Isnin, 24 Ogos 2015

ZABAG DAN PERANAN BANGSA ‘NAGA’.



As salam. Sebelum ini saya pernah menulis berkenaan bangsa Naga dalam blog ini. Kali ini satu lagi artikel saya paparkan untuk anda yang dapat menguatkan lagi hipotesis bahawa Bangsa Naga adalah puak-puak Austronesia yang terdiri daripada Orang Laut atau rumpun Melayu Nusantara. Dalam artikel ini juga akan dibincangkan hipotesis berkenaan asal nama Zabag yang terkenal di dunia Timur Tengah dan asal nama Kunlun yang dicatat dalam rekod imperial China. Selain itu saya juga menyelitkan berkenaan bahasa rasmi yang digunakan dalam Empayar Zabag atau dalam Istana Zabag/Srivijaya. Saya pasti ramai sudah maklum bahawa sejarawan menyebut bahasa Melayu adalah bahasa lingua franca dalam empayar Zabag. Namun setakat ini kebanyakan bukti bahasa yang kita ada adalah dalam bentuk prasasti atau batu bersurat yang dijumpai di beberapa tempat di Sumatera seperti Batu Bersurat Karang Brahi dan Kota Kapur. Tetapi bagaimanakah kita pasti bahawa bahasa yang sama yakni BAHASA MELAYU dipertuturkan dalam istana Maharaja Srivijaya?

Teruskan membaca jika anda ingin tahu. :)


Yavadipa.

Catatan terawal yang menyebut tentang Alam Melayu boleh dibaca di dalam epik terkenal India iaitu Ramayana karya Valmiki. Dalam karya tersebut Alam Melayu disebut sebagai Yavadipa yang bermaksud Pulau Barli. Namun demikian sejarawan telah membuktikan bahawa tidak wujud atau tumbuhnya barli di Alam Melayu. Mereka membuat hipotesis bahawa Yava atau barli yang dimaksudkan adalah bijirin secara umumnya dan bukan khas merujuk kepada barli.

Sebenarnya daripada perkataan Yavadipa inilah munculnya perkataan-perkataan China sejak kurun 3 Masihi lagi seperti She Bo (Dzia Bak), Zhu Bo, Chia Bak dan Qi Bo atau Gji Bak dan Yepoti, yang merujuk kepada wilayah Alam Melayu atau lebih tepat merujuk kepada Sumatera, Semenanjung dan Pulau Jawa. Begitu juga dengan perkataan Arab dan Parsi seperti Zabag, Sabeg, Sayabiga, Jaba, Gaba, Gawa dan akhirnya Jawi. Semua ini merujuk kepada Malayan peoples atau Malayan countries menurut Wilkinson.


Menurut Waruno Mahdi, terdapat satu keanehan pada perkataan-perkataan ini. Apa yang dimaksudkan sebagai aneh ialah penggunaan ‘B’ dalam sebutan perkataan-perkataan tersebut seperti Zabag atau perkataan Cina Chia/Jhia Bak. Hal ini kerana perkataan asal seperti yang telah disebutkan iaitu dari bahasa Sanskrit Yavadipa menggunakan ‘V’ bukan ‘B’. Menurut beliau penggunaan ‘B’ ini adalah hasil pinjaman daripada penutur bahasa Austronesian itu sendiri atau dari bahasa rumpun Melayu dan bukan asli dari sebutan mereka (Cina, Arab dan Parsi).

Namun menurut beliau lagi, sebahagian besar catatan China, Arab dan Parsi yang menggunakan sebutan dengan ‘B’ ini muncul dalam zaman dimana belum lagi wujud aktiviti maritim yang pesat dalam Tamadun China mahupun Tamadun Arab serta Parsi. Catatan China terawal yang mengunakan sebutan dengan ‘B’ ini telah wujud pada kurun 3 Masihi iaitu jauh sebelum zaman aktiviti penerokaan maritim oleh bangsa Cina. Pada zaman awal ini orang Cina masih bergantung kepada kepakaran maritim bangsa KUNLUN untuk melakukan aktiviti pelayaran ke Nusantara. Manakala tidak mungkin ia dipinjam daripada bahasa Sanskrit mahupun Dravidian kerana Sanskrit dan Prakrit menggunakan ‘V’, Yavadipa dan Javaka manakala Tamil Chavakam.

Begitu juga dengan catatan pengembara Parsi dan Arab sekitar kurun ke 7 Masihi dan kewujudan Bani Sayabiga di Teluk Parsi adalah jauh sebelum zaman kegemilangan penerokaan laut oleh bangsa Arab seperti pada zaman Ibnu Batutah. Oleh kerana itu dipercayai bahawa penggunaan sebutan ‘B’ dalam perkataan tersebut dipercayai diperkenalkan oleh orang-orang daripada Alam Melayu itu sendiri melalui hubungan maritim yang mereka jalankan dengan bangsa Arab, Parsi dan China. Waruno Mahdi mencadangkan puak yang menyebarkan sebutan tersebut adalah Sea-Gipsy atau orang laut yang mendiami sekitar utara Semenanjung berdekatan Burma serta Teluk Siam seperti orang Moken atau Moklen dan Urak Lawoi.


Naga.

Terdapat beberapa petunjuk dari catatan China dan India yang dapat menguatkan hujah ini. Orang Cina dan India sejak awal kurun Masihi lagi sering mencatat tentang pertembungan mereka dengan satu bangsa pelaut yang hebat di kawasan kepulauan Asia Tenggara hingga ke pulau-pulau di Lautan Hindi. Orang India menggelarkan mereka sebagai BANGSA NAGA. Catatan tentang bangsa Naga ini ditulis bukan sahaja dalam teks-teks agama Hindu dan Buddha  di India Selatan malah juga India Utara.


Ini adalah lukisan dalam sebuah komik German yang bertajuk  'Das Orang Laut'. Anehnya orang German menggambarkan Raja Orang Laut ini duduk diatas singgahsana berkepala Ular/Naga. Mereka juga memakai potoh, gelang dan subang emas. Nampaknya orang barat samaada secara sedar atau tidak mengetahui sejarah Bangsa Naga. Wallah hu a'lam.


Semua tulisan ini merujuk mereka sebagai satu bangsa yang tinggal di kawasan pinggir pantai dan pulau-pulau serta suka melanun dan pada masa yang sama juga terlibat dalam aktiviti perdagangan. Walaupun pada asasnya terma Naga itu merujuk kepada pelbagai etnik yang menjalankan aktiviti maritim, namun dapatlah disimpulkan bahawa  sebahagian besar daripada Naga yang dimaksudkan itu adalah orang rumpun Melayu atau Orang Laut yang memang terkenal hebat dalam ilmu kelautan di sekitar Selat Melaka hingga Lautan Hindi. Roger Blench dengan merujuk kepada Waruno Mahdi dipetik sebagai berkata:


The Nāgas referred to in early (Indian) texts ‘typically inhabited islands, the sea coast or banks of rivers. Some of them worshipped megaliths and practiced buffalo sacrifice and head-hunting’ (Mahdi 1999b: 182). Identifying such populations with early Austronesian migrants would not be unreasonable. Given the dates for the texts, Austronesian presence would be identifiable from ca. 500 BC.


Solheim sendiri pernah menbuat kenyataan berdasarkan kajian terhadap data-data Arkeologi  bahawa aktiviti perdagangan dan perhubungan dengan India dan Timur Tengah telah dijalankan oleh suku bangsa rumpun Melayu sejak kurun ke 2 sebelum Masihi lagi. Manakala kajian terbaru yang dijalankan juga didapati bahawa aktiviti perdagangan oleh rumpun Melayu dengan India, Timur Tengah malah kawasan Meditranian telah berlaku lebih awal lagi yakni sejak kurun ke 4 sebelum Masihi. Menurut Professor Maguin, kapal-kapal dagang rumpun Melayu yang besar (Jong) memainkan peranan yang sangat penting dalam aktiviti tersebut.





