Sabtu, 25 Disember 2010

TANAH PARA DEWA


Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada pembaca semua, Saya pasti ramai diantara anda diluar sana yang masih tercengang dan ternganga serta terkebil-kebil dengan penulisan Cik Sri di blog M.O. Mungkin anda merasakan idea-idea dan teori yang dikemukakan Cik Sri adalah idea yang agak terlampau dan tidak terjangkau dek akal inferiority complex sebahagian besar masyarakat Melayu terutama di Malaysia. Nah, inilah tujuan penulisan artikel saya kali ini. Saya akan cuba mengungkap salah satu daripada teori yang diketengahkan oleh Cik sri dalam penulisannya dan cuba untuk menyampaikannya dengan cara saya yang tersendiri. Mungkin gaya penulisan saya tidaklah sehebat beliau dan tidak mampu menarik perhatian anda, namun saya akan berusaha sebaik mungkin menyampaikan hujah-hujah saya dengan jelas dan baik supaya anda di luar sana mendapat pencerahan.



TEORI TANAH PUNT

Bagi anda yang belum pernah mengunjungi blog M.O dan membaca penulisan Srikandi sudah tentu kurang periksa apa yang dimaksudkan dengan teori Tanah Punt ini. Jika anda semua ingin mengetahui lebih lanjut mengenainya sila Google sahaja kerana ada banyak artikel yang boleh di baca untuk mengetahui mengenai tempat yang misteri ini. Namun ingin saya ingatkan bahawa anda perlu pandai menimbang dan membuat rujuk banding kerana sebahagian besar daripada artikel yang didapati daripada internet boleh dipertikaikan keabsahannya. Hal ini belum lagi dimasukkan dengan pelbagai versi tentang dimana letaknya Tanah Punt ini, ada berpuluh-puluh teori yang cuba meletakkan Punt di pelbagai tempat samada di Asia, Afrika dan di Amerika.



Bagi anda yang memang telah khatam siri ATBM tahniah, anda mungkin tidak perlu lagi membaca tulisan saya ini. Tetapi bagi anda yang suka membaca secara tebuk-tebuk, maka ada baiknya kita refresh semula ingatan kita yang kadang kala cepat berkarat ini. Setelah membaca ruangan komen artikel sri, saya dapati masih ramai menanyakan soalan yang sama berulang-ulang kali tetapi tidak merujuk atau membaca siri-siri ATBM yang lepas-lepas. Malah ada yang meracau-racau sehinggakan Cik Sri dituduh syirik kerana mengkaji ukiran dan tulisan di dinding kuil Mesir Purba…:) Oleh itu penulisan saya kali ini boleh dikira sebagai ulang kaji lah.



Setelah berberapa lama membaca, mentelaah dan membuat rujuk banding terhadap penulisan Cik Sri saya dapat menyimpulkan bahawa teori Punt di Nusantara adalah lebih kukuh berbanding dengan teori-teori lain. Pernah juga pendirian saya menjadi goyah apabila membaca tentang kajian-kajian dari sarjana luar yang cuba meletakkan Punt di kawasan mereka, namun setelah di illuminate oleh Cik Sri dan melakukan lebih banyak pembacaan akhirnya pencerahan itu datang juga. Seperti yang saya katakan, setelah membaca artikel Cik Sri saya berusaha untuk membuat rujuk banding dan tidak menerima bulat-bulat dengan penulisannya. Saya bertuah kerana mempunyai akses terhadap perpustakan Universiti yang banyak menyimpan karya-karya sejarawan dari seluruh dunia. Bila ada masa terluang maka disitulah tempat saya bertapa. Salah satu buku yang telah dibaca saya adalah karya Sir Thomas  Stamford Raffles, The History of Java. Buku ini telah terlalu lama berada dalam pandangan mata saya. Setiap kali masuk library saya pasti akan ternampak buku yang agak besar dan tebal ini.



Namun sebelum membaca penulisan Cik Sri, seingat saya hanya sekali sahaja saya pernah membaca buku ini itupun tidak habis, sekadar mencari bahan untuk menyiapkan kertas projek. Setelah membacanya semula, saya menemui kenyataan yang amat menarik ditulis oleh Raffles. Beliau menyatakan bahawa sememangnya ada petunjuk yang menyatakan bahawa terdapatnya pertapakan masyarakat Mesir purba di kawasan kepulauan Melayu atau Nusantara. Melalui kajian yang dilaksanakan beliau dengan mengumpul sumber-sumber lisan daripada pelbagai suku kaum rumpun Melayu di Nusantara ini, ada diantaranya yang menyatakan bahawa nenek moyang mereka telah berlayar dari Laut Merah dan mengembara ke Alam Melayu beribu-ribu tahun dahulu. Tambah beliau lagi ianya mungkin berlaku dikala Alam Melayu atau Nusantara ini masih sebuah daratan besar dan bercamtum. Ini bermakna jika penghijrahan ini benar-benar berlaku berkemungkinan besar ia berlaku pada penghujung zaman Pleistosien kalau tak silap saya lebih kurang 10 ke 8 ribu tahun yang lampau. Adakah ini benar? Pendapat Raffles ini patut dikaji dengan lebih teliti oleh sarjana zaman sekarang.


 


Selain itu menurut Raffles masyarakat yang berhijrah dari Mesir melalui laut merah tersebut adalah daripada pelbagai jenis suku yang masing-masing ada pegangan atau kepercayaan yang berbeza diantara satu sama lain. Di Nusantara mungkin mereka berpecah dan membentuk pelbagai suku rumpun Melayu yang mempunyai pelbagai corak kehidupan atau adat yang berbeza. Jika ini benar pada pendapat saya mereka ini juga mempunyai satu bahasa yang sama pada asalnya. Dan bahasa inilah yang dikelaskan sebagai bahasa Austronesia atau Melayu yang masih wujud sekarang. Secara peribadi saya sememangnya lebih berat untuk menyebelahi teori ini, kerana sebagai seorang Islam kita seharusnya sudah tahu bahawa the cradle of human civilization adalah di timur tengah. Di situlah Adam dan Hawa beranak pinak dan dari sana jugalah keturunan mereka menyebar keseluruh dunia. Oleh sebab itu saya kurang setuju dengan teori-teori yang menyatakan bahawa kita berasal dari Yunnan, Asia tengah, Afrika atau memang berasal dari Nusantara. Bangsa kita sebenarnya sudah tua saudara-saudara sekalian…ya, sudah tua. Kita bukan bangsa baru yang tak tahu mana hujung pangkal macam bangsa Sam-Sam Merong Maha Prasad, kita bangsa tua yang pernah mengecapi dan melalui tamadun-tamadun silam sejak zaman Nabi Idris mungkin (?)



Baiklah, berbalik kepada isu kita mengapa saya katakan teori Tanah Punt di Nusantara adalah lebih kukuh berbanding teori lain. Bagi pengetahuan anda semua, penulisan saya ini sebahagian besarnya adalah hasil pembacaan daripada kajian Prof Charles Robert Jones. Jadi saudara-saudari sekalian sekali lagi saya tegaskan ini bukan Hikayat Dongeng Doraemon Tahap Gaban, tetapi adalah hasil daripada kajian Ilmiah oleh pakar dalam bidang yang sepatutnya. Rekod Mesir purba menyatakan dengan jelas bahawa Tanah Punt terletak dibahagian timur Mesir. Untuk lebih jelas lagi anda boleh membaca sendiri The Egyptian Book Of The Death yakni sebuah buku sihir Mesir purba yang merupakan salah satu barang ritual terpenting dalam upacara pemakaman Firaun. Dalam buku ini ada menyatakan bahawa Punt bukanlah sebuah negeri sahaja tetapi adalah sekumpulan beberapa buah negeri atau kawasan di sebelah timur. Namun begitu tidak dijelaskan secara tepat dimana letaknya Punt tersebut.



