Salam
semua, sebab dah lama tidak mengupdate blog, maka sekarang terkapai-kapailah
saya hendak menulis semula. Jadi sebelum saya menyampaikan artikel-artikel saya
yang banyak dah tergantung, saya lampirkan dahulu artikel yang saya jumpa ini.
Artikel ini sesangatlah menarik bagi saya dan ada banyak kaitan dengan kajian
yang dibuat oleh moderator MF sekarang. Ianya mengenai seorang puteri yang
tersangatlah misteri, lebih misteri dari Vampire of Grahi kot. Kisahnya memang
tiada dalam buku-buku sejarah aliran perdana apatah lagi buku teks sekolah. Dia
adalah Cik siti wan kembang satu, atau namanya Adruja Wijaya Mala singa! Oh ya
dan sebelum tu saya nak ucapkan selamat membaca dan selamat menyambut hari
lebaran yang akan tiba beberapa hari saja lagi, maaf zahir dan batin dari saya
kepada semua pembaca setia.
Adruja
Wijayamala Singa (1335-1345 Masihi) berasal dari Grahi - sebuah negara kota dan
negara persekutuan Melayu yang terletak di utara Semenanjung Tanah Melayu.
Baginda merupakan puteri kesayangan kepada Raja Sang Tawal atau Sultan Muhammad
(1267-1335), Maharaja Grahi yang ketiga. Tahun kelahiran dan nama bonda puteri
Melayu ini tidak diketahui. Adruja dilahirkan dan membesar di Kota Grahi, iaitu
ibu kota kerajaan Grahi.
Adruja mempunyai empat orang saudara kandung, iaitu dua lelaki dan dua
perempuan. Mereka ialah Raja Bharubhasa, Raja Singhadiraja, Puteri Cendana dan
Puteri Linang Cahaya. Oleh kerana Adruja memiliki sifat keperibadian yang tegas
dan garang, rakyat Grahi yang berketurunan Melayu-Hindu telah menggelar puteri
Melayu ini sebagai ‘Dewi Durga’.
Lebih
menarik lagi, Adruja merupakan keturunan Srimat Trailokyaraja Maulibhusana
Warmadewa, Maharaja Srivijaya-Malayu (Palembang-Jambi) dari dinasti Mauli.
Menurut manuskrip Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin), nama
sebenar maharaja tersebut ialah Demang Lebar Daun. Nama 'Adruja Wijayamala
Singa' dikatakan berasal dari bahasa Sanskrit, di mana:
- ‘Adruja’ ialah kependekan bagi
sebutan “adhi raja” yang bermaksud raja yang besar, mulia, tinggi
darjatnya, yang utama, yang terbaik dan pemuka pasukan perang;
- ‘Wijayamala’ pula merujuk kepada
sejenis bunga seroja sakti yang dikatakan dapat menghidupkan orang mati;
manakala
- ‘Singa’ pula merupakan satu variasi
bagi sebutan “simha” yang bermaksud singa - raja segala haiwan.
KEHIDUPAN
AWAL
Adruja
dilahirkan pada zaman di mana Grahi sedang menghadapi ancaman perang dari
kerajaan Siam Sukhothai yang diperintah oleh Raja Rama Khamhaeng
(1237/47-1317). Raja yang berketurunan Siam (atau Thai) ini merupakan seorang
yang sangat zalim.
|
Kedudukan Grahi (atau juga dikenali sebagai Jawaka)
terletak di kawasan utara Semenanjung Tanah Melayu.
|
Raja
Rama Khamhaeng dikatakan mahu meluaskan tanah jajahannya ke arah selatan
(Semenanjung Tanah Melayu) tetapi telah dihalang oleh nenda Adruja yang bernama
Raja Sakranta atau Raja Aminuddin (1253-1267). Setelah Raja Sakranta mangkat,
takhta kerajaan Grahi telah diserahkan kepada ayahanda Adruja yang bernama Raja
Sang Tawal (Sultan Muhammad).
