Tercatat didalam Jurnal
Muzium Brunei 1986 sebuah artikel yang
ditulis oleh John S Carroll bertajuk "Francisco de Sande's Invasion of
Brunei in 1578: An Anonymous Spanish Account". Apa yang menarik
mengenai artikel ini adalah kerana ia menegaskan mengenai satu sumber berbentuk
documen yang menceritakan tentang peristiwa perang Kastilan. Perang ini adalah
satu perang yang menjadi pengajaran kepada orang-orang Sepanyol bahawa orang
Melayu bukanlah selemah orang-orang Aztec yang berjaya mereka tawan dengan
mudah.
Zaman kegemilangan Brunei berterusan setelah kewafatan Sultan
Bolkiah pada tahun 1524 yang dianggap sebagai bapa kemakmuran kesultanan Brunei.
Penggantinya Sultan Abdul Kahar juga telah berjaya meluaskan kawasan jajahan
takluk Brunei sehingga ke seluruh pelusuk pulau Borneo, Palawan, Sulu, Balayan,
Mindoro, Bonbon, Balabak, Balambangan, Bangi, Mantanai dan Luzon. Dengan
pesatnya pembangunan dan perdagangan di Brunei maka semakin ramai para pedagang
Brunei yang berdagang keluar sambil menyebarkan agama Islam sehingga ke
kepulauan Filipina. Pada masa tersebut Brunei dikenali sebagai pusat penyebaran
Islam yang terkenal di sebelah timur Laut Cina Selatan.
Istana sultan Brunei di kampong Ayer
Sejak pada peringkat awal kedatangan Sepanyol lagi Brunei telah
dilihat mereka sebagai sebuah kerajaan yang besar dan kuat. Oleh sebab itulah
ketika Ferdinand Magellan mula-mula sampai di Brunei mereka tidak berani untuk
berbuat apa-apa sebaliknya mengalihkan pandangan mereka ke pulau Luzon untuk
bertapak. Kedatangan Sepanyol di rantau ini dilihat oleh sejarawan sebagai satu
misi keagamaan untuk menyebarkan ajaran Kristian lebih daripada tujuan untuk
menguasai ekonomi. Kita dapat lihat bahawa gereja Katolik memainkan peranan
yang besar dalam ekspedisi mereka. Dalam
usaha mereka untuk menyebarkan ajaran Kristian inilah mereka melihat Brunei
sebagai batu penghalang yang paling besar sekali. Hal ini adalah disebabkan
Brunei adalah sebuah kerajaan Islam dan banteng kuat agama tersebut yang juga
bersifat agama dakwah seperti kristian yang cuba disebarkan Sepanyol. Mereka
berpendapat Islam adalah sama seperti barah yang merebak dan merbahaya serta
perlu dihapuskan segera.
Menurut dokumen yang ditemui di Archivo General de Indias in
Seville yang berada di Sepanyol, Kampong Ayer yang terletak di
pelabuhan Brunei adalah sangat besar. Menurut mereka, kawasan tersebut adalah
yang terbesar pernah dilihat mereka dan dikatakan anggaran rumah penduduk
disitu lebih kurang lima ke enam ribu buah termasuk rumah-rumah kaum bangsawan
dan kerabat diraja yang besar-besar dan mewah. Apa yang lebih menarik, dokumen
tersebut turut menyatakan bahawa terdapat sistem penyaliran air bersih
yang teratur dan agak canggih di perkampunya air ini. Dikatakan bahawa setiap
rumah mempunyai sumber air bersih dari kawasan bukit atau gunung di daratan
yang disalurkan dengan paip-paip. Air ini disalurkan kebawah rumah mereka dan
akan diangkut dengan bejana atau buluh apabila mereka hendak menggunakannya.

Rumah-rumah di kota Brunei atau Kampong Ayer dibina dengan
lorong-lorong dan jalan yang lurus. Setiap lorong ada namanya dan setiap lorong
ada jalan untuk keluar sama seperti sistem jalan yang ada di daratan. Di
kawasan darat berdekatan kaki bukit wujud lembah-lembah yang subur dan ditanam
dengan tanaman kelapa dan dusun buah-buahan.