Sebuah lagi karya Mesir purba yang ada menyebut tentang Punt adalah The Shipwrecked Sailor. Dalam karya ini ada dinyatakan bahawa raja Punt adalah pemerintah kawasan Pulau dan bukan sebuah daratan besar seperti Afrika mahupun Amerika. Ukiran di dinding kuil ratu Hatshepsut ada menunjukkan bahawa Punt terletak dikawasan persimpangan jalan perdagangan beberapa tamadun besar dunia. Kenyataan ini mengukuhkan lagi teori Nusantara kerana Nusantara sememangnya berada di persimpangan jalan perdangangan beberapa tamadun besar seperti India dan China!


Kuil Ratu Harshepsut


Ukiran kuil tersebut juga ada memaparkan barang dagangan dari Punt , antaranya ialah kemenyan dan emas. Punt dikatakan kaya dengan ‘asem’ . Asem adalah panggilan orang Mesir purba terhadap sejenis bongkah emas yang berbentuk bulat seperti donut yang merupakan produk Punt sendiri. Hal ini bermakna Punt adalah sebuah pusat perdagangan yang besar dan penting pada zaman tersebut. Selain itu perkataan ‘asem’ atau gegelang emas Punt lansung tidak dapat dikaitkan dengan teori-teori lain kerana setelah dikaji, Charles Jones mendapati tidak ada perkataan asem dalam bahasa-bahasa lain, namun perkataan asem ada dalam bahasa Melayu! Asem merujuk kepada sifat logam iaitu asid atau berasid yakni masam. Menurut Charles Jones emas pada zaman dahulu juga dipanggil sebagai asem oleh masyarakat Nusantara kerana sifat logam tersebut (E-mas+sam=masam). Sehingga hari ini dalam bahasa indonesia perkataan asid diganti dengan asam contohnya asam nitric ,asam hidrokloric dan sebagainya. Teringat saya kepada seorang pengamal perubatan alternatif yang pernah memberitahu saya bahawa ada hikmahnya mengapa Allah melarang lelaki memakai emas. Menurutnya emas sifat semulajadinya adalah sangat asid atau masam, ianya boleh menjejaskan kesihatan lelaki terutama kesihatan seksual. Badan lelaki tidak dapat meneutralkan asid pada emas berbanding badan wanita katanya.

Adakah begini rupa bentuk gegelang emas atau Asem yang diperdagangkan oleh pendudul punt dengan Mesir?


Atau begini bentuknya?


Tambahan lagi, teori Nusantara juga lebih kukuh adalah kerana faktor masa. Apa yang saya maksudkan adalah masa perjalanan ekspedisi perdagangan kapal ratu Hatshepsut ke tanah Punt. Mengikut catatan Mesir purba, tujuan utama pelayaran tersebut adalah untuk menerokai kawasan-kawasan luar Mesir dan juga untuk berdagang. Hatshepsut telah mendapat arahan daripada tuhannya Amon melalui Oracle atau perantara ( samaada kebetulan atau tidak dalam upacara Oracle consultation atau “menurun” ini antara ritual utamanya adalah pembakaran kemenyan...adakah anda pernah melihat bagaimana bomoh atau dukun-dukun Nusantara menurun? Apakah yang mula-mula mereka lakukan? YA..membakar kemenyan) yang menyuruhnya menjalankan eksplorasi perdagangan tersebut sebagai menunjukkan ketaatannya kepada tuhan sebagai pemerintah baru. Setelah sampai ke tanah Punt , wakil Ratu Hatshepsut iaitu Nehesi telah bertemu dengan pemerintah Punt yang bernama PEREHU. Pernah dengar nama ini? Macam pernah je kan? Adakah kebetulan nama Perehu ini sama dengan panggilan orang Melayu terhadap kenaikan air mereka iaitu Perahu?Nak tahu baca ATBM...:)


Bomoh sedang membakar kemenyan.


Pembakaran kemenyan oleh masyarakat Mesir purba.

 
Kapal dagang ratu Mesir tersebut telah kembali semula dengan selamat pada tahun ke Sembilan pemerintahan baginda. Tempoh waktu yang begitu lama diambil oleh pasukan ekspedisi ini untuk berlayar pergi dan balik dari tanah Punt adalah mustahil sekiranya tanah Punt adalah di Afrika seperti satu teori yang menyatakan bahawa ianya berada di Somalia atau Eritrea. Somalia dan Eritrea adalah sebuah negeri yang amat dekat dengan Mesir. Malahan Hatshepsut tidak perlu susah-susah hendak menyediakan kapal dagang yang serba canggih pada zaman tersebut untuk berlayar ke Somalia atau Eritrea, cukup sekadar berjalan kaki atau berkuda dan berkeldai sahaja boleh sampai. Malahan tidak perlu sampai bertahun-tahun perjalanannya! Selain itu jika benar tanah Punt adalah somalia atau Eritrea ianya tidak mungkin menjadi sebuah upacara khas yang memerlukan konsultasi daripada Oracle, kerana hubungan perdagangan diantara Mesir dengan negara-negara Afrika yang lain adalah perkara biasa dan memang sentiasa berjalan sejak zaman berzaman sebelum pemerintahan Hatshepsut lagi.


Lihat jarak dan kedudukan Somalia dan Eritrea serta Yaman. Ianya sangat dekat dengan Mesir dan tidak memerlukan masa yang terlalu lama untuk berlayar kesana.

Nehesi bertemu dengan Raja Perehu dan Permaisuri Hati.

 
Selain faktor masa, faktor jarak juga menjadi satu lagi petunjuk. Pada zaman pertengahan, kapal-kapal Pak Arab dari Oman dan Yaman sering berlayar sejauh empat ribu batu nautika ke Sumatera dalam tempoh masa 55 hari sahaja. Kapal-kapal Arab ini adalah diperbuat daripada kayu yang dijalin dengan tali. Dengan tiga buah layar, kapal ini mampu untuk berlayar dan mengharungi ombak besar dilautan luas dan angin yang tidak menentu di lautan Hindi dan laut China selatan. Perjalanan balik kapal-kapal ini mungkin telah melalui kepulauan Maldives sehingga sampai ke pesisir pantai Somalia dengan mengikut arus laut. Oleh sebab itu adalah tidak mustahil sekiranya kapal Mesir purba memerlukan masa yang lebih lama untuk sampai ke Nusantara terutama jika kita perkirakan teknologi perkapalan pada zaman tersebut yang mungkin terkebelakang sedikit berbanding kapal tiga layar buatan kayu yang dimiliki oleh pak-pak Arab pada zaman pertengahan. Jadi, masa beberapa tahun itu adalah munasabah sekiranya kita kira waktu mereka berada di Tanah Punt atau singgah dimana-mana tempat lain atau samaada mereka meneruskan perjalanan sehingga ke penghujung Nusantara yakni sehingga ke Maluku atau pesisir pantai utara Australia mungkin. Hal ini kerana terdapatnya jumpaan tulisan Hieroglif Mesir purba terukir di celah-celah batu di Australia. Namun itu cerita lain, saya tidak mahu menyentuh banyak mengenainya. Biar cik xxx yang arif menyentuhnya…;)