Kunlun.

Dalam rekod China Yiqie Jingyin Yi (Comprehensive pronunciation dictionary) yang bertarikh 817 Masihi ditulis oleh Hui Lin terdapat beberapa rujukan terhadap catatan yang lebih awal iaitu dari kurun 3 Masihi yang menyebut tentang KUNLUN BO iaitu sejenis kapal besar yang dipunyai oleh satu bangsa yang dipanggil sebagai Gulun. Catatan Cina juga menyebut mereka sebagai South Sea-Barbarian yang berkulit gelap dan tidak berpakaian. Dipercayai sebutan atau panggilan Gulun atau Kunlun ini juga berasal daripada bahasa Austronesia.  Menurut sejarawan ia mempunyai kaitan dengan perkataan Ulon atau Lon dalam bahasa Aceh, Ulun dalam bahasa Banjar serta Dayak Maayan, dalam bahasa Lampung dan Dayak Iban. Manakala Olona dalam bahasa Malagasy juga berakar daripada perkataan yang sama dan semua ini merujuk kepada kata ganti nama diri pertama.

Dalam bahasa Melayu pula Ulun atau Hulun bermaksud hamba atau pesuruh, contohnya dalam perkataan Melayu kuno Hulun Haji yang bermaksud Hamba Raja. Ia juga terdapat dalam bahasa Jawa iaitu Kulo dan Pwangkulun yang juga bermaksud sahaya atau tuan dan asas kepada perkataan Penghulu. Oleh itu dipercayai bahawa perkataan Ulun atau Hulun yang sering disebut atau diperturturkan oleh bangsa pelaut ini ketika mereka singgah di pelabuhan-pelabuhan di China untuk berdagang telah lekat dalam kepala orang Cina dan menyebabkan mereka memanggil orang-orang rumpun Melayu sebagai Gulun atau Kunlun. Begitu juga dalam bahasa Orang Laut Moken atau Moklen, terdapat juga perkataan Kolon yang bermaksud hamba, atau saya atau orang secara umumnya yang menguatkan lagi teori ini.



Sudah menjadi Adat turun-temurun dalam budaya rumpun Melayu untuk membahasakan diri sebagai seorang Hamba atau Sahaya apabila bertutur dengan orang lain, dan hal ini dilihat aneh oleh bangsa lain. Selain itu menurut Waruno Mahdi, Orang Laut atau suku Moken dan Urak Lawoi ini bukanlah satu-satunya pemain utama dalam aktiviti perdagangan dan perkapalan tersebut. Sebaliknya mereka adalah tenaga kerja atau buruh yang menjadi anak kapal bagi para pedagang rumpun Melayu yang lain yang lebih bertamadun seperti suku Melayu, Jawa, Cham/Funan atau mungkin juga Bugis dan Sulu kerana sehingga sekarang mereka masih lagi primitif kehidupannya berbanding dengan suku rumpun Melayu yang lain. Mereka inilah yang menjadi para tentera elit laut dan pengawal lalu-lintas di Selat Melaka sejak turun temurun dari zaman Langkasuka hingga Srivijaya dan berterusan sehingga ke zaman Melaka dan Empayar Johor-Riau. Hal ini tidak dapat dinafikan lagi.


Bahasa Zabag.

Persoalan terakhir iaitu berkenaan Bahasa Zabag, yakni bahasa apakah yang dipertuturkan secara rasmi dalam kerajaan Maharaja Zabag? Sebenarnya kalau kelian hendak tahu, jawapannya sudah terang dan jelas disebut oleh pencatan Arab/Parsi yang melawat ke Alam Melayu ini. Dalam catatan Nakhode Buzurq Ibn Shahriyar pada kurun ke 10 M dalam Kitab ‘Ajaib Al Hind’ ada tertulis satu bukti yang dapat membongkar siapa bangsa Zabag sebenarnya. Dipetik dari kitab tersebut :

It was the customs among the kings of Zabag and the land of Gold that no one was allowed to sit before them, neither indigenous, foreigner, nor Muslim, without having his leg crossed, this position being known as ‘Al barsila’.

Perkataan ‘Barsila’ dalam teks Arab tersebut adalah perkataan yang sama dalam BAHASA MELAYU iaitu BERSILA dan dalam tulisan Jawi atau Arab imbuhan ‘ber’ akan menjadi ‘bar’ , maka dengan yakinnya dapat disimpulkan bahawa bahasa yang digunakan di Zabag adalah bahasa Melayu. Walaupun perkataan ‘Sila’ itu adalah berasal daripada bahasa Sanskrit, namun penambahan imbuhan ‘ber’ adalah unik untuk Bahasa Melayu dan rumpun terdekatnya sahaja.

Kajian yang lebih lanjut harus dibuat untuk mengukuhkan lagi hujah-hujah yang telah dikemukakan. Namun dapat kita simpulkan bahawa rumpun Melayu telah lama menjalankan hubungan maritim dengan bangsa-bangsa luar. Walaupun kurangnya catatan daripada sumber tempatan, namun sumber-sumber luar seperti dalam karya Ramayana dan rekod-rekod imperial Dinasti China serta catatan para pengembara Arab dan Parsi sememangnya wujud. Nama-nama seperti Kunlun, Sayabiga, Zabag menjadi sebutan mereka. Ianya membuktikan bahawa bangsa kita bukan calang-calang bangsa, tetapi satu bangsa yang berperanan besar dalam sejarah dunia suatu ketika dahulu. Ia juga menunjukkan betapa besarnya peranan Orang Laut yang sejak turun temurun menjadi Vanguard dalam aktiviti maritim kerajaan-kerajaan rumpun Melayu di Nusantara. Sekian, Wallah hu a’lam.






~ASJ~



Sumber:

  • ·    In Search Of An Historical Sea-People Malay Dialect With –aba.  Waruno Mahdi in: Alexander Adelaar, Andrew Pawley (editors), Austronesian historical linguistics and culture history: a festschrift for Robert Blust, Pacific Linguistics 601.
  • ·         The Cambridge History of Southeast Asia edited by Nicholas Tarling.
  • ·         Maritime Southeast Asia, 300 B.C.to A.D.1528, By Lynda Norene Shaffer.
  • ·         Remapping the Austronesian expansion, By Roger Blench.







Rabu, 19 Ogos 2015

PENGGUNAAN KOTA DAN KUBU DI ALAM MELAYU.



Kota dalam bahasa Melayu sebenarnya mempunyai beberapa pengertian bergantung kepada fungsi. Kota boleh bermakna pekan atau bandar. Manakala pusat pemerintahan sesebuah kerajaan Melayu itu juga sering digelar sebagai kota. Selain itu kota juga kadang-kadang disamakan dengan kubu pertahanan. Jika ditinjau dari segi fungsinya, kota dan kubu ada peranan yang berbeza. Biasanya dalam catatan teks historiografi Melayu, kota akan dikaitkan dengan pusat Kesultanan atau kompleks Istana raja.

Lazimnya Kota Raja diperbuat daripada kayu-kayan keras seperti cengal ,meranti, belian dan jati atau daripada bahan batuan dan mampatan tanah, batu bata, batu sungai mahupun batu kapur. Raja-Raja Melayu menggunakan Kota sebagai pusat pertahanan, pemerintahan, dan pentadbirannya. Sebagai sebuah Kota raja, kebiasaannya ia akan dilengkapkan dengan sistem pertahanan seperti menara kawalan, parit beranjau, para pengawal dan juga meriam. Sebuah kota raja juga dilengkapi dengan bangunan-bangunan seperti Istana raja, permandian raja, Istana keluarga diraja, balairung,  balai penghadapan, tempat beribadah, dan bangunan tempat senjata.