Sebagai Maharaja Grahi yang baharu, Raja Sang Tawal telah mengarahkan supaya
dibina sebuah kota yang teguh demi menghalang tentera Siam Sukhothai dari
menceroboh masuk ke Semenanjung Tanah Melayu. Setelah siap, kota tersebut
diberi nama Kota Grahi.
Sejak dari usia kanak-kanak lagi, Adruja dikatakan pandai menunggang kuda dan
bermain senjata seperti kelewang. Meskipun perilaku baginda menyerupai lelaki,
namun Adruja dikatakan amat menyukai wangian kayu cendana yang telah
dicampurkan ke dalam minyak wangi yang diperbuat daripada bunga melur. Ia
adalah satu kesukaan khas yang menunjukkan bahawa Adruja masih ada sifat
kewanitaan.
PEMBAWA
BENDERA GRAHI
Setelah
umurnya mencecah belasan tahun, Adruja sentiasa menjadi pembantu ayahandanya di
medan perang. Puteri tersebut biasanya dibenarkan membawa bendera kerajaan
Grahi ketika Raja Sang Tawal pergi berperang dengan tentera Siam Sukhothai.
Pengalaman berada di medan perang telah membantu Adruja membiasakan diri dengan
melihat keganasan perang dalam segala aspek.
Setelah perang berakhir, Adruja akan membantu membalutkan luka dan memberi
minuman kepada mana-mana tentera ayahandanya yang cedera. Melihatkan keadaan
tentera Grahi yang kurang semangat juang serta rakyatnya yang sentiasa
berundur, maka tergeraklah di hati puteri tersebut untuk membentuk satu pasukan
khas yang terdiri dari kaum wanita.
Selain
untuk membantu kaum lelaki di medan perang, tujuan pasukan khas wanita tersebut
ditubuhkan adalah untuk membela nasib kaum wanita Melayu di Grahi yang sering
diperkosa oleh tentera Siam Sukhothai tatkala mereka menyerang kampung-kampung
yang jauh dari Kota Grahi. Selain itu, Adruja juga mahu membuktikan bahawa kaum
wanita juga setanding dengan kaum lelaki walaupun di medan perang.
SYARAT
PERKAHWINAN
Cadangan
Adruja untuk membentuk satu pasukan khas wanita telah diusulkan kepada
ayahandanya, Raja Sang Tawal. Pada mulanya, Raja Sang Tawal enggan
memperkenankan cadangan puterinya itu kerana tugas kaum wanita pada zaman
tersebut hanya terhad kepada kerja memasak dan membantu merawat kecederaan
tentera di medan perang sahaja.
Namun begitu, Raja Sang Tawal berubah fikiran dengan serta-merta setelah
mengenangkan tindakan puteri kesayangannya itu yang pernah beberapa kali
mempertahankan bendera kerajaan Grahi ketika di medan perang. Raja Sang Tawal
akur lalu memperkenankan cadangan Adruja itu.
Pada masa yang sama, baginda cuba untuk menyelamatkan Adruja dengan
mengahwinkan puteri tersebut. Walau bagaimanapun, Adruja terus menolak
rancangan ayahandanya itu dengan berkata:
"Ayahanda
mahu kahwinkan anakanda? Tidak! Sesiapa yang mahukan
anakanda,
sila bertarung senjata satu lawan satu. Jika menang, boleh".
Melihatkan
ketegasan dan kedegilan puteri tersebut, akhirnya Raja Sang Tawal terpaksa
mengalah dan mengikut sahaja kehendak puterinya itu.
LAHIRNYA
PASUKAN SERI WIJAYAMALA
Setelah
cadangan tersebut diperkenankan oleh Raja Sang Tawal, maka Adruja pun berusaha
untuk membentuk sebuah pasukan khas yang dianggotai kaum wanita. Baginda mula
mencari mana-mana perempuan yang mahu menyertainya.
Oleh
kerana golongan perawan telah menolak ajakannya, maka dicari pula segala janda
muda yang kematian suami di medan perang. Ada di kalangan kumpulan janda muda
tersebut yang membantah atas alasan - berperang bukanlah kerja kaum wanita.