Dhow Arab


Jika kita bandingkan kapal Mesir purba yang berlayar ke tanah Punt dengan kapal pedagang arab pada zaman pertengahan, maka sudah tentu kalah kapal Mesir. Kapal Mesir purba yang dihantar oleh Hatshepsut tersebut adalah diperbuat daripada kayu tetapi hanya mempunyai sebuah layar sahaja. Kapal yang digunakan oleh orang Mesir purba ini adalah contoh prototaip kapal awal yang sama pembuatannya dengan kapal zaman logam akhir. Oleh sebab itu keupayaanya untuk bergerak dengan lebih laju adalah terbatas. Ini dapat menjelaskan tempoh masa yang begitu lama diambil untuk perjalanan pergi balik dari Mesir ke Punt.

Replika kapal Mesir Purba


Namun saya pasti ada diantara anda diluar sana yang masih ragu-ragu dengan kenyataan ini. Masakan orang Mesir Purba yang hidup beribu tahun dahulu boleh berlayar dengan selamat beribu-ribu batu, ahhh!...tak percayalah aku! Orang dulu mana reti buat semua bende tu…otak diorang tak setaraf otak orang zaman moden. Otak kitakan lebih kompleks dan lebih berkembang, otak depa masih ditahap primitive! Mana boleh mencipta kapal yang hebat dan canggih...karut aje. Adakah begitu fikiran anda?…:)



jika beginilah anggapan anda , bermakna anda bersetuju dengan teori evolusi Darwin. Nampaknya pemikiran anda telah terperangkap dengan pensekularan ilmu THH. Ini sangat bahaya, terutama kepada kita orang Islam. Kita sebenarnya memperkecilkan ciptaan Allah jika kita menganggap orang zaman dahulu adalah primitif dan bodoh. Kita seolah olah menghina nabi-nabi terdahulu dan umat Mereka. Adakah kita tahu dan melihat sendiri bahawa mereka itu primitive dan otaknya tidak berkembang. Dengan izin Allah mungkin pada zaman dahulu sudah ada orang yang menjumpai tenaga eletrik dan mencipta mentol lampu sebelum Thomas Edison. Dengan izin Allah juga mungkin sudah ada manusia zaman purba yang telah mencipta kereta hybrid, kapal terbang, enjin wap, microwave, senjata nuclear, mahupun roket.



Adakah anda tidak percaya dengan kekuasaan dan kebijaksanaan Allah? Untuk pengetahuan anda , sebahagian besar daripada ciptaan-ciptaan hebat pada zaman moden adalah hasil daripada kebetulan dan trial and error. Adakah anda menganggap kebetulan ini tidak boleh berlaku pada zaman silam? Mungkin pada 5 ribu tahun dahulu Mak Cik Ati sedang memasak gulai tetapi secara kebetulan dia tersalah bubuh bahan maka jadilah Botox, maka gembiralah Mak cik Ati dengan penemuan barunya kerana nak kelihatan muda dan bergetah, lalu dijamahnya semua botox tersebut sehinggakan seluruh badan jadi tembam dan menggeleber…:) Mungkin juga Pak Cik Perahu tengah bermain Wau tetapi kemudian secara kebetulan petir menyambar Waunya lalu mengalir arus eletrik ke badannya kerana dia memakai Potoh Naga di lengan, maka tahulah dia akan arus eletrik yang dialirkan logam…:)

Permaisuri Hati yang tembun...:)

 
Mungkin juga memang semua kemajuan teknologi yang kita sedang kecapi sekarang sememangnya pernah digunakan oleh manusia pada zaman purba tetapi tidak meluas. Mungkin hanya satu dua orang sahaja yang tahu. Mungkin juga kerana manusia-manusia bijak yang mencipta pelbagai teknologi tersebut telah dimusnahkan Allah. Ini semua tidak mustahil tuan-tuan sekalian. Semuanya dengan izin Allah.

 
Geografi Nusantara juga saudara-saudari sekalian, adalah bersesuaian dengan diskripsi tentang tanah Punt. Hasil bumi Nusantara kebanyakannya dapat kita lihat dalam senarai barangan yang diperdagangkan dengan orang Mesir purba di Punt. Satu daripada barang terpenting yang mendapat permintaan tinggi para pedagang Mesir purba adalah Anti atau kemenyan Punt. Untuk pengetahuan anda ukiran di dinding Kuil Ratu Hatshepsut ada memperincikan tentang kemenyan dan pokoknya sekali. Setelah dikaji oleh para sarjana, di dapati bahawa pokok kemenyan Punt adalah tidak sama seperti pokok kemenyan dari Afrika mahupun Yaman. Kemenyan Afrika adalah dari jenis Bosweilia yang memang banyak di kawasan Afrika dan Yaman. Jadi kemenyan tersebut adalah kemenyan biasa yang memang telah digunakan lama oleh masyarakat Mesir purba, mungkin juga ada ditanam di belakang rumah mereka macam kita tanam serai…:) tetapi mengapa dalam gambar ukiran di kuil tersebut para pengunjung Punt beria-ia mahu membeli kemenyan Punt dan lansung membawa anak pokoknya sekali untuk dibawa balik ke Mesir?




Kru kapal Mesir sedang mengangkut barang dagangan  dari Punt untuk dibawa pulang ke Mesir


Ini membuktikan bahawa kemenyan Punt bukanlah kemenyan sembarangan! Ia adalah kemenyan yang sangat berharga. Oleh sebab itu tidak mungkin Punt berada di Afrika kerana tidak ada kemenyan jenis sebegitu wujud di sana. Namun demikian kemenyan yang dipaparkan dalam ukiran itu memang wujud di Nusantara, terutama di Sumatera! Selain kemenyan ada banyak lagi barang dagangan Punt yang memang boleh didapati di Nusantara seperti gading gajah, kayu keras, gaharu, cendana, kayu Manis, kulit kura-kura, rempah ratus, bijih emas dan lain-lain.

Pokok kemenyan jenis ini banyak didapati di Afrika dan Yaman. Bentuknya berbeza dari lakaran pokok kemenyan Punt.


Di atas adalah kenyenyan jenis Lubban Jawi yang menjadi rebutan para Firaun Mesir. Pokoknya rendang dan tinggi berbanding kemenyan Yaman.




