Jumaat, 21 Januari 2011

JAWAKA


Keris Tanjong atau Pekaka adalah salah satu warisan misteri Empayar Jawaka. Senirekanya boleh saya katakan sebagai antara yang tercantik dikalangan keris-keris di Nusantara.



Assalamualaikum kepada para pembaca. Artikel saya kali ini akan cuba untuk memberikan sedikit sebanyak penjelasan tentang sebuah empayar yang dinamakan oleh orang–orang Arab sebagai Zabag atau Zabaj. Tidak diketahui secara tepat sejak bila orang-orang Arab mula mengenali sebuah kerajaan yang bernama Zabag ini. Namun demikian antara catatan terawal yang dijumpai menyebut nama Zabag adalah catatan daripada Ibnu Khordadzbeh sekitar tahun 844-848 M. Menurut beliau pemerintah Zabag disebut sebagai Maharaja, dan kekuasaanya meliputi pulau-pulau di seluruh lautan timur. Hasil negerinya adalah berupa kapur barus dan gajah banyak terdapat disana. Tambah beliau lagi, daripada catatan pengembara dikatakan bahawa di Zabag ada seekor ular besar yang tinggal di kawasan gunung yang boleh menelan kerbau mahupun manusia malahan ada diantaranya boleh menelan seekor gajah. Beliau juga ada menyatakan tentang proses pemerolehan kapur barus daripada pokoknya dari mula sampai akhir.



Pada tahun 851 masihi pula seorang saudagar yang bernama Sulaiman telah menyebutkan tentang pelayaran beliau ke kawasan timur. Beliau menyatakan bahawa kapalnya telah berlabuh di sebuah negeri bernama Kalah Bar yang diperintah oleh seorang raja seperti halnya Zabag. Dikatakan juga di Zabag terdapat sebuah gunung berapi yang sentiasa bergelodak. Pada tahun 902 M berita tadi diulangi oleh Ibnu Al Fakeh yang menyatakan bahawa Zabag dan Kalah Bar dikuasai oleh seorang raja. Barang dagangannya terdiri daripada cengkih, buah pala, kayu cendana dan kapur barus. Rajanya disebut sebagai Maharaja dan baginda sangat kaya. Pelabuhannya yang besar salah satunya adalah Fansur atau panchur.



Daripada Ibnu Rosteh tahun 903 M pula dinyatakan bahawa Maharaja Zabag adalah Maharaja yang paling kaya malahan lebih kaya daripada mana-mana raja di seluruh India sedangkan Abu Zyad menyatakan bahawa setiap hari Maharaja melemparkan segumpal emas kedalam kolam dekat istananya. Kolam ini dikatakan berhubung dengan laut yang menyebabkan airnya menjadi payau. Menurut beliau lagi, Raja Zabag menguasai banyak pulau-pulau, antaranya Sribuza Dan Rami. Kalah juga milik baginda. Al Masudi pada tahun 955 menyatakan bahawa, Maharaja Zabag menguasai banyak pulau-pulau, diantaranya ialah Kalah Dan Sribuza. Rakyatnya banyak sedangkan tenteranya tidak terhitung dengan perahu tercepat sekalipun, orang tidak akan dapat mengelilingi pulau-pulau ini dalam masa dua tahun. Maharaja Zabag dikatakan juga mempunyai lebih banyak minyak wangi dan bahan-bahan berbau harum daripada yang dimiliki oleh raja-raja lain. Hasil daerahnya berupa kapur barus, cengkih, kayu gaharu, kayu cendana, Pinang, pala, pulaga, dan lada hitam. Pelayaran dari Siraf dan Oman dikuasai laluannya oleh raja ini. Fansur menghasilkan kapur barus sedangkan Kalah dan Sribuza ada tambang emas dan timah.


Catatan Ibnu Said menyatakan bahawa kepulauan Zabag sangat mashur dikalangan para pedagang, dan pulau yg terbesar sekali dalam Zabag adalah pulau Sribuza yakni Sumatera. Hal ini bermakna Zabag bukanlah berada di Sumatera. Namun yang menjadi persoalan adalah Zabag sering disebut oleh para pengembara Arab dab georafis sebagai sebuah pulau. Dan ini amat membingungkan sesetengah sarjana yang mahu meletakkan Zabag di Semenanjung atau tanah besar. Namun sebenarnya kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada maklumat yang diperolehi daripada catatan Arab ini. Hal ini kerana kebanyakan daripada maklumat ini adalah maklumat sekunder yang diperolehi daripada khabar-khabar berita para pedagang yang kemudian dibukukan.



Sebahagian besar sejarawan berpendapat bahawa Zabag adalah sama dengan Srivijaya dan bukan nama sebuah kerajaan yang berbeza, sebaliknya hanyalah variasi panggilan nama kerajaan Srivijaya dikalangan para pedagang Arab. Namun ini tidak dapat menjelaskan asal kata Zabag yang sebenar kerana ia terlalu jauh untuk disamakan dengan Srivijaya. Malahan Srivijaya sudah ada panggilan Arabnya sekitar kurun ke 10 iaitu Sribuza atau Syarbazah namun pada masa yang sama Zabag masih disebut oleh para pengembara Arab dan timur tengah yang lain sebagai sebuah kerajaan. Sebenarnya istilah Zabag berasal daripada kata Javaka atau Jawaka. Para pedagang Arab telah mendengar nama ini daripada para pedagang India yang menyebut kerajaan ini sebagai Savaka atau Savak yang sedikit berbeza dengan sebutan bahasa Sanskrit iaitu Javaka. Dijangkakan bahawa Savaka adalah sebutan dalam bahasa Prakrit. Daripada Savak ini maka terjadilah perubahan sebutan dengan lidah Arab menjadi Zabag. Javaka adalah nama sebuah empayar kuno Melayu yang wujud di Nusantara sebelum kewujudan Srivijaya lagi. Namun terus terang saya katakan bahawa saya masih belum menjumpai sebarang sumber yang solid untuk meletakkan dimanakah sebenarnya Zabag. Namun saya yakin bahawa kerajaan ini memang wujud suatu ketika dahulu.