Jawapan tersebut telah membuatkan Adruja murka, lalu menengking mereka dengan
berkata:
“Cis!
Semua kamu nak serahkan kepada lelaki. Sekarang, apa dah jadi kepada kamu?
Hidup tercungap-cungap, merempat, harapkan belas kasihan orang. Bagaikan
pengemis!
Lebih baik kalian ku latih agar dapat berperang. Bahkan lebih berani daripada
bapa-bapa
dan abang-abang kamu yang takut menghadapi gajah Sukhothai hingga kecut pelir
mereka.
Inilah masanya kalian menuntut bela agar tenteram roh mereka yang sudah pergi.
Beta tak dapat memberikan harta kepada kalian. Tetapi ingat! Ketika kalian
mati,
kalian akan mati syahid kerana mempertahankan agama dan negara kalian.
Itulah janji bagi orang Islam, agama yang baru kamu anuti sekarang.
Insyallah,
kalian akan dikenang sebagai bunga-bunga suci
di
medan perang di dalam sejarah Grahi.”
Setelah
mendengar kata-kata puteri tersebut, maka kumpulan janda muda tersebut akhirnya
bersetuju untuk menyertai pasukan khas yang dipimpin dan dilatih sendiri oleh
Adruja. Pasukan khas tersebut diberi nama Seri Wijayamala.
Adruja
telah berusaha mendapatkan segala bekalan senjata untuk pasukan khasnya.
Baginda telah menempah senjata ringan dengan mengarahkan agar dibentuk busur
panah yang kecil tetapi lebih cekap. Selain itu, puteri tersebut juga telah
membeli puluhan ekor kuda, kain serta keperluan wanita dari para saudagar Arab
dan Turki di pelabuhan yang berhampiran dengan Kota Grahi. Dari mereka jugalah,
Adruja mempelajari bahasa Arab dan Turki.
Selain
itu, Adruja juga telah membeli seekor kuda putih untuk dirinya sendiri. Kuda
tersebut diberi nama Halilintar dan ianya sentiasa mendahului sesiapa sahaja,
termasuklah pelatih Adruja yang berbangsa Turki bernama Inologlu.
SERI
WIJAYAMALA BERSEDIA
Pada suatu hari, Adruja Wijayamala Singa masuk menghadap Raja Sang Tawal yang
sedang sibuk bermesyuarat dengan para panglima perang. Ketika itu, mereka
sedang melihat selembar peta. Setelah salam diberi, Adruja terus membuka
daun-daun tingkap istana lalu mengajak Raja Sang Tawal dan para panglima perang
supaya melihat ke luar tingkap. Puteri itu seraya berkata:
“Itulah
pasukan khas patik. Hanya 41 orang. Kebanyakannya janda dan
hamba abdi serta budak suruhan, untuk berperang bersama ayahanda kelak”.
Setelah
melihat pasukan khas tersebut, para panglima bertanya kepada Adruja tentang
kemampuan mereka - sama ada mereka mampu memikul tombak serta memanah atau pun
tidak. Malah, ada juga di antara mereka yang memperlekehkan kemampuan pasukan
khas tersebut dengan tersengih-sengih dan ketawa kecil.
Tindakan
para panglima tersebut telah membuatkan dada Adruja membara, lalu ditariknya
salah seorang dari kumpulan panglima tersebut dan membawanya ke ruang tingkap.
Adruja segera memberi arahan kepada Puspa, salah seorang pengikutnya yang
berdiri puluhan ela di bawah istana supaya terus memanah panglima tersebut.
Anak
panah yang dilepaskan Puspa berdesing membelah udara lalu melekat pada daun
tingkap - hanya sejengkal dari muka panglima tersebut. Adruja lantas berkata
kepada para panglima yang memperlekehkan pasukan khasnya:
“Jika itu belum memuaskan kalian, silalah tunggu di tingkap itu untuk
perintahku yang kedua”.
Tindakan
berani Adruja dan pengikutnya, Puspa telah menyebabkan semua orang terdiam.