Digambarkan juga bahawa penduduk Punt mempunyai pelbagai ragam warna kulit dan puak. Ada diantaranya yang berkulit gelap, ada yang berkulit kemerah-merahan dan ada yang berkulit perang kekuningan. Diskripsi ini lebih mengukuhkan lagi teori Punt di Nusantara kerana demografi Nusantara memang mempunyai diversiti pingmentasi kulit yang pelbagai. Ada puak asli seperti Negrito yang hidup dalam hutan tebal berkulit gelap dan berhidung pesek seperti puak Afrika, ada puak yang berkulit kemerah-merahan mungkin orang Melayu yang berjemur di tengah sawah atau disebabkan aktiviti kelautan. Ada juga yang berkulit kekuningan yang mungkin menunjukkan suku-suku Melayu yang tinggal di kawasan tanah tinggi dan bukit-bukau seperti orang Minang, Kerinci dan Rejang yang kulitnya agak cerah termasuk juga orang Iban dan Dusun. Tambahan lagi ada diantara mereka yang berjanggut, ada yang tidak, malahan cara berpakaian mereka juga sedikit berbeza diantara satu sama lain. Tetapi adalah agak sukar untuk saya gambarkan demografi sebegitu di Afrika terutama di Somalia dan Eritrea kerana hampir kesemua penduduknya berkulit hirang (Bahasa banjar...hehe) . Ini termasuklah yang tinggal di kawasan tanah tinggi seperti di Etheopia.

Diatas adalah ukiran dinding yang menggambarkan rupa paras penduduk Punt.


Sesetengah unsur kebudayaan yang dipaparkan mengenai Punt dalam ukiran-ukiran Mesir purba juga adalah bertentangan dengan unsur kebudayaan Afrika tetapi lebih mirip kepada unsur kebudayaan Melayu. Telah dikenalpasti bahawa gelang  dan rantai yang dipakai oleh Perehu raja Punt juga turut dipakai oleh beberapa puak di Afrika timur. Namun demikian menurut kajian yang telah dijalankan, puak-puak Afrika yang memakai gelang dan potoh seperti Perehu tersebut sebenarnya telah mendapat pengaruh daripada satu budaya dan tamadun lain. Anda tahu dari mana mereka mendapat pengaruh pemakaian gelang ini? Mereka sebenarnya telah mendapatnya daripada kita, iaitu suku rumpun Melayu. Mungkin anda tertanya bagaimana pulak kita boleh mepengaruhi puak-puak Afrika tersebut? Jawapannya ada di Pulau Madagaskar! Bagi anda yang tidak tahu, sebenarnya kajian tentang kolonialisasi bangsa Melayu terhadap kepulauan Madagaskar sebenarnya telah diterima ramai sarjana Barat dan tempatan. Sejak beribu-ribu tahun dahulu didapati berlakunya peghijrahan suku kaum Melayu dari Nusantara ke pulau Madagaskar dan pantai Timur Afrika. Jika teori ini telah diterima, mengapa susah sangat untuk kita terima bahawa orang Melayu telah sampai ke Mesir atau orang Mesir telah sampai ke Nusantara? Jarak diantara Mesir dengan pantai Timur Afrika atau Madagaskar bukan pun jauh sangat jika dibandingkan dengan jarak perjalanan dari Nusantara ke Madagaskar. Cuba anda fikirkan.



Di Madagaskar ada satu puak yang dominan menguasai pemerintahan walaupun mereka bukan majoriti sejak beribu-ribu tahun. Nama puak itu adalah Malagasy. Puak Malagasy sebenarnya adalah keturunan para penghijrah Nusantara beribu-ribu tahun dahulu. Bahasa mereka masih mengekalkan beberapa ciri bahasa Melayu. Dan jika anda masih sangsi lagi dengan supremasi Ruling Class Melayu, mereka boleh dijadikan contoh yang nyata. Puak Malagasy adalah kaum pertama yang mewujudkan sistem pemerintahan berpusat atau bernegeri di Madagaskar dan mereka bertindak sebagai pemerintah atau Lord kepada puak-puak Afrika kulit hitam lain yang terdapat di pulau tersebut. Mereka bukan sahaja memperkenalkan pemakaiian gelang dan potoh kepada puak-puak Afrika, malahan juga memperkenalkan tanaman ubi keledek, pisang, kelapa dan padi kepada masyarakat di Afrika Timur, tak lupa juga permainan Congkak serta alat musik.

 salah seorang Ratu Madagaskar Dinasti Merina Malagasy, Ranavalona II.


Tambahan lagi rantai yang dipakai oleh isteri Perehu iaitu Hati mempunyai banyak persamaan dengan rantai-rantai yang dipakai oleh suku kaum di Nusantara terutama di Borneo seperti Iban dan Dusun. Malahan sebenarnya rantai itu ada mirip bentuk rantai yang dipakai oleh pengantin Melayu. Ditambah lagi dengan pemakaian senjata yang disisip di pinggang Perehu. Saya tidak mahu membuat spekulasi bahawa ianya Keris, namun cara pemakaian senjata sebegini sebenarnya tidak dipraktikkan oleh Masyarakat Mesir purba mahupun Afrika. Anda Nampak sekarang apa yang cuba disampaikan :) Selain itu dalam pemerhatian saya, ada satu lagi kelainan yang terdapat pada lukisan orang-orang Punt di dinding-dinding kuil Mesir purba. Jika dilihat dengan teliti semua orang Punt mempunyai lilitan di kepala mereka dan ini termasuklah dengan Permaisuri Hati. Tambahan lagi ramai daripada pengikut Hati dan Perehu yang berada di belakang dalam ukiran tersebut memakai rantai dan gelang. Rantai- rantai itu seperti juga yang dipakai oleh Hati dan Perehu mempunyai cantuman-cantumah berbetuk bulat. Adakah anda perasan bahawa semua suku kaum Rumpun Melayu di Nusantara ini pasti mempunyai headgear atau lilitan kepala masing-masing! Yang Melayu dengan tengkolok dan semutarnya, yang Jawa dengan blangkonnya yang Dayak, iban dan banyak lagi suku-suku lain dengan ikatan manik dan sebagainya. Cara ikatan yang diperlihatkan dalam ukiran tersebut juga jelas menunjukkan ia adalah sejenis fabrik atau sesuatu yang boleh lentur. Hal ini kerana kita dapat melihat ada simpulan dibelakang kepala mereka yang menunjukkan ianya diikat di kepala.


Perhatikan rantai yang dipakai Permaisuri Hati dan juga lilitan kepala para pengikut mereka di belakang. Dalam lakaran yang sama juga ada dipaparkan Asem atau gegelang emas Punt yang menjadi barang dagangan utama tanah Punt dengan Mesir.

Perhatikan perhiasan suku kaum Dusun ini. sebahagian besar daripada perhiatan mereka adalah diperbuat daripada kepingan-kepingan logam berbentuk bulat seperti yang dipakai Hati.


Lihat pula rantai yang dipakai wanita suku kaum Rejang ini.


Perhiasan suku kaum di Sabah.


Senibina rumah penduduk Punt juga memberikan petunjuk bahawa Afrika bukanlah tanah misteri tersebut. Rumah Punt berbentuk agak pelik bagi masyarakat Afrika dan Mesir. Namun demikian ia bukanlah bentuk yang asing di Nusantara. Rumah Punt berbentuk circular atau bulatan. Sememangnya ada puak-puak di Afrika yang mempunyai rumah sebegini, namun yang membezakan rumah Punt dengan rumah Afrika adalah ianya mempunyai kaki atau tiang-tiang tinggi dibawahnya seperti kebiasaan rumah-rumah Melayu. Lantainya pula diperbuat daripada papan dan tinggi tiangnya dikatakan lebih kurang 6 kaki. Atap rumah dijangkakan diperbuat daripada daun-daun yang seakan-akan buluh. Rumah ini juga ada tangga yang menuju ke pintu rumah yang kecil. Anda boleh menjumpai rumah-rumah sebegini dengan banyak di Nusantara walaupun mungkin segi empat.Tetapi ciri-ciri lain seperti bertangga dan tingginya enam kaki adalah indikasi yang besar menunjukkan bahawa ia sejenis rumah Melayu awal. Memang kebanyakan rumah Melayu, 6 kaki adalah ukuran standart yang membolehkan orang melakukan aktiviti dibawahnya. Malahan jika anda pergi ke Maluku dan Papua atau ke pulau-pulau terpencil di Indonesia anda sebenarnya masih dapat melihat rumah berbentuk bulatan sebegini. Menurut sarjana barat, bentuk rumah sebegini adalah prototaip rumah tertua di Nusantara.

