Tahukah
anda, bahawa Kesultanan Melaka pernah bertelagah dan bertempur dengan Kerajaan
Annam atau orang Dai Viet (Orang Kuci)? Ya, kekuatan dan pengaruh Melayu Melaka
di Asia Tenggara sebenarnya lebih dari yang kita jangkakan. Ramai yang meragui
Melaka adalah sebuah kerajaan yang kuat dan berpengaruh malah ada yang menganggap
kerajaan Melaka itu langsung tidak wujud. Kalau ia tidak wujud mengapa catatan-catatan
asing sibuk-sibuk mahu menulis tentangnya? Tak ke pelik tu? Sekitar tahun 1469 dalam catatan China disebut
bahawa serombongan utusan dari Melaka yang dalam pelayaran balik dari China
telah dipukul ribut dan terkandas di Vietnam. Kesemua anak kapal ditangkap, ada
yang dibunuh malah yang muda dan anak-anak dikasi dan dijadikan sida-sida oleh
orang Vietnam.
Melaka
telah mengadukan hal tersebut kepada Maharaja China sekitar tahun 1481, pada
mulanya Melaka tidak mahu bertindak kerana tahu bahawa Vietnam juga adalah
negara yang menghantar ufti ke China. Utusan Melaka Duan Ya Ma La Di Na Cha
(Tun Seri Nara Diraja?) juga telah mengadukan rancangan Vietnam untuk menyerang
dan menakluk Melaka. Sewaktu utusan Melaka berada di China kebetulan utusan
dari Vietnam juga turut ada. Hal ini telah menyebabkan timbul pertengkaran
diantara wakil Melaka dengan wakil Vietnam tentang tindakan biadap Vietnam yang
telah menculik dan membunuh utusan Melaka sebelum itu.
Mereka
berdua ditenangkan oleh salah seorang menteri pertahanan China ketika itu yang
menasihati mereka agar melupakan persengketaan kerana perkara tersebut telah
lama berlalu. Sebelum kedua-dua utusan tersebut pulang ke negeri masing-masing,
Maharaja China telah mengirimkan surat yang menyelar perbuatan Maharaja Vietnam
dan menasihatinya agar berbuat baik dengan negara tetangga dan merenung
kesalahan sendiri. Manakala Maharaja China telah bertitah kepada utusan Melaka supaya
bertindak tegas dan menyiapkan tentera serta kuda perang sekiranya Vietnam
tetap mahu menyerang Melaka kelak.
Dalam
sejarah, Maharaja Vietnam yang dimaksudkan diatas adalah Le Than Tong. Pada
zaman beliau wilayah kekuasaan Vietnam mencapai sehingga sempadan Burma. Le
juga dikatakan telah menyerang kerajaan Lanxang dengan 90 ribu askar namun
dalam satu serangan mereka telah kalah dan terpaksa berundur kembali. Walaupun
dalam catatan sejaran Lanxang dan Vietnam tidak pernah menyebut keterlibatan
Melaka dalam perang diantara Lanxang dan Vietnam ini, namun kronik China ada
mencatatkannya. Dikatakan bahawa 90 ribu bala tentera Vietnam telah melanggar
Lanxang namun mereka berjaya diusir oleh angkatan perang Melaka dan
mengakibatkan mereka kehilangan seramai 30 ribu nyawa. Peristiwa ini tercatat
didalam kronik China Ming Shilu. Adakah peristiwa ini merupakan tindakbalas
Melaka terhadap kekejaman yang dilakukan oleh Vietnam sebelum itu? Faktor
penentu kekalahan Vietnam ini pastinya adalah kerana kehebatan Melaka di medan
tempur.
Memandangkan
tentera Melaka perlu merentas negara Kemboja atau Siam Ayuthia untuk ke Lanxang
maka dapatlah disumpulkan bahawa salah satu atau kedua dua pihak ini telah
membenarkan bala tentera Melaka melintasi negara mereka kerana berasa terancam
dengan dasar perluasan kuasa Vietnam sepanjang pemerintahan Maharaja Le Than Tong
1460-97. Kegagalan besar ini melenyapkan impian Le Than Tong untuk meluaskan
lagi empayarnya sekaligus mengesahkan keunggulan Melaka ke atas semua kuasa
lain di Asia tenggara meskipun jumlah tentera dan penduduk Vietnam adalah
berkali ganda lebih besar. Saya percaya kemenangan ini juga dibantu oleh
jajahan takluk Melaka yang lain termasuk tentera Siam Ayuthia dan Lanxang
sendiri.
Dalam
Sulalatus Salatin ada satu kisah mengenai utusan Melaka ke Siam. Dalam
peristiwa ini Raja Siam telah meminta bantuan rombongan Melaka untuk berperang
dengan musuh mereka di wilayah sebelah matahari jatuh atau barat. Namun Tun
Telanai membuat helah supaya mereka dapat berperang dengan musuh yang berada di
kedudukan matahari naik atau timur. Jika dilihat peta kerajaan-kerajaan lama
zaman tersebut didapati kerajaan Lanxang memang berada di sebelah timur Siam
iaitu di Laos sekarang. Dalam catatan sejarah Vietnam, Ayuthia atau Siam juga
pernah berada dibawah taklukan Vietnam untuk beberapa ketika pada zaman Le Than
Tong. Adakah peristiwa ini adalah peristiwa dimana tentera Melaka berjaya
mengusir 90 ribu tentera Vietnam yang menyerang Lanxang seperti dalam kronik
China tersebut? Wallah hu 'lam. Saya belum mendapat jawapan yang pasti.