Sebelum ini sudah saya nyatakan dalam artikel saya berkenaan serangan orang Melayu terhadap Sri Lanka bahawa Chandrabanu adalah salah seorang raja Javaka yang telah berjaya membina sebuah dynasti disana. Raja ini adalah dari kerajaan Tambralingga, Sridhammaraja yang selama ini memang digelar sebagai Javaka. Hal ini kerana kerajaan Tambralingga dikatakan sebagai pewaris empayar Javaka yang pernah wujud sebelum itu. Raja Javaka juga disebut dalam catatan pengembara Arab bernama Sulaiman yakni yang telah memenggal kepala Raja Kemboja yang dikatakan adalah raja dari dinasti Saylendra, kerana memang ada catatan daripada prasasti di Champa dan Kemboja yang menunjukkan bahawa pernah ada tentera Chaeva yang menyerang dan memusnahkan kuil mereka. Adakah raja-raja sailendra berasal dari Javaka? Atau sebenarnya mereka adalah pemerintah sebenar kerajaan Javaka? Sesetangah sejarawan percaya bahawa dinasti Sailendra berasal daripada Indochina yang kemudiannya terpaksa berpindah ke Tanah Jawa apabila Indochina mula dikuasai orang Khmer yang menubuhkan kerajaan Chenla. Ada pula yang berpendapat mereka berasal dari India. Namun saya lebih bersetuju dengan pendapat yang pertama, cuma saya tidak bersetuju mereka terus ke Jawa dari Indochina, sebaliknya mereka ke Semenanjung dahulu dan kemudian ke Sumatera dan setelah itu barulah mereka bertapak di Kerajaan Medang di Jawa.



Hal ini kerana ada ciri-ciri Melayu yang amat kuat dalam dinasti ini berbanding ciri India atau Jawa. Antaranya ialah gelaran Dapunta. Sebahagian besar sejarawan bersepakat mengatakan bahawa gelaran dapunta ini adalah gelaran asli Melayu. Ini bermakna dinasti Sailendra bukanlah dinasti Khmer mahupun Jawa, sebaliknya adalah Melayu kerana salah seorang rajanya di dapati bergelar Dapunta Sailendra. Malahan sebenarnya dinasti Sanjaya yang dibangga-banggakan oleh masyarakat Jawa juga sebenarnya adalah berasal daripada dinasti Melayu. Mengapa saya berkata demikian? Kerana kita dapat lihat daripada gelaran yang digunakan oleh raja-raja Sanjaya seperti Sri Maharaja Rakai Panangkaran, Sri Maharaja Rakai Panunggalan, Sri Maharaja Rakai Warak, dan Sri Maharaja Rakai Garung. Gelaran Sri Maharaja adalah gelaran yang juga berasal daripada gelaran lumrah bagi dinasti-dinasti Melayu dan bukan dinasti Jawa yang dapat kita lihat dalam kerajaan-kerajaan Jawa pada abad-abad selepas itu. Nama Dapunta Sailendra sendiri jelas merupakan ejaan Melayu dari bahasa Sanskrit kerana di dalam prasasti digunakan bahasa Melayu Kuno. Jika demikian, kalau keluarga Sailendra berasal dari India Selatan atau Jowo tentunya mereka memakai bahasa Sanskrit di dalam prasasti-prasastinya atau bahasa Jowo dan bukan bahasa Melayu!



Dengan ditemukannya prasasti Sojomerto maka telah diketahui asal keluarga Sailendra dan siapa sebenarnya Dapunta Selendra yang disebut dalam prasasti itu. Berdasarkan paleografinya, prasasti Sojomerto berasal dari sekitar pertengahan abad ke-7 Masehi ini bertepatan dengan tarikh permulaan kegemilahan empayar Srivijaya. Namun persoalannya masih sama. Dimanakah bermulanya sebuah kerajaan yang bernama Zabag atau Jawaka? Adakah semasa dinasti Sailendra ini berkuasa di Indochina seperti di kerajaan Funan , atau sebenarya ia lebih tua dari kerajaan Funan? Saya beranggapan bahawa ia memang bermula di Funan, sama ada Funan dan Zabag adalah kerajaan yang sama atau Funan sebenarnya berada di bawah kekuasaan Zabag, wallah hu a’ lam, kajian yang lebih mendalam perlu dijalankan. Mungkin ada yang mahu memberi pendapat yang berbeza, dipersilakan.



Saya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan. Jika teori Cik Sri yang mengatakan bahawa dari Indochina mereka bermukim di sekitar Kelantan dan membuka kerajaan di situ sebelum ke Sumatera, ini bermakna kita dapat camtumkan puzzle dan teka-teki mengapa terlalu banyaknya persamaan di antara budaya penduduk Kelantan dengan Jawa. Dari kain batik, bahasa, wayang kulit, Keris, adat istiadat, baju kebaya, kain kemban, alat-alat muzik dan nama-nama tempat yang saling tak tumpah seperti di Jawa! Apa maknanya ini tuan-tuan sekalian? Ini bermakna dinasti Sailendra dengan para menteri atau budayawan dari Medang kawulan Kelantan telah membawa segala jenis bentuk budaya yang mereka bina sejak berkurun-kurun turun ke Sumatera dan kemudian ke Tanah Jawa. Namun yang pasti dalam lagenda Aji saka, memang dinyatakan dengan jelas bahawa beliau berasal dari luar tanah Jawa.



Jadi sebenarnya di manakah Zabag yang dikenali oleh orang–orang Arab sekitar kurun ke 8 hingga sepuluh Masihi tersebut? Naluri sejarah saya menyatakan ia terletak sekitar Semenanjung atau lebih tepat di Utara Semenanjung dari Kelantan hingga ke segenting Kra. Inilah seat of power Zabag semasa kegemilangan kerajaan Srivijaya. Zabag adalah Srivijaya di tanah besar manakala Srivijaya di palembang menguasai pulau. Jadi Srivijaya adalah ‘anak’ kepada Zabag dan bukan sebaliknya. Sebab itu pengembara Arab sering menyebut bahawa Maharaja Zabag adalah raja Kalah dan Sribuza. Kerana Maharaja Zabag adalah Yang dipertuan Agong. Raja-raja bawahan seperti di Kedah,Palembang, Malayu, Langkasuka dan Jawa memerintah di bawah naungan Maharaja Zabag atau Jawaka. Apabila berlakunya krisis dalam dinasti Sailendra maka empayar Jawaka berpecah menjadi dua. Satu di Semenanjung dan satu lagi di Sumatera. Lama-kelamaan dinasti di Sumatera menjadi semakin kuat dan menguasai kawasan yang sebelum ini dikuasai Jawaka.



Sayogia anda akan jumpa sebuah tempat yang bernama Jawakotti di Kelantan. Untuk pengetahuan anda juga sebenarnya wujud sebuah nama tempat yang sama di Sri Lanka iaitu Javakotte. Malahan banyak nama tempat di utara Sri Lanka di daerah Jaffna yang bermula dengan Jawa atau Java. Sejarawan Sri Lanka berpendapat nama tempat ini wujud disebabkan oleh penguasaan dinasti Jawaka di bawah Chandrabanu dari Tambralingga. Saya beranggapan Chandrabanu sebenarnya adalah titisan daripada kerajaan Jawaka yang telah dikuasai Srivijaya. Beliau cuba menaikkan semula prestij kerajaan Jawaka yang telah tenggelam di bawah Srivijaya dengan membina dinasti baru di Sri Lanka. Sebab itu dia berani cuba membebaskan diri daripada Srivijaya dan meminta pertolongan kaum kerabatnya di Indochina atau di Angkor. Ini bukan pertama kali Jawaka cuba untuk bangun semula setelah dikuasai Srivijaya laut. Sebelum itu Suryavarman pernah meminta bantuan Chola untuk memebaskan Kra daripada pengaruh Srivijaya. Jika kita perhatikan sejak dari awal lagi bahawa Malay city state di sekitar utara semenanjung adalah negeri-negei yang sentiasa ingin bebas. Mengapa? Kerana mereka adalah Jawaka yang asal.