Adruja terus menyembah Raja Sang Tawal lalu turun dari istana. Menurut catatan
sejarah, peristiwa tersebut berlaku pada tahun 1317 Masihi.
SERI
WIJAYAMALA BERTINDAK
Pada
suatu hari, angkatan tentera Siam Sukhothai telah mula bergerak ke arah selatan
untuk menyerang kerajaan Grahi dan ibu kotanya, Kota Grahi. Pada asalnya,
penduduk Kota Grahi sememangnya sudah lama bersedia untuk menghadapi serangan
dari tentera Siam Sukhothai. Walau bagaimanapun, penantian yang terlalu lama
telah menyebabkan mereka menjadi leka.
|
Kedudukan Kota Grahi dipercayai terletak
di daerah Chaiya, wilayah Surat Thani, Thailand.
|
Namun
begitu, Adruja dan pasukan khas Seri Wijayamala sentiasa bersiap sedia. Sifat
waspada mereka telah berhasil apabila pada suatu malam, salah seorang
pengawalnya telah ternampak panah berapi menembusi angkasa. Pengawal tersebut
lantas memaklumkan kepada Adruja mengenai sebuah kampung di sebelah utara yang
mula diserang oleh tentera Siam Sukhothai.
Dengan serta-merta, Adruja dan semua anggota pasukan khas Seri Wijayamala
berlengkap lalu menunggang kuda mereka dan menyerbu keluar mengikut rakan-rakan
yang membawa obor. Setelah tiba, Adruja mendapati tentera Siam Sukhothai sedang
mengganas. Mereka membakar kampung, membunuh segala lelaki dan mengheret wanita
keluar dari kampung itu.
Seorang panglima Siam Sukhothai telah merebahkan seorang perempuan muda ke
tanah untuk mencabulnya. Melihat keadaan tersebut, Adruja segera menebas leher
panglima tersebut dengan kelewang panjang miliknya yang dinamakan Kilatan.
Kemudian, baginda seraya memberi arahan kepada pasukan Seri Wijayamala:
“Bunuh kesemuanya! Jangan biarkan seekor pun terlepas! Cincang yang masih
bernafas!”
Arahan
tersebut segera dipatuhi. Ada di kalangan para pengikut Adruja yang mengalami
muntah-muntah serta pengsan setelah melihat darah, kepala musuh terpelanting
dan terdengar jeritan tatkala musuh disembelih.
Pada
malam itu, Adruja berjaya menyelamatkan ramai wanita Melayu. Tiada seorang pun
tentera Siam Sukhothai yang berjaya pulang ke markas mereka. Adruja dan para
pengikutnya pula hanya mengalami luka-luka kecil. Mereka berjaya membuktikan
kecekapan mereka di medan perang.
DENDAM
RAMA KHAMHAENG
Semua
pihak di negeri Siam Sukhothai telah mula berasa gentar setelah angkatan perang
mereka tidak pulang ke markas. Namun begitu, tidak sedikit pun terguris di hati
Raja Rama Khamhaeng walaupun telah kehilangan ratusan tenteranya.
Sebaliknya,
raja zalim itu telah mengambil keputusan untuk menyerang Grahi dan Kota Grahi
sekali lagi. Pada kali ini, baginda sendiri yang akan mengetuai bala
tenteranya.
|
Patung Rama Khamhaeng, Raja Siam Sukhothai
yang dibina di wilayah Sukhothai, Thailand.
|
Sementara
di Kota Grahi pula, Raja Sang Tawal telah mendapat maklumat mengenai bala
tentera Siam Sukhothai yang sudah menghampiri sempadan Grahi. Baginda segera
mengarahkan semua menteri dan panglima perang (kecuali Adruja Wijayamala Singa)
datang berunding.
Selesai mesyuarat, Raja Sang Tawal telah menitahkan supaya Adruja tinggal di
dalam Kota Grahi sementara baginda dan para tentera Grahi keluar menentang
musuh. Arahan ayahandanya itu telah membuatkan Adruja berasa begitu geram
kerana tidak dibenarkan untuk turut serta berperang.
