Golongan elit dan pahlawan Hawaii yang lengkap dengan pakaian kebesaran.
Salam
dan sejahtera. Beberapa orang rakan bertanya saya mengenai asal usul silat.
Saya sendiri juga masih membaca dan mencari jawapan kepada persoalan tersebut.
Ada pihak yang membuat andaian bahawa silat itu berasal daripada seni beladiri
masyarakat luar nusantara atau tamadun lain yang lebih maju seperti China dan India
yang terkenal dengan seni beladirinya. Malah sering disebut-sebut oleh pihak
tertentu yang silat itu asalnya sama seperti Taek Won Do dan Karate yang
berasal daripada Kung Fu Shaolin. Manakala Kung Fu Shaolin pula dikatakan
berasal daripada seni beladiri India yang dibawa masuk oleh seorang pendeta bernama
Bodidharma. Ada juga yang berpendapat bahawa silat adalah gabungan daripada
seni atau teknik beladiri masyarakat tempatan dengan teknik beladiri dari China
dan juga India.
Walau
apa pun jawapannya, saya percaya bahawa bangsa Melayu juga mampu mencipta seni
beladiri mereka sendiri yang bercirikan kepandaian lokal atau Local Genius
tanpa perlu mempelajarinya daripada bangsa-bangsa lain. Namun ini tidak
bermakna tidak wujud sejenis seni
beladiri Melayu yang menerima pengaruh dari bangsa luar, contohnya Silat Kuntau
yang dipercayai berasal dari China. Namun tidak semua seni beladiri masyarakat
rumpun Melayu itu berasal dari tamadun luar. Saya percaya sebahagian besarnya
adalah hasil kreativiti dan inisiatif masyarakat tempatan sendiri bagi mempertahankan
diri dan kaum keluarga mereka dari sebarang ancaman samaada dari dalam ataupun
luar.
Mengapa
saya berpendapat sedemikian? Kerana terbukti memang wujud masyarakat rumpun
bangsa Melayu yang mempunyai satu seni beladiri tersendiri yang terasing daripada
tamadun-tamadun besar dunia. Seni beladiri yang saya maksudkan adalah dari orang Hawaii iaitu Lua. Bangsa Hawaii adalah saudara serumpun kita yang berada dalam
kelompok besar manusia yang berbahasa Austronesia. Malah jika kita lihat rupa
paras mereka juga saling tak tumpah seperti rupa orang-orang rumpun Melayu yang lain. Budaya mereka juga
adalah budaya kelautan seperti sebahagian besar masyarakat rumpun Melayu.
Bagi
mereka yang selalu menonton filem-filem barat mengenai Hawaii atau kepulauan
Pasifik, mereka pasti dimomokkan dengan gambaran kecantikan, keindahan,
ketenangan dan sifat lemah lembut serta mesra orang Hawaii, ditambah pula
dengan alunan musik yang mengasyikkan disertai dengan persembahan tarian Hula
yang meliang liuk serta menggoda. Pasti tidak terbayang difikiran mereka bahawa
orang Hawaii mempunyai satu seni beladiri yang ampuh malah menggerunkan musuh
sehinggakan ada yang menyebut bahawa seni beladiri Hawaii adalah yang paling
merbahaya di dunia. Hal ini bukanlah sesuatu yang pelik bagi saya kerana kita
tahu bahawa saudara-saudara kita di Pasifik ini memang sangat mahir dalam ilmu
peperangan, lihat sahaja pada masyarakat Maori yang selama berpuluh tahun
melawan dan menentang penjajahan bangsa Eropah dengan berbekalkan ilmu beladiri
tradisional mereka sendiri (tak dinafikan yang mereka juga akhirnya menggunakan
senjata api seperti musuh mereka).