Apabila seseorang raja itu berpindah atau membuka negeri baru, maka perkara pertama yang akan dilakukannya ialah mengerahkan pengikut-pengikutnya membina Kota Raja. Sejarah Melayu ada menyebut mengenai pembinaan Kota Raja, parit, rumah-rumah dan kedai serta istana ketika Seri Teri Buana hendak membuka negeri baru iaitu Singapura:

‘Maka Aria Bupala pun naik menghadap Wan Seri Beni, persembahkan segala pesan Seri Teri Buana itu. Maka Wan Seri Beni pun menyuruh berlengkap pada segala Orang Besar-besar, mengerahkan rakyat sekalian bermuat gajah, kuda ke perahu. Setelah mustaid, maka Wan Seri Beni pun pergilah ke Singapura. Setelah sampai maka sekaliannya naiklah; maka negeri Singapura pun telah sudahlah diperbuat orang dengan Kota paritnya, dan dengan segala Istana dan balairung dalam dan balairung luar, serta sekalian rumah orang, kedai dan pasar; terlalu indah perbuatan negeri Singapura itu.’

Manakala kubu pula adalah sejenis binaan yang digunakan untuk pertahanan. Kubu bukanlah sebuah tempat tinggal yang tetap atau tempat dibina Istana. Oleh hal yang demikian kubu-kubu ini kebiasaannya diperbuat daripada tanah mampat dan pancangan kayu keras. Ia juga dipanggil sebagai pagar sasak. Dalam Bahasa Inggeris ia dikenali sebagai Palisade atau Stockade. Kubu-kubu pertahanan ini dapat kita ketahui penggunaannya dalam peristiwa Perang Pahang dimana pasukan Datuk Bahaman dan pahlawan Pahang banyak membina kubu-kubu dari tanah di sekitar kawasan yang strategik bagi menghadapi serangan British contohnya di Jeram Ampai.

Kota Kuala Kedah.


Sejarawan barat seperti Anthony Reid berpendapat, masyarakat Melayu tidak lazim membina kubu dan kota. Menurutnya keadaan geografi kawasan Asia Tenggara dan kepulauan Melayu khususnya yang berhutan tebal dan bergunung ganang menyebabkan pembinaan kubu adalah sesuatu yang tidak perlu dan sukar kerana bentuk muka bumi boleh di pergunakan untuk pertahanan mereka. Selain itu katanya orang Melayu tak perlukan kota dan parit kerana harta benda mereka tidak berharga dan mudah dibakar sebab diperbuat daripada kayu atau buluh.

Saya kurang bersetuju dengan pandangan ini. Masyarakat Melayu sememangnya sudah lama menggunakan parit dan kota sebagai pertahanan. Sebagai contohnya sewaktu Siam menyerang Kota Kelampang di Pattani, tentera Siam terpaksa berhadapan dengan parit yang dalam dan besar mengelilingi Kota tersebut. Ketika tentera Siam berusaha untuk meredah menaiki parit tersebut mereka telah dihujani dengan panah dan tembakan senjata api yang menyebabkan ramai daripada mereka terkorban. Akibatnya mereka terpaksa berundur.

Pendapat Reid juga dapat disangkal sekiranya kita melihat catatan mengenai kerajaan-kerajaan awal di Alam Melayu. Catatan daripada pengembara dari India, China dan Timur Tengah menyatakan bahawa kerajaan-kerajaan awal ini mempunyai Kota yang diperbuat daripada batu mengelilinginya. Satu catatan yang menyatakan tentang hal ini adalah daripada Zhao Ragua dalam bukunya Zhu Fan Zhi yang ditulis pada tahun 1225 Masihi berdasarkan kepada catatan pengembara dan pedagang Cina dari abad ke 12 dan 13 Masihi.

Menurut beliau, Ibu Kota Sanfotsi atau Srivijaya diperbuat daripada batu-bata dan ukurannya sangat panjang iaitu berpuluh-puluh Li ukur lilitnya. Kerajaan Srivijaya juga mempunyai satu strategi pertahanan yang unik. Menurut Zhu, bagi menghalang pencerobohan lanun dan musuh daripada memasuki Ibu Kota kerajaan yang terletak dekat dengan laluan kapal iaitu di tepi laut, maka kerajaan Srivijaya telah menggunakan rantai besi dan merintanginya di perairan berhampiran pintu masuk ibu Kota. Rantai besi ini dikatakan boleh dituil sama ada untuk ditinggikan atau direndahkan.

Pada abad ke 17, catatan daripada Belanda mengenai Palembang  menyebut bahawa Kota pelabuhan tersebut dipagari dengan tembok batu yang besar, malahan terdapat lakaran daripada pegawai VOC yang menunjukkan Kota tersebut lengkap dengan Istana batu dan bangunan-bangunan di dalam Kota. Kota tersebut terkenal dengan nama Benteng Kota Besak dan sisanya masih ada sehingga sekarang.

Tanah Jawa juga amat kaya dengan tinggalan Kota dan kubu. Masyarakat Jawa mahir membina kubu dan kota daripada batu-bata. Hal ini dibuktikan dengan catatan dalam Babad Ing Sangkala yang berkisar mengenai Kerajaan Kartasura. Babad ini ada menyatakan bahawa terdapatnya Kota-kota yang dibina dengan batu bakar yang disepuh dengan plaster putih. Hal ini juga disentuh oleh Ricklefs dalam bukunya yang mana beliau menyatakan bahawa kubu-kubu dan Kota pertahanan yang terdapat di Jawa adalah setaraf dengan kubu dan Kota dunia barat.

Bercakap soal kota, pasti akan timbul persoalan berkenaan Kota Melaka di zaman sebelum penjajahan Portugis. Persoalan berkenaan Kota Melaka pra penjajahan masih diperdebatkan sehingga kini kerana hampir semua bukti-bukti fizikal kewujudan kota tersebut telah hilang dimusnahkan penjajah. Namun demikian sememangnya ada sumber sejarah yang dapat memberikan petunjuk bahawa Kerajaan Melaka mempunyai binaan kotanya sendiri tak kiralah samada daripada kayu, tanah mahupun batu.

Catatan Eridea memberikan maklumat bahawa orang Melayu Melaka sudah tahu membina Kota atau kubu yang kukuh. Menurut beliau orang Melayu membina struktur yang diperbuat daripada tanah yang dimampatkan di antara pancangan kayu. Banyak rumah-rumah turut dibina dalam keadaan sebegini di Melaka. Namun demikian mereka turut menjumpai binaan yang diperbuat daripada batu bata namun tidak mempunyai mortar. Rui de Araujo mencatat didalam suratnya bahawa Kota Melaka mengandungi 10 ribu buah rumah dan lebih kurang 500 buah daripadanya adalah diperbuat daripada batu dan tanah liat manakala selebihnya adalah daripada kayu.

Teryata daripada catatan Portugis ini menunjukkan memang ada binaan batu di Melaka. Menurutnya lagi stail binaan ini adalah sama dengan binaan batu yang dibuat oleh orang-orang lembah Sungai Ganges di India. Binaan seperti ini juga digunakan untuk membina Kota dan Istana raja. Eredia turut menyentuh tentang  pembinaan kubu yang diperbuat daripada pokok Nibung oleh orang Melaka dalam situasi perang. Mereka turut menggali parit mengelilingi kubu yang dibina. Parit ini mengandungi jerangkap, dan ranjau yang disapu dengan racun. Mereka juga membuat lubang perangkap yang di tutup dengan dahan-dahan kering.

