Jumaat, 30 Disember 2011

BANGSA AUSTRONESIA DAN TANAH BERTUAH EDEN OF THE EAST




Salam. Sudah terlalu lama rasanya tidak menulis, saya ingin meminta maaf kepada para pembaca kerana terlalu banyak hal yang telah menyebabkan saya tidak dapat menulis seketika. Dalam artikel kali ini saya ingin mengetengahkan mengenai Nusantara sebagai Atlantis atau Garden Of Eve yang sering disebut-sebut oleh masyarakat barat . Saya amat yakin bahawa Nusantara adalah tempat yang paling sesuai untuk ciri-ciri yang telah diberikan oleh para cerdik pandai dan pendita tamadun-tamadun dunia sejak beribu-ribu tahun. Sepertimana kebiasaannya yang kita baca dalam epic-epik atau kisah tentang Syurga dunia atau Garden Of Eve, kita sering mendengar bahawa mereka menggambarkan tempat tersebut sebagai sebuah tempat yang beriklim tropika.



Tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang digambarkan mereka juga adalah dari iklim tropika. Oleh sebab itu saya agak sangsi jika atlantis diletakkan di sebelah barat atau lautan atlantik. Pemahaman masyarakat greek terdahulu tentang kedudukan laut yang sebenar juga adalah berbeza dengan pemahaman kita. Masyarakat greek menganggap bahawa lautan atlantik adalah satu-satunya lautan yang terbesar setelah lautan meditranian yang mehgelilingi dunia. Mereka tidak tahu dengan kewujudan lautan Pasifik apatah lagi laut cina selatan. Oleh sebab itu mereka meletakkan atlantis di sebelah barat meditranian.Seperti juga pemahaman masyarakat barat pada zaman gelap dimana mereka menganggap seluruh dunia adalah leper. Ini semua kerana mereka sendiri belum menjelajah lautan tersebut sehinggalah Columbus berjaya menemui jalan ke timur. Sama seperti masyarakat yunani sebelum itu Columbus juga sebenarnya mahu mencari lautan pasifik dan kawasan kepulauan Melayu atau Nusantara dan India dan bukan tujuan asalnya untuk menemui Amerika.



Berbalik kepada perincian masyarakat dunia tentang sebuah syurga  di dunia, tempat misteri ini sering digambarkan dengan tumbuhan-tumbuhan mewangi, kayu kayan yang berbau harum sepreti gaharu dan cendana dan kemenyan yang merupakan sesuatu yang amat berharga kepada mereka ketika itu. Seperti yang kita tahu masyrakat Austronesia adalah masyarakat yang sangat menggemari bau bauan . Buktinya masyarakat di seluruh kepulauan Nusantara sering menggunakan pelbagai jenis bauan ini untuk pelbagai tujuan sama ada perubatan, sihir, atau sebagai pakaian seharian. Bunga-bungaan yang wangi akan dimasak bersama minyak kelapa bagi dijadikan minyak rambut atau minyak urut. Halia, lengkuas kunyit juga digunakan untuk mengubati diri. Bunga-bunga pula dipakai oleh masyarakat ini dalam upacara keagamaan atau ritual dan menghiasi kepala serta dijadikan kalung. Apabila mereka mengembara bersama perahu-perahu mereka yang hebat mereka mengembangkan ilmu wangi-wangian ini kepelusuk dunia.



Masyarakat luar yang tidak pernah menghidu bau-bauan yang sebegitu hebat ini menganggap mereka datang dari tempat yang seakan syurga dibumi, maka berlakulah perdagangan atau pertukaran barang-barang diantara masyarakat Nusantara dengan masyarakat tamadun lain. Siapa tahu berkemungkinan besar sebelum para rahib, pendita, ilmuan India, Yunani dan Mesir Purba menggunakan baun-baun wangi ini, mereka telah berjumpa dengan orang-orang Nusantara dan mempelajarinya dari kita! Ini kerana kesemua bahan-bahan wangian ini berasal dari Nusantara. Malahan hal ini telah dapat dibuktikan oleh sains. Para saintis telah mengesahkan bahawa pokok kemenyan yang terdapat di Afrika dan Yaman juga adalah berindukkan daripada pokok kemenyan dari Nusantara dan telah berevolusi setelah beribu tahun berada dalam kondisi cuaca yang berbeza. Ini bermakna bangsa Nusantara adalah bangsa yang memperkenalkan kemenyan dan lain-lain bauan kepada mereka.