Rumah Punt.


Adakah secara kebetulan Rumah suku Bidayuh adalah satu-satunya  rumah suku kaum di  Borneo yang berbentuk bulat? Lihat beberapa persamaan diantara rumah suku Bidayuh ini dengan rumah Punt.


Rumah suku kaum di Sumbawa.

Di atas adalah rumah suku kaum di Papua.


Satu ukiran purba di makam seorang pegawai kepada Firaun Thutmose III yang bernama Min ada memaparkan lawatan pelayar dari Punt yang datang ke Mesir menggunakan sejenis kenaikan air atau bot yang aneh. Ada dikalangan sarjana yang membuat spekulasi bahawa ianya adalah sejenis rakit namun dakwaan itu kabur. Berkemungkinan ianya diakibatkan daripada kesilapan pelukis atau pengukir dinding tersebut. Mungkin pelukis itu tidak pernah melihat sendiri bagaimana rupa bentuk sebenar kapal tersebut dan hanya memberikan gambaran kasar. Mungkin juga lukisan itu berbentuk satu dimensi. Apa yang dilihat mungkin berbeza dari reality sebenar. Dari kajian yang dilakukan oleh Charkes Jones, beliau mendapati ciri-ciri kapal tersebut adalah sama dengan rupa bentuk perahu orang Melayu Nusantara. Bentuk layarnya juga adalah sama seperti layar perahu Melayu awal yang pernah digunakan oleh nenek moyang kita untuk mengembara keseluruh kepulauan Melayu dan Pasifik.


Diatas adalah lakaran kapal dari Punt yang datang ke Mesir.

Last but not least, bukti yang menunjukkan bahawa sememangnya ada kesinambungan hubungan diantara Melayu Nusantara dengan Masyarakat Mesir purba adalah dengan jumpaan tulisan-tulisan purba yang lansung tidak diketahui dari mana asal usulnya di beberapa tempat di Nusantara. Jika anda membaca buku History of Java tulisan Stamford Raffles maka anda akan menemui salinan daripada transkrip batu-batu bersurat serta manuskrip purba yang dijumpai oleh beliau. Apa yang menariknya adalah sebahagian besar daripada tulisan-tulisan ini adalah tidak boleh dibaca sehingga sekarang. Ada sarjana yang berpendapat bahawa tulisan-tulisan tersebut adalah tulisan Sanskrit atau Pali. Namun setelah disuakan kepada pakar tulisan Sanskrit dan Pali mereka juga mengatakan bahawa ia bukan tulisan tersebut. Malahan aksaranya berlainan sekali dengan aksara-aksara keindiaan yang banyak mempengaruhi tulisan-tulisan Melayu klasik seperti Kawi dan Jawa Kuno. Apakah jenis tulisan itu? Mengapa ia begitu misteri sekali sehinggakan pakar-pakar bahasa di London tidak dapat menafsirkannya?


Diatas adalah tulisan misteri yang dipaparkan dalam buku Raffles. Terdapat banyak ciri Phoenecian dalam karakternya.


Setalah dikaji oleh pakar-pakar bahasa dan termasuk Charles Jones sendiri, maka telah dapat dikenalpasti bahawa tulisan-tulisan tersebut sebenarnya adalah dalam kategori tulisan Phoenecia dan ibrani kuno. Apa yang menggemparkan para sarjana ini adalah tulisan rencong yang digunakan oleh suku Rejang, Kerinci dan Melayu Jambi juga mempunyai persamaan yang sangat banyak sekali dengan tulisan Phoenecia dan Ibrani kuno. Kajian yang dibuat mengenai tulisan-tulisan suku-suku Melayu Sumatera yang lain juga seperti suku Batak turut mendapati ianya berada dalam kelompok yang sama iaitu Pheonecian. Bagaimana tulisan orang Pheonecian yang bertapak di kawasan Syria, Palestin, dan Lebanon boleh berada beribu batu jauhnya di Nusantara? Menurut Charles Jones, 15 daripada aksara misteri yang dipaparkan dalam buku raffles tersebut adalah berada dalam variasi aksara Phonecian.

Aksara Rejang.


Dalam buku yang sama juga Raffles ada memaparkan tulisan purba misteri yang berbentuk Demotic. Charles Jones telah membandingkan tulisan misteri berbentuk Demotic tersebut dengan tulisan Demotic Mesir purba dari kurun ke 3 hingga ke 7 sebelum Masihi. Hasilnya adalah amat mengejutkan! Sembilan belas daripada aksara tulisan misteri tersebut adalah sepadan dengan sistem aksara Demotic Mesir Purba! Semua ini jelas menunjukkan bahawa sememangnya suatu ketika dahulu para pedagang dan pelaut dari Mesir purba dan negeri-negeri berdekatan dengannya terutama Pheonecian pernah sampai ke Nusantara dan berinteraksi dengan orang Melayu purba. Malahan bukan itu sahaja, pelaut dan pedagang dari tanah Punt atau Nusantara juga pernah sampai ke Mesir dengan kapalnya sendiri. Ini belum lagi jika saya kemukakan kajian-kajian daripada pakar-pakar bahasa seperti Jaspen yang berjaya menemui banyak perkataan-perkataan Mesir purba dalam kosakata bahasa Melayu Rejang dan Melayu Standart, contohnya Mata Hari atau Maat Heru, Baal atau Bala, prah atau perahu dan banyak lagi. Untuk maklumat lanjut mengenai kajian ini sila baca ATBM sahaja ok…:)


Tulisan misteri yang dijumpai di Indonesia yang mempunyai banyak persamaan dengan tulisan Demotic Mesir Purba.


Di atas adalah contoh tulisan Demotic daripada sebuah manuskrip Mesir purba. Cuba anda padankan mana-mana aksara yang berbentuk hampir serupa dengan tulisan misteri sebelumnya.


Satu lagi tulisan misteri yang dijumpai di Bogor yang mempunyai ciri-ciri tulisan Phoenecian dan Demotic.



Secara kesimpulannya kajian-kajian yang telah dikemukakan ini sekaligus mengukuhkan lagi teori yang menyatakan bahawa Tanah Punt adalah berada di Nusantara. Jika ini benar , bermakna leluhur tamadun Mesir purba juga berkemungkinan berasal dari Nusantara kerana menurut Masyarakat Mesir purba, nenek moyang mereka berasal dari Punt dan Tuhan-tuhan mereka juga berasal dari Punt, seperti Horus, Osiris, Seth dan Isis. Mereka percaya bahawa tuhan-tuhan mereka ini pada suatu masa dahulu adalah manusia biasa. Adakah mereka ini berbangsa Melayu Nusantara? Wallah hu a’lam.