Selepas Raja Sang Tawal dan para tenteranya keluar dari Kota Grahi untuk
menentang tentera Siam Sukhothai, seorang perempuan penduduk kota yang
mengenali Adruja datang bertanya:
“Wahai
Dewi Durga, kenapa tidak turut serta?”
“Raja
fikir aku perempuan biasa. Layak menunggu di dalam kota sahaja”.
Kata
Adruja kepada perempuan tersebut. Lantas perempuan tersebut berkata:
“Tapi… kami dengar cerita dari orang Tuan Puteri sendiri,
banyak
kampung di utara Grahi telah Tuan Puteri selamatkan”.
Setelah
mendengar kata-kata perempuan tersebut, maka tersenyumlah sang puteri seorang
diri. Adruja mula menyedari bahawa perihal itu tidak pernah dilaporkan kepada
Raja Sang Tawal dan sememangnya ingin dirahsiakan.
KOTA
GRAHI DISERANG LAGI
Sepanjang
pagi tersebut, Adruja berasa gelisah. Tatkala tengah hari pula, nalurinya
mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. Lalu diarahnya Puspa supaya pergi
selidik di luar Kota Grahi.
Alangkah terkejutnya Puspa apabila melihat tentera Siam Sukhothai telah berjaya
mencerobohi kota. Mereka membunuh dan bertindak ganas terhadap orang-orang tua,
kanak-kanak dan wanita di dalam Kota Grahi.
Ternyata
Rama Khamhaeng seorang yang licik. Raja tersebut telah membahagikan angkatan
tenteranya kepada dua ketumbukan - satu untuk berperang dengan angkatan tentera
Raja Sang Tawal di medan perang manakala yang satu lagi pula untuk menyerang
Kota Grahi secara senyap dan mengejut.
Puspa
segera memaklumkan kepada puterinya. Adruja lantas mengarahkan semua anggota
Seri Wijayamala bertindak. Kehadiran mereka telah mengejutkan pihak musuh.
“Jahanamkan
mereka! Bunuh semuanya! Anak haram jadah! Binatang! Cincang habis!”
Jerit Adruja seraya menghayunkan kelewang panjangnya (Kilatan) sambil
memecahkan kepala serta memutuskan tubuh-tubuh musuh. Kemudian, arahan
diberikan kepada dua orang rakan seperjuangannya yang bernama Seroja dan
Sundari:
“Kau Seroja, panah dari atas kota sana. Kau Sundari, suruh para abdi siapkan
kuda kita”.
Pencerobohan
itu akhirnya berjaya dihindari dan Kota Grahi terselamat. Namun begitu, itulah
pertama kali hati Adruja berasa amat hiba dan remuk-redam kerana perbuatan
pihak musuh yang amat zalim terhadap orang-orang yang lemah.
Pasukan Seri Wijayamala menangis teresak-esak, sambil mendakap para wanita dan
kanak-kanak yang meraung. Air mata Adruja jatuh berlinangan. Adruja mengetapkan
bibirnya. Tiba-tiba, datang seorang lelaki tua bertongkat menuju ke arah puteri
tersebut lalu berkata dengan sebaknya:
“Tuan
Puteri, hamba sudah tua… Tiada tenaga lagi memerangi musuh kita.
Bawalah tasbih hamba ini. Semoga Tuan Puteri mencapai kemenangan
yang luar biasa… Insyallah…. Ucaplah, ‘Ya Jabbar Ya Qahhar’…”.
Lelaki tua bertongkat itu mengucup tangan Adruja lalu pergi dari situ. Belum
sempat sang puteri mengucapkan terima kasih, para anggota Seri Wijayamala sudah
mengerumuninya dan bersiap-sedia. Adruja memberi arahan kepada pasukan Seri
Wijayamala:
“Wahai
pasukanku, Seri Wijayamala… Lilitlah rambutmu dengan kain hijau
seperti serban yang dipakai ayahmu, suamimu atau saudaramu yang pergi berjuang
demi agama dan tanah air. Aku tahu, tentera ayahanda sedang terpukul teruk.