Walaupun Melaka mempunyai kubu atau Kota yang diperbuat daripada mampatan tanah atau batu sekalipun, namun berkemungkinan besar bukan seluruh bahagian bandar Melaka dilindungi dengan binaan tersebut. Pada pendapat saya bahagian yang dilindungi kota hanyalah di bahagian bandar yang terdapatnya Masjid, kediaman pembesar dan kompleks Istana Sultan. Oleh hal yang demikian, dalam Sejarah Melayu ada disebut yang orang Melaka cuba menghalang kemaraan Portugis dengan berkubukan Kempas di tempat tertentu. Saya yakin kubu kempas ini dibina di kawasan pantai di bahagian pasar dan kampung rakyat biasa.

Setelah menawan Melaka, Alfonso De Albuquerque telah mengarahkan pembinaan Kota A’Famosa di kaki Bukit Melaka untuk mempertahankan Kota tersebut daripada serangan balas Sultan Mahmud Syah dan sekutu-sekutunya. Kota ini siap dibina sekitar awal 1512 hasil kerahan tenaga buruh paksa dan penduduk tempatan.

Untuk membina kembali kota pentadbiran di tapak kota yang telah dimusnahkan dalam tempoh yang singkat adalah agak sukar malah mustahil walaupun dengan sumber tenaga buruh yang ramai jika tiada sumber bahan mentah dikawasan tersebut. Oleh itu pasti ada sumber batuan di sekitar bandar Melaka. Lakaran kota Melaka selepas penjajahan Portugis yang dilukis pada tahun 1512 menunjukkan bahawa kota awal Portugis itu dibina di tebing kanan sungai Melaka yakni di kaki bukit Melaka. Lokasi ini adalah bertepatan dengan lokasi asal Masjid Agung Melaka.





Oleh sebab itu saya berpendapat kota Portugis yang disiapkan dalam masa 4 ke 5 bulan tersebut dibina diatas binaan asal Kota Melaka sebelum serangan Portugis. Hal ni memang jelas disebutkan dalam catatan Portugis dimana mereka mengakui bahawa Kota tersebut dibina daripada runtuhan istana, punggaran bangunan dan rumah-rumah pembesar malah makam dan kubur berbatu laterit yang diambil sekitar Melaka. Seorang penulis barat menyebut:

“A Famosa was built by the forced labour of 1,500 royal slaves, who were conscripted by Albuquerque after he had defeated and put to flight their master, the Sultan. With a disregard for Muslim susceptibilities typical of the time, the Christian Portugese erected their fortress on the ruins of the Great Mosque of Malacca and constructed it, in part at least, out of stones taken from Malay religious buildings and from the graves of former Malay sultans. Because of the marshy nature of the site, the foundations had to be dug to the depth of a war lance.” – Graham W.Irwin.

Ini jelas menunjukkan betapa banyaknya bangunan batu yang terdapat di Melaka hingga kehancurannya dapat dijadikan asas bahan binaan untuk membangunkan Kota Portugis. Catatan Portugis menyebut Albuquerque sendiri telah mengerahkan hamba raja yang ditawan untuk memunggar Masjid Agung Melaka yang diperbuat daripada batu. Malah masjid-masjid kecil lain di seluruh bandar Melaka yang diperbuat daripada batu turut dipunggar untuk mendapatkan batunya.

Sewaktu dalam pengungsian di Bintan, Sultan Mahmud dan para pengikutnya telah membina sejenis pertahanan yang dinamakan Kota Kara. Kota Kara dipercayai adalah sejenis kubu pertahanan sementara yang dibina dalam keadaan perang. Ia dibina daripada pancangan kayu-kayu keras ataupun mampatan tanah dan batu. Armada Portugis yang dipimpin oleh admiral Mascarenhas dengan 20 buah kapal membawa 550 orang Portugis dan 600 orang Melayu telah berjaya membungkam Kota Kara yang dipertahankan oleh orang-orang Sultan Mahmud di bawah Sang Setia dan Laksamana Hang Nadim pada 23 Oktober 1526. Setelah itu barulah Kopak dapat dikuasai. Menurut RO Winstedt, armada Portugis memerlukan  empat belas hari sebelum Kota itu dapat dilumpuhkan.

Pada zaman kerajaan Johor, Kota Johor Lama menjadi kota pentadbiran warisan kerajaan Kesultanan Melaka. Benteng kota yang terletak di atas Tanjung Batu itu menggunakan ketul-ketul batu pejal dan atasnya dikambus dengan tanah yang menjadikan ketul batunya tidak kelihatan. Tembok kota yang berlapis batu-batu pejal selebar tiga meter dan berturap simen kapur kira-kira enam sentimeter menjadi asas kepada kekuatan dan kekukuhan kota. Tembok ini juga dilengkapi dengan ratusan meriam untuk mempertahankan kota dari ancaman Portugis dan musuh yang lain.



Teknologi yang digunakan membolehkan kota ini bertahan daripada bedilan meriam musuh. Portugis berusaha menakluk kota ini selama lebih 50 tahun dan hanya berjaya pada tahun 1587 dan menemukan 800 meriam di dalam kota. Hal ini menguatkan logik bahawa orang Melayu Melaka yang berundur dari Melaka telah memiliki pengetahuan, kemahiran dan teknologi yang tinggi dalam pembinaan kota. Pastinya semua yang ditonjolkan di Kota Johor Lama adalah teknologi yang pernah digunapakai dalam pembinaan kota-kota terdahulu di tempat asal mereka dan semakin ditambah baik mengikut zaman.

Selain daripada pertahanan di darat, orang Melayu juga mahir dengan taktik dan strategi peperangan di atas air. Dalam Syair perang Siak, ada di sebut mengenai sejenis strategi unik yang digunakan oleh orang-orang Melayu dalam menghadapi serangan Belanda. Taktik tersebut ialah dengan menggunakan sejenis Kota Berjalan. Pada pendapat saya Kota Berjalan ini adalah sejenis perahu berperisai yang sama fungsinya seperti Kapal Kura-Kura Laksamana kerajaan Joseon (Korea) Yi Sun Shin.

Menurut Donald .J Goudie, Kota berjalan adalah sejenis Kota terapung yang dibina di atas sebuah kapal dan dilengkapi dengan banyak senjata-senjata api seperti meriam lebih kurang 16 buah meriam besar dan beberapa banyak lagi meriam-meriam kecil dan sederhana. Menurut pendapat beliau Kota berjalan ini sukar untuk dikendalikan dan ia adalah salah satu bentuk serangan berani mati.

Selain daripada Kota-kota yang telah disebutkan, sebenanrya ada banyak lagi kota-kota dan kubu buatan orang Melayu di seluruh Malaysia malah seluruh Alam Melayu ini. Ada yang masih berdiri kukuh namun banyak juga yang hanya tinggal nama sahaja. Antaranya ialah Kota Kuala Kedah, Kota Melawati, Kota Kayang, Kota Kubang Labu, Kota Mahligai, Kota Lukut, Kota Singgora, Kota Pancur, Kota Baharu dan lain-lain. Hal ini menunjukkan bahawa orang Melayu memang tahu membina kota dan kubu dan bukan hanya lari masuk ke hutan jika diserang seperti yang dituduh Orientalis.