Apa yang dapat saya simpulkan ialah Zabag atau Jawaka yang disebut oleh Ibnu Said, AL Mas’udi dan Ibnu Khurdabieh itu sebenarnya bukanlah Jawaka yang sama seperti mana yang asal. Apa yang saya maksudkan adalah Jawaka yang asal pada zaman tersebut telah pun digantikan dengan kerajaan Srivijaya. Mengapa ini berlaku? Sebenarnya para pencatat Arab ini mendapat sebahagian maklumat tentang kerajan Jawaka atau Zabag ini daripada cakap-cakap dan khabar berita daripada para pengembara dan pedagang yang berdagang dengan Jawaka atau Nusantara. Para pedangang dan peniaga ini datang dengan hanya satu tujuan iaitu untuk mengaut keuntungan hasil perdagangan mereka dan memastikan agar kargo mereka penuh. Mereka bukanlah seorang duta khas yg duduk di istana pada setiap pertemuan balai diraja untuk mengetahui percaturan dan pasang surut politik dan krisis dinasti yang berlaku dalam empayar Jawaka yang mereka singgahi.


Pada zaman kegemilangan Jawaka atau Zabag, nama kerajaan itu sudah pasti sangat terkenal dan masyhur sehingga menjadi sebutan para pedangang dan ibu kotanya juga pasti adalah salah satu daripadat pelabuhannya. Namun apabila Zabag telah diganti dengan Srivijaya, kemasyhuran nama Zabag atau Jawaka tersebut masih kekal kerana masyarakat pedagang seluruh dunia purba selama ini menggelar semua penduduk yang berada di bawah empayar tersebut sebagai orang Zabag, Jawaka, Javaka, Savaka, Sabeth, Zapech, Sabak, Jabak, dan sebagainya. Oleh sebab itu walaupun empayar Jawaka telah terpecah menjadi kerajaan-kerajaan yang berlainan, namun orang luar tetap kenal dengan nama Zabag dan menggelar orang Melayu sebagai orang Zabag yang kemudian berevolusi menjadi Al Jawwah atau orang Jawi.



Saya juga ingin menyentuh tentang claim yang sering dibuat oleh sebahagian daripada Indonesian yang pernah saya jumpa. Mereka sering menyatakan bahawa Bani Jawi adalah istilah khas orang Arab kepada mereka. Kenyataan ini ternyata salah sama sekali! Buktinya sangat jelas. Jika kita pergi ke Makkah atau Madinah kita boleh jumpai ramai orang Nusantara baik Melayu, Minang, Jawa, Banjar atau Aceh. Mereka juga membina perkampungan masing-masing. Namun orang-orang Arab tetap menggelar mereka dalam kelompok Bani Jawi walaupun ada diantara mereka tahu bahawa Nusanatara ini terdiri daripada pelbagai suku dan bahasa yang berbeza-beza. Mengapa? Kerana prestij kerajaan Zabag ! Selama lebih dari 2000 tahun prestij kerajaan Zabag atau Jawaka tidak pernah luntur sehinggalah Melaka mengambil alih. Walaupun Srivijaya telah menguasai jajahan Jawaka sebelum ini tetapi tidak pula penduduknya dinamakan orang Srivijaya atau Bani Sribuza? Namun sehingga sekarang istilah Bani Jawi itu masih lekat di bibir dan minda mereka. Cuba anda banyangkan betapa hebatnya prestij empayar Melayu tersebut.



Adakah anda pernah mendengar sebuah kerajaan yang bernama Kerajaan Jowo wujud di Pulau Jawa. Setakat yang saya tahu tidak ada lagi sebuah kerajaan purba yang dinamakan kerajaan Jawa wujud ditanah Jawa. Walhal kita dapat jumpa beberapa nama tempat dan kerajaan yang bermula dengan Jawa di Sumatera malahan Semenanjung! Di Sumatera dalam catatan Eropah dan cerita lisan penduduk tempatan pernah wujud sebuah kerajaan kecil bernama Tanah Jawa. Di Kelantan ada Jawakotti di Sri Lanka ada Javakotte dan Javakacherri. Semuanya merujuk kepada Jawa yang mana? Sudah tentulah Jawaka. Sebab itu saya menolak andaian sebahagian orang Indon (maaf jika orang seberang menganggap ini kasar kerana bagi kami ia tidak, ianya sama seperti anda memanggil kami Malay yang merupakan satu singkatan sahaja dan bukan penghinaan) yang menyatakan bahawa bani Jawi adalah merujuk kepada mereka.


Penguasaan Srivijaya Ke Atas Mandala Jawaka

Sekarang kita sudah tahu bahawa sebelum ini istilah Zabag diberikan oleh orang Arab yang merujuk kepada realm kekuasaan Empayar Jawaka di seluruh Nusantara. Pada kurun kesepuluh masihi barulah kita dapat menjumpai catatan pengembara dan georgrafis Arab menyebut sebuah kerajaan yang bernama Sribuza yakni Srivijaya. Namun catatan ini masih menyebut bahawa Zabag masih wujud dan Sribuza atau Srivijaya adalah dibawah pengaruh Zabag. Saya berpendapat pada zaman ini sememangnya Srivijaya telah menguasai seluruh bekas jajahan Zabag cuma para pengembara Arab terkeliru dengan perubahan dinasti yang berlaku seperti yang telah saya terangkan sebelum ini. Pada masa ini Zabag sebagai sebuah tempat atau Kota memang masih wujud, namun Zabag sebagai sebuah Empayar telah digantikan oleh Srivijaya. Orang Arab mungkin keliru yang mana satu nama kerajaan dan yang mana satu nama pusat pemerintahan. Maka disangkakan bahawa pada kurun ke 10 Empayar Zabag masih wujud padahal Srivijaya telah menggantikannya. Ini terjadi kerana Empayar Srivijaya menguasai kawasan yang sama dengan kawasan empayar Zabag. Kota Zabag sebelumnya mungkin pada zaman Srivijaya telah dikekalkan sebagai salah satu pelabuhan penting, yang memberi gambaran bahawa kerajaan Zabag atau Jawaka masih berkuasa.