Dokumen ini turut menyentuh tentang masjid yang terdapat di Kota Brunei.
Masjid tersebut diperbuat daripada kayu
tetapi ianya sangat tinggi dan besar. Dikatakan masjid ini ada lima tingkat
namun sejarawan berpendapat yang bertingkat adalah bumbungnya sahaja seperti
sebahagian besar masjid di seluruh nusantara. Mengenai raja atau sultan pula
dinyatakan bahawa baginda mempunyai lebih dari satu istana dan gudang-gudang
tempat menyimpan senjata dan harta bendanya. Istananya dihias cantik bersepuh
emas dan beratap jubin. Disebut juga tentang koleksi kitab-kitab milik sultan
Selain dari bermatlamat untuk menyebarkan Kristian mereka juga
bermatlamat untuk mengembangkan pengaruh dan prestij Raja Sepanyol. Tambahan
lagi melalui surat yang dihantar kepada Sultan dapat dilihat bahawa mereka
dengan sombong mengatakan bahawa rakyat Brunei adalah barbarik dan perlu
ditamadunkan dengan cara barat.

Seperti yang telah diketahui, titik tolak kepada konflik diantara
sepanyol dan brunei ini berkisar atas sepucuk surat yang ditulis oleh Dr
Francisco de Sande untuk sultan. Antara kandungan surat ini adalah ia mendesak Sultan
Saiful Rijal supaya tidak menghantar pendakwah-pendakwah Islam ke kepulauan
Filipina dan Borneo lagi dan membenarkan paderi katolik masuk menyebarkan Christian
di Brunei. Kandungan surat tersebut
turut menghina agama Islam dengan mengatakan bahawa agama Islam adalah agama
sesat yang jahat dan agama Kristian adalah agama yang sebenar. Setelah membaca
kandungan surat yang angkuh ini Sultan Saiful Rijal berasa amat marah dan
terhina lalu mengoyak-ngoyakkan surat tersebut. Bagi Sultan Saiful Rijal,
penghinaan pihak Sepanyol terhadap agama Islam adalah sesuatu yang amat biadap.
Jika kita membaca penulisan dari sejarawan barat tentang perkara ini akan kita
dapati bahawa mereka menggambarkan yang Sultan Saiful Rijal bertindak agressif
tanpa sebab musabab yang munasabah. Sebaliknya sekarang kita tahu mengapa sultan
begitu marah dengan Sepanyol, ia adalah kerana Sepanyol dengan terang-terangan
menghina Islam.
Brunei tidak sesekali berpeluk tubuh sahaja dalam hal ini. Tindakan
Sepanyol menyerang kaum muslimin di Filipina seperti di Luzon dan Sulu dan Cebu
adalah suatu ancaman dan penghinaan terhadap kedaulatan Brunei sendiri. Hal ini
adalah kerana keluarga diraja Sulu dan Luzon adalah bersaudara dengan
mereka. Akhirnya ketegangan yang berlaku
diantara kerajaan Brunei dan Sepanyol ini membawa kepada peperangan yang
terkenal dengan panggilan Perang Kastilan.
Ianya bermula Pada tahun 1564 apabila angkatan Sepanyol yang
diketuai oleh Miguel Lopez de Legazpi telah berlayar ke Pulau-pulau di Filipina
melalui lautan Pasifik dan tiba di Cebu pada 13 Febuari 1565. Pada mulanya,
mereka tidak dapat mendarat di Cebu kerana tentangan pahlawan Islam Cebu.
Kemudian mereka meneruskan perjalanan ke Mindanao dan mendapat tentangan
daripada pahlawan Islam di sana pula. Dalam keadaan terdesak pada 27 April 1565
mereka berpatah balik ke Cebu dan menyerang Cebu semula.

