Sememangnya
rumpun bangsa Melayu adalah antara yang paling awal mendiami wilayah Indochina.
Sejarawan seperti Julie Shackford menyebut bahawa penduduk awal wilayah Red River Basin
atau Delta Tonkin di Negara Vietnam sekarang adalah masyarakat Austronesian
atau rumpun Melayu. Namun tahukah anda selain daripada orang Champa yang
dahulunya pernah mempunyai tamadun yang hebat, terdapat beberapa lagi suku kaum
yang tergolong dalam rumpun Melayu di Vietnam? Suku kaum yang dimaksudkan
adalah orang Churu, Raglai, Rade (Anak Ede) dan Jarai (Giarai). Kesemua suku
kaum atau etnik ini mempunyai bahasa yang tergolong dalam rumpun
Malayo-Polynesian. Dalam penulisan ini saya ingin membawa anda untuk mengenali
sedikit sebanyak mengenai dua suku kaum terlebih dahulu iaitu Jarai dan Rade.
Suku kaum Jarai adalah salah satu daripada etnik minoriti
dalam kelompok Malayo-Polynesian yang terbesar di Vietnam. Menurut bancian
tahun 1999, jumlah populasi suku kaum ini adalah seramai 242,
291 orang. Suku kaum ini juga terbahagi kepada beberapa suku-suku kecil yang
mempunyai pelbagai nama seperti Chor, Hdrung, Arap, Mthur, dan Tobuan. Orang
Jarai dikatakan sebagai
penduduk awal wilayah tanah tinggi Tay Nguyen di tengah Vietnam. Mereka mempunyai kulit yang
cerah dan sawa matang, bermata coklat, berambut ikal. Catatan tentera Amerika
menyebut bahawa tubuh badan mereka lebih tegap berbanding orang Dai Viet.
Masyarakat Jarai mengaitkan
sejarah mereka dengan petitih yang menyebut tentang Potao Ia atau raja air dan
Potao Pui atau raja api. Menurut mereka suatu ketika dahulu orang Jarai pernah
diperintah oleh dua Raja yang sangat berkuasa ini. Pemimpin kaum mereka juga
digelar sebagai Potao yang bermaksud ketua. Mereka mengamalkan animisme dan
menyembah semangat seperti langit dan bumi, air dan api bagi mendapatkan hujan,
angin, keselamatan dan kesihatan. Mereka menggelarkan semangat yang memerintah
dan mencipta bumi sebagai ‘Giang’ atau ‘Yang’ (Hyang). Semangat yang mereka
hormati adalah Yang Sang atau semangat rumah panjang, Yang Ala Bon atau
semangat kampung dan Yang Iaj iaitu semangat air. Selain itu mereka juga
menyembah semangat udara yang bernama ‘Potao Angin’.
Namun demikian jumlah suku kaum
Jarai yang mengamalkan ajaran tradisi mereka semakin berkurangan. Hal ini
kerana ramai dikalangan mereka yang telah memeluk agama Kristian. Hal ini
berlaku kerana sejak tahun 1970an dalam era Perang Vietnam banyak pasukan
Missionari dari Amerika telah masuk ke kampung-kampung mereka dan memujuk
mereka untuk memeluk Kristian. Sebahagian kecil kaum Jarai yang telah berhijrah
ke bandar-bandar besar yang majoriti
penduduknya adalah masyarakat Dai Viet juga telah memeluk agama Buddha.
Kaum Jarai juga mengamalkan
pertanian padi bukit. Tanah ladang adalah harta yang penting bagi mereka. Tanah
yang digunakan untuk pertanian dan ternakan dinamakan sebagai H’ma (Huma). Selain kerbau, lembu dan babi,
terdapat juga diantara mereka yang mempunyai gajah. Kaum Jarai juga selalu
mengadakan upacara korban kerbau. Kerbau adalah haiwan yang paling berharga
bagi mereka. Dalam kepercayaan mereka, seseorang yang mampu untuk mengorbankan
banyak kerbau dianggap sebagai seorang yang dirahmati dan dipelihara oleh
semangat. Biasanya mereka akan mengorbankan kerbau dalam upacara pengkebumian,
menyambut kemenangan dalam berperang, upacara kahwin dan perayaan-perayaan
seperti hari menuai atau menanam.