Pada tahun 303 sebelum masihi lagi telah ada disebut mengenai sebuah negeri bernama Suvarnadbhumi dan Yawadwipa, namun lokasinya kurang jelas dan kadang kala bertukar diantara satu sama lain. Ada pihak yang berpendapat bahawa inskripsi Kota Kapur yang terpahat mengenai Srivijaya yang ingin menakluk Bhumi Jawa yang tidak menyembahnya adalah Pulau Jawa atau Kerajaan Taruma. Namun ada juga sejarawan yang berpendapat bahawa Jawa yang dimaksudkan adalah Semenanjung Tanah Melayu atau lebih tepat lagi di Kra dimana memang wujud banyak kerajaan-kerajaan penting yang hampir sama kuat dengan Srivijaya suatu ketika dahulu seperti Kalaha, Langkasuka dan Tambralingga yang memang sentiasa ingin memberontak. Jika benar bermakna prasasti tersebut menunjukkan bahawa Srivijaya ketika itu telah cukup kuat untuk menawan semula bekas big bossnya iaitu Jawaka. Namun ini hanya pendapat saya.



Sebenarnya daripada catatan Arab juga ada di dapati longitude dan magnitude kerajaan Zabag yang membolehkan kita menjangka dimana letaknya. Menurut sarjana yang mengkaji catatan tersebut, setelah diteliti dan dianalisa kedudukannya, ia adalah hampir kepada kawasan utara semenanjung Tanah Melayu atau lebih tepat lagi disekitar Segenting Kera. Jika ini benar bermakna Zabag yang sebelum ini sangat gah di bibir mereka berpusat di Semenanjung seperti telahan saya sebelum ini. Kenyataan ini disokong oleh Prof Majumdar yang menyatakan bahawa pusat awal Kerajaan Jawaka atau menurutnya Srivijaya awal bukan bermula di Sumatera tetapi di Semenanjung atau lebih tepat lagi di sekitar utara Semenanjung. Ini bertepatan dengan dakwaan orang Sri Lanka yang menyebut bahawa Chandrabanu iaitu Raja kerajaan Tambralingga yang berada di Segenting Kra atau lebih tepat lagi di wilayah Ligor atau Nakorn Sithammarath sekarang adalah serorang Raja Javaka.



Lebih menggemparkan lagi ,seorang sarjana lain iaitu Moens memberikan pandangan bahawa pusat awal Srivijaya pada kurun ke 7 adalah di Semenanjung atau lebih tepat di Kelantan malahan menurut beliau negeri yang di kunjungi oleh I ching untuk mmepelajari kitab Sanskrit tersebut adalah di Kelantan dan bukan di Sumatera atau Palembang. Menurutnya ketika itu Palembang masih belum menjadi sebahagian daripada mandala Srivijaya. Hal ini ada asasnya kerana 12 tahun setelah I ching melawat Srivijaya barulah seorang raja daripada sebuah kerajaan misteri telah menawan Minanga Tamwan dengan 20 ribu orang tentera! Namun demikian pendapat Prof Majumdar dan Moens ini kurang popular dan tidak mendapat liputan meluas oleh para akademis baik di Indonesia mahupun di Malaysia kerana dikatakan bahawa teori mereka banyak kecacatan dan lompang yang harus di tutup. Saya akui bahawa memang teori mereka memang masih banyak lompangnya, namun kenyataan mereka tentang permulaan Srivijaya yang bermula di Semenanjung sekurang-kurangnya memberikan harapan dan sedikit rujukan untuk kita melakar kembali sejarah Jawaka yang sebenar.



Ibnu khurdazbeh juga ada mencatat di dalam kitabnya tentang nama-nama Raja Al Hind. Pada zaman dahulu Al Hind bukan bermaksud India sahaja tetapi termasuk Nusantara yang kemudiannya digelar orang barat sebagai Greater India atau East Indies. Dalam salah satu nama raja tersebut ada raja yang bernama Raja Jaba yang digelar Kings Of The Island atau Raja Kepulauan. Namun dalam senarai yang sama ada disebut Raja Zabaj dan seorang lagi bergelar Maharaja iaitu Raja Laut Timur. Jadi di sini terdapat 3 orang pemerintah daripada Nusantara yang masih tidak di ketahui samaada orang yang sama atau memang berlainan. Namun yang jelas bahawa Maharaja Laut Timur adalah gelaran khas kepada Raja-Raja Melayu yang pernah memerintah Nusantara tak kira dari dinasti apa pun. Mungkin yang berbeza disini adalah gelaran sahaja tetapi orangnya adalah sama.



Seperti kebiasaan raja-raja melayu yang memang mempunyai gelaran yang panjang dan berbeza. Dalam catatanya juga ibnu kuraidazbeh ada menyatakan tentang keadaan Zabag dimana wujud orang yang gelap dan kecil yang tinggal di pedalaman manakala puak yang kulitnya lebih cerah hidup di pantai dan menjalankan perdagangan dengan pedagang luar. Al Idrisi dalam catatannya ada menyatakan mengenai sebuah pulau yang pelabuhannya bernama Qamar. Sejarawan pada awalnya menyamakan Qamar ini degan Khmer. Namun ianya adalah kurang logik sebab Al Idrisi dengan jelas menyatakan bahawa negeri Qamar ini terletak di sebuah pulau selepas pulau Sri Lanka, dan Kemboja pula bukan sebuah pulau dan bukan juga terletak selepas Lanka.



Dikatakan bahawa rajanya pada suatu masa adalah seorang perempuan yang dihiasi dengan pelbagai perhiasa emas. Catatan Al Idrisi ini adalah semasa mandala Srivijaya sedang melemah dan kerajaan Malayu menguasai Srivijaya dan mengambil alih pemerintahan ke Kota Malayu di Jambi. Sarjana berpendapat bahawa Qamar dan masyarakat matrilinielnya adalah masyarakat Kampar atau Minang dan kerinci yang memang di kawasan tersebut sangat banyak dengan emas. Boleh jadi pelabuhan itu adalah Kampar. Catatan Al Idrisi seterusnya dapat memperjelaskan lagi dakwaan ini apabila beliau menyatakan Raja Qamar Tinggal di ibu kota yang bernama Malayu. Masyarakat Qamar dikatakan memakai pakaian terbaik dari China dan Iraq dan ada dikalangan penduduknya yang mengaku berketurunan Turki. Berbanding dengan catatan Arab awal yang lain Al Idrisi ada memberikan diskripsi yang sedikit mendalam mengenai raja Jaba atau Zabag. Menurutnya Raja Jaba Al Hind memakai mahkota menjulang yang diperbuat daripada emas dan seorang penganut Buddha yang taat. Dalam kerajaannya banyak kuil-kuil dan patung daripada emas.