Aku juga tahu, hari ini Rama Khamhaeng turut memimpin tenteranya.
Hari
ini hari penentuan! Puspa, lilitkan serban kuning ini ke kepalaku.”
Tiba-tiba,
kedengaran laungan azan berkumandang di atas kota. Suara seorang tua -
dipercayai lelaki tua bertongkat yang memberi tasbih kepada Adruja sebentar
tadi. Adruja segera memakai tasbih tersebut di lehernya dan terus menunggang
kuda putihnya yang bernama Halilintar.
Selesai
sahaja azan, Adruja melaungkan ungkapan “Allahuakbar” yang kemudiannya
disambut oleh semua yang hadir. Semua wirawati Seri Wijayamala terus memecut
kuda yang menderu keluar dari kota bagai angin taufan. Tanpa menoleh ke
belakang lagi, pasukan khas tersebut terus memacu kuda di belakang ketua mereka
- Adruja Wijayamala Singa.
TUMBANGNYA
RAMA KHAMHAENG
Benarlah
jangkaan Adruja. Di medan perang, segala pasukan bergajah Siam Sukhothai sedang
meredah dan merempuh apa sahaja di hadapan mereka. Orang dan kuda habis dibelit
dengan belalai, dipijak dengan kaki atau dirodok oleh gading gajah. Lima
anggota Seri Wijayamala telah bersiap-sedia dengan tombak bercangkuk. Mereka
turut dibantu oleh pasukan berpanah dan pasukan yang memakai kusa - sejenis
alat yang ditakuti gajah.
|
Contoh gambar kusa - sejenis alat yang digunakan
pada zaman dahulu untuk mengawal dan menakutkan
gajah.
|
Sementara
itu, Puspa pula diarahkan untuk memegang bendera khas Adruja Wijayamala Singa,
iaitu corak helang merah berlatarkan kuning. Tiba-tiba, mata Puspa terpandang
ke arah pasukan bergajah Siam Sukhothai yang juga mengibarkan bendera pihak
musuh.
“Tuan
Puteri! Itu dia, Rama Khamhaeng!”
Adruja terus memecut kuda putihnya ke arah gajah hitam khas milik Rama
Khamhaeng tanpa menghiraukan segala hiruk-pikuk di sekitarnya. Api kemarahan
dari lubuk hati Adruja telah mengalir ke tangannya yang menggenggam erat
Kilatan yang berkilauan disambar matahari petang.
Adruja mengarahkan pasukan berpanahnya supaya memanah semua askar di sekeliling
Rama Khamhaeng. Setelah kesemuanya mati terbunuh, baginda lantas mengarahkan
pengikutnya supaya membaling tombak ke arah Rama Khamhaeng. Beberapa tombak
telah terkena pada tubuh raja tersebut lalu meragut nyawanya. Jasadnya
terkeluar dari rengga gajah lalu jatuh rebah ke bumi.
|
Setiap gajah perang biasanya dilengkapi dengan
rengga gajah yang dipasang di bahagian belakang.
|
Adruja
dengan pantas terus merodok pusat Rama Khamhaeng dengan Kilatan, lalu
ditusuknya ke atas hingga ke tenggorok. Pecahlah jantung dan terburailah segala
tali perut dengan semburan darah membuak-buak. Kelewang dicabut, lalu leher
raja tersebut ditebas hingga terpisahlah kepalanya dari tubuh. Kemudian, Puspa
mengambil kepala Rama Khamhaeng dan menancapnya pada hujung tombak lalu
diberikan kepada Adruja.
“Heret bedebah ini ke laut! Cincang sesiapa yang cuba menghalang!”
Jerit
Adruja kepada pasukan Seri Wijayamala. Dua orang wirawati segera mengangkat
kedua-dua belah kaki Raja Siam Sukhothai itu lalu mengheretnya dengan kuda menuju
ke pantai.
Perbuatan
tersebut telah menyebabkan tentera Siam Sukhothai bersikap seperti orang gila.