Cebu akhirnya dapat ditundukkan, kemudian, mereka bergerak ke
Luzon. Dalam tahun 1570 Legazpi telah Cuba menduduki Manila yang diperintah
oleh Raja Sulaiman yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan sultan Brunei
tetapi tidak berjaya. Pada tahun 1571 Sepanyol datang lagi ke Manila dan
menyerangnya. Raja Sulaiman mempertahankan wilayah Islam Manila dengan hebatnya
namun baginda akhirnya telah syahid di dalam pertempuran yang berlaku pada 3
Jun 1571 itu. Pada tarikh tersebut de Legazpi berjaya menduduki Manila dan
mengisytiharkan bahawa Manila sebagai pusat pemerintahan Spanyol di timur. Keturunan
Raja Sulaiman beberapa kali cuba menawan kembali Manila tetapi tidak berjaya. Seperti
halnya di Manila, bermula dari situ, maka satu persatu wilayah Islam Filipina
ini dihapuskan.
Pada Mac 1578, Dr. Francisco De Sande Kapten Sepanyol di Manila
bertolak ke Brunei dengan 40 kapal perang yang diketui oleh kapal Santiago. Ia
sampai ke perairan Brunei dan mengutuskan surat kepada Sultan Saiful Rijal
meminta baginda menerima pederi Kristian. Baginda bertegas untuk tidak menerimanya.
Baginda tidak mahu mengalah kepada musuh Islam yang nyata. Hasilnya, pada 14
April 1578 de Sande melanggar Brunei. Dengan serta merta armada Brunei membedil
kapal-kapal perang Brunei yang sebanyak 50 buah secara tiba-tiba. Askar-askar Brunei
yang tidak bersedia tidak dapat berbuat apa-apa apabila armada mereka hangus
terbakar dan tentera Sepanyol menyerang kampong air. Istana sultan akhirnya
dapat ditawan dan semua harta benda sultan dan penduduk dijarah mereka. Namun
sultan dan para pengikutnya berjaya melarikan diri ke Jerudong. Setelah ke Jerudong
sultan kemudian berpindah pula ke satu tempat dinamakan Pulau Raja. Bendahara
Sakam yang mengiringi Sultan kemudian kembali ke Brunei dan menghimpunkan
pahlawan-pahlawan Islam.
Dalam catatan barat ada disebut bahawa mudahnya serangan terhadap Brunei
oleh Sepanyol adalah disebabkan oleh pembelotan dua orang pembesar Brunei yang
tidak berpuas hati dengan Sultan. Namun perkara ini tidak dapat disahkan
sepenuhnya walaupun ada catatan Sepanyol mengenainya. Pada 1578, Pengeran
Bendaraha Sakam memimpin serangan kembali ke Brunei dengan lebih daripada 1000
orng pahlawan. De Sande dapat dikalahkan dan lari meninggalkan Brunei.
Pasukannya dikejar sehingga ke Nausung (Sabah). Pada peringkat ini ada dua
versi sejarah yang bertentangan.
Dalam catatan Sepanyol pihak Sepanyol tidak menyebut langsung
mengenai serangan balas yang dilakukan oleh Bendahara Sakam tersebut sebaliknya
tentera Sepanyol dikatakan terpaksa kembali ke Manila dan meninggalkan Brunei
kerana mereka keracunan air dan mendapat penyakit taun dan cirit-birit yang
teruk sehinggakan ramai diantara tentera mereka mati. Namun dalam sejarah tempatan kisah Bendahara
Sakam ini memmang tidak asing lagi. Persoalannya adakah pihak Sepanyol sengaja
menutup kisah yang sebenar untuk mengelak daripada menanggung malu kerana kekalahan
mereka di tangan kaum yang dianggap tidak bertamadun? Atau mereka memang mati cirit-birit?
Saya tinggalkan persoalan ini untuk anda fikirkan.
Sebelum mereka meninggalkan
Brunei pihak Sepanyol yang berasa marah dan geram tersebut dengan sengaja telah
membakar Masjid agung Brunei. Mereka membakar masjid dan memusnahkan Makam
Sultan Bolkiah. Banyak harta rakyat dan Sultan diambil sekali. Pada 4 Mac 1579
Sepanyol datang lagi diketuai oleh Kapten Don Juan Arce de Sadornil.