Selain daripada sumber Arab kita juga boleh merujuk sumber dari bangsa lain untuk merangka kedudukan kerajaan Jawaka. Dalam tulisan Ptolemy ada disebut beberapa buah negeri atau pulau berdekatan Golden Chersonese, antaranya adalah Labadieu, Sabadibae dan Zabag. Catatan Yunani ini adalah catatan yang tertua sekali malah lebih tua daripada catatan Arab yang telah saya sebut sebelum ini. Ini memberikan gambaran bahawa sebuah negeri yang bernama Zabag atau Jawaka sememangnya telah wujud lebih lama dariapda Srivijaya. Waruno Mahdi seorang sarjana, ada menyatakan tentang teori kerajaan Jawaka ini. Walaupun beliau mengakui bahawa kita tidak sepatutnya menyamakan Yawadipa yang dimaksudkan dalam Ramayana atau Zabag catatan Arab itu dengan Pulau Jawa namun beliau tidak meletakkan Jawaka di Semenanjung ,sebaliknya di Sumatera iaitu di lembangan sungai Batanghari. Namun hal ini masih diperdebatkan kerana masih tidak dapat ditemukan sebarang bukti kukuh mahupun nama tempat yang boleh dikaitkan dengannya.



Dalam Catatan Cina pula ada menyebut tentang sebuah kerajaan atau empayar beratus tahun sebelum wujudnya Srivijaya. Menurut catatan itu pada tahun 132 masihi duta daripada negeri Ye Tiao yang ditafsirkan sejarawan sebagai sebutan orang Cina bagi Yavadwipa yang bermakna Sumatera dan bukan Pulau Jawa datang ke istana Cina. Catatan pada tahun 240-252 ada menyatakan tentang sebuah negeri yang bernama Cu-Po atau Cu-Bak yang berasal dari sebutan Shu Bak yang bermakna Zabag atau Jawaka. Sarjana menyangkakan bahawa sekitar pada zaman inilah berlakunya penjelajahan oleh orang-orang dari Jawaka ke Malagasi. In kerana terdapatnya kesan-kesan bahasa Melayu Kuno dalam bahasa Malagasy.



Pada tahun 410 di Iraq semasa empayar Selucied catatan mengenai Majlis Synod Of Isaac yang membincangkan mengenai Agama Kristian ada menyebut tentang sebuah metropolitan yang bernama Dabag, Cin dan Macin. Empat tahun kemudian Fa Sien seorang Sami dari Cina ada singgah di sebuah negara yang dipanggil Ye Po Ti. Daripada diskripsi yang diberikan beliau , Yepo Ti bukanlah Pulau Jawa sebaliknya berada di Sumatera atau Semenanjung. Yepoti bermaksud Yavadipa. Dalam syair Tamil Manimenggalai ada menyebut tentang sebuah kota yang bernama Naga Puram iaitu Kota Naga di sebuah negara yang bernama Savakanadu yang bermaksud tanah orang Jawaka. Al Idrisi menyatakan bahawa sejak dahulu lagi orang dari Zabag dan Kerajaan Maharaja berlayar dan berdagang dengan orang Madagaskar dan memahami bahasa masing-masing, penduduk zabag juga berdagang di Sofala iaitu di Afrika Timur dekat Mozambiq malahan sebuah negeri beranama wakwak berdekatan Zabag pernah menyerang Sofala.



Tambahan lagi inskripsi yang ditemui di Campa dan catatan sejarah Daiviet tidak pernah membezakan diantara serangan dari Sumatera atau Semenanjung dengan dari Pulau Jawa dan mereka semua dipanggil dengan gelaran Cheva. Dalam catatan Parsi pula ada dinyatakan bahawa di negara Zabag terdapat sebuah gunung berapi yang sentiasa berasap dan mengeluarkan lanar, dan dibawahnya ada air tawar yang sentiasa diambil oleh para pelayar. Seperti yang kita tahu memang Nusantara mempunyai banyak gunung berapi. Di Sumatera ada gunung Merapi dan Di Jawa juga ada begitu juga Pinatubo di Luzon. Namun yang mana satu berada didalam jajahan Zabag. Sesetengah sarjana berpendapat gunung yang dimaksudkan adalah Pinatubo. Namun ianya jauh daripada lautan dan mustahil untuk mendekatinya.



Teori ini dikemukankan oleh sarjana Filipina bagi meletakkan Zabag di sana, namun pendapat yang saya lebih cenderung adalah yang mengatakan bahawa gunung itu adalah Karakatoa yangg terletak di Selat Sunda dan gunng ini adalah antara yang teraktif di Nusantara malahan pernah meletuskan letupan yang maha besar suatu ketika dahulu. Gunung ini juga mudah untuk di lihat melalui kapal dan didekati kerana ia berada di tengah laut berbanding Pinatubo atau Merapi yang berada di pedalaman, jadi ia adalah lebih munasabah. Mungkin ada yang akan mempersoalkan bahawa gunung itu terlalu jauh dari Semenanjung, sedangkan catatan tersebut menyatakan ia berada di Zabag. Sebenarnya penerangannya sama sahaja seperti sebelum ini. Orang Arab menggunakan istilah Zabag bagi melambangkan perimeter kekuasaan mandala Jawaka. Oleh kerana selat sunda berada di dalam mandalanya maka ia disebut berada dekat Zabag.



Daripada perbincangan yang panjang lebar diatas hasil daripada telaah saya terhadap kajian-kajian para sarjana terdahulu, maka dapat saya simpulkan bahawa, sememangnya wujud sebuah kuasa atau empayar besar yang bernama Jawaka atau Zabag suatu masa dahulu yang di warisi kegemilangannya oleh kerajaan Srivijaya. Tentang dimana dan bila bermulanya empayar ini masih lagi menjadi persoalan yang tergantung dan didebatkan oleh para ilmuan dalam bidang berkenaan. Dapat saya tegaskan juga mengenai pendapat saya bahawa Zabag bukanlah merujuk khusus kepada Pulau Jawa sahaja. Namun ianya adalah merujuk kepada seluruh nusantara barat iaitu Sumatera, Semenanjung dan Jawa. Mungkin pusat kerajaan Jawaka kuno sebelum Srivijaya terletak di Indochina, Utara Semenanjung, atau pun Sumatera. Kajian lanjut haruslah dilakukan untuk memastikan kebuntuan ini terlerai dan dapat menyelesaikan teka-teki mengenai kerajaan Melayu purba yang amat misteri ini.