Apakah
sebenarnya yang dikatakan sebagai Lua? Lua adalah nama umum bagi seni beladiri
tradisional Hawaii yang merangkumi pelbagai stail dan teknik. Antara teknik
yang terangkum dalam Lua ialah teknik mematah tulang, mengunci sendi,
menghumban, memanipulasi titik tekanan badan, pukulan tangan kosong, penggunaan
senjata, strategi peperangan, seni perang diatas air dan ditambah dengan seni
bermain senjata api pada zaman kemasukan pengaruh senjata api ke Hawaii. Pendek
kata seni Lua adalah sebuah seni beladiri holistik atau menyeluruh yang hampir
sama seperti beberapa jenis seni beladiri Melayu di nusantara seperti Silat.
Malahan menurut pendapat sesetengah ahli seni beladiri, teknik tangan kosong
dan kuncian Lua juga mempunyai persamaan
dengan seni beladiri Jepun moden seperti Judo dan Jujitsu.
Dalam
masyarakat Hawaii setiap anak muda pasti pernah mendengar kisah-kisah hebat para
pahlawan nenek moyang mereka yang menggunakan seni Lua dalam pertempuran
sehinggakan ianya menjadi lagenda turun temurun sepertimana ilmu silat dalam
masyarakat Melayu. Pada zaman dahulu rahsia ilmu Lua hanya diturunkan kepada
orang-orang yang terpilih sahaja terutama golongan diraja, pengawal elit
diraja, panglima-panglima tentera, pahlawan profesional dan para bangsawan. Hal
ini juga sama seperti tradisi silat di nusantara yang pada awalnya hanya diajar
kepada golongan tertentu terutama yang dekat dengan Istana. Kebiasaanya Lua
akan dipertandingkan diantara kampung-kampung di Hawaii ketika musim perayaan Makahiki
atau perayaan untuk dewa Lono iaitu dewa pertanian. Perayaan ini biasanya
berlansung selama tiga bulan atau lebih. Dalam tempoh tersebut semua masyarakat
tidak perlu turun berkerja sebaliknya mereka digalakkan untuk bergembira dan
berkenduri sepuas-puasnya.
Macam muka bapak saudara saya..:).
Namun
demikian teknik atau jurus sebenar Lua tidak dipamirkan dalam keramaian ini
kerana seperti yang saya sebut tadi hanya golongan tertentu sahaja yang
mempunyai ilmu rahsia tersebut. Sebaliknya dalam keramaian ini bentuk Lua yang
lebih umum iaitu Momoko yang menyerupai gusti atau tinju dipertontonkan untuk
hiburan khalayak ramai. Seperti kebiasaan dimana-mana tamadun di dunia kecuali
tamadun Islam mungkin, pertaruhan atau perjudian dikalangan penonton adalah
perkara biasa malah ada yang mempertaruhkan rumah dan isteri mereka.
Pertandingan momoko ini pernah dilihat sendiri oleh kru kapal Kapten Cook yang
merupakan orang Eropah pertama sampai ke Hawaii. Pertarungan kebiasaanya disertai
dengan ejek-ejekan diantara lawan dan antara ejekan yang popular ialah ‘makan tahi ayam! Setiap peserta juga
ditemani oleh seorang pawang atau Kahuna yang bertindak seperti ‘coach’ yang
bertugas untuk memberi motivasi dan membaca mantera-mantera tertentu.
Mengenai
ilmu Lua yang menjadi rahsia turun temurun ini, hanya pada tahun 1865 barulah
ada catatan mengenainya yang ditulis oleh seorang Eropah. Menurut catatan
tersebut Lua hanya diajar kepada orang yang dapat mengawal kemarahan dan hanya
boleh digunakan untuk mempertahankan nyawa. Menurut lagenda, seni beladiri Lua
memerlukan seseorang itu mempunyai pengetahuan dalam anatomi, physiologi malah
hypnotism atau ilmu pukau dan ilmu telepathy iaitu ilmu membaca fikiran. Jika
kita perhatikan, ciri-ciri dan persyaratan yang terdapat dalam Lua hampir sama
seperti dalam seni silat Melayu. Malahan para pengamal Lua akan mencukur
seluruh bulu di badan serta melumuri badan mereka dengan minyak kelapa sebelum
berperang. Hal ini adalah bagi menyukarkan musuh untuk memegang atau menangkap
badan mereka. Pengamal lua juga akan diajar ilmu Lomilomi atau mengurut malah
Lua juga mempunyai ritualized combat atau seni tari seperti latihan bunga tari
dalam silat, dalam bahasa Hawaii ia dipanggil sebagai Hula. Hula yang
dimaksudkan termasuklah Hula seperti yang sering kita tonton di kaca television
dan tarian-tarian lain yang dijadikan asas latihan dan senaman dalam Lua.