40 ulasan:

  1. good writing tuan al-semantani... saya tak anggap ini adalah ulasan dari penulisan srikandi... ini adalah effort bernilai dari tuan sendiri...

    sesungguhnya artikel ni antara yang terbaik yg pernah tuan hasilkan...:)

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah.,.,Hak melayu terus diperjuangkan.,.Sama2 kita teruskan dlm pencarian identiti kita yg sebenar.,.demi mengembalikan hak2 serta alter2 yg telah dihilangkan.,.,

    BalasPadam
  3. salam....

    terima kasih atas artikel ini....memudahkan lagi pemahaman dan byk juga melengkapkan kepingan2 jigsaw bangsa kita....

    BalasPadam
  4. salam...
    tahniah... akhirnya dapat la jugak pencerahan...

    BalasPadam
  5. salam

    al semantani..good job and well done!!
    hehe..biasalah, komen dulu baru baca
    wow...saya skrol nengok gambor2 dulu
    bersusah-payah al semantani carikan dan masukkan gambar2 yg bagus semata2 untuk kami ni..huhu..terharu..!!

    alhamdulillah ada juga pakar sejarah selain srikandi yg bersungguh2 beri pencerahan pada kami.
    ibnu rusydi sama juga.

    BalasPadam
  6. tahniah utk anda... merumus balik ape yg disampaikan oleh pn sharifah, bekas org muzium negara... dlm mistisfiles...

    BalasPadam
  7. sgt mantap!!MO dan srikandi sepatutnya mencontohi style penulisan anda yang penuh dengan bahan arkeologi sebagai bukti..tahniah..

    BalasPadam
  8. perghh mantop!
    tahniah, tahniah atas usaha anda.
    klau betul la apa yg anda bahaskan..
    kebenaran pasti akan timbul satu hari nnt.
    dengan izin Allah swt..

    BalasPadam
  9. thanks for putting up the references!!!
    kalau tak taruk org2 kita nie susah sgt nak percaya
    duk pandang rendah kat bangsa sendiri

    BalasPadam
  10. terima kasih atas sokongan semua...terharu pulak rasa. insyaallah akan saya teruskan selagi diizinkan Allah.

    Al Semantani

    BalasPadam
  11. Antara artikel yang best aku baca. Jelas dan mudah untuk difahami.
    Tahniah. Teruskan usaha mengulas dengan gaya sebegini, sebab ramai orang yang tak paham dengan gaya bahasa cik sri di MO.
    soalan off topic:
    Ada sesapa yang kaji tentang denisovan spesies? Sebabb la ni ada 3 humanoid - modern, neanderthal ngan denisovan- ada macam sam, ham ngan yefits tak? cuma timeframe dia cam jauh sangat - 30000 - 50000 tahun, or nabi Adam memang turun ke bumi jauh lebih lama dari kiraan org yahudi.

    Khairul

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mereka nak kaitkan denisovan tu dengan bangsa di nusantara ini kerana mereka tak dapat kelompokkan bangsa nusantara ini sama ada dengan "modern man" atau neanderthal.

      Padam
  12. Salam Semantan,

    Saya percaya kamu. insyaAllah.

    BalasPadam
  13. mengkaji dn menghayati sejarah agung melayu tak lain supaya mmperkasakn jatidiri generasi hari ini yg longlai menyembah laghowi tanpa disedari..
    kerna pabila jatidiri bangsa ini kuat dgn sendirinya sejarah agung kembali terukir...
    hidup malayu!!malayu bersatu!!

    BalasPadam
  14. terima kasih..psl yg egyptian book of death tu,ritual dalam buku tu jd ritual standard utk berapa zaman ye?atau ia dipakai selama berapa lama? serta dari pharaoh mane ke pharaoh yg mane?atau bleh ckgu terangkan dri mane mereka pd zaman tu dpt inspirasi utk tlis n catat dlm buku tu yg kita namakan book of death?adakah wujud catatan yg lebih lama dri buku tu?harap bleh dijelaskn walaupn x masuk lngsung psl topik ni..hehe

    yg minat blogs n critics..

    BalasPadam
  15. Salam Al-Semantani dan semua pembaca...

    Satu penulisan yang amat bagus dan dpt menyambung garis-garis merah antara ATBM dan lain2 blog jiggers...

    "menurut Masyarakat Mesir purba, nenek moyang mereka berasal dari Punt dan Tuhan-tuhan mereka juga berasal dari Punt, seperti Horus, Osiris, Seth dan Isis. Mereka percaya bahawa tuhan-tuhan mereka ini pada suatu masa dahulu adalah manusia biasa."

    Saya dpt rasakan yg tuhan2 org2 mesir purba ini pd suatu masa dhulu adalah manusia biasa merupakan khalifah2 dari anak2/cucu2 Nabi Nuh a.s..

    Klw baca blog nusanaga ttg bangsa mim, khalifah2 ni ada mukjizat & penduduk2 wktu tu amat menyanjungi & mengagungkan mereka, sehinggakan menggelarkan mereka ni 'dewa-dewi'.

    Dan selepas khalifah2 dari anak2/cucu2 Nabi Nuh ni wafat, iblis menghasut penduduk2 trsebut utk membuat sesuatu sbg peringatan.

    Dan pd wktu inilah bermulanya era penyembahan berhala...

    Bila dah teruk sgt, banjir besar pun jadi...

    Sekadar berkongsi...

    Ape pun, LaHawlaWalaQuwwataIllaBillah...

    BalasPadam
  16. Salam,

    1- Tulisan Tuan adalah teratur, mudah difahami dan sangat jelas. Syabas Tuan.

    2- Tuan, apabila saya melihat gambar ukiran rupa paras penduduk Punt yang Tuan sediakan diatas, saya terpandang sesuatu yang menarik perhatian. Saya tidak tahu sejauh mana relevannya perkara ini tapi mungkin Tuan boleh ulaskan dengan lebih lanjut.

    3- Jika Tuan perhatikan gambar tersebut, kita dapat melihat salah seorang daripada penduduk Punk ada membawa seekor beruk.

    4- Di Nusantara, beruk beruk sebegini sememangnya sinonim dengan masyarakat Melayu yang sering menggunakan haiwan tersebut untuk memetik kelapa. Malah sehingga kini di kampung-kampung kita masih boleh melihat haiwan ini digunakan untuk memetik kelapa.

    5- Saya tidak dapat pastikan sekiranya terdapat bangsa lain didalam dunia ini yang mempunyai hobi membela beruk kecuali masyarakat india.

    6- Kalau mengikut karikatur ukiran tersebut, ia mungkin dari species Southern Pig-tailed Macaque yang mana species ini hanya boleh didapati di Nusantara (mengikut Wikipedia). Species ini lah yang sering dibela oleh orang melayu.

    7- Saya menggoogle lagi tentang species ini, kebanyakan jenis beruk yang ada di India adalah jenis long tail Macaque yang mana ia mempunyai ekor yang jauh lebih panjang.

    8- mungkin Tuan boleh membuat kajian dengan lebih terperinci. Ini hanya teori yang menarik sahaja.