~Al Semantani

Ahad, 9 Januari 2011

HUBUNGAN SRIVIJAYA DENGAN PARSI, KHILAFAH DAN KINGDOM OF PRESTER JOHN






Salam,dalam artikel ini kita akan lihat sebesar mana dan sejauh mana pengaruh Srivijaya dalam lembaran sejarah dunia. Bukanlah tujuan saya untuk berlebih lebihan dalam memaparkan sejarah Srivijaya. Namun demikian semua kenyataan saya dalam artikel ini bukanlah didapati dari mimpi, wasiat tok nenek atau alamat ghaib, tetapi sebaliknya ada sokongan daripada sumber-sumber dari kajian yang telah dibuat oleh sejarawan tempatan dan luar. Mungkin ada yang akan mempersoalkan, mengapa mempercayai kajian dari luar? Tujuannya bukanlah untuk mengagungkan kajian mereka, namun sebenarnya kerana terpaksa. Mengapa? Kerana adalah agak sukar untuk kita mencari catatan tentang Srivijaya dalam hikayat atau catatan tempatan, hal ini mungkin kerana kurangnya kesedaran dikalangan rakyat marhaen Srivijaya untuk menulis . Mungkin juga kerana tulisan-tulisan mereka telah musnah atau belum dijumpai dan masih tertimbus dimana-mana, atau telah dicuri! Namun tak usah kita risau kerana bangsa-bangsa luar memang banyak menceritakan tentang kerajaan ini. Dari timur hinggalah ke barat, dari dataran rendah hinggalah ke bumbungan Asia di Tibet. Dari hutan belantara Indochina hinggalah ke Padang pasir di Baghdad dan Parsi. Mereka semua ada mencatat mengenai sebuah bangsa dan kerajaan yang sangat besar dan hebat yakni SRIWIJAYA, SRIBHOJA, SHAMBALA, SAYABIGA, SIBOLGA, SABAG, ZABAJ, SHAVAKA, JAVAKA, CHEVAKA, SVIYAGA…




Sayabiga

Pada tahun 656 masihi dalam catatan Arab di Baghdad ada menyatakan bahawa khalifah telah mengupah sekumpulan puak yang bernama Sayabiga untuk menjadi pengawal  Baitulmal atau harta kerajaan. Sarjana hari ini masih tidak dapat memutuskan dari mana asalnya mereka ini. Malahan catatan Arab juga tidak mengetahui asal usul perkataan Sayabiga kerana ia bukan bahasa Arab mahupun Parsi . Namun mereka sependapat bahawa puak ini berasal dari pantai utara al Sind atau al hind. Dalam catatan Arab dan Parsi mereka juga terkenal sebagai penanam Padi dan penternak Kerbau. Kawasan Basra pada suatu masa dahulu terutama pada zaman kerajaan Sasanid , Bani Ummayyah serta Abbasiah pernah menjadi pembekal beras kepada seluruh Jajahan Empayar . Namun dari mana asalnya padi atau beras ini? Ada sarjana berpendapat bahawa padi dan Kerbau dibawa masuk ke Iraq atau Basra oleh Puak Sayabiga. Siapa sebenarnya puak Sayabiga ini?


Kajian terbaru menyatakan bahawa mereka ini adalah tentera upahan daripada tak lain dan tak bukan orang-orang Nusantara dari kerajaan SRIVIJAYA. Ini dapat menjelaskan unsur persamaan diantara perkataan Srivijaya dan Sayabiga yang berasal daripada sebutan Arab Sabag atau Zabaj, Zanj, Zanaj. Apa yang menarik lagi adalah, puak Sayabiga ini dikatakan sebagai Sea Gypsy atau pelaut yang sangat handal dan penguasa kapal-kapal. Mereka digaji oleh kerajaan Parsi dan kerajaan Umayyah kemudiannya untuk menjadi warden, pengawal, polis dan tentera laut. Gabriel Ferrand menyatakan bahawa:



The Sayabiga are the descendant of ancient Sumatran immigrant to India then to Iran and Persian gulf, where there is evidence if their existence before Islam. This is not surprising because we know from other sources also that the Sumatran colonized Madagascar at a very early date. The eastern route is very familiar to them.



Sesetengah sarjana berpendapat mereka berasal dari pesisir pantai selatan Parsi. Namun mereka bukanlah orang Parsi. Bahasa dan cara hidup serta rupa paras mereka berbeza dengan Puak-puak parsi yang lain. Apa yang menarik lagi bahawa catatan Al Masudi ada menyatakan bahawa semasa Saidina Ali diserang dalam perang Siffin yang terkenal dalam sejarah Islam, orang-orang kufah yang datang membantu Saidina Ali termasuklah puak Sayabiga. Sejak dari hari itu puak Sayabiga dikatakan telah menganut fahaman Shiah. Ada sedikit puzzle yang hendak saya tunjukkan disini. Saya pernah mendengar satu riwayat dari para pengamal tarian kuda kepang bahawa tarian ini adalah berasal daripada pengalaman seorang Nusantarian yang melihat kuda tunggangngan Saidina Ali naik berang dalam perang. Adakah peristiwa ini berdasarkan kisah yang sebenar? Walau apapun jawapannya, tidak dapat kita nafikan lagi bahawa pengaruh empayar Melayu srivijaya bukan terhad kepada nusantara sahaja malahan hingga ke Baghdad! Sebelum ini memang ada bukti bahawa Maharaja Srivijaya pernah menghantar surat kepada Khalifah Umar abdul Aziz. Ini bermakna sebenarnya sejak awal lagi Srivijaya telah memainkan peranan yang besar dalam sejarah kerajaan-kerajaan dunia. hal Ini mengukuhkan lagi teori yang menyatakan bahawa sebelum kedatangan islam lagi orang nusantara telah mengadakan hubungan perdagangan dan membuka penempatan di pelabuhan-pelabuhan utama di seluruh dunia sebelah sana.



Saudara sekalian sebenarnya, sejak turun temurun Parsi adalah salah satu rakan dagangan Nusantara yang sangat akrab. Ini dibuktikan dengan kolonialisasi penduduk dari Sayabiga atau Srivijaya di selatan Iran. Kajian daripada Prof Asyaari Muhammad seorang ahli arkeologi UKM menunjukkan bahawa sememangnya hubungan diantara Kerajaan Parsi dari dinasti awal lagi telah berlaku dengan Nusantara. Beliau telah membuat perbandingan diantara tembikar berglaze biru yang dijumpai di beberapa tapak di negara ini dengan yang terdapat di Parsi dan hasilnya ternyata sama. Ini dapat menjelaskan puzzle mengapa banyak perkataan Parsi dalam vocabulari bahasa Melayu selain bahasa Arab, antaranya ialah bandar, dewan, domba, kahwin, kelasi, kenduri, medan, piala, nobat, pasar, nakhoda, saudagar, pahlawan, jam, serunai kurma dan gandum . Catatan Arab tentang Kalah atau Kedah pada era kegemilangannya ada menyatakan tentang barang yang didagangkan di pasarnya. Menurut pencatat tersebut di pasar Kalah ada menjual gandum dan kurma dan rakyatnya memakan gandum sebagai makanan ruji. Darimanakah mereka mendapat gandum ini? Sudah tentu bukan ditanam di Kedah kerana keadaan cuaca dan tanah di sini tidak sesuai untuk penanaman gandum begitu juga Kurma. Sudah tentulah barangan ini diimport dari Parsi yang sehingga sekarang adalah salah satu negara pengimport Kurma terbesar. Sekarang terpulang kepada anda untuk menilai samaada benar atau tidak pelayar Srivijaya pernah sampai ke Basra dan menjadi tentera upahan Dinasti Ummayyah. Apa yang saya buat ialah mengemukakan kajian-kajian yang telah dibuat dan meurmuskannya secara ringkas. Namun pencarian mengenai kemegahan Srivijaya masih belum berakhir.