Pemakaman masyarakat Jarai.
Selain itu mereka juga mempunyai
mitos banjir besar mereka sendiri. Dalam mitos tersebut dikatakan bahawa dunia
telah mengalami banjir yang sangat besar. Bagi menyelamatkan diri sepasang
suami isteri Jarai telah masuk ke dalam sebuah gendang besar dan mereka telah
hanyut selama beberapa hari sehinggalah mereka terkandas di sebuah puncak
gunung bercabang dua yang dinamakan sebagai pusat dunia. Menurut kaum Jarai,
sejak itulah suku kaum mereka tinggal di kawasan tanah tinggi. Bagi saya mitos
banjir kaum Jarai ini sangat menarik, malah hampir sama dengan mitos banjir
kaum-kaum Austronesian yang lain.
Setiap perkampungan suku kaum
Jarai biasanya mempunyai 50 hingga 500 orang penduduk. Mereka tinggal di rumah
panjang yang bertiang tinggi seperti suku kaum dayak di Borneo. Mereka
mengamalkan adat matrilineal. Setiap rumah panjang kebiasannya adalah milik
keluarga perempuan. Dalam sebuah rumah itu biasanya akan tinggal adik beradik
perempuan bersama suami-suami mereka serta ibu dan bapa perempuan tersebut.
Manakala si suami atau kaum lelaki yang tinggal dalam rumah tersebut adalah
dari keluarga atau suku luar yang berkahwin dengan perempuan tersebut. Hal ini
bermakna rumah adalah milik keluarga belah perempuan. Malah nama suku atau
keluarga juga diperturunkan dari belah pihak perempuan. Lelaki dan perempuan
dari satu suku tidak dibenarkan untuk berkahwin kerana ia dianggap akan
mendatangkan tulah yang besar.
Dalam adat kaum Jarai apabila
seorang wanita itu mengandung, dia akan dihormati oleh semua orang. Wanita
tersebut akan dilarang dari melakukan sebarang kerja-kerja berat. Setelah
melahirkan, si ibu terpaksa pula mengikut pelbagai jenis pantang larang.
Antaranya ialah si ibu tidak boleh makan nasi yang ditanak dengan air di dalam
periuk sebaliknya dia hanya boleh makan nasi yang ditanak dalam buluh. Malah
mereka tidak dibenarkan makan sebarang jenis daging dan hanya boleh makan
sayuran atau pucuk-pucuk. Pada zaman dahulu kebiasaannya anak sulung akan
dibunuh sebagai semahan untuk semangat. Menurut mereka ini bagi menjamin
kehidupan anak-anak yang seterusnya. Selain itu mereka juga akan membunuh anak
yang dilahirkan cacat atau kembar. Namun demikian adat ini sudah semakin sirna.
Kaum lelaki memakai cawat yang
biasanya berwarna Indigo ditenun oleh kaum
perempuan. Kain cawat ini juga biasanya ditenun dengan tenunan bercorak jalur
yang berwarna merah dan putih. Boleh dikatakan cawat yang dipakai mereka hampir
menyerupai cawat suku kaum Dayak di Borneo. Kaum perempuan pula memakai sejens
kain sarung yang juga berwarna indigo atau hitam dan ditenun dengan jalur-jalur
berbenang merah dan putih. Baju bagi kaum perempuan pula biasanya tidak
berlengan atau berlengan pendek begitu juga dengan kaum lelaki. Ketua kaum atau
Potau pula biasanya memakai sejenis baju yang labuh hingga ke punggung dan
berlengan panjang. Di bahagian kolar baju dan tepian sim akan dijahitkan dengan
kain berwarna merah dan ditengah-tengah muka baju ditampalkan sehelai kain
merah berbentuk segi empat tepat atau bulat.
Sebelum ‘dijinakkan’ oleh orang
Perancis, perkampungan suku Jarai biasanya mempunyai pelbagai jenis penghadang
atau pagar yang diperbuat daripada pokok-pokok yang ditanam, kayu yang dipacak
mahupun tembok yang diperbuat daripada padatan tanah. Perkampungan mereka
bagaikan sebuah kubu yang dapat digunakan dalam situasi perang. Selain rumah-rumah
panjang, perkampungan mereka juga dilengkapi telaga, kandang kerbau atau lembu,
kandang babi, stor menyimpan padi, serta satu bangunan khas untuk aktiviti umum
seperti menyambut tetamu atau majlis timbang tara dan aktiviti gotong-royong
untuk sesuatu keramaian.