Sebagai contoh dalam kitab Taurat, terdapat ayat yang menceritakan tentang sejenis minyak atau wangian yang telah dikaji oleh saintis. Setelah bertemu dengan para rabbi mereka mendapat maklumat bahawa bahan utama dalam pembuatannya adalah terdiri daripada bahan asas yang sebahagian besar hanya boleh diperolehi dari Nusantara iaitu, kesturi, kayu manis, kulit kayu cassia, serai ( yang sememangnya hanya terdapat di Nusantara)dan lain-lain. Bahan–bahan ini digunakan dalam kuil yahudi bagi membina atau menghadirkan rasa atau perasaan sawai yang membolehkan para rahib bertafakur mengingatkan syurga sebenar, dalam erti kata lain mereka cuba mewujudkan bauan syurga melalui bahan-bahan dunia yang separuh daripadanya berasal dari Nusantara! Kayu gaharu atau depu yang sering digunakan dalam kuil-kuil juga adalah manifestasi syurga didunia yang cuba dicipta oleh imaginasi separa sedar mereka. Kita juga tahu bahawa kapur barus dan halia adalah salah satu daripada bahan yang diturunkan Allah dari syurga seperti yang terdapat dalam Al Quran dan hadis.



Sementelahan melalui kajian terhadap Book Of Enoch para pengkaji sejarah purba membuat kesimpulan bahawa masyarakat purba menganggap bahawa pokok pisang adalah pokok khuldi. Menurut Marco Polo sebahagian mayarakat India yang dijumpainya mengatakan bahawa khuldi yang disebutkan oleh kitab peerjanjian lama adalah pokok pisang. Dalam masyarakat Austronesia terutamanya Hawaii, pisang tidak boleh dimakan oleh perempuan. Mungkin ini ada kaitannya dengan buah khuldi yang dilarang makan oleh Allah SWT di dalam syurga. Dalam masyarakat Melayu pula pisang tidak boleh dimakan bagi perempuan yang memakai susuk dan perempuan yang dalam keadaan tertentu seperti bersalin dan dalam pantang . Selain itu pisang juga dianggap sebagai pokok kehidupan dan kematian. Dalam masyarakat Melayu, dukun dan bomoh selalunya menggunakan batang pisang untuk melakukan penyihiran yang membolehkan seseorang itu dianggap sebagai telah mati. Batang pisang juga digunakan oleh para dukun untuk membunuh musuhnya dengan menjadikan batang tersebut sebagai tumbalnya. Dalam upacara khatan juga batang pisang turut digunakan. Adakah semua ini ada kaitannya?



Pisang juga dikatakan sebagai salah satu tumbuhan yang paling awal ditanam oleh masyarakat Austronesia iaitu lebih kurang 10 ribu tahun dahulu. Oleh sebab itu banyak lagenda yang mengatakan bahawa pisang adalah tanaman dari syurga yang turun bersama Nabi Adam. Namun, walaupun pisang bukan pokok khuldi ,saya pernah mendengar seorang ulama menceritakan bahawa di dalam syurga ada terdapatnya pokok pisang dan bidara. Pokok pisang yang berasal dari nusantara ini juga wujud di negara-negara Afrika terutama Afrika timur. Hal ini kerana pokok pisang telah dibawa oleh para pedagang Nusantara bersama mereka untuk ditanam di destinasi dagangan mereka. Begitu juga dengan pokok kelapa yang menjadi saksi ilmu kelautan dan perdagangan Melayu purba.