    BalasPadam
  17. Salam.... jika semua nk tau,org mesir sgt suka ngn org melayu.sehinggakn bila tnya dari mna?kita jwab,maliziya(malaysia),terus depa ucap,ahsanunnas(manusia yg baik).bahkn sy pnah dicium kepala oleh org arab bila dia tau sy org malaysia.. adakah krn ikatan ukhuwwah ini prnah trbina sejak dahulu lg? wallahu a'lam..

    apa2 pn sy suka bca entri ni...:-)

    BalasPadam
  18. 1. "menurut Masyarakat Mesir purba, nenek moyang mereka berasal dari Punt dan Tuhan-tuhan mereka juga berasal dari Punt, seperti Horus, Osiris, Seth dan Isis. Mereka percaya bahawa tuhan-tuhan mereka ini pada suatu masa dahulu adalah manusia biasa."

    2. "suku kaum rumpun Melayu di Nusantara ini, ada diantaranya yang menyatakan bahawa nenek moyang mereka telah berlayar dari Laut Merah dan mengembara ke Alam Melayu beribu-ribu tahun dahulu."

    3. Apa yang saya fahami dari penulisan tuan, Punt adalah pusat perdagangan. Jadi tidak mustahil di situ juga terdapat produk-produk DARI hasil bumi Nusantara. Adakah Punt juga adalah pusat pengeluaran produk? Jika Punt juga pusat pengeluaran, bermakna kukuhlah Punt terletak di Nusantara. Tetapi jika Punt terletak di Nusantara, apa perlunya masyarakat Nusantara mengimport kulit zirafah dari benua Afrika untuk diperdagangkan di "Punt Nusantara"?

    4. Maaf tuan, saya bukannya inferiority complex cuma berpendapat jika sesuatu itu sememangnya hak Melayu, maka Melayu berhak mendapatnya. Tetapi jika bukan, mengapa kita perlu menghakmilikan bukan hak kita. Saya menghormati Srikandi tetapi apa yang saya perhatikan Srikandi kadang-kala 'tergelincir' juga dalam membuktikan teorinya. Jika sesuatu pendapat atau teori yang dikemukan oleh Srikandi yang dirasakan olehnya tidak mempunyai asas yang kuat, maka beliau akan mengunakan label 'Nusantara' pada permulaan hujah dan akhir penghujahan akan memukul rata pada label 'Melayu' sebagai kesimpulan. Tetapi masakan saya boleh melawan hujah Srikandi kerana beliau adalah prodigi Sejarah...:)

    4. Menggunakan label 'inferiority complex' sememangnya banyak digunapakai oleh ahli politik, ahli motivasi dan juga para pendukung MLM..:) dan juga Srikandi.

    -Sudin Bata-

    BalasPadam
  19. salam

    saya sekadar berkongsi pandangan.
    dan saya tidak bermaksud memihak kpd srikandi.

    walau apa pun ceritanya, melihat kpd kedudukan geografi, nusantara amat sesuai menjadi pusat perdagangan entriport - menguasai jalan laut timur dan barat - terutama di utara ada tanah besar cina. adalah lebih menjimatkan jika org cina bertukar barang dagangan dgn org afrika contohnya hanya dinusantara. walau pun ia berlaku beribu tahun dahulu, konsepnya tetap sama - ada pembeli, pembekal, orang tengah dan sebagainya. jadi tidak mustahil nusantara mengimport kulit zirafah utk keperluan negara2 jiran disekelilingnya.

    tanpa terikat kpd mana2 teori dan fakta sejarah pun, secara fitrahnya manusia sudah melakukan aktiviti perdagangan diseluruh dunia dipimpin oleh para nabi dan rasul sejak ribuan tahun dahulu.

    cuma ia kenjadi "kecoh" bila ia "tiba-tiba" dikaitkan dgn satu bangsa yg dianggap bodoh, mundur dan malas di negara sendiri sehingga selalu melihat bhw org lain saja yg lebih hebat, bijak dan mempunyai segala2nnya.

    Saudara Sudin Bata bukanlah inferiority complex, awak nak beri pendapat yg berlainan je.

    cik srikandi tu dah biasa kena ejek dari sekolah lagi disebabkan bidang sejarah, sebab tu mungkin dia terbawa2 dan ada orang yg tidak senang dgn caranya. tapi gitulah cara dan gayanya nak counter-attack org yg memang berniat merendah/menghina/memperlekeh maruah org lain.

    sebenarnya kita cuma mahu tahu sahaja. kalau ia berkaitan dgn kita - ok bagus, kalau tak ada - it's ok also - tak jadi hal.

    maaf andai tersalah tafsir

    BalasPadam
  20. terima kasih kerana berkunjung dan memberi pendapat,


    Memang tidak saya nafikan kulit zirafah itu menjadi tanda tanya. Namun setakat ini hanya kulit zirafah sahaja yang menjadi hujah untuk membenarkan Teori punt di Afrika kerana hampir semua petunjuk lain menghala ke Nusantara. Terbukti nusantara adalah tempat produk-produk tersebut dihasilkan. contoh paling nyata adalah anti atau kemenyan jenis lubban jawi atau styrax benzoin . kemenyan jenis ini digunakan dengan meluas dalam upacara pemakaman firaun dan keagamaan mesir. kemenyan jenis inilah yg dijumpai oleh egyptologist dalam makam firaun termasuk lada hitam dan kapur barus.

    Untuk pengetahuan semua kemenyan benzoin ini tidak terdapat di tempat lain terutama Afrika mahupun di Yaman yg terkenal dgn pengeluaran kemenyan. Namun kemenyan di Yaman dan Afrika adalah dari jenis lain iaitu bosweilla. melalui kajian yag dibuat oleh pakar botani purba yang mngkaji ukiran pokok kemenyan punt di dinding kuil Hatshepsut maka disimpulkan bahawa pokok kemenyan itu adalah dari jenis benzoin.

    kemenyan jenis benzoin yang terbaik didunia adalah berasal dari sumatera. selain sumatera juga ada di borneo dan semenanjung sehinggalah ke selatan Thailand. kalau kulit kura-kura-, kulit harimau bintang, beruk, gading, sumbu dan lain2 produk, ianya juga boleh didapati di Afrika. namun kayu-kayu wangian seperti cendana, gaharu dan kapur barus,rempah ratus, kayu manis, nusantara adalah tempat asalnya.

    setakat ini hanya Zirafah itu sahaja yang mencacatkan teori nusantara. namun kita perlu ingat. apa yang dilukis atau dipaparkan di dinding itu berkemungkinan berbeza penafsirannya dinatara kita yag hidup pada zaman ini dengan orang Mesir pada zaman tersebut. tidak dapat dipastikan mengapa ada Zirafah. mungkin ianya sengaja ditokok tambah oleh pelukis, atau mungkin juga ia sejenis haiwan lain yang telah pupus di nusantara yang menyerupai zirafah. berkemungkinan juga zirafah tersebut dibawa dari Afrika sebagai hadiah untuk pemerintah Punt.

    selain itu orang kerdil juga menjadi salah satu perdebatan bahawa punt adalah Afrika. Namun hujah ini sangat dangkal bagi saya kerana pigmies atau orang kerdil juga wujud di nusantara terutama di irian dan papua.Boleh jadi juga sebahagian daripada produk tersebut diperolehi dalam perjalanan ke Punt. sbb itulah perjanan itu mengambil masa yang panjang keranan ia telah berhenti di pelabuhan-pelabuhan lain. mungkin afrika disinggah untuk mendapatkan Zirafah dan Baboon.