Suku kaum Jarai juga adalah suku
kaum yang sangat kuat menentang penjajahan Perancis di Vietnam. Pernah beberapa
kali berlaku pertempuran yang hebat diantara suku Jarai dan penjajah Perancis.
Mereka sering menyerang rombongan dagang suku-suku lain atau Missionari
Perancis yang melalui kawasan mereka. Suku Jarai diperangi Perancis secara
agressif pada tahun 1904 apabila salah seorang pegawai Perancis yang dihantar
untuk memujuk seorang ketua agama kaum Jarai supaya tunduk dengan kerajaan kolonial
telah dibunuh. Boleh dikatakan bahawa suku Jarai adalah suku kaum rumpun Melayu
paling akhir menyembah kepada penjajahan Perancis di Vietnam. Malahan semasa
orang-orang Dai Viet berjaya mengalahkan kerajaan Champa, mereka tetap tidak
mampu untuk menundukkan orang-orang Jarai dan membiarkan sahaja mereka tinggal
di kawasan pergunungan.
Begitulah sedikit sebanyak
tentang kaum Jarai. Sekarang mari kila lihat contoh bahasa yang
digunakan mereka dan persamaannya dengan bahasa Melayu standart. Dibawah saya
senaraikan beberapa perkataan Jarai yang hampir sama dengan perkataan dalam
bahasa Melayu:
· Anak lelaki- Ana’dah rokoi/ Ana’ to’dam.
· Angin- Angin/ur ur
·
Air- Ia
·
Tanah ladang- H’ma
·
Semangat/Tuhan/Hyang- Diang/Yang
·
Api- Apui
·
Asap- Asap
·
Abang paling tua- Ayong
·
Tangan- Tongan
·
Telinga- Tongia
·
Anak Dara- Dra
·
Bulan- Blan/Yang Blan
·
Jalan atau laluan- Jolan
·
Malam- Mlam
Seterusnya mari kita lihat adat
dan budaya kaum Rade atau Anak Ede pula.
Mereka adalah masyarakat minoriti Malayo-Polynesian yang kedua terbesar selepas
kaum Jarai dengan bancian sebanyak 194, 710 orang. Mereka juga banyak mendiami kawasan
tanah tinggi di wilayah tengah Vietnam. Bahasa mereka juga lebih dekat dengan
bahasa Melayu Cham dan mereka banyak membuat perhubungan dengan orang luar
seperti orang Cham, Viet, Perancis malah Amerika semasa zaman Perang Vietnam.
Fizikal mereka juga sama seperti suku kaum Jarai iaitu berbadan tegap, berbahu
lebar, dan agak rendah, namun demikian berbanding dengan suku kaum minoriti
yang lain mereka mempunyai kulit yang lebih cerah.
Perkampungan mereka selalunya
mengandungi 50 hingga 200 orang penduduk. Mereka biasanya membina petempatan
berdekatan sumber air seperti anak sungai, mata air atau telaga. Mereka
mempunyai satu kebiasaan yang agak unik iaitu suka membina perkampungan di tepi
jalan dan mereka akan memastikan yang jalan tersebut melalui tengah kampung
mereka. Berbanding dengan perkampungan orang Jarai yang berpagar atau
bertembok, kebiasaannya kampung suku kaum Rade tidak berpagar. Namun mereka
akan membina satu pintu gerbang yang besar di jalan untuk masuk ke kampung
mereka. Dalam sesebuah kampung Rade itu biasanya akan ada pokok buah-buahan,
kandang haiwan terutamanya kerbau, babi dan ayam serta serumpun buluh yang
tidak akan ditebang atas sebab kepercayaan tertentu.