Membongkar Kota-kota Melayu terutama Kota Melayu Melaka yang telah hilang dalam sejarah adalah satu proses yang masih belum selesai. Perbezaan pendapat dan penulisan sejarah serta kekurangan maklumat mewujudkan dilema yang berterusan dikalangan pengkaji. Namun demikian kita dapat simpulkan bahawa sememangnya orang-orang Melayu mempunyai pengetahuan dalam pembinaan Kota dan kubu untuk pertahanan, tidak kira lah sama ada Kota atau kubu tersebut diperbuat daripada batu-bata, tanah mampat mahupun hanya pancangan dan jalinan kayu keras. Apa yang penting dan jelas di sini ialah pembinaan Kota dan kubu juga adalah salah satu strategi yang dipraktikkan oleh orang Melayu sejak sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Sekian, wallah hu a’lam.


~ASJ~


Sumber:

  • ·         Donald J. Goudie, Syair Perang Siak, Malaysian Branch Of The Royal Asiatic Society, Monograph No.17,Art Printing Snd Bhd,Kuala Lumpur, 1996.
  • ·         V. Mills (translator), Eredia’s description of Malacca, Meridional India and Cathay, Malaysian Branch of royal Asiatic society, 1997.
  • ·         Sulalat Al-Salatin, Yakni Perteturun Segala Raja-Raja, yayasan karyawan dan dewan bahasa dan pustaka, Kuala Lumpur,Malaysia,1997.
  • ·         M.C Ricklefs, Modern Javanese Historical Tradition: A study of an original Kartasura Chrinicle and Related Materials, School of oriental and African studies university of London, Malee street, London, 1978.
  • ·         Anthony Reid, An Indonesian Frontier, Acehnese And Othere History Of Sumatra, Singapore university publication, Singapore, 2005.
  • ·         Abdul Halim Nasir. Kota-Kota Melayu. Dewan Bahasa Pustaka; 1990.
  • ·         Noor Aisyah Binti Mokhtar, Nik Hassan Shuhaimi Bin Nik Abdul Rahman, Kamarul Afizi Bin Kosman, Kewujudan Kota Melayu Melaka, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi Selangor.




PENULIS AMATUR.



Ada pihak yang menyuarakan rasa kurang senang dengan aktiviti para penulis sejarah amatur di Blog dan media sosial. Mereka berkata golongan ini melekehkan dunia akademik serta ahli-ahli akademik professional. Kata mereka lagi golongan ini hanya menyebarkan Sejarah yang berbentuk mistik dan mitos serta tidak mengikut landasan akademik yang betul. Menurut mereka sebelum keluarnya penulisan-penulisan sejarah versi Pop yang menjadi kegemaran anak muda sekarang ini, ahli-ahli akademik telah pun lama bergerak untuk memperbaharui penulisan sejarah dan mengubah penulisan sejarah buku teks yang jumud dan berat sebelah. Tambahan lagi, telah banyak Jurnal-jurnal ilmiah dan makalah-makalah kajian yang mereka hasilkan tentang sejarah sebenar bangsa dan negara kita dan ia bukan perkara baru.

Tetapi yang menimbulkan persoalan ialah kenapa masih ramai anak muda kita yang buta sejarah malah ada yang membenci sejarah bangsa sendiri? Kalau sudah lama kajian dibuat dan ditulis di dalam jurnal-jurnal dan makalah ilmiah, mengapa masih ramai lagi masyarakat kita terutamaya golongan muda belia yang tidak cakna dengan ilmu sejarah? Megapa terlalu ramai lagi yang mempunyai sifat inferior atau kurang yakin dengan bangsa sendiri? Malu dengan bangsa dan budaya ketamadunan mereka sendiri. Mengapa masih ada lagi pihak yang beranggapan bahawa Rumpun Melayu itu mundur, pemalas, dan tidak ada tamadun sendiri serta pendatang dari luar?

Pada pendapat saya ialah kerana mereka ini tiada “Sparks” atau pencetus yang boleh menarik minat mereka untuk lebih dekat dengan ilmu sejarah dan lebih minat untuk membuat kajian dan pembacaan tentang sejarah bangsa yang sebenar-benarnya. Tambahan pula segala kajian dan penulisan yang telah lama dibuat itu sebenarnya tidak sampai kepada khalayak yang sepatutnya dan tidak tersebar secara meluas kepada anak-anak muda. Ya, memang benar telah wujud banyak penulisan-penulian sejarah terkini berkenaan ketamadunan Bangsa Melayu di dalam jurnal-jurnal dan makalah-makalah ilmiah. Tetapi dimana letaknya semua kertas kajian, makalah, buku-buku dan jurnal-jurnal ilmiah tersebut? Di rak-rak buku Universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi? Berapa ramaikah anak-anak muda kita yang dapat peluang masuk ke Universiti, dan berapa ramai pula yang ke Universiti itu mengambil kursus Sejarah atau punyai keinginan dan kesedaran untuk masuk ke perpustakaan dan membelek jurnal-jurnal sejarah?

Dari pengamatan saya sendiri sebagai seorang bekas penuntut dalam bidang Sejarah, saya boleh lihat hanya ada beberapa kerat sahaja anak muda kita yang minat untuk membelek jurnal-jurnal ilmiah termasuklah pelajar jurusan sejarah sendiri. Saya berani jamin jikalau pensyarah mereka tidak menyuruh mereka untuk merujuk jurnal tertentu maka mereka tidak akan membaca jurnal-jurnal itu semua. Kalau saya pergi ke bahagian Jurnal di Perpustakaan Tun Sri Lanang UKM, suasana lengangnya sehinggakan boleh menyorok dan tidur di celah-celah rak jurnal, dan tidak akan ada siapa yang akan perasan (kecuali librarian). Kalau ada pun yang merujuk kebanyakannya adalah pelajar Masters, Phd dan pelajar yang terdiri daripada Cikgu-cikgu yang sambung belajar.

Jadi bagaimana ilmu-ilmu tersebut nak tersebar ke masyarakat luar kampus dan luar dunia akademik jikalau orang Universiti sendiri tidak membaca dan tidak membawanya keluar ke masyarakat? Bagaimana kita mahu mengajar anak-anak muda, Mat rempit, Bohjan, Bohsia, Penkid, penjilat tamadun barat serta orang-orang yang buta sejarah di luar sana untuk kenal sejarah bangsa dan bangkitkan jatidiri mereka? Kebanyakan yang menjadi pengundi, pengikut, macai dan sebagainya yang menjadi majoriti dalam masyarakat adalah orang-orang biasa. Orang-orang yang makan gaji, tinggal di pinggir bandar, atau kampung-kampung, dan orang yang tidak berpendidikan tinggi atau golongan pertengahan.

Mereka ini bukanlah golongan akademik atau yang tahu bagaimana hendak mendapatkan sumber-sumber bahan ilmiah atau jurnal-jurnal serta makalah ilmiah tentang sejarah. Mereka majoritinya bukanlah golongan yang ada banyak masa terluang atau wang terlebih untuk pergi ke forum-forum dan syarahan-syarahan perdana para Dr dan Prof Sejarah di Universiti atau mana-mana pusat pengajian. Mereka sibuk mencari makan untuk anak bini. Mereka inilah yang patut menjadi golongan sasaran untuk kita sebarkan ilmu-ilmu tentang sejarah ketamadunan bangsa. Mereka ini adalah golongan yang menjadi asas dan tunjang kepada sesebuah negara. Kalau mereka diberikan ilmu sejarah yang betul untuk memantapkan jatidiri mereka maka tidak akan ada lagi sifat inferior dalam masyarakat dan tidak ada lagi yang buta sejarah dan menjadi pak turut atau mengikut membabi buta sahaja dalam apa jua isu yang dimainkan oleh golongan-golongan elit yang menguasai Negara dan dunia amnya.