Mereka cuba untuk mendapatkan kembali kepala Rama Khamhaeng. Adruja dengan
segera mencantas dan menebas mereka. Para tentera Siam Sukhothai yang cuba
mendapatkan badannya pula terus dipanah oleh pasukan berpanah Seri Wijayamala.
“Seroja, bawa balik kepala ini. Biar beta selesaikan saki-baki anjing-anjing
ini.”
Para
tentera Siam Sukhothai mula hilang semangat setelah menyaksikan kematian raja
mereka. Tiada apa yang boleh mereka lakukan selain berlutut meratap menyembah
bumi. Itulah hari bencana besar bagi bangsa Siam (Thai) dari negara Sukhothai
kerana tidak menjangka yang mereka akan mati dibunuh oleh seorang puteri raja
dengan pasukan khas wanitanya yang bengis.
KATA-KATA
KERAMAT ADRUJA
Adruja
mengarahkan semua wirawati supaya mencantas belalai gajah-gajah milik tentera
Siam Sukhothai. Pada mulanya, mereka tidak sampai hati hendak membunuh
haiwan-haiwan tersebut. Setelah melihat Adruja sendiri mencantas belalai gajah
hitam milik Rama Khamhaeng, akhirnya mereka turut berbuat demikian.
Habis
semua gajah jatuh merempuh pihak musuh. Barisan hadapan tentera Siam Sukhothai
yang berlutut meratapi kehilangan raja mereka turut diranap oleh gajah mereka
sendiri. Saki-baki tentera Siam Sukhothai yang lainnya habis dibunuh oleh
Adruja dan pasukan khas Seri Wijayamala.
Sementara itu, badan Raja Rama Khamhaeng yang sedang diheret ke pantai pula terus
ditombak dan dicincang sepanjang jalan sehingga hanya tinggal rangka dan
cebisan daging sahaja. Setelah tiba di tepi pantai, badannya dicampak lalu
dihanyutkan ke Laut China Selatan.
Perbuatan tersebut dilakukan di hadapan tentera Siam Sukhothai yang mengiringi
mayat raja mereka. Akibat terlalu takut, maka larilah saki-baki tentera musuh
untuk menyelamatkan nyawa mereka. Inilah kata-kata keramat Adruja Wijayamala
Singa:
“Dengan tertebasnya kepala si bedebah ini (Raja Rama Khamhaeng),
maka
ku harap bangsa ini (Siam atau Thai) akan tersekat dan tidak
melanda
tanah bangsa Melayu (Semenanjung Tanah Melayu) seterusnya,
agar
kekallah bangsaku (Melayu) dan agamaku (Islam) zaman-berzaman”.
Setelah
berakhirnya perang, pasukan khas Seri Wijayamala membantu rakan-rakan mereka
yang tercedera dan membawa mereka pulang ke Grahi. Adruja adalah orang terakhir
yang meninggalkan medan perang, ketika merah senja mewarnai langit di sebelah
barat. Menurut catatan sejarah, peristiwa Adruja memenggal kepala Raja Rama
Khamhaeng ini berlaku pada tahun 1317 Masihi.
Beberapa
bulan kemudian, datanglah rombongan dari negara Siam Sukhothai untuk menebus
kembali kepala raja mereka. Rombongan tersebut terdiri daripada puluhan sami
berjubah kuning pinang masak, berkepala botak, berkaki ayam sambil membawa 10
pedati berisi emas dan perak. Mereka memohon kepada Raja Sang Tawal untuk
bertemu dengan Adruja.
Setelah
Raja Sang Tawal tiba di halaman istana bersama Adruja, semua sami berkenaan
berlutut lalu menyembah kedua-dua raja dan puteri tersebut. Ketua sami terus
menyampaikan hasrat mereka. Setelah kepala Raja Rama Khamhaeng diberikan,
mereka terus pulang ke negara Siam Sukhothai sambil meratap.