Namun
apa yang pasti ialah hubungan diantara orang Melayu dengan kerajaan di Indochina
atau Lanxang sebenarnya bukan baru dan bukan kebetulan. Orang Melayu
semenanjung sebenarnya telah lama berada di tanah besar asia tenggara dan bukannya
berasal dari Sumatera. Sebahagian besarnya berada di Indochina dan Segenting
Kra, dan mereka membina tamadun di Negara kota-negara kota mereka. Orang Melayu
yang menubuhkan Langkasuka bukanlah Melayu Sumatera. Langkasuka ada kaitan
dengan Funan, dan orang Melayu semenanjung pada zaman purba punyai hubungan
dengan Khmer, Pyu, Mon, Burma, Dai-Viet, Lao dan Tai. Jadi boleh dikatakan bahawa Melayu semenanjung
kebanyakannya berasal dari Indochina, Segenting Kra hingga ke utara Malaysia. Sebab
itu kita lihat orang Kedah-Perlis dan Kelantan-Pattani mempunyai loghat yang
sangat ketara dan unik.
Berbalik
kepada negeri Lanxang, dalam Hikayat Merong Mahawangsa ada menceritakan mengenai
pembukaan sebuah negeri di Indochina. Apa yang menariknya adalah negeri
tersebut bernama Siam Lancang, sebutan Lancang saling tak tumpah seperti
sebutan negeri Lanxang yang kita bincangkan tadi. Negeri Siam Lancang dibuka
oleh anak Raja Merong Mahapudisat yang paling tua, bersama-sama Pra Chisim dan
isterinya Nang Sutaman, pemerintah bangsa gergasi. Bagi saya gelaran gergasi
ini adalah pengkelasan orang Melayu zaman itu untuk satu kaum lain yang lebih ‘gasar’
atau berbeza dengan mereka, sepertimana orang China zaman imperial yang
menggelar semua bangsa dari Negara luar sebagai barbarian atau hantu.
"Setelah
didengarnya oleh Raja Merong Mahapudisat sembah menteri itu,"Jikalau
demikian hendaklah saudara kerahkan segala kaum gergasi himpun sekaliannya dan
panggil penghulu Pra Chisim dan penghulu Nang Sutaman itu ke mari,kita beri ia
pergi bersama-sama anak kita dan orang kita Melayu,setengah kita suroh pergi
bersama anak kita yang tua ini kita hantarkan ka hulu di sebelah utara barat
laut.Maka tanah bumi itu lanjut jauh jua perjalanannya"
"...Maka
di situlah sekalian berbuat istana dengan kota parit serta dihimpunkan segala
orang yang duduk bertaboran pechah belah itu. Maka di satukan sekaliannya, maka
menjadi besarlah. Maka dinamai negeri itu Siam
Lancang, tempat membuat kota istana itu.."
Dalam
Hikayat Merong Mahawangsa juga disebut bahawa perjalanan dari utara semenanjung
ke Siam Lancang itu mengambil masa 200 hari perjalanan (berjalan kaki), iaitu
kira-kira 6 bulan. Bagi pendapat saya tempoh ini adalah munasabah kerana
terpaksa melalui hutan dan bukit bukau di tengah-tengah tanah besar Asia
Tenggara bersama pengikut yang ramai. Saya yakin wilayah dimana kerajaan
Lanxang yang ditubuhkan sekitar 1354 itu adalah sama dengan negeri purba Siam Lancang
dalam Hikayat Merong Mahawangsa.
Dan
yang lebih menarik ialah pemerintah pertama Lanxang iaitu Fa Ngum diberi
gelaran "Phragna Fah-La-Thorani Sisatanakanahud". Gelaran ini
sebenarnya sebutan Lao kepada "Pongna Prah Dharnindra Sri Santan Naga
Nahud" di dalam bahasa Sanskrit. Gelaran "Sri Santan Naga" itu
juga sebenarnya berasal daripada gelaran raja-raja Melayu Champa! Seorang raja Melayu
Champa bernama Simha Jayavarman memakai gelaran 'Sri Siantan'. Malah di Laos
ada tempat yang bernama Champasak. Ini menunjukkan bahawa memang wilayah Laos
atau Lanxang pernah dikuasai dan diduduki oleh rumpun Melayu sebelum kedatangan
Fa Ngum.
Mungkin
Fa Ngum telah membina Lanxang selepas mengalahkan raja Melayu terakhir di
wilayah Siam Lancang itu kemudian menubuhkan kerajaannya sendiri. Ini kerana
ketika itu juga kerajaan Sukhotai juga sedang meluaskan pengaruhnya dan sedang
menawan negeri-negeri Mon-Khmer dan Melayu di sekitar benua Siam. Seperti
biasa, kebudayaan awal negeri-negeri Tai akan meniru atau mengasimilasikan
kebudayaan negeri-negeri yang ditakluknya. Untuk mengetahui kebudayaan bangsa
Tai yang sebenar, kita perlu lihat budaya suku kaum Zhuang di China dan Shan di
Myanmar. Budaya orang Tai sebenarnya adalah budaya suku kaum bukit yang berasal
dari tengah China dan bukan seperti yang kita boleh lihat di Laos dan Thailand
sekarang. Jdi jika kita tahu sejarah kuno orang-orang melayu di Indochina, kita
tidak akan pelik jika Melaka mampu untuk mengerahkan tenteranya hingga ke Laos
dan mengalahkan tentera Vietnam yang terkenal kuat itu. Sekian.
Menarik
bukan?..:D
~ASJ~
Sumber:
Liang Liji dan credit kepada Cik Srikandi.