Dalam
sejarah Hawaii tiadak ada tokoh yang lebih terkenal dalam ilmu Lua selain
raja-raja mereka sendiri terutamanya raja Kamehameha. Kamehameha terkenal
dikalangan sejarawan sebagai The Napoleon of The Pacific kerana kejayaan beliau
dalam menyatukan seluruh wilayah kepulauan Hawaii melalui beberapa siri
peperangan yang hebat sekitar tahun 1790 hingga 1810. Kamehameha dikatakan
telah mendirikan tiga buah sekolah beladiri Lua yang terkenal. Sesebuah sekolah
Lua itu akan dikelolai oleh seorang Kahuna yakni Pawang atau pendita agama kuno
Hawaii. Seorang Kahuna yang mahir dalam Lua mestilah memahami ilmu anatomi
terutama mengenai kedudukan saraf tertentu dan otot-otot penting dalam badan.
Mereka percaya bahawa perut adalah asas bagi segala kekuatan atau pusat tenaga.
Konsep ini sama seperti dalam seni beladiri Jepun Aikido dan beberapa lagi seni
beladiri lain dari seluruh dunia.
Seorang
pakar seni beladiri Jepun iaitu Prof Henry S. Okazaki, pernah menyatakan
bahawa, walaupun Lua mempunyai banyak persamaan dengan beberapa seni beladiri
Jepun, namun teknik yang terdapat dalam seni beladiri Hawaii tersebut adalah lebih berkesan. Menurut pengamal Judo
moden pula Lua boleh dianggap sebagai
satu seni beladiri paling ganas yang pernah dicipta dan digunakan oleh
raja-raja serta para pengawal elit Hawaii. Dalam sesebuah peperangan Hawaii,
pertarungan atau pertempuran itu berlaku sangat pantas, dan sengit. Sebagai
contoh dalam peristiwa penaklukan pulau Maui oleh para pendekar Oahu. Dalam
pertempuran tersebut hanya dua orang yang terselamat daripada 800 orang
pahlawan yang terlibat.
Jika
di medan perang kebiasaannya pengamal Lua akan bergantung kepada beberapa jenis
senjata seperti lembing, terbil, cokmar malahan senjata dari batu. Selain itu
terdapat juga senjata lain seperti pendayung, pisau gigi jerung, kayu panjang,
dan sejenis senjata seperti buku lima yang namanya juga berbunyi seperti bahasa
Melayu iaitu Kuekue Lima, malah senjata buku lima juga digunakan dalam
sesetengah silat Melayu. Kalau dalam silat Melayu ada ilmu unik yang diberinama
seni Cindai, dalam Lua pula ada satu teknik yang hampir sama iaitu teknik tali
penjerut. Tetapi jika semua senjata-senjata ini terlepas dari tangan atau
dirampas musuh, maka masa inilah akan digunakan teknik-teknik rahsia tangan kosong.
Dalam Lua juga ada seni bermain kayu yang dipanggil sebagai Kakalaau. Seni ini
menggunakan kayu berukuran enam kaki dan hampir serupa dengan seni Kendo dan
Bujutsu Jepun. Namun dalam seni Kakalaau tiada sebarang protection atau baju
pelindung yang digunakan. Selain daripada menggunakan batu biasa, kayu dan gigi
jerung, terdapat juga senjata yang diperbuat daripada batu Jed.