RUNTUHNYA
GRAHI DAN KOTA GRAHI
Ketika
saat kemangkatan Raja Rama Khamhaeng, puteranya yang bernama Loethai sedang
berada di tanah besar China untuk menghadap Maharaja China. Alangkah
terkejutnya Loethai setelah mengetahui ayahandanya mangkat dibunuh oleh seorang
puteri Melayu. Setelah pulang ke tanah air, Loethai telah ditabalkan sebagai
pemerintah yang baharu dengan gelaran Raja Loethai.
Meskipun mengalami kekalahan teruk, namun pihak Siam Sukhothai tidak pernah
belajar dari kesilapan. Sebaliknya, Raja Loethai dan bangsa Siam (Thai) telah
bersumpah akan menghapuskan seluruh bangsa Melayu di Semenanjung Tanah Melayu.
Mereka nekad mahu menjajah Grahi serta bumi Semenanjung demi menuntut bela di
atas kematian Raja Rama Khamhaeng.
Setiap kali pasukan tentera dari kedua-dua belah pihak bertembung di medan
perang, tentera Siam Sukhothai sentiasa mencabar pahlawan Melayu untuk beradu
ketangkasan satu lawan satu di hadapan kedua-dua angkatan perang. Adruja adalah
individu yang sering dicabar keluar kerana pihak musuh sememangnya berniat mahu
membunuh puteri tersebut demi menuntut bela di atas kematian bekas raja
kesayangan mereka. Setelah pertarungan hebat satu lawan satu berakhir, hanya
Adruja seorang sahaja yang tinggal dengan Kilatan berlumuran darah.
Setelah
sekian lama bertahan dari serangan tentera Siam Sukhothai, akhirnya kerajaan
Grahi dan Kota Grahi jatuh juga pada tahun 1325. Kekalahan tersebut menandakan
bermulanya zaman pencerobohan bangsa Siam (Thai) di bumi Semenanjung Tanah
Melayu.
PELARIAN
PERANG
Kejatuhan
kerajaan Grahi dan ibu kotanya, Kota Grahi telah memaksa Raja Sang Tawal
berundur ke arah selatan. Pengunduran secara besar-besaran itu turut disertai
oleh seluruh kerabat diraja Grahi, para menteri, panglima perang, rakyat jelata
dan juga pasukan khas Seri Wijayamala.
|
Raja Sang Tawal telah membina Kota Mahligai di
Langkasuka
sebagai pusat
pemerintahan yang baharu setelah tumbangnya
Kota Grahi ke
tangan penjajah Siam Sukhothai.
|
Dari
Kota Grahi, Raja Sang Tawal dan rombongan pelariannya telah berundur ke
Merdalong. Setelah tiba di Merdalong, mereka menuju pula ke Sanjura. Ketika di
Sanjura inilah, Raja Sang Tawal telah mengarahkan supaya dibina sebuah kota di
Langkasuka untuk dijadikan sebagai pusat pemerintahan yang baharu.Setelah siap,
kota tersebut diberi nama Kota Mahligai. Raja Sang Tawal dan seluruh ahli
keluarganya telah berpindah ke Langkasuka lalu bersemayam di Kota Mahligai.
Baginda
telah ditabalkan sebagai Raja Langkasuka dan memerintah negeri tersebut selama
10 tahun.Sebelum Raja Sang Tawal mangkat pada tahun 1335, baginda telah
menyerahkan takhta kerajaan Langkasuka kepada salah seorang puteranya iaitu
Raja Bharubhasa. Di bawah pemerintahan Raja Bharubhasa inilah, Langkasuka telah
bertukar menjadi sebuah kerajaan Islam dan semakin ramai penduduknya yang
memeluk Islam.
Pada
masa yang sama, Raja Sang Tawal juga telah menganugerahkan sebuah negeri kepada
Adruja sebagai mengenang jasa puteri kesayangannya itu yang telah berperang
demi tanah air serta mencantas kepala Raja Rama Khamhaeng. Negeri tersebut
diberi nama Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga. SEKIAN DAHULU…J
KREDIT;
sejarahbangsamelayuyanghilang.blogspot.