Sebelum ini saya ada menyebut bahawa adanya perhubungan yang cuba dibuat oleh Maharaja Srivijaya dengan pemerintah Khilafah Ummayyah di Banghdad dan Damsyik. Sebenarnya kajian mengenai ini telah dibuat dan dibukukan oleh S.Q Fatimi dan boleh dibaca dalam internet. Beliau telah menganalisis dua pucuk surat yang dihantar dari Mihraj atau Maharaja Srivijaya kepada Khalifah. Satu surat kepada Muawiyah Bin Abi Sufyan yang bertarikh 661 Masihi dan satu lagi surat kepada Umar Bin Abdul Aziz yang memerintah sekitar 717 masihi. Menurut Fatimi, Raja al hind yang disebut dalam catatan-catatan Arab dalam surat ini adalah dari Kerajaan Zabaj atau Srivijaya. Perlu diingat bahawa Zabaj sebenarnya lebih merujuk kepada kawasan dalam pengaruh sebuah bangsa iaitu Javaka dan bukan nama sebenar sebuah Kerajaan. Namun sebahagian ahli sejarah sepakat mengatakan bahawa Maharaja Zabaj yang disebut-sebut dalam catatan Arab adalah maharaja Kerajaan Srivijaya  , kerana Javaka adalah panggilan orang-orang India dan Sri Lanka kepada orang Melayu Nusantara dan bukan bererti orang Jawa dari pulau Jawa sahaja.


Surat pertama telah dicatatkan mengenainya oleh Al- Jahiz dalam kitabnya Al hayawan. Menurut Jahiz, Abdul al Malik bin Umar melihat surat tersebut di pejabat setiausaha Khalifah Muawiyah yang kemudiannya telah diberikan kepada Abu ya’kub al Thaqafi yang kemudian pula memberikan kepada Al Haytham yang menjadi sumber kepada Ibnu jahiz.

Namun malangnya Jahiz hanya mencatat mukaddimah surat tersebut sahaja dan tidak keseluruhannya. Catatan itu berbunyi:

… ini surat dari Raja Al Hind, yang didalam kandangnya ada beribu-ribu gajah dan istananya dibina dari emas dan perak yang berkilauan, yang dilayan oleh beribu anak perempuan Raja-raja, yang menguasasi dua Sungai yang mengairi tanah-tanah subur, kepada Muawwiyah…



Surat kedua ditemui dalam Al-Iqd al Farid oleh Ibnu Rabbih sekitar 860-940 Masihi yang menyatakan bahawa sumbernya diperolehi daripada Nuaim Bin Hammad. Nuaim menyatakan bahawa Raja Al Hind telah menghantar sepucuk surat kepada Khlifah Umar Bin Abdul aziz seperti berikut:


Dari raja kepada Raja yang berketurunan dari seribu raja, yang kandangnya dipenuhi dengan beribu gajah dan kawasan taklukannya adalah dua sungai yang mengairi tanam-tanaman, wangi-wangian, pohon pala dan kapur wangi, yang wangiannya semerbak sehingga 12 batu jauhnya…kepada raja Arab, yang tidak menyekutukan tuhan dari tuhan yang satu. Beta telah menghantar hadiah, yang tidak seberapa sebagai tanda persahabatan dan beta harap agar anda menghantar seseorang yang dapat mengajarkan ajaran Islam serta menunjukkan undang-undangnya. (ini terjemahan saya sendiri berdasarkan terjemahan Inggeris).

Ada beberapa persoalan yang perlu dirungkaikan mengenai surat ini. Yang pertama ialah siapa sebenarnya maharaja yang bersedia memeluk agama Islam tersebut., yang kedua adakah benar bahawa ada salah seorang maharaja Srivijaya telah diislamkan, dan persoalan ketiga mengapa ada banyak persamaan diantara surat Maharaja atau Mihraj ini dengan surat-surat yang dihantar oleh Prester John? Persoalan pertama dan kedua sebenarnya telah cuba dijawab oleh S.Q Fatimi, jadi saya tidak mahu menyentuhnya disini kerana tidak mahu memanjangkan artikel. Yang ingin saya sentuh adalah persoalan ketiga, yakni adanya persamaan diantara diskripsi atau gambaran tentang kerajaan Prester John dengan kerajaan Mihraj Al Hind atau Srivijaya/ Zabaj.





Prester John dan Maharaja Srivjaya

Beberapa abad setelah seorang maharaja menghantar surat kepada Khalifah di Baghdad, perkara yang sama juga telah berlaku kepada kerajaan Byzantine di Barat dan juga kepada Pop. Seperti dalam surat Mihraj, surat Prester John turut menyebut mengenai hadiah kepada pemerintah yang menerima surat tersebut. Namun ini adalah perkara biasa dalam perhubungan diantara satu pemerintah dengan pemerintah yang lain. Surat Prester John juga sebenarnya mempunyai mukaddimah yang berbunga-bunga sepertimana surat yang pernah dihantar oleh Maharaja kepada Khalifah. Apa yang menariknya kedua-dua pemerintah misteri dari timur ini menggelar diri mereka sebagai raja segala raja atau King of kings/ Malik al amlak. Kedua-dua raja ini juga menyatakan dalam suratnya bahawa mereka mempunyai gajah-gajah yang banyak dalam kekuasaan mereka. Tambahan lagi kedua-dua pemerintah tersebut dengan bangga menyatakan bahawa mereka mempunyai Istana dari logam-logam berharga seperti emas dan perak.



Jika dalam surat Maharaja, baginda telah meminta agar dihantarkan orang utuuk mengajarkan mengenai ajaran dan hukum Islam, manakala dalam surat Prester John pula baginda meminta agar diajarkan tentang ajaran Kristian Katholik. Dalam satu versi lain oleh Ibnu Tighribi mengenai surat kepada Umar abdul aziz, dibahagian akhir suratnya berbunyi:



"I have sent you a present of musk, amber, incense and camphor, Please accept it, for I am your brother in Islam." This would imply that the Mihraj had accepted Islam”.



Menurut S.Q fatimi, berkemungkinan besar memang Maharaja tersebut telah memeluk Islam. Namun demikian setelah kematian baginda agama Islam tidak diamalkan oleh penggantinya dan ditolak oleh pembesar-pembesar. Beliau menambah bahawa ada campurtangan kerajaan Tang yang tidak ingin melihat orang Islam memonopoli perdagangan di Selat Melaka.Tang dikatakan telah menghantar dutanya untuk membuat kekacauan di Istana Srivijaya dan menghasut pembesarnya memberontak.