Kaum Rade mempunyai penceritaan
sejarah yang unik. Mereka menyimpan khazanah sejarah nenek moyang mereka dalam
puisi-puisi tradisional atau hikayat yang dipanggil ‘Khan’. Lagenda mereka
terakam dalam lima buah puisi Khan. Mereka percaya bahawa suku kaum mereka
adalah bangsa manusia yang paling tua di dunia dan mereka masih menyimpan
segala ilmu dan sejarah turunan nenek moyang mereka sejak zaman purba secara
turun temurun tanpa putus dalam bentuk puisi. Salah satunya ialah lagenda
mengenai sejenis haiwan yang mereka panggil sebagai H’Bia Ngo. Daripada
diskripsi yang diberikan dalam puisi mengenai haiwan ini, pengkaji mendapati
bahawa haiwan yang dikisahkan tersebut sebenarnya adalah MAMMOTH atau gajah
purba! Hal ini membuktikan bahawa mereka memang kaum yang sangat tua.
Malah salah satu daripada puisi
epik mereka juga telah merakamkan sejarah asal usul orang Rade. Dalam puisi
tersebut dikatakan kaum Rade memang awalnya berasal daripada dataran tinggi
Darlac di Vietnam. Namun kemudian berlaku penghijrahan ke kawasan-kawasan lain.
Sehinggalah akhirnya mereka mendiami sebuah pulau yang terletak di tenggara
Indochina (Borneo?). Namun mereka tidak melupakan asal-usul mereka lalu
berlayar semula ke pantai Indochina dan menetap disitu. Kemudian kerana
kekurangan makanan mereka telah berhijrah semula ke dataran tinggi Darlac, maka
sejak dari hari itu mereka tetap disitu. Sejarah asal usul ini diceritakan dari
satu waris ke waris Rade yang lain tanpa putus sejak zaman berzaman. Saya
beranggapan warisan puisi atau petitih kuno Anak Ede ini juga setaraf dengan
epik Bugis La Galigo dan epik Gilgamesh Sumeria.
Sepertimana kaum Jarai , suku
kaum Rade juga mengamalkan adat dan budaya matrilineal. Segala harta, rumah,
sawah dan kekayaan adalah milik keluarga perempuan dan anak akan mewarisi nama
keluarga perempuan. Kaum Rade juga tinggal di rumah-rumah panjang yang bertiang
tinggi diperbuat daripada kayu dan buluh. Kepanjangan rumah bergantung kepada
jumlah isi rumah perempuan. Jika terdapat salah seorang perempuan yang baru
berkahwin si ayah akan menyambung atau menambahkan lagi panjang rumah dengan
menyediakan bilik khas tempat si anak dan suaminya tinggal. Setiap anak
perempuan yang telah berkahwin akan mempunyai sebuah bilik khas untuk keluarga
kecilnya dalam rumah panjang tersebut.
Disetiap hujung hadapan rumah
panjang mereka akan ada satu anjung. Anjung ini biasanya tempat mereka
menjalankan aktiviti mengayam buluh dan rotan serta tempat bersidai dan
berborak sambil menghisap paip. Anjung ini juga biasanya dijadikan tempat untuk
menaiki gajah. Hal ini kerana kaum Rade juga adalah penjinak dan penangkap
gajah yang hebat. Di anjung tersebut terdapat tangga yang berukir. Biasanya
keluarga yang kaya akan mempunyai ukiran tangga yang paling mewah dan
cantik. Tangga yang khas untuk wanita
juga turut disediakan dan mempunyai pemegang. Setiap rumah panjang juga
biasanya mempunyai sebuah pondok atau bangsal menyimpan padi.
Suku Kaum Rade dianggap oleh
pengkaji Amerika sebagai agak pasif. Segala musibah dan kesusahan yang berlaku
dalam kehidupan mereka diterima sebagai ketentuan takdir. Malah atas sebab yang
sama mereka tidak kisah untuk mengikut telunjuk orang Vietnam dan Perancis
kerana menurut pandangan mereka, kaum mereka
lemah dan mereka harus tunduk kepada pihak yang lebih kuat. Namun
demikian masyarakat luar mendapati suku kaum Rade adalah suku kaum minoriti
yang paling cerdas dan cerdik pemikirannya berbanding suku kaum lain. Malahan
mereka paling berminat untuk belajar sesuatu yang baru. Catatan penjajah
Perancis sendiri menyebut bahawa orang Rade boleh diajar dan belajar apa sahaja
yang dikehendaki mereka. Mereka juga dikatakan sangat cepat belajar bahasa
Inggeris pada zaman Perang Vietnam.