Satu
perkara yang paling menarik dalam Lua adalah teknik menangkap senjata lontaran
atau jarak jauh seperti lembing, panah, malah terbil. Menangkap lembing dan
anak panah yang dilontarkan oleh musuh adalah salah satu kemahiran tertinggi
yang harus ada pada seorang pengamal Lua. Raja Kamehameha dikatakan mampu untuk
menangkap sebanyak 12 batang lembing yang dilemparkan kepada beliau. Saya pasti
teknik menagkap lembing ini juga ada dalam silat Melayu kerana saya pernah
terbaca mengenai ilmu menangkap rejaman lembing dengan mata tertutup dalam
silat Melayu. Selain sebagai seni beladiri, Lua juga sering dipraktikkan oleh
golongan elit Hawaii sebagai satu cara untuk mendisiplinkan diri, menyihatkan
badan dan membentuk keperibadian sepertimana dalam seni silat. Selain itu Lua
turut mengandunngi sejenis teknik tenaga dalaman dan senaman khusus bagi
mengumpul tenaga ghaib yang dinamakan ‘Mana’. Konsep Mana hampir sama dengan
konsep Chi dalam amalan Tai Chi dan Chi Qung.
Latihan menangkap lembing.
Sehingga
hari ini seni beladiri Lua sebenarnya sudah semakin pupus. Kepupusan ini
bermula sejak kemasukan para mubaligh-mubaligh kristian yang memperkenalkan
agama Kristian kepada masyarakat Hawaii pada 1820. Malahan sebahagin besar
kebudayaan tradisional Hawaii hampir punah disebabkan hal yang sama. Dikatakan
juga faktor lain yang turut menyumbang kepada kepupusan seni beladiri ini
adalah dengan kemasukan senjata api yang dibawa oleh penjajah barat. Charles
Kenn seorang ethnographer barat telah berjaya mengumpulkan cebisan-cebisan yang
masih tinggal daripada seni Lua ini dan beliau dikatakan telah mengajarkan
teknik-teknik rahsia Lua kepada seorang pengamal Jujitsu Hawaii. Sekitar 1960
an Kenn kemudian mengajarkan pula Lua kepada Jerry Walker dan dari situ Walker
telah cuba mengembangkannya kembali sehingga sekarang. Walaupun Lua semakin
pupus namun legasi Lua sebagai sebuah seni beladiri lagenda masih berlegar
dikalangan masyarakat Hawaii hingga sekarang sepertimana segarnya lagenda Hang
Tuah dengan kehebatan silatnya dalam masyarakat Melayu. Malahan
banyaknya persamaan diantara amalan Lua dengan amalan silat Melayu membuatkan
saya terfikir adakah kedua-dua seni beladiri ini datang dari akar yang sama
atau ianya secara kebetulan? Wallah hu a'lam.
Dapat
disimpulkan bahawa kewujudan Lua sebagai satu seni beladiri yang terasing jauh
dari sebarang pengaruh seni beladiri utama dunia seperti dari China mahupun
India, menunjukkan bahawa sesebuah masyarakat itu walau terasing juga mampu
untuk menghasilkan satu seni beladiri hebat dengan kreativiti dan kepandaian lokal
mereka sendiri tanpa perlu bergantung kepada ilmu dari tamadun luar. Hal yang
sama juga mengukuhkan lagi pendapat yang mennyatakan bahawa silat itu adalah
seni beladiri asli hasil ciptaan masyarakat nusantara. Jika masyarakat yang
jauh daripada tamadun lain seperti di kepulauan pasifik mempunyai seni beladiri
unik dan tersendiri yang terbentuk secara insitu, mengapa tidak seni beladiri
masyarakat Melayu? Dalam beratus-ratus aliran silat yang wujud di Malaysia,
Brunei, Thailand dan Indonesia saya pasti hanya beberapa buah sahaja yang
mempunyai akar dari seni beladiri bangsa luar dan selebihnya adalah hasil
ciptaan masyarakat tempatan sendiri. Sekian. Wallah hu a’lam.
~ASJ~