Oleh itu disinilah para penulis sejarah amatur memainkan sedikit peranan iaitu memberikan “Sparks” atau percikan itu. Para penulis amatur bukan mahu berlagak bagus atau menidakkan keahlian sejarawan professional, tidak sama sekali. Kami tahu tahap ilmu kami sangat lah rendah dibanding dengan ilmu-ilmu para Dr dan Prof serta ahli-ahli akademik professional yang lain. Kami juga masih belajar dan sudah pasti ada khilafnya. Kami sangat-sangat menghormati golongan Sejarawan professional dan ahli-ahli akademik. Anda semua adalah guru-guru kami.

Apa yang penulis amatur ini cuba lakukan adalah menyebar luaskan kajian-kajian dan ilmu-ilmu yang telah terkumpul di rak-rak Universiti tadi. Jika mengharapkan jurnal-jurnal itu dibaca oleh pak cik dan mak cik di kampung, budak-budak muda remaja dan rakyat marhaen biasa semua, maka sampai bertahun lah ilmu itu akan terbiar disitu. Memang wujud pelbagai forum, ceramah dan hebahan samaada dalam media eletronik atau media cetak dibuat oleh ahli akademik dan pihak berwajib untuk memupuk minat masyarakat peringkat bawah ini pada ilmu sejarah. Tetapi ianya masih belum cukup dan masih banyak lagi ilmu-ilmu dan bahan sejarah tersimpan yang tidak sampai ke khalayak ramai. Nak pula anak-anak muda zaman ini sangat kurang membaca. Apatah lagi jurnal-jurnal dan buku-buku ilmiah sejarah yang penuh dengan ayat-ayat bombastik dan istilah-istilah ilmiah tahap tinggi yang sukar untuk difahami mereka.

Maka begitulah saya melihat peranan para penulis sejarah amatur ini. Tujuan mereka bukan mahukan publisiti, tetapi adalah untuk menyebarkan ilmu dan menimbulkan kesedaran atau seperti yang saya sebutkan tadi, memulakan “Sparks” atau percikan minat. Kalau ada berjuta-juta makalah, jurnal, buku dan kajian ilmiah sekalipun, tetapi tidak wujudnya minat dikalangan masyarakat untuk mengetahui dan mengkaji tentangnya, atau langsung tidak diketahui masyarakat akan kewujudannya, maka ilmu itu akan terbiar disitu sahaja dan tak akan berkembang.

Analoginya ialah seperti mana anda hendak membuat unggun api, walau sebanyak mana pun anda membelah dan mengumpul kayu api, jika anda hanya melonggokkannya tetapi anda tidak menyalakannya dengan betul menggunakan mancis dan mengeluarkan ‘Sparks’ atau percikan apinya, maka sampai ke hujung nyawa ia akan tetap tidak terbakar.

Oleh sebab itu saya sangat mengkagumi para penulis amatur seperti Cik Srikandi, Ibnu Rusydi, Helmi Effendi, Amir Wijaya, Raja Arif Danial, Nizam Gtz, Mohd Salleh Mazukhi, Haslina Bujang, dan beberapa lagi penulis amatur yang bernaung dibawah Pertubuhan ‘The Patriots’. Mereka ini menulis untuk menyebar luaskan dan mempermudahkan pemahaman para pembaca terutama anak muda berkenaan ilmu sejarah dan juga ilmu-ilmu lain. Biarlah penulisan mereka dikata sebagai gaya Pop dan tidak akademik sekalipun, asalkan matlamat untuk mencetuskan rasa ingin tahu itu tercapai. Dan dari situ akan terbuka pula ruang untuk perbincangan dan menarik minat lebih ramai orang untuk membaca, mengkaji dan menyelami ilmu sejarah atau ilmu-ilmu lain dengan lebih mendalam.

Namun ini hanya sekadar pendapat peribadi saya sahaja, diharap tidak ada pihak yang akan tersinggung dengan pendapat ini. Sekali lagi saya tegaskan yang saya bukan Sejarawan tetapi peminat Sejarah seumur hidup. Sekian wallah hu a’lam.



~ASJ~

Rabu, 24 Jun 2015

MISTERI PAUH JANGGI.



Ini adalah buah Pauh janggi atau Kelapa laut Afrika.



Saya pasti ramai yang tidak pernah melihat pokok Pauh Janggi atau lebih dikenali dengan nama kelapa laut yang nama saintifiknya ialah Lodoicea maldivica. Pokok kelapa laut atau Pauh Janggi ini sering dikaitkan dengan Lagenda Pelayaran Melayu sejak turun temurun.Seperti yang kita ketahui, nenek moyang kita zaman dulu terkenal sebagai ahli pelayaran yang hebat dalam ilmu maritim dan sering belayar ke merata tempat di lautan luas dari Australia hinggalah ke Afrika.

Ahli pelayaran Melayu pada zaman dahulu dan mungkin juga sekarang dikatakan kerap menemui buah Pauh Janggi atau kelapa laut terapung-apung di permukaan Lautan Hindi. Buah Pauh Janggi ini akan dipungut dan dijual dengan harga yang mahal dan ramai yang mencarinya kerana dikatakan boleh dibuat ubat dan dapat menyembuhkan pelbagai penyakit serta penawar segala racun, sehingga dikatakan air yang disimpan dalam tempurung, jika diminum dapat mengelakkan diri daripada jangkitan penyakit. Buah ini juga sering dicari oleh bomoh, pawang dan para pengamal Silat serta ilmu batin

Ahli pelayaran Melayu juga dikatakan selalu merahsiakan kewujudan pokok Pauh Janggi dan asal usulnya, namun mengikut catatan, Pigafetta yang turut serta dalam pelayaran Magellan pada 1519, beliau diberitahu seorang ahli pelayaran Melayu bahawa buah yang terapung yang sering dilihat mereka di lautan ialah Pauh Janggi daripada pokok besar yang hidup di “Pusat Sebuah Tasik”. Mereka percaya di Pusat Tasik itu ada burung Garuda yang memakan lembu dan gajah dan tempat itu tidak boleh dihampiri kerana selalu ribut dan taufan.

Pokok ini mempunyai buah seakan-akan buah mangga atau mempelam yang kembar. Buahnya seberat 15 hingga 20 kilogram (kg) dan menjadi buah yang terbesar di dunia.Pakar Botani kagum dengan pokok Palma ini yang dapat hidup di lereng-lereng bukit sedangkan buahnya seberat 15 kg boleh berada di lereng bukit. Pokok Pauh Janggi tersebar luas dan ditanam di sekitar taman botani sebagai tanaman antikuiti, ini termasuk ditanam di Taman Botani Singapura.

Maklumat yang menarik bagi saya mengenai pokok dan buah ini ialah ianya dikatakan hanya boleh didapati di Kepulauan Seychelles.Anda tahu dimana kepulauan tersebut? Kepulauan Seychelles adalah gugusan pulau-pulau kecil yang terdapat di bahagian barat lautan Hindi dan lokasinya dekat dengan benua Afrika dan pulau Madagaskar. Mengapakah agakya sepohon pokok yang hanya boleh didapati di sebuah pulau yang sangat jauh dari Nusantara menjadi begitu lagenda dalam masyarakat Melayu sehinggakan ia disebut dalam sejarah Kesultanan Perak, dalam Wayang Kulit malah dalam Mak Yong?