Walaubagaimana pun akhirnya mereka berundur kerana melihat pertahanan muslim
Brunei yang sekali-kali tidak pernah mahu mengalah walau hanya menerima paderi
di bumi Brunei. Brunei kali ini memang telah bersedia dengan angkatan mereka.
Hal ini menggerunkan sepanyol.
Berikutan kekalahan de Sande di Brunei, dia memerintahkan Kapten
Estaven Rodriguez de Figure meneruskan perjalanan ke Sulu dan menawan Sulu agar
dapat menyekat pengaruh Islam dari Brunei. Serangan ke atas Sulu berjaya
apabila Raja Sulu menyerah diri kepada Sepanyol. Kemudian de Sande
memerintahkan agar armada ini menawan Mindanao. Tujuannya adalah untuk
melemahkan kerajaan-kerajaan di sekitar Brunei dan pengaruh Islam yang
dipimpinnya dan seterusnya meneruskan operasi dakwah Kristian. Kapten Estaven
Rodriguez tidak mampu untuk menundukkan Mindanao yang lebih hebat dipertahankan
oleh orang-orang Melayu Islam disana. lalu dikirimkan pula Panglima baru iaitu
Kapten Gabriel de Revira pada 1579. Apa yang berlaku di Brunei turut berlaku di
Mindanoa. Mereka membakar masjid Mindanao. Hal ini menunjukkan betapa bencinya
orang-orang Sepanyol terhadap Islam. Di Mindanao Sultan Dimansaky menentang Sepanyol.
Pada peringkat awal Sultan terpaksa berundur ke pendalaman. Pada kurun ke 17,
Sultan Kudrat pula mengetuai muslimin di Mindanao.
Sepanyol silap di dalam menilai orang Brunei. Padanya ia selemah
orang Manila yang setelah ditawan terus dapat menerima telunjuk Sepanyol
termasuk penyerapan paderi dan agama Kristian. Tetapi rupanya, kebangkitan
pahlawan Brunei berterusan sehingga terusirnya Sepanyol dari bumi Brunei. Saya
memetik kata-kata Ustaz Amin, ‘Apa yang terjadi kepada Brunei dan apa jadi pada
Manila dan Sulu? Brunei tetap mengekalkan keadaan Islamnya tetapi Manila hanya
tinggal sejarah’. Kenapa Brunei boleh bertahan? Ini kerana, sejak awal mereka
tidak mengizinkan langkah pertama, tidak menyerah walau sejengkal, tidak
berganjak walau sedikiti pendirian mereka.
Pada tahun 1586 kerajaan Sepanyol di Manila serta ahli-ahli
penasihat kerajaannya telah mengutuk tindakan yang dilakukan oleh De Sande.
Kerajaan Sepanyol telah mengarahkan agar segala harta benda, kapal-kapal dan
senjata-senjata api yang dirampas semasa penyerangan Brunei dipulangkan kembali
kepada kerajaan Brunei dan satu dekri telah dikeluarkan agar De Sande berserta
konco-konconya membayar ganti rugi. Tindakan kerajaan Sepanyol ini masih
menjadi tanda tanya. Adakah ia benar-benar dilaksanakan atau hanya diatas
kertas sahaja. Jika ianya benar ini membawa maksud bahawa kerajaan Sepanyol
mengiktiraf kedaulatan kerajaan Brunei dan takut sekiranya permusuhan dengan Brunei
akan merugikan mereka kelak. Hal ini dapat dibuktikan apabila beberapa tahun
kemudian satu delegasi secara aman dari kerajaan Sepanyol di Manila telah
dihantar ke Brunei bagi membincangkan hal ehwal perdagangan diantara kedua buah
kerajaan. Sekian wallah hu a’lam.
Kredit kepada : Rozlan Yusouf dan Ustaz
Amin