Seperti juga Maharaja Srivijaya atau Zabag, Maharaja misteri ini turut mengamalkan polisi pintu terbuka demi kesejahteraan kerajaannya. Sifat keterbukaan dan diplomatik ini memang bersesuaian dengan polisi yang sentiasa diamalkan oleh kerajaan-kerajaan melayu di Nusantara terutama Srivijaya dan Melaka. Polisi sebeginilah yang telah menyebabkan kerajaan Melayu terkenal di seluruh dunia. Dalam surat tersebut juga ada menyatakan bahawa baginda adalah penguasa dua sungai. Menurut S.Q, dua sungai yang dimaksudkan dalam surat tersebut adalah sungai Batanghari di Jambi dan sungai Musi di Palembang.



Sebenarnya masih banyak misteri yang menyelubungi surat-surat dari Prester John tersebut. Ada pendapat menyatakan bahawa surat-surat tersebut adalah saduran daripada surat yang bertulisan Arab yang didapati dari negeri Arab yang kemudiannya diterjemahkan kepada bahasa Latin. Pada pendapat saya dakwaan ini berkemungkinan besar adalah benar. Hal ini ada kaitan dengan jarak masa diantara surat Maharaja kepada Khalifah dengan surat Prester John kepada Pop dan Maharaja Byzantine. Surat Prester John dikatakan dihantar semasa dunia Islam dan Kristian sedang berkecamuk dalam peperangan salib. Ada kemungkinan bahawa surat-surat yang asal sememangnya adalah surat kepada Khalifah yang disimpan salinannya di perpustakaan di Syria atau Baitul Maqdis. Setelah Baitulmaqdis ditawan, maka ahli Sejarah Kristian yang menjumpai surat ini bertindak mengubah isi kandungannya untuk kepentingan politik dan propaganda Kristian. Jika tealahan saya ini benar bermakna Prester John yang disebut-sebut oleh orang Kristian barat selama ini adalah Maharaja Srivijaya itu sendiri.



Berbanding dengan catatan dari pencatat Arab yang hanya mengandungi mukaddimah surat berkenaan sahaja, catatan Kristian mengenai Prestor John adalah lebih lengkap ( kononnya). Dalam salah satu surat yang dihantar kepada maharaja Byzantine, Prester John telah dikatakan mengutuk tindakan Byzantine membantu armada Salib menyerang Jeruselem. Namun apa yang pasti dalam surat yang sama juga Prester John ada menyatakan bahawa pada suatu masa nanti ketururunan beginda akan menyerang dan menawan kembali Jeruselem dan Rome di akhir zaman. Bukankah ini bertepatan dengan Hadis  tentang Bani Tamim dari timur?


NAMUN DEMIKIAN JANGAN KITA CEPAT TERPEDAYA DENGAN SURAT-SURAT VERSI BARAT YANG BEGITU BANYAK DI PASARAN. Malahan sejak dari abad ke 13 lagi kisah-kisah lagenda mengenai Kerajaan Prester John telah menjadi rebutan para bangsawan dan keluarga diraja serta orang-orang yang mampu membeli buku. Ia seolah-olah menjadi sebuah novel terlaris di pasaran pada ketika itu dan dikatakan telah wujud pelbagai versi yang berlainan dari satu negeri ke negeri yang lain diseluruh Eropah. Oleh kerana itu kesahihan surat tersebut tidak dapat dibuktikan lagi. TELAH BANYAK TOKOK TAMBAH DIBUAT. Malahan menurut sebahagian besar sejarawan tidak pernah ada sebarang hubungan diantara Kerajaan Kristian di barat dengan mana-mana Kerajaan Prester John. Ia hanyalah satu Propa pihak Gereja untuk menaikkan prestij Gereja Katolik yang sedang dalam ancaman pengaruh Islam ketika itu.



Malahan sebenarnya Prester John tidak pernah menyatakan bahawa dia seorang Kristian dalam surat-surat tersebut tetapi dia menyatakan bahawa dia adalah pemyembah tuhan yang satu sama seperti mereka dan mereka adalah saudara. Ini adalah benar kerana dalam Islam orang Kristian dianggap sebagai saudara ahli kitab dan juga penyembah Allah. Yang mengatakan bahawa Prester John adalah Kristian adalah sejarawan katolik barat yang cuba mengubah surat tersebut dan mengaburi mata orang Islam dan kita bangsa MALA.



Salah seorang daripada periwayat mengenai Prester John dan kerajaannya yang terkenal di dunia barat adalah Nicolo De Conti. Nicolo de Conti adalah seorang pengembara dari Itali yang telah menjelajah dunia timur. Sebelum menjelajah dia dikatakan menghabiskan masa beberapa tahun di Syria untuk mempelajari bahasa Arab dan budaya Islam. Catatan barat menyatakan bahawa beliau tidak menganut agama Islam sebaliknya hanya menyamar sebagai orang Islam untuk memudahkan pengembaraannya. Dia juga berkahwin dengan seorang wanita India dan mendapat empat orang anak. Saya sebenarnya kurang percaya dengan dakwaan sejarawan barat ini. Saya yakin bahawa Nicolo de Conti memang benar-benar menganut ajaran Islam namun ditutup oleh Penguasa Gereja Katolik di Venice apabila beliau pulang ke sana.

Daripada kisah-kisah yang dibawa pulang oleh beliau inilah munculnya pelbagai lagenda mengenai Kingdom of Prester John selain daripada surat-surat sebelumnya. Entah bagaimana setelah beliau pulang, kepulangannya sebagai seorang Muslim telah menimbulkan kemarahan Pop dan beliau telah dipanggil untuk menjelaskan kedudukannya. Namun saya rasa dalam keadaan ini untuk menyelamatkan nyawanya dan keluarga beliau terpaksa berbohong dan mengatakan beliau hanya berpura-pura memeluk Islam. Malahan untuk memperlihatkan kehebatan ajaran Kristian dan menutup pengaruh Islam, Prester John telah digambarkan sebagai seorang Kristian dalam buku yang ditulis kemudiannya atas arahan Pop. Namun ini hanya pendapat saya. Terpulang kepada anda untuk menilai.


Saya hentikan artikel ini setakat ini dahulu. Insyallah jika diberi izin oleh-Nya maka akan saya sambung mengenai misteri terkaitnya benang-benar purba Srivijaya dengan tamadun-tamadun di sebelah sana. Masih banyak lagi yang ingin saya sentuh sebenarnya mengenai Prester John , namun oleh kerana kesuntukan masa dan bahan rujukan maka setakat ini sahaja dahulu ( saya berada jauh dari sumber perpustakaan sekarang). Mugkin ada orang yang lebih layak di Blog satu lagi tu... :) yang boleh menyambung kisah ini. Mungkin beliau ada bukti yang lebih lengkap dan hujah yang lebih kukuh dari saya. Saya tinggalkan puzzle-puzzle seterusnya untuk anda kaji dan rungkaikan. Sehingga bertemu kita di artikel seterusnya. Sekian, Wallah hu a’lam.