Andaian saya ialah ia mempunyai kaitan dengan benua Afrika itu sendiri. Pada zaman dahulu para pengembara Arab menggelarkan pantai timur Afrika dan Madagaskar sebagai Zanj atau Zanji. Sebahagian pengkaji mempercayai bangsa Zanj yang berhubung dengan bangsa-bangsa Arab dalam perdagangan di Madagaskar dan Afrika Timur berasal dari rumpun Melayu yang telah berkahwin dengan suku-suku Afrika timur lalu melahirkan orang Zanj seperti suku Merina yang masih wujud di Madagaskar hingga sekarang. Catatan dari pengembara Arab juga pernah menyebut akan perdagangan besi diantara Afrika Timur dengan Kedah Tua atau Srivijaya. Hal ini membuktikan bahawa orang Melayu telah lama menjejakkan kaki ke Benua Afrika dan membuka koloni di sana terutama di Madagaskar. Bukti-bukti atau kesan jejak peninggalan mereka di Afrika pernah saya tuliskan dalam sebuah artikel saya sebelum ini.


Lihat dimana Janggi/Jenggi/Zanj/Zanji.



Berkenaan Pohon Pauh Janggi, hipotesis saya ialah perkataan Janggi itu mempunyai perkaitan atau mungkin berasal daripada perkataan Arab Zanj atau Zanji. Oleh kerana Pulau Seychelles tempat dimana buah dan pohon ini boleh dijumpai adalah dalam laluan yang sama untuk ke Afrika Timur dan Madagaskar, sudah pasti ada pelayar Melayu yang pernah singgah dan melihat pohon yang unik tersebut. Oleh kerana bentuknya yang menyerupai buah Pauh/Mangga/Mempelam yang berkembar dua dan tempat ia ditemui berdekatan dengan Zanji iaitu Afrika, maka ia dinamakan buah Pauh Zanji/Janggi. Hal ini boleh jadi benar kerana orang Jawa pada zaman langka juga memanggil Afrika dan orang kulit hitam sebagai Jenggi.
Inskripsi di Gedangan dekat Surabaya (860AD) Jawa:

“…. rahashya, tuha-dagang,(overseer of people) tuhanambi,(overseer of socially inferior or foreign people) pakarapa(a gatherer of wild roots and herbs?), kdi(unfertile), walyan(doctor), sambal, sumbul(police officers), hulun haji(kings slaves-out of misdeeds?-mostly farmers), singgah(slave walking in front of his owner), pabrsi(carries the cushions), pajut(negrito slave), jenggi(black slave) watek I jro(slaves -to show off the wealth of the owner-) ityewamadi (and so forth)”

Namun demikian saya akui saya masih tidak dapat menyelesaikan puzzle mengapa buah dan pohon ini menjadi begitu mistik dan lagenda dalam masyarakat Melayu dan saya juga tidak dapat mengaitkannya dengan lagenda “Tasik Pauh Janggi”. Mungkin mitos dan legenda mengenai Tasik Pauh Janggi tersebut terbentuk kemudian setelah pertama kalinya pelayar Melayu menjumpai pohon dan buah unik tersebut di Seychelles.Maka kemudiannya sebuah tasik terbesar di Asia Tenggara yang suatu ketika dahulu pernah menjadi tempat wujudnya city-state Melayu kuno telah dinamakan Tasik Pauh Janggi kerana bentuknya yang menyerupai buah dari pohon tersebut. Selepas ini kalau anda batuk-batuk jangan lupa makan “Ubat Batuk Cap PAUH JANGGI” ye…eh silap…cap Kelapa Laut AFRIKA…:D. Wallah hu a’lam.

“Kembalilah diri ke dunia panggung dan dunia kelir. Merenung masa lalu dan melihat masa depan. Dari ‘pusat tasik pauh janggi’ tempat berpusar lagi jauh ke tengah segara.Tasiknya bukan di daratan bandar, tetapi pusar yang paling tengah dan paling dalam. Siapa terjatuh atau tergelincir, tersuruplah ia ke dalam pusar. Tempat menanti segala mara bahaya.Tempat duduk menantinya Nenek Sepit Pentala Naga di Laut Buih Gelombang Tujuh. Kalau si lemah yang sampai, maka hilang ghaiblah ia di mulut Raja Naga yang maha bisa. Tetapi kalau si kebal malim megah malim perkasa, dia berdiri di atas singa juang siap siaga. Tiada seurat bulu roma celakanya hangus terbakar, tiada seurat rambut hitam lebatnya gugur bertabur”.


~ASJ~

Sumber:
• Medieval Authors about East Africa, By Pieter Derideaux.
• Majapahit Peradaban Maritim: Ketika Nusantara Menjadi Pengendali Pelabuhan Dunia.
• http://teratakmelayu.blogspot.com/…/misteri-tasik-pauh-jang….
• Berita Harian oleh Ismail Saidin.

Selasa, 9 Jun 2015

KITAB TAMADUN MELAYU DARI THE PATRIOTS!





PRE-ORDER KITAB TAMADUN MELAYU KINI DIBUKA.
The Patriots menerbitkan kitab kami yang pertama.
KITAB TAMADUN MELAYU
Kitab ini kami abadikan di dalamnya fakta-fakta dan teori-teori sejarah yang terkini melalui kajian di dalam dan luar negara, lengkap dengan lebih daripada 60 senarai rujukan di dalamnya.
Kitab ini juga kami susun khas untuk semua mengenali Sejarah Tamadun Melayu dari aspek kronologi, linguistik, kerajaan-kerajaan yang wujud dan analisis Melayu hari ini..
Dan tiidak ketinggalan mengenai sejarah kedatangan Islam ke Tanah Melayu..
Kitab ini mengandungi 45 Bab dan artikel istimewa dari Cik Srikandi dan prodigi sejarah TP, Raja Ariff Danial.
----------
Diantara artikel yang terdapat di dalam kitab ini adalah:
1. BAGAIMANA BAHASA MELAYU BOLEH MENJADI LINGUA FRANCA.
2. TAMADUN MELAYU PENAKLUK INDIA SELATAN: SEJAUH MANA KESAHIHANNYA?
3. GAMBARAN SEBENAR PELABUHAN MELAKA.
4. MENGHANCURKAN MITOS MELAKA TUMBANG KERANA SENJATA API.
5. KAITAN TAMADUN MELAYU DAN EMAS NABI SULAIMAN.
Kitab ini juga menerangkan mengenai sejarah kerajaan-kerajaan Melayu seperti Srivijaya, Langkasuka, Champa, Chih Tu, Funan, Kesultanan Johor, Kesultanan Perak dan Kesultanan Terengganu..
Kitab ini juga menjawab beberapa tohmahan, fitnah dan penyelewengan yang dilakukan terhadap Sejarah Melayu..
----------
Pendek cerita, Kitab ini adalah kitab yang kami rumuskan dan nukilkan khas untuk semua mula mengenali Sejarah Melayu sebelum berhijrah kepada pembacaan kitab-kitab lain..
Elok untuk pembinaan asas..
Pre-order dibuka secara rasminya hari ini..
Mari pastikan setiap rumah di Malaysia adanya kitab ini.. Untuk rujukan kini dan akan datang..
- JB -

Untuk tempahan sila PM Admin The Patriots di laman ini ; https://www.facebook.com/thepatriots2020/photos/a.182165691977464.1073741828.181500092044024/381066935420671/?type=1&theater


~ASJ~

Sabtu, 28 Februari 2015

GAENG MASSAMAN ATAU GULAI KAWAH?


Gulai Massaman.


Pada tahun 2011 CNN Travel telah menyenaraikan sebanyak 50 jenis masakan yang paling sedap didunia menurut survey mereka.Dalam senarai tersebut sejenis masakan dari Thailand yang namanya Gaeng Massaman atau Massaman Curry mendapat tempat yang pertama dan digelar The King of Curry. Bagi anda yang suka makan masakan Thai dan sering berkunjung ke restoran Thai atau selalu melancong ke Thailand saya pasti anda mungkin pernah merasa atau mendengar mengenai masakan ini kerana ia adalah salah satu masakan yang sangat popular di Thailand. Masakan ini dikatakan sangat unik dan cara memasaknya juga agak rumit berbanding masakan Thai yang lain.