Tidak dapat kita nafikan lagi tradisi merantau bahari dan dagang dalam masyarakat Melayu Nusantara sejak beribu-ribu tahun lamanya. Malahan para pengkaji barat memang menyokong kuat teori bahawa kaum Austronesia adalah pedagang yang paling hebat dalam ilmu kelautan sejak beribu-ribu tahun yang lampau. Buktinya dapat kita saksikan apabila para sejarawan dan pengkaji tumbuhan menemui kesan-kesan atau bukti yang menunjukkan bahawa rempah ratus yang terdapat di pantai timur Afrika  bukan tumbuhan tempatan sebaliknya dibawa daripada Nusantara melalui jalan perdagangan. Bukti yang lebih nyata adalah dalam maysarakat yang terdapat di Pulau Madagaskar sendiri dengan terdapatnya masyarakat yang bertamadun tinggi iaitu masyarakat Merina. Namun mengapa kita tidak mengesan nama-nama rempah ratus ini dalam bahasa Austronesia? Hal ini adalah kerana sejak 3500 tahun yang lampau rempah ratus ini selain dibawa terus dari Nusantara ia juga dibawa dari India yang turut mendapatkan rempah ratus ini di Nusantara dan menanamnya disana.

Oleh sebab itu nama rempah ratus yang terdapat di Timur Afrika mendapat pengaruh bahasa India berbanding bahasa Austronesia. Manakala bagi rempah ratus yang datang terus daripada laluan kayu manis atau Nusantara kebiasaanya mempunyai nama yang berpengaruh Austronesia tanpa dipengaruhi bahasa Indic. Dalam teks kuno berbahasa latin dan yunani juga ada disebut tentang suatu perkataan yang dikatakan berasal daripada Nusantara. Perkataan ini sering dikaitkan dengan nama rempah ratus yang berasal dari Nusantara . Menurut ahli bahasa perkataan REX sebenarnya merujuk kepada nama pihak yang menyelenggara atau mentadbir sebuah sistem perdagangan atau dalam erti kata lain ketua atau Raja. Dalam masyarakat Nusantara ada perkataan yang hampir menyamai bunyi ini iaitu Ratu atau Datu yang memang adalah perkataan asli Nusantara atau perkataan bahasa Melayu. Datu juga kebiasaannya mengetuai sebuah kapal atau ekspedisi perdagangan.



Oleh itu dapat di jangkakan bahawa perkataan REX yang banyak terdapat dalam nama rempah ratus yang berasal dari timur ini sebagai ratu natau datu. Mereka adalah raja di laut REX juga boleh disama ertikan dengan RAJA. Namun ahli bahasa juga mengatakan bahawa perkataan REX ini bukan berasal daripada perkataan INDIC sebaliknya perkataan suatu tamadun lain dari timur yang LEBIH TUA. Anda bisa mengangak sendiri apa yang dimaksudkan ahli bahasa tersebut.Tambahan lagi , satu tradisi masyarakat Austronesia yang dapat dikaitkan dengan perdangangan zaman purba ialah tradisi keranda perahu. Amalan ini hanya dapat ditemui dalam masyarakat Mesir purba, Viking dan Austronesia.



Apa yang hebat tentang bangsa Austronesia dan pada masa yang sama juga misterius ialah mengenai bahasanya. Seperti sebelum ini telah banyak artkel kita bincangkan perkaitan bahasa Melayu dengan bahasa Avestan dan Sanskrit. Namun ada yang lebih menarik . Menurut kajian yang dilakukan oleh prof Susumo Ohno dan Shichiro Murayama,mereka mendapati walaupun bahasa Jepun dari segi tatabahasanya lebih mirip kepada bahasa Korea atau Moggolic namun dari segi intonasi dan phonologi bahasa Jepun lebih banyak menyamai bahasa Malayo Polinesia. Solheim percaya bahawa tamadun manusia di utara seperti China , Korea dan Jepun telah bermula dari selatan iaitu dari Nusantara ke atas dan bukannya dari atas seperti teori Yunan dan Taiwan ke bawah. Oleh itu mereka bersepakat mengatakan bahawa budaya Yayoi adalah bawaan dari Nusantara keselatan China dan terus ke Semenanjung Korea dan kemudian ke Jepun . Malahan saya ada menjumpai kajian yang dibuat oleh saintis Korea yang menyatakan bahawa dari segi DNA masyarakat Semenanjung Korea dan Jepun mempunyai trait DNA yang lebih banyak persamaan dengan kaum Nusantara atau Asia Tenggara berbanding China atau Moggolia. Ini adalah suatu penemuan yang mengukuhkan lagi hipotesis bahawa permulaan tamadun timur adalah bermula dari sini!