    Namun saya akui bahawa teori ini masih boleh disangkal sekiranya ada dijumpai bukti-bukti yang dapat menyangkal hujah Prof Charles jones.

    jika anda semua ada sebarang maklumat baru, diharap dapat berkongsi bersama disini.

    Al semantani

    BalasPadam
  21. Salaam Ya al-Semantani

    sakit hati saya yang amat sangat bila menziarahi blog anda...






















    blog anda grafik-intensif sangatlah sangat susah nak skrol up and down lah. kalau race dengan siput tentu siput menang kerana modem mobile broadband saya ciput aje.

    anyway hasil tulisan anda amat baik boleh menolong kearah pemahaman yang ketara.

    saya tidak faham kenapa impot kulit zirafah jadi persoalan. kat sini tak ada sebab itu diorang impot. imported goods mah.....snoot ,^)


    ehh anda juga memertabatkan bahasa Melayu

    BalasPadam
  22. terima kasih byk2 al-semantani sbb bg bukti bergambar sekali..mcm ni la baru terang jelas lg nyata sikit! syabas!

    BalasPadam
  23. Ulasan yang sangat2 jelas.. Kadang2 penulisan Cik Srikandi tuh buatkan orang2 biasa x faham sangat dan mudah terkeliru.. Yang ni memang faham...

    BalasPadam
  24. salam

    cik srikandi tu dah cuba yg terbaik untuk tulis dan olah artikel ATBM dalam bahasa dan kontek yg difahami oleh org kebanyakan. biasalah..seorang cikgu/pensyarah biasanya tahu semua dan nak explain semua - terkial2 murid nak ikut lebih2 lagi yg tak baca dari mula atau yg ponteng kelas.

    bagus ada blogger lain yg menyambung dan memberi penerangan lanjut macam al semantani.

    penulisan jurnal/tesis akademik universiti terikat dgn kaedah dan disiplin tertentu. hhmm..lepas tu kalau buat viva pulak kena mengadap profesor2 yg akan cuba menduga ilmu dan kefahaman kita. berpeluh dibuatnya.

    tulisan al semantani lebih rilek dan santai. fokus kpd memberi gambaran lanjut kpd org kebanyakan macam kita.

    BalasPadam
  25. http://img134.imageshack.us/img134/7075/samudraraksa2.jpg

    mungkin ini contoh gambar kapal melayu yg betul yang dilukis xbetul dlm entry ini.

    BalasPadam
  26. Salam

    Terima kasih En Seman.

    Kain yang dipakai penduduk punt....sama cirinya dgn lipatan kain samping melayu kan ?

    BalasPadam
  27. salam, saya mahu anda mengatahui. sesuatu. Maksud Nusantara ada gabungan dari Nusa dan Antara. Maksudnya ialah Antarabangsa. Banyak orang Salah salah faham tentang Maksud Nusantara terutama sekali orang dari Indonesia. kerana mereka suka menyebut Nusantara. tetapi mereka tidak faham apa itu Nusantara. anda mesti pernah dengan ayat ini " Nusa dan Bangsa". Nusa dan Bangsa adalah dari perkataan melayu. dan orang melayu. jadi Melayu Nusantara bermaksud Melayu Antarabangsa. orang melayu sudah pun. TQ

    BalasPadam
  28. dan saya setuju. empire melayu telah pun wujud sewaktu empire mesir/firuan dan babilon. kerana budaya sihir. sudah berkembang di alam melayu. ini tandanya amalan sihir dalam budaya melayu adalah amalan yang di pelajari dari orang dari kerajaan babilon dan mesir. jadi melayu telah pun maju sebelum china membina empire. dan dengan terbukti kewujudan kerajaan dan mempunyai gedung ilmu sehinggakan ITsing belayar dari negeri china dan belajar di Sumatera.

    BalasPadam
  29. Atas tiket perjalanan mencelikkan mata bangsa yang buta akan kehebatan bangsanya sendiri akibat dari model pemikiran yang telah di paku oleh penjajah selama ini...

    Teruskan Usaha Anda...Tahniah Atas Usaha Anda Ini...

    Dari
    Tengkolok Hitam
    http://zainudins.blogspopt.com

    BalasPadam
  30. Ulasan yang sangat mantap
    bagus2 al semantani. :-)
    teruskan perjuangan

    BalasPadam
  31. aku pernah tengok animal planet di hutan amazon ada binatang lebih kurang mcm zirafah tapi da hampir pupus. iklim amazon ngn nusantara kan sama. jadi xmustahil spisis zirafah pernah ada kat sini.

    BalasPadam
  32. kalo aku cakap pentas sunda tu tempat kota atlantis tenggelam ok x ?

    kalo banjir besar zaman nabi noh sama waktu dgn tengelamnya kota atlantis camner ?

    kalo nabi noh sebenarnya tinggal di kota atlantis camner ?

    kata pengkaji kota atlantis tamadunnya hebat ada kenderaan terbang n kapal laut yg hebat2..
    kisah nabi noh ajak umatnya naik kapal tapi diorang poyo tak nak sebab percaya kapal diorang boleh selamatkan diorang . malah anak n isteri nabi noh pun xnak naik kapal nabi noh. tu maknanya teknologi diorang memang hebat.

    nabi noh yg mampu bina kapal besar yg boleh muat semua jenis binatang. pasti juga hebat pengetahuan tentang ilmu binatang. makan minumnya. rawatan penyakitnya. dan lain2.

    sekadar persoalan..

    BalasPadam
  33. agak menarik..saya juga pernah mbaca hasil kajian org2 indonesia.mengenai benda yang sama,asal usul melayu, atlantis..namun apa yg sy kurang gemar adalah sikap mereka yang masih mnyatakan atlantis,melayu adalah asalnya dari indonesia semata-mata dan seolah2 menafikan kewujudan ngr2 lain skrg yg juga salah satu dpd sejarah awal melayu.padahal mereka sedar dan tahu bahawa dunia melayu pada satu ketika dahulu adalah satu daratan yang sama dan telah dipisahkan kmdiannya oleh banjir dan membentuk pulau2.saya amat gemar tulisan2 seperti ini yg tidak bias dan masih kuat menyatakan bhw kta smada dari malaysia, indonesia,filipina dan ngr2 melayu lain adalah satu...bkn hanya berasaskan negara bangsa sndiri dan politik

    BalasPadam
  34. sangat menarik .. lebih byk info lagi bagus..tahniah

    BalasPadam
  35. seronok baca entry kamu nie.Akan saya link kan ke blog saya juga ya.Thanks!=)

    BalasPadam
  36. ada website mengkaji tentang dimana LAND OF PUNT?

    harap ada sesiapa yg boleh reply & nyatakan bukti2.

    http://www.abovetopsecret.com/forum/thread534385/pg1

    BalasPadam
  37. Terima kasih pak Cik Semantani, Salam kenal saya Ahmad Yanuana Samantho, penulis buku PERADABAN ATLANTIS NUSANTARA. Mohon ijin sharing info Pak Cik, dan semoga ke depan kita bisa bekerja sama meneliti dan mengembangkan Peradaban/Tamandun Nusatara Jaya Raya. Ini blog saya : http://www.ahmadsamantho.wordpress.com, http://www.atlantissunda.wordpress.com, http://www.icasparamadina.wordpress.com, http://www.icas.ac.id

    BalasPadam