Saya tertanya-tanya apakah yang hebat sangat mengenai masakan ini? Mungkin juga berasa cemburu kepada orang Thai kerana masakan mereka disenaraikan sebagai masakan no 1 dunia tetapi masakan Melayu tidak mendapat kedudukan yang sama. Jadi untuk mengetahui mengenai masakan tersebut saya mula membuat sedikit research.Saya menonton banyak video cara-cara memasak masakan tersebut. Saya dapati cara memasaknya sangat mirip dengan cara memasak gulai-gulai Melayu terutama dalam penyediaan bahan-bahannya.

Dalam menyediakan Gaeng Massaman antara bahan utamanya adalah rempah-rempah kering seperti jintan,buah pelaga,kayu manis, buah pala, ketumbar,cengkih dan bunga lawang. Masakan orang-orang Thai yang asli sebenarnya tidak menggunakan rempah-rempah kering seperti yang saya sebutkan diatas. Malah kebanyakan gulai Thai atau Thai Curry contohnya Thai Green dan Red Curry tidak menggunakan rempah-rempah yang kita biasa sebut lima beradik atau tujuh beradik tersebut. Ini agak aneh bagi saya.




Saya mengorek lagi sejarah Gaeng Massaman ini.Dikatakan bahawa hebatnya masakan ini hinggakan ianya turut disebut dalam catatan Istana Thai.Dalam sebuah puisi Thai yang ditulis oleh Putera Itsarasunthon (yang kemudian menjadi Raja Rama II ayah kepada Raja Mongkut) untuk kekasihnya yang dipercayai adalah Puteri Bunrot, masakan ini turut disebut dengan spesifik.Puisi tersebut memuji-muji masakan Gaeng Massaman yang dimasak oleh kekasihnya itu. Terjemahan puisinya berbunyi begini:

“…Massaman, a curry made by my beloved, is fragrant of cumin and strong spices.
…Any man who has swallowed the curry is bound to long for her.”

Satu lagi perkara yang sangat menarik mengenai masakan ini ialah ianya tidak dimasak menggunakan daging babi oleh orang Thai walaupun orang-orang Thai yang beragama Buddha memang makan babi. Masakan ini biasanya akan menggunakan daging ayam, itik, lembu ataupun kambing. Hal ini kerana perkataan Massamman itu dikatakan berasal daripada sebutan Thai untuk Mussalman atau Muslimin iaitu orang-orang Islam dan ini membuktikan bahawa masakan ini adalah asalnya masakan orang-orang Islam. Menurut pendapat Santisawetwimon dan David Thomson, Gaeng Massaman sebenarnya berasal daripada masakan para pendatang Parsi dan India muslim yang menetap di Kota Ayutthaya beberapa ratus tahun dahulu yang berketurunan Syeikh Ahmad Qomi seorang ulama Syiah.

Namun bagi saya pendapat ini kurang tepat dan agak pelik kerana banyak bahan-bahan yang digunakan untuk memasak masakan ini adalah bahan yang memang tidak pernah digunakan dalam mana-mana masakan India Muslim apatah lagi Parsi seperti belacan, temu kunci, kunyit hidup, limau purut, kelapa atau kacang goreng, serai, lengkuas, asam jawa, nenas, keledek , gula kabung/gula Melaka dan santan. Selain itu teknik menyangrai atau menyangai kesemua bahan-bahan ini terlebih dahulu sebelum ditumbuk dengan lesung batu hingga lumat juga tiada dalam masakan India mahupun Parsi.



Pendapat kedua yang juga popular di kalangan orang Thailand sendiri ialah masakan ini berasal dari selatan Thailand dan ianya adalah hasil pengaruh masakan orang Islam selatan Thai iaitu orang MELAYU. Saya percaya inilah penjelasan yang paling tepat kerana terlalu banyak persamaan cara memasak dan bahan-bahan yang digunakan untuk masakan ini dengan Gulai daging atau ayam orang Melayu. Namun demikian jika diteliti semula dengan lebih halus, kebanyakan gulai-gulai biasa Melayu juga tidaklah sekompleks dan sebanyak itu bahan untuk memasaknya.Jadi masakan Melayu apakah selain gulai biasa yang mempengaruhi Gaeng Massaman ini. No!…tidak!…bukan Rendang ye..:)…tetapi satu masakan dari pantai timur dan utara semenanjung yang sangat terkenal ketika musim perayaan iaitu KERUTUK dan GULAI KAWAH terutama di Kelantan, Kedah dan Terengganu. Ia juga boleh disamakan dengan Gulai Daging  yang pekat dan likat kuahnya.

Sebagai seorang yang minat memasak dan telah beberapa kali memasak Kerutub, saya memang sangat kenal dengan bahan-bahan dan cara memasak Gaeng Massaman yang saya lihat di dalam video-video tersebut walaupun ada beberapa bahan untuk memasaknya tidak digunakan dalam masakan Kerutub. Namun demikian sebahagian besar bahan-bahannya memang sama dan cara menyediakan bahan dan rempahnya juga sangat mirip. Sepertimana Kerutub, Gaeng Massaman sebenarnya tidak terlalu pedas kerana hanya sedikit cili merah yang digunakan. Mungkin sebab itu orang-orang barat menyukainya.

Gulai Kawah.

Selain itu cara makan gulai ini juga unik dan berbaur Melayu, kerana menurut tradisi orang-orang Thailand, gulai Gaeng Massaman ini lebih sedap jika dimakan KEESOKAN HARI selepas ia dimasak kerana rasanya telah sebati. Anda perasan tak tradisi ini juga sebenarnya sangat popular di negara kita? Ya, mak ,datuk dan nenek kita juga selalau cakap perkara yang sama. Kalau masak gulai tinggalkan sedikit untuk dimakan esok hari kerana ia lebih sedap. Biasanya mak kita akan menyimpan gulai itu untuk dicicah dengan roti pada keesokan harinya, dan tradisi ini memang saya tahu sebab Tok wan saya yang berasal dari Kedah memang pantang kalau mak atau nenek saya tidak menyimpan gulai yang dimasak untuk keesokan hari. Menarik bukan? Maka sekarang teranglah bahawa masakan no 1 tersebut sebenarnya adalah sejenis masakan yang dipengaruhi oleh orang Melayu dan kita patut bangga kerana masakan bangsa kita mendapat tempat dihati orang luar tanpa kita sedari.

Kerutuk Ayam Kelantan.

Diharapkan selepas ini janganlah asyik-asyik mengatakan bahawa masakan orang utara dan pantai timur itu banyak dipengaruhi masakan orang Thai seolah-olah pengaruh Thai itu bagaikan tsunami yang menenggelamkan kesemua budaya Melayu pantai timur dan segenting kra dan orang Thai lansung tidak mendapat pengaruh daripada bangsa kita. Seolah-olah hanya orang Melayu sahaja yang mencedok pengaruh dari bangsa lain tetapi bangsa lain tidak mencedok budaya kita. Hakikatnya budaya kita banyak dicedok oleh orang-orang Thai sejak zaman berzaman. Ingat tau, sejarah Melayu itu bukan sahaja terdapat di dalam manuskrip, buku-buku ilmiah, jurnal-jurnal di Universiti sahaja, tetapi juga tersembunyi di dapur dalam periuk kuah gulai yang dimasak oleh bini pok mat saman...:D

https://www.youtube.com/watch?v=nVqHRywEnx4

~ASJ~