Dari segi pakaian, walaupun
secara kasarnya hampir sama seperti suku kaum Jarai dan lain-lain, namun ada
beberapa unsur tertentu yang berbeza dan unik kepada kaum mereka. Kaum lelaki
suku Rade biasanya memakai cawat yang berwarna biru atau merah dan mereka
biasanya memakai gelang besi yang besar di leher. Kaum lelaki juga memakai baju
berwarna indigo yang mempunyai lengan panjang yang tirus. Dibahagian dada baju
tersebut terdapat sulaman benang-benang merah yang membentuk segi empat sama.
Mereka juga memakai penutup kepala yang menyerupai serban.
Wanita Rade menenun kain.
Kaum wanitanya pula memakai kain
sarung yang juga disulam dan ditenun mereka sendiri dengan corak-corak
tertentu. Baju kaum wanita juga ada yang lengan panjang dan ada yang tidak
berlengan. Terdapat dikalangan kaum Rade yang tinggal berdekatan dengan kaum
Jarai turut memakai sejenis bengkung berwarna merah dan putih yang dibeli dari
kaum Jarai. Kaum wanita dan lelaki Rade juga gemar memakai pelbagai jenis
gelang daripada tembaga mahupun timah serta anting-anting dan gelang kaki.
Seperti juga suku kaum Jarai,
kepercayaan tradisi mereka adalah animisme. Namun demikian sejak perhubungan
mereka dengan Penjajah Perancis dan tentera Amerika, ramai diantara mereka yang
telah memeluk agama Kristian. Dalam kepercayaan tradisi mereka, dewa yang
paling penting bernama Ae Die yang bermaksud raja langit. Ia adalah pemerintah
alam semesta dan ketua bagi semua semangat. Manakala H’Bia Dung Dain yakni adik
perempuan kepada Ae Die adalah yang kedua terpenting. H’Bia Dung Dain adalah
dewi yang bertanggungjawab atas sawah dan tanaman padi. Dewi ini juga dikaitkan
dengan kesuburan dan kelahiran. Dewa Ae Du pula adalah suami kepada H’Bia dan
merupakan dewa hujan serta menuai. M’ngat (Semangat) pula adalah istilah mereka
untuk roh manusia. Ewa (Jiwa?) atau M’ngah (Mengah pernafasan?) pula adalah
nyawa atau nafas.
Kaum Rade di dalam rumah panjang mereka sedang minum tuak.
Manakala semangat yang jahat pula
namanya adalah Yang Lie yang merupakan ketua segala syaitan. Mereka sangat
takut kepada semangat jahat. Semangat jahat yang paling mereka takuti adalah ‘Yang
Brieng Pong’ yang menurut mereka boleh membawa bencana seperti kematian dan
kemalangan serta kematian ibu bersalin. Kebiasaannya jika mereka menganggap
bahawa semangat ‘Yang Brieng Pong’ telah mengganas dan menyebabkan kematian,
satu upacara korban akan dilakukan. Kaum Rade juga akan melakukan upacara
korban tembikar tuak serta haiwan ternakan terutama kerbau dan babi bagi
menyambut majlis-majlis tertentu seperti hari menuai, hari menanam atau
dinamakan ‘Kam Buh’ (tumbuh?), hari meminta angin sejuk supaya pergi iaitu ‘Kam
Angin’ dan hari perkahwinan.
Gajah adalah haiwan yang sangat
penting bagi masyarakat Rade. Kebiasaannya gajah dijadikan sebagai tunggangan
dan gajah juga menjadi lambang kekayaan atau harta yang paling berharga bagi
sesebuah keluarga Rade. Selain itu gajah juga dianggap sebagai haiwan istimewa
yang membawa tuah. Pentingnya gajah dalam suku Rade sehinggakan mereka
menganggap gajah yang dipunyai mereka sebagai salah seorang daripada ahli
keluarga. Gajah turut digunakan untuk kerja-kerja berat seperti menngangkut
balak dan membina rumah panjang. Jika seekor gajah itu hendak bertukar milik
atau dijual, satu upacara korban untuk semangat akan dilakukan bagi memaklumkan
semangat tersebut bahawa si gajah akan bertukar pemilik. Darah korban akan
disemah di kepala gajah.