Banyak lagi teori-teori yang dikaji oleh saintis barat yang menyatakan tentang ada kemungkinan besar berlakunya penghijrahan tamadun dari masyarakat Austronesia ke Yunan dan dari garisan pantai dan terus ke Jepun yang kemudian ke Amerika utara dan selatan. Ini belum lagi termasuk teori tentang asal usul ubi keledek yang memang berasal dari kawasan Nusantara dan dibawa ke Amerika selatan. Tambahan lagi kajian menunjukkan budaya Jomon juga dipengaruhi oleh budaya Nusantara atau Austronesia iaitu budaya maritime. Jumpaan artifak maritime seperti serampang ,jala dan serpihan tembikar yang sama rekabentuknya dengan di Nusantara mengukuhkan lagi teori Jomon-Nusantara ini.



Dalam tradisi masyarakat tamadun Aztek dan Mayan pula, mereka percaya mereka berasal dari tempat yang bernama Aztlan yang telah dimusnahkan oleh gunung berapi dan tenggelam. Mereka berpindah menggunakan perahu. Aztlan ini dipercayai adalah Atlantis dan Atlantis tersebut adalah tak lain tak bukan Nusantara atau Sundaland. Selain daripada membawa tamadun Nusantara atau Sundaland, masyarakat Austronesia juga dikatakan membawa ayam( bukan haiwan pribumi Amerika terutama Ayam Hitam yang hanya dapat diperolehi di Nusantara dan diketahui dalam perubatan Melayu sebagai banyak khasiat) , anjing dan budaya cacah atau tattoo.



Dalam tamadun Korea , Jepun, Amerika selatan dan juga tradisi masyarakat pasifik serta pribumi Nusantara, ada satu kesamaan yang lain iaitu amalan meletakkan TOTEM sebagai lambang nenek moyang. Reka bentuk totem yang terdapat di Rapanui dan di Amerika Selatan serta di Amerika Tengah juga adalah sama seperti dalam tradisi di Nusantara. Apakah makna semua ini?? Mereka semua mempunyai kedudukan tangan yang sama dan memakai sejenis topi atau mahkota yang seakan-akan sama. Satu lagi persamaan antara tamadun-tamadun hebat ini adalah tentang lagenda naga mereka. Setiap tamadun ada naga mereka yang tersendiri. Saya rasa tidak perlu saya ulangi apa kepentingan simbol naga dalam masyarakat Melayu Nusantara kerana telah disebut banyak kali oleh Srikandi dalam artikel beliau.



Zaman dimana padi mula diperkenalkan di tempat-tempat tertentu seperti di Taiwan dan Korea juga mempunyai misteri yang tertentu. Hampir kesemuanya bertepatan dengan masa berlakunya letusan-letusan gunung berapi besar seperti Pinatubo Arayat dan Toba. Ini mengukuhkan lagi teori penghijrahan selatan ke utara oleh Solheim. Pemakaian subang besar yang bergayutan atau yang menyebabkan lubang menjadi besar juga diamalkan di Amerika dan juga di Nusantara! Ini belum termasuk pembinaan bangunan berbentuk pyramid tangga yang diamalkan oleh seluruh masyarakat di Nusantara dan di Amerika Selatan dan tengah seperti Aztek dan Mayan serta di Tahiti dan Indonesia.


Daripada perbincangan diatas apa yang dapat saya simpulkan adalah hipotesis yang cuba meletakkan benua atlantis yang telah lenyap itu di Nusantara adalah berasas. Segala bukti dan petunjuk telah dibentangkan dari sudut anthropologi, geologi, geografi, sejarah, sosiologi, bahasa dan DNA. Apa yang tinggal untuk kita adalah membantu usaha-usaha murni pihak-pihak yang bertungkus lumus mencari bukti-bukti tersebut dengan mencari maklumat-maklumat tambahan dan melakukan perkongsian ilmu mengenai penemuan mereka dengan rakan-rakan dan saudara mara anda terutama dari kalangan rumpun Melayu Nusantara. Jika tidak dapat dibuktikan sekalipun sekurang-kurangnya kita tidak dituduh sebagai bangsa pemalas yang hanya mengharapkan bantuan bangsa lain untuk mengkaji sejarah sendiri. Malu rasanya jika ini berlaku. Sekian, wallah hu a’lam.