyebut hampir 30 ribu tentera Belanda terkorban di Aceh iaitu yang terbesar dalam sejarah peperangan Belanda.



Apa yang saya paparkan ini sebenarnya sebahagian sahaja daripada pertempuran-pertempuran yang berlaku diantara penjajah dengan kita yang dimenangi oleh kita atau diakhiri dengan perjanjian damai. Belum lagi jika dimasukkan Perang Naning yang membingungkan British dan Perang Kastilan yang membuka mata orang Sepanyol akan kekuatan Melayu Brunei. Adakah anda tahu akan Perang Aceh-Belanda yang diketuai oleh para wanita seperti Laksamana wanita terulung Cut Keumalahayati yang beberapa kali pernah menumpaskan armada Belanda di laut. Tak lupa juga, Cut Nyak Dhien, Tengku Fakinah, Cut Meurah Intan, Po Cut Baren, Cut Meutia, dan Cut Gambang? Bayangkanlah bagaimana panglima-panglima wanita Aceh ini berjaya membunuh beratus-ratus tentera Belanda dengan menggunakan pasukan gerila mereka.



Sebenarnya kalau anda semua nak tahu, kejatuhan kebanyakan kerajaan-kerajaan Melayu di seluruh Nusantara bukanlah akibat daripada kalah berperang dengan mereka atau sebab kita tiada senjata yang setaraf, tetapi disebabkan TIPU HELAH dan PECAH BELAH. Dengan cara yang licik inilah penjajah Belanda dan seterusnya diperkemaskan pelaksanaannya oleh British telah menjahanamkan negeri-negeri Melayu Nusantara dan merosakkan pemikiran anak bangsa. Maka anak bangsa pun tertanya-tanya mengapa sekian kali berperang nenek moyang tak pernah menang. Namun sayang, mereka tak mengetahui sejarah yang sebenar. Sebaliknya pemikiran mereka ditipu dengan sejarah versi Orientalis. Sekian. Wallah hu’lam.


~ASJ~