Suku Rade sangat terkenal sebagai penjinak dan penangkap Gajah liar yang handal.
Kaum Rade juga sangat terkenal
dengan tradisi muzik gong mereka. Mereka mempunyai pelbagai jenis gong yang
berbeza nama dan nada bunyi. Muzik gong kaum Rade telah diiktiraf oleh badan UNESCO
sebagai Masterpieces of the Oral and
Intangible Heritage of Humanity. Selain gong mereka juga menggunakan alat muzik
seruling yang dipanggil Ding serta alat muzik bertali yang dinamakan Bro,
goong. Antara jenis lagu atau muzik yang sering dimainkan mereka adalah Ayray
iaitu lagu yang dimainkan dengan seruling dan Ku’-Ut sejenis lagu yang
dimainkan dalam upacara pengkisahan epik sejarah Rade.
Dibawah saya senaraikan beberapa contoh
perkataan Jarai yang sama dengan perkataan dalam bahasa Melayu:
·
Tangan- Kngan
·
Jalan- Elan
·
Kulit- Klit
·
Hati- Atie
·
Tahu- Thao
·
Darah- Erah
·
Hidung- Adung
·
Bernafas- Hrip (Hirup udara?)
·
Bau- Bao
·
Kunyah- M’mah (Mamah)
·
Duduk- Dok
·
Menguap- hoap
·
Jahit- Jhit
·
Jarum- Erum
·
Hidup- Hdip
·
Membelah- Kblah
·
Beli- Blei
·
Tikus- K’kuih (Tikuih)
Begitulah sedikit sebanyak
maklumat yang dapat saya kongsikan mengenai suku Jarai dan suku Rade. Jika mahu
diceritakan seluruh adat istiadat dan budaya mereka serta sejarahnya sekali
maka artikel ini akan menjadi terlalu panjang. Oleh sebab itu saya telah ringkaskan
mana yang patut. Saya berharap dengan adanya artikel ini anda semua akan lebih
mengenai rumpun bangsa kita yang berada di tanah tinggi Vietnam ini.
Diharapkan agar artikel ini dapat
menangkis pandangan sempit sebahagian pihak yang mendakwa bahawa rumpun Melayu
itu hanya wujud di Riau, dan di tanah besar asia tenggara termasuk Semenanjung
dan Indochina tidak wujudnya rumpun Melayu. Padahal kewujudan urang Champa itu
sendiri adalah bukti yang nyata. Malah adanya suku kaum separa primitif seperti
Jarai dan Rade ini membuktikan lagi bahawa rumpun Melayu di Indochina sudah
bertapak sejak beribu tahun yang lalu dan menjadi sebahagian daripada
masyarakat awal yang wujud sebelum kemasukan orang Dai Viet dari selatan China.
Dalam artikel yang seterus saya
akan membincangkan tentang dua lagi suku kaum dalam kelompok Malayo-Polynesian
yang berada di tanah tinggi Vietnam. Suku kaum tersebut adalah kaum Churu atau
Juru dan kaum Raglai. Kita akan melihat adat, budaya serta bahasa yang mereka
gunakan dan sama-sama kita lihat persamaan yang terdapat pada mereka dengan
suku-suku rumpun Melayu atau Austronesian yang lain. Sekian, Wassalam...:)
~ASJ~
Sumber:
·
VIETNAM, A Historical Perspective, Julie Shackfod, funded by the Henry Lucy Foundation,
Inc. March 1992.
·
Ethnographic
Study Series, Minority Groups In The
Republic Of Vietnam Headquarters,
Department Of The Army ,1966.
·
Ethnographic
Study Series: Selected Groups In The Republic Of Vietnam , The Jarai. Special Operations
Research Office The American University Washington, D.C.
·
Ethnographic
Study Series: Selected Groups In The Republic Of Vietnam, The Rhade. Special
Operations Research Office The American University Washington, D.C.
·
Vietnam
Studies, U.S. Army Special Forces 1961-1971, CMH Publication 90-23. Department of the Army Washington,
D.C. 1989.